KUALA LUMPUR: Panel Penilaian Operasi yang menasihatkan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyangkal yang ia "mempunyai cukup
bukti untuk mendakwa Najib berhubung SRC" seperti dilaporkan dalam
portal berita Malaysian Insider hari ini.
Pengerusinya, Tan Sri Hamid Bugo, berkata Panel tiada kaitan langsung
dengan laporan berita yang memetik anggota panel yang tidak dinamakan
sebagai sumber berhubung beberapa kenyataan yang dikatakan daripada
Panel.
"Kami ingin menyatakan bahawa tiada sumber tanpa nama diberi kuasa
untuk bercakap bagi pihak Panel dalam mana-mana keadaan. Dengan ini,
kami ingin menegaskan bahawa kami tiada kaitan langsung dengan semua
kenyataan yang memetik sumber tanpa nama itu," katanya dalam kenyataan
di sini.
Hamid berkata Panel langsung tidak pernah pada mana-mana masa
menyatakan ia mempunyai "cukup bukti untuk mendakwa Najib berhubung SRC"
seperti didakwa dalam tajuk artikel itu, atau bahawa "terdapat bukti
berwibawa untuk merangka pertuduhan terhadap (Perdana Menteri) Datuk
Seri Najib Razak".
Panel juga tidak membuat rumusan bahawa "penyiasat SPRM telah mengumpul
keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes prima facie terhadap
Najib", katanya.
Bagaimanapun, katanya, Panel ada menasihatkan SPRM untuk melengkapkan penyiasatannya.
Hamid turut merujuk kepada kenyataan dikeluarkan oleh SPRM semalam yang
menyatakan "SPRM diminta oleh Panel untuk mengeluarkan kenyataan umum
berhubung isu ini".
"Kami tidak membuat permintaan seumpama itu kepada SPRM.
"Bagaimanapun terpulang kepada SPRM sekiranya ia mahu mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan