Rabu, 27 April 2016

1MDB diisytiharkan ingkar, kerajaan bakal tanggung hutang berbilion ringgit

tony pua

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menanggung semua krisis hutang syarikat pelaburan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas ia diisytiharkan ingkar hari ini, kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

Beliau berkata, pengisytiharan tersebut akan memberi pilihan kepada pemegang-pemegang bon untuk memaksa kerajaan membayar semua hutang bagi pihak 1MDB kepada mereka.

Menurutnya, syarikat milik Kementerian Kewangan itu diisytiharkan ingkar selepas ia gagal membayar faedah AS$50.3 juta kepada pemegang-pemegang bon sebelum ini setelah International Petroleum Investment Corporation (IPIC) enggan lagi menjadi penjamin 1MDB.

“Kegagalan 1MDB untuk membayar faedah sebanyak AS$50.3 juta kepada pemegang bon akan menyebabkan IPIC terpaksa membayar balik AS$ 1.75 bilion bon yang sebelum ini dijaminnya bagi pihak 1MDB.

“Selepas itu, IPIC akan membuat tuntutan ke atas Kementerian Kewangan berdasarkan perjanjian antara penjamin. Jika Najib enggan berbuat demikian, ia bukan sahaja menyebabkan krisis kewangan, tetapi juga krisis diplomatik,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini, tadi.

Beliau berkata, di bawah perjanjian pertukaran hutang-aset antara 1MDB dengan IPIC, ia jelas menyatakan bahawa Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab untuk membayar kembali wang yang dijamin IPIC sebelum ini bagi pihak 1MDB.

Menurutnya, halaman 62 dalam laporan PAC menyatakan, “Dalam Interguarantor Agreement yang ditandatangani antara 1MDB dan IPIC bertarikh 21 Mei 2012, 1MDB dikehendaki mendapatkan Ministry of Finance Inc., untuk melunaskan semua principal dan kos berkaitan yang didahulukan oleh IPIC sekiranya 1MDB gagal melaksanakan obligasinya sebagai penjamin..”

IPIC pada tahun lalu membayar AS$103 juta bagi pihak 1MDB sebagai sebahagian daripada obligasinya selepas menjamin dua bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion pada 2012. Menurut jaminan itu, IPIC bertanggungjawab membayar kembali AS$3.5 bilion serta semua faedah jika 1MDB gagal berbuat demikian.

Walau bagaimanapun, IPIC tidak lagi mahu membayar pokok dan faedah bagi pihak 1MDB setelah mendapati bahawa anak syarikatnya, Aabar Investment PJS yang dijanjikan oleh 1MDB untuk menerima wang sebanyak AS$1.4 bilion, tidak pernah menerima wang tersebut.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara kemudiannya menggesa Pengerusi 1MDB, Arul Kanda Kandasamy membuat laporan polis berhubung penyelewengan yang berlaku dalam syarikat milik kerajaan tersebut.

“Arul baru-baru ini akhirnya mengaku kepada media bahawa berlaku penyelewengan dalam syarikat 1MDB. Kami (pembangkang) sudah sebut tentang perkara itu sejak dulu.

“Jika Arul sebagai Pengerusi 1MDB sendiri percaya wujud salah laku dalam syarikat, beliau perlulah buat laporan polis untuk membuktikan bahawa beliau tidak terlibat dengan penyelewengan tersebut,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: