Selasa, 26 April 2016

Solusi tarik undi pertindihan kerusi DAP-PKR dalam PRN Sarawak

MALAYSIA DATELINE


Chong Chieng JenChong Chieng JenDAP Sarawak hari ini menawarkan penyokong pembangkang satu penyelesaian untuk pertempuran parti itu dengan PKR di enam kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 7 Mei depan.

Pengerusinya Chong Chieng Jen telah mencadangkan agar mengundi DAP untuk mengelakkan undi berpecah.

"Dalam kerusi di mana DAP bertindih dengan PKR, saya menggesa pengundi supaya tidak memecahkan undi mereka dan menumpukan kepada DAP. Jangan buang undi anda pada PKR.

"Tetapi di kerusi di mana PKR sahaja bertanding, saya menyeru kepada semua penyokong DAP mengundi PKR," katanya dalam sidang media diadakan hari ini lapor Malaymailonline.

Chong, yang akan mempertahankan Kota Sentosa untuk penggal ketiga dalam pilihan raya, yakin DAP boleh menang di Dun Batu Kitang dan Simanggang, dua daripada enam kerusi parti itu bertindih dengan PKR, rakan kongsi Pakatan Harapan itu.

DAP telah memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Batu Kitang, salah satu daripada 11 kerusi baru pilihan raya kali ini, semasa rundingan dengan kepimpinan pusat kedua-dua parti itu, tetapi meletakkan calon DAP selepas PKR gagal memenuhi peruntukan kerusi itu.

Kerusi itu kini akan menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Voon Shiak Ni (PKR), Abdul Aziz Isa (DAP), Lo Khere Chiang (BN) dan dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Othman Bojeng.

Di Simanggang,  Leon Jimat Donald (DAP) dan Norina Umoi Utot (PKR)  berada dalam perebutan empat penjuru dengan Barisan Nasional (BN) penyandang Datuk Francis Harden Hollis dan calon bebas, Ngu Siew Peng.

Kerusi-kerusi lain di mana kedua-dua pihak akan menghadapi satu sama lain adalah Mambong, Ngemah, Murum dan Mulu.

DAP meletakkan sejumlah 31 calon dan PKR, 40.

Chong juga berkata PRN Sarawak kali ini akan menjadi 'prequel' kepada pilihan raya umum ke-14, melahirkan keyakinan bahawa 7 Mei itu kelak akan memberi isyarat berakhirnya pemerintahan BN di Putrajaya.

Beliau berkata tsunami politik 2008 yang menyaksikan pembangkang memenangi beberapa negeri, telah bermula di Sarawak pada pilihan raya negeri 2006 apabila DAP memenangi enam daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

"Itu adalah gelombang pertama. Gelombang kedua adalah pada tahun 2011 apabila DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi dalam pilihan raya negeri dan dalam 2013, pembangkang mendapat lebih daripada 50 peratus undi popular.

"Sekarang gelombang ketiga akan datang dan ia akan mula di Sarawak. Saya percaya ini adalah pusingan terakhir dalam perubahan kerajaan, "kata Chong.

Tiada ulasan: