KUALA LUMPUR: Malaysian Airlines System Bhd (MAS) menggesa semua waris
tragedi MH370 mengemukakan tuntutan mereka sebelum 8 Mac ini bagi
mengekalkan hak perundangan mereka.
"Bagi memastikan mereka yang terbabit mengambil tindakan yang
diperlukan untuk mengekalkan hak perundangan masing-masing, syarikat ini
beberapa kali memaklumkan kepada waris mengenai had tempoh dua tahun
mengikut Konvensyen Montreal, yang bererti bagi MH370, ia tamat pada 8
Mac ini," kata MAS dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menyebut syarikat berkenaan komited bersama waris terbabit bagi memastikan pampasan yang adil dan saksama.
"MAS mempunyai perlindungan insurans bagi memenuhi tanggungjawab
membayar pampasan kepada waris seperti yang terkandung dalam konvensyen
antarabangsa dan undang-undang yang berkenaan," kata kenyataan itu.
Syarikat itu juga berkata, hingga kini Pentadbiran MAS sudah memenuhi
96 permohonan daripada MH370 untuk memulakan prosiding perundangan.
"Tiada permohonan yang ditolak. Sebagai tambahan, 42 waris sudah menerima pampasan penuh," kata MAS.
Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari
Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan