Khamis, 28 April 2016

Bkt Merah, Timah Tasoh sebagai kawasan bencana hari ini

MALAYSIAKINI




Keputusan sama ada Bukit Merah di Bagan Serai dan Timah Tasoh di Perlis diisytihar sebagai kawasan bencana disebabkan cuaca panas serta kering akibat fenomena El Nino sekarang akan diumum hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ketetapan berhubung perkara itu akan dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Kabinet Mengenai Bencana yang ditubuhkan semalam.

Katanya, penubuhan jawatankuasa ini diumum semasa mesyuarat kabinet semalam bertujuan memantau semua kejadian bencana dalam negara termasuk kemarau.

"Sebarang laporan dan cadangan mengenai situasi di kedua-dua kawasan akan dikemukakan kepada jawatankuasa sebelum sebarang keputusan diambil," katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Tasik Bukit Merah semalam.

Menurut Shahidan jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menjelas lanjut mengenai keadaan di Bukit Merah, Shahidan berkata antara cadangan yang akan diusulkan semasa mesyuarat tersebut adalah pembinaan empangan kedua di Lembah Beriah selain membina telaga tiub untuk tujuan pertanian.

Cadangan lain yang juga akan diperhalusi termasuk membina terowong dari Sungai Perak ke empangan serta mendalamkan Tasik Bukit Merah, katanya.

Dalam pada itu Shahidan meminta setiap kerajaan negeri mengambil berat tentang kawasan tadahan hujan dengan tidak lagi membenarkan sebarang aktiviti pertanian di sekitarnya.

Sementara itu, kata Shahidan, kerajaan telah meluluskan pembinaan tiga telaga tiub di Empangan Timah Tasoh supaya air dapat dibekalkan berterusan kepada penduduk Perlis walaupun pada musim kemarau.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat pemantauan udara kawasan Empangan Timah Tasoh semalam, beliau berkata, timbalan perdana menteri merangkap pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) meluluskan sendiri projek tersebut.

Katanya projek itu bernilai RM600,000 atau RM200,000 satu telaga akan dibina di Sungai Jarum dan Sungai Pelarit manakala satu lagi tempat akan dikenalpasti dalam masa terdekat.

Kedudukan telaga tiub yang akan dibina itu kira-kira satu kilometer dari kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh, katanya.

Beliau berkata telaga tiub yang berdiameter lapan inci itu akan dibina sedalam 100 meter dan berupaya menyedut air bawah tanah untuk disalurkan ke dalam sungai dan seterusnya ke empangan.

Shahidan yang juga timbalan pengerusi Nadma berkata Nadma akan bermesyuarat esok untuk menilai dan mempertimbangkan cadangan dan permohonan oleh daerah dan negeri berhubung fenomena El-Nino.

Bagi perancangan jangka pendek, operasi pembenihan awan (OPA) masih relevan dan akan diteruskan di kawasan-kawasan yang tidak menerima hujan sejak dibuat pada 18 April lepas, katanya.

Sementara itu, sehingga semalam, paras air Empangan Timah Tasoh tidak berubah dan kekal seperti kelmarin iaitu 26.17 meter walaupun hujan turun di beberapa tempat di negeri ini sejak kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail berkata pembenihan awan dilakukan di seluruh negara sejak 12 April lalu.

"Pada setiap kali pembenihan awan dilakukan ia mengambil masa antara satu hingga dua jam dan bila dilakukan di seluruh negara ia menelan kos kira-kira RM100,000," katanya.

Che Gayah berkata El Nino yang melanda sekarang adalah yang paling teruk pernah melanda negara sejak 1997/1998.- Bernama


Tiada ulasan: