Ahad, 31 Disember 2017

Andai kata Kit Siang jadi PM

DETIK DAILY

 
Oleh Zin Mahmud

 Menjelang pilihan raya umum ke-14 tahun depan, maka disebarkan ingatan kemungkinan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang.

Sudah tentu Kit Siang, DAP dan PH menafikannya dengan memandang ingatan seperti itu bertujuan untuk menakutkan pengundi, khususnya di kalangan Melayu.

Adalah jelas ia bertujuan untuk mempermainkan sentimen perkauman. Maknanya orang Melayu ditakutkan dengan keadaan kalau-kalau akan berlaku kepimpinan oleh kaum Cina di Malaysia.

Sedangkan PH sentiasa menghujahkan bahawa bilangan kawasan yang ditandingi oleh DAP kelak, iaitu yang bermajoriti orang Cina adalah terlalu sedikit untuk membolehkan mana-mana pemimpin parti itu untuk disokong menjadi Perdana Menteri. Tetapi hujah ini tidak dipedulikan kerana mereka membayangkan bahawa di belakang PH adalah DAP.

Dari segi pertimbangan umum (common sense), andai kata PH menang, malah sesiapa saja pun, tidak berlaku pelantikan bukan Melayu sebagai perdana menteri. Majoriti Melayu dirasakan tidak akan menerima keadaan demikian.

Maka tidak akan ada parti di negara ini, terutama parti yang dipimpin dan anggotanya majoriti orang Melayu, yang akan menyokong seorang bukan Melayu sebagai perdana menteri.

Lebih-lebih lagi 3/4 anggota PH dipimpin oleh Melayu dan majoriti ahlinya juga orang Melayu. Malah, salah sebuah parti PH iaitu PPBM dianggotai oleh orang Melayu di samping perjuangannya jelas untuk orang Melayu atas nama pribumi.

Ketiga-tiga parti pimpinan Melayu itu juga mmpunyai asal-usul parti Melayu. PPBM dan PKR dianggotai oleh bekas ahli Umno. Amanah merupakan parti yang ditubuhkan bekas ahli PAS. Ditambah pula PKR juga merupakan hasil gabungan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang juga merupakan parti pimpinan Melayu.

Namun begitu, Amanah dan PPBM adalah parti baharu dan kecil. PKR juga masih boleh dikira baharu dan keanggotaan ahlinya tidaklah sebesar Umno atau PAS, 2 parti besar Melayu yang menentang PH.

DAP pula lebih lama wujud daripada ketiga-tiga rakannya dalam PH. Bagaimanapun ia bukan merupakan parti massa seperti MCA. Adalah dipercayai keanggotaan ahli MCA lebih besar dan luas daripada DAP. Tetapi DAP sebagai parti perkaderan lebih bergantung pada sokongan pengundi daripada bilangan ahli.

Namun, Lim dianggap sebagai pemimpin paling senior dalam masyarakat Cina. Tetapi dalam Malaysia, pemimpin paling senior ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, dan bukannya Lim.

Malah, Majlis Presiden PH telah juga dikeluarkan cadangan bahawa yang akan menjadi perdana menteri jika gabungan pembangkang menang ialah Dr Mahathir, walaupun untuk sementara.

Beliau bukan saja menjadi pengerusi PH, tetapi Lim juga tidak memegang sebarang jawatan dalam gabungan pembangkang itu. Dalam DAP sendiri, ketuanya ialah Lim Guan Eng melalui jawatan setiausaha agung. Lim hanya memegang jawatan Ketua Parlimen DAP. Kalau seorang perdana menteri dari DAP hendak dipilih, maka Guan Eng adalah calonnya, bukan bapanya.

Sememangnya dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia, seorang perdana menteri dipilih daripada ahli Parlimen yang disokong oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, tidak kiralah kaum apa dan sama ada partinya mempunyai majoriti atau tidak.

Sesiapapun ahli parlimen yang disokong oleh majoriti ahli Dewan Rakyat berpeluang menjadi perdana menteri, tidak kira kaumnya atau besar mana kerusi yang dimilikinya. Kalau dari segi ini, Kit Siang berpeluang menjadi perdana menteri sekiranya majoriti menyokongnya.


Tetapi pada realiti dan sejarahnya, parti yang memiliki majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri. Secara konsisten, sejak kemerdekaan, perdana menteri negara ini dipegang oleh pemimpin Umno.

Lumrah kaum utama jadi PM

Orang yang menjadi pemimpin utama negara pun adalah orang Melayu walaupun tiada peruntukan untuk itu dalam Perlembagaan Persekutuan. Di mana-mana pun di dunia, kecenderongan untuk memilih ketua eksekutif negara daripada kaum majoriti adalah suatu yang lumrah.

Sudah tentu perdana menteri di Singapura adalah dari kalangan kaum Cina. Di Indonesia, presidennya adalah dari kalangan Jawa. Seperti mana perdana menteri Britain, Australia dan Kanada adalah dari kalangan golongan kulit putih.

Dalam parti politik pun, walaupun DAP, PKR dan Amanah mempunyai ahli berbilang kaum, tidaklah sesiapa terfikir bahawa DAP dipimpin oleh orang Melayu sementara PKR dan Amanah dipimpin oleh seorang Cina.

Dalam demokrasi seharusnya kriteria pemimpin bukanlah menurut kaum atau anutan agamanya, tetapi kemampuannya untuk mengurus negara dengan memberi kebajikan kepada rakyat, khususnya golongan susah. Namun, walaupun pendirian perkauman sudah ditolak dalam amalan berpolitik zaman moden tetapi sentimen perkauman adalah suatu realiti yang wajar dipantau dan dibendung bagi memelihara keharmonian negara.

Di Malaysia, keadaannya adalah lebih sensitif, terutamanya di Semenanjung Malaysia yang merupakan wilayah teras negara. Sejarah penjajahan British ke atas Semenanjung Malaysia menjadikan negara ini berbilang kaum dan agama dengan isu perbezaan kedudukan ekonomi dicorakkan menurut kaum.

Akibatnya terdapat perasaan tidak selamat atau insecurity sentiasa berlaku di kalangan 3 kaum terbesar negara. Orang Melayu yang menguasai politik negara sebelum penjajahan British bimbang kehilangan kedaulatan ke atas negeri-negeri mereka, dan seterusnya dipinggirkan sementara orang Cina juga takut mereka akan kehilangan tempat tinggal dan peluang untuk menyara hidup. Begitu juga dengan kaum India yang berasa tersepit dengan dominasi politik Melayu dan dominasi ekonomi Cina.

Maka keseluruhan perkembangan politik Malaysia berkisar dalam soal ini, baik semasa perjuangan kemerdekaan, melawan Jepun, menentang Malayan Union, mengalahkan komunis, menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, mewujudkan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru adalah kesemuanya untuk menjawab persoalan hubungan kaum supaya warga negara dapat hidup dengan aman dan menerima peluang politik, ekonomi dan sosial yang saksama.

Dokumen negara seperti Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Kemerdekaan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara kesemuanya untuk menjamin keselamatan semua kaum dan penganut agama yang menjadi warga negara. Namun begitu parti politik Malaysia bergerak mengikut kaum tertentu dan mempergunakan isu yang dihubungkan dengan sentimen perkauman dan kagamaan untuk mendapatkan sokongan.

Sementara kebanyakan manusia mempunyai kelemahan apabila berdepan dengan sentimen perkauman dan keagamaan, maka tidak hairanlah mereka mudah dibuai dengan rasa bimbang terhadap penguasaa kaum lain, dan seterusnya undi mereka juga dieksploit.

Kebimbangan lama

Kempen untuk menakutkan orang Melayu terhadap kemungkinan negara ini akan jatuh ke tangan pemimpin bukan Melayu berlaku sejak dahulu lagi.

Apabila Malayan Union diperkenalkan, orang Melayu takut mereka kehilangan tanah air mereka.
Ketika Darurat, mereka diingatkan bahawa penguasaan komunis bermakna negara akan dipimpin oleh kaum Cina. Sebab itu usaha Dato Onn Jaafar untuk membuka Umno kepada pelbagai kaum juga ditolak.

Begitu juga keberatan Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Malaya dengan Singapura dan ia juga membawa kepada dakwaan bahawa pemimpin Singapura, Lee Kuan Yew mempunyai cita-cita menjadi perdana menteri Malaysia. Perkara ini tidak timbul lagi apabila Singapura dikeluarkan.
Tetapi masalah ini terus ditanggung oleh bekas ahli PAP di Malaysia apabila DAP ditubuhkan pada 1968.

Setiap kali pembangkang menjadi kuat, maka orang Melayu diingatkan bahawa mereka akan kehilangan kuasa jika gabungan parti pimpinan Umno dapat dikalahkan.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

2018, tahun untuk BN?

DETIK DAILY

 
Oleh Muhammad Shamsul Abd Ghani

SHAH ALAM - Tahun 2018 akan menyaksikan satu pertarungan politik yang sengit antara BN, Pakatan dan Pas,demikian menurut pemerhati politik tanah air.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, Walaubagaimanapun beliau menjangkakan BN akan terus mengekalkan kuasa.

"Dan kemungkinan besar BN akan mendapat semula mandat dua pertiga dalam PRU14," katanya

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan tarikh PRU14, akan diadakan sebelum Jun 2018.

Kata Najib, semua orang tahu, pemerintahan BN ada 'limit time', iaitu tidak boleh lewat daripada Jun.
Jika dihitung mengikut peraturan, Dewan Rakyat sekarang akan terbubar secara automatik pada 24 Jun 2018.

Kemudian ada 60 hari lagi untuk SPR adakan PRU-14.

Dalam pada itu menyentuh mengenai senario politik pembangkang, katanya pembangkang mungkin berhadapan dengan suasana malap.

"Tun Dr Mahathir dan penyokongnnya juga dijangka akan menghadapi laluan sukar dalam kehidupan politik, kerana 2018 dijangka tidak memihak kepada beliau dan kemungkinan pembubaran Pakatan Harapan antara sesama komponen mungkin terjadi," katanya.

Sementara itu, Md Shukri juga menjangkakan pada tahun hadapan diramalkan berlakunya  satu pertembungan di Timur Tengah melibatkan Arab Saudi, Iran dan Israel.

Katanya, konflik berpanjangan akan membawa kepada situasi sukar dalam prospek pertumbuhan ekonomi global.

"Dasar antarabangsa di amalkan oleh Trump akan membawa konflik global di bukan sahaja di Timur Tengah tetapi juga akan melibatkan Asia Timur," jelasnya.

Mengulas lanjt, katanya, Malaysia perlu bersedia berhadapan situasi global yang tidak menentu akibat sindrom Trump itu.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia perlu berhati-hati dalam soal kos sara hidup, termasuk dalam soal peluang penawaran pekerjaan baharu, ini akan menjadi soal berterusan di tahun 2018 selagi pertumbuhan peluang kerja di sektor swasta tidak seiring dengan pertambahan penduduk warganegara yang semakin ramai.-S/H 
 
 

PPBM Isytihar Hubungan Dengan PAS Sudah Berakhir

 
 


Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini secara rasmi mengumumkan bahawa hubungan parti itu dengan PAS sudah berakhir dan tiada lagi sebarang rundingan kerjasama dengan parti Islam berkenaan.

Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam ucapan pengulungannya pada Mesyuarat Agung Pertama parti itu lewat petang ini berkata, keputusan itu diambil kerana gagal mencapai kata sepakat disebabkan parti itu menolak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Mukhriz berkata sebelum ini beliau ditugaskan parti untuk menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan PAS, namun menemui jalan buntu apabila PAS dakwanya lebih cenderung kepada UMNO.

‘Pemimpin tinggi PAS kebelakangan ini mesra Umno. Mereka menyatakan nak tanding 100 kerusi Parlimen dan berpuas hati jika menang 40 kerusi Parlimen tidak mampu tubuh kerajaan hanya nak jadi kuasa penentu apabila keputusan belah bagi antara Pakatan Harapan dan BN.

“Ini menunjukkan kepimpinan PAS tidak berprinsip. Tidak ada kekuatan untuk tolak kleptokrasi.

“Isu tanah Felda PAS kata untuk selesaikannya amat mudah tidak perlu tubuhkan RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja), maka dengan itu PPBM buat keputusan untuk putus rundingan dengan PAS,” katanya dilaporkan portal pro-Amanah, Malaysia Dateline.

Dengan pengumuman itu, Mukhriz berkata PPBM bersedia bertanding tiga penjuru dalam PRU 14 nanti.

“Malah kita (PPBM) sanggup berhadapan tiga penjuru dengan PAS.

“Kita yakin usaha gigih kita tarik sokongan rakyat untuk menang majoriti undi perlu memihak pada PH, setiap satu undi itu berharga buat PH,” ujarnya lagi.

Tragedi Memali: Dr. Mahathir Gelar Mufti Kafir

 
 


SHAH ALAM – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad terus menerus mencipta kontroversi dan kali ini dakwaan dilihat cukup berat.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun yang terpalit dengan tragedi Memali itu bukan sahaja bertindak menyalahkan mufti dalam insiden tersebut malah menggelarkan mereka sebagai kafir.

Tanpa sedikit pun menyentuh tentang peranan beliau dalam tragedi hitam negara itu, Dr. Mahathir berkata, sebaik penasihat raja, mufti sepatutnya menyangkal amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang sehingga mendorong berlaku insiden berdarah tersebut.

“Mengapa mufti berdiam seribu bahasa, seolah-olah mereka bersetuju. Kalau mereka setuju pendapat itu, mereka tidak masuk parti Pas, maka mufti kita juga kafir dan orang yang dinasihati mufti juga kafir.

“Mengapa amanat ini tidak disangkal sehingga kini,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan PPBM, di sini hari ini.

Tragedi Memali di Baling pada 19 November 1985 memalitkan catatan hitam apabila 18 nyawa terkorban dan ketika banyak pihak menuding perkara itu ke atas bahunya, Dr. Mahathir bertindak menyalahkan bekas timbalannya, Tan Sri Musa Hitam.

Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir berterusan menyerang Pas sebagai parti yang memperalatkan agama sehingga membawa kepada ketaksuban dalam kalangan ahlinya seperti yang berlaku di Memali.

“Dalam tragedi Memali ini, empat polis dibunuh yang disangka kafir kerana bekerja dengan kerajaan kafir. Pas sebenarnya adalah parti yang memperalatkan dan menjual Islam,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Dr. Mahathir ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berkata, beliau sedang meneliti tiga kawasan.

“Saya mungkin akan bertanding di tiga kawasan Parlimen iaitu Kubang Pasu, Langkawi dan Putrajaya. Rakyat memberi gambaran bahawa saya diterima dan mempunyai peluang jika bertanding di sana,” katanya. – UTUSAN ONLINE

LIHAT VIDEO DI SINI

Agenda Untuk Pecahkan Pimpinan PAS Selangor – Dr Kamarul





Membaca laporan portal berita Malaysia Kini bertajuk “Ada Apa PAS Selangor Ketepi Khairuddin?”, kelihatan agak jelas wujudnya agenda untuk melaga-lagakan pemimpin PAS.

Mengetahui wujudnya agenda tidak sihat ini, lebih elok kalau pemimpin PAS mengelakkan diri dari memberi komen yang menyentuh soal dalaman parti kepada portal berita ini.

(1)
Menurut (Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman), beliau digugurkan dari jawatan (Ahli Jawatankuasa (AJK) Perhubungan PAS Selangor) sejak dua bulan lepas.

Ditanya sama ada pengguguran itu disebabkan PAS Selangor membuat rombakan barisan pimpinan negeri, Khairuddin berkata hanya beliau seorang saja yang digugurkan.

“Sekarang saya ahli biasa saja, tapi benda (pengguguran jawatan) ini sudah lebih dua bulan lepas. Cuma baru-baru ini orang mula tanya (alasan pengguguran).

“Sebab kenapa saya digugurkan, itu kena tanya pimpinan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

(2)
Sementara itu, Sallehen yang juga merupakan ADUN Sabak ketika dihubungi berkata pengguguran Khairuddin adalah kerana gagal beberapa kali menghadiri mesyuarat AJK Perhubungan PAS Selangor.

“Dia banyak kali tak datang mesyuarat, jadi kami gantikan dengan orang lain,” kata Sallehin.

(3)
Ketika dimaklumkan berkenaan alasan pengguguran yang diberikan Sallehin, Khairuddin sebaliknya berasa alasan itu tidak meyakinkan.

“Kalau itu sebagai alasan, saya yakin ramai patut kena pecat,” katanya.

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

Isu kafir: Mufti diam kerana campur tangan politik, kata Hadi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: PAS mempertahankan tindakan berdiam diri mufti dalam isu kafir-mengkafir sekitar tahun 1980-an dahulu kerana disebabkan oleh campur tangan politik dalam urusan pentadbiran negara.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian menjawab kritikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap golongan mufti yang gagal menegur PAS dalam isu mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti itu.
 
"Sepatutnya dalam sistem pemerintahan demokrasi, sistem pemisahan kuasa antara legislatif, eksekutif dan kehakiman.. apa yang berlaku adalah campur tangan politik terhadap pengurusan pentadbiran.
 
"Menyebabkan hakim dipecat, ketua polis negara bertindak dengan cara yang tidak tepat, mufti pun hendak dipaksa. Daripada mereka bercakap lebih baik mereka diam di masa itu, lebih selamat. Itu suasana ketika itu, itu dari segi pemerintahan negara yang perlu kita jelaskan," katanya di sidang media selepas merasmikan Kempen Penambahan Ahli PAS 'Pilihanku 2.0', di ibu pejabatnya, hari ini. 
 
Terdahulu, Dr Mahathir pada semalam mempersoal mengapa tiada golongan mufti tidak memperbetulkan kenyataan PAS, yang didakwa mengkafirkan sesiapa yang tidak menyertai parti berkenaan.
 
Berucap di pentas perhimpunan agung PPBM, Dr Mahathir berkata: "Mereka berdiam seribu bahasa, seolah-olah mereka setuju dengan pendapat parti PAS. Kalau mereka setuju dengan PAS, mereka tak masuk PAS maka mereka juga kafir."
 
Bekas perdana menteri itu merujuk kepada Amanat Hadi yang mencetuskan peristiwa Memali pada 19 November 1985, yang menyebabkan pengikut-pengikut Ibrahim Libya merancang kononnya menggunakan pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan.
 
"Dr Mahathir pakar perubatan, bukan ahli hukum syarak. Oleh kerana perkara itu berkait dengan hukum syarak dan agama, dia tak boleh memaksa orang yang ahli dalam ilmu syariat untuk ikut beri fatwa mengikut kemahuannya. Saya rasa langkah mufti mengambil sikap yang begitu di zaman itu, zaman yang tidak ada pemisahan kuasa," selar Hadi.
 
Peristiwa Memali tercetus pada 19 November 1985 iaitu pada era pemerintahan Dr Mahathir, ekoran tindakan pihak keselamatan mahu menahan seorang guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya atas dakwaan mengancam keselamatan negara.
 
Pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama itu beserta empat anggota polis, dengan berpuluh-puluh yang lain tercedera serta penahanan beratus-ratus orang.
 
PAS sebelum ini mengkritik Dr Mahathir kerana menyebabkan perpecahan orang Melayu serta meminggirkan isu-isu kepentingan Islam.  
 
PAS menafikan ia mengkafir orang Melayu yang tidak menyokong perjuangannya dan menuduh Dr Mahathir sebagai menyebarkan fitnah

Menyorot 2017, benarkah semua okey?

DETIK DAILY

 
Oleh

SEKITAR dua minggu lalu, saya berkesempatan duduk bersembang dengan Steve Schale yang menjadi tetamu kepada seorang teman. Mat saleh ini, menurut laman wikipedianya, adalah orang yang bertanggungjawab memberikan kemenangan kepada mantan presiden Amerika, Barack Obama di wilayah Florida.

Steve menghabiskan masa lebih sejam bersembang dengan beberapa orang aktivis parti politik, berkongsi pengalaman dimarahi Bill Clinton, serta memberi sudut pandangnya sendiri tentang politik Malaysia; sebuah negara yang kian disayanginya; meski isterinya tidak begitu suka.

Sepanjang satu jam itu, hanya satu sahaja ayatnya yang sehingga hari ini terngiang di telinga saya yang pekak sebelah - “Sure there’s traffic (jam), but there are roads.”

Itu disebutnya ketika menggambarkan kempen menyebarkan kepalsuan kononnya negara ini tidak menanggung masalah yang terlalu besar.

“Ya lah memang jalanraya sesak, tetapi kan ada jalanraya.” Mujur dia tidak sebut, ‘syukurlah Malaysia masih aman’.

Proses menjaja ilusi ‘kita okay’ ini sedang giat dijalankan di saat kita semua rancak bersiap sedia menuju pilihan raya. Andaian bahawa negara tidaklah seteruk yang disangka. Apa nak kalut?
Ilusi ini kemudiannya diperkukuh dengan keriuhan untung besar portal beli belah Lazada yang dilaporkan mengaut laba berjumlah RM1 bilion (US$ 250 juta) sempena ‘revolusi online’ syarikat itu.

Apa yang teruknya ekonomi Malaysia? Rakyat masih boleh ‘shopping’ sakan di Lazada, beratur membeli iPhone baru, malah bergaduh kerana sepasang kasut. Itu belum mengambil kira populasi yang melazimi kedai kopi mahal, makan di restoran selang sehari, dan berjimba setiap hujung minggu. Bukankah kita sebenarnya okay?

Ye ke awak okay?

Sebenarnya kita perlu melihat negara dengan sudut pandang yang lebih luas untuk mengukur okay atau tak okay umat Malaysia.

Malaysia punya populasi sekitar 30 juta, dengan pekali Gini tahun lalu menyaksikan agihan pendapatan isi rumah yang semakin baik. Perdana Menteri, suami Rosmah Mansor, memberitahu kita dalam pembentangan Belanjawan 2018 bahawa angka pekali Gini negara pada tahun 2009 (ketika beliau mengambil alih pemerintahan) pada angka 0.441 telah mencecah 0.399 pada tahun lalu.

Untuk konteks, pekali Gini adalah nilai yang kita gunakan bagi mengukur kesenjangan ekonomi. Semakin menghampiri nilai 0, semakin kecil jurang ekonomi. Sebalik jika semakin menghampiri nilai 1, semakin luaslah jurang kaya miskin.

Jika kita mengambil kira persepsi angka pekali Gini itu sahaja seperti yang dibentang Najib Razak, nescaya benarlah ilusi bahawa semuanya okay. Bahkan keadaan sejak 2009 sehingga kini, bertambah-tambah okay. Tapi takkanlah kita ini bangsa yang hanya tahu telan propaganda tanpa usul periksa, kan?

Daripada populasi 30 juta itu, berapa peratus sebenarnya yang menikmati kopi mahal setiap hari dan bertolak-tolak merebut beli telefon canggih? Berapa peratus yang duduk di puncak piramid pendapatan dengan gaji sebulan cukup untuk memberi makan fakir miskin selama dua tiga tahun (bahkan lebih lagi)?

Berapa peratus pula yang masuk kategori miskin, miskin bandar, dan menetap di tangga 40% paling rendah di piramid pendapatan dan minum kopi 434 Muar tiga kali ulang guna satu uncang? Adakah mereka juga okay?

Bagaimana dengan peniaga kecil atau pekerja yang membawa pulang lebih sedikit daripada kadar upah median RM2,000 sebulan? Bagaimana kalau gajinya RM2,050 dan tinggal menyewa di rumah PPR yang tuannya orang politik bawa kereta besar hasil kutip sewa daripada marhaen yang berhijrah ke bandar dari kampung halaman demi sesuap nasi? Adakah dia okay?

Bagaimana pula dengan peniaga kecil yang tidak boleh menaikkan harga jualan dan terpaksa menyerap kos cukai GST? Pulang ke rumah anak minta duit bayar yuran sekolah, tak boleh cakap tak ada duit, meski siang tadi pun sudah mengikat perut. Hari hujan, jual air tak laku. Adakah dia okay?
Bagaimana kalau kita beritahu pakcik ini bahawa cukai yang dibayar adalah kerana kerajaan tidak punya duit lagi, kerana kerajaan telah terpaksa menjamin pinjaman sebuah syarikat yang namanya 1MDB?

Syarikat itu baru tempoh hari membayar sekali lagi sejumlah besar wang kepada dana berdaulat Abu Dhabi, yang sebelumnya dulu telah dibayar ke sebuah syarikat lain dengan nama yang hampir serupa. Bayaran itu lesap tidak terganti lagi.

Bagaimana kalau kita beritahu orang di Pekan, Pahang bahawa ada satu menara baru sedang naik di tengah kota Kuala Lumpur yang bakal mengalahkan ketinggian menara berkembar Petronas? Pastilah mereka bertepuk tangan, menyangkakan kita semua okay belaka. ‘Syukurlah Malaysia masih aman’.

Nah, sekarang beritahu orang di Pekan, kerusi parlimen disandang almarhum Tun Razak bahawa menara tinggi yang baru itu bukan milik orang Malaysia, meski didirikan atas namanya. Beritahu orang Pekan bahawa menara itu milik orang Indonesia, dan lihat bagaimana air muka mereka berubah.

Alang-alang kita sudah beritahu itu, khabarkan juga bagaimana Felda hilang sebidang tanah di Kuala Lumpur. Sambil menjeling rumah mereka di tanah rancangan yang sudah tidak memberi hasil sawit lagi.

Khabarkan juga kepada kawan kita di Sabah dan Sarawak tentang bagaimana di Semenanjung akan ada landasan keretapi baru, ECRL namanya; menganjur dari Pantai Timur hingga hujung Pelabuhan Klang. Beritahu bagaimana gemilang majlis pelancaran projek itu, yang didanai wang orang kaya dari Tanah Besar China.

Lebuhraya Pan Borneo mereka masih belum siap. Ternyata janji tidak menurap jalanraya sejak pilihanraya entah bila. Adakah mereka okay? Ya, mereka air bersih pun belum tentu ada.

Sungai buat tadah air minum dan punca air buat membasuh perlu diasingkan. Tangki biru 1Malaysia tidak ada isi. Hujan bukan takdir ditentukan parti politik. Beritahulah yang mereka itu okay. Dikejarnya kau dengan sumpit.

2018

Tahun baru ini akan mengusung pertembungan politik yang paling dahsyat dalam sejarah. United Malays National Organisation akan menghadapi pilihanraya dengan penuh gaya, menabur janji dan wang berbakul-bakul supaya kita terpesona dan mengekalkan mereka di kursi kuasa.

UMNO akan terus berkuasa, mungkin untuk seribu tahun lagi, sejajar seruan presidennya. Ia akan terus berkuasa jika kita kekal terpesona dan tertipu dengan ilusi bahawa segalanya okay sahaja.

Hakikatnya, kita tidak okay. Ya mungkin benar, ada sekelumit dua kebahagian yang kita kecapi, sesaat dua kita girang gembira. Tetapi kalau UMNO tidak ada, alangkah lebih bahagianya kita.
Bayangkan sebuah negara tanpa UMNO. Ya, itulah dia Malaysia baru. Malaysia tanpa United Malays National Organisation. Itu baru okay 
 
 

Mahathir kembali ke Kubang Pasu?

DETIK DAILY

 
Oleh Koh Jun Lin

Pakar strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berpendapat bekas kawasan parlimen Tun Dr Mahathir Mohamad di Kubang Pasu sebagai tempat yang berpotensi untuk bekas perdana menteri itu kembali sebagai anggota parlimen.

Dr Mahathir berkata, beliau diberitahu Kubang Pasu merupakan kawasan yang berpotensi untuk dimenangi beliau dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, selain Langkawi dan Putrajaya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya pada sidang media di Shah Alam hari ini sama ada akan bertanding dalam pilihan raya, memandangkan partinya melobi untuk meletakkannya sebagai perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) memenangi PRU ke-14.

Beliau menjawab,”Ya, ia soalan utama. Saya mungkin bertanding di tiga kawasan berbeza.

“Mereka (pakar strategi BERSATU) memberitahu saya potensi untuk menang di Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya. Jadi bersedia untuk itu,” katanya.

Dr Mahathir merupakan anggota parlimen Kubang Pasu sejak kawasan parlimen itu disenaraikan pada 1974 pada PRU ke-4 dan berkhidmat selama 30 tahun sehingga 2004.

Pengerusi BERSATU itu juga pernah menjadi anggota parlimen Kota Star Selatan dari 1964 hingga 1969, namun kawasan parlimen itu dibubarkan pada 1974 selepas persempadanan semula.

Dr Mahathir yang pernah berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini menggambarkan beliau sanggup menjawat jawatan itu sekali lagi sekiranya keadaan memerlukan.

Sementara itu, Naib Presiden BERSATU Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ayahnya dilihat sebagai calon terbaik untuk jawatan itu.

Menurut Mukhriz, seseorang yang mempunyai pengalaman luas untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi Malaysia seperti rasuah, imej negara yang terjejas, kejatuhan nilai Ringgit, beban hutang negara, dan institusi kerajaan yang lemah.

“Untuk selesaikan masalah yang tadi saya senaraikan, negara memerlukan orang yang berpengalaman, orang yang mempunyai rekod yang cemerlang menyelesaikan krisis-krisis berat, orang yang mempunyai keikhlasan berjuang untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi.

“BERSATU bukannya mahukan jawatan perdana menteri untuk glamour, untuk seronok-seronok, tetapi BERSATU menuntut jawatan perdana menteri itu kerana pengerusi kita Tun Mahathir dilihat paling layak, paling berpengalaman, untuk mengeluarkan Malaysia daripada belenggu yang sedang dihadapi,” katanya.

Mukriz menambah, rakyat mungkin suka dengan manifesto HARAPAN, namun rakyat mahu tahu siapa yang akan bertanggungjawab melaksanakannya.

“Dan rata-rata, rakyat mahukan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya diikuti tepukan gemuruh hadirin.-Mkini 
 
 

Cabar Guan Eng agar MCA keluar BN betul

DETK DAILY

 
Oleh SUBKY LATIF

 GUAN Eng, Setiausaha Agung DAP telah membuat cabaran yang betul supaya MCA meninggalkan Barisan Nasional justeru UMNO dikatakan kian rapat dengan PAS.

Apakah betul PAS dan UMNO sudah seperti isi dengan kuku, hanya Allah dan PAS saja yang tahu. Nampaknya UMNO macam bersedia, tetapi ia belum berani tawarkan apa ia hendak beri kepada PAS.

Jika tawaran itu baik, apa salah ia ditimbangkan. Ini adalah jawapan atas teka-teki politik tinggi sekarang dan PAS adalah sepat yang tidak makan pancing emas.

Teka-teki itu adalah dari DAP. MCA seolah-olah termakan dengan teka-teki itu. Ia amat bimbang umpan UMNO itu dimakan PAS. Kebimbangan itu atas sebab nafsu UMNO akan ditelan hudud PAS. Jika MCA tidak peka, ia akan ditelan bersama UMNO.

Bimbang tidak bererti apa-apa jika tidak bertindak seperti tinggalkan BN seperti cabaran Guan Eng. Jika MCA bodoh ia sambut cabaran itu.

Tetapi ia belum sambut kerana politik isi dengan kuku UMNO-PAS itu satu andaian. Jika ia jawab cabaran, ia akan terperangkap. BN ditinggal, PAS tidak sambut UMNO. Kerana lamanya ia dengan UMNO, ia tidak percaya PAS tidak terperangkap dengan UMNO. Ia tahu susahnya orang yang menubuh parti bagi menggantikan PAS yang dikatakan dipancing UMNO. Parti sudah ditubuhkan, PAS masih jinak dengan UMNO tapi tak makan pancing emas.

Bagi MCA serugi-ruginya kalau ia dalam BN dan PAS bersama, ia akan dapat beberapa kerusi, dan dengan PAS join UMNO itu BN menang besar, aka nada MCA jadi menteri.

Jika ia keluar BN sekarang, apapun ia tidak dapat. DAP tidak akan bagi apa-apa padanya. Jika ia jawab cabaran DAP melompat tinggilah Gerakan. Itulah yang Gerakan tunggu. I suka cabaran Guan Eng dan ia suka MCA terima.

Sama ada PAS bersama UMNO atau tidak, MCA sudah jadi embun di rumput. Ketika UMNO sendiri tidak tentu nasibnya, MCA tidak dapat berpaut sangat pada dahan yang rapuh.

Jika UMNO patah, MCA akan ditimpa dahan reput itu. Kalau UMNO diselamakan oleh PAS, ia akan dapat seperti apa yang ia dapat sebelum ini. Jika PAS akan membawa hudud, ia tidak menghalang MCA dapat panggunya.

Cuma berkat hudud itu akan membuka hati ahli-ahli MCA suka akan keadilan Islam. Mereka mungkin tinggalkan MCA untuk bersama DHPP.

Dan dalam teka-teka politik tinggi ini MCA tinggalkan BN, bergabung dengan PAS dalam Gagasan Sejahtera. PAS akan ganti UMNO dan MCA teruskan peranan sebagai pari orang Cina yang bekerjasama dengan parti Melayu lain yang menggantikan UMNO.

Di mana-mana pun MCA payah menarik undi Cina. Dalam suasana UMNO cemas ini pengundi Cina lagi tidak percaya kepada UMNO dan sekutunya. Tetapi kalau MCA jadi regu PAS, pengundi PAS akan beri kepada MCA sebagaimana ia beri kepada calon DAP dulu.

DAP boleh berkawan dengan Anwar, Mahathir dan lain-lain, tapi tidak akan terima MCA. Semasa Lee Kuan Yew bersama Malaysia dulu, dia berusaha menggantikan MCA dalam Perikatan. Tunku sedia terima PAP tapi tidak buang MCA. Kuan Yew tolak sertai Perikatan kerana MCA dikekalkan.

Kuan Yew jadi pembangkang dalam PRU1964 kerana tidak mahu bersama MCA. Sampai hari ini DAP yang ganti PAS tolak MCA. 
 
 

Empat tol berakhir tengah malam ini

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kutipan tol di Plaza Tol Sungai Rasau dan Batu Tiga di Selangor, Bukit Kayu Hitam, Kedah, dan Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) di Johor akan dimansuhkan berkuat kuasa 12 tengah malam ini.
 
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata pengguna plaza tol Sungai Rasau, Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam akan menikmati laluan tanpa tol 20 tahun lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan dalam perjanjian konsensi Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
 
"Bagi EDL pula, pengguna di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hanya perlu membayar kutipan tol bagi PLUS untuk jajaran Tambak Johor sahaja," demikian menurut kenyataan itu.
 
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan mematuhi pengurusan kawalan trafik dan papan tanda yang disediakan semasa melalui semua plaza tol terlibat bagi memastikan perjalanan lancar dan selamat.
 
Pemansuhan kutipan tol ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018, sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
 
 

Mahfuz keluar parti, PAS kata 'tak ada nilai berita'

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Idris Ahmad menyifatkan 'tiada nilai berita' disebalik pengumuman Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar untuk keluar parti itu.
 
"Tak ada komen apa berkenaan dia, pada saya tak ada nilai berita (tentang) apa yang dia hendak buat," katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.
 
Terdahulu, Mahfuz mengumumkan keluar daripada PAS berkuat kuasa 11.59 malam ini.
 
Menerusi siaran langsung di Facebook Amanah negeri Kedah, Mahfuz bagaimanapun tidak memutuskan lagi parti manakah yang baka disertainya selepas ini.
 
Sebelum keluar dari parti, Mahfuz sebelum ini dilihat mesra dengan bekas pimpinan PAS yang telah menyertai Amanah, sejak tahun 2015.
 
Meskipun masih di dalam parti, Mahfuz sering mengeluarkan kenyataan yang tidak sehaluan dengan pimpinan PAS, termasuk menyerang presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Bekas Ketua Penerangan PAS itu juga sering menyertai program Pakatan Harapan (PH).
 
Tindakan Mahfuz itu menyebabkan beliau digelar 'harum manis' yang merujuk kepada buah mangga yang hijau di luar, oren di dalamnya.
 
Hadi, ketika di sidang media Kempen Penambahan Ahli PAS 'Pilihanku 2.0' hari ini sebelum pengumuman yang dibuat Mahfuz, sekadar meminta pemberita bertanyakan kepada ahli PAS Kawasan Pokok Sena berhubung tindakan Mahfuz.
 
"Saya minta supaya kawasan Pokok Sena menjawab," katanya ringkas.
 
 

PRU14: Chong Sin Woon calon MCA di kerusi Seremban

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SEREMBAN: Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon diumumkan sebagai calon parti itu di Parlimen Seremban dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai  berkata pemilihan Chong, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan adalah berdasarkan gerak kerja beliau selain dilihat mempunyai komitmen tinggi dalam memberi khidmat kepada penduduk Seremban ditambah keperibadian yang dinamik serta popular dalam kalangan penduduk setempat.
 
"Saya minta penduduk di Seremban memberi sokongan kepada MCA kerana kita perlukan perwakilan kaum Cina dalam kerajaan bagi memberi perkhidmatan berterusan kepada masyarakat Cina," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Besar Seremban, di sini hari ini.
 
Mengulas hal itu, Chong melahirkan rasa berterima kasihnya kepada pimpinan MCA di atas kepercayaan tersebut dan berjanji akan melaksanakan tugas yang diberi dengan komitmen tinggi.
 
"Saya mohon pengundi Seremban memberi peluang kepada saya untuk membawa suara Seremban masuk ke Parlimen kerana sebelum ini tidak banyak isu-isu Seremban yang dibawa masuk ke Parlimen," katanya.
 
Kerusi Parlimen Seremban kini disandang oleh Anthony Loke Siew Fook daripada DAP yang menewaskan calon MCA Datuk Dr Yeow Chai Thiam (mendiang) dan tiga calon Bebas pada PRU13.
 
Sementara itu Liow memberitahu parti telah menghantar senarai pendek calonnya bagi mendepani PRU akan datang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Liow yang juga Menteri Pengangkutan mengingatkan pengundi Cina supaya tidak termakan dengan dakyah pembangkang demi meraih undi.
 
 

Dua meninggal dunia terlibat nahas jalan raya

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas maut dilanggar bas ketika melintas jalan di Seksyen 16 di sini, pagi tadi.
 
Endon Abd Wahab, 63, yang menetap di Seksyen 18 di sini, meninggal dunia di lokasi berikutan kecederaan di kepala dan badan dalam kejadian jam 8 pagi.
 
Timbalan Ketua Polis Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria, berkata siasatan awal mendapati bas itu dalam perjalanan mengambil penumpang di Stesen Komuter, Seksyen 16, sebelum terlanggar mangsa yang melintas secara tiba-tiba.
 
"Pemandu bas berusia 56 tahun tidak sempat membrek kenderaan itu, lalu terlanggar mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Sementara itu, Nek Zaidi berkata seorang wanita berusia 22 tahun terbunuh selepas kereta dipandu dirempuh dari belakang oleh kereta lain yang hilang kawalan di Lebuhraya Persekutuan di sini, pagi tadi.
 
K Bawani, 22, yang memandu Proton Iswara, gagal mengawal keretanya sebelum terbabas dan terlanggar penghadang jalan.
 
"Akibat hentakan kuat pada penghadang jalan, mangsa cedera parah dan maut di tempat kejadian. Kakak mangsa, K Vanaja, 24, yang duduk di bahagian penumpang selamat dalam kejadian itu," katanya dilaporkan BH Online.
 
Kedua-dua kes disiasat mengikut 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 
 

Mahfuz bukan lagi 'pondan Siam', akhirnya keluar PAS

ANTARAPOS

Post Pic
 
  
KOTA BHARU: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akhirnya keluar daripada PAS sekaligus membuktikan bahawa dirinya adalah anak jantan dan bukannya 'pondan Siam', kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
 
Malah beliau mengucapkan tahniah kepada Mahfuz, setelah sekian lama menjadi duri dalam daging, kepada parti itu.
 
"Saya ucap tahniah kepada Mahfuz Omar kerana menjadi anak jantan dan bukan lagi pondan Siam.
 
"Saya percaya PAS Pokok Sena secara khusus akan menjadi lebih kukuh dan lebih fokus dalam mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya dipetik Utusan Malaysia.
 
Mahfuz yang bersama dengan parti tersebut sejak 34 tahun lalu mengumumkan keluar daripada PAS dalam satu sidang akhbar berkuat kuasa tengah malam ini.
 
Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum putuskan untuk menyertai sebarang parti politik sehingga selesai tempoh bertenang bagi dirinya.
 
Mahfuz sebelum ini dilihat cenderung kepada Amanah apabila kerap kali hadir menyokong program yang dianjurkan parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).
 
Malah Mahfuz pernah menyatakan kesediaan mewakili PH berbanding kekal bersama PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Mengulas lanjut perkara itu, Mohd. Amar berkata, beliau percaya Mahfuz dan mereka yang sejenis dengannya akan tinggal sejarah dalam politik tanah air.
 
 

Mahathir pun tahu dia sudah tak relevan lagi

DR AZMAN IBRAHIM




TAK ada seorang pun orang kampung yang saya temui menganggap Mahathir masih relevan. Malah tak minat pun nak bincang topik Mahathir. Ayahanda saya yang dah berumur lebih 70 tahun kata, "ado lagi ko ore ccayo ko Mahathir?" Malah ayahanda bagi nasihat, tak perlu buang banyak masa dengan Mahathir. Banyak sangat lagi kerja kita yang belum selesai.

Mahathir dah jadi harimau yang tak bergigi. Kalau gigit pun tak luka. Adalah rasa geli-geli sikit. Kita doakan di penghujung usia dia bertaubat. Antara syarat taubat ialah menyesali sungguh-sungguh kesilapan yang lalu serta berazam tak akan mengulangi lagi.

Urusan dengan Allah yang tertinggal kena qada' dan urusan dengan manusia kena selesai. Ada hak orang lain yang terambil kena pulangkan atau minta halal. Ada manusia yang kita zalimi kena minta maaf. Taubat wajib dengan taubat nasuha bukan taubat kemudian ulang semula.

Ayahanda saya kata, kita boleh maafkan Mahathir tapi mustahil kita boleh bagi kepercayaan kepada Mahathir. Sifat pemaaf dituntut, tapi jangan tertipu dengan memberi kepercayaan kepada orang yang kita telah kenali dia selama 22 tahun.

Mahathir pun tahu dia sudah tak relevan lagi. Tapi ada kepentingan Mukhriz, Mirzan, Mokhzani dan Marina yang perlu dijaga. Perjuangan Mahathir ialah untuk kesinambungan politik dan bisnes anak-anaknya. Untuk semua kelangsungan ini, Umno mesti diselamatkan. Nak selamatkan Umno, Mahathir sedang memainkan watak Kamikaze.

Menyusup masuk dalam PH dan berjaya memainkan peranan sebagai 'Pakar Hancur' yang telah 'mencaca-merbakan' Pakatan Harapan. Tindakan Mahathir telah berjaya menjadikan PH bahan ketawa khalayak. Mahathir telah berjaya dalam 'misi bunuh diri' dengan menerjunkan pesawat terbangnya ke atas kapal PH. Biarlah dia terbunuh asalkan Umno selamat.

Mahathir nak jadikan PAS sebagai jambatan untuk mencapai cita-citanya adalah mustahil sama sekali. Batuk Mahathir pun PAS dah kenal apatah lagi bau kentut Mahathir.

Mahathir bukan tak tahu bahawa ancaman utama kepada survival Umno yang dikasihinya ialah PAS dan bukannya PH. Tapi dia tak boleh nak pergunakan PAS. Yang bersedia menjadi balaci Mahathir ialah mereka dan keluarga mereka yang dimaklumi oleh kita semua.

Bila mereka rela menjadi khadam dan balaci, biarkan mereka. Kita teruskan kerja kita.– HARAKAHDAILY

*Dr Azman Ibrahim AJK PAS Pusat

SELAMAT TAHUN BARU, AZAM MENYINGKIRKAN NAJIB PALING SESUAI MENYAMBUT KEDATANGAN 2018

shahbudindotcom


Hari ini adalah hari terakhir dalam tahun 2017 dan bermula jam 12.01 minit tengah malam nanti, semua kita akan menyambut kedatangan tahun baru 2018.

Tahun 2017 mencatat banyak sejarah duka kepada rakyat dan negara negara, lebih-lebih lagi dalam perkara-perkara yang dikaitkan dengan Najib Razak.

1Malaysia yang dulu dibangga-banggakan untuk disebut dan diucapkan sudah lama tidak kedengaran dan secara senyap-senyap telah ditukar kepada 1Negara.

Lebih dari itu, kedai runcit 1Malaysia dan kedai buku 1Malaysia pula sudah “tutup kedai” secara rasmi kerana pelbagai masalah operasi yang dihadapi.

1Malaysian Development Bhd atau 1MDB, sebagaimana yang diperkatakan di seluruh dunia dan disedari oleh kita semua, akan terus menghantui masa depan Najib kerana melalui syarikat itulah bertapaknya skandal dan dosa yang tidak mungkin dimaafkan oleh rakyat Malaysia, kecuali beliau dapat dihumban dari puncak kuasa.
Di sebalik gegak-gempita kononnya ekonomi negara stabil dan pertumbuhannya sentiasa sihat serta menaik di bawah Najib yang digelar menukar demokrasi kepada kleptokrasi, MITI akhirnya mengesahkan lapan kilang mutinasional sudah pun menutup operasinya di negara kita.

Apakah petanda semua itu?

Untuk tahun 2018 mendatang, tidak mustahil cabaran yang lebih getir sedang menanti kita semua.

Maka, tahun 2018 juga adalah tahun untuk kita sebagai rakyat yang telah dibebankan dengan GST dan hutang negara hampir mencecah 1 triliion, untuk membuat pilihan dan pertimbangan pula.

Pernahkah setiap kali kedatangan tahun baru sebelum ini, kita sentiasa memasang azam, baik untuk diri sendiri, keluarga, karier dan sebagainya, tetapi sasarannya tidak pernah mengena?

Jadi, sesuai dengan 2018 yang merupakan tahun untuk rakyat membuat pilihan, apa azam paling wajar untuk kita tanam dan tekadkan dalam diri kita?

Apa kata untuk 2018 ini, semua kita mempunyai azam yang sama iaitu untuk menyingkirkan Najib dan seterusnya menumbangkan UMNO serta BN dan sepertimana kata Nurul Izzah, menjadikan beliau diktator terakhir dalam sejarah Malaysia.

Percayalah, inilah azam paling terbaik, tidak saja untuk negara, tetapi juga untuk diri sendiri, keluarga, karier serta masa depan anak-anak kita semua.

Yang lebih penting, inilah juga azam paling mungkin menjadi kenyataan bagi rakyat Malaysia pada tahun 2018 nanti.

Jika sebelum ini banyak azam kita tidak pernah menjadi kenyataan, inilah masanya untuk kita paling mungkin  menyaksikan satu azam menjadi realiti  dalam kebersamaan bersama majoriti rakyat Malaysia yang lain.

Ayuh kita mula  tanamkan azam itu dalam hati kita sekarang juga!!! 

 

Anak yakin 54 Parlimen, 92 Dun di Felda tidak lagi selamat buat BN



Anak yakin 54 Parlimen, 92 Dun di Felda tidak lagi selamat buat BN



Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata, berdasarkan situasi semasa di Felda, apatah lagi skandal membabitkan Tanah Felda di Jalan Semarak, Anak berkeyakinan 54 kerusi parlimen dan 92 Dun di Felda, bukan lagi simpanan tetap bagi kerajaan sedia ada.

Kehadiran Tun Dr Mahathir telah menarik sokongan ribuan warga Felda. Ia suatu gelombang yang tidak pernah berlaku sebelum ini melainkan era reformasi pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

“Kerjasama erat melalui taskforce Anak-PPBM dengan aktiviti utama Jelajah Semarak Kasih Felda telah mendapat sambutan hebat masyarakat Felda.

“Insya-Allah kesedaran warga Felda khususnya Generasi Baru Felda, akan membuka ruang dan peluang pembentukan kerajaan baru yang telus dan beramanah,” kata beliau.

Jelas Mazlan, pelan pemulihan 100 Felda akan memberi keutamaan terhadap isu hutang dan pendapatan peneroka, rumah Generasi Baru Felda, dasar Belia & Wanita, yang tentu sekali diharapkan dapat mengembalikan Felda dilandasan yang betul.

“Pemulihan Felda, FGV, KPF dan Yayasan Felda serta pembangunan sosio ekonomi; melalui kepakaran anak anak peneroka sendiri, yang sedia berbakti, pastinya bakal memberi harapan baru yang dinanti-nantikan,” katanya lagi.

Dalam kenyataan yang sama Mazlan berkata, sebagai mewakili Anak, beliau mengucapkan tahniah dan syabas buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) atas kejayaan Perhimpunan Agung Tahunan kali pertama semalam.

“Terima kasih mengundang Anak,” kata beliau.

Mahasiswa gesa kerajaan kembalikan subsidi minyak sambut 2018



Mahasiswa gesa kerajaan kembalikan subsidi minyak sambut 2018



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan bagi mengembalikan subsidi bagi bahan bakar bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dek kerana kenaikan berterusan harga minyak sempena kedatangan tahun baharu 2018.

“Harga minyak merupakan satu perkara yang sangat sensitif kepada rakyat, oleh itu kerajaan perlu peka mengenai perkara ini.

“PKPIM merasakan sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan subsidi bahan bakar bagi mengurangkan beban kepada rakyat yang sedang dihimpit masalah kenaikan kos sara hidup,” kata presiden persatuan itu Muhammad Khair Sujud dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, PKPIM khuatir kenaikan berterusan harga minyak akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan harian di pasaran.

“Hal ini sudah pasti memberi impak negatif kepada seluruh rakyat termasuklah golongan mahasiswa, generasi muda dan golongan berpendapatan rendah bagi menampung keperluan harian.

“Tuntutan kami jelas agar kerajaan dapat menurunkan harga minyak serta mengembalikan semula subsidi bagi bahan bakar.

“Jangan tunggu tarikh pilihan raya baru tuntutan ini dipenuhi bagi memperoleh populariti undi sedangkan rakyat terus menderita dan dihimpit kesusahan,” kata beliau.

Imbasan 2017: Pakatan Harapan mara melangkah



Imbasan 2017: Pakatan Harapan mara melangkah

Ramai hadir himpunan anti kleptokrasi tanpa kerahan serta salah guna jentera kerajaan seperti lumrah dilakukan BN.

Kesepakatan politik antara AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR itu pastinya bukan situasi yang menggembirakan BN dan Pas ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir.

Pembahagian kepimpinan mengikut negeri yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 28 Ogos lalu adalah kemuncak isyarat serius blok mega pembangkang itu untuk bertempur di PRU-14.

Serentak itu juga, usaha memujuk Pas bagi mengelak pertembungan banyak penjuru secara rasmi sudah melepasi tarikh luput ekoran sikap pimpinan parti hijau tersebut yang sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan Pakatan Harapan.

Terus mara, Pakatan Harapan melangkah dengan menyelaraskan gerak kerja pilihan raya secara intensif selepas agak tergendala melayan tarik tali dengan Pas yang ketara ‘istiqamah’ mesra memeluk Umno-BN menggunakan topeng Melayu dan Islam.

Hasil mesyuarat tiga jam itu, PKR diputuskan mengetuai Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah manakala Bersatu mengemudi pimpinan Pakatan Harapan di Johor, Perak, Kedah dan Perlis.

Bagi Kelantan, Terengganu dan Melaka, AMANAH akan mengetuai kempen PRU-14 di tiga negeri terbabit manakala DAP mempengerusikan Pakatan Harapan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

Ibarat merungkai simpulan mati, satu demi satu struktur Pakatan Harapan di peringkat negeri dan kawasan kemudiannya secara rasmi berjaya dilancarkan. Tidak lagi bersendirian seperti era Pakatan Rakyat sebelum ini, gerak kerja Pakatan Harapan di peringkat akar umbi adalah melalui sekretariat yang ditubuhkan.

Di Johor, Pakatan Harapan negeri yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu dilancarkan di Dataran Dahlia, Tampoi pada 29 September lalu.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden Pakatan Harapan dinamakan sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan di selatan tanah air itu.

Tanpa konflik secara terbuka walaupun berbeza fahaman parti, budaya politik rakyat Johor yang bersifat diam-diam ubi berisi menyaksikan Pakatan Harapan tidak mustahil bakal meraih lebih banyak kemenangan di 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Nun di utara, Pakatan Harapan Kedah mengumumkan barisan kepimpinan jawatankuasa gabungan itu pada 20 Oktober lalu. Pemilihan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan negeri dilihat berupaya menjentik perhatian ahli Umno yang anti Najib.

Kehadiran mantan Menteri Besar Kedah berkenaan bakal menarik sokongan sebahagian segmen pengundi wanita Umno apa lagi mereka yang non partisan di negeri yang pernah sepenggal ditadbir Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pakatan Harapan Selangor yang diterajui Mohamed Azmin Ali pula mengadakan mesyuarat pertama pada 8 September lalu dengan menambah seorang lagi Timbalan Pengerusi dengan melantik Sivarasa Rasiah yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR bagi mewakili masyarakat India.

Gelombang sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan pada 2017 dapat dilihat dalam siri jelajah di seluruh Semenanjung dengan program anjuran Bersatu paling ketara dilihat menarik kehadiran ramai penduduk setempat.

Ceramah Jelajah Semarak anjuran Bersatu di Jalan Meru Impian, Ipoh pada 3 Disember lalu contohnya, dilimpahi lautan masyarakat setempat dengan sebahagiannya berbaju merah – lambang parti Bersatu.

Bersatu menarik sokongan ramai Melayu menyokong Pakatan Harapan antaranya dalam siri ceramah di Ipoh awal Disember ini.

Walaupun sambutan menggalakkan terhadap ceramah atau perhimpunan bukan satu ukuran mutlak mencerminkan kejayaan pada pilihan raya tetapi situasi itu menjadi antara syarat positif buat Pakatan Harapan pada PRU-14.

Bersatu dilihat sebagai magnet kepada masyarakat Felda yang dihimpit pelbagai isu penindasan untuk mendekati Pakatan Harapan berbanding menjelang PRU-13 lalu.

Jika sebelum ini kehadiran pemimpin parti pembangkang disambut garang dengan caci maki dan pengusiran oleh kumpulan penyokong Umno tetapi kumpulan yang sama itulah kebanyakannya kini sudah bersama Bersatu lantaran pengaruh Tun Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan masih berbisa.

Penampilan sosok bekas Perdana Menteri pada usia 93 tahun di pentas ceramah Pakatan Harapan yang dilihat mengundang minat ramai orang Felda untuk hadir dijangka bakal diterjemah di kertas undi pada PRU-14 nanti.

Akibat pelbagai kepincangan Felda yang didalangi pemimpin Umno, warga peneroka semakin terbuka menyokong Pakatan Harapan.

Di Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990, AMANAH di bawah pengaruh bekas exco, Datuk Husam Musa dan kini Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan hampir setiap hari mengadakan program di peringkat akar umbi khususnya di utara negeri itu.

Daripada pagi sembang di kedai kopi sehingga ceramah bersama rakan-rakan Pakatan Harapan di sebelah malam, penggunaan media sosial melalui siaran langsung melalui Facebook (FB) Live dimanfaatkan oleh kumpulan Ketua Pemuda AMANAH negeri, Hazmi Hassan.

Pada masa sama, pelbagai tembelang berkaitan korupsi dan kepincangan urus tadbir Pas sebagai parti pemerintah di Kelantan didedahkan berserta penyelesaian alternatif sebagai bukti kesediaan Pakatan Harapan menggantikan Pas di negeri itu.

Tidak keterlaluan dikatakan Pakatan Harapan di Kelantan yang diketuai AMANAH paling produktif bertemu dengan segenap lapisan akar umbi meliputi isu ekonomi setempat sehingga menyentuh hal berkaitan alam sekitar.

Keceluparan Pas sepanjang tahun 2017 termasuk mendakwa PKR khianat terhadapnya membawa kepada arahan Biro Politik PKR yang memutuskan partinya di Kelantan mesti melepaskan semua jawatan politik di bawah kerajaan negeri.

Pendirian bermaruah PKR itu jauh bermaruah berbanding Pas di Selangor yang selamba tebal muka berkongsi kuasa dalam kerajaan negeri pada ketika bermusuh dengan komponen Pakatan Harapan.

AMANAH Kelantan melalui gerak kerja Ketua Pemudanya, Hazmi Hassan paling terkedepan bertemu akar umbi termasuk ketika banjir baru-baru ini.

AMANAH Kelantan melalui gerak kerja Ketua Pemudanya, Hazmi Hassan paling terkedepan bertemu akar umbi termasuk ketika banjir baru-baru ini.

Imej Pakatan Harapan di Kedah yang peduli rakyat pula dilihat banyak dibantu oleh gerak kerja AMANAH Kawasan Sik dengan mempunyai program berfokus.

Diketuai Sulaiman Ibrahim atau dikenali sebagai Leman Raja Lawak sebelum ini, sejak beberapa tahun lalu lagi sudah meredah kawasan pedalaman bertemu dan membantu keluarga miskin yang majoritinya mengambil upah menoreh getah.

Lensa aksi protes Pakatan Harapan yang menjadi tumpuan sepanjang 2017 tentunya apabila ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya dirantai dan dikunci pada 23 Mei lalu.

Keengganan SPR mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) mendorong Pemuda Pakatan Harapan mengambil tindakan sedemikian selepas pendekatan diplomasi gagal mendatangkan hasil yang positif.

Mulai 21 November pula, Pemuda Pakatan Harapan berkampung protes 42 jam di hadapan Parlimen menuntut harga minyak diturunkan dan subsidi bahan bakar itu dikembalikan.

Aksi protes berembun, berpanas dan berhujan di bahu Jalan Parlimen itu kemudiannya menyaksikan penurunan harga mingguan petrol sebanyak lapan sen dan dua sen bagi diesel mulai 23 November lalu.

Minggu sebelum protes, harga RON95 melonjak paling tinggi sehingga tujuh sen menjadi RM2.38 seliter, RON97 naik enam sen menjadi RM2.66 manakala diesel naik lima sen kepada RM2.25 seliter
.
Biarpun panas terik, Pemuda Pakatan Harapan meneruskan protes yang kemudiannya menyaksikan harga petrol turun lapan sen pada minggu berikutnya.

Tanda aras

Pimpinan Pakatan Harapan komited menentang Umno-BN pada PRU14 nanti.

Pengumuman tujuh tindakan Pakatan Harapan untuk 100 hari pertama sejurus mengambil alih Putrajaya termasuk memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat dan memerangi rasuah pada 14 Julai lalu serta Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi tiga bulan selepas itu dilihat sebagai tanda aras yang signifikan pada nilai permuafakatan keempat-empat parti sepanjang tahun 2017.

Kehadiran ramai orang Melayu sekaligus mengimbangi komposisi penyertaan rakyat berbilang kaum dalam himpunan di Petaling Jaya, Selangor itu menutup propaganda media Umno-BN untuk memanipulasi keadaan kononnya didominasi kaum Cina seperti lazim dicanangkan pada siri himpunan anjuran pembangkang sebelum ini.

Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 bertemakan ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’ pula jelas tekad Pakatan Harapan untuk tidak boros berbelanja seperti kerajaan sedia ada dengan bajet Jabatan Perdana Menteri pada 2017 sahaja mencecah sebanyak RM15.9 bilion.

Menghapuskan rejim cukai regresif yang menindas rakyat miskin – cukai barang dan perkhidmatan (GST), menurunkan kadar hutang isi rumah serta mengembalikan subsidi petrol antara iltizam Pakatan Harapan sejurus menumbangkan rejim Umno-BN dan sekutunya.

Usaha mendaftarkan Pakatan Harapan di bawah satu logo hanya menanti kelulusan Pedaftar Pertubuhan manakala manifesto bersama bila-bila masa sahaja akan diisytiharkan.

Berpijak atas realiti politik mutakhir ini, PRU-14 pada 2018 ini menjadi gelanggang buat calon Pakatan Harapan berentap dengan calon Umno-BN dan Pas demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia.

Pakatan Harapan sepanjang tahun 2017 terbukti sarat dengan idea perubahan dan gagasan baharu untuk memerintah yang pastinya akan direbut majoriti daripada 14.6 juta pengundi yang rasional dan cintakan tanah air ini.

Rakyat dilazimkan dengan istilah kleptokrasi ekoran skandal 1MDB yang merompak harta negara. 


1MDB: Malaysia tidak terhutang budi kepada sesiapa pun

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Malaysia tidak terhutang budi kepada sesiapa pun dalam isu melunaskan bayaran hutang 1Malaysia Development Bhd’s (1MDB), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Kita tidak terhutang budi kepada sesiapa pun,”’ katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran ePerolehan Baharu di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai dakwaan pembabitan firma-firma China dalam usaha membantu melunaskan bayaran hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpejabat di Abu Dhabi.

Menurut laporan akhbar Straits Times Singapura, 1MDB telah membuat pembayaran akhir obligasi hutangnya sebanyak US$602.7 juta kepada IPIC dengan menjual kepentingannya dalam dua syarikat yang ada kaitan dengan dua firma milik kerajaan China.

Pembayaran berkenaan, iaitu yang kedua bagi pinjaman berjumlah US$1.2 bilion yang dilanjutkan pada Julai 2015 kepada 1MDB, telah dibuat pada 22 Disember lepas, kata laporan itu.

Malah, pembayaran berkenaan adalah lebih awal daripada tarikh akhir yang dijadualkan pada akhir Disember ini sepertimana dipersetujui kedua-dua pihak pada awal 2017, kata Straits Times.

Usaha pembayaran itu juga adalah tertakluk kepada Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC.

Ketika diminta mengulas laporan itu, Johari sebaliknya berkata perkara itu sewajarnya diajukan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Saya tidak tahu menahu mengenainya. Anda boleh tanya (Tan Sri) Irwan Serigar yang juga Pengerusi 1MDB,” katanya.

UMNO harus fokus untuk menang PRU14 – Shahidan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: UMNO sebagai tunjang Barisan Nasional (BN) harus fokus terhadap memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan jangan tergugat dengan isu-isu yang tular di media sosial, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“PRU14 akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dan oleh itu UMNO mesti bersatu mematahkan serangan parti lawan,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Hotel Putra Regency di sini, malam tadi.

Shahidan berkata UMNO bersedia menghadapi apa sahaja cabaran kerana yakin rakyat akan terus menyokong BN yang telah membuktikan ia satu-satunya parti menjaga kebajikan dan memperjuangkan kesejahteraan rakyat.

Mengenai Perlis, beliau yakin BN memiliki kelebihan untuk memenangi semua tiga kerusi Parlimen dan mengambil alih dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Indera Kayangan dan Sanglang daripada pembangkang.– Bernama

Kemuka aduan jika harga barangan sekolah tidak berpatutan

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Orang ramai yang mendapati barangan sekolah dijual dengan harga tidak berpatutan boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan seterusnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Chong Sin Woon berkata mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuat keuntungan tinggi yang tidak munasabah, boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Penjual jangan cuba ambil peluang untuk mencabar akta sedia ada. Pada masa sama diharapkan koperasi sekolah menjual peralatan dengan harga berpatutan. Untung itu jangan ambil lebih,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek Pertandingan Fotografi GoCare Charity di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dilaporkan berkata harga kelengkapan sekolah meningkat antara 30 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.

Dalam pada itu, Chong berkata kerajaan akan meneruskan bantuan awal persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 seorang pada tahun hadapan.

Pertandingan anjuran Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) itu bertujuan mengumpul dana bagi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dan PAWS Animal Welfare Society (PAWS).

Individu berminat menyertai pertandingan ini boleh mengambil foto bertemakan ‘Loving, Caring, Sharing Malaysia’ dan memuat naiknya dalam laman Facebook dengan hashtag
#GoCareCharityPhotography, sebelum 25 Feb tahun hadapan.

Setiap gambar yang dimuat naik akan menerima sumbangan RM1 daripada organisasi GoCare yang akan disalurkan kepada MNS, NASOM dan PAWS.–Bernama

Nik Nazmi menang saman lawan bekas AG

KEADILAN DAILY

nik_nazmi_bebas_PAA


Mahkamah Tinggi hari ini mengarahkan Putrajaya dan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail membayar sejumlah RM240,000 kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Arahan itu dikeluarkan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam saman Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Setia itu berhubung pendakwaan berniat jahat susulan penahanannya sebanyak dua kali di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hakim Ahmad Zaidi berpuas hati yang Abdul Gani dan kerajaan Malaysia gagal menyangkal dakwaan Nik Nazmi, 35, selaku plaintif bahawa pendakwaannya buat kali kedua di bawah akta itu berunsur niat jahat.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan membayar ganti rugi khas untuk menampung kos guaman sepanjang tempoh pendakwaan sebanyak RM80,000, ganti rugi am sebanyak RM100,000 dan ganti rugi teladan sebanyak RM50,000 serta kos sebanyak RM10,000 kepada Nik Nazmi.

Mahkamah memutuskan bahawa pihak defendan hanya memanggil dua saksi iaitu timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat bagi kes berkenaan ketika perbicaraan, manakala Abdul Gani sendiri tidak hadir untuk memberi keterangan.

“Apa yang dikatakan oleh timbalan pendakwa raya ketika perbicaraan tidak lebih dari keterangan dengar cakap. Saya tidak dapat faham kenapa defendan pertama arahkan plaintif dituduh di bawah seksyen sama pada kali kedua… apa yang mengejutkan arahan itu datang daripada orang yang penting,” katanya, memetik Bernama.

Ahmad Zaidi berkata tindakan defendan pertama yang mengarahkan pendakwaan kali kedua diteruskan walaupun selepas Mahkamah Rayuan memutuskan ia tidak berperlembagaan dan ketika rayuan di Mahkamah Persekutuan masih dalam proses, adalah tidak menghormati keputusan mahkamah.

Nik Nazmi pada 31 Mac 2015 menyaman Abdul Gani kerana mendakwanya di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya buat kali kedua pada 6 Mei, 2014 mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Abdul Gani yang merupakan peguam negara pada masa itu mendakwa Nik Nazmi walaupun Mahkamah Rayuan pada 25 April 2014 telah membenarkan permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapinya mengikut akta sama.

Dalam tuntutannya, Nik Nazmi menegaskan beliau sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama pada 17 Mei, 2013 atas dakwaan menganjurkan perhimpunan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 8 Mei, 2013

Umno mencuri kerana Tuhan? – Tun M.



KEADILAN DAILY

Inilah didikan Umno...(gambar hiasan)Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyindir Umno yang mula menyuntik semangat keagamaan di kalangan penyokongnya.

Beliau merujuk video ceramah ketua penerangan parti itu, Tan Sr Annuar Musa di Kelantan yang diakhiri dengan laungan lillahi taala (kerana Allah Taala).

“Kata Annuar Musa – Umno lillahi taala atau Umno ‘kerana Allah’.

“Saya nak tanya apakah Umno mencuri kerana Allah, Umno menipu kerana Allah, Umno makan suap dan Umno sogok duit kerana Allah,” kata Dr Mahathir menerusi akaun Facebook beliau.

Katanya, Umno sebaiknya menjunjung Al-Quran bagi mewajarkan segala penyelewengan mereka sebelum ini, jika mereka mahu memperalatkan agama untuk politik.

“Apakah Umno pindah pengundi, tukar tempat mengundi, tukar sempadan untuk mencuri pengundi Melayu, Umno seleweng undi pos kerana Allah.

“Annuar sepatutnya junjung Quran dan lafaz bahawa semua yang dunia tahu dilakukan oleh Umno adalah kerana Allah,” tulisnya.

Dr Mahathir turut berkongsi rakaman video yang menunjukkan Annuar sedang berucap kepada sekumpulan penyokong dalam loghat Kelantan, di akaun Facebook.

Annuar antaranya mengajak orang ramai melaungkan “lillahi taala” selepas beliau melaungkan Umno.

‘Pakai putih di Dataran desak turun harga minyak’

KEADILAN DAILY

4a032265-58fd-4c7f-935b-3b068f700b60


Golongan muda diseru untuk turun beramai-ramai ke tengah ibu kota pada malam ambang tahun baru 2018 untuk mendesak harga petrol diturunkan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengetuai ‘Gerakan Turun Harga Minyak, Turun Najib’ (Turun Turun) itu membuat seruan tersebut menerusi hantaran Facebook beliau.

“Tahun baru ini kita raikan untuk minta turun harga minyak. Turun (Datuk Seri) Najib Razak.

“Berhimpun di Sogo KL 31 Disember 11 malam berpakaian putih. Kita berarak sama-sama ke Dataran Merdeka,” katanya.

Turun-turun sebelum ini menuntut agar subsidi minyak dikembalikan dan harga siling minyak ditetapkan oleh Putrajaya.

Selain mendesak Najib agar meletak jawatan dan harga minyak diturunkan, mereka juga mahu kos sara hidup dan harga barangan dikurangkan.