Tuesday, March 22, 2016

Anggota bomba Kamunting disyaki alami strok haba

Anggota bomba Kamunting disyaki alami strok haba
Laman sosial facebook Bomba Perak meminta orang ramai mendoakan kesihatan mangsa.


IPOH - Seorang anggota bomba dari Balai Kamunting, Taiping dikhuatiri mengalami strok haba selepas mengadu sakit kepala dan bengkak sebaik selesai menjalani rutin pemeriksaan pili bomba, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Mohamad Azrin Md Yussof, 25, dilaporkan turut mengalami gangguan saraf di bahagian muka selepas dilaporkan mata dan mulut sukar dibuka seperti biasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, anggota berkenaan kini sedang menjalani rawatan lanjut di kampung halamannya di Pulau Pinang.

“Sebaik selesai pemeriksaan (pili bomba) Jumaat lepas, dia ada mengadu pening kepala, keadaan cuaca pada hari itu, memang panas.

“Keesokan hari (Sabtu), dia dilihat mengalami bengkak di bahagian muka sebelah kiri, saya dimaklumkan dia kini menjalani fisioterapi untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Laman sosial facebook Bomba Perak meminta orang ramai mendoakan kesihatan mangsa agar pulih dan dapat kembali bertugas seperti biasa.

No comments: