MALAYSIA DATELINE
Pas
mendesak agar Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Zeti Akhtar
Aziz diberikan lanjutan kontrak bagi memenuhi hasratnya melihat isu 1MDB
diselesaikan sebelum beliau bersara jika tiada pengganti yang sesuai
belum dapat disepakati oleh kerajaan.
Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat
masih menanti jaminan Perdana Menteri bahawa Bank Negara akan bebas dari
campurtangan ahli politik.
"Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.
"Peringatan Tan Sri Zeti bahawa BNM perlu kekal sebagai badan bebas
daripada sebarang pengaruh politik perlu diambil serius. Kerajaan wajib
melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM lebih-lebih
lagi tangan-tangan ghaib yang cuba menutup isu 1MDB," ujarnya dalam satu
kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan terbaru terhadap 1MDB, kehilangan RM14 bilion
milik 1MDB yang dibayar kepada Aabar Investments PJS Limited, sebuah
syarikat didaftarkan di British Virgin Islands namun dinafikan
pertaliannya oleh International Petroleum Investment Company atau IPIC.
Justeru ujarnya lagi, rakyat masih tertunggu-tunggu siapakah yang bakal menggantikan Tan Sri Dr Zeti.
"Bulan April sudah hampir penghujungnya, nampaknya hasrat Tan Sri
Zeti untuk mengambil ‘tindakan pentadbiran dan penguatkuasaan yang
sesuai’ terhadap 1MDB kerana gagal mengemukakan bukti berkenaan wang
sejumlah USD$1.83 bilion yang berada di luar negara semakin malap atau
tiada sebarang bunyi kedengaran daripada Peguam Negara.
"Bukan itu sahaja, hasrat beliau untuk melihat isu 1MDB selesai sebelum bersara nampaknya susah kesampaian.
"Pengganti beliau kelak dijangka akan terus memikul tugas menyelesaikan masalah 1MDB.
"Oleh itu, pengganti beliau mestilah dari kalangan-kalangan yang
berwibawa, bebas dari pengaruh politik, berani, tegas, adil, berpihak
pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti," ujarnya.
Pas mengulangi pendirian parti itu sebelum ini bahawa mereka yang
pernah melibatkan diri di dalam kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai calon
gabenor BNM yang baru.
Pas berpandangan BNM adalah satu-satunya institusi yang masih
dipercayai rakyat Malaysia, perlu bebas daripada sebarang pengaruh
politik.
Sebagai rekod pada 23 Febuari lalu Zeti berharap siasatan terhadap
1MDB dapat diselesaikan sebelum beliau bersara pada April. Tumpuannya
terarah kepada menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB sebelum menyerahkan
tugasan sebagai gabenor bank pusat itu kepada penggantinya.
Pada Mac lalu tersebar beberapa nama calon yang bakal mengantikan
beliau. Calon yang disebut-sebut adalah tiga Timbalan Gabenor Bank
Negara iaitu Datuk Muhammad Ibrahim, Datuk Nor Shamsiah Yunus dan Dr.
Sukudhev Singh.
Manakala tiga calon luar yang disebut adalah Menteri Di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha
Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Siregar Abdullah dan Duta Malaysia ke
Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Husin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan