Rabu, 24 Februari 2016

Tun M pilih jawab soalan polis di mahkamah


Beliau turut mempersoalkan mengapa polis tidak mengambil tindakan yang sama kepada pihak lain yang turut mempertikaikan Peguam Negara.

mahathir_polis_600


PUTRAJAYA: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dirakam percakapan hari ini memilih untuk tidak menjawab soalan khusus yang diajukan oleh polis kepadanya.

Sebaliknya, Dr Mahathir memilih untuk menjawab soalan spesifik berkenaan artikel yang disiarkan di blognya pada 5 Februari lalu di mahkamah.

“Saya ada bersama dengan peguam saya. Saya dengar nasihat peguam dan polis tanya berkenaan artikel yang dibuat terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Tapi saya tidak jawab soalan-soalan yang spesifik berkenaan artikel itu.

“Saya harap dapat menjawab dalam perbicaraan dalam mahkamah,” ujarnya dalam sidang media selepas dirakam percakapan oleh lima pegawai polis di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Dr Mahathir turut mempersoalkan mengapa polis hanya menyiasat beliau sahaja sedangkan banyak lagi pihak yang bercakap perkara yang sama.

“Saya disoal oleh polis sedangkan banyak orang lain bertindak perkara yang sama tapi mereka tidak disoal.

“Apakah ada diskriminasi yang dilakukan oleh pihak pemerintah,” kata Dr Mahathir yang menyediakan lima orang peguam mewakili dirinya.

Beliau yang diajukan sebanyak 30 soalan oleh pihak polis bagaimanapun bertegas akan mempertahankan kenyataan yang beliau siarkan di blognya.

Dr Mahathir menerusi blognya berkata, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak akan berani mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung siasatan SRC International melibatkan wang RM42 juta dan derma RM2.6 bilion kerana terhutang budi dengan Najib.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: