KUALA TERENGGANU: Pertembungan sesama sekutu Pakatan Harapan, PKR dan
DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dijangka memberi kelebihan
kepada PAS.
Keyakinan itu disuarakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di
samping sokongan rakyat pelbagai kaum kepada parti Islam itu sangat baik
sebagai alternatif mewakili pembangkang untuk menolak Barisan Nasional
(BN).
“(Adakah pertindihan kerusi antara PKR dan DAP akan beri kelebihan
kepada PAS?) Kemungkinan ia membawa kesan lebih posifif kepada kita
(PAS),” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan
Malam Amal Media malam tadi.
Abdul Hadi pada masa sama yakin bahawa PAS akan memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi pada pilihanraya tersebut.
“Sambutan dari masyarakat dari semua kalangan sangat baik, termasuk
yang bukan Islam. (Memandangkan) Kita telah menampilkan calon dari
pelbagai kalangan termasuk wanita dan bukan Islam walaupun jumlahnya 11
kerusi tetapi sudah cukup untuk memberi mesej pada penduduk Sarawak.
“Kita yakin daripada (11 kerusi) dua kerusi (kita akan menang) dan
mungkin ada lagi tambahan yang lain, antaranya di kawasan yang
melibatkan pertandingan bekas wakil rakyat DAP yang bertanding BEBAS
melawan DAP,” katanya menjawab jumlah kerusi yang bakal dimenangi parti
itu.
PKR dan DAP akan bertembung di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, 7 Mei ini apabila kedua-dua
parti itu gagal mencapai kata putus bagi menyelesaikan kemelut yang
berlaku.
Sementara itu, PAS pula meletakkan calon di 11 kerusi yang turut
ditentang bekas sekutu mereka, PKR, DAP dan PAN, antaranya di kerusi
Samalaju (PAS, DAP dan BN), Lambir (PAS, PKR dan BN), Pujut (PAS, DAP,
BN dan BEBAS), Samariang (PAS, BN dan PAN), Muara Tuang (PAS, BN dan
PAN), Sadong Jaya (PAS, BN, PAN dan BEBAS), Sebuyau (PAS, BN dan PAN),
Beting Maro (PAS, BN dan PAN), Kakus (PAS, PKR dan BN), Jepak (PAS, PKR,
BN dan BEBAS), Pantai Damai (PAS dan BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan