ULASAN Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 bagi kawasan Sibu boleh dikategorikan sebagai 'pertarungan' antara hartawan dengan DAP.
Ia dapat dilihat apabila terdapat kerusi BN yang bertembung dengan DAP seperti di DUN Dudong dan Pelawan diwakili oleh hartawan yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di negeri itu.
Bagi calon Dudong,Datuk Tiong Thai King, beliau merupakan adik kepada pengerusi kumpulan syarikat Rimbunan Hijau (RH Group)- Tan Sri Tiong Hiew King yang pernah menjadi antara 10 orang terkaya di Malaysia.
Thai King yang membuat kemunculan sekali lagi selepas kalah pada PRN pada 2011 dengan majoriti tipis - 317 undi - merupakan pengarah eksekutif kumpulan bagi syarikat milik abangnya itu.
Di DUN Pelawan pula, Datin Janet Lau - balu kepada bekas timbalan menteri pengangkutan negeri, Datuk Robert Lau - dipilih oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem sebagai calon di kawasan bekas suaminya itu.
Robert Lau merupakan anak saudara kepada Datuk Henry Lau, ketua pegawai eksekutif Kumpulan KTS - sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Sarawak.
Pertandingan lebih tiga penjuru
Tiga lagi DUN dalam kawasan Sibu - Bawang Assan, Bukit Assek dan Nangka - dijangka sengit apabila ada antara kawasan itu menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru.
Selepas persempadanan semula, kawasan Sibu terbahagi kepada dua kawasan - Parlimen Sibu dan Lanang - yang masing-masing mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai iaitu 65 peratus dan 72 peratus. Manakala masyarakat bumiputera di Sibu pula sebanyak 35 peratus dan di Lanang 28 peratus.
Bagi DUN Bawang Assan, calon Datuk Seri Wong Soon Koh bertanding mempertahankan kerusi tersebut. Beliau menewaskan calon DAP dalam pilihan raya negeri lalu, dengan majoriti 1,808 undi.
Calon Bukit Assek, DAP meletakkan Irene Mary Chang Oi Ling, 51, untuk mempertahankan kerusi berkenaan yang dimenangi mendiang suaminya, Wong Ho Leng pada pilihan raya negeri 2011 dengan 8,827 undi.
Dan bagi DUN Nangka pula, penyandang Dr Annuar Rapaee bertanding mengekalkan kerusi itu yang sebelum ini dimenangi dengan majoriti 5,302 undi, menentang satu-satunya calon PKR di Sibu.
Pertarungan antara hartawan dengan DAP ini juga dapat dilihat daripada cara kedua parti itu berkempen yang menampakkan beberapa perbezaan, antaranya dari segi 'sajian' yang diberikan.
Penampilan kempen
Selain daripada membuat program tinjauan mesra dan ceramah pada waktu malam, program BN dilihat lebih meriah apabila pengunjung adakalanya akan dihidangkan dengan persembahan tarian atau nyanyian.
Malah, terdapat juga calon yang tidak melepaskan peluang untuk mendendangkan lagu kepada bakal pengundi mereka.
Berbeza dengan DAP, ceramahnya lebih bersifat politik dan turut menggunakan teknologi seperti Skype bagi membolehkan pemimpin mereka yang disekat memasuki Sarawak, berinteraksi dengan masyarakat di situ.
Pada minggu pertama berkempen ini juga, perang poster di Sibu masih lagi suram dengan hanya beberapa kawasan sahaja yang dilihat meriah dengan bendera dan poster parti yang bertanding seperti di kawasan DUN Nangka.
Selain itu, Adenan juga dilihat menjadi 'bahan' utama bagi setiap kempen BN untuk menarik sokongan pengundi.
Perkara itu dapat dilihat apabila slogan #teamAdenan dan 'Adenan Fever' dipaparkan di poster serta kain rentang calon BN yang bertanding serta dalam ceramah-ceramah parti berkenaan.
Isu-isu nasional
Isu yang dibawa DAP berhubung cukai barangan perkhidmatan (GST) pula dilihat masih lagi berada pada tahap 50-50 dengan tidak semua pihak dilihat memahami dan 'merasai' kesan ekoran pelaksanaannya.
Tinjaun Malaysiakini juga mendapati ada anggota masyarakat yang tidak mengendahkan isu GST serta isu nasional lain seperti skandal 1MDB.
Ini kerana penduduk di negeri yang mempunyai pelbagai etnik kaum itu berpendapat isu sedemikian tidak memberi impak terhadap kehidupan seharian mereka.
Malah, terdapat juga segelintir yang berpendirian untuk tidak masuk campur urusan politik dan hanya mengundi kerajaan dan BN memandangkan ia merupakan perkara yang telah lama mereka lakukan dan tidak perlu diubah.
Bagi pemerhati politik Dr Jeniri Amir, walaupun isu GST dilihat sebagai 'ibu segala isu' kerana ia memberi implikasi terhadap semua rakyat termasuk di luar bandar, namun sesetengah masyarakat masih lagi menganggap ia tidak penting.
"Ini ibu segala isu berbanding isu lain kerana GST beri kesan dan implikasi terhadap semua orang termasuk di bandar, di luar bandar, miskin dan apa jua golongan.
Pola pengundian
"Sejauhmana terpengaruh atau tidak (tentang isu GST), kita perlu lihat cara BN untuk menangkis hujah dengan 'dalil' yang konkrit. Jika gagal, ini boleh mempengaruhi pola pengundian.
"Dan bagi orang Sarawak, mereka memang tak kisah kerana menganggap tak ada kaitan dengan diri mereka. Mereka (pengundi) lebih mengutamakan perut mereka dari isu 1MDB dan isu lain," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, dalam tinjauan Malaysiakini mengenai kempen Sarawak for Sarawakian (S4S) yang dibawa oleh NGO yang bertanding atas tiket Bebas, mendapati rata-rata anggota masyarakat tidak bersetuju dengan kempen itu dan enggan mengulas mengenainya.
Ditanya ditanya mengenai perkara itu, Dr Jeniri berpendapat isu tersebut sensitif dan pihak berkenaan perlu lebih berhati-hati dalam membawa isu yang menyemarakkan semangat kenegerian.
"Kita harus guna kebijakasaan untuk tentukan ke mana harus kita lakarkan negeri kita ini. Harus jelas tentang perjuangan dan faham tentang sejarah. Jangan hanya ikut membabi-buta," ujarnya.
Hari pembuangan bagi pilihan raya negeri Sarawak akan berlangsung pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 12 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan