Sabtu, 27 Februari 2016

Sumbangan Muhyiddin kepada Umno tidak nafikan

Annuar Musa
Annuar Musa


KUANTAN - Sumbangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selama enam tahun menjadi Timbalan Presiden tidak pernah dinafikan Umno.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang membuat keputusan itu selepas tiga kali isu membabitkan tindakan Muhyiddin yang dilihat berbeza daripada pendirian Presiden, Datuk Seri Najib Razak dibangkitkan.

Menurutnya, keputusan dibuat berdasarkan tindakan semasa yang dilakukannya.

"Kita semua tahu banyak sumbangan yang diberikan Muhyiddin sepanjang menjadi Timbalan Presiden.
Malah bukan mudah kita mahu melahirkan pemimpin seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Tertutup Bersama Pemimpin Umno negeri di sini.

Turut hadir Pengerusi Umno negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Bagaimanapun,  Annuar berkata, tindakan Muhyiddin dilihat semakin memburukkan parti.

"Banyak tindakannya seolah-olah tidak membantu presiden. Keputusan dibuat MT adalah berdasarkan perbuatan terakhir Muhyiddin tanpa kita nafikan sumbangan dia sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, Umno akan terus memberi penerangan kepada ahli berhubung keputusan tersebut.

Annuar berkata, sesi penjelasan perlu dilakukan bagi memastikan maklumat sebenar dapat disampaikan kepada semua ahli.

"Demi kepentingan parti, kita terpaksa buat ketetapan dan terpulang pada beliau jika tidak mahu membuat rayuan," katanya.


Tiada ulasan: