Thursday, March 24, 2016

Dua MP DAP diperintah keluar Dewan

SINAR HARIAN


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR - Dua Ahli Parlimen DAP, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) dan Teo Kok Seong (DAP-Rasah) diperintah keluar dewan pada persidangan Dewan Rakyat malam ini kerana melanggar peraturan dewan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said memerintahkan kedua-dua mereka keluar di bawah Peraturan Mesyuarat 44, kerana Guan Eng gagal mematuhi arahan Yang Dipertua yang berkali-kali memintanya duduk, sementara Kok Seong kerana membuat rakaman di dalam Dewan.

Kedua-dua mereka bagaimanapun boleh menyertai semula persidangan esok.

Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat kecoh selama lebih satu jam apabila perbalahan berlaku antara beberapa anggota yang sebahagian besarnya terdiri daripada pembangkang berhubung perkataan 'bohong'.

Kekecohan itu berlaku ketika Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya.

Ketika Abdul Rahman memulakan penggulungan itu, Guan Eng bangkit mengemukakan peraturan mesyuarat untuk meminta Abdul Rahman menarik balik perkataan tidak sesuai dalam Parlimen iaitu 'bohong' yang ditujukan kepadanya sebelum ini.

Pada persidangan Dewan Rakyat 16 Mac lalu, Abdul Rahman dilaporkan mendakwa Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berbohong mengenai isu harga rumah mampu milik di Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menetapkan harga rumah mampu milik sebanyak RM400,000 seunit seperti yang diuar-uarkan Lim itu.

Guan Eng membuat dakwaan itu menerusi satu video yang dimuatnaik di internet beberapa hari sebelum itu yang menyiarkan beliau sebagai berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang menetapkan harga rumah mampu milik di negeri itu mengikut arahan kerajaan Persekutuan.

Mengikut Peraturan-peraturan Berbahas 36(4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis.

Dalam penjelasan mengenai perkara itu, Abdul Rahman berkata perkataan bohong yang ditujukan adalah kepada fakta yang dikemukakan Guan Eng dan bukannya kepada Guan Eng.

Selepas mendengar penjelasan Abdul Rahman itu, Ismail kemudiannya memutuskan bahawa perkataan 'bohong' itu tidak ditujukan kepada Guan Eng tetapi kepada kenyataan yang dikeluarkan berkaitan harga rumah mampu milik.

Bagaimanapun, keputusan Ismail itu menyebabkan Guan Eng tidak berpuas hati dan menuntut Abdul Rahman menarik balik perkataan itu yang didakwa ditujukan kepadanya.

Keadaan itu berlarutan selama lebih satu jam dengan penyertaan beberapa lagi anggota Parlimen pembangkang yang mendesak Abdul Rahman menarik balik perkataan itu, sehinggalah Guan Eng dan Kok Seong diperintahkan keluar dewan dan sebahagian besar anggota Parlimen DAP turut bertindak keluar.

Ketika menyambung semula penggulungannya, Abdul Rahman berkata, tindakan Guan Eng itu sudah diduga dan mendakwa itu adalah strateginya untuk keluar dari dewan.

"Sebab itu saya katakan tadi saya kata jangan, saya merayu kepada speaker jangan keluarkan Bagan (Guan Eng), kerana saya membuka ruang yang cukup besar kepada beberapa isu yang cukup besar mengenai isu Taman Manggis yang ingin saya bawa hari ini.

"Tetapi beliau menggunakan taktik lama untuk diarahkan keluar dewan, kemudian di luar dewan membuat sidang media dan menangis meraih simpati," katanya. - Bernama


No comments: