Khamis, 28 April 2016

Tanpa import, JDT tetap benam Ayeyawady lagi

N Faizal Ghazali    




Beraksi di gelanggang lawan, JDT hanya mempertaruhkan barisan pemain tempatan untuk meneruskan rentak kemenangan mereka apabila membenam Ayeyawady FC 2-1 di Yangon, Myanmar petang tadi.

Pada perlawanan kelima kumpulan H Piala AFC itu, anak didik Mario Gomez dilihat tidak mudah untuk menjinakkan pasukan tuan rumah.

Walaupun pada perlawanan pertama Februari lalu JDT membelasah Ayeyawady dengan jaringan 8-1, kali ini mereka ‎tidak berjaya mengulangi prestasi sama.

Mungkin juga dengan merehatkan pemain import, Mario Gomez mahu menguji jentera tempatan selepas mereka mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati‎ pada aksi sebelum ini.

Tampil lebih defensif, persembahan skuad Harimau Selatan tidak ‎terlalu agresif dan lebih berhati-hati mengatur gerakan mereka.

Malah Ayeyawady dilihat lebih mendominasi permainan dan serangan berbanding pasukan pelawat.
Skuad bimbingan U Kyaw Lwin itu berjaya mendahului kedudukan pada minit ke-27 melalui jaringan Thiha Zaw.

Bagaimanapun, JDT cepat mengatur gerakan balas yang menghasilkan gol menyamaan melalui Amirul Hadi Zainal empat minit kemudian untuk keputusan 1-1 separuh amsa pertama.

Sementara itu, separuh masa kedua bersambung Ayeyawady meneruskan penguasaan bola. Banyak gerakan dan umpanan mereka ke benteng pertahanan JDT, namun gagal diterjemah dengan jaringan.

Beberapa peluang dicipta pasukan tuan rumah berjaya disangkal dengan baik pemain pertahanan JDT dan penjaga gawang, Mohd Izham Tarmizi.

Sebagai juara Piala AFC musim lalu, jentera yang diketuai Amri Yahyah itu juga berjaya mengimbangi lawan serangan balas pantas.

Banyak percubaan antaranya peluang Amirul Hadi pada minit ke-60 dan Junior Eldstar (77'), namun gagal membuahkan hasil.

Sehinggalah sepakan percuma Amri menjadi punca sebelum diledak Safee yang menyudakan rembatan bola muntah Eldstar untuk gol kemenangan mereka di minit ke-87.

Keputusan itu menyaksikan JDT terus gah di tangga teratas kumpulan H dengan kutipan 15 mata dan berbaki satu lagi perlawanan bertemu Bengaluru FC 11 Mei depan.


Tiada ulasan: