Rabu, 27 April 2016

Annuar Musa sokong Jamal dilarang ke Sarawak

 
Annuar berpendapat, tindakan Sarawak menyekat kemasukan Jamal ke negeri itu adalah pengajaran baik kepada sesetengah pihak, supaya tidak memainkan politik perkauman.


anuar-musa


PETRAJAYA: Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyokong tindakan Sarawak melarang pemimpin akar umbi parti itu, Datuk Jamal Md Yunos ke Bumi Kenyalang.

Jelasnya, tindakan Sarawak itu betul, memandangkan Pengerusi Gabungan NGO Melayu itu bersama tentera baju merahnya telah “balun” orang Cina.

“Saya rasa ia adalah pengajaran baik kepada sesetengah orang. Jangan main politik perkauman,” tegasnya selepas menghadiri satu program sekolah, hari ini.

Annuar berkata, Sarawak mendahului negeri lain, kerana berani mengambil tindakan terhadap individu yang memainkan politik perkauman.

“Adenan telah tekankan, awak UMNO ke, siapa ke, kalau ada rekod buruk, tak mungkin awak boleh masuk (ke Sarawak).

“Kalau biar lama-lama, masing-masing dah kepala besar, susah nak kawal,” katanya.

Semalam, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dilaporkan sebagai berkata, lebih ramai individu akan dilarang menjejakkan kaki ke negeri itu, jika mereka “tidak berkelakuan baik”.

Jelasnya, sekatan itu dilaksanakan bagi melindungi kepentingan orang Sarawak dan mengekalkan keamanan serta ketenangan di negeri itu.

Pada 14 April lalu, Jamal bersama tiga rakannya diarah pulang ke Semenanjung, sejurus mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 11.30 pagi.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu turut mendakwa pentadbiran Adenan bersikap dwistandard, kerana membenarkan badan bukan kerajaan pembangkang menjejakkan kaki ke negeri itu.

Selain Jamal, individu lain yang turut disenaraihitamkan Jabatan Imigresen Sarawak termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali dan pensyarah kontroversi, Prof Ridhuan Tee Abdullah.

Tiada ulasan: