Khamis, 28 April 2016

Kalau Nak Kelentong Pun Biar Masuk Akal


KALAU nak kelentong atau nak bohong pun biarlah kena cara. Nak putar-belit pun macan itu juga. Kena ada tatacara operasi standard (SOP).


Bila ada SOP, yang bohong tak nampak berbohong dan yang kena bohong tak tahu dia dibohongi. Baru la hula lala hula hoop!

Saya tak mahu kata Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul “Azrul” Kanda Kandasamy, bohong tapi dia pandai tipu-helah, putar-belit dan guna bahasa.

Contohnya, baru-baru ini dia kata, memandangkan penafian International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengumuman Pejabat Peguam Negara Switzerland yang bayangkan kemungkinan 1MDB dah jadi mangsa tipu, ia kena teroka semua jalan yang ada.

Arul Kanda tak kata 1MDB kena tipu. Dia rujuk kepada kenyataan IPIC yang dakwa syarikat bernama Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI) tu bukan anak syarikatnya atau anak syarikat kepada anak syarikatnya, Aabar Investment PJS Limited.

Dalam bahasa yang mudah, IPIC kata Aabar BVI ini adalah syarikat klon yang curi nama syarikat asal iaitu Aabar Investment PJS Limited.

Peguam Negara Switzerland pula kata, ada bukti AS$4 bilion (RM16 bilion) duit 1MDB telah disonglap melalui pemindahan dan pengubahan wang haram. Dalam bahasa yang mudah, duit 1MDB dicuri kemudian diubah jadi sijil pelaburan, unit, derma dan macam-macam supaya nampak halal.

Jadi bila orang kata dia kata 1MDB kena tipu dengan kerjasama orang dalam, Arul Kanda kata, bukan dia yang kata tapi dia hanya buat interpretasi kenyataan IPIC dan Peguam Negara Switzerland.

Dia kata tugas dia dah selesai. Dia nak berhenti. Dok tak dok hutang 1MDB yang kita sangka RM42 bilion dah jadi RM50 bilion awal tahun ini dan faedah hutang AS$50 juta (RM200 juta) pun tak mampu bayar. Selelasi haram zada ada? 

Luncai Abad ke-21

 

Tapi ada manusia jenis Si Luncai moden yang nak bohong pun tak pandai. Tak macam Si Luncai asal yang raja pun dia boleh kelentong.

Si Luncai abad ke-21 ini buat cerita kata Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak, tandatangan surat-menyurat 1MDB tapi tak ambil tahu apa kandungannya.

Si Luncai macam ini kalau nak bohong untuk selamatkan nyawa dia pun dia tak tahu apatah lagi nak lindungi Perdana Menteri.

Si Luncai ini punyalah bodoh sampai dia ingat semua orang tak cerdik macam dia. Punyalah dungu sampai tak tahu bahawa abai tanggungjawab fidusiari (fiduciary responsibility) adalah kesalahan jenayah.

Mohd Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, pengasas 1MDB dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB tanggung tugas fidusiari yang jelas dan berat.

Atau Si Luncai pemakan dedak ini tahu hal urus tadbir korporat tapi dia ingat orang lain tak tahu. Dia sangka dia seorang saja cerdik dan orang lain semua bodoh. Dia tak sedar bahawa orang bodoh yang ingat diri dia cerdik adalah orang paling bodoh.

Mohd Najib tandatangani surat-menyurat yang libatkan berbilion ringgit duit dan harta negara dengan tak baca apa yang dia tandatangan?

Bukan Semua Orang Bodoh

 

Mak cik kampung yang buta huruf pun tahu dia tak boleh buta-buta turun cap jari atas kertas. Dia kena tahu apa tanggungjawab dia bila dia turun cap jari.

Zaman dulu, Cina buta pun tanya syarat sebelum dia setuju menikah dengan janda talak tiga atau pak sanggup sebelum dia menikah dengan anak dara bunting.

Cina buta nak tahu berapa upah dan berapa lama tidur dengan bini “sementara” dia? Tidur saja ka atau boleh buat macam laki-bini buat?

Macam tu juga bekas laki yang upah Cina buta nikahi janda dia yang dia cerai talak tiga. Masa nak cerai dia tak fikir. Bila dah bercerai dia gila talak.

Cerai talak tiga tak boleh rujuk. Jadi kena lah upah Cina buta nikahi dengan syarat lepas itu cerai. Tapi kena jaga-jaga. Si Cina tu hanya mata tak berfungsi. Anggota-anggota lain berfungsi kelas A.

Jadi bila ada Si Luncai moden kata PM tandatangan dokumen 1MDB dengan tak baca atau tak tahu apa yang dia tandatangani, sahlah Si Luncai ini bangang kelas A.

Rakyat jelata Malaysia boleh jadi tak selicik PM dan Jho Low berniaga atas angin, tapi mereka taklah baghal sampai percaya cerita macam yang Si Luncai moden buat.

Satu lagi, bila sampai masa dihumban ke dalam sungai yang deras, Si Luncai dan jenis yang sama dengan dialah yang paling awal lari lintang-pukang selamatkan diri.

Wallahauaklam.

Tiada ulasan: