Oleh Syazana Hasanudin
KUALA LUMPUR : Undang-undang mewajibkan penulis blog mendaftar dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) seperti cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikhuatiri mendorong ketidakadilan terhadap hak rakyat bersuara.
Malah, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Young Syefura Othman berkata ia boleh disalah guna bagi menghentikan kritikan umum terhadap kerajaan sekaligus cuba menutup skandal wakil rakyat UMNO BN.
“Apa jaminan kerajaan undang-undang itu tidak akan disalah guna dengan mengambil tindakan terhadap penulis blog yang tidak memihak kepada kerajaan?
“Bagaimana pihak berkuasa mahu mentakrif sesuatu tulisan sebagai fitnah dan tidak bertanggungjawab? Atau hanya kena ikut cita rasa dan telunjuk pemimpin sahaja?” katanya kepada Roketkini.
Beliau mengulas cadangan KDN baru-baru ini untuk menggubal undang-undang supaya penulis blog wajib mendaftar dengan KKMM, kononnya bagi mengekang penulisan berunsur fitnah dan tidak bertanggungjawab di internet.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Rara turut mempersoal sama ada kerajaan mahu menuju ke arah negara diktator apabila mahu memantau penulisan di internet seperti amalan di China, Vietnam, Arab Saudi dan negara autokratik lain.
“Undang-undang itu tidak patut ada di Malaysia kerana ia patut berasaskan prinsip demokrasi, bukannya autokrasi. Adakah langkah itu mengesahkan pandangan betapa negara ini sebenarnya dipimpin secara autokratik oleh diktator?
“Jika langkah itu dilaksanakan, apa pula yang akan cuba dikawal kerajaan selepas ini? Adakah pengguna Twitter dan Facebook juga perlu mendaftar dengan KKMM? Ia tidak munasabah,” katanya.
Menyifatkan langkah itu sebagai drakonian, Rara berpendapat ia juga mengganggu ruang awam rakyat dan menyekat kebebasan maklumat ekoran terlalu banyak skandal pemimpin kerajaan didedah kebelakangan ini.
“Adakah cadangan itu bertujuan menakut-nakutkan rakyat? Saya tidak fikir tulisan yang kononnya memfitnah dan tidak bertanggungjawab seperti diuar-uar KDN itu menggugat keamanan dan kestabilan negara.
“Negara ini masih aman, pemerintah yang korup dan zalim masih kekal memerintah,” katanya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan