Jumaat, 29 April 2016

Empat agensi siasat kes polis dera tahanan sampai mati

 
Ahmad Zahid berkata, pindaan undang-undang tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian ini berulang di masa hadapan.


zahid


PUTRAJAYA: Empat agensi kerajaan diarah menyiasat kes tahanan didera dan dipukul sehingga mati oleh polis, ketika berada dalam lokap, pada 21 Mei 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi-agensi berkenaan akan bekerjasama bagi melihat aspek perundangan yang dapat diambil terhadap anggota dan pegawai polis terlibat dalam kematian N Dharmendran.

“Saya telah memperoleh laporan daripada Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan juga Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

“Agensi ini akan melakukan siasatan dengan kerjasama Jabatan Penjara dan Kementerian Kesihatan serta pihak polis untuk melihat aspek-aspek yang boleh diambil tindakan perundangan terhadap mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga berpendapat, pindaan undang-undang tidak perlu dilakukan bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa depan.

“Saya fikir tindakan dalaman dan tindakan perundangan telah dilakukan sebelum ini dan tidak mustahil perundangan sedia ada boleh diaplikasi untuk perkara-perkara berkenaan,” ujar beliau lagi.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab saranan Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam yang meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (JPN) meminda peruntukan Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Keterangan 1950.

Kata Yaacob, ia perlu bagi memasukkan peruntukan anggapan yang meletakkan beban bukti ke atas pegawai dan anggota yang mempunyai hak jagaan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungjawab terhadap sebarang kecederaan atau kematian tahanan sehingga dibuktikan sebaliknya.

Sebelum ini, EAIC mendedahkan kematian Dharmendran berpunca daripada penggunaan kekerasan fizikal oleh polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), pada Mei 2013.

Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik di Hospital Kuala Lumpur mendapati, mayat Dharmendran mempunyai 52 kecederaan dalam bentuk kesan lebam yang dipercayai berpunca daripada hentakan objek atau benda tumpul yang mengakibatkan kehilangan darah dengan banyak sehingga menyebabkan renjatan hipovolemia.

Pakar forensik mengesahkan dawai kokot turut diketip di telinga si mati, semasa Dharmendran masih hidup, dianggarkan tidak lebih dua hingga tiga hari, sebelum tarikh bedah siasat dijalankan.

Tiada ulasan: