Rabu, 27 April 2016

Muhammad janji laksana tanggungjawab sebaik mungkin

FREE MALAYSIA TODAY


Zeti mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan Muhammad untuk mengetuai BNM pada masa hadapan.


BNM-1


KUALA LUMPUR: Datuk Muhammad Ibrahim yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru, berjanji akan menjalankan tanggungjawabnya sebaik mungkin.

Muhammad yang merupakan Timbalan Gabenor, dilantik sebagai Gabenor BNM yang baru selama lima tahun, berkuat kuasa 1 Mei ini, bagi menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akthar Aziz, 68, yang akan bersara pada 30 April ini.

“Saya menerima pelantikan sebagai gabenor dengan rendah hati. Saya melihatnya sebagai peluang untuk berkhidmat kepada negara. Saya akan berusaha untuk menjalankan tugas Gabenor BNM dengan sebaik mungkin,” kata Muhammad dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, adalah penting bagi bank pusat mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari, terus fokus terhadap agenda strategik dan berusaha ke arah menyumbang kepada masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.

Muhammad turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan di atas keyakinan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Dr Zeti di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau kepada BNM dan negara,” katanya.

Sebagai Timbalan Gabenor BNM sejak 2010, beliau menganggotai Jawatankuasa Dasar Monetari dan Kestabilan Kewangan BNM serta bertanggungjawab dalam pembangunan pasaran kewangan dan operasi perbendaharaan, termasuk pertukaran asing dan pengurusan rizab bank pusat.

Beliau turut bertanggungjawab terhadap pembangunan sektor perbankan dan insurans.

Muhammad juga berkhidmat sebagai Pengerusi Agensi Akreditasi Kewangan; Anggota Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan); Anggota Institut Akauntan Malaysia dan anggota panel Kumpulan Wang Amanah Negara.

Beliau adalah memiliki Ijazah Sarjana dari Universiti Harvard serta Diploma Lepasan Ijazah Perbankan dan Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sementara itu, Zeti berkata, pelantikan Muhammad sangat positif buat negara.

“Beliau yang merupakan sebahagian daripada pasukan dasar kami di bank pusat ini, akan dapat meneruskan kesinambungan yang sangat diperlukan dalam tempoh tidak menentu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zeti berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan Muhammad untuk mengetuai BNM pada masa hadapan.– BERNAMA

Tiada ulasan: