Ahad, 29 September 2019

Cari Dalang Rusuhan

 
 


1) Cari pembunuh Adib, bukan cari dalang pembunuh Adib. Kalau cari dalang pembunuh memang tak akan jumpa lah. Adib terbunuh dek amarah dan emosi yang tidak terkawal dalam rusuhan yang diapi-apikan. Tak ada dalang yang suruh bunuh Adib.

2) Jika nak cari dalang, carilah dalang yang mencetuskan rusuhan. Pembunuh mesti diburu sampai dapat. Dalang yang mencetuskan rusuhan juga mesti diheret ke muka pengadilan.

3) Kita semua berterima kasih kepada saudara R Naresh. Dia adalah saksi yang menjelaskan perkara sebenar sehingga kemenangan dipihak Adib. Tak ada sesiapa pun yang sebar perkauman.

4) Setakat suruh Waytha dan Tommy Thomas letak jawatan tu bukanlah rasis atau perkauman. Contohilah Naresh, bukan Waytha ataupun Tommy. Jika ada peluang, Naresh boleh dilantik menggantikan Waytha sebagai Menteri Perpaduan.

Keterangan saksi awam di lokasi rungkai insiden timpa Adib

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Keterangan saksi awam yang berada pada malam kejadian rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas adalah antara yang dilihat diambil kira oleh Mahkamah Koroner di sini dalam merungkai kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Antara saksi yang berada di tempat kejadian itu adalah bekas anggota tentera Mohd Hafisan Nordin, 33, anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) R. Narresh, 30, dan pekerja kontraktor S.Sures, 33.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusannya berkata saksi ke-10, Mohd Hafisan Nordin, 33, yang merupakan pemandu kenderaan Mistubishi Storm yang berada di kawasan rusuhan itu secara tidak sengaja, memberitahu mahkamah bahawa beliau mahu membuat ‘pusingan u’ selepas melihat sekumpulan individu berada di kawasan itu.

Katanya, saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau diberitahu oleh seorang wanita yang berjalan dari arah kuil itu: “Adik, adik jangan masuk, nanti kena pukul.

“Apabila seseorang berniat baik melarang seseorang lain daripada melakukan sesuatu kerana takut akan ditimpa sesuatu musibah, ia adalah terbit daripada pengalaman atau pengetahuan orang yang mengalami sesuatu.

“Justeru, boleh dirumuskan bahawa larangan yang dilakukan wanita itu kepada Mohd Hafisan mungkin kerana dia melihat atau ada pengetahuan bahawa seseorang telah dipukul di kawasan berkenaan.

“Maka, kesimpulan ini, amat selamat untuk diambil kira dengan keterangan saksi-saksi lain yang berada di lokasi kejadian iaitu Sures dan Naresh,” kata koroner itu.

Beliau berkata Sures yang merupakan saksi kelapan melihat aksi-aksi gerakan seperti memukul, menendang dan memijak sesuatu subjek yang dikerumuni oleh sekumpulan lelaki kira-kira 20 hingga 30 orang.

“Apabila Sures mendekati dan masuk ke dalam kumpulan itu untuk melihat subjek berkenaan, beliau mendapati subjek yang dikerumuni sekumpulan lelaki itu adalah arwah Muhammad Adib yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Sures juga ditolak dan terjatuh ke arah mangsa dalam posisi depan badan melindungi sebahagian dada arwah. Tatkala, satu sepakan juga telah hinggap ke arah beliau. Sepakan itu telah jelas menunjukkan ia ditujukkan ke arah mangsa, yang tersasar ke arah bahagian dada mangsa tetapi ia kebetulannya tersasar ke arah saksi,” kata beliau.

Rofiah berkata Sures juga memberitahu mahkamah bahawa beliau ada mendengar perkataan ‘jangan pukul, anggota bomba pun nak pukul ke” yang diberitahu dalam Bahasa Tamil.

Ketika menjelaskan keterangan yang diberikan pembantu pegawai pembedahan Institut Jantung Negara (IJN) Mohammad Ashraf Baruji, Rofiah berkata saksi ke-16 itu yang menjaga arwah sejak beliau dimasukkan ke IJN mempunyai perhubungan jiwa iaitu ‘bonding’ di mana arwah sendiri memberitahu bahawa dia ditarik dan dipukul dalam rusuhan itu.

Selain itu, katanya arwah sendiri telah memaklumkan kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, 39, bahawa beliau ditarik keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dipukul.

“Oleh itu, mahkamah merumuskan bahawa kematian arwah Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah, yang dilakukan oleh dua atau lebih tiga individu yang tidak dikenali,” katanya.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Feb lepas.—Bernama 

Isu sindiket MyKad: Zahid Hamidi wajar disiasat

DENYUT REFORMASI

 

Kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan pantas dan tangkas dalam membanteras sindiket penjualan kad pengenalan (MyKad) kepada warga asing seperti yang dilaporkan media baru-baru ini. 
Setakat ini enam individu telah dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai tuduhan. 

Namun yang menjadi persoalan; sejak bila sindiket ini mula wujud dan mengapa tindakan hanya diambil setelah kerajaan PH mengambil alih Putrajaya.

Hakikat yang tidak boleh ditolak adalah sindiket ini berleluasa semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Justeru itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam kenyataannya baru-baru ini, tampil menggesa agar Zahid Hamidi disiasat kerana beliau adalah Menteri Dalam Negeri era BN yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). 

Kasthuri turut mengajak Ketua Pemuda UMNO, Asraf Wajdi Dusuki — yang dilihat begitu ‘lantang’ menyuarakan mengenai isu sindiket Mykad — agar turut serta menggesa supaya polis menyiasat Zahid Hamidi. 

“Asraf dan rakan-rakannya yang sepemikiran dengannya mempunyai peluang untuk mencurahkan bakti buat Malaysia jika mereka boleh mula dengan mengutuk tindakan keji pegawai JPN dan sesetengah kakitangan Jabatan Imigresen yang telah mengkhianati negara dan menggesa Presiden UMNO, Zahid Hamidi supaya disiasat selaku Menteri Dalam Negeri di bawah era BN, kerana sindiket ini telah beroperasi semasa rejim BN,” tegasnya

Pembatalan mesyuarat agung iktibar buat Amanah: Mohamad Sabu

DENYUT REFORMASI



KUALA LUMPUR - Mesyuarat agung tahunan sebahagian kawasan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dibatalkan dan perlu diadakan semula wajib menjadi iktibar seluruh jentera pentadbiran parti agar tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kelemahan itu diakui sendiri setiausaha agung dan pasukan sekretariat parti apabila mereka sedang bertungkus-lumus menyelamatkan parti yang baru menyambut ulang tahun keempat pada 16 September lalu.

Menurutnya, perkara sama pernah menimpa UMNO sehingga diharamkan mahkamah, selain DAP pada tahun 2013 iaitu 48 jam sebelum penamaan calon sehingga hampir-hampir menggunakan simbol Pas untuk bertanding Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

"Amanah mengalu-alukan ketegasan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan mengakui kelemahan di pihak kita.

"Pada masa sama, Amanah sedang giat membaiki kelemahan berlaku dengan ketika ini sedang rancak berlangsungnya mesyuarat semula Amanah di semua peringkat berkaitan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad berkata, pihaknya turut meminta seluruh ahli Amanah agar terus berusaha dan mematuhi segala arahan terbaharu dikeluarkan sekretariat parti bagi memastikan kelangsungan parti terus selamat.

Menurutnya, pihaknya mengakui Amanah menerima penyertaan ahli baharu yang ramai sehingga banyak cawangan tumbuh di seluruh negara.

"Namun begitu, pengurusan parti di semua peringkat jua perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

"Jangan kita beralasan seperti Pak Pandir bahawa 'bukan anak kita sahaja yang mati, anak orang lain pun mati juga' dengan mengatakan bukan Amanah sahaja ditimpa kesilapan tetapi juga parti besar lain," katanya.

Mohamad berkata, adalah lebih penting Amanah mengambil iktibar dan berazam memperbaiki keadaan khususnya dalam bidang pentadbiran dan pengurusan organisasi agar parti itu terus menjadi sebuah parti kemas dan teratur dalam urusan organisasi.

PRK Tanjung Piai: Pas anggap BN lebih berhak

DENYUT REFORMASI

 
 
KOTA BHARU - Pas membuat bayangan awal akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pas lebih selesa memberi keutamaan kepada BN memandangkan kerusi tersebut disandang BN sebelum ini.

Bagaimanapun, keputusan masih belum diputuskan memandangkan masih tiada perbincangan dilakukan kedua-dua pihak.

"Kerusi itu milik BN sebelum ini, jadi keutamaannya kita berikan kepada BN. Jika calon BN dari MCA pun, kita akan terima dan sokong apa yang dipilih dan dipersetujui mereka," katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, jika dilihat melalui penilaian atas kertas untuk PRK sebelum ini, sekiranya undi Pas dan UMNO dicampur, maka mereka berpotensi untuk menang.

Beliau berkata, walaupun undi Pas tidak besar, namun sekurang-kurangnya ia dapat membantu rakannya BN untuk menguasai kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Tanjung Piai, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia Sabtu lalu akibat serangan jantung.

Sementara itu, ditanya keyakinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan akan memegang jawatan Perdana Menteri tahun depan, Mohd Amar berkata, beliau lebih berminat untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Kita tunggulah, nak buat macam mana. Kalau ada rezeki, jadi..,kalau tiada rezeki, tiadalah sebab semua ketentuan tuhan belaka, manusia hanya merancang," katanya. 
 
 

Al-Fatihah, terima kasih ustaz. Kami rindukan ustaz

Oleh Helmi Khalid



Terus terang saya tidak gemar untuk melalui tanggal 26 September.Pertamanya kerana ia adalah tarikh kita kehilangan insan bernama Azizan Abdul Razak buat selama-lamanya pada 2013 lalu.

Keduanya akan ramai yg mahu saya dan rakan2 lain berkongsi kisah sepanjang bersama arwah.
Saya, Muhammad Sanusi Md Nor, Shahrel Elham dan yg lainnya semahunya kami ingin kongsikan.

 Tetapi kdg masa yg terbatas dan kesukaran kami menahan sebak mengimbau semua itu.
Sebelum dpt ‘rentak’, saya kongsikan dahulu coretan setahun yg lalu.

Ustaz....kami rindu pd ustaz

(Lima tahun pemergian Ustaz Azizan) - 2018

Subuh 25 Sept saya menerima panggilan telefon drpd isteri beritahu anak Cikgu Puji ( pemilik kedai nasik arab puji) Iman, telah pergi buat selamanya.

Teresak-esak isteri menangis, arwah Iman, Cikgu Puji, isteri dan anak2nya sudah seperti keluarga kami sendiri.

Anak sulong yg menjadi rakan baik arwah Iman bergegas pulang dr KL ke Alor Setar, saya tahu dia pasti balik, mereka cukup rapat.

Belum kering benar air mata mengenang baik jasa Cikgu Puji sekeluarga pd keluarga kami, berita pemergian Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Md Rejab pula menyusul.

Allahuakbar, ingatan beralih kepada arwah Ustaz Md Rejab. Semua kenal dia tegas, bibir sentiasa lontarkan ilmu agama saban hari dan waktu.

Pernah selepas satu kuliah subuh, arwah ajak saya minum, katanya "ana dpt maklum anta dlm susah, ana nk bantu anta."

Saya luahkan segalanya pd arwah, tenang arwah mendengar dan nasihatkan agar saya tenang dan bnyk berdoa.

Bertalu message masuk khabarkan pemergian Ust Md Rejab, tak kurang yg ingatkan saya esok ( hari ini 26/9, genap 5 tahun pemergian arwah Ust Azizan Abdul Razak). Ada yg minta saya tuliskan sikit tentang arwah.

Bagaimana saya mahu menulis, saya masih bersedih hilang dua orang yang rapat dlm hidup saya, Iman dan Ust Md Rejab.

Seolah tak tahu apa yg nk saya mulakan. Dengan arwah Ustaz Azizan terlalu bnyk kisah.

Org tahu dia garang, tegas. Siapa tak pernah kena marah dengan Ustaz Azizan bohonglah.

Sebelum dia jadi MB Kedah, saya antara tukang teman arwah selepas Isyak hingga tengah malam di bangunan PAS Kedah di Jalan Kota, Alor Setar.

"Mie hang mai sat, hang ada duit dak, beli sat kat aku.....sat lagi aku ganti balik duit hang"
Pak Chop Husin, Wan, Azri tahu lah apa yg selalu Ustaz suruh saya beli.

Bila jumpa sedia maklumlah ustaz dengan uniform rasmi dia, baju pagoda dengan kain pelikat, rambut kembang ke tepi.

"Hang tlg tgk sat Tok Guru Haji Hadi mintak aku tulih sikit pasai Penyakit Umat Islam."
"Ada hat tak kena hang habaq aku nk pebetoi"

Waktu mood dia tgh elok sapa pun berani melawak, saya kata amboi tak kan saya nk pebetoi, saya bukan reti.

Tu lah hampa, mengaji hampa tak mau, ilmu bkn nak rugi...dia mula dah, hbs segala zaman dia mengaji naik gerek di Yan sampai masuk Maktab Mahmud dia akan ungkit.

Kdg lajak sampai dia mengaji Mesir, main tenis, kerja KFC di London, sambil belajaq anak dok kelitin bawah meja...tu susah aku mengaji....aku dulu ambik Law di University Kentsssss.

Sebutan 'S' ustaz Azizan selalunya akan lebih.

Sambil ajak duduk di biliknya, ustaz hulur setambun kertas A4.

Kertas putih bergaris biru muda terkandung tulisan tangan ustaz dengan pen dakwat merah.
"Hang tgk sat ayat bg betoi, aku nk mintak Azri tlg taip balik bahasa Arab esok, tak balik dah kita malam ni" - dalam hati saya kata menyesal dah aku malam ni.

Perkara yang sama berlaku lagi hampir setiap kali sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar ustaz Azizan.

Kali ini tidak lagi di Jalan Kota tetapi di rumahnya di Jalan Sultanah.
Uniform masih sama, baju pagoda dengan kain pelikat. Ustaz teliti sepatah demi sepatah ayat ucapan yang saya sediakan.

Jumpa pukul 9 malam keluar rumah dia pukul 2 pagi itu dah biasa.

"Tu esok kita jumpa hang pebetoi elok2, hang jgn bg silap, org nk dengaq kita berucap, hg hbq kat Syahril mai awai, kat Mie Yahya aku habaq dah dia kena mai awai tgk apa yg patut....

Waktu2 mcm ni kita jangan jampuk, kalau jampuk nanti ada benda baru ustaz nak pesan, baik kata YA sahaja.

Ustaz cukup teliti dan cukup kerap bagi kata-kata pesanan.

PAS menang di Kedah 8 Mac 2008, saya mula bertugas 13 Mac.

Selepas sembang itu ini, satu pesan yang saya ingat sampai sekarang dan In Shaa Allah sampai bila-bila.

Kata Ustaz, kalau nak kerja, nak bantu dia, nak bantu rakyat kerja lah elok-elok.

Tapi kalau niat nak kerja utk jd kaya, kenai tokey2 besar, nak makan rasuah, nak khianat amanah dan rakyat baik berhenti hari pertama tu saja.

"Sebab esok aku tak perlu pikiaq dah pasai hang" - tajam buah Ustaz Azizan.

Itu hari pertama kerja. Pesan dan bertanya khabar sepjg 5 tahun bertugas tak pernah lekang dari mulut ustaz.

Kebajikannya banyak, tetapi dia memesan keras dari kami hebohkan.

Beristeri dua dan beranak 16, sibuk mcm mana sekalipun dia berselang seli harinya antara rumah keduanya tanpa gagal.

Hari cuti kalau nk blk ke Sungai Limau dia tak pernah naik kereta kerajaan, malah pernah dia naik kereta satria pengawal peribadinya, Syahril. Dia dok sebelah, Syahril bawa kereta.

Tak pernah ada perbualan utk kayakan dirinya. Tiap soalan mesti pasal kebajikan rakyat.

Makan maggi bersama kami bila smpai di rumah sewa di KL itu satu kemestian.

Kdg di KL dia yg masak utk kami, masak cukup cermat, elok kita tgk sj drpd tlg sbb kalau silap potong tomato atau timun dia ungkit sebulan.

"Bukan laguuu tuuuu, tak blh buat lagu tuuuu" - ayat wajib ustaz, punch line lah kot kalau bahasa anak2 gen y.

Itu lah ayat hiburan kami ketika itu malah bila kami berjumpa atau berwassap ayat itu masih kami kenang sampai hari ini.

Kalau di KL, dia buat kami mcm 'budak2'

Nak menguit (bergerak) sikit pun dia akan tanya. Tambah2 kalau kita spray perfume.

Bau ja dia akan tanya, "Aiiii wangi2 hampa nak p mana?"

Kdg nk lah jgk merasa beli baju di KL, kalau dia tanya harga kami tak akan bgtau harga yg betul.

Kalau sebut harga lebih dr RM25, dia akan kata..."haissssshhhh, mahai, hampa balik beli di Simpang Empat Kangkong, aku selalu beli situ, Kedai Timor, baju Orlando original 19 ringgit sj"

Rupanya baju tu brand Ormlando, bkn Orlando.

Hidupnya cukup sederhana, ada anaknya tidak ada kerja yg tetapi ketika ayah mereka jadi MB.

"Anak aku mesti marah aku, pak dia jd Menteri Besaq, tp dia tak dak kerja", kdg ustaz sebut mcm tu.

Saya kata, tu waktu ustaz masih ada, kalau nanti ustaz dah tak jd MB, dah tak dak, dunia akan kata ustaz tak guna kedudukan, tak ambik kesempatan sumbat anak guna kabel utk dpt kerja.

Lima tahun terlalu banyak utk nak di ceritakan, 5 Mei 2013, kita tempuh PRU 13.

Ustaz agak uzur, tp masih tetap penuhi jadual undangan apatah lg itu ketika kempen PRU.

Minggu akhir sblm PRU, ustaz bnyk jumpa pimpinan PAS secara peribadi, kebanyakan dia ajak saya teman.

Ada juga dia tanya, hampa semua dah kemas ka brg di pejabat, kalau menang Alhamdulillah, kalau kalah pun kita terima, kata Ustaz.

Hari mengundi, ustaz nampak letih sangat, lepas mengundi saya jumpa ustaz di Sungai Limau.

Lepas tanya perkembangan suasana tempat mengundi, dia mula berbicara.

Di atas kerusi rotan usang di ruang tamu dia minta saya tolak sikit tv yang diletak atas sebuah kerusi plastik kedai makan.

"Aku letih sgt hari ni mie, aku nak rehat sat, ada apa lg dak hari ni, hang ada janji dgn sapa2 lg ka? Kata ustaz.

Saya tanya ustaz dah mengundi atau belum, kalau belum jom kita jumpa wartawan sat, ramai nk jumpa ustaz, kita jumpa di Bukit Besar lah ustaz, ustaz mengundi situ blh terus jumpa wartawan.

Balas ustaz, depa mau lg ka jumpa aku, nak buat apa dah, lepaih ni bukan ada sgt dh cerita pasai aku.

Bukan sehari kami dgn ustaz, itu 'bukan' ustaz, ustaz dh tak cengei (garang) ustaz dah tak melawak mcm selalu, itu 'bukan' ustaz Azizan.

Malam menunggu keputusan ustaz banyak berhubung melalui hp, saya kata saya tggu ustaz di Batu 9 (Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut)

Hingga jam 12 mlm lebih, secara rasminya kami menerima ketentuan bahawa PAS gagal membentuk kerajaan di Kedah.

Saya ditemani rakan, Azamin Amin ketika itu. Dia mgkn tahu mood saya cukup, amat dan sangat tidak elok.

Lbh krg jam 1 pg saya ajak Azamin ke rumah ustaz.

Masuk sj dlm rumah, ustaz terus sebut, "Mie aku minta maaf kat hampa, kita kalah, pasai aku hampa dah tak dak kerja, aku minta maaf Mie"

Saya hanya diam. Ustaz sambung lg," Aku sakit sgt mlm ni mie, aku dah tak lama kot, hang dah tak dak kerja, kesian Kat hang, mcm mana hang nak jamu mkn anak bini hang lps ni mie"

Itu lah pertama kali ustaz sebut dia sakit, payah dia nk serah diri utk cakap dia sakit.

Saya pgg tgn ustaz, Saya kata "jom Kita berubat ustaz, jangan pikiaq pasai Saya, kita pi hospital ustaz na"

"Tak pa kot", jwb ustaz buat saya serba salah utk terus berckp lg.

Tak lama saya pn keluar dr rumah ustaz, rupanya lbh krg jam 4 pg ustaz ke hospital dengan Syahril dan Abg Noh.

Lbh krg pkl 9 pg dia panggil Helmi Yahya, Setiausaha Sulit Kanannya, bila Helmi keluar dia minta saya masuk jumpa ustaz.

Sekali lg ustaz minta maaf sebab kami dah hilang kerja, saya kata ustaz, Kita berubat ustaz dulu. Bab kami, in Shaa Allah ada rezeki mana2 nanti.

Dia terbaring sambil jalani dialisis. Ustaz panggil saya rapat badannya. Ustaz peluk saya dan bisik bermacam.

Ustaz mengadu hal, ustaz berpesan dan menangis.

Basah baju saya dengan air mata ustaz. Pelukan kami dilerai bila seorg nurse panggil nama ustaz.

"Datuk Seri, ni anak datuk ka, datuk dah nak hbs dialisis, nanti datuk rehat ya"

Dalam nada yg cukup lemah ustaz masih nak menjawab soalan nurse td.

"Ni pegawai saya, depa lah yg dok jaga sakit demam saya, dia dh mcm anak saya."

Rupanya 6 Mei itulah kesempatan terakhir saya mendengar suara ustaz Azizan.

Tgaharinya ustaz diiring keluarga dan Setiausaha Politiknya, Haji Sanusi Md Nor ke Hosp Pulau Pinang.

Malamnya saya smpai dgn Azamin. Suara ustaz sdh makin lemah.

Sanusi cuba ikhtiar utk satu rawatan di sebuah klinik swasta pd ustaz.

Ketika itu dgr suara lemah ustaz mnta makan. Azamin cicah sekeping biskut dgn air milo pd ustaz.

Malam semakin lewat, kami tidak lg di benarkan teman ustaz.

Kawalan dan rawatan pd ustaz makin rapi. Suaranya sdh semakin tenggelam.

Ustaz kdg sedar kdg tidak. Ustaz tidak blh diganggu.

Selang beberapa hari, saya masuk ke bilik rawatannya, tiba2 ustaz membuka mata.

Amat lemah keadaannya. Kak Faikah ada di sisi ustaz. Dengan pandangan yg amat lemah, suara antara keluar dn tidak, dr gerak mulut ustaz tanya kerja apa?

Ya Allah dlm keadaan dia yg sebegitu rupanya ustaz masih fikir pasal org lain.

Saya tipu, saya jwb dah dpt kerja, ustaz jgn bimbang. Nmpk ustaz tenang dn kembali pejam mata.

Mei hingga Ogos kami berkampung dn bergilir menjaga ustaz di Hosp Pulau Pinang.

September, atas permintaan keluarga, ustaz dipindahkan ke Hosp Sultanah Bahiyyah Alor Setar.

Di sisi ahli keluarga diiringi bacaan Yasin salah seorang sahabat karib sejak zaman sekolahnya, Sheikh Ismail Kamis Ustaz Azizan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 11 pg lima tahun yang lalu.

Al-Fatihah, terima kasih ustaz. Kami rindukan ustaz. Tenanglah ustaz di sana, negeri yg kekal abadi.
 
 

Sarawak kemuka formula baru perkongsian hasil dengan Petronas




KUCHING: Kerajaan Sarawak telah mengemukakan formula baru kepada Putrajaya mengenai “perkongsian hasil” dengan Petronas dalam usaha untuk mendapatkan semula kehilangan hasil daripada royalti minyak, kata Ketua Menteri Abang Johari Openg.

Beliau berkata formula baru itu telah diserahkan kepada kerajaan persekutuan tetapi beliau tidak menyatakan tarikhnya.

Abang Johari berkata beliau sedar entiti berkaitan kerajaan itu sebuah syarikat antarabangsa tetapi itu tidak bermakna ia menyebabkan negeri kehilangan hasil.

“Ada formula yang membolehkan Sarawak juga mengambil bahagian. Saya telah serah kita punya cadangan, formula kita sendiri. Ia modul baru yang saya percaya tidak akan menjejaskan Petronas sebagai syarikat antarabangsa,” kata beliau.

“Kamilah yang menghasilkan bahan mentah untuk Petronas dari segi gas serta minyak mentah, terutama gas, jadi saya mempunyai formula saya yang bersifat komersial,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan sempena Hari Wanita Sarawak 2019 hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata di New York semalam bahawa memberi 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak dan Sabah bermakna Petronas tidak lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa seperti sepatutnya.

Mahathir juga dipetik sebagai berkata kerajaan cuba untuk mencari kaedah mengenai bagaimana ia dapat menyalurkan lebih banyak dana kepada kedua-dua negeri tanpa menjejaskan kekuatan Petronas.

Abang Johari bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butir formula itu kerana ia masih dalam proses perundingan dengan kerajaan persekutuan.

PRK Tg Piai: Taklimat jentera Pakatan Harapan esok

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
 
KLUANG: Pakatan Harapan (PH) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai termasuk mengadakan beberapa mesyuarat dan memperkemaskan logistik.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata beliau dan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal juga akan mengadakan taklimat bersama jentera PH di Pontian esok bagi melancarkan PRK berkenaan.

“Rakan-rakan di dalam PH hari ini sudah mula menggerakkan usaha dengan memastikan pusat dan pejabat-pejabat pilihan raya sudah dibuka. Kita (PH) sedang tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya. (pengumuman tarikh penamaan calon dan hari mengundi).

“Dari segi persediaan sama ada mesyuarat dan logistik, sedang diperkemas. Saya sudah memimpin mesyuarat minggu lepas di Tanjung Piai dan sekarang hampir setiap malam kita ada mesyuarat di unit-unit peti undi untuk mereka (jentera) siapkan apa yang penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan baka baharu kambing dan merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini hari ini.

Sabah iktiraf UEC untuk masuk IPTA, perkhidmatan awam negeri

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal.
 
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam dan sektor perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, cuma ada beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan untuk bukan hanya masuk universiti, tetapi masuk perkhidmatan awam negeri Sabah.

“Kerajaan negeri telah mengiktiraf UEC di Sabah. Kami telah buat keputusan mengiktiraf sijil ini,” katanya ketika berucap pada sambutan Festival Kuih Bulan di Lintas Square di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut perkara itu, Shafie berkata, di Sabah, terdapat sembilan sekolah atau institusi pengajian yang menawarkan UEC.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 1,153 pelajar di peringkat rendah dan 583 di peringkat tinggi dan mereka menduduki dua peperiksaan.

“Saya juga gembira bahawa daripada jumlah ini, 83 adalah Bumiputera,” katanya.

Ketua menteri berkata, calon Sabah yang menduduki peperiksaan Junior UEC, perlu mengambil peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan bagi calon peperiksaan Senior UEC, mereka perlu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), katanya.

Shafie berkata Jabatan Pendidikan Sabah menyokong keputusan mengiktiraf UEC, tetapi sebagai syarat untuk memasuki institusi pengajian tinggi, seseorang itu juga mesti mendapat kredit dalam Bahasa Melayu SPM, lulus subjek Sejarah SPM dan lulus peperiksaaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri juga bersetuju pemegang sijil UEC yang mahu dilantik dalam perkhidmatan awam, memerlukan kelayakan seperti yang ditetapkan di bawah peraturan jabatan itu.

Pada masa sama, Shafie berkata mereka juga mesti mempunyai kelayakan minimum SPM yang diperlukan atau apa-apa kelayakan yang ditetapkan kerajaan Sabah.

Sabtu, 28 September 2019

Bila Raja baharin tahu Amanat Haji Hadi?



TIMBALAN Menteri, Raja Baharin tidak cerdik menempelak ‘Amanat Haji Hadi’ setelah sekian masa berada dalam PAS.

Isu Amanat itu mungkin tercetus lama sebelum Raja Baharin berdekat dengan PAS bahkan mendekati pemimpin PAS itu.

Raja Baharin hanya dikenali masyarakat Terengganu setelah dia berjaya membebaskan dua anaknya dari jagaan bekas isterinya di Australia.

Kejadian gempar itu berlaku lama selepas tercetusnya isu Amanat itu.

Masyarakat luar PAS - politik dan tidak politik - melihat isu itu suatu yang buruk, negatif dan jijik. PAS dicemuh dan dijauhi oleh semua. Boleh dikira ia adalah masa payah bagi PAS.

PAS adalah tubuh dan padu menghadapi cabaran itu. Sekalipun Tuan Guru Abdul Hadi sudah jadi orang terkenal masa itu tetapi bukan orang paling kanan dalam pimpinan PAS.

Ramai lagi lebih kanan daripadanya seperti Haji Yusof Rawa, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan beberapa ulama kanan dalam Majlis Syura Ulamak.

Tetapi semuanya tidak mencela dan menempelak Amanat itu dan peranan Tuan Guru Abdul Hadi dalam PAS. Bahkan PAS dan sekalian penyokongnya selesa dengan politik beliau dan semuanya menerimanya.

Ketika semua di luar PAS cemuh beliau Raja Baharin, mungkin tidak rapat dengan PAS dan Tuan Guru itu, tetapi dia tidak diketahui tidak suka pada PAS. Bahkan pemimpin PAS Terengganu dan masyarakat PAS tidak melihatnya sebagai orang bermasalah dengan PAS.

Tidak diketahui berapa lama dia sudah jadi ahli PAS. Tetapi PAS tidak melihatnya orang asing. Jika isu Amanat itu berubah negatif sepatutnya Raja Baharin tidak boleh dekat dengan PAS dan mesti menjauhkan diri daripada PAS.

Sebaliknya dia diyakini oleh PAS hingga menerimanya sebagai calon dan apakah sumbangannya sehingga dia diterima jadi calon.

Kuala Terengganu adalah kawasan baik bagi PAS. Mustafa Ali, Syed Azman, Wahid Endut antara calon PAS pernah menang di situ.

Dalam orang kanan PAS, PAS terima Raja Baharin jadi calon.

Jika parti itu dan amanat itu negatif bagi perpaduan Melayu dan Islam. Raja Baharin jangan dekat parti itu.

Tidak dipastikan apa masalah dia boleh berbalah dengan PAS hingga dia tidak popular dengan orang PAS.

Dipercayai masalah peribadi dengan orang PAS tetapi tidaklah kerana Amanat itu. Dia terus dipercayai, tidak faham dengan kerenah politik, maka dia tercampak daripada PAS atau dia mencampak dirinya daripada PAS.

Isu Amanat itu tercetus awal 80-an. Sejak itu yang menyertai PAS tidak kurang, bahkan ramai. Amanat itu tidak jadi kayu ukur orang benci PAS. Berduyun-duyun orang menyertai PAS.

Isu itu tidak menyebabkan Tuan Guru Abdul Hadi ditolak, bahkan beliau diterima sebagai Presiden PAS. Dalam masa pimpinannya hubungan dengan DAP bertambah rapat dan PKR terus mengosongkan tempat PAS dalam PH sehinggalah dia digantikan oleh parti serpihannya.

Sesudah pecah dengan DAP, Wan Azizah terus mengharapkan PAS wajar bersama PH sekalipun isu Amanat Haji Hadi tidak pernah dilupai orang.

Anwar Ibrahim bukan orang yang suka dengan Amanat itu, tetapi dia terima PAS dan Tuan Guru Abdul Hadi penting dalam membentuk Pakatan Rakyat dan kemudian PH.

PAS terkeluar daripada Pakatan bukanlah kerana Amanat itu tetapi PAS yang tolak Anwar, Pakatan dan PH.

Spesis Ikram yang ramai dalam PAS sejak dulu tahu buruk baik dan untung ruginya isu Amanat itu bagi PAS. Mereka tahu Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Harun Taib dan lain-lain ragu penyertaan mereka dalam PAS. Tetapi mereka senang dengan Tuan Guru Abdul Hadi yang melayan mereka walaupun mereka tahu Tok Guru itu memikul beban atas isu Amanat Haji Hadi.

Mereka kerumun PAS kerana sukakan Tok Guru.

Antara mereka Tok Guru beri layanan bilik hawa dingin. Layanan Tok Guru itu mereka sangka boleh berpeluang mengambil alih pimpinan PAS.

Ramai yang jadi pimpinan PAS selesa jadi pemimpin PAS walaupun mereka tahu kesan isu Amanat.

Amanat tidak halang mereka memenuhi PAS tetapi mereka tidak senang dengan pimpinan Tok Guru kerana Tok Guru tidak terima Anwar jadi PM dan tidak senang DAP halang PAS untuk perjuang Islam melalui Pakatan. Adapun Raja Baharin jika PAS dan Tok Guru tidak restu bertanding dalam PAS, tidak siapa peduli dan tidaklah dia ada dalam politik.

‘Cermin muka dulu jika MCA mahu tanding PRK Tanjung Piai’


UTAMAKAN calon Melayu dalam PRK Tanjung Piai jika gabungan UMNO-PAS mahu menang. Jangan dengar cakap MCA. MCA tidak pernah setia dengan BN sejak BN hilang kuasa PRU14 yang lalu. Jika MCA berkeras, biarkan dia. Kita mahu tengok berapa undi yang MCA akan dapat.

Tidak PRK Parlimen Tanjung Piai akan berlangsung, menunggu tarikh daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR). Takziah kepada keluarga Almarhum. Moga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT.

MCA sudah memukul gendang untuk bertanding. Kerusi tradisilah katakan, kononnya. Calon MCA yang tewas pada PRU lalu, Wee Jeck Seng selaku ketua bahagian berkata, beliau bersedia untuk bertanding sekali lagi di situ.

Nasihat saya kepada MCA, lebih baik kamu cermin muka dahulu jika mahu bertanding. Medan MCA sebenar adalah kawasan majoriti Cina bersama ultra kiasu bukan kawasan majoriti Melayu. Selama ini MCA menang dengan ehsan undi Melayu.

Sebab itu, MCA jangan terlalu ghairah untuk bertanding. Landskap politik Malaysia sudah berbeza sejak PRU12, PRU13 dan PRU14. Ia perlu dihadapi dengan penuh kematangan dan berstrategi. Jika terus menuntut, mendesak dan kemudian mengugut tidak ada muafakat, berasaskan realiti politik semasa, lupakanlah.

Formula saya mudah sahaja, berasaskan kepada sentimen hari ini, kawasan majoriti Melayu seharusnya ditandingi oleh orang Melayu. Untuk beberapa kes tertentu, mungkin bukan Melayu boleh diketengahkan. Tetapi, bukan untuk yang terdekat ini terutama di Tanjung Piai.

Tanjung Piai adalah medan untuk menguji kekuatan selepas piagam perpaduan ummah ditandatangani. Ambil kesempatan ini sepenuhnya. Lupakanlah hasrat untuk memberikan laluan kepada MCA buat seketika.

Apakah UMNO sudah lupa MCA menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 September 2018. MCA bukan rakan yang setia selepas PRU14 dan perlu belajar erti setia.

Apakah kita sudah lupa kata-kata presidennya ketika itu ketika ditanya kenapa tidak menggunakan logo BN, jawabnya, “Biar saya ulang sekali lagi, BN sudah ming cun shi wang (BN hanya wujud pada nama, tapi realitinya sudah mati),”

Akhirnya, MCA tewas PRK Balakong dalam keadaan yang memalukan dalam PRK Balakong. MCA perlu sedar, parti ini tidak boleh ‘survive’ tanpa sokongan dan simpati pengundi Melayu UMNO PAS. MCA tidak boleh hidup tanpa sokongan UMNO PAS.

Dalam kata lain, buat masa ini MCA memang tidak diterima oleh orang Cina. Pilihan orang Cina setakat hari ini, tetap ultra kiasu.

Walaupun kerusi tersebut sebelum ini ditandingi MCA, itu bukan bermakna kerusi tersebut akan menjadi warisan MCA. Tidak ada lagi formula kerusi tradisi, sebab ‘bapak’ kita yang empunya.

Kerusi tradisi MCA akan kawasan majoriti Cina, bergasaklah dengan ultra kiasu. Jika MCA boleh menang, MCA hebat. Saya tabik. Setakat ini, MCA berputih mata.

Kerusi presiden MCA itu sendiri, Parlimen Ayer Hitam, adalah kawasan majoriti Melayu. Bermakna, saya tegaskan sekali lagi, kemenangan MCA selama ini adalah dengan ihsan undi Melayu. Sebab itu MCA jangan terlalu bercakap banyak atau berkokok berdegar-degar.

PRK Parlimen Tanjung Piai adalah medan sebenar untuk menguji kekuatan antara PH dengan gabungan UMNO-PAS. Kawasan majoriti Melayu 56 peratus, Cina 41 peratus dan selebihnya 3 peratus.

UMNO-PAS mempunyai kelebihan untuk memenangi kerusi pada kali ini jika betul strategi dan perancangannya. Kejayaan PRK Semenyih pasti akan berulang. UMNO PAS mesti belajar daripada pengalaman lepas.

Dalam PRU13 MCA (BN) menang dengan majoriti 5,457. Manakala, PRU14, MCA kalah dengan Almarhum Dr Md Farid Md Rafik dengan kelebihan 524 majoriti.

Saya masih lagi positif bahawa gabungan UMNO-PAS boleh memberikan saingan yang hebat kepada PH. Tidak mustahil gabungan UMNO-PAS akan menang.

Jika ditakdirkan gabungan UMNO-PAS kalah dalam PRK Tanjung Piai, sekurang-kurang ia akan menjadi satu ‘test market’ untuk UMNO-PAS berhadapan dengan PRU15 akan datang, berbanding meletakkan calon MCA yang semua telah tahu sejauh mana kekuatan MCA.

Kesimpulan, kepimpinan penyatuan UMNO-PAS harus tegas dalam membuat keputusan untuk meletakkan calon Melayu di Tanjung Piai. Oleh kerana, calon PAS dalam PRU14 lalu hanya mendapat kurang daripada 3000 undi, sudah tentu kelebihan kepada calon UMNO.

Untuk UMNO menang, persoalannya siapakah bakal calonnya. Pertama, sudah tentu rakyat menantikan calon yang berwibawa dan bersih. Dalam kata lain, UMNO mesti menonjolkan calon yang bersih, tidak ada skandal dan berintegriti. Tidak ada tolak ansur dalam hal ini.

Kedua, pastikan undi UMNO tidak berbelah bahagi kepada calon yang dipilih. Saya amat yakin, undi PAS sebanyak 3000 itu tidak akan banyak berubah. Jika ikut congakan orang kampung majoriti tipis yang diterima oleh Almarhum daripada Bersatu, 524, ditolak 3000 sudah tentu calon UMNO boleh menang mudah.

Tetapi politik bukan semudah congakan sebegitu. Banyak lagi faktor lain yang perlu dilihat secara serius. Realiti politik semasa mesti diperhalusi.

Ketiga, melihat kepada momentum politik semasa dan pergolakan dalam politik parti ultra kiasu seperti PKR dan DAP, tidak mustahil, undi ahli ultra kiasu dan undi atas pagar, sedikit, walaupun tidak banyak akan beralih kepada gabungan UMNO-PAS.

Keempat, pastikan tidak berlaku sebotaj dalam kalangan ahli parti sesama sendiri. Pastikan ahli-ahli UMNO-PAS benar-benar setia memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi.

Sebab itu, saya katakan faktor calon Melayu (UMNO) amat penting dalam PRK Tanjung Piai. Paling baik, anak tempatan, merakyat, berintegriti dan berhemah tinggi dan berpelajaran. Muda atau tidak, itu bukan soal besar.

Kelima, jika calon adalah daripada UMNO, maka belajar erti ikhlas dalam perjuangan. Pastikan perjuangan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara diutamakan. Cukup buat setakat ini, In shaa Allah, ulasan seterusnya akan mendatang selepas ini.

Amanah Perak buat semula mesyuarat agung, pemilihan 12 kawasan November ini

Bernama
Asmuni Awi
Asmuni Awi
 

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menjangkakan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan semula jawatankuasa melibatkan 12 kawasan yang dibatalkan, akan diadakan serentak November ini tanpa sebarang isu berbangkit.

Pengerusinya, Asmuni Awi berkata, 12 kawasan yang terlibat adalah Gopeng, Batu Gajah, Beruas, Kampar, Parit, Parit Buntar, Pasir Salak, Sungai Siput, Tanjung Malim, Tapah, Taiping dan Bagan Serai.

Katanya, antara sebab mesyuarat agung dan pemilihan semula perlu dilakukan, adalah kerana terdapat cawangan di dalam kawasan terlibat, masih belum didaftarkan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Cawangan-cawangan itu pada awalnya dianggap sudah didaftarkan pihak kawasan terlibat, tetapi rupanya tidak.

“Jadi apabila cawangan yang tidak didaftarkan itu terlibat dalam mesyuarat kawasan, ia telah menjejaskan keputusan. Itu yang menyebabkan mesyuarat perlu dilakukan semula,” katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Pada 24 September lalu, Setiausaha Amanah Perak, Salman Salleh memaklumkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Amanah di Perak, perlu mengadakan semula mesyuarat agung tahunan dan pemilihan Jawatankuasa mereka oleh RoS.

Beliau turut memaklumkan masalah itu menyebabkan parti terpaksa menangguhkan Konvensyen Amanah Perak yang dijadualkan pada 19 dan 20 Oktober ini, bagi memberi laluan kepada mesyuarat agung dan pemilihan semula itu.

Ditanya jika pemilihan semula itu dipersetujui semua pihak atau sebaliknya, Asmuni berkata, isu berkenaan tidak berbangkit memandangkan 12 kawasan terbabit boleh menentukan sama ada mengekalkan senarai jawatankuasa sedia ada atau melakukan pemilihan baharu.

“Kalau mereka nak guna pakai balik keputusan lama (senarai ahli jawatankuasa sedia ada), mereka kena buat satu resolusi yang majoritinya bersetuju dengan keputusan itu. Kalau nak buat pemilihan barupun ia tidak menjadi masalah,” katanya. – Bernama

Kemuka petisyen pecat Tommy kepada Yang di-Pertuan Agong

Wartawan MalaysiaGazette

Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh

KUALA LUMPUR – Satu petisyen wajar dikemukakan kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Tindakan itu wajar kerana Tommy dilihat mengambil kedudukan memihak, subjudis dengan memfailkan afidavit seolah-olah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meninggal dunia bukan kerana dipukul.

Pendirian itu, kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh selari dengan kertas penghakiman yang menyatakan bahawa perlakuan Peguam Negara telah ‘scandalized’ prosiding inkues, sekali gus telah merosakkan integriti Jabatan Peguam Negara.

Lagipun pendakwaan kes jenayah membabitkan kes Allahyarham Adib itu bergantung kepada bidang kuasanya.

“Hal ini akan menampakkan keadilan sukar ditegakkan kerana tindakan Tommy Thomas yang bersikap memihak sejak prosiding inkues dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

Oleh itu, tambah beliau, pemecatan atau perletakan jawatan secara bermaruah perlu dilakukan oleh Tommy dalam kadar segera. – MalaysiaGazette

Tiada dana, pemenang pertandingan robotik dunia bawa makanan sendiri dari Malaysia

Wan Syamsul Amly, Astro Awani
Tiada dana, pemenang pertandingan robotik dunia bawa makanan sendiri dari Malaysia
Muslim Tamsir (lima dari kiri) dan keluarganya semasa disambut penyokong di KLIA2 selepas memenangi Pertandingan Robotik Dunia di New Delhi, India. - Gambar Astro AWANI
 
 
SEPANG: Pemenang Pertandingan Robotik Dunia, Danish Irfan Muslim dan bapanya, Muslim Tamsir mengharungi cabaran ketiadaan dana sehingga membawa makanan sendiri dari Malaysia ke kejohanan yang berlangsung di New Delhi, India.

Kata Muslim, cabaran itu meningkatkan motivasi diri sebelum memutuskan untuk bersama anaknya bertanding di luar negara.

"Cabaran itu memang ada tetapi niat saya untuk anak saya, saya hendak dia keluar bertanding di luar selepas sudah menang di Malaysia.

"Saya hendak dia mencabar diri, meningkatkan lagi motivasi diri. Cabaran lain terlampau banyak, dari segi duit, di sana makan, masalah juga sebab semua saya bawa dari sini.
 
"Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di New Delhi pada hari keempat, mereka menyambut kami dan makan tengah hari. Itulah rasanya pertama kali makan nasi di New Delhi," katanya semasa ditemui di KLIA2 di sini, pada Sabtu.
 
Danish, murid tahun enam di SK Tun Hussein Onn di Kuala Lumpur memenangi pertandingan itu dengan mempamerkan kehebatannya menghasilkan roket air.

Dalam pada itu, Danish mengakui menerima saingan terutama daripada peserta yang jauh lebih tua daripadanya.

"Perasaan saya memenangi pertandingan ini, gembira, seronok dapat kibarkan jalur gemilang atas pentas dunia. Saya dapat mengharumkan nama negara di peringkat tinggi pada usia sebegini.

"Memang sangat memberi cabaran kerana saya bertanding bersama dari pelajar kolej dari universiti, memang beri banyak saingan," ujarnya.

Pertandingan itu berlangsung dari 23 hingga 25 September di Stadium Thyagaraj, New Delhi.

Danish merupakan pemenang kejohanan roket air Malaysia pada 2018 dan 2019 selain muncul sebagai peserta termuda dan berjaya menewaskan 30 pasukan lain yang terdiri daripada penuntut universiti, kolej serta sekolah menengah bagi cabaran menghasilkan roket air.

Pasukan bapa dan anak itu menyertai kejohanan berkenaan tanpa sebarang penajaan korporat atau bantuan kewangan. 
 
 

PM bidas EU cadang larang import minyak sawit




Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan bantahan Malaysia berhubung cubaan untuk mengharamkan import minyak sawit di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyatakan ia merupakan kes yang jelas untuk menafikan perdagangan bebas.

Berucap pada sesi Debat Umum Sidang Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Jumaat, Dr Mahathir menegaskan pendirian Malaysia terhadap langkah seumpama itu, menyatakan minyak sawit masih penyumbang besar terhadap ekonomi negara.

"Tiada bukti yang ia berbahaya. Kami merayu kepada budi bicara golongan kaya untuk tidak memiskinkan kami, untuk tidak menghalang ratusan ribu pekerja kami daripada menyara kehidupan.

"Anda akan berbuat kebajikan dengan menggunakan minyak sawit," katanya ketika beliau menyentuh mengenai pengharaman import minyak sawit yang dicadangkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Beliau berpandangan bahawa berikutan tidak mampu mengekalkan daya saing minyak makan mereka sendiri, kempen dilancarkan untuk mengharamkan minyak sawit, dengan mendakwa minyak sawit berbahaya kepada kesihatan, memusnahkan habitat monyet hidung panjang, mengurangkan penyerapan karbon dioksida dan lain-lain lagi.

M'sia hilang pasaran besar sebab perang dagang

Menegaskan bahawa Malaysia juga prihatin terhadap alam sekitar sepertimana masyarakat Eropah, beliau berkata liputan kawasan hutan negara ketika ini sebanyak 55.3 peratus, melebihi ikrar yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah yang diliputi hutan.

Mengenai perang perdagangan, beliau berkata ia adalah satu pembaziran dan akan mengekang potensi setiap orang untuk menjadi kaya.

Berhubung sekatan yang dikenakan terhadap negara tertentu, Dr Mahathir berkata tidak diketahui di bawah undang-undang mana sekatan seumpama itu dikenakan.

"Ia dilihat sebagai keistimewaan pihak yang kaya dan berkuasa. Jika kita mahu mengenakan sekatan, kita perlu ada undang-undang untuk mentadbirnya.

"Hakikatnya adalah apabila sekatan dikenakan ke atas sebuah negara, negara lain turut terkena sekatan itu.

"Malaysia dan banyak negara lain kehilangan pasaran besar apabila sekatan dikenakan ke atas Iran," kata perdana menteri.

Beliau percaya semua negara di dunia ingin mengecapi kemakmuran dan dibenarkan membangunkan negara mereka sendiri, tetapi mereka dihalang daripada berbuat demikian.

Disebalik banyak cakap-cakap mengenai perdagangan bebas, beliau berkata peraturan baharu yang diperkenalkan pada setiap masa telah merencatkan pembangunan di negara-negara miskin.

"Ini kerana cadangan bagi peraturan dan kawal selia dibuat oleh pihak yang kaya, sering kali secara rahsia. Pihak yang miskin secara praktikalnya dipaksa untuk menerimanya,” katanya sambil memberikan contoh Perkongsian Trans Pasifik.

"Ia dibuat di Washington dengan input daripada perniagaan besar mereka. Dalam perjanjian itu, kerajaan negara-negara kecil akan dipaksa untuk membayar pampasan wang pada jumlah besar kepada syarikat besar asing, sekiranya keputusan mereka menjejaskan keuntungan syarikat besar berkenaan, termasuk keuntungan di masa depan," katanya.

Nasib baik, Dr Mahathir berkata, kini negara berkuasa yang menyediakan perjanjian itu telah menolaknya.

"Dengan mengecualikan negara ini, perjanjian itu telah menjadi lebih boleh diterima. Tetapi perjanjian itu masih menetapkan syarat untuk perdagangan – yang menafikan perdagangan bebas.

Kami diberitahu bahawa kami perlu memansuhkan duti import, atau mengurangkannya supaya produk asing boleh mengalahkan industri kami yang kecil.

"Kami dipaksa untuk hanya mengeksport bahan mentah. Macam mana kami hendak menjadi negara perindustrian dan mewujudkan kerja untuk rakyat kami?," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau percaya dengan kapitalisme tetapi kapitalisme telah menjadi tidak keruan.

"Mereka kini bercakap mengenai meraih bertrilion. Adalah bahaya bagi seorang individu atau sebuah syarikat untuk mempunyai begitu banyak wang. Ia boleh mempengaruhi perkara lain. Ia boleh beli kuasa.

"Sekalipun undang-undang anti-amanah. Kami melihat ini dalam Perkongsian Trans Pasifik – TPP, apabila syarikat-syarikat kaya memberikan diri mereka sendiri kuasa untuk menyaman kerajaan.

"Terma perjanjian dirumuskan oleh mereka. Dan mereka semua bukan seperti Bill Gates.
Kebanyakannya cenderung untuk mengeksploitasi kuasa mereka dengan adanya wang," katanya.- Bernama


Bersiap untuk perubahan iklim, bukan perang - Dr Mahathir


   

Dr Mahathir Mohamad berkata komuniti antarabangsa perlu memberi perhatian terhadap fenomena perubahan iklim dan bencana alam yang banyak dipengaruhi oleh aktiviti manusia daripada membuat persediaan untuk berperang.

"Kita perlu membuat persediaan untuk memerangi perubahan iklim, untuk mengembalikan persekitaran normal yang dinikmati sejak ribuan tahun lalu," kata Perdana Menteri Malaysia.

Dalam pernyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Jumaat, Dr Mahathir berkata negara-negara juga harus membuat persediaan berdepan dengan gempa bumi besar, taufan dan ribut taufan, banjir dan kejadian tanah runtuh.

"Kita perlu belajar bagaimana untuk mengurangkan bencana alam ini. Kita perlu membina tempat perlindungan, membuat hujan buatan dan menghasilkan makanan tanpa cahaya matahari, berpindah dari tepi laut dan sebagainya," katanya.

Pemimpin Malaysia itu menegaskan bahawa pasukan pakar bencana yang serba lengkap harus sentiasa bersiap siaga untuk bergegas ke kawasan bencana dengan menekankan bahawa setiap bencana adalah bencana dunia.

"Sudah tentu semua bencana alam itu mungkin tidak berlaku, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada itu. Kita membazirkan wang untuk mempersiapkan untuk berperang, mencipta lebih banyak pemusnah apabila semua boleh dilenyapkan oleh bencana alam ketika planet ini melalui kitaran seterusnya," katanya.

Beliau berkata manusia adalah mahkluk yang cerdik dan mampu bertahan dalam kitaran perubahan iklim seterusnya jika mereka mampu melahirkan penyelidik yang dapat menghasilkan sistem pertahanan terhadap bencana.

"Jika kita mengurangkan belanjawan kita untuk membunuh orang, kita akan mempunyai dana untuk penyelidikan dan persediaan," katanya.- Bernama


Membongkar sejarah pendatang

   

Menafikan bani China yang bermastautan di Tanah Melayu ini berasal dari Tanah Besar China dan bani India berasal usul dari benua India adalah satu jenayah sejarah.

Sama seperti menafikan Amerika telah meledakkan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagsaki pada 6 dan 9 Ogos 1945.

Menafikan fakta ini samalah seperti menafikan fakta bahawa dalam perang dunia kedua 20 juta soldadu dan warga Soviet Union gugur di tangan Nazi German.

Dalam konteks sejarah penafian sedemikian dipanggil – revisionist history – pengubahan sejarah – pemesongan sejarah - atau mengubah fakta sejarah dengan memberi pandangan baru yang berlawanan dengan fakta sejarah.

Betul – fakta baru tentang sejarah terus dimunculkan hasil kajian baru yang dibantu oleh teknologi baru. teknologi membuktikan Peking Man telah wujud 750,000 tahun dahulu.

Pendatang baru, pendatang lama

Java Man telah wujud di Pulau Jawa 700,000 tahun dahulu manakala di Lembah Lenggong - Orang Perak – Perak Man - datuk nenek moyang kepada Sakai dan Proto Melayu telah merayau-rayau dalam hutan belantara Tanah Melayu 11,000 tahun dahulu.

Ini fakta bukan lebong (tipu). Garam tetap masin walau pun dibalut dan disira dengan gula.

Jika semua fakta sejarah awal wahid ini telah diterima maka tulisan ini senang difahami secara tuntas dan jelas. Tidak ada eek … tidak ada oook… Khalas.

Maka kita kembali kepada tujuan asal kenapa wacana ini dibuka. Kenapa kita wajib membincangkan kembali agenda pendatang baru dan pendatang lama?

Wacana ini secara jujur dan terang bertujuan untuk melahirkan negara bangsa.

Semenjak 9 Mei 2018 dengan kemenangan Pakatan Harapan kelihatan jelas naratif agama, bangsa, pendatang baru dan pendatang lama menjadi berita perdana.
Kuil diserang. Pegawai bomba gugur. Naratif- naratif ini sedang membakar dan memanaskan iklim politik tanah air kita.

Suasana ini pada hemat saya tidak sihat. Naratif yang sedang ditaburkan ini sedang meracun fikrah anak semua bangsa. Ianya bukan sahaja akan menggagalkan niat mendirikan negara bangsa.

Malah berkemungkinan naratif songsang ini akan menjadikan 13 Mei sebagai pesta hari jadi.

Naratif songsang ini berjaya mara ke hadapan untuk diterima pakai kerana selama 60 tahun minda kita semua - anak semua bangsa – telah dijajah oleh United Malays National Organisation.

Parti politik yang mengakui sebagai pejuang Melayu ini telah melakukan banyak pembelotan terhadap bani Melayu. Manifestasi terbaru daripada pembelotan ini ialah kemunculan pendatang baru bernama Zakir Naik dan pendatang lama bernama Dong Zong.
Pada hemat saya, selama ini kita ini gagal membincangkan secara historikal dan secara ilmiah serta secara berilmu tentang latar dan adunan untuk membina negara bangsa.

Hari ini dalam era internet semua perkara (IOT) - kita tidak boleh lagi menangguhkan perbincangan agenda pendatang lama dan pendatang baru. Hakikatnya kehadiran lambakan maklumat dan bahan sejarah membolehkan kita berwacana secara rasional. Kata kunci di sini ialah rasional.

Ini berbeza daripada cara lama kita berbicara sebelum masuk ke era internet semua perkara.

Juga selama ini kita – bani Melayu, bani China dan bani India terperangkap – dalam penghujahan emosi.

Berhujah bersama emosi degil yang bebal. Memiliki emosi bukan satu yang salah. Tanpa emosi kita bukan insan. Tanpa emosi kita bukan manusiawi.

Tetapi dalam konteks mencari jalan untuk melahirkan negara bangsa kita wajib pinggirkan emosi. Kita asaskan pebincangan kita secara rasional, ilmiah dan historikal.

Tapi awas dan waspada dalam era semua benda internet - kita juga wajib memiliki keilmuan dan kewaspadaan ilmiah untuk menapis dan menangkis dan mengenepikan fakta yang boleh ditafsir malah berbentuk fakta walhal ianya hanyalah lebong.

Lebong juga boleh disalut oleh kajian ilmiah. Lebong ilmiah berbantalkan emosi. Lebong ilmiah ini hanya satu tujuan untuk mengenepikan sejarah alam Melayu.

Kata-kata lucah seperti orang Melayu adalah juga pendatang; kita semua di Malaysia ini adalah pendatang; buktinya ialah Zahid Hamidi adalah pendatang dari Jawa; Najib adalah pendatang Bugis dari Sulawesi.
Kenyataan ini adalah kenyataan bangang lagi bodoh. Kenyataan ini berniat jahat.

Kenyataan ini samalah seperti memberi kenyataan bahawa Mao Zedong yang tinggal di Beijing adalah seorang pendatang dari Provinsi Hunan yang jauhnya 1,339 kilometer dari kota Beijing.

Fakta membuktikan bahawa Mao memiliki bahasa loghat yang berbeza daripada loghat dan bahasa di Beijing. Tetapi satu dunia tahu Mao masih ditakrif sebagai bani China

Walhal Tan Melaka dari Medan yang hanya 970 kilometer dari Melaka tapi tidak pula ditakrif sebagai bani Melayu.

Provinsi Hunan didiami oleh bani China. Bejing juga didiami oleh bani China. Medan didiami oleh bani Melayu. Melaka didiami oleh bani Melayu. 

Kenapa yang tinggal di Medan bukan bani Melayu?

Apa yang saya utarakan adalah hujah ilmiah lagi rasional untuk menepis sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Melayu juga pendatang di Tanah Melayu ini. Amin.

Siapa pendatang dan siapa anak watan wajib difahami dengan jelas. Bila perkara ini telah difahami mari kita beralih ke babak ke dua.

Ini babak pendek. Babak dengan pertanyaan – kenapa dan bagaimana bani China dan bani India meluru masuk ke Tanah Melayu?
Jawabnya jelas bani China dari Tanah Besar China dan bani India dari benua India meluru masuk ke Tanah Melayu untuk menjadi buruh.

Buruh ini diperlukan dalam sistem ekonomi kapitalis Inggeris untuk menjarah kekayaan bumi Tanah Melayu.

Sebelum berundur Inggeris telah menyediakan boneka politik untuk mengambil alih kuasa. Budak suruhan Inggeris ini diberi nama United Malays Natioanal Organisation.

Parti politik ini - lebih tepat lagi budak suruhan tajaan Inggeris ini melakukan pembelotan terhadap kepentingan menyeluruh bani Melayu.

Justeru pembelotan inilah yang membolehkan pendatang masuk dan terus bermastautin di Tanah Melayu. Tidak cukup dengan pembelotan di Semenanjuang pada tahun 1957 - pada tahun 1965 Singapura terpisah dari ibu kandung Semenanjung.

Pembelotan parti Ketuanan Melayu ini berbeza dengan sikap Parti Komunis China. Parti Komunis China terus menerus mengakui bahawa Taiwan adalah sebahagian dari wilayah China.

Walau pun pesisir pantai terdekat antara Tanah Besar China dengan Taiwan ialah 220 kilometer.

Bayangkan betapa dekatnya Singapura dengan Semenajung. Jika kita berkompang di Stulang Laut akan kedengaran bunyi kompang Johor di Woodland.

Ini satu bukti yang sahih bagaimana United Malays National Organisation telah belot menjual Singapura kepada pendatang.

Untuk menghalalkan kemasukan pendatang sebelum 1965 bani Melayu didodoikan dengan apa yang dihebohkan, dengan apa yang dipanggil - kontrak sosial.

Ini dikatakan – perjanjian sosial - antara anak watan Tanah Melayu dengan pendatang asing.

Kontrak sosial apa? Perkataan kontrak yang diketahui oleh bani Melayu pada ketika itu ialah - kuli kontrak.

Hakikatnya mengenai kontrak sosial pandangan bani Melayu tidak diambil. Malah mereka tidak tahu apa pun yang berlaku. Bani Melayu tidak ditanya. Tidak dirujuk.
Ini sama seperti Inggeris menukar nama Kwantung kepada Canton. Tanpa persetujuan anak watan Kwantung. Menukar nama Mumbai kepada Bombay tanpa persetujuan anak watan Maharashtra.
Menukar nama Al Khairah kepada Cairo tanpa persetujuan anak watan Al Khairah.

Pada tahun 2019 ini anak semua bangsa wajib diberi tahu bahawa tidak ada rujukan, tidak ada pungutan suara, tidak ada referendum yang bersangkutan dengan perjanjian kontrak sosial ini.

Semua ini hanyalah lebong United Malays National Organisation, elit Melayu dan kaum feudal Melayu. Tiga kumpulan ini telah berkomplot menipu dan menjual kepentingan bani Melayu.

Parti nasionalis Melayu, parti kiri – Parti Komunis Malaya telah diharamkan. Cadangan dan usul mereka tentang rupa bentuk negara bangsa di Tanah Melayu yang merdeka telah tidak dipedulikan.
Pemimpin nasionalis dan orang kiri yang tidak ke hutan angkat senjata melawan Inggeris telah ‘disikat’ dan masuk penjara.

Kontrak sosial tanpa rujukan dengan anak watan Tanah Melayu sabenarnya satu pembelotan yang paling besar dilakukan oleh United Malays National Organisation terhadap bani Melayu.

Pembelotan ini hanya satu tujuan sahaja. United Malays National Organisation membelot – menjual hak Melayu - untuk mendapat kuasa daripada kolonial Inggeris. Parti Ketuanan Melayu ini mahu menjadi pengganti Inggeris.

Sementara itu, kaum feudal yang makan tanggung dan berak cangkung tidak tahu satu habuk. Kaum feudal yang memiliki kesetiaan adat istiadat Melayu dan faham erti bangsa dan watan Melayu seperti Datuk Bahaman, Datuk Sagor, Maharaja Lela atau Tengku Yusoff telah dibunuh atau dihalau dari Tanah Melayu.

Inggeris menjanjikan makan tanggung berak changkung dengan gaji yang lumayan kepada kaum feudal. Untuk menipu dan menggula-gulakan bani Melayu dikatakan bahawa Raja Melayu ini adalah kepala agama Islam.

Apa makna kepala agama Islam ini tidak ada siapa yang tahu. Guru Nanak pun tidak mengetahui apa kaitan Raja dan Sultan Melayu dengan Islam.

Kaum agamawan yang sedar akan tanggung jawab mereka telah dipinggirkan. Mereka mempersoalkan kenapa diterima pendatang asing untuk menjadi warga Tanah Melayu.

Justeru sampai ke hari ini kita ada terdengar sayu-sayu bunyi ucapan pemimpin Parti Islam PAS yang mempertikakan konsep jus soli.

Apakah tulisan saya ini ungkit mengungkit. Jawabnya tidak. Ini bukan ungkit mengungkit. Bangsa Yahudi menimbulkan hak mereka yang terpendam selama 2000 tahun dahulu di Palestin.

Bangsa Maori di New Zealand makin lantang bersuara untuk merampas kembali naratif sejarah mereka. Bagaimana pendatang masuk telah kita ketahui. Ini hanya babak pertama. Babak kedua tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Sultan Ismail Petra mangkat

   

Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra, ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V telah mangkat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu pagi ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah mengesahkan hal ini ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan dalam suatu kenyataan mengumumkan jenazah Almarhum akan dibawa ke Istana Balai Besar di Kota Bharu.

"Dukacita dimaklumkan bahawa DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Al-Sultan Yahya Petra telah mangkat pada jam 8.11 pagi tadi di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu Kelantan.

"Jenazah Almarhum DYMM Sultan Ismail Petra akan dibawa ke Istana Balai Besar untuk Istiadat Penghormatan kali terakhir dan dijangka istiadat pemakaman akan dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar Kota Bharu Kelantan," kata kenyataan itu.


Khalid alu-alukan DPMM beli RM2,000 sekaki persegi tanah Kg Baru

MALAYSIAKINI

   
Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyatakan bahawa ia terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat pemilikan dipatuhi iaitu milik orang Melayu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh KWP.

"Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan pernilaian yang dilakukan secara profesional.

"Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Bharu dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Saya yakin berdasarkan pernilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Khalid berkata, jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, beliau akan pastikan KWP dan Perbadanan Kampung Baru memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga yang ditawarkan.

"Saya yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru," katanya.- Bernama


Kadir: Kenapa minta Dr M selamatkan Utusan?


ULASAN | Utusan adalah harta milik parti Umno dan Umno menggunakan Utusan untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptokrasi.

Pada mulanya saya tidak mahu mengulas cadangan meminta Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, campur tangan menyelamatkan syarikat Utusan Melayu.

Bagi saya, cadangan itu tidak masuk akal dan tidak kena tempatnya.

Saya katakan begitu kerana, pertama Utusan adalah harta keramat milik parti keramat Umno dan kedua, Umno menggunakan akhbar Utusan Malaysia untuk membelasah Dr Mahathir kaw kaw ketika beliau berusaha membebaskan Malaysia daripada kleptokrat, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Ketiga, adalah dasar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjamin kebebasan media. Jadi memohon campur tangan perdana menteri dalam isu dalaman Utusan adalah bertentangan dengan dasar tersebut.

Bagaimanapun, saya tergerak untuk mengulas sedikit setelah menerima pesanan WhatsApp (bukan wassap atau wasap) daripada seorang “anak buah” yang mewakili Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) cawangan Utusan.




Saya membalas: “Umno, Najib dan sidang pengarang Utusan wajib ambil tanggungjawab. Mereka yang menyebabkan maladi Utusan hari ini. Utusan hentam Tun kaw kaw.”

Ini adalah amalan zaman Najib dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila media massa arus perdana terpaksa akur kepada “wahyu” dari Putrajaya.
Sidang pengarang Utusan dan sesetengah wartawannya bukan sekadar membenarkan akhbar ikonik itu diperalatkan malah dengan sukarela menerima arahan dari luar.

Sekarang ada pemimpin NUJ Utusan yang memberitahu saya bahawa "kerja-kerja penulisan politik adalah atas tindakan bos-bos pengarang dan mereka ini menerima imbuhan dan bayaran khas."

Kalau itulah keadaannya maka lagilah tidak wajar mengharapkan Dr Mahathir campur tangan menyelamatkan Utusan.

Dari dulu hingga kini Utusan adalah milik Umno. Malah daripada apa yang saya dengar, Umno tidak mahu jual Utusan macam ia jual sahamnya dalam Media Prima Berhad.

Jadi kalau Umno tidak mahu jual, macam mana Dr Mahathir atau mana-mana pihak juga hendak campur tangan membantu Utusan?

Jawabnya Umno tidak mahu campur tangan luar. Ini diperkukuhkan oleh tindakan parti itu memberi bantuan modal RM1.6 juta kepada Utusan bulan lalu.

Tak mahu Utusan berkubur

Saya tahu Dr Mahathir tidak mahu Utusan terkubur. Tetapi selagi Umno berkeras mengekalkan kawalannya ke atas Utusan, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun.

Jadi soal kakitangan bawahan Utusan bersedia untuk bekerjasama dengan “bos pengarang baru” jika Dr Mahathir sedia membantu, tidak timbul.

Kita pun tidak mengharapkan apa-apa daripada media massa selain bagi mereka bersikap adil, profesional dan berkecuali.

Dr Mahathir tentulah tidak mahu Utusan mati kerana untuk sekian lama Utusan Melayu (jawi) dan Utusan Malaysia adalah akhbar bahasa Melayu pilihan beliau. Bagi bahasa Inggeris beliau membaca New Straits Times.
Kalau tidak silap saya hanya bermula zaman Abdullah beliau berhenti memberi keutamaan kepada Utusan dan NST kerana dua akhbar itu dan akhbar-akhbar lain juga digunakan secara terang-terangan untuk membunuh legasi beliau dan memburuk-burukkan beliau.

Saya pun mempunyai sentimen yang sama. Saya tidak mahu Utusan terkubur. Sejak kecil saya membaca Utusan Melayu dan kemudian Utusan Malaysia. Malah saya kerap menulis dalam Utusan Malaysia hatta ketika menjadi pengarang NST.

Mungkin banyak orang, termasuk pengamal media, tidak tahu bahawa pada zaman pentadbiran pertama Dr Mahathir lah jualan akhbar mencapai angka tertinggi.

Pada penghujung pentadbiran beliau tahun 2003, pengedaran Utusan Malaysia mengatasi 320,000 naskhah sehari dan Mingguan Malaysia lebih setengah juta.

Jadi saya tidak nampak logiknya membabitkan Dr Mahathir dalam sebarang usaha menyelamatkan Utusan. Hanya Umno boleh menentukan hidup atau mati Utusan.

Atau boleh jadi juga Umno sebenarnya sudah hilang pegangan dan kawalan ke atas Utusan tetapi tidak mengakuinya dengan berpura-pura seolah-olah ia masih memiliki kumpulan media itu.


*A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.


Tokyo 2020: Tak cukup RM1 bilion, KBS harap peruntukan ditambah

MALAYSIAKINI

   

Kementerian Kewangan diharap meningkatkan peruntukan bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Belanjawan 2020, berbanding peruntukan RM1 bilion tahun ini.

Timbalan Menteri KBS, Steven Sim Chee Keong berkata peruntukan tambahan itu penting bukan sahaja untuk persediaan terakhir ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi juga untuk pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

“Kalau kita ingin menyasarkan pingat emas di Sukan Olimpik, saya rasa bukan sahaja di Tokyo, tapi juga di Paris (2024) dan Los Angeles (2028), maka kita perlu bermula dengan pembangunan akar umbi sekarang. Kita juga ingin melihat kepada peruntukan dana yang lebih banyak kepada sukan untuk wanita.

“Itu merupakan satu visi Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), jadi saya harap kita akan dapat peruntukan yang munasabah ke arah itu,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Persidangan Undang-undang Sukan Antarabangsa di Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini.

Belanjawan 2020 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen pada 11 Okt ini.

Mengulas lanjut, Steven berkata walaupun pada 2019 KBS menerima peruntukan yang sama dengan tahun sebelumnya, pihaknya dapat merenggangkan bajet itu menerusi strategi urus tadbir yang baik untuk membuat lebih banyak perkara.

Beliau berkata ia dapat dilakukan menerusi langkah-langkah penjimatan dan proses tender terbuka, yang mana sebanyak 80 peratus penjimatan dilakukan dalam program Fit Malaysia, manakala tender terbuka bagi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) menyaksikan penjimatan 30 peratus.

Turut hadir, bekas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar.
- Bernama


Legenda bola sepak M Chandran meninggal dunia

MALAYSIAKINI

   

Legenda bola sepak negara M Chandran meninggal dunia hari ini, pada usia 77 tahun.

Pemain pertahanan skuad kebangsaan dan Selangor era 1960-an dan 1970-an itu meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor, pada pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut Berita Harian, beliau sebelum ini mengalami jangkitan paru-paru yang serius dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur bulan lalu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Noorul Ariffin Abdul Majeed, meyifatkan pemergian Chandran sebagai kehilangan besar dalam arena sukan negara.

“Kita kehilangan salah seorang wira negara dan kami amat terhutang budi dengan segala jasa dan bakti yang sudah dicurahkan,” katanya seperti dipetik.

Dilahirkan pada 1942, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu mula bergiat aktif dalam bola sepak pada awal 1960-an.

Beliau bermain di posisi pertahanan dan pernah mewakili negara sebanyak 163 kali. Selepas itu mendiang menjadi jurulatih Selangor dan Malaysia.

Antara pencapaiannya ialah bersama-sama skuad negara untuk layak ke Sukan Olimpik Munich pada 1972.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Pushtalata dan dua orang anak lelaki, C Kumarason, 38, dan C Vicknaraj, 36 tahun.


Mat Hasan: Tak perlu ketua pembangkang di negeri Umno, PAS


 
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan melontarkan cadangan supaya tiada lagi jawatan ketua pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai partinya dan PAS.

"Apa yang perlu dibuat, salah satu saya cadangkan supaya kita tiada lagi ketua pembangkang. Kita tak bercakap lagi soal jawatan (lain)," katanya.

Menurut beliau, cadangan awal itu supaya dapat menggambarkan permuafakatan antara kedua-dua parti selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional, baru-baru ini.

"Itu cuma cadangan awal saya, supaya dapat menggambarkan permuafakatan tersebut.

"Kalau kita dah muafakat, tak ada lagilah pembangkang. Setakat itu dulu cadangan saya," katanya kepada media ketika menghadiri Ceramah Perdana Hijratul Rasul dan Penyatuan Ummah di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Sementara itu ketika ditanya sejauh mana muafakat yang terjalin itu akan mewujudkan kerajaan bersama antara Umno dan PAS dalam pentadbiran peringkat negeri, Mohamad menegaskan muafakat itu baru di peringkat (pembukaan seperti surah) 'al-Fatihah'.
"Kita masih lagi di peringkat al-Fatihah, jadi kita lancarkan al-Fatihah dan kemudian kita masukkan surah-surah yang lain.

"Kini baru peringkat kita tandatangi piagam, esok-esok kita akan melihat cara yang lebih mantap, apa selepas piagam," jelasnya.

Tambah beliau, cadangan itu dilihat akan memudahkan urusan wakil rakyat antara kedua-dua parti.
"Sama ada wakil rakyat BN di Kelantan atau wakil rakyat PAS di Pahang, mereka akan jadi wakil rakyat perpaduan ummah.

"Mereka dapat menjalankan tugas dan jaga hal ehwal rakyat sama seperti rakan-rakan yang lain," katanya.

PH tidak mempunyai Adun di Terengaanu, manakala bekas menteri Mustapa Mohamed yang menyertai Bersatu pada penghujung Oktober tahun lepas menjadi Adun tunggal PH di Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Bagaimanapun, Mohamad tidak menjelaskan lanjut cadangannya mengenai negeri Perlis dan Pahang yang dikuasai BN tetapi masih mempunyai Adun pembangkang dari PH.


Jumaat, 27 September 2019

Kalau tiga tahun lagi, calon PKR tak merasalah jadi PM

Wartawan MalaysiaGazette
MGF07122017_UpacaraNaikBendera16-1
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – “Kalau sekarang campur lagi 3 tahun, dah masuk PRU 15 lah. Tak merasa lah calon PKR jadi PM,” kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Reaksi itu diberikan selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu dialog di New York berkata, beliau mempunyai tiga tahun lagi untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam wawancara itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum akan datang untuk memberi laluan kepada calon lain.

“Jadi, saya mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun lagi,” kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disebut-sebut bakal menggantikan Dr Mahathir berkata, beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri sekitar Mei 2020.

Dalam satu temubual bersama Bloomberg, Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun berkata, beliau tidak akan terlalu cerewet mengenai tempoh tepat pengambilalihan tersebut. – MalaysiaGazette