Friday, March 25, 2016

Pengajaran dari S'pura berhubung pendaftaran media di talian

 


Kerajaan Malaysia sekali lagi berhasrat untuk mewajibkan penulis blog dan portal berita mendaftar dengan kerajaan, sekaligus mencetus kebimbangan tentang kemungkinan sekatan dikenakan terhadap media dalam talian.

Ini telah mendorong perbandingan dibuat dengan model Singapura berkenaan peraturan media dalam talian, di mana pelesenan wajib telah dikuatkuasakan terhadap media dalam talian sejak 1 Jun 2013.

Di republik itu, industri media dikawal selia oleh Lembaga Pembangunan Media Singapura (MDA), yang merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab kepada kabinet.

MDA mengawal selia pelbagai media di republik itu, termasuk tetapi tidak terhad kepada surat khabar, radio, televisyen, filem dan sudah tentunya, kandungan dalam talian.

Sebagai sebahagian daripada dasar-dasar yang mengawal selia media di talian, MDA mengeluarkan 'Lesen Kelas Penyedia Kandungan dan Perkhidmatan Internet'. Proses ini sebahagian besarnya secara automatik dan tidak memerlukan pendaftaran.

Walau bagaimanapun, sesetengah kumpulan dikehendaki mendaftar dan dan dikenakan syarat-syarat tambahan ke atas kandungan dalam talian mereka.

Ini termasuk parti-parti politik di Singapura, akhbar di talian dan 'penjual semula perkhidmatan Internet' seperti kafe internet dan perpustakaan.

Kumpulan atau syarikat yang membekalkan sebarang rancangan mengenai isu-isu politik atau agama di Singapura, juga dikehendaki mendaftar dan begitu juga dengan individu yang dianggap oleh MDA menyediakan kandungan tersebut.

Kumpulan-kumpulan itu dikehendaki mendaftar dalam tempoh 14 hari operasi bermula, dan proses ini memerlukan bayaran bon prestasi S50,000 (RM147,211) kepada MDA di samping mengemukakan butiran peribadi pengarah dan kakitangan editorial.

Skim ini merangkumi laman web yang melaporkan mengenai hal ehwal semasa Singapura sekurang-kurangnya purata sekali seminggu dalam tempoh dua minggu, dan menerima purata 50,000 lawatan (visits) sebulan daripada alamat protokol unik Internet Singapura.

Semasa skim pendaftaran dimulakan, Wall Street Journal memetik MDA sebagai berkata skim itu tidak bertujuan untuk mengetatkan kawalan ke atas kebebasan Internet, atau mengenakan obligasi yang membebankan pemegang lesen.

Ia hanya bertujuan untuk menyediakan rangka kerja kawal selia yang lebih konsisten, seperti peraturan mengawal selia media di talian sama seperti dengan peraturan yang mengawal selia platform berita tradisional, katanya.

Dalam laporan 2014, NGO Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat mengambil perhatian dan bimbang terhadap perkembangan itu tetapi berkata ancaman terbesar kepada kebebasan media di negara itu sebaliknya datangnya daripada penapisan sendiri.

Katanya, penapisan sendiri itu didorong sebahagianya oleh ketakutan terhadap penggunaan ketat undang-undang mengenai fitnah, menghina mahkamah, dan lain-lainnya.

Eksekutif syarikat besar media juga, kata laporan itu, mungkin takut kehilangan naungan (parti pemerintah).

Laman web The Real Singapura (TRS) menjadi mangsa pertama skim pendaftaran itu pada bulan Mei tahun lepas.

MDA menuduh TRS menerbitkan bahan dilarang, tetapi tanpa menyatakan apa kandungan yang dianggap menyinggung perasaan, selain daripada mengatakan beberapa artikel telah mencetuskan hasutan sentimen Xenophobia terhadap pekerja asing.

TRS telah diarahkan menghentikan akses kepada laman web itu, yang nampaknya telah dipatuhi. Dua daripada editornya juga didakwa atas tuduhan menghasut, manakala lesennya telah digantung.

Singapura berada di kedudukan 148 daripada 199 negara dalam laporan Freedom House 2015 mengenai kebebasan akhbar, dan di tangga 153 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2015 NGO Reporters Without Borders (RSF).

Malaysia berada di kedudukan yang sedikit lebih baik - ditangga 142 - dalam laporan Freedom House, dan 147 bagi laporan RSF itu.

No comments: