Rabu, 24 Februari 2016

Tarif air: AWER minta rakyat tunggu pengumuman SPAN

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak perlu terus bermain dengan spekulasi, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyarankan orang ramai menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (SPAN) berhubung kenaikan tarif air.
 
Presidennya, S Piarapakaran berkata demikian mengulas kenyataan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) hari ini bahawa tidak ada sebarang kenaikan tarif air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dalam tempoh terdekat.
 
Kali terakhir ia dilakukan pada 2006 yang lalu.
 
"Lebih elok pihak-pihak terlibat ini tutup mulut dahulu dan hantar pelan perniagaan seperti biasa. Jika tarif air akan naik, SPAN akan panggil pihak-pihak berkepentingan untuk bermesyuarat dan akan umumkan kelak," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Piarapakaran meluahkan rasa tidak setujunya dengan langkah Air Selangor yang seolah-olah mendahului SPAN dalam isu kenaikan tarif air ini.
 
Tegasnya segala keputusan berkenaan hal itu akan mengambil kira pandangan dan kesepakatan pihak-pihak yang berkepentingan dalam mesyuarat kelak.
 
"Selepas proses penstrukturan semula, mereka sudah berjanji untuk tidak membuka mulut tanpa persetujuan daripada SPAN. Naik atau tidak tarif air diumumkan oleh SPAN, bukan Air Selangor. 
 
"(Berdiam) Untuk mengelakkan kekeliruan kenyataan seperti disalah anggap, kita tidak mahu ia berlaku," ujarnya lagi.
 
Terdahulu Air Selangor hari ini menegaskan tiada cadangan kenaikan tarif air buat masa ini sejak kali terakhir dilakukan pada 2006.
 
Memetik laporan sebuah akhbar hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman memberi jaminan tersebut susulan isu itu dimainkan media sejak kebelakangan ini.
 
 

Tiada ulasan: