Isnin, 29 Februari 2016

Nafi kumpul maklumat guru pro-pembangkang

Datuk Seri Mahdzir Khalid
Datuk Seri Mahdzir Khalid


ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk mengumpul maklumat guru yang dipercayai tidak sehaluan atau pro-pembangkang.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, viral yang tersebar melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

“Saya nafi ada mengeluarkan arahan untuk pengumpulan maklumat berkenaan. Setiap orang mempunyai hak dan bebas membuat pilihan kecenderungan politik masing-masing.

“Saya tidak meragui kematangan berfikir guru-guru kita. Tidak semuanya berkisar tentang politik,” katanya menerusi petikan di laman Facebook, kelmarin.

Mahdzir memberi jaminan tidak mahu sesiapa pun teraniaya jika berlaku kesilapan.

Sebelum ini, tersebar meluas melalui aplikasi WhatsApp kononnya Mahdzir meminta supaya dihantar senarai guru-guru yang menghentam kerajaan atau pro-pembangkang di Dun masing-masing ke pejabat Umno bahagian dengan segera.

Senarai itu mestilah mempunyai nama, nombor kad pengenalan, alamat tempat tinggal, sekolah dan subjek yang diajar guru berkenaan selain mohon dijaga kerahsiaan maklumat grup itu.

Pada perkembangan lain, beliau  meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik serta cuba untuk mengelirukan pelajar dan masyarakat.

“Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan arahan supaya semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 memakai baju sekolah semasa menghadiri ke sekolah untuk mengambil keputusan SPM. Saya menafikan perkara ini,” katanya.

Keputusan SPM 2015 akan diumumkan pada Khamis ini dan calon boleh mendapatkan keputusan dari sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi.

Berikutan itu, wujud satu viral di laman Facebook kononnya Kementerian Pendidikan mengarahkan semua calon memakai baju sekolah agar dapat menghormati suasana persekolahan dan kelihatan seragam semasa mengambil keputusan SPM nanti.


Tiada ulasan: