Terdapat kekeliruan berhubung bayaran levi ke atas pekerja asing yang dikumpulkan oleh kerajaan berikutan Kementerian Dalam Negeri memberikan dua angka yang jauh berbeza dalam masa selang beberapa hari.
Menurut jawapan bertulis Parlimen kepada soalan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong yang bertarikh 21 Mac, Kementerian Dalam Negeri berkata jumlah levi yang dikutip daripada pekerja asing adalah RM254.6 juta pada tahun lalu.
Bagaimanapun, dalam satu lagi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud yang bertarikh 17 Mac, Kementerian Dalam Negeri berkata jumlah levi yang dikutipnya pada tahun lalu berjumlah RM2.254 bilion.
Percanggahan dalam kedua-dua jawapan itu juga berlaku bagi perangkaan bagi tahun-tahun sebelumnya bermula dari tahun 2011.
Menurut jawapan bertulis terakhir, levi ia dikutip adalah RM734.2 juta bagi 2014, RM446.2 juta untuk 2013, RM799.0 juta bagi tahun 2012 dan RM348.7 juta bagi 2011.
Bagaimanapun, jawapan bertulis yang diberikan empat hari lalu berkata, kerajaan memungut levi berjumlah RM2.638 bilion pada 2014, RM2.423 bilion pada 2013, RM2.618 bilion pada 2012 dan RM1.808 bilion pada tahun 2011.
Jawapan bertulis bertarikh 21 Mac pula menyatakan levi yang dikutip pada tahun 2010 adalah RM461.4 juta.
Tiada angka yang disediakan untuk tahun 2010 dalam jawapan bertulis yang lebih awal.
Menurut jawapan bertulis terkini, levi bagi setiap pekerja asing dalam sektor perkhidmatan adalah pada RM1,850 diikuti RM1,250 untuk sektor pembuatan dan pembinaan manakala RM590 bagi sektor perladangan.
Bagi sektor pertanian dan pembantu rumah, kadar levi yang dikenakan adalah masing-masing, RM410.
No comments:
Post a Comment