SEREMBAN: Nahas membabitkan empat kenderan di Jalan Kayu Ara ke Nusari
Bayu, Sendayan, di sini pagi tadi menyebabkan seramai 22 orang cedera,
termasuk seorang cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan.
Kemalangan kira-kira jam 8.30 pagi itu membabitkan sebuah bas kilang,
sebuah kenderaan pacuan empat roda, sebuah Perodua Viva dan sebuah
motosikal.
Mangsa yang cedera parah dikenali sebagai K Tirunavukatasa, 26, yang
juga pemandu pacuan empat roda. Lelaki itu dilaporkan cedera parah di
kepala dan kaki.
Manakala pemandu Perodua Viva, Chok Yuet Lee, 22, dan penunggang motosikal, Ramli Mohamed Ali, 65, cedera ringan.
Seramai 19 penumpang bas kilang turut cedera ringan, manakala pemandu
kenderaan itu, N Kajenthiran, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun
dipetik Berita Harian Online berkata, siasatan awal mendapati kenderaan
pacuan empat roda dari arah bandar ini ke Nusari Bayu, dipercayai
memotong sebuah kenderaan lain dan bertembung bas kilang dari arah
bertentangan.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda itu kemudian melanggar Perodua
Viva dan motosikal di belakang bas kilang, manakala bas itu yang hilang
kawalan terbalik di tepi jalan.
"Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di
sini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan
1987," katanya.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Penolong
Kanan Penguasa Bomba Yahya Jaafar, berkata pihaknya menerima maklumat
kejadian itu pada jam 8.45 pagi dan menghantar sembilan anggota ke
tempat kejadian.
Katanya, pasukan itu tiba di lokasi pada jam 8.53 pagi mendapati
pemandu pacuan empat roda terperangkap di tempat duduknya sebelum
berjaya berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan