Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, rakyat tidak reda jika penyelewengan ini terus dilakukan dan pada masa yang lama lebih ramai rakyat yang menderita akibat tanggungan kos sara diri yang terlalu tinggi.
“Kes rasuah RM100 juta yang dibongkarkan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini telah mencemar integriti penjawat awam. Bagaimana jumlah yang terlalu besar terlepas daripada pemeriksaan pegawai audit kementerian dan Jabatan Audit Negara?
[ARTIKEL BERKAITAN: Songlap RM100 j: KJ perlu bertanggungjawab]
“Isu ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan perbelanjaan keseluruhan dana awam yang diperuntukkan kepada kerajaan setiap tahun,” katanya.
Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penyalahgunaan dana RM100 juta adalah pegawai di bawah kementeriannya.
Menurut Nasrudin, isu tersebut kemuncak kepada ketirisan dan penyelewengan dana awam di negara ini.
“Hampir setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan salah guna dana awam sama ada perbelanjaan yang tidak relevan, ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan dan perjalanan projek yang tidak mengikut spesifikasi. Namun, semua pembongkaran korupsi tersebut masih tidak mampu mengekang kezaliman yang berlaku.
“Adakah kita mahu ia terus berulang? Jika laporan ketua audit ini menjadi indikator terhadap parameter korupsi di sektor kerajaan, ia hanya meliputi 5 peratus daripada keseluruhan transaksi dan dibuat secara rawak.
“Oleh itu, bagaimana untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, rasuah, korupsi dan kronisme tidak akan berlaku lagi? Rakyat menuntut agar satu reformasi dilakukan secara serius supaya kezaliman ini mesti dihentikan,” katanya
No comments:
Post a Comment