Sabtu, 30 April 2011

Mahathir: PRU-13 ujian penting bagi Melayu


ALOR SETAR– Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata orang Melayu mesti bersatu di bawah Barisan Nasional (BN) yang didominasi Umno kerana perpecahan mereka kepada tiga parti telah melemahkan kaum itu.

Bekas perdana menteri (gambar) itu berkata, pilihan raya umum ke-13 yang dijangka dalam waktu terdekat adalah ujian penting bagi orang Melayu.

“Jika kita terbawa-bawa dengan cerita dewa-dewi, maka kita akan menolak BN dan mengundi pembangkang,” kata beliau.

“Pada masa ini, saya mendapati laungan Hidup Melayu tidak mendapat sokongan besar. Orang Melayu kelihatan takut untuk menyebut ‘Melayu’ dalam bumi mereka sendiri,” kata beliau pada majlis yang diadakan di negeri kelahirannya.

“Apabila kita kata ‘Melayu’, kita akan dipanggil sebagai rasis,” kata Dr Mahathir pada Perhimpunan Melayu Perkasa Kedah.

Perdana menteri paling lama berkhidmat ini berkata, pada masa-masa lalu orang Melayu hanya setia kepada raja masing-masing dan dengan mudah dikuasai oleh negara lain seperti China dan Siam.

Penaung Perkasa ini berkata, Umno telah menyatukan orang Melayu dan memperoleh kemerdekaan daripada British.

Bagaimanapun katanya, kemunculan PAS telah memecahkan orang Melayu kepada dua dan mengakibatkan mereka bertelagah sesama sendiri.

Bekas presiden Umno ini berkata, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan PKR selepas dipecat dari Umno, langkah itu memecahkan orang Melayu kepada tiga.

“Beliau tidak kisah mengenai perpaduan Melayu, beliau hanya mahu jadi perdana menteri,” katanya.

Kemudian Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa adalah baik jika PAS mahu menyertai BN, tetapi “semasa mereka menyertai sebelum ini mereka menyebabkan masalah.”

“Kalau mereka ikhlas, OK,” katanya.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali juga menambah, pihaknya menyokong langkah Najib itu tetapi beliau tidak fikir ia akan menjadi realiti.

“Ini kerana PAS tidak fikir mengenai perpaduan Melayu tetapi hanya mahu mengambil kuasa dan Putrajaya,” katanya lagi.

Di Kuala Terengganu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata PAS patut keluar Pakatan Rakyat jikapun memutuskan untuk tidak menyertai BN.

Sehubungan itu Perdana Menteri mendakwa PAS tidak pernah untung apa-apa pun dalam Pakatan Rakyat, malah mereka hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.

Najib berkata pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini misalnya, PAS telah bekerja keras, sebaliknya DAP yang dilihat meraih kejayaan daripada usaha keras mereka itu.

“Kita lihat poster di sini (Terengganu) “PAS ganti UMNO”, realitinya “DAP ganti PAS”, di Sarawak (pilihan raya negeri 16 April lepas), PAS berkempen berhempas pulas, akhirnya, yang untung, DAP,” kata beliau.

“PAS, cukuplah dalam Pakatan Rakyat, alihlah kepada yang lain, tak masuk BN (Barisan Nasional) pun tak apa, tetapi keluarlah dari Pakatan Rakyat,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Pangsapuri Rakyat Pulau Duyong.

Terdahulu, Najib yang juga Presiden Umno meneruskan usahanya dengan hari ini sekali lagi mempelawa PAS agar menyertai BN sambil berkata, sudah tiba masanya PAS meninggalkan DAP atas alasan ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

“Kenapa buat baik dengan DAP? Adakah DAP boleh perjuangkan Islam?

“Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP, masuk BN,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia dekat Kuala Terengganu.

'Mahasiswa disingkirkan jika sertai himpunan 1 Mei'

MALAYSIA KINI


Seorang aktivis Universiti Malaya yang juga Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Izzuddin Hilmi Mohd Zaini telah diingatkan supaya tidak menyertai himpunan hari pekerja 1 Mei esok ataupun berdepan dengan tindakan dipecat dari universiti itu.

izzuddin hilmi leading the crowd of 200Menurut sumber amaran tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor dan Alumni Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Rohana Yusof.

“Jangan sertai himpunan itu atau kamu akan dibuang UM!” katanya kepada pelajar UM berkenaan.

Sumber juga mendakwa Izzuddin (atas, baju putih) telah dihubungi oleh Rohana sebelum ini untuk berjumpa dan berbincang sesuatu di pejabatnya.

Setelah berjumpa dengannya, beberapa pertanyaan telah ditujukan kepada mahasiswa tahun akhir itu.

Antaranya tentang pembabitan Izzuddin dalam himpunan 1 Mei nanti dan beberapa soalan lain berkenaan penglibatannya dalam gerakan dan politik luar.

Izzuddin dalam kenyataannya menegaskan beliau berjumpa dengan Rohana atas sebab 'kerelaannya' sendiri setelah dihubungi sebelum ini.

“Saya dinasihati olehnya dan mengeluarkan amaran agar jangan sertai Himpunan Pekerja 1 Mei nanti.

“Saya tanya kalau saya sertai, Datuk jawab...sertai atau kamu akan dibuang universiti,” tambahnya lagi.

NONEJawatankuasa 1 Mei yang terdiri daripada lebih 60 kumpulan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik akan mengadakan perarakan sempena Hari Pekerja dengan tema 'Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi' pada 1 Mei ini.

Peserta diberitakan akan berkumpul di Stesen Monorel Chow Kit dan berarak ke Dataran Merdeka, bermula jam 10.30 pagi dan berakhir dengan bacaan deklarasi Hari Pekerja di Dataran Merdeka.

Selain Izzuddin yang mewakili SMM, turut hadir dalam sidang media sebelum ini ialah penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), Bawani KS, Pengarah Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) Valerie Thomas, wakil Suaram, Andika Abd Wahab.

Masalah di T'gganu? PM adakan perjumpaan tertutup

BERNAMA


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan perjumpaan tertutup dengan semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Terengganu serta beberapa pimpinan parti komponen BN Negeri, malam ini.

terengganu and ahmad said and umnoHadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Naib Presiden Umno, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Anggota Parlimen Kemaman.

Turut serta dalam mesyuarat itu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN tiba di Ri-yaz Heritage di Pulau Duyong, di Kauala Terengganu pada kira-kira pukul 10.30 malam, dan perjumpaan itu berakhir pada kira-kira pukul 12 tengah malam.

Semua 24 ADUN dan enam anggota Parlimen BN hadir pada perjumpaan itu.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu dalam Program Turun Padang Bersama Rakyat yang menyaksikan jadual padat sepanjang hari ini.


Anwar dakwa Soi Lek pengecut

KUALA LUMPUR— Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai seorang pengecut ekoran kenyataan Presiden MCA itu bahawa beliau orang pertama akan mengundi PKR jika komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut sanggup memansuhkan keistimewaan orang-orang Melayu.

Sehubungan itu, Anwar menekankan, PR akan mempertahankan setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Artikel 153 mengenai hak dan keistimewaan orang-orang Melayu.

“Chua Soi Lek mahu kita bergaduh antara satu sama lain. Kita tidak akan disyaratkan oleh anda. Anda tidak ada keberanian untuk berhadapan dengan amalan rasuah pemimpin-pemimpin Melayu.

“Pemimpin-pemimpin MCA tiada keberanian. Kami (PR) akan bangun dan lawan kedua-dua pemimpin Melayu dan Cina yang rasuah,” kata beliau ketika satu ceramah di Ampang dekat sini malam tadi.

Ketua Umum PR ini berkata perbezaan antara BN dan PR ialah perikatannya berjuang untuk menjaga kepentingan Melayu manakala BN pula hanya melindungi kekayaan keluarga masing-masing. Beliau menambah, sementara Umno mendakwa ia menjadi pelindung hak orang Melayu, mereka terus mengabaikan golongan miskin dan meminggirkan anggota masyarakat sendiri.

“Jangan terperangkap dengan permainan mereka. Kami akan mempertahankan peruntukan-peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Dalam satu mesej menerusi rakaman YouTube baru-baru ini, Dr Chua (gambar) berkata beliau akan menjadi orang pertama mengundi PKR jika ia sanggup memansuhkan keistimewaan orang Melayu.

“Jika PKR berani meminda Perlembagaan dan memansuhkan keistimewaan orang Melayu, saya adalah orang pertama akan mengangkat tangan untuk mengundi PKR,” kata presiden MCA dalam video yang diposkan menerusi Youtube di laman partinya.

“Mengapa tidak? Tiada parti politik yang cakap mengenai ini. Jika ya, undi orang Melayu akan pergi. Tiada kaum lain akan membatalkan hak dan keistimewaan mereka,” kata beliau.

Dalam ceramahnya, Anwar juga memperlekehkan kempen Utusan “1Melayu, 1Bumi” dan mencabar konsep Umno komuniti Melayu.

“Melayu bagi mereka ialah ahli-ahli perniagaan Melayu, keluarga menteri, keluarga Rosmah (isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) dan anak-anak (bekas perdana menteri Tun Dr) Mahathir (Mohamad). Ini definisi orang Melayu.

“Mereka tidak mahu mempertahankan nasib orang miskin,” katanya lagi.

“Bagi mereka hak-hak orang Melayu adalah keluarga mereka, bagi kami hak-hak Melayu adalah hak komuniti,” katanya lagi.

Pastor bakar al-Quran muncul lagi, ‘disambut’ kasut dan botol

THE MALAYSIAN INSIDER


Polis Dearborn cuba menenangkan penunjuk perasaan membantah kemunculan Pastor Terry Jones di pekarangan Dewan Bandaraya Dearborn, Dearborn, Michigan semalam. — Foto Reuters

DEARBORN (Michigan)— Pastor kontroversial dari Florida yang minggu lalu dilarang daripada mengadakan protes di masjid terbesar Amerika Syarikat, yang terletak Dearborn, terpaksa memendekkan demonstrasi ekoran perhimpunan balas diadakan kumpulan yang menentangnya.

Pastor Terry Jones, 59, bertekad untuk kembali minggu ini walaupun perintah mahkamah melarangnya mengadakan demonstrasi di hadapan Pusat Islam Amerika di sini.

Dia mendakwa perintah itu bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Amerika Syarikat.

“Kami berada di sini untuk bercakap mengenai isu-isu berkaitan dengan rakyat Amerika,” kata Jones, yang bercakap menggunakan mikrofon tanpa wayar di podium yang didirikan di atas tangga dewan bandar raya.

Bulan lalu dia membakar al-Quran di Florida, menyebabkan kemarahan di banyak negara. Zon sekatan juga didirikan di sepanjang jalan empat lorong di Michigan Avenue.

Seramai 75 pengikut Jones, dilihat kecil telah diatasi oleh kumpulan penentangnya yang lima kali lebih besar.

Datuk Bandar Dearborn John O’Reilly Jr kemudian memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu dihentikan atas sebab-sebab keselamatan.

“Mereka meminta dia tidak melangkah ke arah sekatan dan dia patuh arahan itu,” kata O’Reilly.

“Tugas kami ialah melindungi komuniti kami dan itu yang kami lakukan,” katanya lagi.

Jones merancang untuk mengadakan demonstrasi selama tiga jam tetapi berakhir dalam 75 minit, dan dia diiringi oleh polis ke arah kereta yang sedang menanti.

Masyarakat Islam dan Kristian, tidak kira muda atau tua berbaris memperlihatkan sokongan membantah Jones, yang menurut mereka dia membwa mesej membenci.

“Kami tidak mengecam anda. Kami berada di sini bukan untuk protes anda. Kami berada di sini untuk menjemput anda kepada Islam,” kata penduduk Dearborn Monzer Jaber.

“Setiap orang berhak kepada kebebasan berucap tetapi saya tidak menganggap yang itu sebagai kebebasan berucap,” kata Matty O’Dea yang dipetik Fox Detriot.

“Saya fikir adalah sangat penting kita biar orang lain mengetahui bahawa Dearborn adalah satu komuniti yang bersatu.

“Kami mengambil berat dan menghormati satu sama lain,” kata seorang lagi penduduk Dearborn Roxanne McDonald.

Awalnya protes bermula dengan tenang dan aman.

Jones berada di podium sambil bercakap menyentuh Islam radikal manakala kumpulan yang antibeliau pula melemparkan kata-kata yang mencabarnya.

“Ini Amerika dan sangat cantik, malah walaupun ia kontroversial, tapi dalam hal ini mereka boleh menyuarakan pandangan mereka. Ramai yang tidak boleh melakukan begitu di banyak negara,” katanya.

Bagaimanapun Jones dengan menarik mikrofon terus berjalan ke arah penunjuk perasaan yang mengecamnya.

Polis Dearborn tidak dapat mengawal keadaan apabila berpuluh-puluh orang melepasi sekatan lalu menjerit dan membaling botol dan kasut ke arah Jones dan pengikutnya.

16 Mei: Anwar ke Penjara… PR ke Putrajaya!

Oleh Saiful Bahri

Rakyat menanti tarikh baru 16 Mei. Bukan lagi 13 Mei sebagai tarikh pertembungan perkauman terancang untuk kekuasaan UMNO-BN tetapi mayday baru ini rakyat ingin melihat bahawa sejauhmana permainan catur yang dikelolakan Team Najib bersama pakar strategiknya, Mahathir Mohamed untuk cheakmate Anwar Ibrahim.

Semua orang tahu bahawa nyawa UMNO berada dihujung tanduk. Kegagalan UMNO-BN dalam pru-13 nanti merupakan kiamat buat mereka. By hook or by crook Anwar perlu direhatkan dari medan politik di Malaysia. Bagi mereka Abdullah Badawi telah melakukan kesilapan besar apabila membebaskan Anwar dari penjara. Kesilapan itu PakLah terpaksa bersara dari PM.

Untuk kembalikan Anwar ke penjara. Ulangkan siri jenayah seks kedua atau ketiga. Apa peduli dengan maruah atau kehormatan. Nyawa UMNO lebih penting. Apa bicara dengan undang-undang dan syariah kerana matlamat politik adalah segalanya. 3M (Money, Media, Missionary) tetap menjadi senjata yang berkesan kini. Sebagai kata Najib.." ia tetap berjuang mempertahankan Putrajaya sehingga darah terakhir".

Dalam kegawatan UMNO-BN nak mempersiapkan jentera menghadapi PRU-13. Dengan bantuan dan penasihat APCO Worldwide sudah pasti mereka mengambil kira dan menghitung baik-buruk strategi yang diambil. Masing-masing akan menyerang dan bertahan. Pilihanraya kali ini akan menjadi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah. Bagi UMNO yang penting adalah kemenangan. Meskipun mereka sudah mendapat 2/3 kemenangan di Sarawak, tetapi kenapa UMNO-BN yang pening kepala. Nampaknya Taib Mahmud relax aje…

Sekarang giliran Najib dan pimpinan UMNO memerah keringat demi memastikan kemenangan UMNO buat kali pertama dibawah kepimpinan beliau. Pelan dan strategi masih berjalan mengikut rentaknya. Tetapi malangnya skrip itu seolah dibaca oleh rakyat. Apabila Isu liwat-2 dan akhbar mengumumkan "DAN Y adalah Anwar". Ingatkan kiamatlah politik Malaysia tetapi seolah-olahnya rakyat diam membisu. Seolah tiada apa-apa. Seolah mereka juga sudah tahu apa yang menjadi keputusan akhir. Bagi rakyat 16 Mei ini mereka sudah baca skripnya. Hanya pelik bin ajaib jika Anwar diumumkan tidak bersalah dan tidak diperintah membela diri pada 16 Mei ini.

Selepas keputusan tersebut berapa bulan lagi akan terheret naik-turun mahkamah sehingga tarikh pilihanraya. PR akan disibukkan dengan isu lucah ini dan anwar akan disibukkan dengan mahkamah hingga pilihanraya. Apatah lagi timbul isu video seks pula. Sejauhmana ketahan Anwar dalam menghadapi pelbagai isu ini. Nampaknya tak berkurang. Mengikut Umi Hafilda ada 18 lagi video. Fuh!!! Kalau buat syarikat mengedarkan VCD lucah ni dah jadi kaya. Yelah!!! Sekarang ni nampaknya tayangan seperti ni dah halal dan tidak berlawan dengan undang-undang lagi.

16 Mei ini akan disabitkan Anwar dengan berapa tahun jel? Berapa kali sebatan? Persoalannya kita tidak nampak Anwar akan dipenjarakan sebelum pilihanraya. Pengalaman 1998 telah menunjukkan kebangkitan rakyat sehingga merubah percaturan politik. Adakah kini, kalau Anwar dihumban kepenjara, rakyat sudah lali dan muak? Mungkin itu bacaan pemimpin UMNO.

Tetapi mungkin rakyat juga muak dengan kejahatan dan kezaliman UMNO. Kalau dulu PR masih lemah. PKR masih baru bernafas. Kerajaan Pakatan hanya Kelantan sahaja. Orang Cina bersama dengan MCA & Gerakan dan orang India bersama MIC. Berbeza kini. Orang cina sudah tak bersama dengan BN lagi.

Jika UMNO buat musuh dengan orang cina dan Umno hanya mengharapkan sokongan melayu tegar sahaja maka Melayu PKR dan PAS takkan bersama mereka. Jika sikap UMNO-BN dan pemimpin kerajaan berterusan memalukan keluarga Anwar dan Wan Azizah, Simpati rakyat akan berganjak kepada PR.

Apatah kalau mereka memenjarakan Anwar sebelum pilihanraya ini, orang melayu juga akan bangkit menyokong PR dan senang-senang akan ke Putrajaya.

Mungkin tujuan mereka hanya untuk memalukan Anwar sehingga pilihanraya ini.. tapi kena ingat juga yang merancang sebenarnya adalah Allah yang Maha Kuasa. Kalau sudah ditakdirkan Allah PR ke Putrajaya… apa usaha UMNO-BN???

http://ustsaifulbahri.blogspot.com

Istiqamah PAS bersama Pakatan Rakyat

Oleh Abu Firdaus


Menjelang pilihan raya umum ini, PAS menghadapi tekanan kuat daripada Umno supaya meninggalkan Pakatan Rakyat.

Ada tiga hujah yang sentiasa dipasakkan oleh Umno kepada PAS sejak pilihan raya umum lalu. Pertama,Anwar Ibrahim itu tidak bermoral dan Keadilan itu mempunyai agenda anti-Islam. Kedua, DAP menggunakan PAS. Ketiga, PAS mesti bersatu dengan Umno demi kepentingan Melayu dan Islam.

Tetapi bukan saja hujah-hujah itu dicanangkan. Gerakan dilakukan supaya pendedahan dibuat untuk menunjukkan bahawa Anwar itu tidak bermoral dan Keadilan itu didokong Yahudi Amerika.

Sementara terhadap DAP pula didedahkan ia merupakan parti rasis Cina yang licik dengan beroperasi memperalatkan PAS.

Akhir sekali, terhadap PAS pula ditonjolkan betapa parti itu berpecah dua, yang satu menyokong Anwar, dan satu lagi menentang Anwar. Maka mereka akan memuji-muji pihak yang menentang Anwar, dan memburukkan golongan yang menyokong Anwar.

Matlamat politiknya mudah, apabila PAS keluar dari Pakatan Rakyat, lemahlah Keadilan dan DAP, danBarisan Nasional kembali cemerlang seperti keadaan pra 2008.

Untuk tujuan itu, Umno sanggup berunding dengan PAS dalam gagasan Kerajaan Perpaduan. Maknanya PAS dan BN tidak perlu berebut kawasan yang sama.

Di mana-mana kawasan yang PAS menerajui, maka BN tidak akan meletakkan calonnya. Sebaliknya PAS dminta menentang calon Keadilan atau DAP.

Dengan cara ini BN akan dapat terus memegang pemerintahan negara dan negeri-negeri. Malah mungkin PAS boleh terus menerajui negeri Kelantan dan Kedah dengan sokongan BN. Hatta di Perak pun, PAS boleh terus menjadi Menteri Besar.

Strategi memecah-belahkan PAS ini juga akan digunaka terhadap bukan saja Keadilan tetapi juga DAP. BN secara tidak langsung akan memberi dokongan moral kepada mana-mana kumpulan Keadilan yang sanggup menentang Anwar.

Maka dalam hal ini, apa yang disebut sebagai Kuasa Ketiga iaitu golongan bekas Keadilan yang menubuhkan kumpulan masing-masing akan diperkuatkan.

Bagi Kuasa Ketiga ini termasuklah Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) pimpinan Raja Petra Kamaruddin, KITA pimpinan Zaid Ibrahim, Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Nallakarupan.

Usaha terus dilakukan untuk melemahkan Keadilan. Namun begitu, setakat ini usaha untuk melunyaikan DAP tidak nampak kesannya.

Dalam hal ini, lihatlah bagaimana BN ditubuhkan antara lain adalah untuk mengukuhkan Perikatan dan sekaligus melemahkan pembangkang.

Tetapi lihatlah apa yang berlaku sekarang. PAS dipinggirkan apabila Perikatan kembali kuat. Akhirnya kini Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP) berjaya dilemahkan.

Yang kuat sekarang ialah DAP dan ia merupakan parti utama yang menolak untuk menyertai BN pada tahun 1970.

Sementara Parti Rakyat Malaya (PRM) juga kuat sebagai sebuah parti yang bergabung dalam Keadilan.

Soalannya sekarang, adakah benar DAP memperalatkan PAS sejak tahun 2008? Perlu diingat PAS menang di satu negeri iaitu Kedah dan DAP menguasai satu negeri juga iaitu Pulau Pinang. Kemenangan itu adalah kerjasama semua komponen Pakatan Rakyat.

Bukan itu saja, Selangor dipimpin oleh Keadilan dan paling unik ialah Perak. Ia hakikatnya adalah pimpinan DAP. Tetapi ia tumbang pun kerana ADUN DAP.

Semua ini menunjukkan semua parti dalam Pakatan Rakyat saling bantu-membantu. Tidak boleh disebut bahawa DAP menguasai PAS. Platform Pakatan adalah jelas iaitu urus tadbir kerajaan yang baik.

Mengenai Anwar, ia hanyalah seorang tokoh yang diperlukan oleh Pakatan. Tetapi kalau ditakdirkan beliau terpaksa berundur, maka Pakatan akan tetap diteruskan supaya negara tidak akan kembali kepada keadaan pra 2008 yang berfungsi atas hegemoni Umno.

Awie Cuba Pertahankan Kehidupan Jahiliyahnya Hentam Bob Lokman

KELAB GREENBOC

Bob usah hipokrit, riak’

KUALA LUMPUR: “Jangan hipokrit, jangan cari publisiti murahan dan jangan riak,” kata penyanyi kumpulan Wings, Awie kepada pelakon dan pengacara, Bob Lokman yang kebelakangan ini dikatakan kerap ‘menyerang’ dunia hiburan selepas bersara daripada bidang itu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 43, berkata jika Bob mahu mencari ilmu akhirat, tidak perlu dia mencari publisiti dengan usahanya itu kerana itu bukan perbuatan yang baik.

Awie turut menegur Bob yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47, supaya memberikan tumpuan terhadap dunia baru yang beliau cari dan pada waktu sama tidak menyerang dunia hiburan yang beliau ceburi sebelum ini.

“Dia (Bob Lokman) pernah menjalani kehidupan dalam dunia hiburan ini untuk tempoh belasan tahun lamanya dan memperoleh pendapatan daripada dunia yang beliau kutuk ini.

“Apa yang saya hendak ingatkan Bob supaya tidak melakukan perbuatan yang boleh memalukan diri sendiri, bak kata pepatah meludah ke langit terkena muka sendiri.

“Kita pernah sama-sama ‘cari makan’ dalam bidang sama, tetapi apabila rasa nak beralih arah kenapa pula dia nak kutuk bidang yang pernah digelumangi,” katanya yang mendakwa mengenali Bob Lokman sejak 1985. -hm

Ulasan GB

Itu sajakah yang mampu dilkakukan oleh Awie di dalam serangannya kepada Bob Lokman?

Bob Lokman telah memperolehi hidayah Allah yang kemudian menyeru dan mengajak sekalian rakannya untuk tinggalkan dunia hedonistik tetapi Awie masih terbelenggu di dalam dunianya itu.

Bob Lokman melaksanakan kewajipannya sebagai umat Islam sesuai dengan bimbingan hidayah yang diperolehinya tetapi Awie pula cuba menjadi batu penghalang untuk kerja dakwah yang Bob lakukan.

Memang masing-masing pernah sama-sama cari makan melalui hiburan, cuma satu telah berjaya melepaskan dirinya dari gelombang syaitaniah sementara seorang lagi masih sayang untuk meninggalkannya.

Kenyataan bodoh Awie terletaknya di sini:

mahu mencari ilmu akhirat, tidak perlu dia mencari publisiti dengan usahanya itu kerana itu bukan perbuatan yang baik

Berdakwah bukan mencari publisiti. Di situ KEJAHILAN Awie yang ketara. Ia adalah tanggungjawab kolektif setiap Muslim dalam melaksanakan kewajipan itu. Ia adalah satu tuntutan di dalam agama sepertimana firmanullah:

“Dan hendaklah ada diantara kalian segolongan ummat (jemaah) yang menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada yang Ma’ruf, dan mencegah kemungkaran, dan merekalah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Kemudian Awie berkata lagi:

“Kita pernah sama-sama ‘cari makan’ dalam bidang sama, tetapi apabila rasa nak beralih arah kenapa pula dia nak kutuk bidang yang pernah digelumangi,”

Kita perlu jujur dengan diri sendiri. Perbuatan salah yang dilakukan masa lampau perlu ditinggalkan malah perlu dikutuk. Kalau dahulu jahiliyah, maka perbuatan jahiliyah itu hendaklah ditinggalkan habis dan membenterasnya sepertimana yang Rasulullah tunjukkan kepada umat Islam teerdahulu. Peminum-peminum arak zaman Rasulullah apabila turunnya ayat mengenai pengharaman arak, terus membuang semua arak yang tersimpan di dalam tempayan-tempayan dan kemudian menyeru orang lain tidak meminumnya lagi.

Sekarang saya ingin bertanya kepada Awie dan sekalian penyokongnya, kamu-0kamu masih mahu meneruskan amalan jahiliyah yang kamu telah lalui selama ini dan kemudian menjadi penentang kepada golongan yang menyeru ke arah kebaikan dan melarang kejahatan?

Awie perlu diheret masuk ke kelas Fardhu Ain segera supaya belajar ugama Islam dengan lebih mendalam dan jangan bercakap ikut sedap rasa sehingga mengumpul lebih banyak dosa sedangkan pahala belum sebanyak mana.

Sumpah Laknat: NUJ Selar Niat Jahat Utusan, Berita Harian

KELAB GREENBOC

PKesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini menyelar Utusan Malaysia dan Berita Harian kerana menggambarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang yang enggan melafazkan sumpah untuk membuktikan dirinya tidak bersalah bersabit isu video lucah.

Presidennya Hata Wahari dalam wawancara dengan TV Selangor berkata laporan dua akhbar itu melanggar etika kewartawanan dan jelas berniat jahat di samping bertujuan menyembunyikan kebenaran.

"Apa yang dibuat oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian merupakan satu propaganda jahat yang dimainkan oleh akhbar-akhbar milik Umno cuba memperlihatkan bahawa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengikut hukum Islam.

"Anwar sebagai bekas pemimpin Abim yang mengetahui hukum Islam secara mendalam dan tahu mubahalah tidak boleh memberikan impak kepada sesiapa sebab itu Anwar tidak mahu bersumpah. Bila angkat sumpah, itu antara kita dan Allah dan belum tentu perkara itu dapat dibuktikan lagi,” kata Hata.

Justeru Hata bersetuju dengan tindakan Anwar mahukan pihak berkuasa Islam menyiasat fitnah terhadapnya mengikut hukum qazaf.

Pemuda PKR sebelum ini membuat laporan Qazaf ke atas Datuk T tidak mendapat perhatian media arus perdana.

Mengikut Al-Quran, sumpah laknat hanya boleh dilakukan oleh seorang suami yang menuduh isterinya berzina dan tidak mempunyai bukti lain selain daripada bersumpah.

"Kalau dia (Eskay) hanya bersumpah untuk memberitahu bahawa ini adalah perkara benar jadi saya rasa itu bukan perkara pokok yang paling penting sekarang dia perlu membuktikan perkara ini perlu dibawa ke Mahkamah Syariah dan buktikan dengan membawa empat orang saksi."

Hata tidak menolak berita yang dimainkan oleh media arus perdana termasuk Utusan dan Berita Harian adalah bertujuan membunuh karektor politik ketua pembangkang itu.

Malah kata Hata, beliau berpandangan bahawa media kawalan Umno-BN kini sudah terkeluar dari landasan tanggungjawab sebenar dengan menabur fitnah serta menjatuhkan kredibiliti pemimpin yang tidak memihak kepada mereka.


"Jelas membuktikan bahawa media sekarang ini tidak mempunyai prinsip dan pendirian tetapi sebagai satu alat kepada kerajaan dan bukan media yang ingin mencari kebenaran atau melaporkan kebenaran tetapi sebagai sebuah media yang menyebarkan fitnah dan perkara-perkara tidak benar.

"Saya melihat mereka ini tiada kredibiliti langsung
," katanya

Tambah beliau lagi sebagai Presiden NUJ Malaysia yang menaungi 1,300 wartawan di Malaysia yang kebanyakkannya berkhidmat di media arus menyeru mereka kembali kepada prinsip asas media dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat.

Malah beliau juga turut menyeru editor-editor Utusan dan Berita Harian agar menilai sendiri prinsip dan tanggungjawab mereka dan kembali kepada prinsip media sebenarnya. -mk

PINDAHKAN RAKYAT MALAYSIA, PANGGGIL PERSIDANGAN OIC

http://buletinonline.net/images/stories/berita46/354051-syria-politics-unrest.jpgBULETIN ONLINE


Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat (LA DPPP) menggesa Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Syria untuk memindah atau membawa pulang pelajar dan rakyat Malaysia di sana. Keadaan yang semakin meruncing dan tidak menentu di Damsyik sekarang di atas bantahan dan tunjuk perasaan rakyat Syria yang menggesa Presiden Bashir Asad untuk berundur semakin tinggi.

Laporan rasmi ketika ini seramai 450 rakyat telah menjadi korban pro-demokrasi yang bermula sejak 6 minggu lalu. Namun laporan tidak rasmi memberitakan sudah hampir mencecah 1000 orang. LA DPPP khuatir dengan tindakan dan tindak balas kerajaan Syria melalui tentera dan polis terhadap penunjuk perasaan dan rakyatnya akan membahayakan rakyat Malaysia di sana yang terdiri daripada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi dan professional yang bekerja disana.

Kejadian tembak-menembak yang dilepaskan secara rambang oleh tentera untuk menyuraikan protes rakyat boleh membahayakan umum. Dengan komunikasi di kawasan-kawasan utama di Syria telah disekat oleh pihak berkuasa dari dunia luar juga merisaukan rakyat Malaysia terhadap nasib dan keselamat keluarga serta anak-anak mereka yang sedang berada di Syria.

LA DPPP menggesakan Kerajaan Malaysia mengambil langkah pro-aktif dengan memindahkan warga Malaysia ke kawasan yang agak selamat seperti Jordan atau terus membawa mereka pulang sekiranya kerajaan Malaysia tidak boleh menjamin keselamat mereka. Suasana di Syria dilihat lebih terancam berbanding Mesir kerana pihak berkuasanya dilihat mengambil langkah balas dengan cara kekerasan sehinggakan mana-mana tentera yang enggan melepaskan tembakan kepada penunjuk perasaan akan diambil tindakan keras.

Sumber memberitahu ramai tentera dan polis yang bersimpati dengan penunjuk perasaan juga tidak terkecuali menjadi mangsa tembakan rambang tentera. LA DPPP menyeru Menteri Luar, Datuk Anifah Aman agar segera mengeluarkan kenyataan jaminan kerajaan Malaysia terhadapa keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di Syria dengan kadar segera.

Malaysia juga melalui Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) di lihat telah gagal dalam menangani kemelut di Timur Tengah yang semakin meruncing hari ini. LA DPPP juga menggesa satu sidang tergempar OIC perlu diadakan segera untuk membincangkan kemelut di Negara-negara umat Islam ini bagi menyekat pihak tertentu terutamanya Amerika yang dilihat sudah mula mengambil kesempatan untuk campur tangan.

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi,
Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Anugerah Tokoh Terbilang UMNO Adalah Tokoh Wanita - Najib

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat malam bersetuju untuk mengurniakan 'Anugerah Tokoh Melayu Terbilang' kepada seorang wanita sempena sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-65 pada 11 Mei ini, kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia adalah sebagai penghargaan kepada wanita yang banyak menyumbang kepada negara memandangkan sebelum ini anugerah itu hanya dianugerahkan kepada golongan lelaki.

"Pada kali ini kita buat penambahbaikan untuk menghargai peranan wanita. Kita akan beri dua anugerah iaitu satu untuk Tokoh Lelaki Melayu Yang Terbilang dan (kedua) Tokoh Wanita Melayu Yang Terbilang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Bagaimanapun, kata Najib, nama-nama tokoh berkenaan akan dirahsiakan sehingga pada malam sambutan berkenaan.

Sambutan itu akan dimulakan dengan solat Maghrib, bacaan tahlil, solat Isyak dan diikuti dengan majlis makan malam, menaikkan bendera dan sebagainya, katanya.

Dalam pada itu, Majlis Tertinggi itu juga membincangkan mengenai keputusan pilihan raya Sarawak pada 16 April lepas, dari pelbagai aspek yang boleh dijadikan pengajaran terhadap Barisan Nasional (BN).

"Kita lihat dari segi aspek jentera, pentadbiran, aspek isu dan bagaimana kita tangani isu daripada kesan pilihan raya itu. Kita baca dari semua sudut," kata Perdana Menteri.

Najib berkata, tujuan beliau dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun ke Sarawak pada pilihan raya negeri itu adalah semata-mata untuk membantu supaya BN Sarawak mencapai kemenangan.

Ditanya sama ada pilihan raya Sarawak akan dijadikan persediaan BN menghadapi pilihan raya umum ke-13, Najib berkata proses persediaan itu adalah satu proses yang berterusan.

"Jadi apa yang kita buat itu (persediaan) adalah untuk mengukuhkan lagi Umno sebagai sebuah organisasi sama ada untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang mahupun Umno itu sendiri sebagai sebuah parti politik yang perlu melalui proses perubahan...transformasi politik itu merupakan satu agenda yang sedang kita perjuangkan," katanya.

MCA Sekali Lagi Tegaskan Pendirian Soal Kedudukan Dalam Kerajaan

MSTAR ONLINE

MELAKA: MCA sekali lagi menegaskan bahawa mereka tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan pusat dan negeri sekiranya keputusan yang diperolehi parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang lebih rendah daripada keputusan yang dicapai pada PRU ke-12.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pada PRU ke-12, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti tersebut.

"Oleh kerana kita (MCA) tidak mendapat sokongan daripada masyarakat Cina maka untuk menghormati masyarakat Cina kita buat keputusan, kita tidak seharusnya memegang jawatan dalam kerajaan pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di sini, pada Jumaat.

Dr Chua berkata namun begitu, MCA akan terus menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana parti itu masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak khususnya dalam program tranformasi ekonomi dan tranformasi negara.

"Kami yakin beliau mampu dan mempunyai kewibawaan untuk memimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1Malaysia dan berpendapatan tinggi dan mencapai status sebagai sebuah negara maju," katanya.

Dr Chua berkata, keputusan yang dicapai sebulat suara anggota mesyuarat tersebut tidak ada kaitan dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas apabila pengundi Cina lebih memihak kepada pembangkang.

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak menerima jawatan itu akan dikemukakan kepada perdana menteri, Dr Chua berkata perkara itu mungkin dibawa ke mesyuarat agung tahunan MCA pada 2 Oktober depan untuk mendapat perakuan terlebih dahulu.

Mengenai keputusan bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting yang tidak akan bertanding pada PRU akan datang, Dr Chua berkata, MCA mengucapkan terima kasih kepada Ong atas sumbangannya kepada parti dan negara selama ini.

"Ini satu contoh yang baik di mana pemimpin memberi laluan kepada muka baru dan kita berharap beliau terus beri sokongan dan tunjuk ajar kepada kepimpinan MCA," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Dr Chua berkata, MCA bercadang untuk menubuhkan sebuah muzium di Melaka bagi mempamerkan sumbangan masyarakat Cina dalam mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara ini.

Katanya, MCA akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengenai penubuhan muzium itu.

TV Al-Hijrah Tarik Diri Sebagai Penyiar Rasmi ISF Ke-2

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Stesen TV AlHijrah tidak lagi menjadi penyiar rasmi kepada Islamic Song Festival (ISF) edisi ke-2 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai hari ini, Sabtu.

Al-Hijrah Media Corporation dalam satu kenyataan berkata penarikan diri itu dibuat setelah mendapati pihak berkenaan tidak dapat memenuhi obligasi mereka seperti mana persetujuan yang diberikan.

Menurut stesen televisyen itu keadaan ini menjejaskan persiapan acara dan menimbulkan konflik dengan pihak lain.

"Hal ini akan menjejaskan kredibiliti dan imej kami sebuah stesen televisyen," kata AlHijrah Media Corporation di sini.

Berdasarkan persetujuan itu, pembabitan TV AlHijrah di dalam ISF itu hanyalah sebagai penyiar rasmi bagi menyokong perkembangan muzik yang bertemakan Islam.

ISF, yang akan berakhir esok, disertai beberapa kumpulan nasyid termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Ahli Parlimen Kapar Terima CD Video Seks

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kapar S.Manikavasagam hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima sampul surat mengandungi cakera padat (CD) video seks membabitkan pelaku mirip Ketua Pembangkang di Kapar, Klang semalam.

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini kira-kira 10.30 pagi ini untuk membuat laporan polis itu, sebelum beredar keluar setengah jam kemudian.

"Semalam saya melawat pejabat Pusat Khidmat Parlimen Kapar. Saya mendapati satu surat telah diterima yang dialamatkan kepada saya dan bertanda pos negara Thailand.

"Saya mendapati ada satu CD di dalamnya dan selepas menonton, video ini sama dengan video yang ditayangkan oleh kumpulan Datuk T di Carcosa Seri Negara. Oleh itu, saya meminta siasatan dibuat terhadap mereka yang menyebarkan CD ini," katanya kepada pemberita.

Pada 21 Mac lepas, video seks yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipertontonkan kepada beberapa wartawan oleh kumpulan Datuk T yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar baru-baru ini mengumumkan bahawa rakaman video seks itu adalah tulen selepas disahkan oleh pakar tempatan yang memeriksa video berkenaan.

Siasatan polis itu bermula selepas Anwar membuat laporan polis dan menafikan dirinya pelaku dalam video seks itu.

Najib Minta PAS Keluar Pakatan Pembangkang

BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta PAS keluar daripada pakatan pembangkang yang jelas tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Perdana Menteri berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

"Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang), cukup-cukuplah dengan DAP, tinggalkan DAP (pakatan pembangkang)," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 15,000 orang pada majlis Perjumpaan Mesra Perdana Menteri Bersama Rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Manir di Kampung Pulau Bahagia, dekat sini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Perdana Menteri berkata masa depan Malaysia sebenarnya lebih terjamin menerusi kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno.

"Umno lahir di istana dan bukannya lahir di jalanan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR)".Najib berkata rakyat telah bijak untuk menilai kepimpinan yang benar-benar dapat memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Beliau turut mengulas mengenai kemelut yang sedang berlaku membabitkan kepimpinan parti PKR.

"Semasa di Sarawak (pilihan raya negeri) baru-baru ini, penduduk rumah panjang pun bertanyakan jam Omega (milik Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Dan semalam kenapa nak halang orang nak bersumpah?," kata Najib yang merujuk kepada suasana tegang apabila hasrat Datuk Shazryl Eskay Abdullah melakukan sumpah laknat berkenaan pelaku dalam video seks yang didakwa membabitkan Anwar, cuba disabotaj oleh penyokong ketua pembangkang itu.

Eskay ialah seorang daripada tiga individu yang menggelarkan diri sebagai Datuk "T" atau trio, yang terlibat mendedahkan video aksi seks yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang.

Najib berkata sudah tibanya rakyat menilai kepimpinan yang benar-benar layak untuk menerajui negara ini.

"Masa depan Malaysia ini adalah lebih terjamin dengan BN," katanya.

Menjaja surat khabar tanpa lesen boleh didenda RM100,000: Runji

KENINGAU KINI

KENINGAU: Aktiviti penjaja surat khabar tanpa lesen yang sah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan A. Runji Abd. Hamid memberitahu, kesalahan itu boleh dirujuk melalui Seksyen 12 (1)(a) Akta Perlindungan Pengguna (pindaan) 2010.

Katanya, jika sabit kesalahan orang ramai yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda yang berat.

“Kita tidak bertolak ansur dengan sesiapa yang dengan sengaja melakukan perlanggaran undang-undang ini,” katanya ketika mengulas aduan ramai pengguna yang tidak berpuas hati dengan aktiviti menjaja surat khabar di Keningau, apa yang mereka sifatkan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga akhbar itu.

Sejak sekian lamanya kegiatan menjaja surat khabar di sini dilakukan secara berleluasa oleh warga asing, yang memasuki negeri dengan menggunakan ‘pas pelancong’, dan memperolehi pendapatan harian antara RM60 hingga RM120.

Runji berkata, aktiviti itu bercanggah dengan undang-undang dan meminta mereka yang terlibat untuk berhenti dengan serta-merta.

“Masalah di sini ialah mereka meletakkan harga dengan sewenang-wenangnya,” katanya.

Akbar tempatan yang yang sepatutnya berharga RM1.20 senaskah dijual oleh penjaja dengan harga antara RM1.40 hingga RM1.60 sen, menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

Akhbar New Sabah Times yang merupakan satu-satunya yang mempunyai pejabat urusan di daerah ini, selain menjadi mangsa ekploitasi penjaja juga dihujani rungutan pengguna yang tidak berpuas hati dengan aktiviti itu.

Pada Isnin, Gabungan Anak-anak Peribumi Pedalaman (Peribumi) mengeluarkan kenyataan, yang meminta pihak berkuasa tempatan seperti Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan serta Majlis Daerah Keningau (MDK) memastikan kegiatan ditangani.

“Penekanan di sini ialah kita tidak mahu pengguna tertipu dan membelanjakan wang yang tidak sepatutnya mereka belanjakan,” tekan Peribumi dan menambah, membeli akhbar yang dijaja oleh warga asing di kalangan pendatang tanpa izin merupakan sokongan kepada mereka untuk terus tinggal secara bebas di daerah ini.

Peribumi turut memberi amaran kepada penjual utama akhbar di sini supaya tidak mengekploitasi warga asing untuk tujuan melariskan jualan akhbar mereka.

“Akhbar harus dibeli di permis perniagaan akhbar yang dibenarkan,” jelas kelab penyokong dasar-dasar kerajaan itu.

Wakil Rakyat Liawan yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Sairin Hj. Karno turut menyokong dengan cadangan pengguna harus membeli terus akhbar di premis yang dilesenkan, dalam usaha membangun minat mereka membaca.

Katanya, apabila pengguna datang sendiri ke premis menjual akhbar, mereka boleh membeli buku-buku yang lain berbanding membeli akhbar melalui penjaja yang tidak mempunyai pilihan.

Di Keningau membeli akhbar melalui penjaja telah dibudayakan, dan senario ini telah berlanjutan sejak lebih 20 tahun.

RM1.44 JUTA UNTUK BLOGGER?




Oleh: UWIE SAMPING

MENJELANG pilihanraya umum Sarawak, terdengar desas-desus bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah memperuntukan RM1.44 juta untuk diberikan kepada para Blogger di Malaysia bagi membantu BN menggempur ‘Siber Trooper’ Pakatan Rakyat.

Namun sehingga pilihanraya umum Sarawak selesai, hanya beberapa Blogger Pro-Kerajaan yang mengaku menerima RM500 setiap seorang dan sebuah I-Pad; manakala kebanyakan Blogger hanya berdiam diri dan bertindak pasif dengan tidak mengaktifkan serangan mereka terhadap Barisan Nasional Sarawak.

Blogger yang bercuti daripada menyerang BN selama dua minggu dipercayai menerima sekurang-kurangnya RM5,000 setiap seorang, tetapi tidak diketahui berapa ramai yang menerimanya.

Ada blogger yang membuat laporan rasmi di Pejabat SPRM, tetapi belum ada sebarang siasatan atau tangkapan dibuat, sekalipun beberapa Blogger telah dikenalpasti menerima habuan untuk ‘berdiam diri’.

Mengikut maklumat seorang Blogger yang terperangkap antara tanggung jawab dengan rasuah memberitahu beliau mengembalikan wang tunai dan I-Pad yang diterima daripada agen yang dilantik kementerian berkenaan; namun enggan membuat laporan rasmi kerana bimbang keselamatan keluarganya.

“Biarlah. Saya akan berwaspada selepas ini kerana mereka akan cuba memerangkap saya lagi. Saya jadi Blogger bukan meminta balasan atau habuan tetapi untuk menegur kerajaan dengan cara saya,” ujar Blogger tersebut yang meminta namanya dirahsiakan.

Tambah Blogger itu lagi, ramai menteri kabinet memelihara ‘Envelop Jurnalis’ dan ‘Siber Trooper’ untuk mewar-warkan berita ‘kentut sekang’, sekalipun berita kecil seperti menyaman Blogger dan menjadi saksi perbicaraan.

KAMPUNG WIFI ATAU KAMPUNG ‘WIFE-I’?


Oleh: SHAHIRAH ABDUL HALIM

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Rais Yatim dibidas kerana melakukan pembohongan dan melakukan jenayah pilihanraya dengan mengumumkan projek Kampung Wifi pada pilihanraya kecil Batu Sapi, November 2010.

Naib Ketua Cabang PKR Batu Sapi, Zainuddin Hassan mendakwa Rais telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan berbohong kepada para pengundi di Batu Sapi dengan pengumuman enam buah kampung iaitu Kampung Air, Kampung Karamunting Lama, Kampung Karamunting Baru, sebahagian Kampung Bokara, Kampung Lupak Meluas dan Flat MPS akan dijadikan Kampung Tanpa Wayar (Kampung Wifi).

“Sehingga kini, hanya sebuah kampung iaitu Flat MPS yang mendapat kemudahan berkenaan, itupun lebih banyak rosak daripada beroperasi; kampung lain tidak langsung dipasang kemudahan berkenaan,” ujar Zainuddin yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan rapi kerana projek di lima kampung berkenaan sepatutnya siap serentak dengan Flat MPS.

Menurut Zainuddin, pihaknya menerima aduan daripada penduduk lima kampung berkenaan yang terpedaya dengan janji Rais yang dibuat pada 1 November 2010 menjelang pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi bahawa kemudahan ‘Kampung Wifi’ berkenaan merupakan sebahagian daripada 500 kemudahan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi termasuk penggunaan Internet yang akan dipasang di seluruh Sabah melalui kenyataan media bertajuk ‘6 Kampung Dapat Kemudahan WiFi’.

“Kini penduduk kampung mempersenda Kampung WiFi sebagai Kampung ‘Wife-I’ (Isteri Saya) kerana mereka tidak menikmati sebarang kemudahan yang dijanjikan Rais,” ujar Zainuddin yang mendesak agar rakyat di lima buah kampung berkenaan menolak BN pada pilihanraya umum akan datang.

Dalam pada itu, Zainuddin turut mencabar Rais supaya menyamannya kerana beliau yang membuat kenyataan dan tidak memangsakan Sabahkini.net yang menyiarkan kenyataan beliau melalui dua artikel bertajuk ‘PKR Cabar Rais Sumpah Laknat’ dan ‘Rais Yatim Seperti ‘Belut Bodoh’?

“Apakah Rais yakin dengan mengheret Sabahkini.net ke mahkamah, isu ini akan selesai? Dia silap kerana selagi Robengah tidak dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagaimana Rais mahu menyaman Sabahkini.net?,” ujar Zainuddin yang menggesa agar polis dan Peguam Negara mempercepatkan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Zainuddin turut mencadangkan agar Rais dan Robengah menjalani ‘Ujian Mengesan Pembohongan’ bagi mengelak mereka membuat akuan palsu demi untuk menyelamatkan diri masing-masing.

PPK TIDAK PERNAH BERI BIBIT UBI MENTEGA


KAMPUNG….Ahmad menunjukkan hasil ubi kayu kampung yang belum berisi yang sebenarnya diberikan oleh PPK Kunak, bukannya tanaman ubi mentega, sambil beliau memegang keratan akhbar berkaitan kenyataan pegawai PPK sebelum ini.

Oleh: IBRAHIM TABIR

"Tidak ada bekalan bibit ubi kayu mentega daripada Peladang (PPK) Kunak", ujar seorang petani yang kecewa kerana bantuan bibit tanaman ubi mentega itu tidak diperolehi daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kunak meskipun dijanjikan sebelum ini.

Ahmad A.Manga, 39 dan isterinya Atiqah Aqilah binti Aman, 31, ahli PPK Kunak menyangkal dakwaan pihak pertubuhan Peladang yang kononnya telah memberikan keratan benih ubi mentega kepada mereka menerusi program ladang kontrak yang ditandatangani tahun lalu.

Ahmad berkata, kenyataan Pengurus Besar PPK Kunak seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada 14 April lepas yang mengatakan bantuan benih tanaman/keratan ubi kayu mentega bersama ubi kayu kampung telah diberikan kepada beliau adalah tidak benar.

"Hanya keratan ubi kayu kampung sebelum ini yang kami dapat dan hasilnya boleh anda lihat sendiri di sini", kata Ahmad membawa wartawan meninjau kawasan kebunnya pada Khamis.

Ahmad yang turut mengusahakan industri IKS-membuat kerepek dan keropok di kampung Cenderawasih di sini berkata, daripada 300 keratan ubi kayu sebagai bibit tanaman yang diberikan oleh pengurus projek PPK Kunak pada Ogos tahun lalu untuk tujuan tanaman projek ladang kontrak itu, tidak terdapat satupun batang ubi kayu mentega disalurkan.

"Semuanya ubi kayu kampung. Jadi kenyataan pihak PPK Kunak yang mengatakan mereka turut menyalurkan bersama keratan ubi kayu mentega adalah tidak benar sama sekali dan saya sedia membawa pegawai atau kakitangan agensi terlibat ke kebun saya untuk melihat sendiri tanaman ubi tersebut", kata beliau sambil mengalu-alukan agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar yang kebetulan berada di Sabah supaya meluangkan masa dapat meninjau permasalahan beliau dan beberapa lagi ahli PPK di sini yang menghadapai masalah serupa dalam program ladang kontrak tanaman ubi mentega di Kunak.

Ahmad berasa kecewa dengan agensi seperti PPK Kunak yang sebelum ini menjanjikan bahawa kemudahan dan bantuan penstrukturan ladang termasuk bantuan pembinaan sistem saliran dan jalan susur masuk ke ladang mereka dan bantuan benih tanaman ubi mentega masih gagal diperoleh sedangkan sebelum ini harapan tinggi diberikan oleh agensi itu bagi membantu petani terbabit mengusahakan tanaman tersebut.

Beliau berkata, jika benar pihak PPK Kunak ada memberikan benih tanaman ubi mentega pada Ogos tahun lalu, hasil tanaman itu sudah boleh dituai kerana ia hanya mengambil tempoh masa sehingga empat bulan untuk matang.

"Tapi sampai ke hari ini, hasilnya masih belum ada. Tanaman ubi kayu kampung yang PPK Kunak beripun agak mengecewakan kerana tanaman ubi kayu itu tidak berisi atau kurang segar", kata Ahmad sambil memberitahu yang beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk mencari bibit yang sempurna untuk menanam ubi kayu kampung dan diperoleh dari rakan tani yang ada di daerah itu.

"Hasil bibit tanaman ubi kayu kampung yang saya usahakan sendiri lebih menunjukkan hasil yang baik berbanding bibit tanaman ubi kayu kampung yang diberikan oleh Pertubuhan Peladang di sini", ujar beliau menunjukkan hasil usahanya itu.

INISIATIF…. Ubi kayu kampung yang ditanam oleh Ahmad atas inisiatifnya sendiri mencari bibit tanaman itu kerana PPK gagal menyalurkan bibit.

Ahmad menjelaskan, jika benar daripada 300 batang ubi kayu yang disalurkan oleh PPK Kunak pada Ogos tahun lalu itu dicampur bersama keratan ubi kayu mentega; "Mengapa keratan ubi itu tidak diasing-asingkan supaya kami lebih mudah mengenali antara tanaman ubi kayu kampung dan ubi kayu mentega di kawasan tanah pertanian?", soal beliau.

Ahmad berkata, beliau mensyaki kemungkinan berlaku ketirisan dan penyelewengan bantuan yang sepatutnya mereka peroleh bagi mendapatkan benih ubi kayu mentega daripada Pertubuhan Peladang kawasan di sini kerana daripada lapan peserta yang terlibat dalam program ladang kontrak tanaman ubi di Kunak, hanya empat peserta yang berjaya mengusahakan tanaman ubi mentega seperti yang disebut oleh pegawai PPK dalam laporan akhbar pada 14 April lalu itu.

Menurutnya, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana kerajaan telah membelanjakan begitu banyak bantuan pertanian kepada agensi tertentu termasuk PPK, Jabatan Pertanian dan seumpamanya.

"Tetapi malangnya petani tidak memperoleh hasil yang sepatutnya", ujarnya lagi sambil memberitahu bahawa pihak pengurus projek tanaman ubi kayu oleh PPK Kunak gagal turun padang ke kebun beliau untuk melihat sendiri permasalahan yang berlaku selama ini meskipun beberapa kali aduan pernah diajukan ke pejabat pertubuhan itu.

Hak PKR terbit Suara Keadilan

Untuk menyatakan bahawa kami tidak bekerjasama dengan KDN adalah tidak benar - Dr Syed Husin Ali



PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali hari ini menegaskan bahawa menerbit akhbar Suara Keadilan, yang menjadi lidah rasmi adalah hak parti, yang tidak boleh dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Untuk menyatakan bahawa kami tidak bekerjasama adalah tidak benar, kerana pihak kami telah beberapa kali membuat inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan pihak KDN untuk mengadakan perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Syed Husin berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang disiar oleh media pada semalam, yang menyatakan kegagalan PKR membuat penjelasan mengenai satu berita menggemparkan adalah punca permit Suara Keadilan tidak disambung.

“Untuk memudahkan rujukan, secara spesifiknya berita tersebut adalah mengenai ‘Felda Bankrap’. Untuk makluman, semua surat tunjuk sebab seperti yang dinyatakan oleh Abu Seman telah dijawab oleh pihak kami,” katanya.

Beliau berkata, untuk penjelasan juga, isu ‘Felda Bankrap’ telah dibawa ke mahkamah dan dengan itu ia adalah urusan mahkamah dan tidak boleh dijadikan alasan oleh KDN untuk tidak mahu menyambung permit Suara Keadilan.

“Dalam tempoh akhir tahun lepas dan awal tahun ini saja, pihak kami telah mengusahakan sekurang-kurangnya lima kali untuk membuat temu janji dengan KDN untuk berbincang mengenai status permit akhbar Suara Keadilan, tetapi tiada respon,” katanya.

PAS kesal nelayan tercicir terima sumbangan

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan pihak Kerajaan BN yang sengaja meninggalkan beberapa nama nelayan dari menerima sumbangan RM200 sebulan seperti yang telah diputuskan dalam persidangan Parlimen tahun lalu.

Perbuatan seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia jelas memperlihatkan sikap diskriminasi pihak Kerajaan BN kepada rakyat negara ini, di samping ketidakprihatinan pihak Kerajaan BN terhadap nasib para nelayan yang memerlukan pembelaan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) ketika menyuarakan kekesalan itu berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan RM200 sebulan kepada para nelayan di negara ini telah dibuat dalam persidangan Parlimen tahun lalu dan ia turut dipersetujui Ahli-Ahli Parlimen PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, keputusan tersebut telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK Ke-10) untuk tujuan menolong nelayan dan ia dipersetujui untuk diberikan kepada kesemua nelayan di seluruh negara, dengan syarat mereka mestilah warganegara Malaysia dan yang berdaftar dengan persatuan nelayan di kawasan masing-masing.

Katanya, namun setelah dilaksanakan, ternyata tidak semua nelayan yang diberikan sumbangan itu, malah antaranya ada yang sudah tidak menerimanya sejak berbulan-bulan lalu.

"Contohnya di kawasan Parlimen Parit Buntar yang saya wakili sendiri. Terdapat lebih 1,000 orang nelayan di kawasan ini, tetapi 30 orang daripadanya tidak pun mendapat sumbangan itu. Sebahagiannya ada yang tidak menerimanya sejak 6 bulan lalu, ada yang 7 bulan dan ada yang sehingga 8 bulan.

"Jumlah itu masih belum dapat dipastikan dengan nelayan-nelayan lain di seluruh negara yang tidak menerimanya kerana saya sendiri tidak mempunyai data mengenainya untuk seluruh negara, tetapi jika dihitung di seluruh negara tentunya berlipat kali ganda lagi jumlahnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Untuk membantu nelayan yang teraniaya khususnya di kawasan Parit Buntar, pihaknya telah mengadakan perjumpaan dengan nelayan-nelayan di kawasan itu semalam di Tanjung Piandang, meliputi nelayan-nelayan dari Bagan Pian, Bagan Selatan, Kuala Kurau dan Bagan Utara.

"Dalam perjumpaan itu, kami telah mengambil nama-nama mereka yang terlibat. Selepas itu, kami akan hantar nama-nama mereka melalui faks ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Negara (LKIN) dan persatuan nelayan daerah untuk diambil tindakan seterusnya.

"Nama-nama mereka itu telah saya fakskan hari ini. Sesudah itu, pihak kami akan turut memantau perkembangan seterusnya sehingga nelayan-nelayan yang tidak mendapat sumbangan itu akan mendapat haknya seperti yang telah diputuskan itu," tegasnya.

Setiap nelayan di negara ini, katanya, perlu tahu dengan sumbangan tersebut yang telah mula diberikan kepada para nelayan sejak tahun lalu, setelah ia diputuskan dan dipersetujui Ahli-Ahli Parlimen PAS atau Pakatan Rakyat dalam persidangan Parlimen.

Kepada para nelayan yang tidak mendapatnya, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menyeru mereka tampil ke hadapan untuk menuntut hak mereka sendiri.

"Mereka boleh membuat aduan kepada pihak PAS untuk membolehkan mereka dibantu. Jadi kepada para nelayan, saya menyeru mereka supaya jangan takut untuk membuat aduan jika tidak mendapat sumbangan itu kerana itu semua adalah hak mereka sendiri dan mereka sememangnya berhak mendapatnya," tegasnya.

Namun dalam hubungan ini, beliau turut kesal kerana terdapat juga nelayan yang takut untuk membuat aduan terutama kepada pihak PAS, sehingga menyebabkan mereka terus menjadi mangsa penganiayaan pihak Kerajaan BN.

Soi Lek sedang lelong maruah Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Mungkin MCA sudah tiada idea lain yang lebih bernas untuk menarik sokongan masyarakat Cina ekoran kekalahan rakan sekutunya SUPP di Sarawak.

Justeru, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi pengakuan akan mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata mengekalkan hak istimewa orang Melayu yang terangkum dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah menjadi persetujuan bersama dalam Pakatan Rakyat (PR) semasa konvensyen di Shah Alam tahun 2009.

Tambahnya, tidak mungkin disebabkan seorang tokong kontroversi Soi Lek maka PR akan berubah sikap.

“Sebagai pemimpin senior dalam Barisan Nasional (BN), Soi Lek sewajarnya mendidik masyarakat memahami mengapa adanya hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Jelasnya, hak istimewa orang Melayu bukan menjadi halangan orang bukan Melayu untuk hidup selesa di negara ini.

Katanya, hak istimewa orang Melayu dilihat tempang kerana pengkhianatan Umno yang berlindung di balik dasar ini untuk mengumpul kekayaan kroni-kroni mereka.

“Bermaksud jika tiada penghianatan Umno dan negara diurus dengan adil dan saksama maka hak istimewa orang Melayu tidak menjadi perkara yang dipertikai.

Tambahnya, tanpa pengkhianatan Umno, orang Melayu sudah lama maju di negara ini.

“Jika orang Melayu sudah maju dan kedudukan ekonominya sudah seimbang dengan kaum-kaum lain, maka saya percaya orang Melayu sudah tidak perlukan lagi tongkat hak istimewa orang Melayu lagi,” ujarnya.

Buat waktu ini, katanya hak istimewa orang Melayu masih diperlukan.

Beliau sangat khuatir permainan politik Dr Chua Soi Lek mengenai hak istimewa orang Melayu akan menambah parah lagi salah faham antara kaum dalam negara ini.

Menurutnya, ada banyak perkara lain yang boleh menarik perhatian masyarakat bukan Melayu untuk mengundi MCA selain sentimen perkauman.

“Tetapi Dr Chua Soi Lek sengaja mencari populariti membangkitkan isu yang sensitif bagi menarik perhatian masyarakat Cina khususnya untuk menyokong MCA,” katanya.

Baginya, betapa murahnya harga perjuangan politik Dr Chua Soi Lek sehingga sanggup menjolok sarang tabuan demi mendapat secupak keuntungan politik.

Katanya, keceluparan Chua Soi Lek ini juga melambangkan kegagalan Umno mengawalnya.

Baginya, Dr Chua Soi Lek umpama harimau yang sudah terlepas dalam kandang Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, hak istimewa orang Melayu adalah maruah Umno di mana memberi perakuan untuk mengundi PKR jika parti tersebut menggugurkan hak istimewa orang Melayu adalah umpama melelong maruah Umno di pasar Batu Pahat.

“Di mana Pemuda Umno? Di mana Pemuda BN? Di mana Khairy Jamaluddin?”

“Saya cabar Umno dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak, Pengerusi BN bertindak tegas terhadap keceluparan Chua Soi Lek,” katanya.

Politik Fitnah Mencemar Rukun Negara

Ditulis oleh Wira Arjuna



Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat kini bingung dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Semuanya berpaksi kepada video seks yang cuba dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3 serta RTM mengangkat Shazryl Eskay kerana mahu melafazkan sumpah laknat untuk menyokong dakwaan bahawa Anwarlah pelaku zina dalam video itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula mewakilkan Eskay untuk melafazkan ikrar itu bagi pihaknya yang mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Nasihat mufti-mufti seperti Tan Sri Harussani Zakaria bahawa isu itu harus ditangani secara qazaf dan bukan sumpah laknat ditenggelamkan oleh media arus perdana.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata beliau kepada Tv Selangor kelmarin.

Di Kelantan, Parti Keadilan Rakyat mendedahkan seorang pegawai polis kanan memberitahu guru-guru kononnya pelaku dalam video itu adalah Anwar. Kempen “pencerahan isu Anwar” oleh pegawai polis berkenaan berlarutan sejak awal bulan ini.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri Mansor Othman pula mendedahkan penduduk setempat di Penanti dijemput menonton video itu di pejabat Kemas. Video itu juga disajikan semasa kursus Biro Tata Negara untuk mahasiswa.

Untuk mereka, (termasuk kanak-kanak) yang tidak dapat mengikuti video seks menerusi You Tube atau suratkhabar dan blog-blog pro-Umno, jangan khuatir kerana gambar-gambar video itu dicetak dalam bentuk risalah dan diedarkan di merata tempat.

Ke mana hala tuju Negara? Jika ini bukan “politik longkang” yang menghakis nilai-nilai keagamaan dan peradaban yang kita junjung sebagai rakyat bersopan yang tahu menjaga maruah diri dan jiran kita, amalan politik apa namanya ini? Ke mana semangat Rukun Negara yang menggariskan soal KESOPANAN DAN KESUSILAAN?

Apakah segala-galanya boleh dihalalkan semata-mata untuk mencari keuntungan politik?

Apakah benar Polis dan Biro Tata Negara membantu mencaci dan menfitnah supaya generasi muda menolak pemimpin pembangkang? Kenapa Peguam Negara pula yang menentukan rentak siasatan polis?

Semua persoalan ini mempunyai jawapan mudah jika seseorang mengambil kira hakikat Perdana Menteri Najib Razak sendiri menggunakan “jam Omega’ sebagai modal politik ketika pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Walaupun beliau cuba memberi gambaran kononnya segala yang melanda Anwar ketika ini tidak ada kaitan dengan Umno dan kerajaan, ramai yang sangsi, curiga dan amat tidak mempercayai Najib.

Malah, satu lagi kes Anwar bersabit isu moral menyebabkan kewibawaan polis, Peguam Negara dan Biro Tata Negara pula menjadi persoalan utama mengenai kredibiliti kita sebagai rakyat yang bermaruah.

Berdasarkan perkembangan semasa, isu ini juga akan mengheret Badan Kehakiman yang masih tercalar imejnya daripada pusingan pertama perbicaraan fitnah terhadap Anwar pada tahun 1998.

Rakyat tertanya-tanya, sampai bila institusi-institusi awam negara akan terus diheret ke kancah fitnah dan bukti rekayasa semata-mata untuk membenamkan Anwar Ibrahim.

Tindakan terbaru akhbar-akhbar berbahasa Melayu, Tv3 dan RTM menyembunyikan kenyataan-kenyataan mufti dan tokoh Islam bersabit isu fitnah dan kemungkaran mencerminkan bagaimana rendahnya kewibawaan media kawalan kerajaan.

Namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana berfungsi di bawah telunjuk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mereka ditugaskan untuk mewarnakan Anwar sebagai seorang peliwat, kaki perempuan, ejen CIA, agen Yahudi dan apa sahaja asalkan Ketua Pembangkang itu diaibkan sehingga terpaksa berundur dari politik buat selama-lamanya.

Media massa ini mahu rakyat beragama Islam di Malaysia percaya bahawa orang-orang seperti Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim adalah bebas daripada dosa besar dan layak membuat sumpah laknat untuk menuduh pihak lain.

Umno pula mengharapkan sumpah laknat Eskay akan berjaya setelah sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan gagal mencapai matlamatnya dalam kes liwat fitnah.

Dalam mengejar matlamat masing-masing, Umno, mahupun media massa tidak harus lupa bahawa rakyat mempunyai kewarasan dan iman untuk membezakan antara kebenaran dan fitnah.

Kebenaran akan sentiasa menzahirkan diri dan menyerlah dengan peredaran masa serta mempunyai ketahanan untuk mengatasi apa sahaja kemungkaran yang cuba disebarkan.

Fitnah sebaliknya tidak lebih daripada rekayasa jijik yang akhirnya akan terpalit kepada pihak yang mencetuskannya.

Nadir bumi: Perak batal MoU firma Hong Kong

TERKINI



KUALA LUMPUR— Kerajaan negeri Perak telah memutuskan untuk membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani dengan syarikat Hong Kong, CVM Minerals Limited bagi menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah dengan serta-merta.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), sayap pelaburan negeri, mengumumkan keputusan ini dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini.

“Mengenai MoU antara PKNP dan CVM Minerals Ltd bagi projek nadir bumi yang disyorkan, dimaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah membatalkan dan mengakhiri MoU dengan serta-merta memandangkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengeluarkan apa-apa permit, lesen atau kelulusan tanah bagi sebarang projek nadir bumi di Perak,” kata ketua pegawai eksekutif PKNP Datuk Samsudin Hashim dalam satu kenyataan.

Laporan terdahulu menyebut Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar) kesal dengan PKNP kerana menandatangani MoU dengan sebuah firma dari Hong Kong tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu beliau memberi amaran kepada semua agensi kerajaan negeri agar memaklumkan butiran perjanjian yang ditandatangani.

“Saya nak bagi amaran juga kepada (semua) agensi supaya sebarang bentuk MoU yang hendak dibuat hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

“Walaupun mereka anggap ini bukan merupakan satu yang terikat dengan undang-undang, maksudnya bukanlah satu benda yang akan dilaksanakan,” kata beliau.

Tambah beliau, walaupun hanya sekadar bentuk persefahaman, namun perkara-perkara yang sensitif dan sebagainya hendaklah terlebih dahulu dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Kelmarin, The Malaysian Insider melaporkan sebuah firma Hong Kong dan kerajaan Perak telah bersetuju untuk menerokai dan melombong nadir bumi di Bukit Merah - kawasan yang terkenal dengan kontroversi nadir bumi dan radioaktif.

Laporan itu menimbulkan bantahan beberapa pihak yang bimbang mengenai kesan radiasi daripada projek itu.

Zambry berkata menjadi tanggungjawab PKNP untuk memaklumkan kepada kerajaan negeri kerana sebarang perkara yang membabitkan soal dasar kerajaan negeri harus dimaklumkan terlebih dahulu.

Jumaat, 29 April 2011

ESKAY TIADA PILIHAN, TERPAKSA BERSUMPAH JUGA, KERANA APA?

Oleh: WFAUZDIN NS


SYABAS dan tahniah kepada sebilangan besar jemaah Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul hari ini kerana berani meluahkan kebenaran dan hak agar kelakuan sesat dapat dihindarkan berlaku di dalam Rumah Allah itu. Sejurus selepas Solat Jumaat, wajah Eskay tidak kelihatan untuk mengadakan perbuatan karut iaitu Sumpah Laknat, melainkan yang lebih awal muncul adalah Pengarah JAWI.

Petikan dari Malaysiakini, keadaan di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul menjadi kecoh apabila penyokong PKR pimpinan ketuanya, Shamsul Iskandar Mat Akin mula melaungkan takbir serta ungkapan "kami mahu qazaf, bukan sumpah" selepas solat Jumaat hari ini (Malaysiakini).

Meskipun difahamkan Eskay tetap akan hadir bersumpah selepas Jumaat kemungkinan lewat tiba, apa yang penting kita patut bersyukur masih ramai yang sedar dan insaf bahawa perkara sumpah di dalam Islam tidak boleh dipersendakan.

Masih ramai yang tidak sejahil puak mereka yang mahu agar tuduhan zina ini boleh diatasi dan diselesaikan dengan sumpah. Eskay sedar, beliau tidak mampu untuk menghadapi kes Qazaf kerana hukum tersebut akan memberi keadilan yang sebenar. Adakah Eskay mahu kepada keadilan Islam ataupun hanya mahu mengaibkan musuhnya?

Pelik bin ajaib, permohonan untuk membicarakan kes Qazaf terhadap isu ini lebih awal dipohon bagi pihak DS Anwar melalui Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar bahkan beliau telah pun dipanggil untuk memberi keterangan di Pejabat JAWI. Tetapi, mengapa Pengarah JAWI memilih untuk hadir lebih awal ke Masjid berkenaan semata-mata untuk upacara sumpah tersebut? Mengapa beliau memilih membelakangkan kes Qazaf tetapi segera malah lebih awal dari Eskay untuk menyaksikan sumpah laknat?

Kita masih ingat kes sumpah laknat oleh Saiful dahulu, siapakah Pengarah dari Jabatan Agama Islam yang terlibat memaksa Imam Ramlan Poringgi mengadakan sumpah laknat buat Saiful?

Alhamdulillah, akhirnya Imam Ramlan sedar betapa beliau telah dipergunakan oleh bosnya yang berkepentingan politik. Apa jadi pada Imam Ramlan selepas itu? Beliau digantung dan akhirnya ditamatkan perkhidmatan. Itulah cabaran bagi sesiapa sahaja yang ingin menegakkan kebenaran. Seandainya Eskay tetap mahu bersumpah hari ini kita merasa sedih kerana berkemungkinan ada Imam lain yang turut menjadi mangsa politik lagi.

Saya tetap yakin Eskay akan terus bersumpah kerana beliau tahu tiada jalan lain untuk beliau menghilangkan rasa malu akibat fitnahnya yang kini ditertawakan orang. Siapa mahu percaya cerita Eskay yang pada awalnya menyebut beliau tahu kes zina tersebut apabila terjumpa kamera tersembunyi sewaktu beliau ingin mengambil jam DS Anwar yang tertinggal.

Beliau pun memanggil beberapa rakannya terlebih dahulu untuk menontonnya bagi memastikan kebenaran siapa pelaku di dalam video yang kununnya beliau jumpai itu sebelum ditayangkan kepada para wartawan. Tetapi semalam, beliau membuat pengakuan berbeza dengan menyebut bahawa beliau tahu watak lelaki tersebut adalah DS Anwar kerana beliau ada bersamanya ketika kejadian.

Dari segi fakta fizikal lelaki di dalam klip video siri I hingga setakat Siri II yang disiarkan oleh youtube dan dipanjangkan juga oleh media porno kita, jelas penipuan mereka. Tambahan pula apabila Eskay berbelit di dalam ceritanya. Sebab itu Eskay terlalu ingin untuk bersumpah kerana beliau tidak perlu menjawab apa jua kemusykilan.

Kita tidak pelik berapa ribu kali Eskay mahu bersumpah kerana yang kita inginkan adalah kes ini mesti mengikut apa yang Allah ajar pada kita. Sebelum itu, kita juga mahu tindakan ke atas Eskay dan juak-juaknya yang telah mengaku menayangkan video lucah berkenaan agar didakwa segera. Eskay boleh bersumpah setiap hari, ada kita kisah?

wfauzdin.blogspot.com

Najib nafi Laporan Bank Dunia

BERNAMA

Datuk Seri Najib Razak menafikan Laporan Bank Dunia yang mendakwa dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera menyebabkan berlaku masalah "brain drain" dan kurang kemasukan pelaburan ke negara ini.

NONEPerdana Menteri berkata, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia sebaliknya meningkat kepada RM9 bilion tahun lalu daripada RM1.4 bilion pada 2009.

"Saya rasa laporan itu kurang tepat tapi daripada segi 'brain drain' itu, memang kita dah kenal pasti sebagai salah satu daripada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya.

"Sebab itu kita menubuhkan Talent Corp dan langkah pertama saya telah umumkan di Invest Malaysia baru-baru ini ialah pemberian insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun jika mereka (profesional rakyat Malaysia) balik ke Malaysia.

"Ini salah satu daripada inisiatif pertama dan inisiatif lain yang telah dipersetujui dan kita akan ambil langkah selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di Putrajaya hari ini.

NONEBeliau diminta mengulas mengenai Laporan Bank Dunia semalam bahawa lebih sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara manakala pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah kurang disebabkan oleh dasar itu.

Najib berkata, beliau yakin Malaysia akan mampu menjamin pertumbuhan yang sihat untuk FDI dan pelaburan domestik.

"Jangan lupa, ia bukannya semata-mata soal FDI tetapi juga pelaburan demostik. Sebanyak 73 peratus daripada perancangan kita membabitkan pelaburan domestik," katanya.

Beliau juga berkata, projek Program Transformasi Ekonomi secara besar-besaran yang sedang dan akan dilaksanakan juga akan memberi peluang lebih terbuka kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara.


Pemimpin Pemuda Umno Sabah tuntut penjelasan


BERNAMA

Sekumpulan naib ketua Pemuda beberapa bahagian Umno di Sabah menuntut penjelasan berhubung rasional di sebalik penyingkiran serta-merta ketua Pemuda Umno negeri, Azman Roslan.

Ketua kumpulan itu, Mohd Razali Razi, yang juga naib ketua Pemuda Umno bahagian Sepanggar, menyuarakan rasa terkejut berikutan keputusan kepimpinan Pemuda Umno pusat untuk menggantikan Azman.

Beliau berkata Azman, seorang peguam, merupakan pemimpin Pemuda yang berwibawa dan diterima oleh Pemuda Umno negeri.

"Pengaturan masa membabitkan penyingkiran beliau tiada kewajarannya jika mengambil kira hakikat bahawa kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dalam usaha mendekatkan parti untuk memenangi kepercayaan rakyat.

"Jika tiada penjelasan yang boleh diterima berhubung penyingkiran ini, kami menggesa agar Azman diberi semula jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno Sabah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.

Mohd Razali berkata penyingkiran itu akan mewujudkan kesimpulan bahawa kedudukan Ketua Pemuda Umno Sabah adalah perkara eksklusif yang terletak pada budi bicara Ketua Pemuda Umno, tanpa perlu berunding terlebih dahulu dengan Pemuda Umno Sabah.

Sementara itu, Azman mengesahkan mengenai penyingkiran beliau dan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada Isnin lepas melalui sepucuk surat yang dihantar menerusi faks ke pejabat Umno Sabah.

Kata Azman, beliau akur dengan keputusan kepimpinan Pemuda Umno pusat dan berikrar untuk meneruskan perjuangan politiknya dalam Umno.

Beliau turut mengesahkan akan berlaku perubahan dalam kepimpinan Pemuda Umno Sabah, dan menambah naib ketua Pemuda Umno negeri Awang Kadin Tang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pergerakan itu di negeri ini.


Video seks kotori minda anak muda

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor


Firman Allah bermaksud: "Dan infakkanlah hartamu pada jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam lembah kebinasaan dengan tanganmu sendiri, dan berbuatlah kebaikan. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Al-Baqarah:195]

Ibu bapa hari ini sangat berwaspada dengan kegiatan anak-anak yang tidak bermoral melalui medium internet. Selain majalah-majalah yang memaparkan gambar berunsur negatif, internet adalah jalan alternatif yang mudah untuk memuat turun segala video yang diinginkan. Anak muda yang terdidik dengan sistem alam maya ini didedahkan dengan pelbagai video lucah di internet.

Kebimbangan ini semakin parah apabila tapisan yang dibuat di internet untuk mengelakkan anak-anak terjebak dengan gejala negatif ini seolah-olah hanyalah sebagai syarat yang mampu ditembusi oleh mereka. Guru-guru di sekolah juga sentiasa memasukkan elemen nasihat seperti menjelaskan kesan dan akibat daripada mlihat video lucah.

Namun, usaha ibu bapa dan guru-guru seolah-olah hampa dan memutuskan semangat. Hal ini terjadi apabila siaran televisyen memaparkan cerita-cerita dan filem-filem yang sangat teruk, mempunyai adegan-adegan melampau dan pelakon-pelakon yang seksi.

Lebih hancur lagi harapan ibu bapa dan guru yang berusaha keras memastikan anak bangsa mempunyai nilai akhlak yang terpuji apabila isu video seks permainan politik diketengahkan. Bukan persoalan salah siapa, tetapi video yang dimuatkan dan gambar-gambar tidak bermoral ditayangkan untuk khalayak umum yang perlu dititikberatkan.

Akhbar tempatan memaparkan gambar lucah, siaran televisyen kerajaan menayangkan beberapa aksi panas dan pawagam rakyat (Youtube) mendedahkan segala cerita yang berlaku.

Video seks telah mengotori minda anak muda:

1) Pintu fitnah dibuka seluas-luasnya

2) Penyebaran video seks diberi lampu hijau

3) Tiada penjelasan daripada perspektif hukum Islam kepada seluruh rakyat mengakibatkan kekeliruan

4) Memberi persepsi politik kotor kepada anak muda

Dalam isu ini, peranan secara serius perlu dimainkan oleh golongan akademik dan ulama. Kes seperti ini telah membarah teruk dalam masyarakat khususnya anak muda hari ini.

Satu konvensyen besar-besaran perlu dianjurkan di peringkat nasional yang terdiri daripada golongan ulama, ahli akademik dan golongan profesional yang bebas daripada unsur politik bagi mengatasi konflik yang tidak terarah ini.

Anak muda khususnya mahasiswa Islam tidak sekali-kali dapat menerima hal seperti ini. Anak muda dan masyarakat menjadi mangsa pergaduhan politik sesama sendiri ini.

maksud firman Allah: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah (kebijaksanaan) dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.” [An-Nahl:125]

Justeru, saya menyeru kepada seluruh anak muda dan masyarakat luar agar kita semua berpegang dengan ajaran Islam dan nilai akhlak yang baik untuk mengelakkan terjerumus dalam kancah fitnah yang berleluasa ini. Semoga Malaysia lebih aman dan sejahtera.

We Unite For Islam

Muhammad Hafizuddin Muhamed Noor , Mahasiswa UIAM

Media lucah: Apa peranan KDN

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: PAS kesal terhadap media perdana yang dikuasai oleh Umno BN yang tidak beretika dan bermoral kerana menyiarkan gambar lucah di dalam akhbar mereka.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, ini satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar etika kewartawanan dan tatasusila agama demi mencapai cita-cita politik mereka.

Pada mereka, katanya soal moral dan etika tidak diperhitungkan lagi.

“Apakah negara kita sudah hilang nilai-nilai ketimuran sehingga sanggup mengaibkan individu yang belum lagi dibuktikan kesalahannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PAS ingin mengingatkan kerja ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah,” tegasnya.

Katanya, sejak mutakhir ini media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi keputusan belum lagi diputuskan oleh mahkamah.

Begitu juga, ujarnya berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk "Lelaki Y ialah Anwar".

Ini, katanya merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar sedangkan lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya.

“Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan?” tanya beliau lagi.

Ini, katanya sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat.

PAS, tambahnya hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja.

“Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi akta penerbitan dan mesin cetak tidak boleh diambil tindakan.

“Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno BN sahaja?” soalnya lagi.