MALAYSIA DATELINE
Dalam
usaha mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan
jawatannya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Datuk
Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin telah memfailkan permohonan
mahkamah untuk menghalang beliau melupuskan aset-asetnya.
Dalam satu kenyataan di laman facebook Khairuddin dipetik berkata,
beliau bersama Mahathir dan Anina telah memohon agar Najib mendedahkan
segala senarai aset-asetnya melalui surat sumpah dalam tempoh 10 hari
dari tarikh perintah.
"Sekiranya mahkamah membenarkan permohonan ini dan andaikata Najib
tidak mematuhinya maka kami akan arahkan peguam untuk mengambil tindakan
lanjut bagi menghantar beliau ke penjara kerana menghina perintah
mahkamah," ujar bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan ini.
Mereka telah memfailkan permohonan itu semalam pada jam 10.30 pagi di
pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Hari ini pada jam 3 petang dijangka peguam mereka akan hadir di
mahkamah untuk mengambil arahan lanjut berhubung kes tersebut daripada
pendaftar mahkamah tinggi.
"Saya ingin merayu secara jujur dan ikhlas kepada rakyat Malaysia untuk berdoa akan kejayaan ini.
"Semoga daya usaha ini mendapat keberkatan dari Allah swt untuk terus
melawan segala bentuk kemungkaran, rasuah serta salahguna kuasa di
negara kita dewasa ini.
"Kami secara tawadduk dan jujur telah mengambil pelbagai pendekatan
undang-undang ke atas Najib serta berharap beliau pun sepatutnya akan
berani menghadapi kami bertiga di kamar mahkamah kelak," ujarnya.
Menurut Khairuddin lagi beliau berasa agak hairan Presiden Umno
itu, tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang
terhadap beberapa pihak selama ini termasuk mereka bertiga.
"Kalau beliau kata tidak bersalah dan bersih dari segala tohmahan;
tolonglah jangan takut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas
kami seterusnya kita biarkanlah proses undang-undang untuk membuat
keputusan secara adil, saksama, telus serta tidak tunduk pada mana-mana
tekanan eksekutif keatas bidang judisiari." ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan