Selasa, 26 April 2016

Media jangan terbit rahsia rasmi kerajaan

Mohamed Apandi Ali
Mohamed Apandi Ali


KUALA LUMPUR - Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengingatkan pengamal media agar tidak memiliki atau menerbitkan berita yang mengandungi rahsia rasmi kerajaan.

Menurutnya, kerajaan memandang berat perkara ini berikutan peningkatan kejadian ketirisan maklumat terkelas yang boleh menggugat keselamatan negara.

Beliau mengambil contoh kes Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dituduh di mahkamah kerana memiliki tanpa kebenaran dan mendedahkan dokumen rahsia yang berada di bawah kawalan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Suka saya tekankan, selain tindakan jenayah yang boleh diambil, seseorang pengamal media juga boleh diambil tindakan sivil di bawah Akta Fitnah 1957 dan diarah membayar pampasan sekiranya terbukti bahawa sebarang laporan atau penerbitan yang dibuat berunsur fitnah dan telah mengakibatkan reputasi mana-mana pihak terjejas akibat laporan tersebut,” katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis luncheon talk bersama editor dan pengamal media anjuran Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dedah dan miliki dokumen rahsia: Mohd Rafizi didakwa]

Dalam pada itu, Mohamed Apandi turut meluahkan kekesalannya apabila ketegasan Malaysia mencorak kebebasan media disalah erti masyarakat antarabangsa sebagai tidak mendukung prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

Katanya, ini dapat dilihat melalui penurunan skor negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2016 iaitu 46.57 mata berbanding 43.29 pada 2015.

“Namun, indeks tersebut juga menunjukkan kemerosotan media turut berlaku di banyak negara lain.
Malah, pada 2015, dua pertiga daripada negara yang dikaji dilaporkan menunjukkan kelembapan dalam kebebasan media, termasuk Amerika Syarikat dan Singapura.

“Mengambil kira kedudukan ini, persoalan yang perlu ditanya kepada pengamal media adalah sama ada ia benar-benar mencerminkan tahap kebebasan media di Malaysia,” katanya.

Menerangkan mengenai sekatan dikenakan terhadap kebebasan pengamal media menulis, memberi pandangan, melapor dan menerbitkan sesuatu perkara, beliau berkata, ia diperuntukkan undang-undang.

“Oleh itu, kuasa media yang boleh mempengaruhi orang awam wajar digunakan dengan bertanggungjawab bagi memajukan agenda nasional. Juga untuk memelihara ketenteraman awam dalam negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya.


Tiada ulasan: