Jumaat, 31 Januari 2014

PRK Kajang: Rakyat patut abaikan pandangan Dr M


ANALISIS BERITA OLEH THE MALAYSIAN INSIDER
Rakyat Malaysia bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar fail.Rakyat Malaysia bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Gambar fail. 

























Malaysia sebuah negara bebas. Pembetulan. Malaysia sememangnya sebuah negara yang agak bebas. Oleh itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bebas menyuarakan pandangannya tentang sesuatu perkara, sama ada tentang cuaca di Kutub Utara ataupun kualiti kepimpinan dalam negara.

Tetapi, Malaysia juga bebas tidak bersetuju atau menolak apa sahaja yang terkeluar daripada mulut beliau. Malah boleh juga menunjukkan rasa tidak senang dengan sikap politik dolak-dalih beliau, hari demi hari tanpa rasa bersalah melupakan permasalahan dalam negara segala-galanya berpunca daripada zaman pemerintahannya.

Walaupun dilihat mengeluh tentang sikap pentingkan diri di kalangan ahli politik Umno dan budaya politik merampas kuasa hari ini, Dr Mahathir berharap kita lupa tentang kekayaan luar biasa menterinya dan rakan sekelilingnya.

Apabila beliau bercakap tidak munasabah penganut Kristian mahu menggunakan kalimah Allah, Dr Mahathir harap kita melupakan kerajaan sekitar lewat 1980-an yang membenarkan peruntukan menggunakan kalimah Allah oleh penganut Kristian dilaksanakan secara pengkuatkuasaan.

Apabila mengeluh tentang bahang perkauman dan agama, Dr Mahathir harap kita lupa dirinya adalah penaung Perkasa, kumpulan pendesak ultra-Melayu yang mempunyai satu matlamat, iaitu memecah-belah negara ini.

Sekarang, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu memberi pandangan remehnya tentang betapa pentingnya pilihan raya kecil di Kajang. Beliau boleh mempersenda Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kata apa sahaja tentangnya. Tetapi apabila bercakap tidak masuk akal, beliau perlu dihentikan.

Hari ini beliau menggesa pengundi Kajang beri MCA peluang. Kenapa? Kerana menurutnya, parti komponen Barisan Nasional tersebut cuba bangkit selepas prestasi memalukan. Benarkah?

Setiap orang boleh menghidu deria elastik benar dan salah beliau, pertukaran kuasa antara Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Seri Liow Tiong Lai kononnya bukti parti tersebut kini berada di landasan terbaik.

Boleh anda bayangkan betapa angkuh dan egonya kedua-dua pemimpin MCA ini cuba mendapat habuan untuk diri mereka walaupun parti mereka gagal memberi khidmat kepada masyarakat?

Liow tidak bermaya manakala Dr Chua ... kurang bercakap mengenai Chua, mungkin lebih baik.

Tetapi Dr Mahathir pula berharap rakyat Malaysia memberi peluang kepada pemimpin yang angkuh ini?

Tetapi ia tidak memeranjatkan rakyat Malaysia mengenai Dr Mahathir. Beliau akan sentiasa bercakap mengenai pandangannya dan menawarkan nasihat yang tidak diminta.

Oleh itu, secara umumnya rakyat Malaysia perlu melakukan perkara bertentangan dengan apa yang beliau mahu.

Lagipun, beliau mempunyai pandangan yang elastik tentang apa yang betul dan salah.

Putrajaya bakal hadapi persepsi negatif jika lantik Shafee sebagai peguam negara

OLEH V.ANBALAGAN


Peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee dan Putrajaya akan menghadapi pesepsi negatif jika dia dilantik sebagai peguam negara, kata sekumpulan peguam.

Penasihat dan pengasas kepada Peguam untuk Kebebasan, Eric Paulsen (gambar) berkata, Putrajaya tidak sepatutnya mempertimbangkan langsung Shafee sebagai calon untuk jawatan itu kerana beliau membawa bebanan tersendiri.

"Peguam negara adalah satu jawatan yang tidak boleh dipertikaikan dan calon-calon untuk jawatan ini perlu dilihat bebas dan mengatasi kuasa politik," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, jika Shafee dilantik atau dipertimbangkan untuk jawatan itu, maka keseluruhan Jabatan Peguam Negara akan terjejas daripada kedudukan sekarang kepada lebih buruk lagi kerana beliau (Shafee)  dikenali sebagai peguam Umno.

Katanya, Shafee telah menjadi penasihat perdana menteri sebelum ini dan perdana menteri sekarang serta Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga berkata, Shafee juga dikenali kerana mengambil sikap menentang pembangkang khasnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apatah lagi ia sangat tidak sesuai setelah beliau terlibat dalam kes sodomi Anwar. Persepsi umum adalah jika beliau berjaya menang kes bagi pihak pendakwa, hadiah untuknya adalah jawatan Peguam Negara seterusnya."

Pada 9 Januari, 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di Desa Damansara unit kondominium di Bukit Damansara di sini, antara jam 3.10 dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Shafee bakal mengetuai pasukan pendakwaan apabila Mahkamah Rayuan mendengar rayuan pendakwa raya pada 12 Februari ini.

Paulsen berkata demikian ketika mengulas Shafee yang mendedahkan keinginannya untuk  menjadi penasihat undang-undang negara dan pendakwa raya.

Peguam kanan berusia 61 tahun itu berkata beliau sedia mengambil alih jawatan itu untuk memberikan perkhidmatan kepada orang ramai dan tidak memikirkan soal membuat wang.

"Saya akan menerima apa-apa jawatan untuk berkhidmat. Jika saya layak untuk jawatan itu dan kerajaan benar-benar inginkan saya, saya akan menerimanya," kata Shafee di pejabatnya dekat Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari Khamis.

Paulsen berkata pengakuan Shafee mengesahkan apa yang telah menjadi rahsia umum sejak sekian lama di kalangan pengamal undang-undang.

Beliau berkata,  tidak ada keraguan Shafee memahami undang-undang dan mempunyai keupayaan yang cemerlang tetapi soalannya adalah samada beliau mendapat keyakinan umum sebagai peguam negara atau tidak.

"Jawatan Peguam Negara tidak boleh tercemar," katanya.

Paulsen berkata, ia telah berlaku kepada  pelantikan Tun Zaki Azmi, bekas Peguam Umno, yang telah dilantik terus sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 dan kemudian Ketua Hakim Negara.

"Beliau adalah seorang peguam kanan tetapi tidak sehebat Datuk Seri Gopal Sri Ram (yang dilantik terus ke Mahkamah Rayuan) dengan ensiklopedia pengetahuan undang-undangnya," katanya.

Beliau berkata, semua mata tertumpu setiap kali ada kes berkaitan Putrajaya dan Umno seperti krisis Perlembagaan Perak sama ada Zaki campur tangan dalam memanipulasi penghakimannya.

Shafee berkata, khabar angin beliau menjadi Peguam Negara telah wujud sejak 15 ke 20 tahun lalu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.

Shafee, yang dilantik secara ad hoc sebagai Timbalan Pendakwa Raya untuk memimpin pasukan pendakwaan untuk membatalkan pembebasan Anwar pada tahun 2012, juga perlu dilihat sebagai tugas untuk perkhidmatan awam.

Beliau berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah tidak mengambil kes ini  kerana tuduhan terhadapnya, seperti  manipulasi keterangan dan bekas pendakwa raya (Datuk Mohd Yusof  Zainal Abiden) pula telah bersara.

Lawyers for Liberty dua minggu lalu mempersoalkan peranan Shafee sebagai pendakwa selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya selepas  didenda RM5, 000 oleh Lembaga Tatertib  Peguambela dan Peguamcara kerana  melanggar peraturan publisiti di bawah Akta Profesion Guaman.

Paulsen kemudian berkata ini merupakan satu lagi sebab mengapa Gani perlu mengambil balik lesen yang diberikan kepada Shafee untuk mengendalikan kes Anwar

Kontroversi Marinatasha-Castmet berakhir

MALAYSIAKINI

 


Kontroversi antara penyanyi Marinatasha Isnariah Mustapar dan pengarah kewangan syarikat Castmet, Yong Pey Ling diselesaikan dengan penuh keharmonian.

Perkara itu diumumkan sendiri Marinatasha bahawa mereka telah sepakat menyelesaikan perkara itu dengan cara baik dan harmoni dalam pertemuan tertutup di pejabat Castment pada jam 11 pagi 26 Januari lalu.

"Saya menerima permohonan maaf pengarah urusan dan pengarah kewangan syarikat Castmet dengan hati terbuka sempena Tahun Baru Cina.

"Kami telah sama-sama sepakat memohon maaf. Alhamdullillah kes selesai," katanya.

Sementara itu, Presiden Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez juga bersyukur kerana sengketa tersebut selesai dengan harmonis.

Beliau juga berharap diskriminasi artis bertudung tidak timbul lagi pada masa akan datang, sekaligus menjadi teladan kepada semua orang.

"Ini sebagai contoh kepada artis bertudung untuk membuat persembahan supaya jangan ada halangan sebegini," katanya dalam satu sidang akhbar petang semalam.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan Marina mendakwa dirinya didiskriminasi oleh Castmet kerana bertudung.

Marina mendakwa dia yang sepatutnya membuat persembahan di majlis makan malam tahunan syarikat pembinaan itu di Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu, telah diarah menghentikannya.

Beliau malah mendakwa diminta turun dari pentas oleh seorang pegawai kanan syarikat itu kerana memakai hijab.

'Kerana tudung, penyanyi diarah turun pentas'

'Artis bertudung tak sesuai untuk acara kami'

Demo isu artis bertudung Jumaat ini?

Penyanyi bertudung tolak alasan syarikat

Gerakan sokong MCA bertanding di Kajang

MALAYSIAKINI


MCA perlu diberi peluang bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang kerana sebarang perubahan atau pemilihan calon dari parti lain dalam Barisan Nasional (BN) boleh menimbulkan masalah.
  
Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata memandangkan MCA mewakili BN bertanding di kerusi itu sebelum ini, pada prinsipnya Gerakan menyokong MCA untuk bertanding sekali lagi bagi kerusi berkenaan.
  
Katanya Gerakan berjanji tidak akan meletakkan calonnya bertanding bagi kerusi berkenaan pada pilihan raya kecil itu, yang belum diumumkan lagi.
  
"Ini adalah penyelesaian paling baik. Sekiranya ada perubahan, mungkin akan timbul masalah. Jadi, kami menyokong MCA terus bertanding bagi kerusi itu" katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan 2014 di Menara PGRM hari ini.
  
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri majlis itu.

Mah bagaimanapun berkata sekiranya BN memilih calon daripada parti komponen lain untuk bertanding pada pilihan kecil itu, Gerakan tetap memberi sokongan padu untuk memastikan kemenangan parti gabungan itu.
  
"Kami (Gerakan) berpendapat ia sejajar dengan semangat BN," katanya.
  
Menurutnya Gerakan telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menawan semula kerusi itu dalam pilihan raya kecil Kajang.
  
Gerakan juga telah menyusun beberapa program tidak lama lagi.
  
Kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang kosong apabila penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada Isnin lepas.
  
Baru-baru ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar mencadangkan supaya BN tidak lagi memilih calonnya berdasarkan formula lama yang mengambil kira parti komponen dipilih bertanding mengikut kawasan.
  
Sebaliknya, beliau berkata calon yang dipilih mestilah seseorang yang berkelayakan dan terbaik mengikut penilaian peringkat tertinggi BN.- Bernama

Beri MCA peluang bertanding di Kajang

Tun Dr Mahathir Mohamad  
Tun Dr Mahathir Mohamad


KUALA LUMPUR - Memandangkan MCA sedang membuat kemunculan semula, parti itu patut diberi peluang bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang jika ia mempunyai peluang cerah untuk menang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas pandangan beberapa pihak bahawa Umno pula patut diberi peluang bertanding di kawasan itu setelah MCA kecundang pada pilihan raya umum lepas, bekas Perdana Menteri ini berkata terserahlah kepada BN untuk membuat keputusan mengenainya.
      
Namun, katanya beberapa perkara perlu diberi pertimbangan termasuk komposisi etnik di Kajang.
      
"Sekiranya orang Cina lebih banyak, maka lebih baiklah kita letak calon Cina juga," kata beliau ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA di sini, hari ini.
      
Kajang mempunyai 39,030 pengundi dengan 48.3 peratus daripadanya Melayu, Cina (40.5 peratus), India (10 peratus) dan kaum lain (1.2 peratus).

Rafizi: Kalau ini permainan PKR, tolaklah kami

MALAYSIAKINI


 
 
 
PKR sedia ditolak rakyat dalam pilihan raya kecil Kajang sekiranya tindakan mengosongkan kerusi DUN itu bagi memberi laluan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding , dianggap satu keputusan memanipulasi sistem pilihan raya, kata Ketua Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, ia adalah satu pertimbangan berisiko besar yang perlu diambil demi kepentingan orang ramai, dengan mempertaruhkan orang nombor satu Pakatan Rakyat itu sendiri.

"Ada yang kata keputusan ini mempermainkan demokrasi. Tidak.

"Kita ambil risiko besar memulangkan keputusan ini kepada rakyat.

"Ia demokratik dan ia juga sadistik.

"Kita letak orang nombor satu kita dalam tangan pengundi-pengundi Kajang yang marah.

"Kita jelaskan dan kita minta maaf. Kalau penerangan dan minta maaf kita ini tidak cukup, Anwar Ibrahim akan dihukum.

"Kalau ini permainan PKR yang perlu ditolak, tolaklah kami. Kami tidak memanipulasi sistem seperti yang dilakukan Umno," kata MP Pandan itu di forum 'Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya' di ibu negara, semalam.

Sebak seketika dengan mata kemerah-merahan sehingga ucapannya tersekat-sekat, Rafizi berkata ia adalah satu keputusan yang menyakitkannya tetapi perlu dilakukan demi tanggungjawab kepada orang ramai.

"Ia menyakitkan saya kerana ia adalah idea saya untuk mengheret Anwar Ibrahim ke dalam perkara ini (sebak) dan ia bukan perkara yang mudah.

"Namun apabila tanggungjawab ini jatuh di atas bahu anda (sebak), apa lagi yang anda boleh lakukan?" katanya.

Apabila kembali tenang, Rafizi menjelaskan langkah itu akan membolehkan Pakatan Rakyat mengekang strategi politik perkauman Umno yang didakwanya semakin galak mengizinkan bibit-bibit ketegangan kaum untuk bercambah seperti demonstrasi-demonstrasi perkauman  di Pulau Pinang baru-baru ini.

Katanya lagi, insiden-insiden sama juga pernah berlaku di Selangor dan demografi Selangor yang menyerupai Malaysia menuntut kehadiran seorang tokoh politik nasional yang mampu mengendalikan sebarang kemungkinan meletusnya ketegangan di antara kaum.

"Ini bukan soal menukar MB semata-mata, ini bukan soal masalah dalaman PKR semata-mata. Ini soal kita perlu berdepan dengan satu serangan politik yang kita perlu bersedia (menghadapinya).

"Kita tahu permainan politik dan agama ini perlu dijawab dengan permainan politik juga.

"Walaupun kita hormat Tan Sri Khalid (menteri besar Selangor) dan kita hormat kebolehannya mentadbir tapi kita perlu berpijak di bumi yang nyata bahawa Tan Sri Khalid bukan seorang ahli politik yang berkemahiran dan berpengalaman untuk berhadapan politik perkauman dan agama Umno ini," katanya.

Sementara itu, Rafizi menjelaskan pengumuman untuk meletakkan Anwar bertanding dilakukan dengan persetujuan penuh Pakatan Rakyat walaupun pada mulanya ia mengejutkan beberapa pimpinan kanan kerajaan, bekas menteri besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Jelasnya, rundingan untuk menyokong langkah itu dibuat secara rahsia dan pada masa sama, PKR juga "tidak menguruskan" bagaimana kerahsiaan itu dikomunikasikan sesama pimpinan parti masing-masing.

"Cantiknya langkah taktikal ini adalah kerana ia 'mengejutkan' dan ya, ia mengejutkan ramai orang kerana cara persetujuan itu diolah," katanya.

Menurut Rafizi, persetujuan PAS diperolehi pada 24 Januari menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali sementara persetujuan DAP pula diperolehi pada hari Isnin, 27 Januari sebelum pengumuman itu dibuat Tan Sri Khalid Ibrahim pada 29 Januari.

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang turut menjadi ahli panel, menyokong sepenuhnya langkah itu yang akan membolehkan Anwar menjadi menteri besar Selangor.

Menurutnya, Anwar akan boleh turut serta dalam persidangan Raja-Raja Melayu selaku menteri besar Selangor dan bercakap mewakili 52 peratus pengundi yang memilih Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.

"Kalau Lim Guan Eng yang bercakap tentang kalimah Allah dan Tanah Melayu, siapa sahaja yang akan ambil peduli.

"Tetapi kalau Anwar Ibrahim yang bercakap tentangnya, ia strategi yang berbeza sama sekali," katanya.

Forum malam tadi yang dianjurkan radio internet Radio Bangsar Utama turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan dimudahcara bekas pengarah eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah.

Rumah Adun Batu Caves dipecah masuk

 Amirudin Shari Amirudin Shari


KUALA LUMPUR - Rumah Adun Batu Caves di Taman Templer Suasana, Rawang dipecah masuk awal pagi semalam dan beberapa barangan berharga dilarikan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata kejadian hanya disedari Amirudin Shari, 33, apabila beliau bangun kira-kira 8 pagi dan mendapati pintu belakang rumahnya terbuka.

"Hasil pemeriksaan mendapati barangan yang hilang ialah seutas jam tangan, wang tunai RM500, dua buah telefon bimbit, dompet beliau dan isterinya, kad ATM serta beberapa dokumen pengenalan diri.

"Jumlah kerugian dianggar bernilai kira-kira RM1,500," katanya hari ini.

Dilaporkan tiada pengawal keselamatan yang betugas ketika kejadian.

"Bagaimanapun kami berjaya mengesan tiga cap jari di tempat kejadian yang dipercayai milik perompak," kata Abdul Rahim.

Dalam laman Facebook, Amirudin berkata kehilangan telefon bimbit dalam kejadian itu menyebabkan beliau tidak dapat dihubungi rakan-rakannya.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat dihubungi sehingga lepas Tahun Baharu Cina sebab telefon saya hilang bersama beberapa barang lain selepas kejadian kecurian di rumah saya pada awal pagi  30 Januari.

"Insya-ALLAH, lepas cuti Tahun Baharu Cina semuanya akan kembali sedia asal," katanya. - Bernama

PKR jumpa rakyat Kajang 3 Februari


 Azmin Ali Azmin Ali - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


KAJANG - [VIDEO] PKR memilih Isnin depan bagi menjelaskan kepada pengundi-pengundi di Dun ini berhubung keperluan mengadakan pilihan raya kecil ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu diambil ekoran parti itu bertanggungjawab untuk menerangkan situasi sebenar kepada pengundi.

"3 Februari ini, cadangan kita untuk mengadakan satu program besar bagi menerangkan pada pengundi.

"Sebab Datuk Seri Anwar dan pimpinan PKR khususnya bersama PR bertanggungjawab untuk menerangkan kepada pengundi-pengundi, kenapa kita bermuafakat untuk mengadakan PRK ini. Ini tanggungjawab kita," katanya ketika ditemui, hari ini.

Penjelasan itu juga katanya bagi mengelak daripada berlakunya pelbagai salah faham dan persepsi di kalangan rakyat di seluruh negara.

"Kami sedang mengenalpasti tempat paling sesuai untuk mengadakan perjumpaan itu. Supaya tidak timbul salah faham.

"Bukan saja kepada pengundi tapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sebelum ini, penganalisis politik  Dr Maszlee Malik menyifatkan PKR terlalu sering berdalih mengenai masalah dalaman parti itu dan sudah tiba masanya parti itu mengambil sikap telus dan menjelaskan kepada rakyat.

Menurutnya, selagi PKR tidak bersikap telus, persepsi negatif rakyat terhadap parti itu akan terus menebal.

Pendapatnya itu turut dikongsikan ramai pemerhati politik termasuk NGO.

31 Januari hari terakhir daftar BR1M


BR1M 3.0 BR1M 3.0


SHAH ALAM - Tarikh hari ini, 31 Januari 2014 adalah hari terakhir pendaftaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 3.0 yang menerima bayaran pertama pada pertengahan Februari ini.

Rakyat Malaysia berkelayakan yang masih belum sempat mengemaskini maklumat peribadi dan memohon bantuan itu masih berpeluang berbuat demikian sehingga tengah malam ini.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga turut mengingatkan rakyat mengenai bantuan tersebut.

"Hari terakhir pendaftaran BR1M. Daftar segera," tulisnya dalam laman mikro Twitternya.

Sebelum ini, media melaporkan, walaupun mempunyai gesaan pelbagai pihak supaya melanjutkan tempoh permohonan BR1M, namun kerajaan telah menegaskan tidak akan berbuat demikian.

Tinjaun Sinar Harian Online semalam juga mendapati, beberapa pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Klang dan Shah Alam telah dipenuhi orang ramai yang mengambil kesempatan kali terakhir untuk mengemaskini dan berhubung terus dengan jabatan itu sebelum operasi ditutup pada hari ini sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina.

PRK Dun Kajang: Belum apa-apa dah berebut nak jadi calon

AHMAD TAJDID 


BELUMPUN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempat menentukan tarikh pilihan raya kecil (PRK) Dun Kajang, parti komponen BN khususnya Umno dan MCA sudah pun berbalah berebutkan kerusi yang dikosongkan Adun PKR, Lee Chin Cheh itu.

(grafik idaman78.blogspot.com)

Walaupun para pemimpin BN termasuk Pengerusinya menyifatkan tindakan mengosongkan kerusi Dun Kajang itu sebagai ‘penghinaan terhadap proses demokrasi’ dan ‘satu pembaziran’, tiada tanda-tanda bahawa BN akan menuruti nasihat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar tidak bertanding.

"Saya suka mencabar Umno dan Barisan Nasional, jika mereka berpandangan pengosongan kerusi di DUN Kajang itu satu pembaziran dan penghinaan terhadap proses demokrasi, jangan sekali-kali mereka meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil itu nanti," kata Tuan Guru Nik Aziz dalam entrinya di laman Facebook.

Malah Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin 28 Januari lalu awal-awal lagi mahu pemilihan calon BN bagi PRK Dun Kajang tidak terikat dengan ‘formula lama’.

Beliau membayangkan calon bakal dipilih BN mungkin tidak datang dari MCA walaupun Dun Kajang merupakan kerusi tradisi parti Cina itu.

"Kita perlu bertanding. Tapi kita berharap calon yang dipilih bukan dipilih berdasarkan 'formula lama'," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

"Saya tidak kata MCA tak baik... Beri kita calon yang terbaik."

Pandangan Khairy itu mengundang kemarahan MCA.  Ketua Pemudanya,  Chong Sin Woon mengingatkan Khairy supaya tetap menghormati semangat kebersamaan dalam gabungan 14 parti itu.

“Kita mempunyai matlamat sama, tetapi (Khairy) tidak patut secara terbuka berkata ia tidak akan mengikut formula lama (pemilihan calon),” kata Chong berang.

“Dia (Khairy) jelas kata (Kajang) tidak semestinya akan ditandingi oleh MCA,” kata Chong dalam satu sidang media.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula menegaskan pendirian MCA untuk sekali lagi meletakkan calonnya di Dun Kajang.

Menurut Liow, selaras dengan semangat dan formula (lama) BN, DUN Kajang akan sentiasa menjadi kerusi MCA dan parti perlu bekerja keras jika ingin menawan semula Dun berkenaan yang terlepas ke tangan PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Mei tahun lalu.

"Kita (MCA) akan cadangkan nama calon kepada parti komponen BN yang lain selepas SPR  umumkan bila tarikh (penamaan calon dan) pengundian," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA di sini, 29 Januari lalu.

Liow yakin MCA mampu memenangi semula kerusi Kajang dan parti pimpinannya telah menubuhkan jawatankuasa khas peringkat pusat, negeri dan bahagian untuk mengatur strategi dan membuat segala persiapan bagi menghadapi PRK itu.

Menurutnya, jawatankuasa peringkat pusat akan dipengerusikan Timbalan Presiden Datuk Dr Wee Ka Siong, manakala Datuk Donald Lim Siang Chai dan Lee Ban Seng masing-masing mempengerusikan jawatankuasa peringkat negeri dan bahagian.

Semangat dan keyakinan MCA itu bagaimanapun tidak dikongsi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau malah secara terbuka menyokong cadangan Khairy supaya BN mengubah formula memilih calonnya bagi PRK Dun Kajang.

Zahid berkata kepimpinan BN perlu mengubah kaedah pemilihan calon itu untuk membolehkan BN menawan semula kawasan itu kerana ia mempunyai lebih 40 peratus pengundi Melayu.

Menteri Dalam Negeri itu mendakwa langkah ini penting bagi menjamin kemenangan BN selain menimbang faktor Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR.

Lee Chin Cheh memenangi kerusi Dun Kajang pada PRU lalu dengan majoriti 6,824 undi dalam persaingan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Statistik Daftar Pemilih SPR menunjukkan komposisi pengundi Dun Kajang adalah Melayu sebanyak 48.48 peratus, Cina (40.46 peratus) dan India (10.15 peratus).

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 28 Januari lalu mengumumkan Anwar sebagai calon PKR bagi PRK Dun Kajang.

Perbalahan antara Umno dan MCA dalam menentukan parti yang paling layak mewakili BN dalam PRK Dun Kajang menunjukkan BN masih gagal melepaskan diri daripada sentimen politik kaum dan bangsa.

Umno yang masih mengekalkan penguasaan dalam BN (dengan dokongan pengundi Melayu luar bandar dan masyarakat Felda) yakin bahawa parti itu akan berjaya meraih sokongan 48.48 peratus pengundi Melayu di Dun Kajang berbanding calon Melayu PKR jika diberi peluang bertanding di kerusi marginal itu.

Malah para pemimpin parti Melayu itu tetap mencurigai kemampuan MCA bagi meraih sokongan pengundi Cina yang dilihat masih cenderung kepada Pakatan Rakyat.

Baru pulih daripada krisis kepimpinan, kemampuan MCA bagi meraih sokongan masyarakat Melayu juga diragui Umno apatah lagi dengan kemunculan kumpulan-kumpulan pendesak Melayu pro-Umno seperti Perkasa.

PRK Dun Kajang akan menjadi medan untuk Pakatan Rakyat dan BN menguji sejauh mana kesepaduan pakatan politik masing-masing. Ia bukan sekadar PRK yang bakal menentukan corak pentadbiran Selangor; malah ia memberi isyarat kepada pihak mana yang lebih dipercayai rakyat untuk membentuk kerajaan pusat dalam tempoh empat tahun akan datang.

PRK Kajang: Muslimat PAS tunggu arahan Pusat

HAZAYANI ZAKARIA 


KUALA LUMPUR: Jentera pilihan raya Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) sentiasa bersiap sedia menghadapi mana-mana pilihan raya kecil (PRK) termasuk di Dun Kajang jika mendapat arahan daripada PAS Pusat.

Pengarah Jabatan Pilihanraya DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, jentera DMPP menunggu arahan daripada pimpinan PAS dan akan bergerak kerja berdasarkan panduan serta arahan kerja Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS negeri-negeri.

"Sebagai jentera parti tentulah arahan dan keputusan jamaah itu lebih penting daripada apa sahaja hatta pandangan peribadi sendiri dalam konteks pro dan kontra keperluan PRK Kajang.

"Ia tidak boleh terpakai sekiranya sudah ada keputusan dan arahan jamaah dan dalam konteks ini arahan PAS Pusat di bawah kepimpinan Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Aiman juga, soal BN meletakkan calon atau sebaliknya tidak penting tetapi DMPP akan membantu kempen PRK Kajang atas nama Pakatan Rakyat.

"Sama ada BN letak calon atau tidak, yang penting kita akan ikut arahan dan keputusan parti.

“Jabatan Pilihan Raya DMPP  yakin dan percaya BN akan bertanding di PRK N25 Kajang dan kemungkinan besar menggunakan strategi lain dengan meletakkan calon Umno bukannya calon MCA dalam usaha menarik seberapa ramai sokongan kaum Melayu," katanya lagi.

Beliau juga menambah, ada pihak yang cuba menangguk di air yang keruh dengan meniupkan sentimen kemarahan dalam kalangan rakyat.

Justeru katanya, penyokong Pakatan Rakyat tidak harus terpedaya dengan mainan Umno BN sebaliknya berusaha mempertahankan kemenangan di Dun Kajang.

"BN dalam rangka awal PRK ini cuba meniupkan sehabis mungkin sentimen marah rakyat terhadap perkembangan terbaru yang membawa PRK Kajang termasuklah memainkan sentimen marah sebahagian ahli dan pimpinan PAS.

"Kita tak nafikan kewajaran sikap bantah dan marah rakyat tetapi kita mesti segera sedar jangan sampai ia digunakan oleh musuh utama kita sebagai senjata bagi memenangkan dirinya.

"Umno BN mungkin cuba berlagak baik tapi saya percaya rakyat sudah tidak mudah ditipu oleh Umno BN ini dan jangan biarkan BN ambil kesempatan.

"Apapun keadaannya tanggungjawab mempertahankan Kajang dan seterusnya mendamaikan situasi politik dalaman Selangor adalah lebih utama.

"Janganlah kerana kebencian kita terhadap sesuatu menyebabkan kita hilang fokus lawan rejim yang nyata lebih jelas memusuhi rakyat apatah lagi dalam dasar-dasar terbarunya selepas PRU13," tegasnya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyatakan kesediaan PAS untuk membantu kempen PKR di Dun Kajang.

Kerusi Dun Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Adunnya, Lee Chin Cheh yang diisytiharkan oleh Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh Isnin lalu.

Sesiapa sahaja boleh jadi pengarah pilihan raya BN di Kajang

Tumpuan BN Selangor kini ialah untuk menguatkan jentera pilihan raya




PETALING JAYA: Umno Selangor akan bekerjasama dengan mana-mana individu yang dilantik oleh pimpinan pusat Barisan Nasional untuk memegang jawatan pengarah pilihan raya bagi pilihan raya kecil (PRK) di Kajang nanti.

Menurut Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor Datuk Shukor Idrus, Barisan Nasional (BN) peringkat negeri akan memperkuatkan barisan jentera pilihan raya mereka bagi menghadapi PRK tersebut.

“Terpulang pada pucuk pimpinan BN sebenarnya untuk memilih calon di peringkat negeri sendiri ataupun pimpinan pusat untuk jawatan pengarah pilihan raya nanti.

“Siapa juga yang dipilih nanti mesti mengetuai jentera pilihan raya kita. Apa yang penting, jentera pilihan raya mesti bekerja keras untuk mencapai kemenangan dalam PRK ini nanti,” katanya apabila dihubungi hari ini mengulas cadangan Ketua Umno Bahagian Hulu langat, Datuk Johan Abdul Aziz supaya dilantik sebagai Pengarah PRK Kajang.

Menurut beliau, sesiapa sahaja boleh memegang jawatan tersebut, namun mengakui kelebihan akan berpihak kepada pemimpin setempat yang lebih arif mengenai selok-belok kawasan tersebut.

“Bukan pengarah yang menentukan kemenangan dalam PRK nanti. Pengarah ini tugasnya ialah untuk menentukan dan mempengerusikan persidangan dalam menghadapi pilihan raya.

“Tetapi jentera yang memainkan peranan penting bagi menambat hati pengundi. Bagi saya, pemantapan jentera kita lebih penting,” tambahnya lagi.

Beliau turut menambah tidak mustahil pemimpin setempat dipilih menggalas jawatan tersebut tinggi lantaran pilihan raya nanti merupakan PRK.

Kerusi DUN Kajang kosong setelah penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada 27 Jan lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa mereka akan bermesyuarat pada 5 Feb nanti untuk memutuskan tarikh pencalonan calon dan tarikh pengundian.

Chin Cheh menang kerusi DUN Kajang setelah meraih 19, 571 menewaskan lima lagi calon, Lee Ban Seng (BN-MCA) yang menerima 12, 747 undi, diikuti Mohamad Ismail (Berjasa) 1,014 undi. Tiga lagi calon ialah calon bebas iaitu Mohd Iwan Jefrey Abdul Majib (249 undi), Ong Yan Foo (85 undi) dan Mohd Khalid Kassim (83 undi).

Setakat ini, hanya PKR sahaja telah mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Boikot PRK Kajang elak bebankan rakyat, kata Rizalman

BN tak perlu tanding kerana PRK itu bukannya mengisi kekosongan akibat wakil rakyatnya meninggal dunia.


PETALING JAYA: Bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Rizalman Abdullah mencadangkan supaya Barisan Nasional (BN) memboikot PRK Kajang.

Menurutnya, BN tak perlu tanding kerana PRK itu bukannya mengisi kekosongan akibat wakil rakyatnya meninggal dunia.

“Oleh itu saya bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa keputusan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan merupakan tindakan yang membebankan rakyat, “katanya kepada FMT mengulas kenyataan Najib semalam.

Malah, Perdana Menteri turut percaya pengosongan kerusi DUN tersebut semata-mata merupakan satu usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman serta kemelut yang agak serius sedang melanda parti berkenaan.

Dalam masa sama, Najib secara sinis menempelak saranan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali supaya beliau bertanding di Kajang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini bukan masalah saya, ini PKR punya masalah, saya tak ada apa-apa masalah dan masalah yang berhubung kait dengan pengosongan Dewan Undangan Negeri Kajang ini membabitkan PKR.

“Mesej saya jangan libatkan saya dalam isu ini kerana ia merupakan masalah dalaman PKR,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu di bangunan Perdana Putra di Putrajaya semalam.

Kerusi DUN Kajang kosong setelah Chin Cheh meletakkan jawatannya Isnin lalu.

Berikutan kekosongan tersebut, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Anwar sebagai calon yang akan mewakili pakatan pembangkang di kerusi itu.
Rizalman yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Tenom berkata siapa Azmin mahu mencabar Najib bertanding di PRK Kajang.

“Kalau Azmin berani, pada PRU ke 14, beliau lawan Najib di parlimen Pekan,” katanya.

Katanya, Najib bukannya macam Anwar yang tamak mahu tanding di dua kerusi.

“Dah menang di parlimen Permatang Pauh tak dapat jadi Perdana Menteri, mahu tanding di DUN Kajang pula mahu jadi Menteri Besar Selangor,” katanya lagi.

Beban rakyat, PRK Kajang dan kemelut politik


DETIK DAILY


Alhamdulillah, dalam iklim sejuk mula melanda Malaysia ketika ini kita semua masih terus diberi kesempatan untuk menikmati sebuah kehidupan yang walaupun sesak dan sarat dengan tekanan, namun apabila berada di landasan memperjuangkan agama Allah, pastinya kita akan berada dalam ketenangan.

Januari 2014 hampir berlalu, namun perasaan masuk ke tahun baharu masih lagi terasa kerana terasa dengan dambaan kenaikan harga barangan serta keperluan. Setidak-tidaknya, walaupun tarif tol tidak dinaikkan lagi, tetapi tarif elektrik sudah merantai poket rakyat.

Begitu pun dalam perit suasana rakyat mendepani kemelut ekonomi, kepanasan pentas politik masih tidak ada kesudahannya.

Daripada isu kalimah Allah yang diheret sejak sebelum pilihan raya dahulu hinggalah isu percakaran antara orang politik, tidak kira sesama parti mahupun antara parti.

Di Selangor, kemelut antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Pre siden KeADILan, Azmin Ali kini masuk ke fasa yang lebih rumit.

Malah suhu kerumitan ini semakin dirasai tatkala Selangor juga akan berdepan dengan Pilihan Raya Kecil Dun Kajang selepas penyandang, Lee Chin Cheh melepaskan jawatannya.

Maka dalam masa 60 hari, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan bila tarikh pilihan raya kecil Dun Kajang akan diadakan.Pastinya seluruh mata akan tertumpu kepada Kajang tatkala Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan dicalonkan mewakili KeADILan di sana.

Pelbagai persepsi mula timbul, ada yang menyifatkan ianya negatif tidak kurang yang positif bagi menyelesaikan kemelut Selangor selepas ini.

Namun, yang lebih memparahkan isu ini pastinya akan diganyang BN selumatnya untuk terus memecahbelahkan kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat khasnya Selangor menjadi medan tempur politik massa hari ini.

Bermula isu kalimah Allah, serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membawa kepada isu pertentangan antara Azmin dan Khalid, selain isu Syabas yang masih tidak selesai.

Kesemua isu ini pastinya akan dipropagandakan oleh BN untuk mencapai hasrat bagi menafikan kedudukan Pakatan Rakyat di Kajang khasnya dan mengurangkan penguasaan pakatan di Selangor.

Dalam suasana ekonomi yang tidak stabil, BN tidak akan memikirkan kesan sampingan apabila sekali lagi PRK ini me reka akan berbelanja besar untuk mendapatkan kemenangan.

Namun, yang bakal terus menjadi mangsa adalah rakyat yang terus menerus terpaksa menampung pemborosan pilihan raya BN melalui gula-gula PRK dengan kenaikan kos sara hidup.

Lembu gemuk, lembu kurus...



Oleh SHIRZAD LIFEBOAT


BERULANGKALI telah dibuktikan oleh ramai penyelidik betapa kitaran ‘turun-naik’ ekonomi termasuk kaitannya dengan Keluaran Dalam Negara Kasar dan Indeks Harga Borong Barangan (termasuk perkhidmatan) sebenarnya adalah merupakan fenomena semula jadi.

Pemerhatian sedemikian telah diterbitkan menerusi banyak buku antaranya ‘The Vast Vastness’ oleh penyelidik Richard Pasichnyk, ‘Trading Commodity Futures with Classical Chart Patterns’ oleh pengamal dagangan komoditi Amerika Syarikat, Peter Brandt, sekadar menamakan dua contoh.

Maknanya, walau apa sekalipun berlaku, trend ekonomi, pasaran dan sebagainya akan mematuhi carta tertentu. Begitu pun, tidak ada penjelasan (dan tidak mungkin ada penjelasan) mengapa ia menurut trend sebagaimana yang ditunjukkan oleh carta dan graf.

Jawapannya sudah tentulah hanya Allah yang mengetahuinya.

Walaupun pemerhatian tersebut di lakukan di negara-negara lain, ia tetap benar bagi trend ekonomi dunia atau trend mana-mana negara sekalipun.

Namun, bagi orang Islam, kita tak perlu taksub dengan penemuan statistik ini kerana kitaran tersebut sudahpun disebut dalam Quran: “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)...”Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya.” (Surah Yusuf: 48-49)

Justeru, jika ada pun satusatunya negara yang terkecuali dan terlepas daripada trend ini, setidak-tidaknya selepas tahun 1981, ialah tidak lain dan tidak bukan melainkan Malaysia.

Pada tahun itu, Dr Mahathir Mohamad yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri telah menyadur mimpi pejuang kulit hitam dan sivil Amerika Syarikat, “I Had A Dream”. Kononnya, antara lain Dr Mahathir mengimpikan sebuah negara yang makmur dengan rakyatnya dapat menikmati usia tua tanpa sebarang masalah. Namun, apa pun mimpi beliau tak sama dan mungkin tak seikhlas mimpi Dr Martin Luther King Jr, yang benarbenar mengabdikan dirinya bagi perjuangan rakyat kulit hitam negara tersebut.

Tentu sekali hari ini orang tidak lagi bercakap tentang mimpi Dr Mahathir yang diukir pada sebuah batu dan disimpan di Museum Negara (seolah-olah ia sebuah artifak bersejarah dan batu penanda kepada anjakan ekonomi Malaysia).

Lagi pun mimpi beliau setakat bena bangunan itu dan ini dan infrastruktur sahaja dan bukannya mimpi memakmurkan rakyat. Justeru, bermula tahun mimpi itu Dr Mahathir mengubah segalagalanya. Hari ini dasar penswastaan dan kontrak runding terus yang ditinggalkan sebagai warisan menguntungkan segelintir manusia tapi menjerut leher rakyat.

Jika tidak ada dasar ini, tidak adalah kenaikan kadar elektrik, air dan utiliti lain sewenangwenangnya dan semua projek mega atau tidak mega akan dianugerahkan secara adil dan saksama kepada mereka yang layak dan bukan diberikan kepada kroni yang baru seminggu mendaftarkan syarikat sendirian berhad dengan modal berbayar RM2.

Hari ini apa yang berlaku ke atas ekonomi rakyat Malaysia (bertentangan dengan mimpi tahun 1981 Dr Mahathir) adalah warisan daripada keputusan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri itu.

PM kini Najib Razak bukan sekadar menyambung tetapi mengambil segala kesempatan yang ada berdasarkan keputusan yang tidak sama sekali menguntungkan rakyat ini tetapi sebaliknya membebankan. Tak perlulah disebutkan lagi kenaikan dan hilang kawalan ke atas ekonomi rakyat, tetapi projek yang dianugerahkan menerusi cara runding-terus ini sudah mencapai taraf super-mega.
Semua ini memamah jauh ke dalam aliran wang tunai kerajaan dan meninggalkan impak cukup parah kepada rakyat Malaysia.

Apa yang berlaku sebenarnya mengenai tindakan dan keputusan ekonomi yang diambil oleh para Perdana Menteri Umno-BN bermula daripada Dr Mahathir sehingga Najib adalah mengaut keuntungan atau memperbaiki aliran wang tunai untuk negara dengan cara memeras wang rakyat.

Benar, kerajaan tidak perlu lagi membiayai kos modal untuk bekalan elektrik, air, telefon dan tak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk menyelenggara jalan dan lebuh raya utama.

Namun sementara kerajaan menyelamatkan dananya, yang terpaksa membiayai kesemua kos tersebut termasuk memastikan pemilik projek penswastaan terus kaya adalah rakyat daripada semua lapisan.

Inikah yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir dengan mimpi beliau sehingga apabila kebanyakan rakyat Malaysia yang muda ketika beliau dilantik menjadi Perdana Menteri tetapi kini sudah tua terus mengalami mimpi buruk dan ngeri di zaman Najib?

Benar, semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahunan melebihi 6.0 peratus setiap tahun untuk beberapa tahun berturut-turut.

Tetapi itu sebenarnya bukan kerana beliau atau Menteri Kewangannya pandai sangat tetapi disebabkan kitaran ekonomi yang disebut itu. Apabila kitaran ekonomi mengambil giliran menurun bermula tahun 1997/1998, angka pertumbuhan 6.0 peratus itu terus menjadi debu ditiup angin.

Hari ini keadaan ekonomi global menurut kitaran berkenaan bukan lagi berada pada titik terbawah tetapi sedang menaik.

Malangnya, di Malaysia roda ekonomi itu bukan sahaja tidak menaik tetapi terus menurun dan mungkin bakal tercabut dari paksinya.

Sepatutnya dalam ghairah bermimpi dan menentukan halatuju ekonomi Malaysia untuk tiga dekad akan datang dulu, Dr Mahathir turut mengambil kira tentang ‘tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering.”

Maknanya sewaktu kitaran ekonomi berpihak kepada negara, wang tersebut disimpan untuk dikembalikan kepada rakyat dan bukannya dibelanjakan untuk bina mercu tanda atau dibuang begitu sahaja untuk ‘menspekulasi’ bijih timah dan mata wang ringgit di pasaran antarabangsa.

Justeru, hari ini, sementara di negara lain lembu gemuk sudah kembali makan lembu kurus, kita rakyat Malaysia masih terus ditelan oleh lembu kurus.

PAS buat laporan polis bahang perselisihan antara agama menular ke Sabah, Sarawak

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Laman Facebook yang mencetuskan kontroversi.  




Laman Facebook yang mencetuskan kontroversi. Kelihatannya bahang berkenaan isu agama tidak terhad di Semenanjung sahaja malah ia kini telah merebak ke Sabah dan Sarawak

Hari ini, parti Islam PAS mengadu kepada pihak berkuasa terhadap Facebook yang merendah-rendahkan agama Kristian serta penduduk Sabah dan Sarawak.

Laporan terhadap “Semenanjung Malaysia Sabah dan Anti Sarawak” telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Karamunsing dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Hamid Ismail.

"Saya mengutuk sebarang tindakan menjatuhkan maruah mana-mana agama, bangsa atau negeri. Pemilik laman Facebook tertentu jelas cuba mengganggu dan memusnahkan keharmonian serta perpaduan yang selama ini dikongsi oleh rakyat Sabah.

"Tindakan tidak bertanggungjawab itu tidak seharusya dibiarkan begitu sahaja tanpa dihukum oleh kerajaan Sabah dan Malaysia," Hamid seorang peguam dipetik sebagai berkata kepada Malaysiakini.

Laporannya itu bukanlah yang pertama terhadap laman Facebook berkenaan, terdapat juga yang mengejek Kristian melalui gambar termasuk katak dipaku pada salib.

Tahun lepas, menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ewon Ebin membuat laporan polis menggesa tindakan terhadap pencipta laman yang telah diwujudkan pada 7 Ogos tahun lepas.

Ahli Parlimen Ranau itu kemudiannya berkata Sekuriti Siber Malaysia, agensi pakar di bawah kementeriannya telah mengenal pasti pemilik halaman.

Halaman itu kemudiannya tidak boleh diakses.

Bagaimanapun, portal berita tersebut mendedahkan bahawa laman tersebut telah ditubuhkan semula bulan lepas.

Sehingga jam 4 petang tadi, laman itu menerima 1,380 “like” dan menyenaraikan enam admin yang turut dipautkan dengan laman peribadi Facebook.

“Sabah dan Sarawak terkutuk”

"Semenanjung Malaysia tidak memerlukan Sabah dan Sarawak untuk 1Malaysia. Sabah dan Sarawak tidak berguna kerana rakyatnya tak ada otak, bodoh dan suka mengambil alih wilayah orang lain.

"Mereka memalukan Malaysia. Sabah dan Sarawak terkutuk," adalah antara isu kandungan yang tertulis dalam laman Facebook “Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak”.

Dalam catatan terkini, salah seorang admin menulis: "Belasah sahaja budak-budak Sabah dan Sarawak sampai mati, mereka tidak tahu tempat mereka dan berhak untuk dihina .

"Tidak ada gunanya berbaik dengan Sabah dan Sarawak. Mereka tidak akan mengucapkan terima kasih pun kepada anda," tulisnya dalam bahasa pasar.

"K *** k betol bah negeri SS."

Pada siaran 14 Januari, gambar seorang lelaki tanpa baju dipaparkan dengan kata-kata "mencabar" Kristian Sabah dan Sarawak untuk berlawan di Johor Baru.

"Bawalah polis kutuk kau dan Ranau MP. Saya akanbunuh mereka di JB. Jika anda tidak muncul, kau berhak dicencang dan diberi makan kepada babi," yang ditandatangani sebagai "Gengster KL".

Entri yang sama juga disiarkan di halaman disiasat oleh Keselamatan Siber.

Helikopter PUTD terhempas, empat anggota tentera selamat

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Sebuah helikopter Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) jenis Agusta A-109 LUH terhempas di sebuah kawasan hutan berhampiran Empangan Bekok, Segamat, Johor di antara jam 9 hingga 10 malam tadi, menurut sumber ketenteraan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, empat anggota tentera termasuk juruterbang dalam helikopter yang sedang melakukan latihan penerbangan itu selamat dan dihantar ke Hospital Daerah Kluang untuk rawatan.

"Helikopter itu sedang melaksanakan latihan penerbangan malam sebelum ia terhempas di hutan berhampiran Empangan Bekok di Segamat," katanya.

Katanya, pasukan penyelamat daripada PUTD yang digerakkan ke lokasi kejadian berjaya membawa keluar semua mangsa yang disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius sebelum dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, seorang daripada empat anggota tentera terbabit ialah seorang pegawai tentera asing berpangkat Lt Kolonel yang bertindak sebagai jurulatih penerbangan.

Difahamkan pegawai tentera asing itu berasal dari Perancis, manakala tiga yang lain ialah pegawai berpangkat Mejar, Kapten dan Sarjan.

Menurut sumber itu, impak daripada kemalangan itu menyebabkan ekor serta kipas helikopter itu putus dua serta tayarnya rosak teruk.

"Helikopter itu disifatkan sebagai 'total loss'," katanya.

Menurutnya, latihan penerbangan malam agak berisiko kerana juruterbang terpaksa bergantung kepada "Night Vision Goggle" serta instrumen penerbangan lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Din Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada tentera pada pagi ini mengenai kejadian itu.

Katanya, beliau dimaklumkan yang helikopter itu tidak terhempas tetapi membuat pendaratan cemas berikutan masalah penerbangan.

Beliau berkata, tiada kecederaan serius dilaporkan dialami mangsa yang terlibat. - Bernama

Najib patut dikekalkan hingga PRU14



Oleh MOHD ARIF JUHANI 


PERDANA Menteri, Dato’ Seri Najib Razak seperti ‘pekak badak’ kerana masih berlagak seperti tiada apa yang berlaku dalam negara ini. Daripada isu agama, bangsa, perkauman sehinggalah persoalan ekonomi, semuanya seperti tidak dipedulikannya.

Seperti yang disebut Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad, Najib umpama menggunakan “auto pilot” untuk menguruskan hal ehwal dalam negara atau dalam ketika lain, digunakan pengikut tidak berbayar untuk membuat huru-hara seperti siri demonstrasi yang dibuat sebelum ini

Bila ada bangsa Melayu yang membantah, pengikut Umno tuduh kononnya orang Melayu sudah menjadi alat bangsa Cina. Namun, apabila masyarakat Cina pula bangkit seperti isu kangkung yang dijadikan flash mob oleh Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon, dituduhnya itu satu penghinaan terhadap bangsa Melayu.

Akhirnya, kumpulan pelampau Umno inilah yang menggunakan tragedi terpencil 13 Mei sebagai senjata propaganda untuk memastikan kebobrokan Umno tidak diganggu gugat oleh sesiapa khususnya bangsa bukan Melayu.

Bukan satu rahsia lagi, ketika ini, banyak pihak mendesak supaya Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga bekas Menteri Penerangan, Dato’ Seri Zainuddin Maidin pernah mencadangkan supaya Mahathir dilantik semula dalam pentadbiran dengan jawatan Menteri Mentor – sebuah jawatan yang seolah-olah lebih tinggi daripada Perdana Menteri.

Dari Pakatan Rakyat sudah tentulah desakan supaya Najib meletakkan jawatan bukan hanya riuh sekarang tetapi sejak beberapa tahun sudah kerana Perdana Menteri mempunyai liabiliti yang terlalu besar dan banyak termasuklah didakwa terlibat dalam pembunuhan kejam model Monggolia, Altantuuyaa Shaariibuu.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula seperti sedang ‘tersenyum-senyum’ sambil mempersiapkan diri bagi ‘merampas’ jawatan idaman itu daripada Najib. Wataknya sekarang cuba ditunjukkan sebagai merakyat melalui siri pertemuan dengan rakyat bawahan. Pada masa yang sama, Muhyiddin juga kelihatan tidak membantu Najib menyelesaikan segala masalahnya, begitu juga isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sekarang Najib dibiarkan terkontangkanting berhadapan pelbagai isu dan akibat keceluparan sendiri mengharam jadah-kan peneroka Felda yang membantah penyenaraian FGVH. Najib terlepas cakap apabila menggunakan kangkung sebagai contoh dalam ucapannya, satu ‘kebodohan’ luar biasa yang tidak pernah terucap oleh Perdana Menteri Malaysia.

Strategi politik yang diambil oleh seteru dalaman Umno seperti itu mudah difahami dan selalu diulangi. Dalam Umno, siapa yang berpotensi naik sebagai pemimpin, itulah yang akan dipuja dan diampu manakala yang sudah tidak berjawatan, akan dibiarkan sendiri seperti yang diakui oleh Mahathir.

Tidak mustahil, jika benar Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau hanya perlu menggunakan modus operandi politik seperti yang digunakan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu memperalatkan kedudukannya sebagai anak ulama iaitu Allahyarham Tuan Guru Mohd Yassin Muhammad yang mengasaskan Madrasah Assadiah dan Sekolah Menengah Mohd Yassin; dan sebagai tambahan, isteri Muhyiddin pula bertudung manis – satu kelebihan yang digemari dan dinantikan dalam Umno.

Maknanya, dari satu segi, pengaruh undi orang Melayu sudah berjaya dirampas semula dan Muhyiddin hanya perlukan lebih masa untuk menguruskan soal pengundi Cina dan India.

Sebagai ingatan mudah, selepas pengaruh keturunan itu digunakan oleh Abdullah Ahmad Badawi ketika menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hasilnya, Umno-BN menang besar dengan majoriti dua pertiga dan PAS terus hilang pentadbiran di Terengganu.

Tetapi kita juga faham, kesedaran politik rakyat Malaysia ketika ini sudah semakin tinggi dan Umno sendiri tidaklah berada dalam keadaan yang selesa seperti dahulu.

Pada titik inilah seharusnya kita merenung dengan cermat dan prihatin. Soalan besarnya adalah apakah Pakatan Rakyat sudah mempunyai kekuatan cukup dan ampuh untuk menghadapi Umno bawah pimpinan Muhyiddin kelak? Adakah nasib bangsa Melayu dan agama Islam yang diperkotak-katikkan semasa pemerintahan Umno mampu dipulihkan kembali martabatnya?

Kita semua maklum, orang Melayu penuh dengan sifat simpati dan bertolak ansur. Dalam pada kita bertolak ansur, kita juga kena faham bahawa ada masanya, kita sedang ditolak secara beransuransur.
Kita bimbang, ini yang kurang disedari apabila kita ghairah berpolitik.

Politik Umno adalah politik simpati. Umno tidak perlukan pun sebuah gagasan yang besar pun untuk memastikan terus berkuasa tetapi cukuplah menjadikan simpati sebagai propaganda politik.

Seperti kata Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, selepas empat tahun membuat kerosakan, Umno hanya memerlukan enam bulan sahaja untuk ‘bertaubat’ hadapan pengundi Melayu dengan rayuan supaya rakyat Malaysia mengekalkan BN sebagai pemerintah.

Inilah cabaran besar kepada PAS khususnya untuk menawan minda bangsa Melayu-Islam.

Minda orang Melayu mesti dipacakkan dengan kefahaman bahawa Umno adalah makhluk yang tidak mungkin akan insaf selagi tidak ditumbangkan dan untuk memastikan ini boleh dilakukan, Najib mesti dibiarkan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU14.

“MCA jangan menghina, pengundi Kajang bukan sate”

KEADILAN DAILY

zuraida_kamaruddin
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin memberi amaran kepada parti komponen Barisan Nasional, MCA supaya tidak memperkecil dan menghina pengundi di DUN Kajang.

Dua pemimpin MCA sebelum ini Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong mempersoalkan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di PRK DUN Kajang.

Wee Ka Siong dilaporkan berkata mengapa Anwar sebagai pemimpin ‘bertaraf dunia’ bertanding di DUN Kajang yang hanya merupakan ‘pekan Sate’

Kata Zuraida, keputusan Anwar bertanding di DUN Kajang bukan sesuatu yang mudah, tetapi keperluan yang dibuat untuk kepentingan rakyat.

“Kajang mungkin terkenal dengan makanannya iaitu sate. Tetapi tidak boleh dipanggil ‘pekan sate’ atau ‘penduduk sate’.

“Sebagai pemimpin negara, Wee Ka Siong perlu sedar bahawa memanggil Kajang sebagai ‘pekan sate ‘ adalah benar-benar menghina dan merendahkan maruah penduduk Kajang,” kata Zuraida dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, penyokong Pakatan Rakyat tidak gentar berhadapan dengan calon yang dikemukakan, sama ada berlaku percanggahan yang akan mewajarkan MCA memberi laluan kepada Umno untuk bertanding.

Tegas Zuraida, KEADILAN sebagai parti berbilang kaum tidak wujud persoalan mengenai etnik calon.

“Jika Malaysia mahu menuju negara inklusif yang berbilang kaum, langkah pertama adalah keluar daripada pemikiran yang stereotaip terhadap sesebuah kaum dan penduduk,” katanya.

DUN Kajang mempunyai komposisi kaum iaitu Melayu (48.89%), Cina (40.8%) dan India (10%)
“Itu pemikiran sempit dan pandangan yang ketinggalan zaman

“Wanita KEADILAN percaya Liow Tiong Lai, Wee Ka Siong dan MCA tidak lagi relevan untuk bercakap bagi masyarakat Cina,” kata Zuraida.

Siaran langsung Forum ‘Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya’ 9 malam ini

KEADILAN DAILY

Kajang_ke_Putrajaya
KUALA LUMPUR : Forum ‘Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya’ akan diadalan di Kelab Bangsar Utama, Jalan Kemuja, Bangsar Utama, Kuala Lumpur jam 9 malam ini.

Forum ‘Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya’ membariskan panelis antaranya Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, penulis politik Hishamuddin Rais dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvam.

Forum anjuran Kelab Bangsar Utama (KBU) dikendalikan Pengarah Eksekutif Centre for Independent Journalism (CIJ), Masjaliza Hamzah.

Antara isu yang bakal disentuh dalam forum ini ialah rasional pengosongan kerusi N25 Dewan Undangan Negeri Kajang dan peletakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat di kerusi tersebut.

Forum ‘Anwar: Dari Kajang ke Putrajaya’ juga disiarkan secara langsung melalui Radio Bangsar Utama dan TV Selangor.

Tumbangkan BN, bukan mustahil!



Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF


Medan demokrasi meskipun boleh dikatakan amat terbatas di Malaysia dari sudut kefahaman dan amalan, namun begitu undang-undang yang ada amat jelas mengenainya. Saya berpandangan setiap pemain politik dalam negara mesti bersedia memanfaatkan setiap ruang dan peruntukan undang-undang yang ada demi kepentingan rakyat.
 
Mari kita perhati dan renung sejenak beberapa lakaran peristiwa sebaik 2014 membuka tirainya. Bermula dengan himpunan TURUN, seawal detik 12:00 tengah malam, 1 Januari lagi rakyat telah menyuarakan secara sungguh-sungguh peri keperitan kenaikan kos hidup yang dihadapi.

Suara rakyat dalam himpunan turun bukan saja sekadar untuk dirai oleh pimpinan Pakatan Rakyat. lebih dari itu ia perlu diraikan dan diberi perhatian oleh pimpinan Barisan Nasional.

Yang mengalami kenaikan kos hidup bukanlah rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat semata-mata. Bahkan ia dirasai oleh setiap jelata rakyat termasuklah penyokong tegar Barisan Nasional yang luar dan dalam jiwanya dikatakan biru.

Rupa-rupanya kita tak perlu tunggu lama. Belum pun habis bulan pertama 2014, Perdana Menteri secara terus memperakui benarnya himpunan turun dengan melancarkan program turunkan harga di pasaraya di ibu kota. Apakah maknanya ini? Saya fikir apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri tersebut tidak akan sekali-kali mampu menurunkan kos hidup yang mencekik leher rakyat kini.

Kenaikan kos hidup bukanlah sekadar dipengaruhi iklim ekonomi global atau seumpamanya. Yang paling jelas, kegagalan kerajaan Barisan Nasional mengatasi pelbagai ketirisan sebagaimana laporan Ketua Juru Audit Negara suatu yang mesti diperakui oleh setiap pimpinan politik.

Gagalnya pengurusan kerajaan Barisan Nasional bukanlah kegagalan Perdana Menteri seorang diri. Bahkan ia bukanlah salah isteri beliau yang dikatakan sering berbelanja mewah dengan sumber Negara.

Ia adalah tanggungjawab seluruh kabinet Malaysia. ia adalah tanggungjawab seluruh kepimpinan politik negara yang mesti berusaha mencari jalan keluar.

Tanggungjawab bersama “Collective responsibility” adalah suatu penegasan langsung dari Bab 3, Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43. Bersama-sama tanggungjawab bersama ini juga ialah faktor kepercayaan yang disebut “confident” terhadap kepimpinan Perdana Menteri.

Beberapa waktu lepas, Ahli Parlimen Pokok Sena ada menyebutkan tentang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang perlu dikemukakan oleh parlimen Malaysia. Bolehkah kalau setiap pimpinan politik negara melihat cadangan YB Mahfuz Omar ini bukan sebagai berkepentingan untuk Pakatan Rakyat semata-mata? Tidak salah untuk setiap pimpinan politik khususnya ahli-ahli parlimen melihat peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan undi tidak percaya adalah suatu peruntukan berkepentingan awam.

Sebagaimana hukum talak, undi tidak percaya di Parlimen boleh dijadikan sebagai antara penawar mujarab bagi membendung berlakunya salah urus tadbir negara daripada terus berlarutan. Apakah pula peranan sekalian pendokong dan penyokong Pakatan Rakyat?

Pilihan Raya Kecil PRK Kajang yang dirangka begitu stratigik adalah ruang terbaik untuk memacu ke arah itu. Sehabis dhaif pastikan kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRK Kajang dengan berlipat kali ganda. PRK Kajang adalah antara benteng maruah Pengerusi Perhubungan Negeri yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Sebagaimana diketahui umum, sistem pilihan raya di Malaysia cukup kritikal. Perlulah kita sedar meskipun Pakatan Rakyat mempunyai undi popular 52%, dengan sistem yang digubal perundangan yang sah pada masa kini, Pakatan Rakyat cukup sukar untuk menang dalam pilihan raya umum pada bila-bila masa.

Justeru tindakan yang cukup mantap dan agresif berlunaskan undang-undang mesti dirangka dan diteruskan. Jika setiap dari kita mengimpikan sebuah negara berdaulat yang benar-benar dapat dinikmati kemakmurannya oleh rakyat, kita sesungguhnya tiada banyak pilihan dan masa.

Gunung Kinabalu Dilitupi Fros




Lapisan fros meliputi tanah dan tumbuh-tumbuhan di Laban Rata di Gunung Kinabalu. Foto ihsan Mestianna Eil Inda


KOTA KINABALU: Suhu rendah yang luar biasa di Sabah menyebabkan lapisan fros meliputi tumbuh-tumbuhan di Gunung Kinabalu, terutamanya berhampiran Panar Laban dan Laban Rata pada ketinggian hanya lebih 3,000 meter.

Selain itu, suhu yang sejuk itu telah membekukan titisan air kabus yang meliputi gunung.

"Ia seperti kristal ais kecil di udara yang cair apabila ianya menyentuh kulit anda. Ia sesuatu yang ajaib," kata pemandu pelancong berpengalaman, Tham Yau Kong.

Pengembara dan kakitangan rumah rehat Laban Rata menyedari kewujudan fros dan kristal ais sejak tiga hingga empat hari lalu.

Tham, yang mengatakan dia telah mendaki gunung kira-kira 500 kali berkata, dia menyedari keadaan fros di puncak itu dianggarkan 20 kali.

"Ia bukan satu fenomena baru.

"Saya pasti fros itu disebabkan oleh suhu lebih sejuk daripada biasa kita alami di Sabah sejak dua minggu lalu," katanya pada Khamis.

PRK Kajang: Beberapa NGO Berhasrat Adakan Kempen Tentang PKR




PETALING JAYA: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Kajang pada Khamis menyuarakan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) dan berhasrat untuk mengadakan kempen menentang Ketua Pembangkang, Datuk seri Anwar Ibrahim.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, Pakatan Rakyat dan Anwar tidak membantu perniagaan kecil dan sederhana di Kajang ketika mereka memegang kuasa dan tidak layak mendapat undi mereka.

"Terdapat banyak kes banyak premis perniagaan kecil dimusnahkan tetapi mereka tidak berbuat apa-apa untuk membantu. Kami dan Umno yang bantu peniaga-peniaga ini," katanya.

Ridzuan menambah bahawa mereka hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan percaya ahli kaum Cina dalam parti tersebut dijadikan sebagai 'boneka' oleh Pakatan Rakyat.

Ridzuan turut mempersoalkan mengenai kesanggupan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Lee Chin Cheh untuk berundur bagi memberi laluan kepada Anwar.

"Kita mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat sama ada terdapat unsur rasuah berlaku dalam perkara ini," katanya.

Kenyataan Ikhlas itu disokong oleh anggota-anggota Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Pertubuhan Social Minda Prihatin dan Persatuan Veteran Tentera Malaysia.

Ifa Raziah Tidak Janji Berhijab Selepas Tunai Umrah

alt
 
RAKYATNEWS
 
 
Penyanyi dangdut, Ifa Raziah yang merancang untuk mengerjakan umrah pada bulan Mac nanti tidak dapat berjanji untuk mengenakan hijab selepas pulang menunaikan ibadah.
 
Penyanyi yang memiliki nama sebenar  Saripah Raziah Mustapha, 39, ini berkata, dia tidak mahu berjanji mengenai perkara tersebut kerana bimbang tidak dapat menunaikannya dan akan memberi persepsi buruk kepada dirinya.
 
"Perkara seperti itu perlu datang dari hati yang ikhlas dan saya sendiri tidak tahu adakah saya akan memakai tudung secara kekal selepas pulang nanti.
 
"Jika saya berjanji akan berbuat demikian tetapi gagal menunaikannya ia akan memberi kesan lain kepada saya nanti," jelasnya kepada sebuah portal.
 
Bercakap mengenai perancangan untuk mengerjakan umrah, Ifa berkata, dia dan suaminya,Mohd Yani Abdul Rahman kini sedang memilih pakej serta tarikh sesuai untuk ke sana.
 
Mereka berhajat untuk menunaikan umrah tahun ini setelah beberapa kali tertangguh niat suci itu.
 
"Sebelum ini sudah beberapa kali kami merancang untuk ke Mekah tetapi masih belum rezeki untuk ke sana dan Insya-Allah pada bulan Mac ini kami akan ke Tanah Suci.
 
"Buat masa ini kami sedang cari pakej sesuai dan masih belum menetapkan tarikh untuk berangkat. Harap-harap urusan kami dipermudahkan," katanya.
 
Ifa turut bertanya kepada rakan-rakan yang pernah mengerjakan ibadah itu sebagai panduan ketika berada di sana nanti.
 
"Selain itu saya juga banyak membaca buku panduan dan doa sebagai persediaan selebihnya banyak bertanya kepada rakan-rakan yang pernah ke sana tentang pengalaman mereka," katanya.

Tee Keat : Liow Calon Sesuai Bertanding PRK Kajang

alt

Syafiq Syazwan 


KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai calon untuk menandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang.

Bekas presiden parti Datuk Seri Ong Tee Kiat berkata, BN perlu meletakkan calon 'heavyweight' demi memastikan pertandingan tersebut ibarat buku bertemu ruas disamping mengukuhkan lagi pegangan Liow sebagai Pengerusi MCA Selangor.

"Saya menyeru Pengerusi Jawatankuasa (Pusat) Pilihan Raya Kecil Kajang Datuk Dr Wee Ka Siong untuk mencalonkan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai calon BN dan MCA di Kajang.

"Dalam perspektif kepentingan partisan, kemenangan beliau kepada Barisan Nasional Semestinya akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Pengerusi MCA Selangor dan menyelamatkan parti dari terus malu dengan tidak mempunyai wakil dalam Dewan Undangan Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenai perletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh yang disifatkannya sebagai pengkhianatan kepercayaan, Ong menjelaskan PRK Kajang juga akan menguji kepercayaan komuniti Cina kepada kepimpinan Liow yang baru dilantik sebagai Presiden MCA.

"Memandangkan kawasan Kajang diduduki 40.4 peratus pengundi Cina, keputusan pengundian akan menjadikan sebuah kajian terbaik untuk melihat sokongan kaum Cina kepada parti.

"Delegasi pusat parti yang mengundi pemimpin baru ini seharusnya mempunyai keyakinan penuh dengan kebolehannya untuk memenangi kerusi tersebut untuk parti," katanya lagi.

PRK Kajang : Peniaga Kecil Sedia Kempen Tolak Kerajaan Zalim

rakyatnews
 
Alif Mustapha 
 
 
KAJANG  - Para peniaga kecil terutamanya peniaga Bumiputera bersedia untuk berkempen bagi menolak pemerintahan zalim sebagaimana pemerintahan sebelum ini yang diperintah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
 
Wakil peniaga Ulu Langat - Serdang, Muhamad Hanapiah melahirkan rasa kecewa beliau dengan kezaliman PKR selaku kerajaan pemerintahan negeri itu yang menindas peniaga kecil.
 
"Kami kecewa dengan ADUN Kajang (Lee Chin Cheh) ini, masa roboh gerai kami, dia langsung tidak menjenguk kami. Semua yang diroboh itu adalah kawasan peniaga Melayu," katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) di Taman Mesra di sini hari ini.
 
Tambahnya, permohonan rayuan telah dibuat serta dihantar ke Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak dua bulan lepas namun masih belum menerima sebarang maklum balas.
 
rakyatnews
 
"Sekarang kita minta peniaga meneruskan perniagaan mereka. Ada dikalangan mereka yang sudah berniaga lebih 20 tahun. Sungguh menghairankan, gerai bangsa asing lain seperti tiada lesen tiada pula tindakan yang diambil, ini tidak adil," tegas beliau.
 
Sementara itu, peniaga di Sungai Jelok Norhayati Harun berkata beliau bersedia untuk bertegas dengan apa jua rintangan yang dihadapi demi mencari rezeki di bumi sendiri.
 
"Dulu kedai saya meriah, sekarang sudah jadi 'padang jarak padang terkukur'. Mereka (MPKj) tidak benarkan saya berjumpa dengan Yang DiPertua. Kami bertegas jika siapa-siapa nak datang roboh, saya akan tunggu disitu biarpun saya terpaksa mati di khemah itu," ujarnya dengan nada kesal.
 
rakyatnews
 
Pada 30 Oktober tahun lepas kira-kira 70 orang anggota MPKj bertindak merobohkan gerai para peniaga Melayu di Taman Mesra, atas alasan mereka (peniaga) berniaga dengan membina bumbung kekal dan menyediakan peralatan seperti kerusi dan meja.
 
Sehubungan itu Presiden IKHLAS Mohd Ridzuan  Abdullah berkata pertubuhan itu bersama perniaga akan menunjukkan video kezaliman MPKj menerusi arahan kerajaan negeri (PKR) ketika merobohkan gerai mereka sewaktu berkempen di N25 Dun Kajang kelak.
 
"Peniaga kecil jangan tertipu lagi dan termasuk peniaga Cina jangan jadi bodoh. Waktu kempen kita akan tunjuk video ini kepada peniaga kecil yang lain. Kami akan berkempen untuk menolak Pakatan Rakyat (PR). Cara mereka kendali (memerintah) macam komunis, pengganas, macam Yahudi cara mereka," katanya.

Pemuda Pas komited bantu calon PR


Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat


SHAH ALAM - Selepas beberapa kenyataan membidas peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh, hari ini Pemuda Pas menyatakan akan komited membantu rakan parti yang bertanding dalam PRK Dun Kajang.

Ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, walaupun peletakan jawatan Adun PKR itu tidak disokong, namun sokongan akan terus diberikan kepada calon PR bagi memastikan kemenangan berpihak kepada parti perikatan itu.

"Pemuda Pas tetap komited untuk membantu memenangkan calon PR.

"Mungkin kita tidak bersetuju pada perletakan jawatan, tapi kita juga tidak setuju jika kerusi itu terlepas dari genggaman PR," tulisnya dalam laman Facebooknya.

Terbaru, akhbar Sinar Harian melaporkan tindakan bekas Adun, Chin Cheh meletak jawatan terus mendapat pertikaian dalam kalangan Pemuda Pas.

Pemuda Pas melihat tindakan itu seperti mempermainkan amanah rakyat yang sebelum ini berusaha memastikan kemenangan beliau dalam PRU13, Mei tahun lalu.

Ketua Pemuda Pas Petaling Jaya Selatan, Aziz Mahaiyuddin berkata, Chin Cheh hanya memperlekehkan usaha dan kepercayaan rakyat kepadanya dan peletakan jawatan tanpa sebab munasabah dilihat mengetepikan matlamat PR memastikan kebajikan dan keadilan terhadap rakyat dilaksanakan sebaiknya.

“Selangor bukan ditadbir PKR saja, tetapi ditadbir bersama Pas dan DAP, sepatutnya keputusan meletak jawatan ini dibincang bersama, bukan keputusan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan juga berkata kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini adalah berbentuk teguran ekoran pembaziran akan berlaku melalui PRK.

"Kita tak cakap kita sokong calon yang diletakkan di PRK itu.

"Kita hanya komited atas semangat kerjasama dengan PR, kita sebelum ini juga hanya tegur pemimpin itu kerana telah mempermainkan rakyat, rakyat telah pilih, tapi dia letak jawatan.

"Sepatutnya tak perlu letak jawatan begitu," katanya kepada Sinar Harian Online.

PAS buat laporan dakwa facebook anti Kristian



MALAYSIAKINI


Ketika ketegangan agama meningkat di negara ini, PAS Sabah hari ini membuat aduan polis dan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap laman Facebook yang didakwa menghina agama Kristian dan rakyat Sabah dan Sarawak.


Laporan terhadap 'Semenanjung Malaysia Anti Sabah dan Sarawak' itu
dibuat di ibupejabat polis Karamunsing dan di SKMM oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Hamid Ismail (kiri).

Katanya, beliau mengutuk sebarang tindakan menjatuhkan maruah agama, bangsa dan negeri sesiapa pun.

Pemilik facebook tersebut, tambahnya, jelas cuba untuk mengganggu dan memusnahkan keharmonian serta perpaduan yang telah sekian lama dikongsi oleh rakyat Sabah.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu, tambahnya, tidak harus dibiar begitu sahaja tanpa sebarang tindakan oleh kerajaan Sabah dan Malaysia.

Laporan Hamid itu bukan yang pertama dibuat terhadap laman Facebook tersebut, yang antara lain, mengejek penganut Kristian melalui gambar, termasuk memaku katak di salib.

Ogos lalu, parti komponen BN Sabah, Upko dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ewon Ebin membuat laporan polis menggesa tindakan diambil terhadap pencipta halaman tersebut, yang diwujudkan pada 7 Ogos 2013.

Yang menariknya, Ewon yang juga ahli Parlimen Ranau, kemudian berkata Cyber ​​Security Malaysia, sebuah agensi pakar di bawah kementeriannya, telah mengenal pasti pemilik laman tersebut. Laman itu kemudiannya tidak boleh diakses.

Bagaimanapun, semakan hari ini menunjukkan laman tersebut telah diwujudkan semula pada Disember 2013.

Pada jam 4 petang tadi, laman itu mempunyai 1,380 'likes' dan menyenaraikan enam 'administrators', yang mana laman facebook peribadi mereka dipautkan ke laman tersebut.

Pemuda PAS sokong beri peluang kepada anak negeri

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sarawak secara dasarnya bersetuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Tanah, Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing supaya peluang lebih luas diberikan kepada anak negeri itu oleh Petronas untuk mengisi jawatan-jawatan pengurusan dan teknikal.

“Anak-anak Sarawak sudah terbukti mempunyai kepakaran dan kemahiran yang setanding jika tidak lebih baik untuk mengisi jawatan-jawatan utama dalam industri minyak dan gas,” ujar Naib Ketuanya, Syamsul Bahri Mohd dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, khazanah bumi Sarawak ini lebih utama untuk diuruskan oleh anak Sarawak sendiri dengan bantuan dan sokongan pakar-pakar tempatan dari seluruh negara.

Namun, ujar beliau Pemuda PAS Sarawak ingin menyeru pihak kerajaan negeri supaya tidak hanya menyerahkan tanggungjawab membina kepakaran anak Sarawak kepada Petronas dan industri minyak dan gas semata-mata.

Tmabahnya, pihak kerajaan negeri hendaklah merintis dan ‘walk the talk’ dengan membuka peluang lebih luas kepada anak Sarawak dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Sebagai contoh, kata beliau Sarawak Energy kini diterajui oleh Torstein Dale Sjotveit sementara syarikat gergasi dalam bidang pembangunan hartanah, Cahaya Mata Sarawak pula diterajui oleh Richard Curtis.

“Sudah tiadakah anak Sarawak berkelayakan untuk menerajui kedua-dua syarikat gergasi di Sarawak ini?” tanya beliau.

Pemuda PAS Sarawak melihat kenyataan Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing ini hanyalah kenyataan populis dan tidak bersungguh-sungguh.

“Buktikan dahulu dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, dan janganlah hanya mudah melepaskan tanggungjawab ini kepada pihak lain, tanpa memulakan langkah ke arahnya sendiri,” katanya.

Pihak kerajaan juga, ujar beliau lagi perlu merancang ke arah melahirkan lebih ramai tenaga mahir daripada kalangan anak Sarawak.

Namun, katanya mengecewakan apabila tiada peruntukan khas untuk pembangunan belia terutama dari aspek pencapaian akademik, pembangunan sosial dan latihan kemahiran.

Jeli tetap dibangun biar pun kubu Umno

ASLANI M 


JELI: Biarpun Umno mendominasi kawasan parlimen ini sejak 2004, namun ia tidak menghalang usaha kerajaan negeri membangunkan Jeli setanding jajahan lain di Kelantan.

Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sehingga kini membangunkan tiga kawasan perumahan di bandar Jeli termasuk projek rumah kos rendah.

Taman Kifayah Binaraya PKINK ternyata membuatkan Jeli semakin deras membangun. Biar pun kedudukan Jeli agak di pedalaman, namun pertumbuhan penduduk semakin pesat, di mana permintaan projek perumahan bertambah.

Bandar Jeli yang agak sunyi sebelum ini sekarang semakin meriah. Kesibukannya makin terasa seperti juga bandar-bandar lain di Kelantan.

Malah bangunan-bangunan baru dibina Majlis Daerah Jeli (MDJ), pihak swasta dan Mara semakin bertambah.  Tenaga Nasional Bhd (TNB) juga mempunyai resort yang turut menjadi tumpuan orang ramai.

Terbaru kerajaan negeri membina pejabat MDJ bernilai RM2.5 juta terletak bersebelahan Padang Kemahkotaan. Bangunan baru itu dibina Kelkon Sdn Bhd, anak syarikat PKINK dengan usahasama MDJ.

Yang Dipertua MDJ, Abdul Manan Ali berkata, projek tersebut diletak batu asas pada 9 November 2009 oleh bekas Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“MDJ mengalu-alukan hubungan kerjasama dengan mana-mana pihak bagi memberi impak pembangunan kepada rakyat di Jeli.

“Sekarang Jeli bandar sudah dianggap setanding dengan  bandar-bandar lain, di mana bangunan-bangunan baru semakin banyak dibina,” katanya pada program penyerahan bangunan baru MDJ yang disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di sini, hari ini.

Pada majlis itu Pengerusi Kelkon, Wan Ismail Wan Jusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah menyerahkan gambar pejabat baru MDJ kepada Menteri Besar sebagai gimik perasmian.

Pada majlis itu juga  mangsa-mangsa banjir di enam mukim di Jeli pada awal Januari lalu menerima sumbangan daripada kerajaan negeri. Penduduk miskin dan warga emas juga menerima sumbangan yang turut disumbang Majlis Jaksa Pendamai Kelantan.

Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.

Abdul  Manan juga berkata, MDJ merancang meluaskan lagi kawasan pentadbirannya bagi membolehkan lebih banyak lagi hasil dapat dipungut.

Menteri Besar pula memberitahu kerajaan negeri membeku sementara permohonan hak milik tanah di jajahan Jeli bagi membolehkan pensrukturan semula dilakukan.

“Ini bagi mengelakkan seseorang pemohon memiliki sehingga berpuluh ekar tanah, sedangkan orang lain dapat sedikit. Pembekuan sementara ini bagi membolehkan kelulusan permohonan tanah diberi secara lebih adil dan telus,” ujarnya.

Sebelum itu Menteri Besar dan anggota-anggota Exco mendengar taklimat mengenai pembangunan jajahan Jeli di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli. 

Tempoh tahanan reman Azizul dilanjutkan

MOHD FAIZAL HASSAN 


STOCKHOLM: Pihak pendakwaan memperoleh perintah Mahkamah Daerah Solna hari ini bagi melanjutkan tahanan reman Azizul Raheem Awalludin selama 11 hari lagi sehingga 10 Feb ini bagi membantu siasatan dakwaan memukul tangan anak lelakinya.

Mahkamah itu mengeluarkan perintah berkenaan bagi membolehkan pihak pendakwaan yang diwakili Anna Arnelle, terus menyiasat kes itu.

Difahamkan mahkamah sama akan bersidang esok bagi memutuskan penahanan reman isteri Azizul, Shalwati Norshal, seorang guru yang bercuti tanpa gaji.

Prosiding selama sejam itu dijalankan dalam bahasa Sweden dan diterjemah ke bahasa Inggeris untuk Azizul, pegawai Tourism Malaysia di Sweden,  dan peguamnya, Jonas Tamm.

Anggota keluarga pasangan itu dari Malaysia dan seorang pegawai Tourism Malaysia turut hadir di mahkamah.
  
Azizul dan Shalwati direman sejak 18 Dis lepas dan penahanan mereka sudah dilanjutkan sebanyak tiga kali.

Tiada had penahanan reman di Sweden.

Berikutan penahanan itu, anak mereka telah terpisah daripada mereka selama 42 hari.
  
Kesemua anak pasangan itu, yang berusia antara sembilan dan 14 tahun, dijaga oleh sebuah keluarga bukan Islam yang dilantik pihak berkuasa Sweden.

Bagaimanapun, kesemua kanak-kanak berkenaan menyatakan mereka tidak gembira dengan keadaan itu.
 
Kedutaan Malaysia di Sweden kini dalam proses memindahkan mereka untuk dijaga keluarga Islam. - Bernama