Jumaat, 26 Februari 2016

Sekat produk pembunuh di pasaran!

Kerajaan jangan terlalu mudah membenarkan sesuatu produk berada di pasaran tanpa melakukan kawalan penilaian terhadap bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tertentu.
johnson_fomca_600


Terkejut bila mendapat tahu produk keluaran syarikat Johnson & Johnson didapati tidak selamat untuk digunakan susulan kematian seorang wanita di Amerika Syarikat yang dikait menggunakan produk syarikat itu.

Nasihat oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) semalam yang mahu agar syarikat berkenaan menarik balik produk-produk mereka yang berada di pasaran mungkin sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa cemas kepada golongan ibu bapa yang sering menggunakan produk itu buat anak-anak mereka.

Dalam hal ini, terfikir juga penulis berapa banyakkah agaknya kuantiti dan juga kekerapan penggunaan produk jenama itu oleh wanita Amerika terbabit hingga kematiannya dikaitkan dengan produk syarikat berkenaan.

Setahu penulis, jenama Johnson & Johnson ini sememangnya telah lama diperkenalkan dan ia menjadi pilihan kepada para ibu-ibu untuk menggunakan jenama produk itu khususnya kepada anak-anak kecil terutamanya bayi.

Jika kejadian yang mengorbankan wanita bernama Jacqueline Fox itu boleh berlaku di Amerika Syarikat ia tidak mustahil boleh berlaku di negara kita.

Mengupas mengenai perkara ini ingin penulis mengajak pembaca berfikir, bagaimana kerajaan menerusi pihak-pihak yang diberikan tanggungjawab memainkan peranan mereka dalam melakukan kawalan kualiti terhadap apa sahaja produk yang dibawa masuk ke negara ini.

Pokok pangkalnya, sejauh mana ketelusan oleh pihak-pihak tertentu seperti Kastam Diraja Malaysia atau Kementerian Kesihatan dalam melakukan pemeriksaan terhadap produk-produk seperti makanan mahupun kecantikan yang selamat digunakan oleh pengguna.

Almaklumlah, pengguna ini biasanya tidak mengetahui kandungan sesuatu produk sama ada ia selamat untuk digunakan atau sebaliknya.

Biasanya, mereka terpengaruh dengan iklan-iklan yang dilihat hingga membuatkan teruja untuk mendapatkannya.

Kerajaan pula janganlah dengan mudah membenarkan produk-produk seperti itu berada di pasaran tanpa melakukan kawalan penilaian terhadap bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk tertentu.

Bukan sahaja produk dari luar malah, perkara sama perlu dilakukan terhadap produk-produk keluaran tempatan sama ada ia dihasilkan menerusi kaedah tradisional mahupun cara moden.

Kita tidak mahu nanti berlaku sesuatu yang tidak diingini, barulah pihak-pihak tertentu terhegeh-hegeh hendak menyiasat atau terfikir mahu memantau sedangkan ia sebenarnya sudah terlambat.

Memang biasa kita dengar sesuatu tindakan hanya akan diambil jika musibah telah berlaku. Janganlah dijadikan peribahasa sudah terhantuk baru nak tengadah sebagai amalan dalam hidup kita ini.

Bertindaklah segera sebelum ia menjadi lebih parah. Bantulah pengguna dalam mendapatkan hak mereka. Hargailah kepercayaan yang telah diberikan.

Tiada ulasan: