Tuesday, March 1, 2016

Rakyat sanggup kerja sektor 3D jika gaji berpatutan

3d work

Oleh Syazana Hasanudin



BUKIT MERTAJAM: Rakyat Malaysia tidak memilih pekerjaan, bahkan sanggup bekerja dalam bidang pekerjaan 3D – kotor, sukar dan berbahaya – jika mereka dibayar dengan gaji berpatutan seiring dengan kos sara hidup yang semakin membebankan.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Satees Muniandy, berkata majoriti rakyat tidak mahu bekerja dalam sektor berkenaan pada masa ini kerana pendapatan diterima tidak setimpal dengan tahap kesukaran pekerjaan itu.

“Rakyat negara ini memilih pekerjaan bukan berdasarkan sektor, tetapi jumlah gaji diterima – sama ada mampu menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat akibat dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional.

“Alasan BN bahawa 1.5 juta pekerja asing perlu dibawa masuk bagi melakukan pekerjaan 3D hanyalah cara melepaskan diri dari menyelesaikan masalah pendapatan rendah dan sara hidup tinggi di kalangan rakyat,” katanya kepada Roketkini. 

Beliau mengulas dakwaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebelum ini bahawa golongan belia terlalu memilih pekerjaan sehingga menyebabkan kerajaan ‘terpaksa’ membawa masuk 1.5 juta warga Bangladesh untuk memenuhi sektor 3D.

Tambahnya, tuduhan kedua-dua Menteri itu bercanggah dengan situasi di Pulau Pinang apabila sektor 3D dipenuhi dengan rakyat tempatan berikutan gaji diterima setimpal dengan pekerjaan dilakukan mereka.

“Sejak MPSP menghentikan penyumberan luar pada 2014, hampir tiga ribu rakyat Malaysia kini mendapat peluang pekerjaan dalam sektor 3D dengan kami.

“Malah, setiap kali MPSP mengadakan sesi temuduga, ribuan calon hadir bagi merebut peluang pekerjaan. Ia jelas membuktikan bahawa rakyat tidak memilih pekerjaan, asalkan dibayar dengan gaji setimpal,” katanya.

Beliau berkata, seorang Pembantu Awam Gred H11 di MPSP menerima pendapatan sebanyak RM1,545 sebulan termasuk elaun, bahkan mampu mencecah RM2,500 sebulan jika rajin bekerja lebih masa.

“Daripada sibuk menyalahkan golongan belia, lebih baik kerajaan berusaha menyelesaikan masalah pendapatan rendah yang semakin membebankan rakyat hari ini,” katanya. – Roketkini.com


No comments: