Isnin, 29 Februari 2016

Tindakan Tun Mahathir keluar UMNO perkara biasa - MT UMNO

Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani 
 
Tindakan Tun Mahathir keluar UMNO perkara biasa - MT UMNO
Tindakan Tun Mahathir keluar UMNO disifatkan sesuatu yang bukan mengejutkan. - Foto Bernama
 

KUALA LUMPUR: Keputusan keluar UMNO yang dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan keputusan yang telah dijangka oleh kepimpinan parti itu.

Empat ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Irmohizam Ibrahim memberikan reaksi sedemikian ketika ditemui Astro AWANI.

Mahdzir berkata tindakan Tun Mahathir itu bukan sesuatu yang mengejutkan.

"Saya tidak terkejut langsung. Dulu dia keluar (UMNO), lepas itu masuk semula. Kita memang sudah jangka.

"Kami akan setia dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan pastikan kelangsungan UMNO diteruskan," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Ahmad Bashah pula berkata perkara itu adalah perkara biasa kerana Tun Mahathir menggunakan haknya.

"Sebelum ini pun Tun sudah biasa keluar dari UMNO, jadi kalau dia keluar sekali lagi itu biasalah, hak dia," ujar Ahmad Bashah.

Sementara itu, Idris juga sependapat dan menganggap perkembangan itu bukan sesuatu yang pelik.

"Memang kita menjangkakan dia akan keluar dari parti, dan syaratnya untuk masuk (semula) ke parti adalah sesuatu yang tidak dapat kita tunaikan. Sama-samalah tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku," ujar beliau.

Memberi reaksi dalam isu yang sama, Irmohizam menyeru perkara yang paling penting ketika ini adalah soal keutuhan solidariti.

"Paling penting ialah keutuhan solidariti parti, ahli-ahli parti dan juga kerajaan. Yang penting sekali kerajaan inilah yang dipilih rakyat untuk dipertahankan.
Astro AWANI cuba mendapatkan reaksi mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam perkara itu namun beliau enggan mengulas lanjut.

Tiada ulasan: