KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemandu teksi sekitar Lembah Klang membantah
permohonan Uber menjadi pencelah dalam kes saman difailkan mereka
terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Kira-kira 100 pemandu teksi itu berkumpul di perkarangan Mahkamah Kuala
Lumpur, Jalan Duta pagi tadi bagi meyuarakan bantahan berkenaan.
Kumpulan pemandu teksi itu memfailkan kes saman berhubung perkhidmatan
Uber, Grabcar dan Blacklane yang didakwa beroperasi secara tidak sah.
Peguam, R Kengadharan yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Bertindak
Pemandu Teksi Lembah Klang bagi pihak semua pemandu teksi itu, berkata
bantahan dibuat kerana perkhidmatan Uber tidak berdaftar seperti pemandu
teksi bermeter.
Kengadharan berkata, aktiviti Uber juga tidak diluluskan oleh SPAD dan
tidak mematuhi peruntukan undang-undang, Akta Pengangkutan Jalan 1987
dan Akta 715 Enakmen SPAD 2010.
"Uber memfailkan permohonan pada 4 Mac lalu untuk menjadi pencelah
dengan alasan punca pendapatan mereka terjejas berikutan kes saman ini
dan ia akan menyebabkan lebih ramai pihak tampil memfailkan saman
terhadap mereka.
"Kami pula menyatakan mereka tiada sebarang urusan dalam kes ini kerana
tidak mempunyai kuasa sah di sisi undang-undang dan aktiviti mereka
pula tidak diiktiraf oleh undang-undang," katanya selepas prosiding
pengurusan kes saman itu dalam kamar Timbalan Pendaftar, Lukman Hakim
Abu Bakar Sidik.
Kengadharan berkata, permohonan Uber untuk menjadi pencelah akan
didengar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nor Bee Ariffin pada 31 Mei ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang selaku
plaintif memfailkan saman itu pada 30 Disember lalu, menamakan SPAD
sebagai defendan.
Dalam tuntutannya, plaintif mendakwa operasi Uber, Grabcar dan
Blacklane tidak mendapat kelulusan beroperasi daripada SPAD serta
kenderaan digunakan tidak dilengkapi insurans bagi melindungi
penumpang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan