SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (Proton) memasuki semula pasaran Chile
selepas eksport terakhirnya ke negara itu membabitkan model Proton Wira
pada 1998.
Bagi pasaran Chile, sebanyak 50 unit kumpulan pertama Proton Preve
pemanduan sebelah kiri (LHD) akan dieksport ke San Atonio, Chile
daripada 1,000 kereta yang akan dijual di negara berkenaan tahun ini.
Kereta Proton akan dijual menerusi anak syarikat Kaufman Group, Andes
Motor sebagai pengedar bagi Chile yang menandatangani Perjanjian
Pengedar bersama Proton pada 1 Julai tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata
rancangan eksport semula ke Chile bermula apabila Malaysia memeterai
Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan negara itu pada Februari 2012.
"PROTON menikmati pengecualian duti import sebanyak enam peratus
menerusi inisiatif FTA Malaysia-Chile. Ia memberi peluang kepada kami
untuk mengenal pasti pasaran berpotensi bagi kenderaan LHD," katanya
pada majlis perasmian pelepasan kumpulan pertama Proton Preve ke Chile
di sini, sebentar tadi.
Ia disempurnakan Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.
No comments:
Post a Comment