Selasa, 26 April 2016

Negara tertunggu-tunggu siapa ganti Zeti

Reuters  




Dengan tinggal hanya empat hari sebelum gabenor Bank Negara menamatkan kontraknya, masih samar-samar tentang penggantinya - dengan kemungkinan tugas-tugas gabenor baru menjadi lebih mencabar jika beban kewangan semakin meruncing dalam dana milik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak masih belum menamakan pengganti Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, yang khidmat selama 16 tahun akan berakhir pada 30 April ini.

Para pelabur dan penganalisa memuji Zeti atas sumbangan beliau dalam melaksanakan dasar-dasar yang tepat dan menaikkan kredibiliti bank pusat itu. Ia sangat penting terutama ketika krisis tahun lalu bermula memalitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Najib, yang mempengerusikan lembaga penasihatnya.

Hari ini, 1MDB berkata, ia tidak membayar AS$50.3 juta kupon atas bon bernilai AS$1.75 bilion, ekoran pertikaian dengan IPIC, mencetuskan tunggakan bersilang atas beberapa bon-bon lainnya.

Standard & Poor berkata, ia tidak melihat kesan penarafan Malaysia buat masa ini, kerana ia menjangka kerajaan akan menjalangkan tanggungjawabnya secara baik ke atas 1MDB.

Hari ini, pengumuman tunggakan menghimpit ringgit, sehingga jatuh ke paras terendah dalam seminggu. Ringgit menjunam 1.1 peratus kepada RM3.9495 bagi setiap dolar.

Pada 2015, ringgit merupakan matawang paling lemah di kalangan negara Asia, menjunam hampir 19 peratus berbanding dolar di sebalik kejatuhan harga komoditi tenaga dan pergolakan politik negara. Tahun ini, ia menjadi matawang yang kukuh, naik sekitar 9 peratus.

Keberterusan digapai

Kepada gabenor baru, pemain pasaran mengharapkan keberterusan dasar dan ketegasan yang pernah ditunjukkan oleh Zeti.

“Kami mahu calon yang boleh meneruskan jejak langkah Dr Zeti,” kata Vaninder Singh, ahli ekonomi Royal Bank of Scotland yang berpangkalan di Singapura.

Bagi beberapa penganalisa, calon yang diharapkan ialah timbalan gabenor, Muhammad Ibrahim.

Calon-calon lain termasuklah Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang kini bertugas sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat (AS).


“Panduan daripada kerajaan ialah mereka akan melantik seseorang yang mesra pasaran,” kata Gan Eng Peng, ketua strategi ekuiti dan penasihat Affin Hwang Capital.

Ang Kok Heng, ketua pegawai pelaburan Phillip Capital Management, berkata, pasaran “tertanya-tanya siapa individu tersebut dan gaya (pengurusan) beliau.”

Pada bulan Mac yang lalu, BNM berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan pentadbiran ke atas 1MDB. Tahun lalu, ia mendesak dakwaan jenayah ke atas firma itu, yang kemudiannya ditolak oleh Peguam Negara.- Reuters

Tiada ulasan: