SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Seiring dengan ungkapan 'tidak tahu' Khairy Jamaluddin berhubung tindakan pegawai kanan bawah kementeriannya yang disiasat SPRM ekoran dakwaan menggelapkan wang berjumlah RM100 juta, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan perkataan yang sama ketika ditanya sama ada jam tangan dibenarkan atau tidak untuk dibawa masuk ke dewan peperiksaan
Keadaan pelik ini hakikatnya tidaklah terlalu pelik apabila Datuk Seri Najib Razak awal-awal lagi telah mempelopori tagline ini apabila ditanya sama ada beliau tahu atau tidak tahu kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadinya.
Budaya 'tidak tahu' ini jika ditinjau mempunyai maksud yang pelbagai dengan kesedaran niat yang rencam:
1)
Benar-benar tidak tahu - menunjukkan gagalnya keupayaan kepimpinan atau
kemampuan menguasai sistem urustadbir satu-satu organisasi secara
menyeluruh. Keadaan ini jika benar, amatlah malang bagi sebuah negara
yang mempunyai kementerian yang banyak dan saiz kabinet yang amat besar.
Bila-bila masa boleh diambil kesempatan oleh sesiapa pun dek kebodohan atau kecuaian menteri yang dilantik.
2)
Tahu, tapi belum bersedia untuk menjawab - menunjukkan si pemain
politik masih tahu apa yang berlaku namun belum dapat merumuskan jawapan
yang sesuai kepada masyarakat awam. Boleh jadi otaknya masih ligat
berpusing mencari jawapan-jawapan lanjutan yang boleh diterima (baca:
dikelentong) pengundi-pengundinya.
3) Tahu dan
memang berniat untuk menyembunyikan - menunjukkan si pemain politik
benar-benar nekad untuk menyeleweng dan telah siap skrip-skrip yang
perlu dipaparkan ketika disoal masyarakat awam. Kebiasaannya pada
kemungkinan ini, pemain politik benar-benar bersedia dan telah
menyediakan pilihan-pilihan langkah lanjutan sekiranya perlu untuk
dikambinghitamkan.
Bertelur dari masyarakat
Mudahnya,
apa pun niat dan tujuan jawapan 'tidak tahu' ini, konotasinya
semestinya buruk dan langsung tiada kesan positif sama ada kepada
penutur mahupun amanah yang dijaga oleh si penutur.
Sindrom
'tidak tahu' ini sama ada sedar atau tidak jauh lebih buruk daripada
'denial syndrome' kerana sekurang-kurangnya orang ramai tidak terlalu
sukar untuk menebak maksud si pengamal budaya penafian. Sama ada benar
sebagaimana yang dinafi atau sebaliknya.
Lantas
apa yang boleh diharapkan daripada budaya tidak tahu ini? Pertama
sekali budaya ini lahir kerana masyarakat membenarkannya untuk
'membiak'. Budaya ini tidak akan bertelur jika masyarakat awal-awal lagi
menolak mana-mana pemimpin yang serba tidak tahu.
Budaya
mengangkat pemimpin yang bodoh atau pemimpin yang hanya cerdik untuk
menipu berakar daripada masyarakat yang tidak betul-betul serius memilih
pemimpin.
Kedua, kerosakan pandang alam
(worldview) terhadap pentadbiran negara menyebabkan budaya ini
berjangkit dengan cepat. Seseorang yang berada di atas sering dilihat
sebagai bos dan masyarakat bawahan dianggap sebagai kuli.
Hasilnya
selama bertahun-tahun kita menyemai budaya bahawa segalanya dari atas
betul sehinggalah sampai ke suatu peringkat mereka yang di atas gagal
memberikan jawapan yang baik dan hanya mampu berkata tidak tahu dan kita
di bawah hanya boleh terpinga-pinga, kalau pun tidak terlalu bodoh
untuk mempercayainya seratus peratus.
Ketiga,
gagalnya masyarakat untuk menebas budaya ini lebih awal sebaik sahaja
kita sedari. Kita cukup yakin dan percaya, sepanjang 58 tahun Barisan
Nasional memerintah, pasti ada pemimpin-pemimpin yang alang-alang dungu
dan tidak tahu apa pun yang berlaku di bawah kementerian atau jabatan di
bawah kementeriannya.
Maka sepatutnya daripada
awal lagi kita sudah mendesak untuk mana-mana parti pemerintah yang
mahu berkuasa, menyediakan bakat-bakat kepimpinan negara yang cocok
dengan jabatan-jabatan kerajaan. Kalau pun tidak lebih awal,
setidak-tidaknya kita sudah boleh merencana tindakan tuntas ketika Najib
Razak mengungkapkan jawapan celaka ini dalam isu aliran kewangan ke
dalam akaun peribadi beliau.
Malapetaka merosakkan
Rakyat
Malaysia yang amat baik dan santun telah menjadikan budaya 'tidak tahu'
ini sebagai suatu malapetaka yang merosakkan. Kita 'ok' dengan
orang-orang tua yang dilantik jadi Pengerusi Surau atau Pengerusi Masjid
tetapi batang hidung mereka langsung tidak pernah nampak di surau atau
masjid.
Munculnya hanya di mesyuarat agung tahunan yang akan memilihnya sekali lagi sebagai kepala organisasi.
Kita
'ok' dengan memilih seorang wakil rakyat yang kaya dengan hasil
pendapatan ragu sekalipun kita tahu otak serongnya langsung tidak cocok
untuk menyumbang dalam DUN atau Parlimen semata-mata berfikir esok lusa
wakil rakyat ini boleh di'pow' untuk turap jalan atau baiki jambatan
yang senget.
Jika budaya ini gagal dibendung
dalam gerakan rakyat yang benar-benar bersifat rakyat (bukan
mengatasnamakan 'rakyat' semata-mata), ia hampir pasti membiakkan satu
budaya baru di masa depan - TIDAK MENGAPA.
"Tidak
mengapa, masalah RM2.6 billion ini kecil sahaja". "Tidak mengapa,
apalah sangat RM100 juta yang hilang jika mahu dibanding dengan
pendapatan negara yang beratus billion".
"Tidak
mengapa, hutang negara masih rendah walaupun telah melepasi 55 peratus
KDNK negara". Tidak mengapa itu, tidak mengapa ini. Ketika sampai ke
peringkat ini, negara benar-benar telah rosak teruk.
Kita hanya ada satu negara
Mungkin
anak muda pada fasa ini perlu fokus untuk merubah negara secara
berperingkat dan tahu di mana harus dikerahkan usaha. Membawa kembali
anak-anak muda berpesta ke jalan raya merubah budaya tatakelola yang
korup memerlukan usaha di atas seratus peratus.
Makhluk-makhluk
serba 'tidak tahu' ini adalah perlambangan kepimpinan yang culas dan
cuai. Dengan sistem pentadbiran yang rosak, ditambah kepimpinan
sebegini, Malaysia seakan-akan memilih untuk ke lembah gelap.
Pilihan
yang kita ada ketika ini mungkin tidak banyak. Berjuang dan susah
sekarang. Atau selesa dan jahanam di kemudian hari. Generasi akan datang
menuntut generasi sekarang menentukan sikap dan tindakan.
Sejauh
mana keberanian generasi hari ini bertindak, bakal menentukan bentuk
yang bagaimana negara ini diwariskan. Kita hanya ada satu negara. Negara
inilah tempat untuk kita lahir, berjuang dan mati.
* SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.
No comments:
Post a Comment