SHAH ALAM: Beberapa pemimpin Umno memuji tindakan bekas Timbalan
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengambil keputusan untuk
terus kekal dalam parti walaupun digantung daripada jawatan itu sehingga
pemilihan parti akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, keputusan
Muhyiddin itu sekaligus menyanggah persepsi orang ramai terhadap imej
kerajaan dan parti yang menjangkakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu
akan keluar parti.
"Ini akan memberikan satu persepsi yang sangat baik terutama sekali
bagi saya ahli majlis tertinggi yang muda dan generasi muda yang lain,"
katanya dalam satu temubual.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Muhyiddin
untuk terus kekal bersama parti pada sidang medianya pagi tadi.
Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun menegaskan akan merujuk
penggantungannya itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk mengesahkan
sama ada keputusan itu mengikut perlembagaan parti.
Susulan tindakan Muhyiddin itu, Irmohizam berkata Majlis Tertinggi (MT)
Umno sudah membuat pertimbangan terbaik untuk menggantung beliau
daripada jawatan Timbalan Presiden.
"Kita mempunyai Perlembagaan, kita mempunyai etika, mempunyai
seksyen-seksyen yang mana ianya menjadi teras dan disiplin bagi setiap
ahli tidak kiralah samada pemimpin atau pun bawahan.
"Apabila beliau (Muhyiddin) menyatakan kita tidak memperhalusi setiap
kenyataan seksyen yang ada, sebenarnya kita melihat semua peringkat
seksyen demi seksyen dan artikel sebagainya.
"Yang paling penting sekali, majlis tertinggi mengambil keputusan
menggantung jawatan timbalan presiden, dan bukan ahli parti atau pun
Ketua Umno Bahagian," katanya.
Muhyiddin tak terpengaruh dengan Tun M
Senada dengan Irmohizam adalah Ketua UMNO Bahagian Selayang Datuk Abdul Shukor Idrus yang turut memuji tindakan Muhyiddin itu.
Katanya, Muhyiddin dilihat tidak mudah terpengaruh dengan bekas
Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil keputusan untuk
keluar parti.
"Bagi saya tindakan beliau untuk kekal dalam parti adalah satu tindakan
yang bijak, pertama barangkali beliau telah menyedari Umno telah banyak
berjasa kepada bangsa, negara dan juga kepada diri beliau sendiri,"
katanya.
Syukur bagaimanapun berharap Muhyiddin mempertimbangkan untuk merujuk keputusan MT Umno ke ROS.
"Saya rasa beliau faham, kita di dalam parti, kita tidak boleh bawa perkara ini kepada ROS dan sebagainya.
"Beliau harus meneliti semula tindak-tanduk beliau sebelum ini, adakah
melanggar tatacara atau pun persempadanan beliau sebagai Timbalan
Presiden di dalam Perlembagaan.
"Di dalam Perlembagaan telah termaktub tugas Timbalan Presiden itu,
maka itu, beliau patut boleh melihat semula di dalam tatacara
Perlembagaan, peranan dan juga tindakan yang boleh beliau lakukan, kalau
peranannya dilihat bercanggah, maka itu beliau perlu redha dengan
keputusan penggantungan beliau," ujarnya.
Syukur turut mengingatkan Muhyiddin mengenai kritikannya terhadap
pentadbiran Najib sebelum ini yang tidak menggunakan saluran yang betul.
"Saya kira beliau tahu apa yang beliau lakukan, saya masih ingat lagi
yang terang-terang beliau lakukan semasa sebelum persidangan Agung Umno,
beliau melakukan perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman.
"Apakah perhimpunan yang beliau lakukan itu berpadanan dengan jawatan
beliau sebagai Timbalan Presiden atau pun melanggar sempadan daripada
jawatan yang disandangnya," katanya.
Muhyiddin menyifatkan penggantungan sebagai timbalan presiden parti itu sebagai proses gopoh dan tidak adil.
Muhyiddin menjelaskan beliau tidak dimaklumkan mesyuarat MT minggu lalu mempunyai agenda khas membicarakan kes beliau.
Beliau juga tidak menerima sebarang notis mengenai tuduhan-tuduhan di hadapannya bagi membela dirinya.
No comments:
Post a Comment