Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meluahkan rasa kekecewaan parti itu dengan sikap Ketua Menteri Lim Guan Eng menamatkan perkhidmatan ahli parti itu yang dilantik di bawah pentadbiran DAP Pulau Pinang.
“PAS secara peribadi kita rasa kecewa dengan apa yang berlaku di Pulau Pinang. Kita kecewa, terutama sekali apabila kita hadapi pilihan raya bersama dalam Pakatan Rakyat tetapi apabila kita menang dan orang PAS diterajang keluar, ditamatkan perkhidmatan, dipecat dari jawatan sedia ada,” kata Tuan Ibrahim dalam temubual bersama Malaysiakini dan Beritadaily.
Jun lalu, kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai DAP mengesahkan memecat semua ahli PAS yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) negeri itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnor sebelum ini dilapor sebagai berkata, pemecatan drastik itu meliputi semua ahli PAS sebagai anggota JKKK di daerah Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga bekas ADUN Jengka itu berkata tindakan setiausaha agung DAP itu jelas tidak mencerminkan kepimpinan masa depan negara.
“Saya fikir ia tidak mencerminkan kepimpinan masa depan negara. Walaupun itu menjadi hak Lim Guan Eng tetapi dari segi bila kita hadapi bersama, orang PAS pun tetap ada hak walaupun hanya satu kerusi,” kesal Tuan Ibrahim.
Malah, ketika diminta mengulas apakah tindakan Lim itu, memperlihatkan DAP mempergunakan PAS, Tuan Ibrahim mengakuinya.
“Jentera PAS buat kerja dan tolong menangkan kerusi lain. Orang tengok begitu (DAP mempergunakan PAS),” ujar Tuan Ibrahim.
“DAP bertemu dengan PAS bila berdepan waktu kritikal seperti tahun 1998 bila mana mereka mahu menggunakan logo PAS dalam pilihan raya dan PAS bersedia membantu,” kata Tuan Ibrahim mengimbau perkara itu.
Atas semangat setiakawan Pakatan Rakyat PAS membenarkan DAP menggunakan logo parti Islam itu untuk bertanding dalam pilihan raya umum 2013 selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membekukan jawatankuasa pusat parti itu.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak menyimpan dendam sebaliknya menasihatkan Lim agar tidak terlalu angkuh.
“PAS tidak simpan dendam cuma kita harapkan kita kena cerminkan satu kepimpinan masa depan negera yang rakyat nak tengok.
“Kita baru menang sepenggal. Kalau kita angkuh macam itu hanya apabila kita sudah menang satu negeri, adakah ini yang kita nak orang lihat?" tanya Tuan Ibrahim.
Malah, Lim diminta mengikut jejak langkah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.
“Saya ingat pendekatan yang diambil oleh (menteri besar) Ahmad Yaakob di Kelantan jauh lebih baik di mana orang yang tidak menang pun kita lantik untuk jadi penghulu. Masyarakat India, tidak ada kerusi pun di Kelantan tetapi kita lantik dia penghulu atau pemukim.
“Bagi PAS, kita kena jadi pemimpin yang berjiwa besar tetapi kalau asyik menindas orang lain, pecat apa semua, ia membetulkan segala persepsi rakyat kepada beliau,” tambah Tuan Ibrahim.
Malah, kata beliau, apa yang berlaku kepada Pakatan Rakyat sebelum ini pun bukan berpunca dari PAS.
Tuan Ibrahim berkata ini kerana PAS sentiasa berpegang kepada pesanan almarhum mursyidul amnya di mana Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan sekiranya berlaku perpecahan, biarlah ia datang dari pihak lain dan bukan parti Islam itu.
“Datuk Nik Aziz pernah berpesan kalau berlaku perpecahan, jangan dari PAS, biar dari pihak lain. Kalau mereka dah buat keputusan kita terima tetapi bukan dari PAS bahkan apa yang berlaku sekarang ini di mana kita berpecah dengan Pakatan Rakyat, bukan daripada PAS.
“Ia tidak bermula dari PAS dan bermula dari pihak lain,” tambah Tuan Ibrahim.
PAS bersama PKR dan DAP membentuk Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 lalu namun kerjasama politik berkenaan berkubur apabila hubungan antara parti mengalami masalah.
Antara lain ia berpunca daripada krisis dalaman PAS sendiri apabila kumpulan konservatif dilihat melakukan 'pembersihan' terhadap golongan progresif parti itu.
No comments:
Post a Comment