Sabtu, 31 Ogos 2019

Bersatu, Amanah belum mampu ganti UMNO, Pas


PUTRAJAYA - Bersatu dan Amanah dilihat belum mampu menggantikan UMNO dan Pas dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kedua-dua parti itu juga mungkin berdepan masalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya kerjasama UMNO dan Pas berjaya.

"Bersatu sepatutnya ambil alih peranan UMNO dan Amanah ambil alih peranan Pas untuk kelompok Islam progresif. Tetapi setakat ini nampak belum berjaya.

"Sebagai pengkaji saya lihat dinamika itu belum ada. Kalau PRU15 ditakdirkan berlaku tahun depan, saya ingat Amanah dan Bersatu ada masalah besar," katanya dalam program Wacana Ilmu Seri Satria Siri 8 yang membincangkan topik 'Naratif Melayu Islam Pasca PRU14' di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Awang Azman, Amanah khususnya perlu memiliki dinamika Islam progresif dari segi dasar dan pelaksanaannya.

"Dalam konteks wacana Melayu Islam, kenapa orang lebih percaya Pas daripada Amanah? Kalau diukur ahli parti dan sokongan akar umbi Melayu Islam, sepatutnya Amanah lebih menonjol.

"Adakah Amanah patut ditukar kepada parti progresif Islam atau wacana Melayu Islam itu lebih disukai oleh masyarakat kita hingga Amanah ketinggalan. Atau pemimpin Amanah ini sudah sibuk dengan tugasan menteri, timbalan menteri, pegawai khas dan sebagainya hingga akar umbi terbiar?" katanya.

KLIA: Isu perlu disiasat, henti buat andaian – Loke

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

“Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

“Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Raja Azmi Raja Nazuddin dalam kenyataannya pada Isnin lepas dilaporkan tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian di KLIA disebabkan perbuatan berniat jahat.

Malaysia Airports juga dilaporkan telah membuat laporan polis susulan insiden gangguan sistem itu pada Selasa lepas.

Loke berkata jawatankuasa itu diberi tempoh sebulan bagi menjalankan siasatan termasuk memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan.

“Mereka bekerja sepanjang masa, setiap hari ada meeting (mesyuarat), ada siasatan,” katanya.

Katanya jawatankuasa itu menjalankan siasatan dari sudut mengenal pasti punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi mengelak insiden itu berulang pada masa depan.

Menurut Loke, pihak polis pula menjalankan siasatan berasingan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah dalam insiden itu dan mengambil tindakan selanjutnya.

Kekosongan kabinet bila PM kosong jawatan – Dr Wan Azizah

THE MALAYSIAN TIMES
 


CYBERJAYA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kekosongan dalam Kabinet hanya akan berlaku apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengosongkan jawatan perdana menteri.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat CyberSecurity Malaysia di sini hari ini, beliau berkata kekosongan dalam Kabinet perlu dibuat berdasarkan apa yang dijanjikan dalam Pakatan Harapan.

“Saya kira kalau PM kosongkan (tempat), itu yang dijanjikan,” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir pada Khamis bahawa tidak ada kekosongan dalam Kabinet buat masa ini.

Dr Mahathir ketika ditanya sama ada beliau akan membawa masuk Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Kabinet dilaporkan berkata Kabinet tiada kekosongan sekarang dan tidak juga akan berlaku pertambahan anggota Kabinet.

Dr Mahathir dilaporkan berkali-kali menyatakan proses peralihan tampuk pemerintahan kepada Anwar akan berlaku.


Jangan percaya fitnah cuba gugat keamanan negara

tyrazalhe 

 

Toleransi faham perbezaan adat, budaya dan agama: Sultan Selangor

SHAH ALAM– Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak mudah percaya dengan fitnah dan berita tidak sahih, khususnya di media sosial yang cuba mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman hubungan sesama kaum di negara ini.

Baginda bertitah, setiap rakyat harus mempunyai tanggungjawab bagi mengelakkan tercetusnya sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan, berpunca daripada anasir negatif yang sengaja diprovokosi pihak tertentu, bertujuan mencemar perpaduan negara yang telah dibina selama ini.

“Amalkanlah sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan perbezaan adat, budaya dan agama, supaya kita dapat terus hidup dalam suasana merdeka, dalam erti kata sebenar.

“Beta doakan agar Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan,” titah baginda dalam kenyataan rasmi di laman sosial Facebook rasmi Royal Selangor Office hari ini.

Sultan Selangor bertitah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 hari ini.

Sultan Selangor turut berharap sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun, akan terus menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat, serta mampu menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa semua kaum dan bangsa di Malaysia.

Baginda bertitah, semangat patriotisme juga harus dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

“Syukur kepada Allah, Malaysia hari ini menyambut Hari Kebangsaan untuk kali ke-62, dalam suasana yang harmoni dan aman sentosa.

“Di kesempatan ini, Beta dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.- Bernama


'JAS perlu jelaskan lulus laporan EIA tapak lupus sisa Lynas'



 
Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu menjelaskan alasannya meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) terhadap Lynas untuk membina tapak pelupusan setinggi sembilan tingkat bagi menempatkan sisanya.

Menurut Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas, Tan But Teet yang tidak bersetuju dengan cadangan Lynas untuk menggunakan sebidang tanah seluas 39 hektar di belakang kilang nadir bumi itu bagi menempatkan satu juta tan sisa neutralisation underflow (NUF) yang dikelaskan peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual

"JAS mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada orang ramai mengapa ia meluluskan laporan EIA tersebut dan (Jabatan Alam Sekitar) perlu mendedahkan kesemua 68 syarat yang dikenakan terhadap (syarikat) pelombong Australia itu.

“Selepas Lynas menghantar laporan EIA kepada JAS untuk diluluskan, kami turut memberikan pandangan kami secara bertulis berkenaan hal ini.

“Kami nak tahu, apakah pandangan kami telah diterima dan diambil kira dalam syarat-syarat (yang dikenakan)? Ia akan memastikan Lynas mematuhi semua syarat-syarat dengan lebih baik lagi,” kata pesara guru itu kepada Malaysiakini. 

Rancangan urus guna semula sisa

Menurut Tan, tapak buangan itu bertujuan menempatkan sisa NUF yang dikelaskan peraturan alam sekitar sebagai bahan buangan berjadual untuk tempoh 10 tahun akan datang dengan cara menutup sisa tersebut secara betul.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan JAS memberikan kelulusan bersyarat terhadap laporan EIA berhubung sisa NUF.

Dalam emel kepada Malaysiakini, JAS berkata syarat-syarat tersebut termasuklah mengehadkan tapak pelupusan NUF pada ketinggian 30m dari aras tanah, iaitu dianggarkan setinggi bangunan sembilan tingkat, tidak termasuk "penutupnya".

JAS berkata Lynas sepatutnya mendapatkan kelulusan bertulis sebelum membina tapak pelupusan itu, dan mendapatkan lesen melupuskan sisa berjadual sebelum memulakan operasi tapak pelupusannya.

JAS turut mengarahkan Lynas untuk tampil dengan rancangan pengurusan tentang bagaimana sisa NUF dapat digunakan semula sebagai bahan mentah supaya tapak pepulusan itu tidak melebihi muatannya.

Jabatan itu memaklumkan memberi kelulusan terhadap laporan EIA tersebut setelah mengkaji kesannya ke atas alam sekitar.

Surat kelulusan itu dikeluarkan pada 23 Mei lalu, selepas dibincangkan dalam Jawatankuasa Semakan Teknikal JAS yang mengandungi beberapa agensi kerajaan berkaitan.

Tan berkata, JAS itu seolah-olah memudahkan jalan buat Lynas untuk menyimpan sisanya dengan kaedah yang murah.

“Layanan macam ini takkan ada (diberikan) pada operator yang lain,” katanya.

Jelasnya lagi, menimbunkan sisa NUF sehingga mencecah ketinggian bangunan sembilan tingkat merupakan sesuatu yang tidak wajar.

Ini memandangkan terdapat air bawah tanah pada kedudukan satu meter di bawahnya dan sisa debu pula mungkin akan terbang dan tersebar serta menyebabkan pencemaran di kawasan sekitar.
“Ini akan memberi ancaman besar terhadap alam sekitar,” katanya.

Selanjutnya, Tan mendakwa sisa NUF telah pun ditimbunkan di belakang loji Lynas dan meminta kerajaan memeriksa sendiri keadaan itu.

Laporan EIA itu mengakui tapak pelupusan berkenaan mungkin akan memberi kesan kepada persekitaran, namun mengatakan kesan tersebut “dijangka dapat diminimumkan dan dikekang ke tahap yang boleh diterima, dan akan mematuhi standard dan garis panduan alam sekitar yang dikenakan."

Menurut laporan itu lagi, perancangan yang teliti, pematuhan terhadap amalan perlombongan yang baik serta langkah-langkah kawalan yang ditetapkan, projek tersebut akan dapat mengurangkan impak alam sekitar ke tahap yang rendah.

“Projek ini dijangka mempunyai kepentingan ekonomi yang penting, baik untuk negara mahupun rantau ini,” kata laporan EIA itu.

Mengapa kami lapor isu kaum, agama


   

Hari ini merupakan sambutan ulangtahun kemerdekaan ke-62 dan dalam masa dua minggu, kita akan meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia ke-56.

Ini adalah waktu untuk kita mengenepikan perbezaan dan mengukuhkan perpaduan sesama kita kerana Malaysia merupakan rumah yang kita diami bersama.

Namun sejak kebelakangan ini, perbezaan antara kita menjadi garis pemisah dan ia diburukkan lagi oleh mereka yang mempunyai kepentingan dan agenda untuk menimbulkan kesangsian sesama kita.
 
Ini adalah suatu keadaan tidak sihat yang Malaysiakini dan organisasi media lain hadapi.

Malaysiakini tidak mempunyai niat untuk memecahbelahkan negara ini atau memainkan sentimen perkauman mahupun agama.

Bagaimanapun, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai isu-isu yang melibatkan kita semua.

Apa pun usaha kami, individu yang tidak senang dengan Malaysiakini akan sentiasa melihat kami memiliki motif tersembunyi walaupun hakikatnya tidak begitu.

Malaysiakini diheret dalam isu terbaru apabila Pengerusi Karangkraf, Hussamuddin Yaacub yang turut menerbitkan Sinar Harian mengulas artikel penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengenai pelajar bukan Islam dikecualikan daripada program #QuranHour.

#QuranHour adalah program yang disokong oleh Warisan Ummah Ikhlas Foundation (WUIF) yang diasaskan Hussamuddin.

Matlamat kempen ini adalah untuk menggalakkan individu memperuntukkan satu jam setiap hari bagi membaca, memahami dan menyerap nilai-nilai yang terdapat dalam al-Quran.

Satu pekeliling dari Jabatan Pendidikan dikeluarkan bagi menggalakkan semua sekolah menganjurkan program itu tahun ini.

Sin Chew Daily melaporkan Khamis lalu bahawa guru besar sekolah jenis kebangsaan Cina terkejut dengan pekeliling berkenaan.

Penjelasan Teo

Teo kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang menjelaskan bahawa pelajar bukan Islam tidak dipaksa mengambil bahagian dalam program sedemikian, yang dilaporkan oleh Malaysiakini bagi menghilangkan salah tanggapan terhadap isu itu.
Hussammuddin bagaimanapun mendakwa Malaysiakini, bersama dengan "akhbar vernakular" memprovokasi sentimen agama.

Beliau juga menasihatkan mereka yang tidak memahami pekeliling Jabatan Pendidikan itu untuk mendapatkan penjelasan rasmi dan bukannya membawa isu ini kepada media.

Malaysiakini setuju dengan Hussammuddin bahawa media tidak seharusnya menyentuh sentimen kaum atau agama. Namun adalah tidak bertanggungjawab sekiranya penjelasan tidak diterbitkan bagi menjernihkan keadaan kepada mana-mana pihak.

Dalam suasana yang 'panas' ini, kami percaya adalah menjadi tanggungjawab organisasi media mendidik rakyat Malaysia dan menghapuskan kebimbangan serta sikap saling tidak percaya.

Kami juga percaya adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mendedahkan individu yang cuba memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui ucapan penuh kebencian, dan mendorong mereka yang berkuasa atau berpengaruh bertindak terhadap individu atau kumpulan ini serta mengambil langkah-langkah bagi memulihkan keadaan.

Malaysia adalah untuk semua rakyat Malaysia, ia adalah rumah kita dan semua patut dilayan dengan adil serta rasa hormat.

Selamat Hari Merdeka!


Nadia minta maaf cara pakaian seperti persenda Islam

MALAYSIAKIN

   

Pelakon Nadia Brian mendapat perhatian berikutan cara pemakaiannya yang mengenakan selendang dan baju mendedahkan dada sehingga dikatakan mempersendakan agama Islam.

Menyedari perkara itu, Nadia tampil memohon maaf sekiranya fesyen yang digayakan menyentuh sensitiviti sesetengah pihak.

Namun Nadia mendakwa dia tidak berlebih-lebih atau melanggar batasan dalam bergaya.

“Saya meminta maaf andai ada yang menganggap fesyen saya gayakan mempersendakan agama dan sebagainya. Saya tidak pernah terfikir sehingga ke tahap itu. Cuma, saya memang gemar menggunakan pendekatan ‘mix and match’ dalam berfesyen.

“Biasalah, bukan semua orang menyukai perkara kita lakukan. Saya amat maklum mengenai hal itu. Jadi, sekali lagi saya memohon maaf sekiranya ada yang tidak menyenangi pakaian saya gayakan,” katanya seperti dipetik BH Online.

Pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu turut menegaskan, walaupun cara pakaiannya dianggap seksi, ia tidak kelihatan murahan.

“Isu seksi juga bukan perkara baru buat saya. Sejak dahulu, saya sering terpalit dengan kontroversi sebegini.

“Keluarga turut maklum mengenai gaya pemakaian saya,” katanya.


Merdeka Tok Ayah buah tangan Hadi untuk rakyat Malaysia

MALAYSIAKINI

   
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mencuri tumpuan apabila tampil dalam satu video pendek menceritakan tentang maksud kemerdekaan di hadapan sekumpulan kanak-kanak.

Video selama lebih 3 minit itu menampilkan Abdul Hadi duduk sambil menjawab mesra pertanyaan kanak-kanak berkenaan mengenai erti 'merdeka'.

"Tok Ayah, Tok Ayah, apa itu merdeka?" tanya seorang kanak-kanak perempuan ketika melihat laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman di kaca televisyen.

"Merdeka tu kita berjaya halau Orang Putih yang memerintah kita. Orang Putih datang dengan senapang, dengan senjata, orang kita lawan. Ada yang mati, mati.

"Orang alim kena tangkap. Orang yang kuat agama jadi ketua, lawan. Mula-mula orang orang Melayu Islam lawan. Kemudian Cina dan India pun lawan juga. Sama-sama lawan.
"Akhirnya mereka tak tahan, bergaduh, mereka setuju tinggalkan negara ini," kata Abdul Hadi yang membahasakan dirinya Tok Ayah.

"Tok ayah, Tok Ayah. Masa Tok Ayah kecil dulu Tok Ayah sambut tak merdeka?" Tanya seorang kanak-kanak lelaki yang lain.

“Ye, sambut sebab kita gembira negara kita selamat, orang putih dah balik.

“Masa tu, Tok Ayah sekolah rendah lagi umur 10 tahun,” jawab Abdul Hadi.

Menjawab satu lagi soalan, Abdul Hadi memberitahu bahawa rakyat Malaysia harus menghormati bendera Malaysia.

“Orang zaman dulu sanggup mati pertahankan bendera ini. Bendera ini satu benda mulia pada kita orang Islam pun begitu.

“Nabi kita pun berjuang ada bendera. Bendera ini tanda,” kata anggota parlimen Marang itu.
Seorang kanak-kanak lain kemudian mencelah dengan mengatakan mereka ada diberikan kerja sekolah sempena hari merdeka.

"Nak buat apa eh," tanya kanak-kanak berkenaan.

"Tok ayah ada idea," kata Hadi sambil menunjuk ke arah kanvas, berus dan warna lukisan.
Kanak-kanak berkenaan kemudian dilihat mewarnakan tangan mereka sebelum melekapnya di atas kanvas sambil dibantu Abdul Hadi.

Presiden PAS itu kemudian menulis perkataan merdeka dalam bahasa Jawi di tengah-tengah hasil seni itu.
Dalam video tersebut Abdul Hadi mengingatkan pesanan Nabi Muhammad bahawa anak-anak adalah seperti kain putih dan ibu-bapa harus mencorakkan mereka termasuk dalam memahami erti kemerdekaan.

“Sekarang ni sampai setengah abad kita merdeka dah. Daripada Malaysia Timur, Malaysia Barat.

“Kita gabung semua sekali berbelas buah negeri dan berbagai kaum, berbagai agama. Islam sebagai agama persekutuan dan kita boleh hidup dalam keadaan harmoni dan aman. Keadaan ini perlu dikekalkan.

“Pertahankan agama, pertahankan perpaduan dan pertahankan kemerdekaan daripada saya Abdul Hadi bin Haji Awang, presiden PAS,” katanya.

Di akhir video berkenaan dipaparkan Abdul Hadi bersama-sama kanak-kanak berkenaan mengibarkan bendera Jalur Gemilang berlatarbelakangkan pusat pentadbiran negara, Putrajaya.


Pulihkan politik Melayu jika mahu negara kembali gemilang

sitifatimah

 

Jangan biarkan kaum ‘barbaric’ yang gersang peradaban kuasai negara

BANGI – Kelemahan kepimpinan dan politik orang Melayu telah menyebabkan negara mengalami kepincangan besar dari aspek kebijaksanaan dalam menerajui negara berdasarkan akal budi dan peradaban.

Justeru, pemulihan kekuatan politik orang Melayu perlu dijadikan kayu ukur kerana ianya perkara mustahak untuk masa depan negara, tegas Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Beliau menegaskan, negara akan hancur dan tidak selamat tanpa kepimpinan bangsa Melayu yang tinggi budi pekerti dan berperadaban mulia.

“Jangan biarkan kaum-kaum yang ‘barbaric’ dan gersang peradaban menguasai negara. Pemulihan perlu dibuat segera sebelum negara dilanda oleh malapetaka yang tidak dapat dibendung lagi.

“Allah telah memuliakan orang Melayu dengan Islam, menyatukan kita atas dasar akidah dan memberikan mereka segala kekuatan untuk menjadi bangsa yang berkuasa memimpin manusia.

“Jalan pemulihan tidak jauh jika kita punya keberanian untuk kembali kepada Islam sebagai agama kita,” katanya yang turut menyeru bangsa Melayu untuk bermuhasabah secara menyeluruh.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan Negara yang ke-62, hari ini.

Ustaz Abdullah turut menyatakan keprihatinan terhadap perkembangan negara pada hari ini yang tidak begitu menggembirakan sama ada dari sudut ekonomi, politik, perpaduan, keselamatan dan sebagainya yang berpunca daripada kelemahan orang Melayu dalam menerajui kepimpinan negara.

Beliau berkata, orang Melayu yang sepatutnya sebagai bangsa istimewa dengan nikmat Islam dan memiliki akal budi yang tinggi, gagal memainkan peranan untuk memimpin negara ke arah kegemilangan.

“Kepentingan nasional terabai demi kerakusan rasisme yang menguasai dasar dan polisi pemerintahan negara hari ini. Polarisasi kaum pula semakin meruncing dan gangsterisme sedikit demi sedikit mengambil tempat mencabar prinsip rule of law.

“Selain itu, prinsip-prinsip bernegara yang telah dipersetujui sebelum ini, kemudiannya menjadi bahan pertikaian yang tiada batas,” katanya.


Rakyat kekal bersatu jika hormati Perlembagaan

siti hafidah 

 

Pemimpin Melayu usah terlalu apologetik dalam perkara asas negara

BANGI – Rakyat di negara ini digesa supaya menghormati peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan demi mengekalkan kesejahteraan dan kestabilan Malaysia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Perlembagaan Persekutuan yang inklusif kepada semua sepatutnya tidak memecah belahkan rakyat berbilang kaum, suku, agama dan budaya di negara ini.

Beliau yakin, jika semua kaum berpegang teguh kepada Perlembagaan, maka rakyat akan kekal bersatu-padu bahkan mampu membina sebuah negara yang mempunyai identiti unik serta dihormati.

“Sebagai sebuah negara Islam sudah tentu memastikan keabsahan agama Islam sewajibnya menjadi agenda utama kerajaan.

“Malangnya sejak kebelakangan ini, kita melihat ada pihak yang cuba menggugat keharmonian antara kita. Jika diteliti, semua isu yang berlaku adalah apabila perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan dicabar.

“Antaranya ialah bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedaulatan raja-raja, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera dan banyak lagi,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Kebangsaan Ke-62.

Pada masa sama, beliau turut mengajar rakyat berfikir dan merenung kepada hakikat bangsa serta negara hari ini, sama ada benar-benar bebas untuk memacu mengikut acuan sendiri atau masih terikut-ikut dengan Barat.

“Ini satu perkara yang perlu kita muhasabah diri agar negara ini terbina dengan identitinya sendiri. Kita tidak harus tunduk kepada mana-mana tekanan luar sama ada dari barat ataupun timur.

“Setiap rakyat mestilah komited mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Aminuddin turut menggesa pimpinan negara terutamanya orang Melayu Islam supaya tidak terlalu apologetik dan tidak tegas dalam mempertahankan perkara-perkara asas negara, terutama yang menyentuh soal agama Islam, kedudukan orang Melayu dan Majlis Raja-Raja.

“Akhir sekali, saya menyeru agar kita terus bersatu-padu supaya kita dapat maju ke hadapan untuk membina sebuah negara yang madani mengikut kerangka dan acuan kita sendiri,” kata beliau


Khamis, 29 Ogos 2019

PTPTN jalin kerjasama strategik bantu peminjam cari kerja

Bernama  

   

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan tiga agensi bagi membantu peminjam mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Tiga agensi itu ialah Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM)), Jobstreet.com Sdn Bhd dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata sebagai peneraju pinjaman pendidikan agensi itu melihat masalah yang dihadapi peminjam yang sukar mencari pekerjaan sebagai satu masalah yang turut dirasai PTPTN.

"PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada peminjam, langkah tersebut diambil bagi membantu mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MOU di antara PTPTN dan ketiga-tiga agensi tersebut di Kuala Lumpur,

Majlis itu turut disaksikan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kata Wan Saiful, membantu mendapatkan pekerjaan dalam kalangan peminjam bukanlah dalam bidang kuasa dan fungsi PTPTN.

Namun katanya pendekatan tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha PTPTN membantu peminjam mencari pekerjaan dan memudahkan urusan mereka memulakan bayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

Beliau berkata kerjasama melalui MOU itu sekaligus akan meningkatkan prestasi bayaran balik pinjaman demi kelangsungan generasi akan datang dan dijangka memanfaatkan sejuta peminjam.

Ada perkhidmatan tambahan percuma
 
Wan Saiful berkata kerjasama itu juga diharap membantu peminjam PTPTN yang terdahulu (bermula pinjaman tahun 1997) sekiranya mereka masih menganggur atau ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

"Ia diharap membantu peminjam yang sehingga hari ini tidak mampu membayar langsung atau tidak mampu membayar secara konsisten dengan membuka ruang untuk mereka mencari pekerjaan yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, Bendahari Kehormat NCCIM, Nazwin Don Najib, berkata MyJobs di bawah NCCIM merupakan platform untuk majikan mempromosikan kekosongan jawatan dan juga saluran untuk orang ramai khususnya peminjam PTPTN mencari peluang pekerjaan.

"Platform ini akan dapat membantu membina pangkalan data permohonan pekerjaan yang boleh digunakan terutamanya kesemua ahli NCCIM untuk memenuhi keperluan mencari calon bagi mengisi kekosongan jawatan dengan kadar segera.

"Sejumlah 650,000 majikan yang merupakan ahli NCCIM akan menyediakan keperluan pekerjaan bagi memastikan ia dapat memenuhi permintaan sama ada bertaraf kontrak atau program latihan pekerjaan sementara sebelum peserta mendapat pekerjaan tetap lebih baik," katanya.

Pengurus Negara Jobstreet.com, Gan Bock Herm, berkata JobStreet.com mempunyai 90,000 majikan berdaftar dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya, laman mikro JobStreet.com diwujudkan untuk PTPTN menyediakan semua fungsi pencarian kerja.

"Perkhidmatan tambahan secara percuma turut disediakan kepada peminjam PTPTN meliputi penyediaan modul pembelajaran seperti persediaan menghadapi temuduga, basic soft skill learning, penyediaan resume dan banyak lagi," katanya.- Bernama


Ulama antarabangsa, anak 'tok garu' musuh politik PAS

MALAYSIAKINI

   

Sama ada orang biasa atau ulama - termasuk bertaraf antarabangsa - seseorang itu sentiasa terdedah kepada kemungkinan menjadi tali barut DAP, kata salah seorang ulama kanan PAS hari ini.

Anggota Jawatankuasa Ulama Pusat PAS, Mokhtar Senik, juga berkata sesiapa saja yang mendukung agenda DAP akan dianggap sebagai musuh parti terbabit.

Menganggap mereka sebagai tali barut, Mokhtar berkata golongan terbabit ialah individu yang berwajah Melayu namun "berhati perut DAP".

"Berhati-hati dengan tali barut yang berwajah Melayu tapi berhati perut DAP.

"Tidak kira ia orang biasa atau ulama bertaraf antarabangsa, tidak kira ia orang tak terkenal atau profesional, keturunan tok guru atau tok garu.

"Siapa saja yang mendukung agenda DAP adalah musuh politik kita," katanya melalui hantaran di media sosial petang ini.

Mokhtar yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS menambah kemaraan "tali barut DAP" itu hanya dapat dihalang dengan cara menyuburkan rasa cinta kepada Islam, bangsa dan negara.

Katanya perasaan sayang kepada tiga faktor itu perlu disuburkan bagi mengelak orang Islam di negara ini menjadi mangsa DAP.

"Jika rasa cinta kepada Islam, bangsa dan negara pudar, maka amat mudah umat ini menjadi bahan ratahan DAP.

"Tiga benteng utama ini wajib dijaga dengan rapi," katanya.

Bagaimanapun tulisan ulama kanan PAS itu tidak merujuk kepada mana-mana nama khusus atau laporan berita seperti sebelum ini.

Bekas calon PAS Parlimen Padang Besar yang tewas pada PRU14 itu antara pimpinan yang aktif di media sosial sekali gus banyak mengkritik kerajaan PH khususnya DAP.


Malaysia menuju arah yang salah- kaji selidik

Norlaile Abd Rahman
MGF29082019_NATIONAL-ECONOMIC-FORUM-201951
Sebahagian peserta National Economic Forum 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,


KUALA LUMPUR- Kaji selidik tidak rasmi yang dijalankan semasa sesi perbincangan bertajuk Masa Hadapan Malaysia: Apa Yang Perlu Dilakukan Kerajaan sempena Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 mendapati 63 peratus responden berpandangan bahawa Malaysia sedang menuju arah yang salah.

Manakala 12 peratus berpendapat sebaliknya dan baki berkecuali.

Kaji selidik berkenaan disertai oleh 85 peserta daripada ratusan peserta forum berkenaan.

Kaji selidik berkenaan yang dilakukan apabila Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan menyuarakan kebimbangannya terhadap ahli-ahli politik yang suka mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu, ahli-ahli politik seharusnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

“Satu perkara yang saya risaukan adalah mengenai hubungan kaum.

“Ramai yang bercakap mengenainya tetapi tidak ramai yang mahu berbincang dengan cara yang rasional sehingga menyebabkan isu-isu seperti itu dipolitikkan setiap hari.

“Hala tuju sebegini adalah membimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya, beliau tetap berpendapat Malaysia sedang berada di landasan yang sebenar tetapi seorang lagi panelis, Datuk Ng Yih Pyng yang mewakili komuniti perniagaan berpendapat sebaliknya.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) itu, komuniti perniagaan tidak merasakan Malaysia tidak mempunyai hala tuju yang betul.

“Apa yang komuniti perniagaan mahukan adalah persekitaran mesra perniagaan dan sekiranya ada dasar-dasar yang baik yang boleh menyokong perniagaan, kerajaan mestilah mempunyai kekuatan politik untuk melaksanakannya,” katanya.

Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCCIM).- MalaysiaGazette


YB Prabakaran ‘hilang’ Uncle Kentang selesai isu rakyat

Kasthuri Jeevendran
MGF07012018_Interview-Uncle-Kentang_08
Reaksi aktivis, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

KUALA LUMPUR – Kecoh di media sosial semalam apabila bekas calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali Uncle Kentang menyeru orang ramai khasnya kawasan Jalan Ipoh supaya menderma bagi membantu sebuah keluarga India.

Chee Heng berkata, keluarga India itu memerlukan bantuan wang untuk mengebumikan mayat salah seorang ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.

Bagaimanapun kerana terlampau miskin, keluarga itu tidak mempunyai wang sebanyak RM2,500 untuk kerja-kerja pengebumian serta upacara sembahyang kepercayaan Hindu.

Uncle Kentang yang mendapat tahu tentang perkara itu kemudian cuba menghubungi Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran semalaman namun panggilan itu tidak berjawab.

Keprihatinan umum menderma telah berjaya membantu keluarga itu menyelesaikan masalah mereka tanpa bantuan Prabakaran yang juga sepatutnya jauh lebih peka dengan keadaan menimpa penduduk di kawasan beliau.

Uncle Kentang kemudian memuat naik status dalam laman sosial sebentar sambil menyatakan keluarga itu telah mendapat bantuan untuk pengebumian pada hari ini.

Uncle-Kentang

“Terima kasih ‘anak Malaysia’, mayat lelaki India yang tersadai di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) telah diambil dan akan di uruskan hari ini. Tidak perlu tunggu YB. Telefon YB pun tidak terjawab langsung.

“Maafkan YB, beliau (Prabakaran)  terlampau sibuk lah. Terima kasih kepada semua penderma, semangat merdeka itu ada dalam diri masing-masing, terima kasih,” katanya.

Walaupun kalah pada PRK lepas, namun Uncle Kentang terkenal dengan aktif dalam kerja-kerja kebajikan membantu sesiapa sahaja tidak kira latarbelakang mahupun warna kulit.

Dalam pada itu, pengamatan MalaysiaGazette mendapati rata-rata netizen juga mengucapkan tahniah kepada Chee Heng sambil memberikan beliau dorongan supaya kembali bertanding kerana benar-benar memiliki ciri-ciri seorang wakil rakyat.

Prabakaran juga dikritik kerana tidak menjalankan tugas hakiki iaitu menjaga kepentingan rakyat. –MalaysiaGazette


Shafee timbulkan lagi isu punggung Najib


   
KES 1MDB NAJIB l Peguam utama bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon agar tempoh perbicaraan kes rasuah 1MDB yang membabitkan anak guamnya dipendekkan.

Shafee memberikan beberapa alasan, antara lain, adalah Najib terpaksa duduk di permukaan yang keras untuk jangka masa panjang.

"Tetapi lebih kritikal ialah klien saya (duduk) di atas papan ...

"Hampir setiap hari, sebaik sahaja Yang Arif membenarkan penangguhan (tadi), dia terpaksa meregangkan badannya (stretching) jika tidak akan menjadi lebih teruk," katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Beliau juga memetik isu-isu dokumentasi dalam permohonnya untuk memendekkan masa perbicaraan.

Susualan itu, Sequerah bersetuju untuk menamatkan sesi hari ini pada jam 4.45 petang.

Shafee kemudian meminta agar perbicaraan seterusnya berakhir pada jam 4.30 petang, sambil menambah bahawa beliau telah menimbulkan isu yang sama dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan SRC International.

Bagaimanapun, Sequerah tidak bersetuju dan memberitahu Shafee bahawa anak guamnya akan dibenarkan untuk mengambil rehat seketika.


"Saya boleh membenarkan rehat seketika jika diperlukan," katanya.

Najib sedang berdepan dengan lebih 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan sejumlah RM2.28 juta yang berasal dari 1MDB.

Pada Selasa lalu, Shafee meminta Peguam Negara Tommy Thomas dan mahkamah agar kerusi kayu tempat bekas perdana menteri itu duduk berjam-jam hampir setiap hari dipasangkan kusyen.

"Anda yang lain berada di galeri awam. Anda mempunyai lapisan kusyen... Itu pun saya dimaklumkan oleh (wartawan kanan) dia rasa sakit (duduk di kerusi itu) kerana ia masih agak keras.

"Bayangkan, (tertuduh) perlu duduk di situ berjam-jam... Saya jemput anda duduk di situ hanya untuk sejam. Anda mungkin lebih muda, punggung lebih berisi daripada Najib. Kita tengok kalau anda boleh tahan,” katanya.

Redzuan: Boikot produk bukan Muslim tak bagus untuk ekonomi negara


   

Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof menyifatkan kempen mengutamakan produk Muslim tidak bagus untuk ekonomi negara.

Beliau berkata, kempen yang memboikot barangan keluaran bukan Islam tidak sepatutnya berlaku di negara yang berbilang kaum.

"(Kempen) tidak menjejaskan usahawan, barangan halal di utara misalnya, 70 peratus di keluarkan oleh bukan Muslim. Jadi, ia tidak ada masalah.

"Tak kena dengan kempen, kalau dah halal cukuplah, kalau dapat sijil halal Jakim sudah cukup untuk menjual, tak perlu boikot kerana ia tidak konstruktif.

"Kita tak boleh menghalang kempen di media sosial," katanya selepas merasmikan Minggu Usahawan Nasional 2019 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, petang ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Menteri Kewangan, Ir Amiruddin Hamzah.

Kebelakangan ini di media sosial aktif digerakkan kempen membeli barangan yang dikeluarkan oleh masyarakat Muslim di negara ini.

Selain itu turut aktif digerakkan oleh segelintir NGO kempen memboikot barangan yang dikeluarkan oleh bukan Islam.

Kempen itu diadakan ekoran beberapa isu sensitif seperti tulisan Jawi yang menyaksikan sebilangan bukan Islam membantah pelaksanaannya di sekolah venekular

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata tiada lagi Konvensyen Usahawan Bumiputera yang bersifat eksklusif untuk satu kaum saja.

Sebaliknya, penganjuran program seperti itu selepas ini lebih bersifat inklusif untuk usahawan semua kaum di negara ini.

"Konvensyen yang sama, tapi kita mahu lebih inklusif dengan hala tuju yang jelas. Tak payahlah lagi kita adakan Konvensyen Usahawan Bumiputera.

"Kalau perlu (Konvensyen Usahawan Bumiputera), kita akan adakan sekali lagi," katanya lagi.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd Redzuan berkata Persatuan Institusi Perbankan Kewangan Islam (Aibim) yang diterajui oleh 26 institusi perbankan menyediakan RM20 bilion pinjaman kepada perusahaan kecil sederhana (PKS).

Katanya, 26 institusi perbankan itu bersetuju untuk memberi sokongan kepada implementasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030.


Artis baru disyaki kasari lelaki Bangladesh direman

MALAYSIAKINI

   

Seorang penyanyi baru direman selama empat hari mulai semalam selepas disyaki mengasari seorang pekerja stesen minyak di Ampang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff, berkata artis berusia 21 tahun itu - yang turut dikenali sebagai pencipta lagu - sedang direman sehingga Ahad ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas; dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan," katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Noor Azmi, mangsa ialah lelaki rakyat Bangladesh yang juga merupakan penjaga stor di stesen minyak berkenaan.

Katanya dikatakan kejadian ketika lelaki terbabit - yang berusia 28 tahun - menyusun barangan di kaunter apabila didatangi suspek yang ingin membeli sesuatu.

"Semasa lalu di sebelah mangsa, suspek tiba-tiba bertindak menumbuk dada lelaki berkenaan selain menarik baju dan memaki-hamunnya perkataan tidak senonoh," katanya.

Menurutnya, kira-kira lima minit kemudian, peronda polis (MPV) tiba di lokasi kejadian dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum meminta meminta kad pengenalan suspek dan rakannya di dalam kereta.

Bagaimanapun, kata Noor Azmi, artis terbabit enggan memberikan kerjsama sebaliknya dengan nada marah mempertikaikan tindakan polis memeriksa dirinya dan meminta kad pengenalan.

"Susulan itu, penyanyi terbabit telah ditahan bagi bantu siasatan," katanya.


Anwar sertai kabinet? Tiada kekosongan - Dr M


   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membayangkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak akan menjadi sebahagian daripada pasukan kabinetnya apabila beliau membuat perubahan kecil dalam portfolio jemaah menteri tidak lama lagi.

"Kami tidak mempunyai apa-apa perubahan atau pertambahan bilangan (anggota) kabinet.

"Oleh kerana tiada siapa yang mengatakan mereka ingin meletakkan jawatan, kami tidak mempunyai kekosongan (untuk menampung Anwar)," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu petang ini.

Beliau ditanya soalan sebab tidak mengundang Anwar untuk menyertai kabinet ketika beliau mempertimbangkan untuk menukar portfolio kabinet dan apabila terdapat tekanan untuk peralihan kuasa.

Pada 22 Ogos lalu, perdana menteri memaklumkan tiada rombakan kabinet dalam masa terdekat ini seperti yang spekulasikan yang dibuat oleh beberapa pihak, khususnya, media tempatan.

Sebaliknya, kata beliau, perbincangan hanya membabitkan pertukaran portfolio beberapa menteri.
“Mungkin ada tukar sikit portfolio. Tapi belum ada," katanya.

Ramal PH kalah, Rais hadapi tindakan disiplin - Bersatu


   

Bersatu memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Anggota Majlis Tertingginya, Rais Husin kerana menjejaskan imej parti itu.

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang juga perdana menteri memaklumkan demikan malam ini.

"Kita telah bincang dengan panjang lebar, beberapa perkara, di antaranya perlu adanya disiplin dalam parti khususnya ahli-ahli dalam Majlis Presiden juga Majlis Tertinggi, iaitu mereka yang ada pegang jawatan.

"Mereka perlu berhati-hati bila membuat pengumuman, kalau mereka membuat pengumuman yang mrosakkan imej parti maka tindakan akan diambil terhadap mereka, dan ini diputuskan berkenaan dengan projection (ramalan) kononnya parti harapan ini akan kalah.

"Tak tahu lah pendapat dia, tetapi kita akan adakan penyelidikan, akan kemukan kepada Majlis Disiplin parti dan Majlis Disiplin akan membuat laporan kepada Majlis Tertinggi untuk Majlis Tertinggi ambil tindakan yang dicadangkan oleh majlis disiplin," jelasnya.
Walaupun tidak menamakan Rais, dipercayai Dr Mahathir merujuk kepada anggota MT tersebut yang dipetik laporan media sebagai berkata PH akan kalah jika PRU esok.

Semalam, Rais dilaporkan berkata PH mempunyai tempoh tiga setengah tahun lagi untuk menunaikan janji-janji PRU14.

“Dalam senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS akan menang,” kata ahli MT Bersatu itu pada suatu majlis forum anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir berkata Bersatu tidak pernah melantik sesiapa untuk memegang jawatan ketua strategis.

"Kita tidak ada sebenarnya pakar strategik. Tiada dalam dalam parti, saya tak tahu siapa lantik chief strategist, itu gelaran yang diberi oleh diri sendiri kot, jadi sekarang tiada gelaran kita boleh beri gelaran.

"... berkenaan orang yang mengaku dirinya sebagai chief strategist, tidak ada hal yang sebegitu," katanya lagi.

Ketika ditanya pemberita sekiranya beliau merujuk kepada Rais Hussin, pengerusi Bersatu menjawab: "Mungkin."

Rabu, 28 Ogos 2019

Shafee ikrar sumbat blogger cerca Najib ke penjara

Kasthuri Jeevendran
MGF27082019_KES-NAJIB-RAZAK_44
Peguam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Shafee Abdullah bercakap kepada media pada hari terakhir perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Peguambela Datuk Seri Najib Razak kecewa dan marah dengan tindakan sebuah blog yang didakwanya menyebarkan fitnah berhubung kes perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Malah Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya tidak menyangka blog yang enggan dinamakannya ketika ini bertindak menyebarkan fitnah  kepada masyarakat umum khasnya tentang kes SRC International.

Jelas beliau, ketika ini pihaknya akan menghantar aduan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas juga telah menyampaikan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali mengenainya kerana ia telah menjejaskan reputasi Najib.

“Saya akan cari blogger ini sehingga ke lubang cacing dan pastikan dia dijatuhkan hukuman penjara. Tidak akan sesekali berkompromi dengan penulisan seperti ini, pada saya ianya sesuatu yang sangat dahsyat sepanjang karier saya.

“Saya akan panjangkan isu kepada kepada AG, saya mahu tengok jika beliau ambil tindakan atau tidak kerana ini adalah sesuatu yang amat serius. Walhal perkara yang begitu ‘kecil’ sekalipun, Tommy cuba ambil tindakan terhadap saya dan anak guam saya sebelum ini.

“Jika tidak ada apa-apa dilakukan oleh beliau, saya tidak sesekali teragak-agak untuk ambil tindakan seterusnya.

“Saya mahu tengook blog dan blogger ini dijatuhi hukuman paling tegas. Banyak fitnah dan cerita tidak betul telah ditaburkan oleh blogger ini untuk di jadikan tatapan pembaca. Sesuatu yang tidak betul dengan gambaran buruk sekali.

“Adalah sesuatu yang tidak patut, sebelum selesai kes ini, sebelum dijatuhi hukuman atau keputusan, blogger itu sudah jatuhkan hukumannya sendiri di mata rakyat. Apa punya blog apabila menulis pelajar-pelajar jurusan undang-undang tahun pertama sendiri akan tahu Najib bersalah daripada awal lagi.

“Blog ini juga menuduh pasukan peguambela mereka-reka bukti bagi kes dan banyak lagi fakta telah dimanipulasi. Pada saya, hukuman itu pasti, saya akan pastikan dia di penjara walau apa pun sebagai pengajaran kepada yang lain supaya jangan sekali melampau batas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus selepas selesai perbicaraan kes SRC International ditutup oleh pasukan pendakwaan dan diberikan masa sehingga 24 September ini mengemukakan hujah bertulis manakala 22 dan 23 Oktober untuk hujah lisan hari ini.

Melalui pengamatan MalaysiaGazette, blog berbahasa Inggeris tersebut masih lagi aktif selain mempunyai senarai artikel-artikel berkaitan Najib serta keluarga beliau selain membuat rumusan sendiri berhubung kes SRC International dan 1MDB.

Sementara itu, Muhammad Shafee juga melahirkan sedikit kegusarannya tentang bagaimana anak guamnya ‘dilayan’ sepanjang perbicaraan kes berprofil tinggi yang membabitkan penyewelengan sebanyak RM42 juta itu.

Kata Muhammad Shafee, beliau ada meminta ihsan hakim serta Peguam Negara supaya menyediakan kusyen yang boleh digunakan Najib untuk duduk selesa ketika perbicaraan yang memakan masa berjam-jam setiap hari.

“Sebenarnya ini tidak adil, mengapa anak guam saya diperlakukan seperti ini? Seperti binatang, seperti seseorang yang telah terbukti kesalahannya.

“Bayangkan, anak guam saya ini sudah berusia, apa jadi kepada beliau duduk berjam-jam di atas kerusi kayu itu? Adakah adil? Beliau sendiri mengadu sakit punggung kepada saya.

“Bayangkan jika keluarga anda (pemberita) perlu melalui perkara sama, adakah anda akan berdiam diri?,” soalnya. –MalaysiaGazette

PAS cadang kongres kebangsaan cari penyelesaian isu kemiskinan

MALAYSIAKINI


   
PAS mencadangkan penganjuran kongres kebangsaan bagi mencari penyelesaian berkenaan masalah kemiskinan di Malaysia.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres itu haruslah melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik agar lebih objektif.

“Isu kemiskinan mesti dilihat satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston pada 23 Ogos 2019,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Melalui kongres itu, beliau berkata pelbagai candangan seperti semakan semula paras garis kemiskinan serta pelaksanaan dasar afirmatif boleh dibincangkan.

Minggu lalu, laporan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Bagaimanapun ia dikritik Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali yang berkata Malaysia menggunakan piawaian berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh PBB untuk mengukur kadar kemiskinan negara.

Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Muhammed Abdul Khalid menjelaskan indikator yang digunakan oleh kementerian itu untuk mengukur kadar kemiskinan di Malaysia sudah lapuk.

Menurut Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI), isi rumah yang berpendapatan kurang RM980 di semenanjung Malaysia ditakrif sebagai miskin. Kadar bagi Sabah dan Sarawak pula masing-masing RM1,180 dan RM1,020.

Mengluas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata masalah kemiskinan parlu menjadi isu pertama untuk diperbaiki kerajaan.

“PAS berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki.

“Selain itu, ia turut melibatkan perubahan dasar, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat,” katanya lagi.


Shafee: Buktikan Najib tahu 'derma Saudi' palsu, baru boleh hukumnya



   

KES NAJIB | Pasukan pembelaan tidak yakin pendakwaan mampu mengaitkan Najib Razak dalam pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Mengulas pernyataan pembukaan pendakwaan hari ini, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sumber wang yang dibelanjakan bekas perdana menteri itu tidak menjadi isu.

Sebaliknya, kata Shafee, apa yang penting dalam kes itu ialah sama ada Najib tahu wang yang disalurkan ke akaunnya berasal dari 1MDB.

"Kami sentiasa mengatakan apa saja berkenaan wang itu, anak guam saya sejujunya percaya ia datang dari raja Saudi, kerana dia bertemu raja Saudi dan ada janji berkenaan AS$1 bilion (RM4.21 bilion)," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Dan wang itu memang ke akaunnya. Ini pembelaan kami, kami sentiasa menyebutnya, tiada rahsia.

"Persoalannya, bagaimana anda sangkal bahawa inilah keyakinannya? Saya tak peduli dari mana wang datang dalam pendakwaan (pengubahan wang haram) ini, kerana dia sentiasa yakin ia adalah derma."

Shafee menjawab soalan berkenaan hari pertama perbicaraan 1MDB yang ditunggu-tunggu hari ini, dan pernyataan pembukaan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.

"Jadi sama ada dokumen palsu atau tak, anda (pendakwaan) buktikannya. Malah jika anda dapat buktikannya, anda perlu buktikan Najib tahu ia dipalsukan.

"Saya tak peduli sama ada Low Taek Jho tahu. Adakah Najib tahu? Hanya selepas itu anda boleh hukumnya," kata Shafee.
Shafee ditanya berkenaan kenyataan pendakwaan bahawa Najib dan Low telah mengambil langkah untuk menutup jejak mereka, termasuk memalsukan dokumen untuk menunjukkan memang ada derma dari Arab Saudi.

'Anak guam saya diperdaya'

Dalam pada itu, beliau berkata tidak sabar untuk melihat bagaimana pendakwaan mahu membuktikan Low ialah "alter ego" Najib.

Beliau membangkitkan tentang nama Low yang disebut dalam perbicaraan SRC International, di mana pasukan pembelaan mendakwa ahli perniagaan itu memperdaya banyak pihak, termasuk Najib.

Katanya lagi, pembelaan Najib untuk kes 1MDB juga akan sama dengan hujah yang digunakan dalam kes SRC International.

"Anak guam saya diperdaya. Dan salah satu nama yang kita sebut ialah Low. Dia perdaya AmBAnk, 1MDB, malah ketika 1MDB masih (dikenali) sebagai Terengganu Investment Authority.

"Kita akan bangkitkan perkara ini. Untuk mengatakan anak guam saya 'alter ego', saya nak tengok mereka buktikannya. Saya tak mahu ulas lanjut, saya tak mahu sub judice," katanya lagi.

'Janji hebat pendakwaan'

Dalam pada itu, Shafee berkata pihak pendakwaan menjanjikan banyak perkara dalam pernyataan pembukaan mereka, sama seperti yang dilakukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan SRC International.

"Anda boleh lihat dalam kes SRC, ada janji yang hebat, tetapi pada akhir perbicaraan, anda boleh buat keputusan sendiri sama ada janji itu ditunaikan atau tidak."

Shafee mendakwa pihak pendakwaan kes SRC International bergelut untuk mengaitkan Najib dengan Jho Low.

"Inilah yang saya ingin tahu, faktanya dia (Jho Low) tiada di sini. Siapa yang anda (pendakwaan) akan panggil untuk katakan ada pakatan sulit (antara Najib dan Jho Low)."

Ketika membacakan pernyataan pembukaan di hari pertama perbicaraan 1MDB hari ini, Sri Ram berkata Najib dan Jho Low cuba menutup skandal 1MDB selepas ia menjadi perhatian umum pada 2015.

Ia termasuklah membuat dokumen palsu untuk menunjukkan Najib menerima wang daripada kerabat Arab Saudi di saat ia sebenarnya dari syarikat milik kerajaan itu, katanya.

Mendakwa Najib berpakat dengan Jho Low, Sri Ram menyifatkan ahli perniagaan yang diburu itu sebagai bayangan kepada Najib.


TMJ mahu Stadium Larkin berkelas dunia


   

Padang berkualiti tinggi dan fasiliti kelas dunia merupakan dua elemen utama dititikberatkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha menjadikan Stadium Sultan Ibrahim Larkin sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara.

Stadium dijangka siap selewat-lewatnya Januari tahun depan itu akan menjadi gelanggang baharu juara Liga Super 2019, JDT yang melakar sejarah tersendiri dengan rekod kejuaraan enam kali berturut-turut sejak 2014.

Tunku Ismail menjelaskan dua elemen itu kunci utama kepada peningkatan mutu bola sepak sesebuah pasukan dan sebagai pemilik, beliau ingin memastikan JDT sentiasa berada di landasan tepat dengan memiliki infrastruktur setaraf pasukan terbaik dunia.

“Saya nak stadium ini jadi terhebat di Asia Tenggara...nombor satu terbaik, selain diiktiraf oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA,” katanya kepada pemberita selepas aksi persahabatan antara Pilihan TMJ dan Team Media FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Pada masa sama, Tunku Ismail menyeru semua pasukan dan kelab memberi penekanan dalam aspek penyediaan padang berkualiti tinggi serta pusat latihan yang lengkap.

Tunku Ismail menjadikan Selangor dan Terengganu FC sebagai contoh terbaik selepas kedua-dua pasukan mengambil langkah positif menaik taraf pusat latihan selain menumpukan fokus terhadap penjagaan kualiti padang dengan bajet berpatutan.

Bagaimanapun, beliau menyedari setiap pasukan mempunyai inisiatif tersendiri, namun berharap pemilik mahupun persatuan negeri meletakkan sukan itu sebagai keutamaan bagi terus memajukan bola sepak di negara ini.

“Saya harap kita sama-sama dapat majukan bola sepak Malaysia macam mana yang dah dibuat Selangor (Persatuan Bola Sepak Selangor) dan TFC, saya ucapkan syabas kepada mereka.

“Saya berharap banyak lagi pasukan akan ikut benda sama dengan bajet antara RM1 dan 2 juta. Tidak perlu terlampau mahal tetapi pastikan ia digunakan bagi mendapatkan kualiti padang dan juga pusat latihan yang bagus,” katanya.- Bernama


3 pucuk surat pada Anwar tak dilayan, dedah Zuraida

 
   

Tindakan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak melayan tiga pucuk surat yang dihantar bagi membincangkan perihal parti itu merupakan sebab naib presidennya Zuraida Kamaruddin tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Zuraida berkata surat itu dibuat bagi mengadakan pertemuan dengan Anwar bersama ahli MPP yang terpilih bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku.

“Permintaan itu untuk kita reconcile, buat masa ini belum dilayan. Dah tiga surat yang kami keluarkan kepada pejabat presiden.

“Surat pertama dia jawab dia ke Mekah dan kami beri surat kedua nak minta pertemuan lagi dengan beliau.

“Dan surat ketiga kita dah keluarkan Isnin lepas masih lagi minta pertemuan dengan presiden di kalangan dengan ahli pimpinan pusat yang terpilih dalam pemilihan parti,” katanya.

Sebelum itu Zuraida merasmikan Kayuhan Wanita 2019 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini.

Zuraida berkata demikian ketika ditanya mengapa beliau tidak menghadiri Mesyuarat MPP berkenaan.

Menurut Zaraida, perkara itu merupakan maklumat awal yang boleh didedahkan kepada pemberita.

“Mungkin peringkat awal, boleh cukup saya cakap ada beberapa perkara yang kita buat permintaan pada presiden yang belum lagi dapat beliau tunaikan.

“Itu maklumat awal,” katanya.

Ahad lalu, beberapa pemimpin PKR masih tidak hadir ke mesyuarat MPP parti itu walaupun peringatan telah dikeluarkan oleh setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution.

Antara mereka ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Zuraida dan Pengerusi PKR Selangor, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Zuraida juga bingung Saifudin dan Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak seolah-olah tidak mengetahui berkaitan surat berkenaan.

“Ada dua kenyataan dari Farhash dan Saifudin seolah-olah macam tak tahu beliau (Anwar) terima surat tu,” katanya.

Ditanya mengapa terlalu sukar kepimpinan PKR duduk berbincang mengenai parti, Zuraida berkata:
It’s OK, dalam parti kena ada move untuk reconcile, it’s OK,” katanya.


PH mungkin kalah jika PRU esok, kata Rais Hussin

Rais Hussin (tengah) bersama Ahli Parlimen Rembau, Khairy 
Jamaluddin di forum di UIAM hari ini.

GOMBAK: Ketua strategi PPBM, Rais Hussin beri amaran Pakatan Harapan tidak lagi mendengar suara rakyat, dan ini boleh menyebabkan kekalahan dalam melawan Umno-PAS jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata PH ada 3 setengah tahun lagi untuk menunaikan janji-janjinya dan melaksanakan projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat.

“Dalam senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian di forum “Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata PH perlu mengambil serius manifestonya untuk meraih kepercayaan rakyat dan memenuhi janji-janji pilihan raya seperti menurunkan kos sara hidup, menambahbaik kualiti hidup dan penjagaan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, dan membina rumah mampu milik.

Beliau berkata pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi dan kerajaan mengambil pendekatan salah dalam mencipta pekerjaan seperti meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek.

Beliau berkata pengundi muda yang berusia 18 tahun ke atas, yang akan mengundi buat pertama kali, bukan pengundi setia mana-mana gabungan.

“Apa yang mereka mahu ialah pekerjaan,” katanya, tetapi bukan pekerjaan yang mengurangkan pendapatan negara.

“Kita perlu fikirkan jangka masa panjang dan bukan beberapa langkah segera,” katanya.

Beliau berkata kerajaan patut tumpu pada pertanian kerana negara masih bergantung kepada import makanan.

Sebaliknya, kerajaan PH mahukan projek kereta nasional ketiga dan kereta terbang “yang agak melucukan kerana masih ada rakyat yang susah”.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata BN pasti menang jika bukan kerana bekas perdana menteri Najib Razak, skandal 1MDB, dan GST.

Ini kerana prestasi dan penyampaian BN sebenarnya baik, katanya.

Khairy juga ditanya oleh peserta forum mengenai pilihan raya tempatan yang menurutnya boleh mengurangkan politik identiti.

“Secara prinsipnya, pilihan raya tempatan sstu perkara yang baik jika anda mahu ahli majlis laksanakan tugas,” katanya, tetapi ada kebimbangan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan jika hanya satu kaum dilantik.

Mahkamah tolak rayuan Dr M kembalikan saman terhadap laporan RCI forex

Dr Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menolak rayuan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan semula saman beliau yang memohon perisytiharan untuk membatalkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Hakim Ahmadi Asnawi yang mempengerusikan panel 3 hakim menegaskan dapatan RCI tidak boleh dicabar.

Beliau berkata apa yang dicabar Mahathir adalah dapatan RCI itu sendiri seperti yang terkandung dalam laporan RCI.

Sehubungan itu, Ahmadi berkata keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan RCI membabitkan klip video kontroversial seorang bekas peguam, VK Lingam, terpakai dalam kes Mahathir.

Pada 2011, Mahkamah Persekutuan memutuskan dapatan RCI dalam kes klip video Lingam tidak boleh disemak semula kerana pesuruhjaya hanya membuat penemuan dan bukannya keputusan.

Ahmadi yang bersidang bersama Hakim Lau Bee Lan dan Has Zanah Mehat berkata Seksyen 22 Akta Suruhanjaya Siasatan memperuntukkan budi bicara yang meluas kepada RCI untuk mengawal selia urusannya dan prosedurnya sendiri, termasuk mengumpul laporan serta peraturan untuk laporan itu dipersembahkan kepada Agong.

“Kami juga berpendapat bukanlah peranan mahkamah ini untuk memberitahu RCI bagaimana untuk mengendalikan urusannya,” katanya.

Panel itu mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Dis 2018 untuk membatalkan saman pemula Dr Mahathir yang memohon perisytiharan bahawa laporan RCI mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM adalah tidak sah, tidak lengkap dan cacat kerana ia tidak memasukkan dokumen undang-undang saksi, nota prosiding dan hujahan lisan.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2017, Mahathir turut memohon mahkamah mengisytiharkan sebarang laporan oleh RCI yang diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan akan hanya menjadi sah sekiranya ia mengandungi kenyataan bertulis oleh saksi yang memberi keterangan dalam prosiding, selain nota prosiding dan hujahan.

Beliau menamakan Pengerusi RCI, Mohd Sidek Hassan, anggota suruhanjaya yang terdiri daripada Wira Kamaludin Md Said, Tajuddin Atan, Saw Choo Boon, K Pushpanathanan dan Yusof Ismail, bekas perdana menteri Najib Razak, anggota Kabinet serta kerajaan, sebagai defendan dalam saman itu.

Sebelum itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mahathir, berkata anak guamnya bukan memohon untuk membatalkan dapatan RCI, sebaliknya mahu perisytiharan laporan itu hanya akan lengkap dan sah sekiranya ia mengandungi dokumen yang berkaitan.

Bagaimanapun, peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob, yang mewakili responden, berhujah jika laporan RCI diisytiharkan batal dan tidak sah, dapatan dan syor RCI juga akan diisytiharkan batal dan tidak sah, oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas dapatan RCI berhubung klip video Lingam turut terpakai dalam kes Mahathir.

Bas mini kembali ke KL selepas 20 tahun dihentikan




KUALA LUMPUR: Selepas hampir 21 tahun dihentikan, perkhidmatan bas mini akan membuat kemunculan semula di ibu negara mulai bulan depan.

Rapid KL akan mengadakan perkhidmatan bas mini percubaan dari hab Bukit Indah ke Ampang Point menerusi Jalan Rasmi dari 1 Sept hingga 29 Nov.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata bas mini itu, yang boleh membawa 31 penumpang di dalam setiap bas akan beroperasi dengan kekerapan 15 minit (waktu puncak) dan 25 minit (luar waktu puncak) dari 5:30 pagi hingga 11:40 malam.

“Ini sebahagian daripada inisiatif Rapid Bus untuk memberi perkhidmatan lebih baik dan kerap kepada penumpang kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkhidmatan percubaan itu akan membolehkan Rapid Bus menguji kesesuaian penggunaan bas mini di kawasan kejiranan dengan jalan yang sempit, selain mendapatkan gambaran sebenar pengalaman perjalanan penumpang menerusi maklum balas yang diterima.

Bas mini merupakan pemandangan biasa di ibu negara dari 1970-an hingga 1990-an dan bas yang sentiasa sesak dengan penumpang itu dianggap sebagai pengangkutan awam paling murah pada masa itu.

Diperkenalkan pada 1975, perkhidmatan itu ditamatkan pada 1998 selepas pihak berkuasa menggabungkan perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara.

“Jika ada permintaan yang menggalakkan semasa perkhidmatan percubaan ini, kami akan menimbangkan untuk mengekalkan perkhidmatan bagi laluan ini dan berkemungkinan memperluaskannya ke laluan lain pula,” kata Yazurin.

Para penumpang dialu-alukan untuk memberi maklum balas semasa perkhidmatan percubaan itu dengan menghubungi Rapid KL Helpline di talian 03-7885 2585 atau menghantar e-mel kepada suggest@rapidkl.com.my.

Kelantan tak kaya, tapi kami bukan negeri termiskin, kata timbalan MB

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, rakyat Kelantan boleh hidup 
dengan pendapatan RM2,000 tetapi wang itu tidak mencukupi 
bagi penduduk Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
 
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mempertikaikan kenyataan Putrajaya mengklasifikasikan ia negeri paling miskin di Malaysia dan menganggap petunjuk yang digunakan bagi status itu tidak memadai.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata soal kemiskinan di negeri itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut.

Katanya, jika hendak dikatakan miskin, tetapi kadar pengangguran dan kemiskinan di Kelantan adalah sama di peringkat nasional.

“Kita tidak menafikan Kelantan bukanlah negeri yang kaya, namun untuk menyatakan ia antara negeri termiskin adalah tidak tepat.

“Kita juga mahu tahu apakah ukuran yang digunakan untuk menunjukkan Kelantan antara negeri termiskin. Jika dikira data orang yang berdaftar dengan e-Kasih dan individu yang membuat pinjaman tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)…rasanya banyak lagi perkara yang perlu dijelaskan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika hendak dibandingkan pendapatan RM2,000 sebulan di Kuala Lumpur dan di Kelantan, sudah pasti ia berbeza.

Katanya, rakyat boleh hidup dengan pendapatan RM2,000 di Kelantan, tetapi ia pasti tidak mencukupi untuk warga Kuala Lumpur disebabkan pelbagai kos tinggi.

“Pendapat saya, mungkin sikap orang Kelantan yang tidak suka menonjol dari segi pendapatan mereka kerana sebab-sebab tersendiri.

“Apa yang kita tahu, walaupun kelihatan miskin, tetapi penduduk di sini kemungkinan mempunyai harta seperti tanah dan rumah sewa berbanding pendapatan berdaftar mereka,” katanya mengulas kenyataan mengatakan Kelantan antara negeri termiskin di Malaysia, selepas Sabah dan Sarawak.

Amar berkata, Kelantan bukan negeri kaya, tetapi untuk menyatakan ia negeri paling miskin adalah tidak tepat.

Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, Kelantan masih merupakan negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah serta Sarawak.

Radzi meminta semua pihak menerima hakikat Kelantan ialah negeri termiskin di Semenanjung.

Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan Kelantan mempunyai 6,218 orang miskin tegar, manakala 31,217 lagi tergolong dalam kategori miskin.

Radzi berkata, dari segi statistik, kadar kemiskinan Kelantan menyamai purata kemiskinan peringkat nasional, iaitu 0.4% tetapi hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan.