KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata beliau menghormati keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad
untuk keluar daripada Umno, namun berharap bekas presiden parti itu
mempertimbangkan semula keputusannya itu.
Ahmad Zahid, naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas sebagai
timbalan presiden Umno itu yakin bekas perdana menteri itu masih
sayangkan Umno dan memahami bahawa seorang presiden Umno memerlukan
sokongan daripada ahli-ahlinya.
"Saya yakin sebagai salah seorang perdana menteri yang terlalu lama
memerintah beliau (Mahathir) tentunya maklum bahawa adanya beliau
sebagai perdana menteri disebabkan sokongan daripada ahli Umno," katanya
kepada pemberita di sini, selepas merasmikan majlis penyampaian
Anugerah Dinar Emas 2016 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian
India Muslim Malaysia (Mimcoin) di ibu negara malam tadi.
Dr Mahathir, 90, semalam mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada
UMNO selepas pernah berbuat demikian pada 19 Mei 2008 ketika zaman
kepimpinan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Saya menghormati secara peribadi keputusan dan segala yang telah
diputuskan Tun Dr Mahathir. Namun saya fikir bahawa beliau akan tentunya
pertimbangkan semula keputusan itu bila tiba masanya kelak," kata Ahmad
Zahid.
Dr Mahathir dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana,
Putrajaya hari ini membuat pengumuman beliau dan isterinya Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali keluar daripada Umno.
Selepas bertindak keluar daripada Umno pada 2008, Dr Mahathir kembali
menyertai Umno pada 4 April, 2009 selepas Datuk Seri Najib Razak
menerajui kepimpinan negara dan parti.
Dr Mahathir juga pernah dipecat keanggotaannya dalam Umno pada 26
September 1969 atas sebab-sebab disiplin semasa pentadbiran Tunku Abdul
Rahman Putra al-Haj dan kembali ke pangkuan Umno pada 7 Mac 1972 di era
pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein.
Ditanya tindakan Tun Dr Mahathir itu akan memberi kesan kepada parti,
Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Umno perlu kukuh bersatu
untuk terus mendapat sokongan rakyat.
No comments:
Post a Comment