NUR AIMIDIYANA ZUHER
Ramai
beranggapan, tugas sebagai guru tidak memerlukan seseorang itu bekerja
untuk tempoh yang lama dan tanggungjawab mereka hanyalah untuk mendidik
anak bangsa di sekolah.
Hakikatnya kerjaya sebagai guru kini semakin mencabar, dengan tugas mereka bukan lagi sekadar mengajar.
Antara isu yang dikatakan membelenggu guru hari ini adalah beban
tugas pentadbiran, terpaksa menjalankan tugas "ibu bapa" selain
tanggungjawab hakiki sebagai pendidik, malah terpaksa menggunakan wang
sendiri untuk aktiviti pelajar di luar sekolah seperti menyertai
pertandingan bagi mewakili sekolah.
Semakin banyak persatuan guru dan guru yang meluahkan mengenai
bebanan dan cabaran guru masa kini yang ternyata berbeza dengan persepsi
sebahagian besar masyarakat bahawa guru tidak berhadapan dengan beban
kerja yang banyak.
Bagi golongan guru, mereka merasakan beban tugas yang bertambah
terutama berkaitan kerja pentadbiran memberi tekanan kepada mereka.
Isu ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pada 12 Mac lepas, Ahmad Zahid menegaskan
guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja
pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan
kerohanian.
TERBEBAN
Kerjaya guru dikatakan tidak sesibuk kerjaya lain dengan guru pulang
ke rumah seawal pukul 2 petang, namun hakikatnya tugas guru sekarang
bukanlah seperti yang disangka.
Beban tugas guru sekarang terutama yang berkait dengan pentadbiran
bukan hanya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di
dalam kelas malah menyebabkan persediaan sebelum mengajar tertangguh.
Seorang guru sekolah menengah di Ipoh Perak, Helmi Fazlin Baharim,
40, berkata apabila tugas pentadbiran lebih banyak berbanding tugas
hakiki, ia boleh memberi kesan kepada kualiti pembelajaran dalam kelas.
"Ramai beranggapan tugas guru mudah tetapi hanya mereka bergelar
'guru' sahaja memahami beban tugas dialami oleh guru. Lebih kecewa
apabila sistem baharu secara dalam talian dilaksanakan, contohnya data
pelajar, dua tiga proses perlu dimasukkan sedangkan maklumat itu adalah
sama.
"Sepatutnya sistem yang dibuat perlu diselaraskan. Kadang-kadang bila
ada perubahan dalam sistem pendidikan, contohnya PBS (Pentaksiran
Berasaskan Sekolah) (yang diperkenalkan di sekolah rendah pada 2011),
banyak benda guru kena lihat balik jadi macam sia-sia kerja sebelum
ini," katanya sambil menambah mahu atau tidak itulah cabaran yang perlu
disahut sebagai guru.
Sependapat dengan Helmi, Raudhah Sharan, 30, berkata guru-guru
terpaksa menggunakan masa terluang di sekolah untuk membuat kerja
pentadbiran yang sama dan berulang kali, sehingga kadang-kadang mereka
tidak sempat hendak membuat persiapan mengajar.
"Itu yang bila balik ke rumah kena buat persiapan mengajar sampaikan
tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri. Bukan merungut tetapi guru
juga manusia biasa," katanya yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai
guru.
Guru ekonomi di sekolah menengah di Klang, Selangor itu berkata apa
yang diluahkan oleh para guru bukan bermaksud mempertikaikan
tanggungjawab yang diberikan tetapi mengharapkan penyelesaian terhadap
isu itu.
ISU LAMA
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim
Adnan berkata isu guru dibebankan dengan kerja pentadbiran bukan perkara
baharu malah ia sering menjadi 'keluhan' dalam kalangan warga pendidik
ini.
Walaupun pelbagai kajian dan perbincangan telah dibuat namun beliau
berkata masalah tersebut masih berlaku dan paling dikesalkan ia
seolah-olah tiada jalan penyelesaian.
"Isu ini sudah banyak kali dibangkitkan akan tetapi tiada tindakan
dibuat. Apabila tiada tindakan dibuat ini akan melemahkan semangat
guru-guru untuk lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas hakiki mereka
sebagai guru.
"Apabila gaji guru dinaikkan tidak bermakna mereka harus melakukan
kerja-kerja pentadbiran yang boleh membebankan guru secara mental dan
fizikal," katanya.
Dalam pada itu, Hashim turut menyentuh mengenai sikap segelintir ibu
bapa yang meletakkan 'tanggungjawab' ibu bapa sepenuhnya kepada
guru-guru malah ada mempertikaikan kemampuan guru dalam mendidik anak
mereka jika anak mereka gagal.
"Guru kini sudah tidak mempunyai kuasa (penuh) untuk mendidik
anak-anak mereka kerana jika 'tersentuh' sedikit sudah pasti ibu bapa
akan melenting dan memarahi guru," katanya
Sehubungan itu, beliau berkata adalah lebih baik jika semua pihak
terutama ibu bapa dapat memahami tugas guru untuk mengajar dan
membimbing anak-anak mereka ke arah menjadi bangsa yang maju serta
berdaya saing.
BUDAYA KOLABORATIF
Bagi Prof Madya Muhammad Faizal A.Ghani dari Jabatan Pengurusan,
Perancangan dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya
(UM), beban tugas yang tinggi boleh menyebabkan golongan guru kurang
bermotivasi untuk mencapai prestasi cemerlang.
Katanya beban tugas guru boleh mengganggu komitmen mereka untuk
mengajar tetapi dalam hal ini guru juga harus tahu cara untuk menangani
tekanan dan beban tugas itu.
" Melalui kajian yang dibuat mendapati hal tersebut boleh mengganggu
tahap kompetensi dan kehidupan berkeluarga guru. Misalnya program
perkembangan profesionalisme guru (latihan profesional), kebanyakkan
program diadakan pada hujung minggu dan ini menyebabkan guru tiada masa
bersama keluarga," katanya.
Muhammad Faizal berkata dalam usaha meningkatkan lagi mutu
pendidikan, budaya kolaboratif melibatkan kerjasama pelbagai pihak
sangat penting.
Katanya ini bagi memastikan proses P&P di peringkat sekolah
berjalan dengan lancar sekaligus dapat memantapkan profesionalisme guru
di negara ini.
"Kerjasama itu melibatkan pihak berkepentingan dalam pendidikan
seperti kerajaan, sekolah dan guru selain sokongan ibu bapa," katanya.
Beliau berkata pengetua dan guru besar memainkan peranan penting
untuk memastikan persekitaran sekolah lebih kondusif termasuk kerjasama
yang baik antara pengetua atau guru besar dengan guru.
"Amat penting bagi pengetua untuk memahami dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh guru-guru.
"Masyarakat juga boleh memainkan peranan membantu pihak sekolah untuk
meningkatkan pembelajaran murid-murid. Misalnya, ibu bapa berkepakaran
dalam sesuatu bidang memberikan sokongan moral dalam aspek kepakaran dan
tenaga. Dengan ada kerjasama tersebut sistem pendidikan negara akan
lebih berkualiti," katanya.
PERLUASKAN PEMBANTU GURU
Ditanya mengenai inisiatif penempatan pembantu guru bagi meringankan
beban guru yang kini pada peringkat rintis, Muhammad Faizal berkata
sewajarnya program ini perlu diperluaskan di seluruh negara untuk
membentuk pendidikan berkualiti yang menjadi agenda penting negara maju.
Beliau berkata negara maju seperti United Kingdom dan Amerika
Syarikat sentiasa mengutamakan kebajikan dan memberi sokongan kepada
guru kerana bidang pendidikan adalah penyumbang kepada pembangunan insan
dan negara.
"Jika di Amerika Syarikat tugas guru hanya mengajar...kerja-kerja
pentadbiran dilakukan oleh pembantu guru misalnya mengambil rekod
kedatangan pelajar, mengutip bayaran yuran sekolah dan mencatat minit
mesyuarat," katanya.
Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan
berkata langkah menempatkan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah
Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG), dilihat sangat membantu
dalam meringankan beban guru secara komprehensif.
Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu
Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer
Gred FT17 (JK FT17) ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban
tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu
Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras
Bestari (GPB).
Setakat ini, hanya Melaka dan Kedah terlibat dengan projek rintis itu.BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan