Selasa, 30 September 2008

MP Kapar tetap pendirian letak jawatan jika MPAJ tidak dikena tindakan
Oeh G. MANIMARAN dan ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Kapar, S. Manikavasagam masih kekal dengan pendiriannya mahu meletakkan jawatan Timbalan Badan Perhubungan PKR Selangor, tetapi hanya akan mengambil keputusan muktamad minggu depan.

Katanya, beliau telah dimaklumkan yang kerajaan negeri akan mengambil tindakan ke atas Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), yang kini digantung tugas, dalam seminggu ekoran keputusan merobohkan sebuah kuil bulan ini.

"Setakat ini keputusannya saya masih sama, akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor jika tiada tindakan tegas ke atas pengurusan MPAJ iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Pengarah Penguat Kuasa," kata beliau kepada mStar Online hari ini.

Semalam ketika dihubungi mStar Online wakil rakyat itu berkata, beliau telah membuat pendirian untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut jika pucuk kepimpinan negeri gagal menangani isu berkenaan.

Sehingga hari ini, kata Manikavasagam, beliau belum lagi menyerahkan surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebaliknya mahu memberi masa kepada Pengerusi PKR negeri itu mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai kanan MPAJ.

Manikavasagam juga menjelaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Kapar dan anggota Majlis Tertinggi PKR pusat.

"Saya cuma mahu melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi PKR Selangor jika tiada tindakan tegas ke atas pengurusan MPAJ dan memastikan rumah ibadat tidak dirobohkan, sebagaimana telah dijanjikan dalam manifesto PKR ketika pilihan raya.

"Sepanjang lapan bulan lalu tiada kuil, rumah ibadat dirobohkan... mengapa tiba-tiba sekarang?

"Saya fikir ada pihak yang menghasut supaya berbuat demikian, agar orang India rasa marah dengan PKR," katanya.

Selain itu, beliau juga mahu kerajaan negeri Selangor membina semula kuil berkenaan.

Malah, Manikavasagam juga memberitahu bahawa beliau belum menemui Menteri Selangor sehingga hari ini.

Beliau mengumumkan pendiriannya di Kulai kelmarin dan mahu menyerahkan surat kepada PKR Selangor semalam.

Blognya juga ada menyebut secara ringkas mengenai keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR negeri.

Sambil mengesahkan mesej yang disampaikan di Kulai, blog tersebut berkata: "Saya bukan seperti pemimpin-pemimpin lain memegang jawatan meskipun tahu penolakan Rakyat."

Kepada semua pengunjung beragama Islam walau di mana jua berada
DIALOG RAKYAT
mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA - MAAF ZAHIR DAN BATIN
Kerajaan PR mesti contohi ketegasan kerajaan Perak
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar berharap kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mencontohi kerajaan negeri Perak dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan kesalahan.

"Kerajaan-kerajaan PR bukan sahaja mesti mementingkan kredibiliti para pemimpinnya malah ia juga mesti meliputi para pegawainya," tegas Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Kerajaan negeri Perak Ahad lalu memecat serta merta Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan yang mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung apa yang dinyatakan oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Rabu lalu, 24 Ogos lalu, Zul didakwa menerima rasuah berbentuk habuan seks setelah mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) di Ipoh.

Ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: “ Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar.”

Bagaimanapun, katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.

“Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’ ujar Zul.

Kepada Mahfuz, apa yang berlaku kepada Zul itu bukan semata-mata tuduhan atau mempunyai unsur konpirasi.

"Sebaliknya, orang itu sendiri dengan jelas mengakui beliau mengakui perbuatan terkutuk dan jijik itu," katanya.

Tidak kira sama ada perbuatan itu berunsur rasuah atau tidak, kata Mahfuz, apa yang diakui dilakukan oleh Ahli Majlis Daerah Perak Tengah yang dipecat itu adalah satu kesalahan.

"Seseorang pegawai awam bukan sahaja tidak boleh memberikan kenyataan yang tidak menunjukkan rasa bersalah setelah melakukan kesalahan dan perbuatan tidak berakhlak seperti itu malah kalau disembunyikan sekalipun ia tetap salah dan mesti diambil tindakan tegas dan keras," katanya.

Mahfuz mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar dan kepimpinan negeri Perak yang berani bertindak tegas dalam isu tersebut.

"Keputusan dan tindakan itu mesti didokong oleh semua pihak," katanya.

Mahfuz juga meminta rakyat bersuara tegas untuk mendesak para pemimpin yang ternyata melakukan kesalahan, tidak kira kesalahan jenayah atau moral, supaya berundur segera.

"Kita tidak mahu melihat ada pelbagai pengakuan bersumpah yang mengaitkan seseorang pemimpin dengan kesalahan, sama ada kesalahan jenayah, moral apa lagi kesalahan dari segi agama terus berdalih-dalih dengan hujah yang rapuh atau lebih buruk lagi terus berdiam diri seolah-olah tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Rakyat mesti bertindak dengan tersusun dan tegas untuk menuntut mereka berundur," kata Mahfuz._
Manikavasagam kekal timbalan pengerusi PKR S'gor
Malaysiakini


Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan pengerusi PKR Selangor, kata Setiausaha Politiknya, M Shanmugam hari ini.

Manikavasagam yang tidak dapat dihubungi, sebelum ini mengancam untuk meletakkan jawatan tersebut sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap orang yang bertanggungjawab merobohkan sebuah kuil Hindu di Ampang.

Usaha untuk menghubungi ahli parlimen Kapar itu tidak berjaya kerana beliau telah menutup telefon bimbitnya.

Semalam, kerajaan negeri telah mengenakan tindakan menggantung tugas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hamid Hussein selama seminggu berhubung isu tersebut.

"Manikavasagam akan mengekalkan jawatan timbalan pengerusi PKR Selangor selepas penggantungan tugas orang di belakang perobohan tersebut," kata Shanmugam.

Akhbar The Star hari ini memetik Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu sebagai berkata, Hamid akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan terhadap isu perobohan kuil berkenaan.

Hamid dikatakan pegawai yang mengarahkan supaya kuil yang berusia 19 tahun itu, yang terletak berhampiran Kampung Tasek Tambahan, dirobohkan dua minggu lalu.

Menurut laporan itu lagi, jawatankuasa tiga anggota kerajaan negeri mengenai hal ehwal agama orang bukan Islam - yang dianggotai oleh Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Liu - telah memulakan siasatan.

Hasil siasatan mereka dijangka diketahui Isnin depan.

K'jaan negeri tidak tahu

Sementara itu, Shanmugam berkata, beliau telah menemui Nik Nazmi Nik Ahmad - setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beliau berjanji bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab merobohkan kuil tersebut.

"Beliau memberitahu saya bahawa kerajaan negeri tidak terbabit dalam perobohan kuil tersebut dan ia akan mengambil tindakan susulan selepas tamat tempoh penggantungan tugas (Hamid)," tambahnya.

Shanmugam berkata, beliau yakin kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan tindakan menggantung tugas Hamid, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap masalah rakyat.

Menurut Liu, Hamid sebagai timbalan presiden MPAJ, dilaporkan membuat keputusan berhubung perkara tersebut kerana presiden MPAJ sedang bercuti ketika kuil tersebut dirobohkan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mencari satu penyelesaian mengenai kuil Dri Mahakaliaman secepat mungkin dan memandang berat tindakan merobohkan tempat-tempat ibadat.

Hamid tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai perkara tersebut.
Siapa yang 'rugi' jika PM bersara awal
Beh Lih Yi


Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya mempunyai sembilan hari lagi untuk membuat keputusan sama ada beliau akan bersara atau mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno yang telah ditangguhkan ke Mac tahun depan.

Jumaat lalu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu "untuk memudahkan peralihan awal kuasa" dari Abdullah kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdullah belum mengesahkan sama ada akan mempertahankan jawatannya atau tidak, dan beliau akan hanya berbuat demikian sebelum Umno bahagian bermesyuarat mulai 9 Oktober ini.

Perdana menteri terpaksa mempercepatkan tarikh awal peralihan kuasa pada Jun 2010 selepas dilaporkan mendapatkan tekanan hebat supaya bersara lebih awal.

Bagaimanapun, bukan Abdullah atau penyokongnya sahaja yang akan rugi jika beliau bersara.

Malaysiakini bercakap kepada beberapa penganalisa dan pemerhati politik untuk mengetahui siapakah yang lainnya yang turut rugi jika Abdullah bersara.

Berada di tempat tertinggi dalam senarai tersebut ialah menantu Abdullah - Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau, yang didakwa merupakan 'kuasa' di sebalik Abdullah - walaupun Khairy berulangkali menafikannya.
18 orang terkorban hari kelima Ops Sikap 17
Bernama


KUALA LUMPUR – Seramai 18 pengguna jalan raya maut pada hari kelima Ops Sikap ke-17 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh akibat kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula kepada 63 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supriten dan Rasdi Ramli berkata, mereka yang terbunuh adalah 13 pengguna motosikal, dua pengguna kereta, dua pengguna basikal dan seorang pejalan kaki.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 381 kes, diikuti jalan Persekutuan (302 kes), jalan Negeri (162 kes), lebuh raya (77 kes) dan jalan-jalan lain (22 kes).

Beliau berkata, Ops Sikap semalam juga menyaksikan sebanyak 10,367 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik.

Ops Sikap ke-17 yang berjalan sehingga 8 Oktober depan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Masyarakat Islam Thai sambut Aidilfitri Rabu
Bernama


BANGKOK . — Kira-kira 7.5 juta umat Islam Thailand akan menyambut Hari Raya Aidilfitri Rabu ini, demikian pengumuman malam ini.

Pengumuman itu dilakukan Majlis Agama Islam wilayah masing-masing selepas perbincangan di kalangan pemimpin-pemimpin agama Islam dengan Sheikul Islam atau Chularachamontri yang dilantik oleh Raja Thailand sebagai pemimpin Islam Thailand.

Usaha melihat anak bulan baru bagi menentukan tarikh sambutan Aidilfitri di negara itu dilakukan di beberapa tempat di seluruh negara berkenaan hari ini.

Dijangkakan terdapat kira-kira 7.5 juta umat Islam di negara yang mempunyai penduduk seramai 65 juta orang itu, dengan kebanyakan mereka tinggal di tiga wilayah selatan iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, yang bersempadan dengan Malaysia, selain Bangkok dan Ayuthaya.

Terdapat kira-kira 3,400 masjid di seluruh negara itu.

Isnin, 29 September 2008

Tanda Tanya Penangguhan Perhimpunan Agung Umno
A Kadir Jasin


ADA beberapa pihak di dalam dan luar Umno yang mengalu-alukan penangguhan perhimpunan agung tahunan dan pemilihan Majlis Tertinggi daripada Disember ini kepada Mac tahun depan.

Mereka dari dalam Umno yang mengalu-alukan keputusan itu nampaknya keliru. Mereka mencampuradukkan kemungkinan Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan lebih awal dengan perhimpunan agung tahunan.

Ini sekali gus membuktikan ketidakpedulian Majlis Tertinggi terhadap perasaan dan kehendak keahlian parti keseluruhannya. Jelas ahli MT terus mengutamakan kepentingan sempit mereka daripada kepentingan parti.

Majlis yang sama, yang menolak tuntutan diadakan persidangan agung luar biasa bagi membincangkan prestasi hambar parti dalam pilihan raya umum 8 Mac, sewenang-wenangnya menangguhkan perhimpunan tahunan yang dijadualkan Disember ini.

Kalaupun benar Abdullah hendak bersara dan mempercepatkan peralihan kuasa, adakah perlu persidangan agung tahunan ditangguhkan?

Sebaliknya jika benar-benar Abdullah hendak bersara, persidangan agung dan pemilihan MT Disember ini tentulah menjadi tambah penting dan mendesak.

Belum apa-apa lagi, sudah ada ahli Umno dan orang Melayu menyatakan sokongan kepada keputusan MT itu dan “kesian” kepada Abdullah.

Yang tidak mereka sedari adalah sikap terlalu mudah digula-gulakan dan memberi simpati tanpa bertempat inilah yang menjadi salah satu punca orang Melayu mudah diperalatkan.

Orang Melayu terlalu cepat lupa dan terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis pembesar mereka dan oleh sesiapa sahaja yang pandai memutarkan kata-kata.

(Sebab itulah agaknya Abdullah melantik begitu ramai “spin doctors” – tukang putar belit – dalam struktur super pemerintahannya, khasnya dalam media massa).

Saya berani berkata, hatta pembesar yang (kononnya) mereka tidak suka seperti Khairy Jamaluddin pun akan mereka tangisi dan terima atas talam emas jika dia pandai gula-gulakan dan ambil hati mereka.

Kalau tidak, masakan orang Umno dan orang Melayu boleh terima pemimpin yang jelas korup, rendah pekerti, sombong dan didapati bersalah oleh mahkamah?

Kalau kita hendak mengartikulasikan politik orang Melayu, kita mungkin boleh membuat kesimpulan bahawa orang Melayu tidak mengutamakan prinsip dan perjuangan .

Jadi, apakah alasan yang begitu mendesak sehingga MT menangguhkan perhimpunan agung tahunan Disember ini?

1. Adakah kerana Abdullah membuat janji kepada mereka bahawa dia akan mempercepatkan peralihan kuasa dan tidak akan mempertahankan jawatan presiden?;

2. Kalaupun benar, mengapa perhimpunan agung perlu ditangguhkan?;

3. Adakah Abdullah dan para penasihatnya masih menaruh harapan dapat memulihkan sokongan dan simpati terhadap beliau dengan berjanji mempercepatkan proses peralihan kuasa?;

4. Adakah Abdullah akan membuat pengumuman sebelum bahagian-bahagian Umno mula bersidang 9 Oktober ini yang dia tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan seterusnya bersara menjelang Mac?;

5. Adakah Abdullah akan bersara lebih awal kerana mahu memberi peluang kepada Mohd Najib Abdul Razak atau kerana dia bimbang tidak akan mendapat pencalonan yang sepatutnya daripada bahagian?; atau

6. Adakah ahli MT sendiri begitu cepat menangguhkan persidangan agung tahunan kerana mereka berasa peluang mereka menang lebih besar jika pengundian MT dilewatkan hingga Mac?

Bagi Abdullah, bayangkan betapa aibnya jika dia tidak mendapat pencalonan yang cukup banyak bagi menentang Tengku Razaleigh Hamzah.

Atau lebih memalukan jika Mohd Najib dicalonkan untuk melawan beliau dan mendapat pencalonan yang lebih banyak pula.

Sementara itu, yang lebih mendesak sekarang bukanlah kepemimpinan Umno dan Kerajaan per se tetapi kurannya keyakinan rakyat jelata dan pelabur terhadap kepemimpinan Abdullah.

Prognosisnya cukup jelas. Berikanlah apa pun jenis ubat dan penawar, rakyat jelata dan pelabur tetap tidak yakin dengan kemampuan kepemimpinan Abdullah untuk mengatasi krisis ekonomi tempatan dan global yang meruncing sekarang.

Apa pun mereka lakukan demi kelangsungan politik mereka, para pembesar Umno wajib sedar bahawa kontrak asal dengan ahli Umno, orang Melayu dan rakyat Malaysia tidak laku lagi. Ia sudah ditolak pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sekiranya mereka mahu diri mereka dan Umno terus relevan dan berguna, mereka wajib meyakinkan ahli Umno, orang Melayu dan rakyat Malaysia bahawa mereka bersedia memeterai perjanjian baru.
K'jaan S'gor kesal ugutan terhadap Teresa
MALAYSIAKINI


Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kesal terhadap perbuatan membaling bom petrol ke rumah keluarga ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menganggapnya sebagai satu tindakan jenayah yang serius yang boleh menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk spekulasi politik.

"Oleh itu, kerajaan negeri juga berharap agar pihak polis dapat menyegerakan proses siasatan dan membawa mereka yang bersalah kemuka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu Sabtu lalu, kediaman ibu bapa Teresa di Jalan Ipoh di ibunegara dilontar bom petrol pada awal pagi ini.

Bagaimanapun, tiada penghuni rumah itu yang cedera dalam kejadian itu kerana bom petrol itu tidak meletup.

Teresa dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 19 September lalu setelah ditahan selama tujuh hari.

Sekeping kertas turut ditemui di tempat kejadian yang mengandungi mesej ugutan terhadap Teresa.

Teresa, yang juga ahli exco kanan kerajaan Selangor menjadi sasaran kecaman beberapa pihak selepas mendakwa beliau diberi makanan seperti makanan anjing ketika ditahan di bawah ISA.

Tiada diskriminasi kaum, agama

Teresa, 43, ditangkap di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai agama Islam, dan dibebaskan seminggu kemudiannya.

Semasa dalam tahanan, Teresa juga telah membuat laporan polis terhadap akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, editor kanannya, Zaini Hassan dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo kerana menuduhnya terbabit dalam isu tersebut

Menurut Khalid lagi, kerajaan negeri juga sedar bahawa tuduhan-tuduhan liar telah dilemparkan terhadap Teresa.

Bagaimanapun, menteri besar Selangor itu menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

"Kerajaan negeri melihat Teresa yang memegang portfolo pelaburan, perindustrian dan perdagangan, sentiasa melihat isu sosial secara menyeluruh dan bukan dari sudut perkauman ataupun politik.

"Teresa adalah seorang pemimpin yang bertanggugjawab dan mempunyai tatacara dan pelakuan yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia yang aman damai," tambahnya.

Khalid berkata, Teresa juga menyokong konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor" dan mengambil kira semua pengagihan bantuan dan pembangunan utnuk semua rakyat, terutama mereka yang memerlukan tanpa mengira isu perkauman atau agama.

Beliau juga menegaskan bahawa konsep diskriminasi berdasarkan perkauman atau agama, tidak ada dalam kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang melaksanakan pentadbiran dengan jujur dan telus untuk semua.
Isu Kuil: Selangor Sangkal Samy Vellu
Suara keADILan


KERAJAAN Negeri Selangor menyangkal dakwaan Presiden MIC, Samy Vellu yang menyatakan Kerajaan Selangor tidak mengambil perhatian terhadap masalah Kuil yang dihadapi di Selangor.

Menurut Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamaruddin, kenyataan Samy Vellu yang menyifatkan Kerajaan Negeri Selangor merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman di Kampung Tasik, Ampang bercanggah dengan janji Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum lepas iaitu tidak merobohkan mana-mana kuil tanpa penepatan semula yang sesuai adalah tidak benar sekali.

“Saya ingin menegaskan bahawa isu kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil perhatian terhadap masalah kuil tidak wujud, sebaliknya tuduhan Samy Vellu yang tidak berdasarkan fakta sebenar itu adalah percubaan jahat untuk mengelirukan masyarakat India khususnya,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Hakikatnya, kuil tersebut telah dirobohkan pada 10 September untuk kerja pengubahsuaian bangunan dan dokumentasi.

“Pada 11 September lalu, Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya(MPAJ) Soorianarayanan dan Supiramany tampil untuk berbincang bersama Timbalan Yang di Pertua MPAJ untuk menyelesaikan isu prosedur pengurusan kuil tersebut. Kini pihak pengurusan kuil masih menunggu laporan dari pihak Majlis Perbandaran,” katanya lagi.

Menurut Pengerusi kuil, Murugiah, masalah kuil ini iaitu tanpa dokumentasi sudah berlanjutan hampir 19 tahun, malah pernah dirobohkan sebanyak dua kali di bawah pentadbiran Barisan Nasional. Barisan Nasional telah membiarkan masalah kuil tersebut.

Murugiah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Pakatan Rakyat kerana mengambil perhatian terhadap masalah berkenaan dan berusaha untuk mengatasi masalah berkenaan tanpa mengira latar belakang kaum.

Menurut sumber, MIC hanya hadir pada 24 September iaitu selepas 14 hari isu berkenan terjadi. Mereka telah dihalau dari kuil tersebut dan atas sebab itu mereka cuba memburukkan kerajaan Pakatan Rakyat dengan membuat laporan polis yang menutup fakta sebenar.
Disyakini melamine: 866 tindakan sita
Malaysiakini


Sebanyak 866 tindakan menyita dijalankan ke atas produk makanan di pasaran tempatan bernilai RM318,742.10 yang disyaki mengandungi melamine, kata pengarah bahagian keselamatan dan kualiti makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu merangkumi bijirin bernilai RM2,284.09, kekeras (RM6,469.30), konfeksi (RM236,099.33), produk coklat (RM34,397.11) dan susu (RM39,492.27).

Katanya 994 produk makanan daripada 35 syarikat yang tidak terlibat dengan pencemaran melamine telah dikemaskini sehingga ke hari ini.

Dalam satu kenyataan akhbar, lapor Bernama, Noraini berkata sampel makanan telah diambil dan dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan ia mematuhi piawaian sebelum dibenarkan untuk dijual di pasaran.

Katanya, keputusan analisis bagi 10 lagi sampel produk makanan telah diperoleh dan kesemuanya mematuhi piawaian bagi melamine, ini menjadikan sampel produk yang telah dianalisis setakat ini sebanyak 26 sampel.

Pengguna dinasihatkan sentiasa membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan di pasaran.

Noraini berkata sekiranya masih ragu-ragu, pengguna boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di empat talian iaitu 03-88 83 36 55, 88 83 35 03, 88 83 36 52 dan 88 83 35 00.

Talian ini, katanya dibuka dari 8 pagi hingga 9 malam termasuk cuti umum dan hari raya.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web
fsq.moh.gov.my
Angkasawan China kembali dengan rekod berjalan di angkasa lepas
BERNAMA


BEIJING: Angkasawan China mendarat di bumi dengan selamat petang ini di kawasan padang rumput di pedalaman Mongolia, selepas ketua penerbangan Zhai Zhigang berjaya berjalan di angkasa lepas.

Kepulangan tiga angkasawan itu disambut dengan tepukan dan sorakan gembira di mana misi mereka disiarkan secara terperinci di televisyen tempatan, sejak mereka dilancarkan dengan roket Long March 2F daripada pusat pelancaran satelit Jiuquan, di barat laut wilayah Gansu pada Khamis.

Jutaan rakyat China terpaku di kaca tv melihat kapsul yang terikat pada dua payung terjun besar terapung dan akhirnya mendarat di bumi, dua hari sebelum China menyambut ulang tahun hari kebangsaan yang ke-59.

Perdana Menteri Wen Jiabao tiba di Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing, lebih sejam awal sebelum kapsul dijangka mendarat pada 5.44 petang dan bertepuk tangan sebaik ia mendarat di bumi beberapa minit daripada masa yang dijadualkan.

Presiden Hu Jintao turut mengucapkan tahniah para angkasawan dan memuji mereka kerana tugas cemerlang yang telah dilaksanakan.

Angkasawan Zhai dan rakan yang lain Liu Boming dan Jing Haipeng, dilaporkan dalam keadaan sihat selepas misi 68 jam itu, dan Zhai menunjukkan tanda bagus kepada pihak penyelamat, menurut stesen televisyen negara dan berada di dalam kapsul beberapa ketika untuk menyesuaikan dengan graviti.

Televisyen menunjukkan konvoi pacuan empat roda memecut di dataran berumput itu ke arah arah kapsul.

Kira-kira 300 petugas mencari dan menyelamat dan enam helikopter digerakkan semasa pendaratan kapsul dan semua lima kapal mengesan satelit China bersiap sedia di lautan Pasifik dan Atlantik sebelum kapal angkasa Shenzhou VII berlepas.

Agensi berita Xinhua melaporkan tiga angkasawan berkenaan akan dikuarantin selama setengah bulan.

"Kita tidak boleh melihat mereka semasa tempoh itu, tetapi kita merasa lega selagi mereka berada di bumi," kata isteri Zhai, Zhang Shujing yang dipetik sebagai berkata.

Ketiga-tiga angkasawan itu merupakan antara angkasawan China yang berjaya ke angkasa dalam kapal yang dipandu manusia, menyusuri kejayaan ulung Yang Liwei pada 2003 dan pasangan Fei Junlong dan Nie Haisheng pada 2005.

Nama Yang, Fei dan Nie turut dinamakan kepada asteroid.
Habuan seks: Zul Hassan dipecat
UTUSAN ONLINE


IPOH – Kerajaan negeri Perak hari ini memecat serta merta Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan (gambar) yang mengaku menerima habuan seks wanita warga China berhubung skandal rasuah membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar berkata, arahan melucutkan jawatan Zul yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikeluarkan pada Jumaat lalu.

‘‘Ini adalah keputusan kerajaan negeri setelah dia mengaku mendapat habuan seks wanita China menerusi seorang individu yang dikenali sebagai Mohamad Imran Abdullah pada 14 Ogos di Batu Feringgi, Pulau Pinang.

‘‘Di samping itu individu yang menawarkan habuan seks itu akan didakwa secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Persatuan India Muslim Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) menyiasat mengikut akta dan enakmen sedia ada bagi membolehkan tindakan tegas diambil ke atas mereka.

‘‘Kita juga akan mengesyorkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang menerima ataupun menawarkan habuan seks dan rasuah.

‘‘Mereka tidak lagi layak untuk menjadi ahli majlis di bawah kerajaan pakatan pembangkang dan kita mahu dia meletakkan jawatan secepat mungkin,” ujar beliau.

Mohammad Nizar berkata, tindakan itu juga merupakan amaran untuk semua ahli majlis yang membuat kesalahan sedemikian dengan kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk bertindak.
Bertentangan

‘‘Jika mereka sanggup melakukan perbuatan yang bertentangan dengan adat kesopanan dan kesusilaan, mereka tidak lagi layak untuk mewakili kerajaan pakatan pembangkang dalam mana-mana jawatan sama ada majlis bandaran atau majlis daerah di Perak,” tegas beliau.

Pada 24 Ogos lalu, Zul didakwa menerima rasuah berbentuk habuan seks setelah mengadakan pertemuan dengan pegawai JAIP di sini.

Ditanya sama ada dia turut melakukan hubungan seks, Zul berkata: ‘‘Tidak mengaku tidak boleh, dia (BPR) ada gambar.”

Bagaimanapun, katanya, dakwaan BPR bahawa dia dan rakannya meminta perempuan China daripada Mohamad Imran adalah tidak benar.

‘‘Kita tak minta, tak cari, Mohamad Imran yang hantar. Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?’’ ujar Zul.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Perak hari ini mendesak kerajaan negeri itu memecat kedua-dua Exco yang kini menghadapi dakwaan di mahkamah berhubung skandal rasuah membabitkan sebuah projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar di sini.

Ketua Pemuda UMNO, Zainol Fadzi Paharudin berkata, kedua-dua mereka perlu diambil tindakan seperti yang dilakukan terhadap Zul Hassan.

Katanya, jika kedua-dua Exco berkenaan tidak dipecat ia bertentangan dengan prinsip perjuangan kerajaan pakatan pembangkang itu.

‘‘Kenapa ada perbezaan dalam siasatan membabitkan dua Exco berkenaan setelah Zul Hassan dipecat hari ini,” katanya di sini hari ini.

Ahad, 28 September 2008

Jadikan PAS wadah penyelamat kebobrokan Umno-BN
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Umat Islam digesa untuk sama-sama menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan Islam dan Melayu di negara ini.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan ia sepatutnya menjadi misi setiap ahli PAS dalam mengajak rakyat Malaysia lain yang beragama Islam bagi menjadikan PAS sebagai platform perjuangan nasib mereka pada masa akan datang.

"Itulah saranan kita supaya orang Islam mesti bersama-sama dengan PAS.

"Ini kerana ia merupakan sebuah parti yang mempunyai matlamat dan dasar yang jelas membuktikan ianya patut didokongi oleh semua orang Islam," katanya kepada Harakah.

Minggu lalu, Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang menyarankan 'Mari bersama PAS' sebagai misi ahli-ahli dan semua peringkat parti untuk memperluaskan strategi dan pendekatan mengajak orang ramai menyertai PAS.

Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh saranan Presiden PAS yang mengajak orang ramai menyertai parti itu.

Ketuanya, Salahudin Ayub telah menyahut saranan tersebut dengan meningkatkan keupayaan Pemuda bagi menarik minat serta sokongan anak-anak muda.

"Pemuda sedang mempelbagaikan pendekatan terutamanya dalam aspek rekreasi, sukan, hiburan yang tidak melampau," katanya kepada Harakah.

Ditanya mengenai cadangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perhatian serius Pemuda dalam mendekati golongan belia sebagai dakwah kepada Islam dan PAS, beliau menyatakan bahawa pemuda telah mengambil tindakan.

"Dalam ucapan tema Ketua Pemuda PAS baru-baru ini, saya telah menyebutkan bahawa Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menubuhkan Kelab Ramaja Ibukota.

"Ia adalah sebagai inisiatif bagi mempelbagaikan pendekatan kepada golongan belia dan remaja," ujarnya yang juga merupakan ahli Parlimen Kubang Krian

Tambahnya, Pemuda sememangnya telah lama memberikan fokus kepada aktiviti dalam aspek kebudayaan khususnya kepada remaja bukan Islam.

"Selain mengajak mereka mengenali Islam, ia turut berperanan dalam menerangkan intipati Islam kepada mereka," demikian ujarnya.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pula menyifatkan saranan itu sangat sinonim dengan keperluan semasa dan bertepatan dengan keperluan hari ini.

"Sesuai dengan PAS yang membawa wadah Islam yang akan memberikan kesejahteraan pada kegawatan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan kenegaraan di Malaysia," katanya kepada Harakah.

Tambahnya, dengan lain perkataan hanya Islam sahaja yang boleh menjadi penyelesaian kepada seluruh masalah sekarang ini.

Keadaan politik semasa telah membuktikan bahawa Umno kini sudah tidak relevan dalam membela survival Islam dan Melayu di negara ini, demikian ulas Setiausaha Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya rakyat bersama-sama perjuangan PAS setelah menjadi mangsa kelemahan pentadbiran kerajaan Umno-BN.

"Separuh abad di persada politik negara sebenarnya telah menguji PAS dalam kongkongan politik Umno khususnya dalam kemampuan mentadbir kerajaan negeri Kelantan hampir 20 tahun," ujarnya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, umum boleh menilai sendiri bahawa tiada kemunduran rakyat di Kelantan sepanjang pentadbiran PAS.

"Malah mereka membangun berbanding rakyat di negeri lain dalam pencapaian pelbagai sektor. Kemungkinan ini adalah hasil didikan seimbang di negeri mereka yang memenuhi tuntutan fizikal dan spiritual," tambahnya.

Bagi Athirah, telah tiba untuk rakyat menukar wadah.

"Kita mempersoalkan Umno yang memomokkan bahawa negara kita dikuasai orang Cina, bangsa Melayu dan umat Islam telah semakin terpecah jika dibenarkan beralih kepada Pakatan Rakyat," tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, jika rakyat meragui kesan penyertaan tersebut yang boleh menghakis ketuanan Melayu Islam, kini sudah tiba masanya untuk Umno berkorban meninggalkan parti yang hampir mati itu.- (tmj)_
Minyak naik 78 sen, turun cuma 25 sen – Salahuddin
Zuharman MN


KOTA BHARU - Perdana Menteri sudah dua kali mengumumkan harga minyak turun, namun harga barang tetap melambung dan kadar inflasi mencecah paras lapan peratus.

Apakah ini menggambarkan kebijaksanaan yang ada pada pemimpin Barisan Nasional (BN) sekarang. Atau tindakan itu sekadar melepas batuk di tangga kerana krisis dalaman Umno yang semakin membarah.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, biar pun kerajaan sudah dua kali menurunkan harga minya namun kadar inflasi kini mencecah lapan peratus.

"Ini menggambarkan kerajaan tidak mempunyai perancangan khusus dalam menangani bebanan rakyat. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak lebih 40 peratus pada Jun lalu mengundang kenaikan harga barangan di pasaran.

"Tetapi hari ini walaupun dua kali harga minyak diturunkan tapi harga barangan di pasaran masih mahal. Ini masalahnya kerana ketidakupayaan pemimpin yang ada sekarang," katanya pada majlis penyampaian zakat di pejabat Dun Demit di Kubang Kerian, baru-baru ini

Pada Ogos lalu harga minyak diumumkan turun sebanyak 15 sen dan 24 September lalu turun lagi sebanyak 10 sen, menjadikan jumlah keseluruhan penurunan harga minyak 25 sen.
Sedangkan pada 4 Jun lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen iaitu peningkatan 40.6 peratus berbanding harga sebelumnya.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, berdasar kepada nisbah Dolar Amerika Syarikat dan harga pasaran minyak negara sekarang, seolah-olah rakyat menanggung subsidi kerajaan.

Pada majlis tersebut Salahuddin menyampaikan zakat kepada hampir 500 penduduk miskin di kawasan Parlimen Kubang Kerian. - mj _
17 Keluarga Tahanan ISA Dapat Perhatian Kerajaan Negeri
NOOR ALLIA KASSIM


SHAH ALAM – Soal kebajikan bagi 17 keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Selangor sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Selangor yang menjadi negeri pertama mengusulkan agar ISA dimansuhkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mei lalu, prihatin dengan nasib keluarga tahanan dengan menghulurkan pelbagai bantuan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sejak menerima baik memorandum Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) empat bulan lalu, pihaknya telah mengatur program bantuan khasnya dalam menjaga kebajikan keluarga terbabit.

Rodziah berkata walaupun akta itu tertakluk di bawah kuasa kerajaan pusat, kerajaan negeri akan terus mendesak agar ia dimansuhkan.

Menurut Rodziah, antara bantuan yang dihulurkan kepada keluarga mangsa ialah pengangkutan percuma untuk melawat suami atau bapa yang ditahan di Pusat Tahanan Kamunting yang sudah bermula Jun lalu.

Katanya, keluarga terbabit turut dilindungi insuran dalam setiap perjalanan yang disediakan setiap dua minggu.

Sempena hari raya Aidilfitri dan Deepavali, kerajaan negeri juga menghulurkan RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan bebanan yang ditanggung.

“Daripada apa yang kita berikan ini, kita tidaklah kata kita menyokong ISA.

“Kerajaan negeri masih tetap mendesak supaya ISA ini dimansuhkan kerana ia adalah satu akta zalim yang tidak boleh digunapakai. Ia juga hanya merosakkan minda isteri dan anak-anak mangsa,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan hari raya di pejabatnya di Bangunan SSAAS dekat sini petang tadi.

Rodziah menambah pihaknya juga sedang merancang untuk menyediakan bantuan pelajaran percuma bagi anak tahanan di Yayasan Selangor selain biasiswa bagi mereka yang hendak menyambung pelajaran ke universiti.

Sementara itu isteri kepada Mat Shah Mohd Satray, Norlaila Othman yang ditemui pada majlis itu berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri Selangor atas nasib yang menimpa keluarga tahanan.

Menurutnya pemberian pelbagai bantuan itu adalah sesuatu yang menggembirakan kerana penderitaan mereka difahami kerajaan negeri.

“Apabila dapat sumbangan daripada kerajaan negeri, kita rasa terharu. Kita ini hanya rakyat biasa, jadi bila ada perhatian seperti ini kita rasa sangat istimewa,” katanya.
Tambahnya, hari raya Aidilfitri tidak disambut dengan suasana sebenar sejak suami ditahan enam tahun lalu.

“Selama ini kami sebuah keluarga bahagia, tetapi ISA telah meragut kebahagiaan tersebut sejak enam tahun lalu.

“Selagi ISA masih ada, kita tidak akan dapat hidup dalam aman dan harmoni, terutamanya bagi kami keluarga mangsa,” tambahnya.

Norlaila berkata walaupun tidak mampu menghindar perasaan sedih, kehidupan perlu diteruskan demi anaknya yang kini berumur 15 tahun.

Beliau berkata rakyat di negara ini juga ramai yang prihatin dan sentiasa memberi sokongan padu kepada keluarga mangsa.

Katanya, sokongan kewangan dan kasih sayang daripada rakyat sangat dihargai dan dalam masa sama mereka turut mengharapkan sokongan dalam kempen-kempen memansuhkan ISA.
Kerajaan Selangor Pakatan akui kuil di Ampang diroboh
Oeh ARIFUDDIN ISHAK


AMPANG: Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mengakui yang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)telah merobohkan sebuah kuil di Ampang awal bulan ini walaupun dinafikan sebelum ini.

Dalam kenyataan media hari ini, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik itu tanpa kebenaran kerajaan negeri.

"Kita telah arahkan kepada semua pihak majlis perbandaran di Selangor supaya mana-mana rumah ibadat yang hendak hendak dirobohkan mesti mendapat kelulusan kerajaan negeri," katanya semasa mengadakan lawatan ke tapak Kuil Sri Mahakaliamman hari ini.

Ia bertentangan dengan kenyataan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dua hari lalu bahawa kuil berkenaan telah dirobohkan untuk kerja-kerja pengubahsuaian bangunan dan dokumentasi.

Dr. Xavier, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pekerja Estet dan Kerajaan Prihatin berkata, tiada pihak berhak untuk merobohkan rumah ibadat sama ada masjid, surau, kuil, tokong mahupun gereja walaupun ia dibina secara tidak sah.

Surat makluman mengenai perkara tersebut juga telah dihantar kepada semua majlis perbandaran di Selangor.

Bagaimanapun Dr. Xavier berkata, perkara ini berpunca daripada kesilapan dan kelemahaan kedua-dua pihak.

"Pertamanya MPAJ meroboh tanpa merujuk kerajaan negeri dan keduanya pihak pengurusan kuil telah membina kuil ini tanpa mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan," katanya.

Semalam, MIC menggesa Kerajaan Negeri Selangor mendedahkan kepada umum laporan sebenar berhubung tindakan merobohkan kuil berkenaan apabila dua wakil rakyat berkenaan - kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kenyataan bercanggah tentang perkara itu.

Presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, kenyataan dua wakil rakyat itu mengelirukan rakyat tentang siapa sebenarnya yang bertanggungjawab merobohkan kuil Sri Mahakaliamman pada 9 September lalu.

Beliau berkata, menurut Zuraida binaan itu diroboh oleh jawatankuasa kuil berkenaan bagi menjalankan kerja pengubahsuaian, tetapi Dr. Xavier pula berkata, lima hingga enam pegawai penguatkuasa MPAJ terlibat dalam kerja merobohkan kuil itu.

Kerajaan negeri yang diterajui PKR tidak sepatutnya mengalihkan isu ini dengan mendakwa MIC membuat tuduhan tidak berasas, kata Samy Vellu.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Zuraida itu, Dr. Xavier berkata, berlaku salah faham mengenai kenyataan tersebut.

"Saya telah bercakap dengannya (Zuraida) pagi tadi, beliau menafikan memberi sebarang kenyataan bahawa kuil itu dirobohkan oleh pihaknya seperti mana yang dilaporkan di media.

"Dia menafikannya dan saya fikir pengerusi kuil ini iaitu S. Murugiah boleh pastikan bahawa ia tidak dilakukan oleh beliau dan jawatankuasanya," katanya.

Menurut beliau, kerajaan Pakatan Rakyat yang menerajui negeri Selangor berjaya menangani isu ini dengan sebaik mungkin dan berharap agar tidak ada mana-mana pihak yang cuba untuk mempolitikkan perkara ini.

"Kalau kita tengok pada rekod terdahulu, banyak kuil dirobohkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa dan MIC yang merupakan sebahagian daripadanya turut membenarkan perkara ini berlaku," katanya.

Tambah beliau, walaupun Pakatan Rakyat baru enam bulan mentadbir Selangor tetapi kerajaan negeri memandang serius perkara ini.

Namun baginya persoalan yang timbul ialah bagaimana kerajaan terdahulu membenarkan isu pembinaan kuil secara tidak sah terus berlaku tanpa sekatan.

"Dulu mereka tutup mata dan benarkan, tapi sekarang mereka kata bina kuil atas tanah haram.

"Mengapa dulu boleh sedangkan memang ada peraturan-peraturan tertentu untuk membina kuil," soalnya.

Beliau menambah, pihak jawatankuasa kuil tersebut boleh mengemukakakan permohonan jika ingin meneruskan kuil tersebut.

Katanya kerajaan negeri boleh membuat pertimbangan mencari tapak yang sesuai bagi menempatkan semula kuil yang telah dirobohkan itu.

Jelas beliau, kerajaan negeri sentiasa menyambut baik cadangan pembinaan kuil, namun perlu mengikut garis panduan ditetapkan.

Bagaimanapun jelasnya, jika sesebuah kuil itu dibina di tanah rizab atau tanah milik kerajaan, kerajaan negeri mempunyai prosedur tertentu untuk menukar statusnya dan kemudian diserahkan kepada pengurusan kuil.
Tembelang Idris dan TADC Yang Sakit
Ditulis oleh SM Noor


Kuala Terengganu – Tembelang Bekas Menteri Besar Idris Jusoh pecah, disebalik slogan ‘Memahat Sejarah mencipta Tamadun’ adalah retorik semata-mata apabila buat kesekian kalinya hanya kegagalan demi kegagalan yang diraih dari projek-projek yang dilaksanakan di era pemerintahannya

Selepas projek mega Taman Tamadun Islam (TTI) yang dilaporkan mengalami kerugian penyelenggaraan RM 284,000, heboh pula diperkatakan Pertandingan Antarabangsa Perahu Layar Piala Monsun tidak akan diadakan pada tahun ini.

Menteri Besar kini, Dato’ Ahmad Said memikul beban segala ‘program hebat’ Idris dan terpaksa menerima ‘celaan’ Ketua Audit Negara apabila Laporan Audit Negara berkaitan Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2007 adalah ‘tidak memuaskan’.

Selain itu, dalam Laporan yang sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato’ Setia Hj Ambrin Buang mendedahkan sebenarnya pentadbiran Idris tidaklah hebat apabila syarikat ‘anak emas’ Idris, Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) didapati menanggung kerugian berjumlah RM3.45 juta.

TADC yang telah menimbulkan keresahan kakitangan Jabatan Pertanian Terengganu sebelum ini kerana ‘membolot’ aktiviti pertanian ‘eksklusif’ Projek Fertigasi Mega, adalah anak syarikat kerajaan negeri dibawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PERMINT).

Syarikat tersebut pada asalnya dikenali sebagai Terengganu Garam Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 31 Mei 1972, telah ditukar nama kepada Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. Pada bulan Februari 2006.

TADC bermula sebagai sebuah syarikat dengan modal saham biasa dibenarkan RM1 juta dan modal diterbitkan dan berbayar berjumlah RM0.50 juta telah menjadi syarikat besar dalam masa tidak sampai dua tahun menguruskan sembilan (9) syarikat anak (lihat jadual dibawah) dan mendapat pembiayaan tidak kurang dari RM110 juta pada tahun 2008 sahaja.

Anak Syarikat Tiada Penyata Kewangan

Semakan yang dibuat oleh Jabatan Ketua Audit Negara mendapati hanya 2 syarikat iaitu TRG Sutratani Sdn. Bhd dan TRG Cell Sdn. Bhd. yang mempunyai penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2007 seperti berikut:

1. TRG Sutratani Sdn. Bhd.

Syarikat TRG Sutratani Sdn. Bhd. (TRG Sutratani) adalah usaha sama Syarikat dengan JPB Asia Passific Sdn. Bhd. (JPB) di mana pegangan saham Syarikat adalah 51% manakala baki 49% dipegang oleh JPB. Aktiviti utama TRG Sutratani adalah menjalankan perniagaan berasaskan pertanian dan produk-produk pertanian. TRG Sutratani menjalankan tanaman sayur-sayuran menggunakan teknik rumah kaca di Kampung Telaga Papan, Setiu.

Mengikut penyata kewangan berakhir 31 Disember 2007, TRG Sutratani mengalami kerugian sebanyak RM186,592 bagi tahun semasa. Pada tahun 2007, Syarikat telah memberi pinjaman sejumlah RM0.21 juta kepada TRG Sutratani untuk belanja mengurus dan bayaran elaun peserta projek.

2. TRG Cell Sdn. Bhd.

Syarikat TRG Cell Sdn. Bhd. (TRG Cell) adalah usaha sama Syarikat dengan Cell Aquaculture Ltd. (Australia) di mana pegangan saham Syarikat adalah 70% manakala baki 30% dipegang oleh Cell Aquaculture Ltd. Aktiviti TRG Cell adalah menjalankan projek akuakultur menggunakan konsep Recirculating Aquaculture System (RAS) di Tanjung Demong, Besut. Mengikut penyata kewangan berakhir 31 Disember 2007, TRG Cell telah mengalami kerugian sebanyak RM525,135 bagi tahun semasa.

Pada tahun 2007, Syarikat telah memberi pinjaman sejumlah RM4.26 juta kepada TRG Cell untuk belanja mengurus dan modal kerja. Bagaimanapun, semakan Audit mendapati tidak ada perjanjian ditandatangani antara kedua-dua pihak. Adalah disarankan satu perjanjian yang formal disediakan bagi menjamin kepentingan kedua-dua pihak memandangkan pinjaman ini melibatkan jumlah yang besar.

Analisis Kewangan

Justeru pihak Audit telah memeriksa kedudukan kewangan TADC (rujuk laporan dilampirkan) bagi tahun 2006 dan 2007 dan mendapati pada akhir tahun 2007, TADC mempunyai aset semasa berjumlah RM14.80 juta berbanding RM20.77 juta pada tahun 2006. Manakala liabiliti semasa pada tahun 2007 berjumlah RM18.65 juta berbanding RM24.11 juta pada tahun 2006.

Pada akhir tahun 2007 juga, TADC mempunyai aset berjumlah RM15.90 juta berbanding RM20.78 juta pada tahun 2006. Manakala liabiliti berjumlah RM18.85 juta berbanding RM24.11 juta pada tahun 2006. Dengan membandingkan jumlah hutang ke atas jumlah aset pada akhir tahun 2007, nisbah hutang Syarikat adalah 1.19:1 iaitu lebih tinggi berbanding 1.16:1 pada tahun 2006.

Peningkatan nisbah ini menunjukkan jumlah hutang yang diambil oleh syarikat berbanding asetnya semakin bertambah. Daripada semakan Audit juga mendapati jumlah hutang jangka pendek TADC adalah sangat tinggi iaitu sejumlah RM18.65 juta atau 98.9% dari jumlah keseluruhan hutang manakala aset tetap bersihnya setakat 31 Disember 2007 iaitu RM14.80 juta atau 93.7% daripada keseluruhan jumlah aset TADC.

Ini menunjukkan kemampuan TADC untuk membayar hutang adalah tidak memuaskan memandangkan jumlah keseluruhan aset TADC tidak mampu menampung liabiliti.

Begitu juga pada akhir tahun 2007, TADC mempunyai untung bersih berjumlah RM0.38 juta berbanding RM0.06 juta pada tahun 2006. Manakala asetnya berjumlah RM15.90 juta berbanding RM20.77 juta pada tahun 2006. Berdasarkan kepada kiraan nisbah berkenaan, setiap ringgit aset yang digunakan, pada tahun 2007 TADC memperoleh hasil keuntungan sejumlah 0.02 sen berbanding 0.00 sen pada tahun 2006.

Justeru pada pandangan Audit, TADC perlu mengurus asetnya dengan lebih cekap lagi supaya mendapat pulangan yang maksimum.

Pada tahun yang sama, TADC mempunyai saham berbayar berjumlah RM0.50 juta berbanding RM0.50 juta pada tahun 2006. Manakala asetnya berjumlah RM15.90 juta berbanding RM20.78 juta pada tahun 2006. Manakala jumlah liabiliti TADC pada tahun 2007 berjumlah RM18.85 juta berbanding RM24.11 juta pada tahun 2006.

Berdasarkan kiraan nisbah berkenaan, NTA bagi TADC untuk tahun 2007 adalah bernilai (RM5.90) sesaham berbanding RM6.67 sesaham pada tahun 2006.

Pada pandangan Audit, kedudukan TADC adalah tidak memuaskan kerana mempunyai nisbah yang negatif.

Akhir tahun 2007 juga, TADC mempunyai untung sebelum cukai berjumlah RM0.39 juta berbanding RM0.06 juta pada tahun 2006. Pada tahun 2007 pendapatan Syarikat berjumlah RM30.06 juta berbanding RM3.52 juta pada tahun 2006. Berdasarkan kiraan Audit, margin keuntungan Syarikat sebelum cukai setakat 31 Disember 2007 ialah 1 sen berbanding 2 sen pada tahun 2006 bagi setiap ringgit hasil yang dikutip.

Ini menunjukkan secara keseluruhan margin keuntungan TADC untuk tahun 2007 dan 2006 adalah pada kadar yang minimum dan perlahan.
Teresa anggap kejadian baling bom petrol untuk menakutkannya
BERNAMA


KUALA LUMPUR — Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengganggap kejadian membaling bom molotov cocktail di rumah ibu bapanya di Jalan Ipoh di sini ,bertujuan untuk menakut-nakutkan dirinya dan menghalangnya daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Mungkin tindakan ini berpunca dari perasaan dendam terhadap saya dan keluarga selepas media dan blog tertentu menghina dan menggambarkan saya sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan bersifat perkauman, dengan mereka-reka cerita yang palsu, sebelum dan selepas saya ditahan di bawah akta ISA,” katanya.

Teresa ditahan di bawah ISA pada pada 12 September dan dibebaskan selepas seminggu disiasat.

Laporan polis telah dibuat bagi meminta siasatan segera dijalankan, agar mereka yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan, kata Teresa pada sidang media di rumah ibu bapanya di Taman Rainbow.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan wakil PAS. Teresa berkata, dengan adanya ancaman itu, beliau berharap polis dapat menjamin keselamatan beliau dan juga keluarganya yang kini jelas terancam.

Lim Kit Siang berkata DAP akan berjumpa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Seri Ismail Omar dalam waktu terdekat bagi memastikan keselamatan Teresa sekeluarga selamat dan terjamin.

Bapa Teresa, Kok Kim Tong, 74, berkata kejadian tersebut berlaku pada 3 pagi apabila anak lelakinya yang sedang melayari internet terlihat seorang lelaki menaiki motosikal membaling sesuatu ke rumah mereka.

“Setelah diperiksa, terdapat dua molotov cocktail, dan salah satunya pecah. Tapi mujur tak meletup,” katanya yang memberitahu, ketika kejadian terdapat tujuh orang di dalam rumah tersebut.

“Kami juga menemui satu nota berunsur ugutan yang dilipat-lipat lalu kami segera membuat laporan polis pada pukul 4 pagi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan yang dihubungi berkata Polis akan segera menyiasat bagi menjejaki individu yang terbabit dalam kejadian yang mengancam nyawa ini.

Kes ini akan disiasat di bawah seksyen 502 iaitu ugutan jenayah, katanya

Pemangku Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon dalam satu kenyataan hari ini berkata pihaknya mengutuk tindakan penjenayah yang melakukan perbuatan itu dan meminta polis dan kerajaan segera menyiasat kes tersebut, agar penjenayah dapat dibawa ke muka pengadilan.

“Ini kali kedua perkara sama berlaku kurang dari dua bulan. Sebelum ini, bekas rumah Presiden Majlis Peguam, S. Ambiga juga dibaling molotov cocktail,” katanya

Katanya, sesiapa yang tidak setuju dengan dengan pendekatan Teresa, mereka harus menyatakan pandangan mereka dan harus berani untuk mengadakan perdebatan secara aman dan sekiranya mereka rasa tindakan beliau adalah salah, biar undang-undang yang menentukannya.

Koh berkata sebarang kekerasan atau perkara yang menyalahi undang-undang akan menyebabkan ekonomi negara semakin merosot.
Perang mercun makin sengit
Oleh Mary Victoria Dass


JOHOR BAHRU: ‘Perang mercun’ di beberapa flet di sekitar bandar raya ini makin menjadi-jadi apabila pihak tidak bertanggungjawab mengadakan promosi jualan secara berleluasa dari rumah ke rumah bagi memenuhi permintaan sempena Aidilfitri.

Seorang penduduk di Flet Taman Tampoi Indah, Hasron Samad, 36, berkata aktiviti jualan mercun giat dijalankan penganggur dipercayai diupah sindiket tertentu sejak pertengahan bulan ini.

Menurutnya, bunga api, mercun bola dan pelbagai jenis lain yang ditawarkan dengan harga serendah RM1 sehingga RM5 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak di flet berkenaan.

“Saya terkilan apabila anak saudara saya berusia lima tahun membawa pulang mercun bola yang dibeli dari sebuah unit flet yang dipercayai dijadikan stor menyimpan barangan larangan itu.

“Dia yang membeli beberapa mercun bola juga menyatakan individu yang menjalankan perniagaan itu sanggup menawarkan harga rendah jika membeli mercun dengan kuantiti banyak,” katanya

Hasron berkata, apa yang mengecewakan, aktiviti penjualan mercun bukan saja mengganggu keselesaan penduduk berikutan bunyi bising letupannya dari tengah malam hingga awal pagi, malah boleh mengancam keselamatan orang ramai.

“Mereka turut menawarkan perkhidmatan tempahan dan kiriman ke kediaman untuk mengaut keuntungan lebih.

“Beberapa jiran kami turut tidak puas hati dengan perang mercun yang keterlaluan kerana hampir setiap hari ada saja bunyi letupan mulai tengah malam sehingga jam 2 pagi.

“Mereka langsung tidak mengambil kira keselesaan pihak lain dan mengganggu ketenteraman penghuni yang mahu berehat selain menakutkan anak kecil, “ katanya.

Suasana sambutan Aidilfitri sejak lebih tiga tahun lalu di flet berkenaan terjejas pada tahun ini.

Ini kerana selama tiga sehingga empat jam kawasan perumahan dikuasai letupan mercun dan bunga api yang kuat.

“Kami sudah melaporkan kegiatan penjualan mercun kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM). Justeru, pihak berkuasa seharusnya bertindak telus membanteras kegiatan haram penjualan mercun kerana mampu mengundang masalah tidak diingini, “ katanya.

Sementara itu, Pengarah Kastam negeri, Mohd Subre Ishak, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap aduan penduduk di flet di Taman Tampoi Indah di sini, mengenai aktiviti penjualan mercun di situ.

“Apabila anggota kami memeriksa sesebuah kediaman di situ, kami dapati tiada bahan larangan ditemui di situ,” katanya.

“Kami berharap pengadu mampu memberi maklumat tepat, misalnya mengenai nombor pendaftaran kereta digunakan sindiket bagi membolehkan tindakan diambil,” katanya, semalam.
3 cedera pesawat AirAsia langgar gumpalan angin
UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU 27 Sept. – Tiga krew penerbangan termasuk dua pramugari AirAsia cedera selepas pesawat tambang murah itu melanggar gumpalan angin kencang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu hari ini.

Keadaan cuaca tersebut memaksa juruterbang melencongkan pesawat dan melakukan pendaratan kecemasan di Lapang Terbang Antarabangsa Kuching bagi membolehkan mereka yang cedera mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut seorang penumpang yang enggan namanya disiarkan, pesawat itu berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1 petang sebelum ia merempuh gumpalan angin kencang kira-kira 30 minit kemudian.

“Keadaan itu memaksa pesawat mendarat di Kuching pada pukul 3 petang dan krew yang cedera dibawa keluar dari pesawat.

“Bagaimanapun tiada penumpang yang cedera,” katanya ketika menghubungi Mingguan Malaysia dari lapangan tersebut hari ini.

Jurucakap AirAsia di Kuala Lumpur ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu maklumat lanjut mengenai kejadian itu akan diumumkan kepada media Isnin ini.

Beliau menambah, hanya dua krew masih dirawat di sebuah hospital swasta di Kuching, manakala yang ketiga telah dibenarkan pulang.

Ahli perniagaan dari Sabah itu berkata, sehingga pukul 6 petang ini pesawat tersebut masih berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Dalam pada itu Dang Rahmat Jamaluddin, 44 ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berkata, dia telah menunggu ketibaan anaknya yang menaiki pesawat berkenaan sejak dari pukul 2.10 petang.

Katanya, anak perempuannya yang baru sembilan bulan bekerja di Putrajaya hanya menghubunginya pada pukul 2 petang menyatakan ada sesuatu berlaku dan pesawat tersebut terpaksa mendarat di Kuching.

“Sepatutnya dia tiba pada pukul 3.30 petang tetapi tadi dia ada telefon hanya cakap ‘dahsyat’. Apa pun saya harap dia selamat sampai,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pekerja di kaunter penerangan AirAsia di sini ketika ditemui berkata, pesawat berkenaan menghadapi masalah teknikal dan terpaksa mendarat di Kuching.

Katanya, penumpang dari Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah hari itu tetap meneruskan penerbangan dan tiba di Kota Kinabalu pada pukul 8.30 malam.

Sabtu, 27 September 2008

Ku Li: Tolak penangguhan pemilihan parti
MALAYSIAKINI


Tengku Razaleigh Hamzah menggesa ahli Umno supaya menolak penangguhan pemilihan parti itu sehingga Mac tahun depan kerana ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaan parti itu.

Bercakap dalam sidang akhbar di kediamannya tengahari tadi, ketua Umno bahagian Gua Musang itu berkata pelan baru yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi semalam, tidak boleh diterima.

Sidang akhbar itu adalah sebagai susulan kepada kenyataannya di mana beliau mengecam Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pelan peralihan kuasa dalam Umno.

Semalam, beliau menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".

"Bukannya menumpukan pada perancangan ekonomi negara atau sebarang reformasi, sebaliknya apa yang kepemimpinan Umno berikan kepada kita sejak (pilihanraya umum) 8 Mac hanyalah pelan peralihan kuasa yang direka untuk menyelamatkan dua orang daripada serba salah menghadapi pemilihan (Umno)," katanya, dalam satu kenyataan pendek tetapi pedas.
500 sertai perarakan anti-ISA malam ini
MALAYSIAKINI


Kira-kira 500 orang sedang menyertai perarakan dari Dataran Merdeka ke stesen LRT Masjid Jamek sebagai membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia adalah sebahagian daripada acara pemasangan lilin anjuran Hindraf sebagai membantah penggunaan ISA yang membolehkan penahanan tanpa bicara.

Majlis malam ini termasuk desakan supaya dibebaskan tahanan ISA terutama blogger Raja Petra Kamarudin dan lima pemimpin Hindraf yang ditahan sejak Februari lalu.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) juga mengadakan majlis yang sama malam ini di pusat bandar Kuala Lumpur.
Mukhriz: Tunda pemilihan beri impak negatif
BERNAMA


TEMERLOH: Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Tun Mahathir mempersoalkan tindakan Majlis Tertinggi (MT) menangguhkan Perhimpunan Agung parti yang dijadual Disember ini ke Mac depan yang dilihatnya memberi impak negatif.

Beliau berkata, tindakan MT itu menyebabkan anggota Umno menjadi semakin bosan dengan kepimpinan parti kerana bagi mereka tidak ada keperluan munasabah Perhimpunan Agung Umno perlu ditangguhkan.

Katanya, beliau sendiri tidak faham kenapa penangguhan itu perlu dilakukan dan ia tentunya akan memberikan gambaran yang tidak sihat serta boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota akar umbi.

"Daripada maklum balas yang saya terima dari seluruh negara, penangguhan Perhimpunan Agung Umno itu memberikan impak negatif dan ramai yang mahu supaya MT membatalkan penangguhan tersebut," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Umno Bahagian Temerloh dan Kuala Krau di sini.

Mukhriz berkata, penangguhan yang mengambil masa hanya tiga bulan dari tarikh asal itu juga tidak relevan dan tidak memberikan sebarang kelebihan dalam menguatkan semula parti.
Pemuda PAS Pahang sumbang RM5 ribu kepada tabung ISA
Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Dewan pemuda PAS Pahang menyampaikan sumbangan berjumlah RM 5000 sebagai bantuan meringankan beban keluarga tahanan ISA, khususnya menjelang Syawal akan datang.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Md Saad, dalam kunjungan ke pejabat Harakah, hari ini menyampaikan sumbangan tersebut kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman, pagi tadi.

Menurut Suhaimi, sumbangan tersebut menunjukkan kebersamaan dewan itu dengan isteri-isteri tahanan ISA dalam memahami dan menyelami kesengsaraan keluarga tahanan yang ditinggalkan.

Dalam pada itu, aktivis GMI, Norlaila Othman, yang turut hadir, menyatakan bahawa Suhaimi dan Pemuda PAS Pahang sentiasa komited dalam isu kebajikan keluarga tahanan ISA.

"Bukan baru sekarang, ustaz dan Pemuda Pahang membantu GMI. Tetapi dari dahulu lagi.

Malah, ustaz juga yang berjaya menjual buku 'Dunia Tanpa Suami' tulisan saya dan beberapa rakan lain dengan bilangan yang banyak," kata beliau.

Sementara itu, Ahmad Lutfi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Pemuda PAS Pahang atas sumbangan ikhlas yang diberikan kepada GMI untuk meringankan beban keluarga ISA.

Beliau turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pembaca Harakah yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan ke tabung yang diwujudkan Harakah bagi tujuan tersebut.

"Pada awalnya, kami di Harakah tidak menjangkakan akan mendapat sambutan yang begitu baik dari seluruh masyarakat. Sehingga hari ini, tabung kami telah mencecah hampir RM 100 ribu dan sebahagiannya sudah disampaikan kepada GMI dan keluarga tahanan sendiri," kata beliau.

Dalam majlis sama, Harakah turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM 30 000 kepada GMI.

Sebelum ini, dalam rangka misi Harakah ke Sabah bagi menemui keluarga tahanan ISA, sebanyak RM15 000 berjaya disampaikan kepada sepuluh keluarga, termasuk anak-anak kecil tahanan ISA.

Tinjauan Harakah selama dua hari bermula 23 Sept hingga 24 Sept lalu turut menyaksikan kebanyakan anak-anak Sabah tidak berpeluang bersekolah kerana kesempitan hidup.

Atas kesedaran tentang kepentingan ilmu, Harakah sekali lagi berusaha untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak Sabah dapat meneruskan kehidupan mereka seperti kanak-kanak lain untuk mendapat hak pendidikan sewajarnya.

Bagi pembaca yang prihatin dengan nasib malang keluarga mangsa ISA dan anak-anak Sabah yang keciciran ini, sila hantar sumbangan anda kepada HARAKAHDAILY DOT COM, nombor akaun Maybank 564070000336. - mr _
Dana Khas/Wang Ehsan - Bukan kah BPR Pernah Siasat?
Wartawan Buletin


Kuala Terengganu – Kenyataan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyiasat penyelewengan agihan Dana Khas/Wang Ehsan dialu-alukan oleh pimpinan PAS.

Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata BPR harus menerima cabaran MB Trengganu itu dan menyiasat perkara tersebut hingga ke akar umbi.

”Kita (PAS) setuju dengan MB supaya BPR siasat, mesti siasat sampai ke bawah, dikalangan penerima dan pemberi iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK),” kata beliau ketika ditemui Buletinonline semalam.

”DUN saya, Rantau Abang sedang mengumpul maklumat, InsyaAllah sedikit masa lagi akan dapat,”tambahnya mengulas isu agihan secara tidak adil Dana Khas Hari Raya yang sedang panas diperkatakan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik menyokong cabaran Ustaz Azman dan menggesa supaya BPR melakukakan siasatan dengan segera.

Menurut beliau ketidakadilan dan penyelewengan dalam mengagihkan Dana Khas atau dulunya di panggil Wang Ehsan telah timbul sejak ia diperkenalkan pada tahun 2000.

”Bukankah BPR pernah menyiasat Wang Ehsan dulu, kalau tak silap pada tahun 2000, ketika wang ehsan mula diperkenalkan dan dikawal oleh UMNO Terengganu?,”soalnya.

Tinjauan BuletinOnline dikalangan rakyat umum mendapati lebih 80% yang ditemui berpendapat memang wujud ketidakadilan dalam pengagihan wang tersebut.

Seorang pelajar yang ditemui (tidak mahu namaya disiarkan) menyatakan keluarganya tidak mendapat bantuan ‘duit raya’ tersebut walaupun lebih susah daripada mereka yang menerimanya.

”Tak dapat, semuanya diberikan kepada orang rapat dengan JKKK,”kata beliau yang berasal dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, Kuala Terengganu.

“saya hairan, sekejap-sekejap dia orang tukar beli Myvi baru, kemudian beli motosikal Legion baru,”tambahnya merujuk kepada salah seorang anggota JKKK dikampungnya.

Di daerah Besut seorang penerima wang ehsan dana khas hari raya mengakui beliau mendapat wang tersebut apabila namanya disenaraikan oleh saudaranya yang menjadi anggota kuat JKKK.

Namun menurutnya beliau hanya memperolehi sebanyak RM 200 sedangkan sepatutnya setiap penerima menerima RM 300.

Akhbar perdana Utusan Malaysia pada 19 September juga mendedahkan kira-kira 100 orang penduduk termasuk OKU dari Kampung Sungai Buaya dalam daerah Dungun kecewa kerana tidak mendapat bantuan Dana Khas Aidilfitri.

Sebelum itu, Buletinonline juga turut memaparkan penyelewengan yang sama yang berlaku dalam daerah Kuala Terengganu.

Seorang OKU dari Kampung Bukit Nenas, Tepoh Kuala Terengganu mengadu telah dinafikan duit raya angkara kezaliman JKKK

Penyelewengan JKKK dalam pengagihan Dana Khas mula dikesan seawal bulan Ogos lalu apabila mereka ‘memilih kasih’ dalam mengumpulkan nama-nama bagi penerima Dana Khas, nama lain bagi wang royalti minyak.

Sehubungan dengan itu, ADUN Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berharap seramai 1,515 orang penerima yang dikatakan tercicir disebabkan masalah komputer, dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana Aidil Fitri akan menjelang tidak berapa lama lagi.

Ahmad Said dalam kenyataan kepada sebuah akhbar semalam berjanji akan menyelesaikan masalah nama-nama yang tercicir disamping mengalu-alukan siasatan BPR sekiranya berlaku sebarang penyelewengan dalam proses pengagihan Dana Khas Bantuan Aidilfitri di negeri ini.
RapiDKL hantar laporan
MY METRO


KUALA LUMPUR: Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) menyerahkan laporan awal siasatan insiden pelanggaran membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (Star-LRT) kepada Kementerian Pengangkutan, semalam.

Pengurus Besar Komunikasi RapidKL, Ebi Azly Abdullah, mengesahkan pihaknya sudah menyerahkan laporan siasatan awal berkenaan, namun enggan mengulas lanjut berhubung laporan itu kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan.

“Kami tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu memandangkan ia hanya laporan siasatan awal,” katanya.

Menurutnya, RapidKL sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman bagi menyiasat dari segenap sudut kejadian berkenaan.
Tol percuma satu tahun
Oleh Mohamad Hussin


KUALA LUMPUR: Pengguna kad Touch ‘n Go di Lebuhraya Utara-Selatan yang menambah nilai minimum RM50 ke dalam kad berkenaan pada 25 September lalu hingga 15 Oktober ini, berpeluang memenangi hadiah tol percuma selama setahun bernilai RM2,000.

Ketua Pegawai Operasi Plus Expressways Berhad (Plus), Nik Airina Nik Jaffar, berkata peraduan ‘Jom Balik Kampung: Get Spotted n’Win’ diadakan sempena sambutan Aidilfitri.

“Peraduan ini untuk menggalakkan lebih ramai pengguna lebuh raya Plus, Lebuh Raya Hubungan Tengah (Elite), Linkedua dan Butterworth-Kulim bertukar ke sistem pembayaran tol secara elektronik yang lebih efisien, mudah dan pantas.

“Ini sebahagian daripada inisiatif untuk memastikan perjalanan pada hari raya ini lebih selesa dan lancar,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran peraduan ‘Jom Balik Kampung’ di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Touch ‘n Go Sdn Bhd, Hasni Zarina Mohamed Khan.
Peraduan berkenaan anjuran bersama Plus dan Touch ‘n Go.

Beliau berkata, seramai 10 pelanggan kad Touch ‘n Go yang bertuah akan memenangi hadiah tol percuma itu manakala 150 pemenang saguhati akan menerima kad Touch ‘n Go bernilai RM100 setiap seorang.

“Orang ramai juga berpeluang mendapatkan buku panduan keselamatan ‘selamat di jalan’ serta cakera padat (CD) lagu Hari Raya Edisi Khas Plus apabila menambah nilai RM50 ke dalam kad itu di pusat khidmat pelanggan di lebuh raya Plus.

“Pelanggan akan diberikan pelekat khas yang perlu dipamerkan di kenderaan sepanjang tempoh kempen itu,” katanya.
MB Sampaikan Bantuan Kepada Mangsa Ribut di Sabak Bernam
NOOR ALLIA KASSIM


SABAK BERNAM - Seramai 94 orang mangsa bencana ribut di mukim Sungai Panjang dan Sabak Bernam dekat sini menerima bantuan berupa beras dan wang ringgit.

Bantuan sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pejabat daerah dan Yayasan Selangor itu disampaikan Dato' Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis yang berlangsung di Dewan Besar Yayasan Selangor itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Bantuan beras disumbangkan Yayasan Selangor manakala wang ringgit diberikan LZS, JKM dan pejabat daerah mengikut kerosakan rumah yang dialami mangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid yang ditemui selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan berkata proses penyaluran bantuan termasuk mengenalpasti mangsa dan kerosakan dapat dilakukan dalam tempoh 12 jam.

"Dalam tempoh itu semua mangsa ribut telah dikenalpasti dan diambil kira apa pertolongan yang boleh diberikan," katanya.

Beliau berkata proses itu digerakkan di peringkat daerah memandangkan pejabat daerah telah diminta melakukan persediaan menghadapi sebarang bencana.

"Saya berterima kasih kepada pegawai daerah dan rakan-rakan yang telah begitu cepat menyediakan bilik gerakan untuk membantu mangsa bencana ribut ini dan hasilnya semua mereka telah dapat kita bantu hari ini," katanya.

Kejadian ribut yang berlaku pada 21 September lalu menyebabkan kerosakan kediaman penduduk dengan dua buah rumah mengalami kerosakan teruk.

Ia adalah kejadian kedua yang berlaku selepas bencana ribut di kawasan Selat Klang dan Rantau Panjang awal bulan ini.
Pelajar sedang ulang kaji maut tembok asrama runtuh
Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Ifwan Tun Tuah


TANJUNG KARANG: Walaupun persiapan menyambut 1 Syawal hampir siap, bagi pasangan Abdul Halim Ramli, 49; dan Samsiah Ibrahim, 43, Aidilfitri sudah tiada lagi bersama mereka bila tiba waktunya minggu depan.

Anak ketiga mereka, Mohd Farid Aidilfitri, 17, maut dihempap tembok bilik bacaan di asrama sekolahnya yang runtuh malam kelmarin.

Mohd Farid Aidilfitri, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun dekat sini, yang mengulang kaji pelajaran ketika kejadian kira-kira jam 7.45 malam, mati di tempat kejadian kerana patah tengkuk dan pendarahan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ibrahim Chin, berkata ketika kejadian mangsa dan dua rakannya membaca di perpustakaan asrama apabila tembok bilik di tingkat satu bangunan itu tiba-tiba runtuh lalu menghempapnya. Dua lagi rakan mangsa sempat menyelamatkan diri.

“Mayatnya dibedah siasat dan sudah dituntut keluarganya. Siasatan awal jurutera Jabatan Kerja Raka (JKR) daerah mendapati tembok itu bukan struktur asal bangunan asal sekolah, sebaliknya pembinaan baru,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Walaupun polis tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah, pihaknya masih siasatan kejadian itu bagi mengetahui puncanya.

Sementara itu, Samsiah ketika ditemui di rumahnya di Gombak dekat sini, berkata kehadiran 1 Syawal tidak bermakna bagi keluarga mereka kerana Mohd Farid Aidilfitri sudah tiada lagi bersama untuk meraikannya.

“Segala persiapan Aidilfitri hampir selesai dan kami hanya menunggu masa untuk pulang ke kampung di Sekinchan, Tanjung Karang, esok (hari ini) apabila dikejutkan dengan berita kematiannya.

“Hati ibu mana tidak luluh... lenyap semua kegembiraan beraya,” katanya yang hanya mampu menangis sambil memeluk anak bongsu berusia empat tahun sambil menjelaskan Mohd Farid Aidilfitri dinamakan sempena kelahirannya pada hari raya keempat 1991.

Samsiah berkata, rakan dan guru asrama anaknya sempat mengajar Mohd Farid Aidilfitri mengucap sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Beliau yang pasrah dengan kehilangan anaknya yang dipanggil Fitri itu berkata, mereka sudah berjanji bertemu di Sekinchan hari ini, namun hajat itu tidak kesampaian.

“Saya menyuruh Fitri pulang dulu ke kampung yang dekat dengan sekolahnya hari ini (semalam) manakala saya bersama suami serta tiga lagi anak akan menyusul esok (hari ini).

“Fitri bersetuju dan memberitahu saya dia pun hendak membeli baju raya esok (hari ini) bersama rakannya. Tidak sangka semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya sambil mengesat air mata.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih, Gombak, jam 10 pagi semalam.

Jumaat, 26 September 2008

Nasib Abdullah ditentukan dua minggu lagi
Mohd Rashidi Hassan


Kedudukan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawai sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno yang amat kritikal sekarang ini, dijangka akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Kedudukan Abdullah amat getir, keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini sebulat suara bersetuju menangguhkan pemilihan dari Disember ini kepada bulan Mac tahun depan sudah memendekkan tempoh hayatnya yang dijadualkan pada bulan Jun 2010.

Desakan pihak-pihak tertentu dalam Umno supaya Abdulllah berundur segera, berjaya dipendekkan daripada 21 bulan (Oktober 2008 - Jun 2010) kepada enam bulan sahaja.

Walaupun diberi alasan tempoh sehingga Mac diambil, untuk memberikan ruang kelicinan proses peralihan kuasa kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, namun besar kemungkinan ia lebih pendek dari tempoh enam bulan.

Selesai mesyuarat MT sebentar tadi, Abdullah berkata beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini sebelum persidangan perwakilan bahagian parti bermula.

Tempoh dua minggu itu diambil untuk Abdullah mengambil kira 'feedback' daripada Umno Bahagian yang akan bermula mengadakan persidangan 9 Oktober ini.

Di sebalik larangan peraturan Tataetika Umno yang ketat dan kelebihan undi bonus yang ada kepadanya sebagai Presiden Umno, Abdullah dilaporkan tidak yakin beliau dapat melepasi kuota pencalonan sebanyak 30 peratus atau dari 58 bahagian.

Ada sumber berpendapat, Abdullah berada dalam keadaan terdesak akibat keengganan timbalannya memberi laluan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi.

Sumber menyebut, Abdullah ada meminta Najib supaya mengumumkan segera untuk hanya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, sekaligus memberi laluan kepada beliau, tetapi Najib enggan berbuat demikian.

Justeru, Abdullah tidak ada pilihan. Rundingan orang-orang kem Abdullah dengan kem Najib menemui jalan buntu.

Abdullah sudah beberapa kali didesak berundur lebih awal oleh ahli-ahli Umno, hasrat beliau untuk kekal sebagai Presiden sepenggal lagi menemui jalan buntu.

Jika dalam tempoh dua minggu ini Abdullah gagal mendapat 'feedback' yang meyakinkan, Abdullah terpaksa berundur lebih awal.

Sudah tentu Abdullah tidak sanggup menerima malu jika penyandang jawatan Presiden mendapat pencalonan yang sedikit atau tidak layak bertanding jawatannya.

Tekanan yang dihadapi Abdullah turut dirasai calon Ketua Pemuda Umno iaitu menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kecewa ramai anggota pemuda dilarang menemui beliau

Jika Abdullah gagal kekal sebagai Presiden Umno, sekaligus, ia akan mematikan peluang Khairy untuk merebut jawatan Ketua Pemuda. _
Najib ambil alih disifatkan berita baik
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menyifatkan penyerahan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka pada bulan Mac ini sebagai berita baik kepada pembangkang.

"Jika Tengku Razaleigh yang mengambil alih kepimpinan dari (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi), ia berita yang tidak menggembirakan kepada kita. Kalau Najib ambil alih, itu berita baik," katanya.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pagi tadi dilihat memberi tarikh akhir yang baru kepada Abdullah supaya berundur dengan menetapkan perhimpunan agung parti itu akan diadakan pada Mac ini.

Bagaimanapun, tarikh pemilihan di peringkat bahagian-bahagian mulai 9 Oktober dikekalkan.

Ketika ditemui para pemberita selepas mesyuarat itu, Abdullah sendiri membayangkan bahawa pelan peralihan kuasa pada Jun 2010 seperti yang dikehendakinya tidak diterima oleh MT.

Ditanya lanjut mengenai pelan peralihan kuasa 2010, Presiden Umno berkata: "Kalau sudah diawalkan tidak timbullah (pelan) 2010 itu."

Ketika diminta penjelasan mengenai maksud bagi melicinkan proses peralihan kuasa awal, Abdullah berkata "ia adalah bagi membuat penyerahan apa juga yang diperlukan..."

Perdana Menteri juga dipetik sebagai berkata: "Apabila kerja habis, habislah “.

Bagaimanapun, untuk menjaga air mukanya, Abdullah memberitahu bahawa beliau belum memutuskan sama ada akan mempertahankan jawatan presiden.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membuat keputusan mengenainya sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober depan.

“Apa-apa keputusan saya akan buat sebelum mesyuarat bahagian,” katanya.

Sebelum ini, Business Times Singapura melaporkan seorang pemimpin Umno menjangka Abdullah akan akan mendapat kira-kira 40 pencalonan sahaja.

Seseorang calon yang mahu bertanding sebagai Presiden Umno memerlukan sekurang-kurangnya 58 pencalonan daripada 193 bahagian Umno.

Mengulas lanjut tanda-tanda pemilihan Najib sebagai pengganti Abdullah Mac ini, Mohamad Sabu berkata, walaupun Tengku Razaleigh mempunyai sikap yang boleh dianggap lunak dalam soal-soal perlaksanaan Islam, tetapi beliau tetap berpendapat Najib lebih mudah dihadapi pembangkang.

"Kepada pembangkang, eloklah kalau Najib yang ganti. Nak berhadapan dengan Najib lebih kurang berhadapan dengan Abdullah. Dua-dua sama sahaja.

"Kita tak senanglah kalau Tengku Razaleigh yang ganti Abdullah walaupun kita akui Tengku Razaleigh tak kacau kalau orang nak laksana Islam. Dia tidaklah tolak dengan berdalih-dalih guna hujah maqasid syari'ah dan sebagainya. Dia bukan jenis yang tunjuk pandai," katanya.

Seorang pemimpin Gerakan baru-baru ini menyifatkan Najib mempunyai liabiliti dan beban politik.

Walaupun mengakui komuniti perniagaan senang dengan ketenangan, kepastian dan ketegasan Najib tetapi Malaysian Insider (MI) memetik pemimpin Gerakan itu berkata, "Reputasinya (Najib) tercemar dengan pembunuhan wanita Mongolia".

Beliau merujuk pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu.

Pihaknya, kata pemimpin Gerakan itu, bimbang adakah isu yang serius itu akan memburuk menjadi tamparan yang hebat kepada Barisan Nasional (BN) kelak.

Persepsi umum masih lagi dibelenggu dengan begitu banyak persoalan yang tidak pernah dijawab berhubung kesluruhan episod itu.

"Ia adalah satu liabiliti...bebanan politik yang akan memberi kesan kelak jika terbiar tidak diselesaikan terutama apabila musuh politik Najib begitu aktif, mungkin semakin kuat dan secara terbuka mensasarkan beliau untuk menghancurkannya," MI memetik beliau berkata.

Persepsi rakyat tentang Najib mungkin disimpulkan dengan baik dalam kenyataan seorang peguam yang juga bekas pemimpin MIC kepada MI: "Datang dari lubuk tercemar Umno-BN yang sama, tentulah kejujujuran dan integriti Najib diragui umum"._
K'jaan didesak kaji semula kadar tol
MALAYSIAKINI


Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan (AMKWP) mendesak agar kerajaan mengkaji semula kadar tol, bagi mengurangkan beban pengguna, terutama di sekitar Lembah Klang yang dihimpit kenaikan harga barangan keperluan yang lain.

Oleh itu, AMKWP meminta proses perbincangan untuk menurunkan harga tol dengan syarikat konsesi wajar dipercepatkan kerana rakyat semakin dibebani kos perbelanjaan yang tinggi.

"Perkara ini wajar diberi perhatian serius memandangkan harga tol yang tinggi akan meningkatkan perbelanjaan pengangkutan mereka yang tinggal di bandar," kata Ketua AMK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Md Zaman Md Tasi.

"Sebelum ini kerajaan memberitahu akan mengadakan perbincangan dengan setiap pemegang konsesi bagi mengurangkan kadar tol dan dijangka memakan masa tiga bulan untuk mendapatkan keputusan.

"Namun sehingga sekarang masih belum dapat di pastikan apakah hasil dari perbincangan itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AMKWP, katanya, mahu agar hasil perbincangan itu dapat diumumkan kepada rakyat bagi melihat sejauhmana harga baru itu dapat diterima mereka dan seterusnya memastikan tiada penyelewengan dari kutipan tol tersebut.

Menurutnya, AMKWP juga mahukan penjelasan dari kerajaan mengenai hasil kajian yang dijalankan tidak pernah diberitahu kepada umum dan "mereka hanya menerima hasil perbincangan itu tanpa boleh menyuarakan pendapat".

'Ambil alih konsesi tol'

"Para pengguna juga harus diberikan saluran untuk menyuarakan pendapat mengenai hasil kajian yang dijalankan pihak kerajaan dan pemegang konsesi tol.

"Rakyat tidak mampu lagi terus menerus membayar harga tol tanpa ada kepastian bilakah ianya akan berakhir.

"Melalui cara ini, mereka juga dapat menyuarakan pandangan mereka mengenai hasil kajian tersebut kerana mereka merupakan golongan yang akan menggunakan lebuh raya tersebut," katanya.

Md Zaman berkata, pihak berpendapat, kerajaan seharusnya mengambil-alih sepenuhnya konsesi tol di seluruh negara bagi membolehkan mereka mengawal sepenuhnya harga tol.

"Kerajaan perlu telus dan amanah sebagai membalas kepercayaan rakyat yang memilih mereka menerajui negara," katanya.

Beliau mendakwa, keuntungan daripada konsesi tol hanya dapat dinikmati sebelah pihak sahaja dan "ini secara tidak langsung akan memberi bebanan kepada pengguna".

Pihak konsesi, dakwanya, hanya melihat kepada aspek perniagaan tanpa memikirkan permasalahan pengguna terutama yang berpendapatan rendah.

"Apabila kerajaan mengambil alih konsesi tol yang ada di negara ini, hasil keuntungan daripadanya akan disalurkan kembali kepada pengguna dan secara tidak langsung dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan lebih berkebajikan," katanya.
Majlis Keselamatan setuju tamat sikap berdiam diri isu Israel
Reuters


NEW YORK 26 Sept. – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam bersetuju menamatkan “sikap mendiamkan diri” sejak berbulan lalu dan mula membincangkan pendudukan Israel di tanah yang dituntut oleh rakyat Palestin sebagai negara mereka.

Mesyuarat yang berlangsung hari ini iaitu pada hari yang sama Kuartet Asia Barat iaitu Rusia, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan PBB bersidang, adalah mesyuarat sampingan di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi membincangkan proses damai tersebut.

Ia dilaksanakan selepas diminta oleh Arab Saudi dan disokong oleh Menteri-Menteri Luar Arab yang bertemu di New York bagi membincangkan isu kawasan penempatan Israel kelmarin.

Diplomat Barat berkata, Majlis Keselamatan dijangka tidak akan mengambil sebarang tindakan dengan mengeluarkan kenyataan bersama atau resolusi.

Majlis Keselamatan yang dianggotai 15 negara sebelum ini gagal mencapai persetujuan dalam sebarang perkara berkaitan Asia Barat selama berbulan-bulan.

“Ia lebih kepada persetujuan untuk mendengar,” kata seorang diplomat.

Diplomat Barat menjelaskan, punca utama kebuntuan tersebut adalah kekecewaan AS dengan perdebatan Majlis Keselamatan tentang sekatan Israel awal tahun ini dan keengganan negara-negara Arab untuk mengutuk Hamas yang merampas kuasa di Gaza tahun lalu.
Anwar nafi wujud perbualan dengan Perdana Menteri
MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kandungan emel yang kini disebarkan dan tulisan dalam blog kononnya ada rakaman perbualan beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Mutakhir ini bertebaran cerita bahawa ada rundingan di buat oleh wakil Pakatan Rakyat dengan BN mengenai peralihan kuasa.

"Catatan ringkas melalui beberapa catitan emel dan blog kononnya ada rakaman perbualan saya dan Abdullah yang dilaporkan adalah tidak benar sama sekali," kata beliau dalam blognya semalam.

Justeru, beliau yang mengumumkan tarikh sasaran membentuk kerajaan persekutuan 16 September pada 1 April lalu tetapi tidak menjadi kenyataan berkata, "kita perlu mempertahankan etika dalam menyebar maklumat tanpa sebarang kecelaruan fakta."

"Biar kita bekerja ibarat diam-diam ubi, kelak nanti berisi. Bukan diam-diam besi, akhirnya besi berkarat hilang nilai," katanya.

Desas-desus mengenai perkara itu menjadi tumpuan selepas Pakatan Rakyat gagal dalam mencapai sasaran 16 September.
PM, Najib adakan pertemuan empat mata pagi ini
MALAYSIAKINI


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam sebelum Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno bermula di ibupejabat Umno di ibunegara pagi ini.

Bertemuan itu berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 11 pagi. Mesyuarat MT bermula sejurus kemudian.

Ekoran itu timbul desas-desus yang mengatakan kedua-dua pemimpin tersebut telah memuktamadkan tarikh sebenar peralihan kuasa.

Mesyuarat hari ini, menjadi tumpuan ramai kerana ia dijangka menetapkan tarikh sebenar dan lebih awal peralihan kuasa dalam parti itu dan kerajaan.

Sebelum ini, Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

Sehubungan itu, Abdullah mencadangkan agar tiada pertandingan bagi jawatan presiden yang disandangnya dan jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno tidak sekata mengenai tarikh tersebut dan banyak yang mendesak supaya tarikh itu dipercepatkan lagi.

Malah, sebahagian Umno bahagian, yang dijadual mesyuarat mulai 9 Oktober ini, secara terbuka mahu mencadangkan calon lain untuk jawatan presiden.

Dan regu pilihan mereka ialah Najib dan Tan Sri Muhyiddin, masing-masing bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Ternyata perkembangan itu membimbangkan beberapa pihak dalam Majlis Tertinggi (MT) sendiri, sehingga yang mencadangkan Abdullah tidak bertanding kerana bimbang tidak mendapat pencalonan mencukupi.

Untuk layak mempertahankan jawatan presiden, Abdullah mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 58 pencalonan daripada bahagian. Umno mempunyai 191 bahagian.

Malah, ketika bertemu dengan ketua-ketua bahagian Umno di Selangor kelmarin, mereka dengan jelas memberitahu Abdullah bahawa mereka akan menyokong pelan 2010 jika semua ahli MT sepakat menerimanya.

Oleh itu, mesyuarat hari ini yang dipanggil saat-saat terakhir semalam, dijangka memuktamadkan tarikh sebenar peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib.

Ia juga dijangka membincangkan saranan supaya pemilihan parti itu - yang dijadualkan pada 16-21 Disember depan - ditangguhkan sehingga tahun depan dan begitu juga dengan mesyuarat bahagian.

Perhimpunan agung Umno ditangguhkan selama 18 bulan ekoran pilihanraya umum 8 Mac lalu. Parti itu mempunyai sehingga bulan Mei tahun depan untuk mengadakan perhimpunan agung.

Apa juga pun, mesyuarat MT hari ini diharap akan memberi jawapan kepada semua teka-teki tersebut.
Dapatkah Abdullah tekan MT ikut kehendaknya?
Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Dapatkah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memaksakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini tunduk kepada apa yang dilaporkan sebagai kehendaknya supaya perhimpunan agung Umno (PAU) dan pemilihan Umno ditangguhkan hingga ke tahun hadapan?

Berdasarkan laporan , semua cara dirancang akan digunakan supaya kehendak Abdullah itu menjadi kenyataan.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad melaporkan dalam blognya, kuda-kepang.blogspot.com, cadangan Abdullah untuk menangguhkan mesyuarat agung perwakilan Bahagian dan PAU ke tahun hadapan malah dibangkang dan ditentang oleh timbalannya sendiri yang dilihat dan sentiasa dilaporkan begitu setia.

Menurut sumber Seri Perdana, Abdullah telah memanggil Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi kelmarin untuk membincangkan isu-isu parti.

Dalam pertemuan tersebut, Presiden Umno itu telah mencadangkan supaya Mesyuarat Bahagian dan PAU ditangguhkan ke bulan April dan Jun 2009. Namun cadangan tersebut telah ditolak oleh Najib.

Bagaimanapun Abdullah berkeras mahukan Majlis Tertinggi meluluskan kehendaknya itu dalam mesyuarat hari ini.

Ruhanie memetik laporan dalam laman web penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Mukhriz, mykmu.net

Cadangan menyusahkan ahli

Menurut laporan itu, Najib antara lain menyatakan adalah tidak wajar menangguhkan lagi mesyuarat kali ini kerana semua persediaan telah dibuat. Penangguhan yang dikehendaki Abdullah itu hanya akan menyusahkan ahli dan para pemimpin di peringkat bahagian.

Selain soal persediaan, Abdullah juga diingatkan bahawa banyak isu-isu teknikal dan hati serta perasaan ahli Umno perlu diambil kira.

Antara lain, menurut laporan itu, ialah soal umur mereka yang layak bertanding untuk jawatan dalam Pemuda dan Puteri. Sebahagian calon tidak akan dapat bertanding kerana mereka lebih had umur pada tahun hadapan. Ini akan menimbulkan pelbagai isu teknikal termasuk sama ada sah atau tidak mesyuarat cawangan yang baru lalu.

Najib juga dilaporkan telah membangkitkan isu kempen pemilihan yang sedeang berlangsung di bahagian-bahagian ketika ini. Jika ditangguhkan, calon-calon yang bertanding akan menghadapi masalah untuk mengekalkan momentum.

Tempoh kempen yang terlalu panjang akibat penangguhan yang dikehendaki Abdullah itu juga akan menyebabkan suasana politik dalaman Umno akan terus bergolak untuk masa yang lebih panjang berbanding jika persidangan agung berlangsung dihabiskan tahun ini.

Perkara tersebut akan menambahkan politiking dalaman parti dan menyebabkan kepimpinan dan parti hilang fokus untuk menghadapi cabaran ekonomi negara pada tahun hadapan.

Meninggikan suara

Bagaimanapun, laporan itu menyatakian "Abdullah seperti biasa lebih mementingkan nasihat anak menantu dan para pegawainya tetap dengan pendirian tersebut".

Untuk mesyuarat hari ini, beberapa ahli MT dilaporkan telah diberi tanggungjawab oleh Abdullah dan Setiausaha Politiknya, Datuk Md Alwi Che Ahmad, untuk berkeras menyokong kehendak Abdullah itu.

Jika Najib atau Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju, laporan itu menyatakan, kumpulan ini akan meninggikan suara dan memainkan isu seperti Najib tidak tahu berterima kasih dan tidak sabar-sabar hendak menjadi Perdana Menteri._
Tukar k'jaan: Hanya Anwar boleh buat kenyataan
Jimadie Shah Othman


Atas alasan strategi, mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR malam tadi memutuskan bahawa hanya penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh membuat kenyataan mengenai usaha pembentukan kerajaan baru.

Selain beliau, hanya individu yang mendapat kebenaran parti dan Anwar yang dibenar mengeluarkan kenyataan mengenainya, demikian menurut sumber-sumber yang hadir dalam pertemuan tersebut.

"Sebarang kenyataan hanya akan mengganggu proses (tersebut).

"Sepatutnya sebelum dibuat, hendaklah berbincang dengan Anwar, hanya beliau yang tahu apa ceritanya,” kata sumber-sumber itu ketika ditanya mengenai mesyuarat tergempar itu yang berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Selain anggota-anggota MPT, beberapa ahli parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, turut dijemput menghadirinya.

Dalam mesyuarat itu juga, ketua penerangannya Tian Chua turut ditegur oleh Anwar kerana memberikan kenyatakaan kepada media tanpa merujuk kepimpinan parti terlebih dahulu.

Kelmarin, Tian Chua dilaporkan berkata, Pakatan Rakyat telah mula berunding dengan kerajaan berhubung penggantian kerajaan BN.

Tian juga dilaporkan berkata bahawa hubungan awal itu dibuat melalui "orang tengah" gabungan pembangkang dengan orang tengah perdana menteri.

Bagaimanapun, ia dinafikan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada hari yang sama dan menyifatkannya sebagai "laporan yang paling gila" pernah didengarnya.

Anwar juga menafikan wujud rundingan seumpama itu.

Malaysiakini difahamkan pertemuan yang dimaksudkan Tian, juga ahli parlimen Batu, itu "memang wujud" tetapi tidak wajar didedahkan kepada umum.

Selain Tian, ahli jawatankuasa pusat PAS Mujahid Yusuf Rawa juga mengeluarkan kenyataan yang menambahkan kekeliruan berhubung projek pembangkang menumbangkan kerajaan BN.

Beliau menyatakan surat rasmi telah diutuskan kepada Istana Negara untuk membolehkan pemimpin-pemimpin Pakatan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun sekretariat Pakatan kelmarin menafikan surat itu telah dikirimkan kepada istana.

Menurut sumber-sumber lagi, senarai penuh ahli parlimen BN yang akan melompat kepada Pakatan juga tidak dibentangkan.

Bagaimanapun Anwar menunjukkan dokumen persetujuan bersama ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat berhubung jaminan kebebasan beragama dan Islam.

Mesyuarat semalam mensasarkan pembentukan kerajaan baru dapat dibuat selepas hari raya Aidilfitri ini yang akan jatuh minggu depan, tambah sumber.

Mesyuarat juga menyarankan supaya diperbanyakkan program penerangan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai peralihan kuasa secara aman.

Anwar, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, gagal menunaikan hasratnya untuk membentuk kerajaan baru pada 16 September seperti diuar-uarkannya sejak April dan gagal memanggil sidang tergempar Parlimen untuk tujuan mengusulkan undi tidak percaya terhadap Abdullah.
Murugiah jawab Syed Hamid: 'Ini urusan saya'
MSTAR ONLINE

KLANG: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah mempertahankan tindakannya berhubung isu makanan bagi tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar kelmarin yang meminta beliau supaya tidak campur tangan dalam urusan kementeriannya, Murugiah berkata, beliau terkejut mendengar komen sedemikian daripada seorang menteri yang senior.

Kata Murugiah, beliau hanya melakukan tugasnya iaitu menerima aduan dan menyelesaikan masalah.

“Kenyataannya (Syed Hamid) yang meminta saya tidak campur tangan dalam urusan orang ramai adalah seperti meminta saya dan 270 kakitangan di Biro Pengaduan Awam supaya tutup kedai.

“Biro menerima kira-kira 180 aduan tentang setiap kementerian daripada Januari hingga Ogos dan bagaimana saya boleh lakukan tugas saya jika saya tidak boleh ‘campur tangan’ dalam kementerian lain,” soal beliau di sini semalam.

“Biro Pengaduan Awam berada di atas semua kementerian lain apabila tiba hal mengendalikan aduan,” katanya selepas melawat SJK (T) Batu Ampat di Jalan Kota Raya di sini.

Syed Hamid semalam berkata, Murugiah tidak sepatutnya mencampuri urusan kementerian lain.

Katanya, tindakan Murugiah bercakap bagi pihak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung aduan yang beliau tidak dihidangkan makanan yang sesuai ketika ditahan di bawah ISA adalah seperti menjadi "jurucakap kepada pembangkang."

Murugiah berkata, Syed Hamid sepatutnya bercakap terus berhubung hal itu kepadanya dan bukan memberi komen kepada terbuka.

“Saya cuba melakukan sesuatu yang baik untuk orang ramai, melayan setiap orang dengan adil tanpa mengira sama ada aduan itu daripada kerajaan, pembangkang atau orang awam.

“Sebagai menteri yang baru, saya akan selalu menerima dengan hati terbuka jika beliau (Syed Hamid) mahu membimbing saya atau menunjukkan saya cara terbaik dalam menjalankan tugas saya,” katanya.

Ini adalah kali kedua Syed Hamid meminta rakan-rakan sekerjanya dalam Barisan Nasional (BN) supaya tidak campur tangan dalam urusan kementeriannya.

Awal bulan lalu, beliau mengkritik pemimpin-pemimpin BN yang mempertikaikan keputusannya menahan tiga orang awam di bawah ISA termasuk Teresa.