Ahad, 28 Februari 2016

Khairuddin bukan boleh pakai, kata Tengku Adnan

Zulaikha Zulkifli

 


Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata tindakan bekas pemimpin parti itu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ingin membuat laporan terhadap parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebagai "tidak boleh pakai".

"Itu dia cakap (tak patuh peraturan parti). Dia ahli Umno pun entah betul ke tak. Khairuddin tu bukan boleh pakai," katanya sinis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Kenduri 1Wilayah Persekutuan di kawasan Parlimen Segambut hari ini.

Terdahulu Khairuddin mendakwa Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak mematuhi peraturan parti termasuk apabila menggantung Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden.

Tambahnya, dengan menggantung Muhyiddin sebagai pemimpin nombor dua parti, majlis itu juga tidak menghormati keputusan pemilihan parti yang lalu.

Sehubungan itu, Khairuddin bercadang untuk membuat laporan terhadap ROS pada 1 Mac depan.
Kenapa nak ambil tindakan pada Nazri?

Ketika ditanya mengenai desakan Umno Pagoh yang meminta agar tindakan diambil terhadap anggota MT, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengibaratkan Muhyiddin seperti 'anjing', Tengku Adnan meminta perkara itu disemak terlebih dahulu.

Beliau meminta agar wartawan memeriksa fakta sekiranya Nazri yang juga menteri pelancongan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Kita dah gantung Muhyiddin kenapa nak ambil tindakan pada Nazri? Betul ke (Nazri cakap seperti itu), lebih baik awak periksa fakta awak," katanya.

Nazri baru-baru ini mengumpamakan tindakan Muhyiddin sejak kebelakangan ini ibarat ‘anjing yang sibuk menggigit kaki’ sehingga menyukarkan parti itu melaksanakan tanggungjawabnya.

Ekoran itu, Umno Pagoh mendakwa hati mereka serta bangsa Johor 'terguris' dengan kenyataan Nazri itu.

Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan meminta rakyat di kawasan itu mengembalikan semula kerusi parlimen tersebut kepada BN.

Katanya, BN perlu menguasai kembali kerusi di Segambut serta di Wilayah Persekutuan bagi memastikan kerajaan dapat membantu rakyat dengan lebih mudah.

"Saya rayu yang tak undi BN, undi BN dan beritahu pada orang di bawah untuk pulang balik kerusi ini (Segambut) pada BN kerana sejak kerusi ini wujud sehingga sebelum pilihan raya umum ke-13, kawasan ini merupakan kawasan BN.

"Jadi pada pilihan raya umum ke-14 kita akan ambil semula Segambut. Boleh ke tak boleh?" kata Tengku Adnan yang kemudian mendapat sorakan "Boleh" dari hadirin.


Tiada ulasan: