Sabtu, 31 Ogos 2013

MB: Selangor tumpu pembangunan desa yang diabai sejak 56 tahun merdeka


logo-merdeka-2013-wallpaper

SHAH ALAM : Pentadbiran telus dan berhemah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu membolehkan setiap rakyat mendapat pelbagai kemajuan dan kemudahan yang disediakan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata, setiap rakyat tidak kira perbezaan agama dan bangsa tidak terlepas daripada menikmati pelbagai manfaat melalui skim dan program yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada pembangunan desa yang dahulunya diabaikan supaya pendapatan masyarakat kampung dapat ditingkatkan selari dengan pembangunan di bandar.

“Sejak Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat, dari pentadbiran telus, bersih dan berhemah, pelbagai program dan strategi di buat, impak kemajuan diagih kepada rakyat, dari usia bayi ke liang lahad, yang miskin, yang berada, yang bekeluarga, yang bujang, tiada anak Selangor tertinggal mendapat kemajuan dan kemudahan yang diberikan.

“Pembangunan desa mahu diketengahkan setelah 55 tahun gagal dimaju, pelbagai pemberian agar pendapatan penduduk kampung dapat ditingkatkan, Kerajaan Pakatan Rakyat jadikan ia antara tumpuan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Selangorku Maju’ di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Panglima Diraja Selangor, barisan Exco Selangor, pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan serta lebih 30,000 pengunjung berbilang bangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran supaya setiap rakyat di Selangor menikmati setiap kemajuan yang akan dilaksanakan.

“Kerjasama pemimpin dan pihak lain sentiasa dipantau agar sistem penyampaian dilaksanakan agar kebajikan dan kemaslahatan sentiasa

diutamakan, agar tiada pemimpin bertuah mengayakan kroni dan keluarga, bahkan kemudahan lain kepada pelabur sentiasa dijaga.

“Justeru, dalam tempoh lima tahun Pakatan Rakyat, kita akan teruskan kecemerlangan demi kemakmuran, Selangorku maju, rakyat bersatu,” katanya lagi.

Sambutan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan 45 kontinjen yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),

Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta lain-lain jabatan kerajaan.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan aksi lagak ngeri Tatu ATM dan pancaragam sekolah-sekolah.

Laungan slogan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan pertunjukan bunga api mengakhiri sambutan kemerdekaan itu tepat pukul 12 tengah malam.-FZL

Bukan soal kerajaan perpaduan tetapi penyelesaian isu rakyat – Anwar


DSAI_hq2

Dialog terbuka antara kerajaan dan pembangkang bukannya menjurus kepada pembentukan kerajaan perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak berbangkit sama sekali isu kerajaan perpaduan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Memetik Keadilan Daily, Ketua Umum PKR itu ketika menjawab soalan pemberita, berkata ia amalan biasa dalam sesebuah negara demokrasi.

“Dalam negara demokrasi asasnya ialah meletakkan rundingan semua pihak termasuk pembabitan pembangkang.

“Jadi apa salahnya diadakan rundingan untuk membincangkan beberapa isu asas.

“Pakatan memperoleh suara majoriti rakyat yang mahu melakukan perubahan. Kita akui gerak kerja mesti diteruskan untuk menyelamatkan negara,” katanya.

Anwar berkata, dialog itu usaha terbaru bagi membantu rakyat yang memberi undi majoriti kepada Pakatan.

Beliau menggariskan beberapa isu yang menjadi asas perbincangan, antaranya soal kaum dan agama yang dimanipulasi, ekonomi yang kian merudum, peningkatan kadar jenayah dan tata kelola kerajaan yang baik.

“Kita mampu melupakan ketegangan dan keresahan akibat kecurangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan meletakkan kepentingan nasional sebagai keutamaan,” katanya.

Sanjeevan tidak ingat cubaan bunuh, MyWatch tuduh polis bertanggungjawab

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
















 Pemantau jenayah MyWatch menunding jari ke atas pasukan polis terhadap cubaan membunuh ketuanya R. Sri Sanjeevan, selepas sebulan kes tembakan berlalu.

Penasihat MyWatch S. Gobikrishnan semalam mendedahkan Sanjeevan telah menerima satu panggilan telefon ugutan daripada salah sebuah balai polis di Negeri Sembilan sebelum ditembak.

Pemanggil memberi amaran Sanjeevan akan ditembak kerana telah menghubungi Bukit Aman bagi mengadu terhadap aktiviti perjudian yang berleluasa di negeri tersebut.

Gobikrishnan berkata Sanjeevan telah pergi ke balai polis Jelebu untuk mengadu terhadap aktiviti perjudian tetapi mereka tidak mengendahkannya.


"Dia serta-merta menghubungi Bukit Aman dan 15 minit kemudiaan beliau menerima satu panggilan ugutan," kata beliau dalam satu forum “Jenayah semakin parah: Persepsi atau Realiti" di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu kota semalam.

Gobikrisnan menambah semakan mendapati rekod panggilan tersebut dibuat daripada balai polis Jelebu, malah laporan juga telah dibuat dengan polis Negeri Sembilan tetapi kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan susulan.

"Alasan diberi adalah mereka tidak dapat mencari individu yang membuat panggilan tersebut," kata Gobikrishnan.

Maklumat tersebut juga disampaikan kepada pengarah siasatan jenayah (CID) pusat Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu mesyuarat di Bukit Aman minggu lepas yang turut dihadiri oleh bapa Sanjeevan, P. Ramakrishnan.

"Kami telah membuat permintaan kepadanya untuk membuka kes tersebut bagi siasatan lanjut," kata Gobikrishnan lagi.

Bulan lepas, beberapa hari selepas tembakan Sanjeevan di Bahau, Gobikrishnan telah dipanggil polis untuk soal-siasat.

Beliau mendakwa pihak polis sebaliknya tidak bertanyakan tentang soalan berkaitan tembakan Sanjeevan, mereka lebih berminat untuk mengetahui tentang komen yang ditulisnya di laman Twitter.

Komennya bertulis, "kongsi gelap lakukannya, dibawah arahan pihak berkuasa", merujuk kepada tembakan ke atas Sanjeevan pada 27 Julai.

Sanjeevan telah ditembak oleh dua suspek yang menunggang motosikal ketika mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat di Bahau.

Minggu lepas, Sanjeevan berjaya menjalani pembedahan bagi membuang peluru pada bahunya dan tulang rusuknya.

Media melaporkan semalam Sanjeevan kelihatan hilang ingatan selepas kembali sedar.

The Star melaporkan bapa Sanjeevan berkata anaknya tidak ingat terhadap cubaan membunuh ke atasnya mahupun mengenali sesiapa.

Doktor berkata Sanjeevan mengalami amnesia berkemungkinan kerana koma selama 10 hari.

Spekulasi kuat mengatakan anggota polis terlibat secara langsung dalam tembakan tersebut. Malah terdapat dakwaan mengatakan kerana Sanjeevan telah melampaui batas.

[SERIUS] “Ada Peminjam PTPTN Mahu Bunuh Diri”


KELAB GREENBOC
Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkongsi sebuah kisah tragis yang ditemui dalam soalan terbuka kepada responden dalam kaji selidik Keberhutangan PTPTN yang bermula pada 23 Ogos lalu.

“Banyak jawapan yang saya terima, ada yang memberitahu tidak makan kerana mahu membayar pinjaman.

“Ada satu kisah nak bunuh diri kerana gagal membayar PTPTN,” ujar ahli parlimen Pandan itu ketika membentangkan hasil kajian berkenaan di Perpustakaan MBPJ semalam.

“Pada mulanya saya gelak. Tetapi bila fikir balik, perkara ini sebenarnya serius,” katanya.

Menurut Rafizi, respon berkenaan diterima dalam soalan terbuka yang dikemukakan kepada peminjam bagi mengenal pasti apakah punca peminjam gagal membayar pinjaman.

“Kita tidak menyediakan pilihan. Sebab kalau tidak nanti orang ramai anggap kajian ini hanya bertujuan menepati kehendak KEADILAN sahaja,” katanya. -KDbr>



PKR lancar kaji selidik profail peminjam PTPTN


Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.

Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan ‘tweetup#PTPTN’ yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

“Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam ‘tweetup’ yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

“Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.

Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.

Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.

“BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

“PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen,” ujar Rafizi lagi.

Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.

Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
-selangorku

Ada pondok belum tentu ada anggota polis

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan harta benda mereka terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tragedi yang menimpa eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar, yang meninggal dunia dalam insiden samun di Taman Cempaka, Ampang amat menyayatkan hati.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Chempaka, saya ingin menyampaikan ucapan takziah saya kepada keluarga allahyarham. Saya mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat,” katanya lagi.

Sebagai Ahli Dewan Negeri, beliau merasakan sesuatu yang drastik perlu dilakukan di kawasan tersebut untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

Menurutnya, pejabat beliau telah menerima terlalu banyak aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Katanya, pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat allahyarham disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kampung Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, jelasnya tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

“Sebagai langkah awal, pejabat saya akan mula membina 5 pondok polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013,” katanya lagi.

Dalam tahun 2008, Iskandar pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika beliau ketika itu merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasratnya untuk membina pondok-pondok polis.

“Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina.

“Tetapi suasana hari ini telah menjadi tidak terkawal. Saya tidak akan menunggu jaminan pihak polis. Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat pada bulan Oktober ini,” ujarnya.

Merdeheka


Oleh Hishamuddin Rais

Seorang menteri dari parti UnitedMalays National Organisation mencadangkan digubal satu rang undang-undang untuk mewajibkan dan memaksa rakyat Malaysia mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap bulan Ogos. Sang menteri ini sedang gelabah kerana orang ramai - rakyat Malaysia - langsung tak ambil pot tentang bulan Ogos. Bulan Ogos adalah bulan yang dipanggil oleh gerombolan ini bulan kemerdekaan.

Kadang-kadang saya naik kasihan melihat gerombolan politikus dari United Malays National Organisation. Selalunya saya merasa gumbira dan ketawa melihat lawak kebangangan mereka. Saya juga bersedih kerana mereka buta sejarah. Kesedihan menjadi lawak kerana gerombolan politikus ini juga amat-amat buta politik.

Bila tulisan ini disiarkan - hari malapetaka 31 Ogos - akan sampai tidak lama lagi. Ertinya empat hari lagi dalam istilah United Malays National Organisation kita akan menyambut merdeka. Tarikh 31 Ogos dalam naratif gerombolan difahami sebagai hari mereka dinobatkan untuk menjadi raja.

Wahai para pembaca yang budiman, lihat di jalan raya. Buka mata dan pandang. Amati betul-betul. Di jalan raya tidak ada teksi. Tidak ada kereta persendirian. Tidak ada bas. Tidak ada van. Tidak ada bas sekolah. Tidak ada mat rempit. Tak ada kenderaan apa pun yang sedang mengkibarkan Jalur Gemilang.

Pilu di hati ini menjadi bertambah lawak. Pada tahun ini lori bawa pasir pun tidak mengibarkan bendera. Selalunya lori pasir akan memasang bendera agar dilihat patriotik. Pasang bendera untuk menghindarkan dari ‘kena pau' oleh mata-mata yang sentiasa mencari kesalahan lori pasir. Kalau lori pasir pun sudah tidak mengibarkan dengan bendera ini maka jelas propaganda United Malays National Organisation sedang sakit tenat.

Tetapi kenapa agaknya warga Malaysia enggan mengibarkan bendera yang dipanggil bendera Malaysia?

Kita wajib menyingkap kembali sejarah negara bangsa, sejarah kelahiran Tanah Melayu yang kemudiannya menjadi Malaysia. Sejarah inilah yang selama ini telah dinyahkan oleh United Malays National Organisation. Tetapi dengan mewujudkan sistem maklumat Internet dari hari ke hari, warga Malaysia terutama anak-anak muda sedang menggali kembali sejarah yang selama ini cuba dikambus. Penipuan sejarah yang diciritkan oleh United Malays National Organisation kini terbongkar.

Setiap kali bulan Ogos sampai United Malay National Organisation yang akan tercirit mulut mengakui bahawa ‘kemerdekaan' negara ini didapati dengan jalan damai. Merdeka Tanah Melayu dimenangi melalui berunding. Poorah. Yang berunding ialah Uniterd Malays National Organisation. Parti ini TIDAK pernah melawan dan tidak pernah menentang penjajah British. Buktinya cukup senang.

Penjajah ialah musuh. Penjajah ialah orang jahat. Penjajah datang untuk mengambil tanah, minyak, kelapa, rempah, emas, balak dan, dan, dan. Penjajah menjadikan anak tanah jajahan sebagai hamba. Penjajah beli barangan tempatan dengan harga murah dan jual dengan harga mahal. Penjajah merampok dan menjarah tanah jajahan.

Justeru dalam sejarah Asia, Afrika dan Amerika Latin, semua kuasa kolonial penjajah telah dilawan oleh anak watan. Indonesia melawan Belanda. Filipina melawan Sepanyol. Rakyat Vietnam bangun melawan Perancis dan kemudian Amerika. Burma melawan British. India melawan Bristish. Ramai nasionalis dari negara-negara ini ditangkap, dipenjara, dibunuh atau dibuang negeri kerana menentang penjajah.

Sila tanya kepada ahli United Malays National Organisation siapakah pemimpin parti mereka yang telah melawan Bristih? Siapa pemimpin mereka yang telah ditangkap British atau yang telah dipenjara oleh British atau dibunuh British? Kalau ada pemimpin United Malays National Organisation sebesar tungau sekali pun yang bangun melawan British maka sejarah akan tabik hormat. Tetapi hakikatnya seekor pun tidak ada.

United Malays National Organisation - yang namanya masih nama Inggeris - bukan parti nasionalis anti-British. Mereka adalah parti budak suruhan British. Parti ini adalah alat penjajah British. Justeru namanya masih lagi nama Inggeris.

Naratif kemerdekaan yang diciritkan oleh United Malays National Organsiation bukan naratif perjuangan menentang British. Naratif mereka ialah ‘menentang orang yang menentang British'. Setiap bulan Ogos mereka akan tercirit dengan kesah bagaimana mereka menentang Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka akan tercirit dengan tohmahan menentang Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Mereka menentang Gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang bangun angkat senjata melawan penjajah.

United Malays National Organisation menentang PKM, menentang PKMM, menentang Kesatuan Melayu Muda (KMM), menentang Hizbul Muslimin, menentang Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS). Nama-nama ini adalah parti dan kumpulan nasionalis yang telah bangun menentang penjajah British.

Jelas United Malays National Organisation TIDAK pernah menentang British. Tidak ada naratif melawan untuk mendapatkan Merdeka. Parti ini telah bangun menentang orang yang menentang British. Ini sejarah jahat United Malays National Organisation. Jelas, tugas parti ini ialah menjadi budak suruhan British untuk menentang kaum nasionalis yang bermandi darah mengangkat senjata melawan British. Inilah naratif bulan Ogos yang mereka gembar gemburkan sebagai ‘bulan kemerdekaan'.

Tarikh 31 Ogos ialah hari malapetaka. Pada tahun 1957 - di hari malapetaka - British telah meninggalkan kuasa dan memberikan Tanah Melayu ini untuk diperintah oleh United Malays National Organisation dan konco-konconya. Semenjak dari tarikh ini Tanah Melayu dan kemudian Malaysia tidak sudah-sudah terus ditimpa oleh malapetaka.

Setelah memahami babak babak sejarah ini maka kita akan sedar kenapa rakyat Malaysia - anak semua bangsa - enggan mengibarkan bendera yang kini telah dikenali sebagai Jalur Gemilang. Bendera ini adalah ciplakan. Kita tidak perlu pergi belajar ke Oxford atau Sorbonne untuk memahami fakta ciplakan ini. Malah anak mahasiswa dari Universiti Sintok pun dapat memahami bahawa Jalur Gemilang ini diciplak dari Star-Spangled Banner - bendera Amerika Syarikat.

Kebencian dan keengganan anak semua bangsa untuk mengibarkan Jalur Gemilang ini semakin menjadi-jadi hinggakan perlu satu rang undang-undang. Kenapa ini berlaku?

Biar saya terangkan kenapa ini terjadi. Bulan Ogos tahun 2013 adalah tanda penolakan yang amat jelas terhadap Jalur Gemilang - simbol milik United Malays National Organisation ini. Ini terjadi kerana kurang lebih tiga 3 bulan dahulu rakyat Malaysia telah ditipu oleh United Malays National Organisation. Dalam PRU13 yang baru selesai United Malays National Organsiation telah menang dan kembali berkuasa.

Menang dan kembali berkuasa dengan jalan tipu. Penipuan ini cukup jelas dan disedari oleh orang ramai.
Terbukti bahawa rakyat Malaysia - anak semua bangsa - dalam PRU13 telah menolak United Malays National Organisation dan konco-konco. Tetapi dengan licik dan penuh perancangan yang disusun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya - gerombolan yang telah ditolak oleh rakyat ini kembali berkuasa. Ini menyebabkan orang ramai bertambah marah dan benci kepada Jalur Gemilang yang menjadi simbol United Malays National Organisation.

Apa yang saya tulis ini bukan untuk bacaan satu kumpulan minoriti. Apa yang saya tulis ini bukan sentimen kumpulan kecil. Apa yang saya lakar ialah suara dan tuntutan 52 peratus warga Malaysia - anak semua bangsa. Apabila Anwar Ibrahim bercakap, apabila Hadi Awang bersuara atau apabila Lim Kit Siang mengeluarkan pandangan - itu adalah suara dan pandangan 52 peratus warga Malaysia.

Orang ramai - 52 peraus warga Malaysia - merasa ditipu dalam PRU13. Orang ramai - 52 peratus - yakin kemenangan mereka telah dirampas. Orang ramai tahu bahawa kuasa United Malays National Organisation ini adalah hasil dari penipuan yang dirancang. Maka tanda awal yang dapat mereka nyatakan tiga bulan kemudian ialah mereka tidak ambil pot tentang Jalur Gemilang.

Rasa muak dan mual terhadap kerenah United Malays National Organisation ini belum selesai. Kemarahan orang ramai kerana kemenangan mereka dirampas tidak akan terhenti. Rasa muak, benci dan marah ini sedang dikongsi oleh 52 peratus warga Malaysia. Rasa kemarahan ini sedang membara.

Justeru para menteri dan para politikus dari United Malays National Organisation dan konco-konconya wajib sedar bahawa mereka berkuasa kerana penipuan. Suara mereka bukan suara majoriti. Para aparacik parti dan para pegawai kerajaan wajib sedar bahawa kerajaan hari ini adakah kerajaan haram yang ditubuhkan melalui penipuan.

Bagaimana pula dengan lagu Negaraku yang kini dimainkan dalam panggung wayang? Para penonton akan dipaksa mendengar lagu ini. Ini juga menjadi berita heboh bulan Ogos. Sebenarnya lagu Negaraku ini sama seperti Jalur Gemilang. Lagu yang dipangggil lagu kebangsaan ini adalah hasil ciplakan. Lagu asal La Rosalie dari Perancis, menjadi Memula Moon, menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia dan diciplak untuk menjadi lagu Negaraku.

La Rosalie, Memula Moon, Terang Bulan atau Negaraku akan dipaksakan kepada penonton panggung wayang. Ini akan menjadi lawak seram. Tidak ada sesiapa yang memiliki harga diri dan tahu sejarah asal usul lagu ini akan bangun hormat pada lagu ini. Lagu Negaraku adalah hasil ciplakan. Tidak perlu ditutup lagi sejarah ini. Segala yang diciplak lambat laun akan diketahui umum. Lambat laun akan dihumbankan.

Tidak dapat tidak Malaysia hari ini memerlukan satu bendera yang memiliki motif wataniah untuk melambangkan sejarah pejuangan anak bangsa. Bukan bendera ciplakan dari bendera Amerika. Malaysia juga memerlukan lagu kebangsaan yang menjiwai tempo dan naluri sejarah bangsa. Malaysia dengan politik baru akan menghumbankan ke dalam tong sampah sejarah semua yang diciplak. Melahirkan ini adalah tugas anak muda yang telah diberikan oleh sejarah....M/kin

Polis Kedah tahan 5 lagi suspek kongsi gelap

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim

ALOR SETAR - Lima lelaki dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04 dan Geng 08 ditahan dalam Ops Cantas Khas di sini petang semalam dan awal pagi ini, menjadikan 183 suspek ahli kongsi gelap ditahan di Kedah setakat ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata empat lelaki dari Kubang Pasu berumur antara 20 hingga 30 tahun diberkas di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam ketika cuba masuk ke Thailand, kira-kira 5.40 petang semalam.

"Polis mendapati semua empat lelaki itu mempunyai tatu lambang ahli kumpulan kongsi gelap dipercayai Geng 04 apabila diperiksa. Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan," kata Ahmad pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Seorang lagi lelaki berumur 21 tahun yang dipercayai anggota Geng 08 berdasarkan simbol pada badannya ditahan kira-kira 12.45 tengah malam tadi di Kulim, katanya.

Katanya menjadi ahli pertubuhan haram boleh didakwa mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya. - Bernama

Tiada kompromi ahli politik terlibat kongsi gelap

Wan Junaidi Tuanku Jaafar Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata polis tidak akan berkompromi malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu termasuk ahli politik sekiranya terbukti terlibat kongsi gelap.

Beliau yakin polis mampu mengumpul maklumat terperinci untuk membuktikan sesiapa sahaja yang terlibat kongsi gelap tidak kira ahli politik atau tidak.

"Malahan undang-undang juga akan dikuatkuasakan supaya polis tidak disalahtafsirkan berkompromi dengan penjenayah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Junaidi berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Sin Chew Daily, Rabu lepas yang mengatakan sebilangan ahli politik ternama menaungi beberapa kumpulan kongsi gelap dan menjadi penasihat kumpulan terbabit.

Kumpulan itu meliputi "Geng 04", "Geng 08", "Geng 21" dan "Geng 36" daripada kalangan kaum India; "Hong Shun Tang", "3821", "Wu Se Qi", "Hong Men" dan Hua Ji Dang" daripada kalangan kaum Cina; serta "Geng 3 Calit" daripada kalangan kaum Melayu.

Sementara itu, Menteri Muda Perumahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata tindakan tegas patut diambil terhadap ahli politik yang didapati terlibat kegiatan kongsi gelap.

"Sejujurnya parti boleh mengambil tindakan susulan untuk memecat atau mengenakan tindakan disiplin mengikut perlembagaan parti. 

"Tetapi ianya harus ada butiran lengkap, jangan hanya atas dakwaan (mereka terlibat) sahaja," katanya.

Dua hari lepas ketika hadir di program sambutan hari raya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini pihaknya tidak mendengar penglibatan sebarang ahli politik dalam kumpulan kongsi gelap.

Polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika siasatan membuktikannya, katanya. - Bernama

Tanda Putera – Filem sejarah atau fiksyen?

Oleh : Mahdzir Ibrahim

Poster_Filem-Tanda_Putera 
 Filem tanda Putera telah pun saya tonton di pawagam. Selain mahu melihat sendiri gembar-gembur tentang filem ini, ia juga saya anggap sebagai sumbangan peribadi saya kepada penerbit filem tersebut demi menyokong kemajuan filem tempatan. Mudah-mudahan dengan wang tiket yang saya bayar itu, sedikit sebanyak akan dapat membantu memajukan lagi filem tempatan.

Saya sebagai penonton mempunyai pandangan sendiri, saya akan cuba berlaku adil menilai filem ini.

Menurut laporan media, kos filem ini sekitar RM 4.5 juta, ia dibiayai oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM2.5 juta dan RM2 juta lagi daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC). Tidak termasuk penajaan dari syarikat kerajaan seperti syarikat penerbangan Malaysia (MAS).

Dengan kos tersebut, saya fikir hasil dari aspek teknikalnya tidaklah begitu memuaskan. Penggunaan teknik CGI atau Computer Generated Image yang digunakan tidak sempurna dan tidak kemas malah jika difikir-fikirkan, ianya tidak perlu bagi filem sebegini. Namun terpulanglah kepada pengarah kerana itu haknya.

Begitu juga dalam dalam aspek rekabentuk produksi, props dan costume. Ia tidak cukup sempurna untuk menggambarkan suasana di zaman tersebut sedangkan filem ini berlatarkan suasana diera 60/70an. Jauh bezanya dengan props dan costume filem Bukit Kepong atau Leftenan Adnan. Adakah kerana penerbitnya ingin berjimat, kita tidak pasti.

Selepas menonton, saya tertanya-tanya adakah filem ini mahu bercerita tentang sejarah 13 Mei atau apa?
Babak kencing tiang bendera Selangor ada dipaparkan. Tetapi tidak jelas adakah adegan ini benar-benar wujud dan bersumberkan dari fakta sejarah. Jika benar-benar bersumberkan dari sejarah, dimana dan apakah sumbernya? Samada dari laporan polis atau catatan sejarawan, saya ingin tahu.

Jika ia fiksyen, bendera Selangor itu bukan fiksyen. Malah, tiang bendera dalam babak tersebut tidak jelas berada dimana, didalam kawasan rumah Datuk Harunkah (Menteri Besar Selangor ketika itu) atau ditepi longkang pejabat kerajaankah atau disebelah warungkah?

Kita tak pasti sama sekali. Jika ada yang mengaitkan ianya dikawasan kediaman Menteri Besar Selangor, mungkin itu hanya tanggapan saja kerana bendera ditiang itu bendera Selangor atau banyak babak 13 Mei dalam filem itu berlaku disekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Atau, adakah babak kencing tiang bendera itu sebenarnya adalah imaginasi pengarah berdasarkan dengar cakap dari sumber yang tidak jelas?

Jika kita rujuk penjelasan Sdr. Ahmad Habib dalam temubual oleh roketkini di sini (http://www.roketkini.com/2012/09/14/kencing-tiang-bendera-kit-siang-difitnah-saksi-13-mei/) yang berada dilokasi rusuhan (Kampung Baru) pada ketika itu, jelas sekali bahawa hampir mustahil peristiwa kencing tiang bendera Selangor itu dilakukan di kediaman Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Jadi, jika bukan berlaku di kediaman Menteri Besar, maka ia berlaku dimana? Adegan ini bukan adegan lagak ngeri (stunt) yang boleh difiksyen-fiksyen sesuka hati. Adegan ini berkaitan langsung dengan sejarah 13 Mei.

Bagi saya, peristiwa 13 Mei yang digempakkan diawal babak dalam filem ini kelihatan hanya digunakan untuk memancing sentimen kemarahan dengan menggambarkan seolah-olah pembangkang dan komunis itu sama atau bekerjasama. Pembangkang dan komunis itu cuba digambarkan dengan imej satu kaum sahaja iaitu Cina disamping logo DAP terpampang disana-sini dalam babak tersebut.

Sedikit selingan buat pengarahnya – DAP bukan komunis apatah lagi menyokongnya, malah penubuhan DAP adalah bukti penolakan DAP akan perjuangan komunis yang menggunakan senjata.

Bertolak dari imej-imej ini, maka pada awalnya saya menyangka filem ini ingin menceritakan kembali peristiwa 13 Mei mengikut kronologi dan laporan saksi-saksi secara jelas. Ketika menontonnya saya cuba bersangka baik dan mencari lojik tentang paparan imej tersebut yang mungkin dapat memberi gambaran jelas kepada penonton tentang apa sebenarnya yang telah berlaku dalam peristiwa 13 Mei ini.

Tetapi ia tidak berlaku begitu. Pengarah mematikan peristiwa 13 Mei ini setengah jalan (tak sampai separuh sebenarnya). Tinggalah imej-imej logo DAP, Cina dan Komunis melekat dimemori penonton tanpa apa-apa penjelasan dan pertanggungjawaban. Permulaan yang mendebarkan tiba-tiba hilang lenyap tak berkesudahan.

Yang lain hanya drama hubungan keluarga dan persahabatan Tun Razak dengan Tun Dr. Ismail dan beberapa babak pendek tentang usaha beliau mewujudkan felda, usaha Tun dalam perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kisah komunis yang diselitkan serba-sedikit.

Watak dan pemilihan pelakon (casting) Tun Razak dan Tun Dr Ismail agak berjaya, ia dilakonkan dengan baik dan berkesan, tahniah buat pelakonnya, Rusdi Ramli dan Zizan Nin.

Namun akhir semua ini, babak 13 Mei yang digempakkan itu terhenti, tergantung dan ghaib entah kemana. Filem sejarah apakah ini? Saya tidak nampak atau memahami signifikan antara babak-babak 13 Mei dengan sejarah ketokohan Tun Razak dalam filem ini.

Jika ini bukan filem sejarah 13 Mei, adakah ia filem sejarah mengenai ketokohan Tun Razak dan rakannya Tun Dr. Ismail? Jika benar, pasti sumbangan terpenting Tun seperti penubuhan Felda digarap dengan lebih jitu lagi berbanding garapan peristiwa 13 Mei. Tetapi tidak begitu.

Filem ini tidak mengangkat dengan jelas sumbangan Tun dalam penubuhan Felda atau pun usaha Tun dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Maka kita keliru arah cerita ini.

Atau, adakah filem ini memang bukan filem sejarah langsung. Hanya filem fiksyen yang mencedok sedikit fakta sejarah dan ditempelkan ke atas susuk Tun Razak hingga menjadi filem fiksyen agar pengarah atau penerbitnya tidak perlu dipertanggungjawabkan oleh penghayat atau sesiapa.

Memang kita memahami bahawa adaptasi dari sumber pertama (asal) kepada medium lain akan diolah kembali dengan elemen-elemen fiksyen sebagai penyedap atau penarik. Ini kita bersetuju.

Namun demikian, nuansa antara fakta dan fiksyen seharusnya jelas. Dalam filem Tanda Putera ini, fiksyen dan fakta bercampur-baur dan berkecamuk, bagi yang tidak membaca atau menyelidiki sejarah 13 Mei ini, pasti akan menganggap semua babak dalam filem ini adalah seratus peratus berdasarkan fakta.

Akhirnya kita ingin sekali bertanya kepada pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba, filem ini filem apa? Filem sejarah atau fiksyen?

Saya fikir saya berhak mendapat penjelasan daripadanya kerana filem beliau ini dibiayai dari wang cukai rakyat, bukan sedikit tetapi banyak. Wang cukai rakyat ini dikutip oleh kerajaan dari semua kaum, Melayu, Cina India, ahli DAP, ahli UMNO, PKR, orang Islam, bukan Islam, orang miskin dan kaya malah semuanya.

Jika ia filem sejarah, maka ia milik rakyat dan rakyat berhak menuntut penjelasan. Jika fiksyen, maka penerbit harus bersedia bertanggungjawab atas paparan imej atau babak-babak dalam karyanya.

Saya mendukung prinsip kebebasan berkarya, berekspresi dan berkreativiti. Saya akan pertahankan hak saudari Shuhaimi Baba jika dia benar.

Disebalik semua ini, saya juga tertanya-tanya, bagaimana Finas menjustifikasikan filem ini hingga sanggup melabur jutaan ringgit dengan mempertaruhkan prinsip keharmonian kaum. Untuk apa? Kebenaran? – Roketkini.com

Selamatkah tiga naib presiden ini?


Oleh Yusuf Harun

KEMPEN untuk semua jawatan yang dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 19 Oktober nanti dilihat baru masuk gear satu - tidak seperti jawatan presiden dan timbalan presiden yang berkemungkinan menggunakan gear automatik.

Justeru belum tahu lagi siapa bakal menentang siapa. Namun, tentu sekali perang kecil-kecilan Umno sudah pun bermula.

Di tempat-tempat lain, hampir separuh daripada 20,000 cawangan dari 191 bahagian telah menjadi medan pertempuran pemimpin peringkat cawangan.

Petanda yang memberikan alamat dan gambaran awal, sama ada ketua-ketua baru bakal mengetuai bahagian tertentu ataupun berlaku status quo sudah dapat dinilai berasaskan pemilihan di peringkat cawangan.

Dalam pada itu berita panas mula kedengaran di sana sini. Dalam perkampungan Wanita Umno misalnya, sudah bertiup khabar mengatakan Shahrizat Abd Jalil, penyandang jawatan Ketua Wanita Umno bakal disaingi Azalina Osman Said, mantan Ketua Puteri Umno.

Pendedahan Mashitah Ibrahim, bekas timbalan menteri kini Ketua Wanita Umno bahagian Baling yang mendakwa ada pihak “menaja” calon menentangnya merupakan petanda awal akan berlakunya persaingan sengit untuk jawatan tersebut.

Khabar angin seperti ini mungkin benar atau mungkin tidak. Ia berlaku di mana-mana dan melibatkan semua jawatan penting dalam Umno.

Taja menaja dengan tujuan menjatuhkan seseorang bagi menggantikan dengan calon pilihannya merupakan budaya yang kian sebati dalam Umno dan semakin tampak sukar dihapuskan.

Di peringkat Pemuda pula bahangnya lebih panas dan hebat apabila ketua-ketua bahagian ikut menyokong calon masing-masing.

Cerita amalan penularan nepotisme dalam pemilihan kali ini bukan perkara baru. Tapi inilah demokrasi dalam amalan Umno.

Si ayah yang kebetulan ketua bahagian menggunakan kedudukan menentukan ketua pemuda atau ketua wanita. Ini seperti mengujudkan dinasti dalam Umno bahagian berkenaan.

Salah satu cadangan yang menarik perhatian kita ialah memberi kuasa pada Presiden Umno melantik tiga naib presiden berbanding ia dipilih pada masa sekarang.

Dalam pemilihan tempoh hari seramai 2,500 perwakilan menentukan siapa yang nak dipilih ke jawatan itu tetapi sekarang perwakilan berjumlah 146,500 orang. Tentulah semakin sukar bagi mana-mana calon.

Cadangan itu bunyinya ideal kerana ia boleh mengurangkan politicking di kalangan para pemimpin tapi soalnya apakah ia sesuatu yang praktikal.

Sebab akhirnya ia akan membunuh semangat demokrasi itu sendiri. Umno merupakan parti paling demokratik setakat ini bakal hilang identiti jika presiden menentukan  tiga naib presiden.

Pada masa kini tiga naib presiden, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Apdal dilihat sudah lulus ujian.

Sementara Zahid dan Hishamuddin merupakan bekas Ketua Pergerakan Pemuda, Shafie juga lahir dari kilang yang sama mewakili Sabah.

Walaupun Zahid kini dilihat menikmati mileage politik melalui agenda membanteras jenayah berat sebaik dilantik Menteri Dalam Negeri serta publisiti yang dinikmati beliau menerusi usaha tersebut, Hishamuddin tidak kurang hebatnya.

Mereka sudah memperlihatkan rekod kerja yang cemerlang. Dengarnya PM Najib Razak berpuas hati dengan prestasi kerja ketiga-tiganya.

Setakat ini Isa Samad sudah mengumumkan hasrat bertanding menyaingi tiga naib presiden ini. Lain-lain calon termasuk Ali Rustam masih berteka teki. Nampak gaya Isa pun masih memegang angan-angan nak jadi PM atau TPM?

Selain Ali ialah Mukhrij Mahathir, MB Kedah. Berita panas mengenai Mukhrij turut mengintai jawatan ini jadi bahan spekulasi dalam media internet.

Sementara kedudukan naib ketua sayap pemuda menjadi teka teki dan bualan, kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai ketuanya semakin mantap. Pada peringkat ini KJ tidak hadapi  masalah pertahan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, kita harus akur prestasi seseorang pemimpin Umno juga dinilai oleh rakyat di luar Umno. Sementara mereka tidak memiliki hak mengundi di perhimpunan, mereka tetap berhak untuk bersuara.

Dan sementara Najib berpuas hati dengan prestasi mereka yang dikatakan itu, belum tentu rakyat boleh menerima.

Barangkali sudah sampai masanya Najib perlu mengambil nota tentang perkara ini dan mengambil langkah bersesuaian. Ramai melihat, kejayaan transformasi ekonomi dan pentadbiran negara yang diusahakan oleh PM hanya akan tercapai sekiranya Umno bersedia mengubah set mental, pendekatan dan transformasi pemilihan kepimpinannya.

Najib bukan penyelamat Umno


Oleh Lim Hong Siang 

KETIKA diminta Mobtv untuk mengulas 100 hari pertama pentadbiran Najib Razak selepas PRU13, saya menyimpulkan bahawa kepimpinan beliau tidak memperlihatkan tekad politik dan hala tuju yang jelas, dan meramalkan bahawa mungkin Najib akan mengulangi nasib Abdullah Ahmad Badawi. Mengulangi nasib Pak Lah tidak semestinya bermakna Najib akan digulingkan dalam Umno, tetapi dalam erti kata beliau tidak meninggalkan legasi yang terpahat dalam hati rakyat.

 Tidak kurang pengamal media yang merungut bahawa Najib jarang memanggil sidang media selepas 505.

Tiada "program transformasi" yang jelas, malah kita tidak tahu pendirian beliau dalam isu-isu tertentu. Misalnya isu Akta Hasutan, setelah beberapa kali Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengasak dalam media untuk mengekalkan akta ini, barulah Najib membuat kenyataan untuk mengekalkan keputusan pemansuhan Akta Hasutan. Namun kenyataan ini tidak menjernihkan situasi, kerana Akta Hasutan terus digunakan untuk penangkapan aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat seperti Adam Adli, Tian Chua dan Tamrin Ghafar.

Zaman rakyat mudah ditipu sudah berlalu. Najib tidak boleh lagi mengulangi taktik Abdullah Badawi untuk meraih undi hanya dengan mengiklankan "imej". Poster dan billboard di sepanjang lebuh raya tidak menjanjikan sokongan. Akhirnya rakyat tidak menilai berdasarkan panjang telunjuk anda, atau kemanisan senyuman anda, tetapi "prestasi" anda. Pak Lah dibuang kerjanya kerana mandat yang diberikan pengundi tidak digunakan sebaiknya, tetapi disia-siakan begitu sahaja.

Dan pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan kelemahan dan kegagalan zaman pemerintahan sendiri.

Dalam satu wawancara bersama dua orang ahli akademik, Bridget Welsh dan James Chin, Pak Lah berkata dirinya tidak menjangka penentangan yang begitu ketara daripada dalaman terhadap perubahan yang ingin dibawanya. Pak Lah seolah-olah tidak sedar bahawa beliau menguasai lebih 90% kerusi dalam Dewan Rakyat selepas PRU11 pada tahun 2004. Dengan kuasa yang begitu besar, beliau berdalih bahawa tentangan yang hebat daripada sistem dalaman itu menghalang reformasinya. Tetapi jikalau tentangan datang dari rakyat ketika harga minyak dan tol dinaikkan, trak meriam air kimianya terus mara ke depan tanpa berhenti.

Ketika menjadi orang kedua kepada Mahathir Mohamad, barangkali kita boleh bersimpati bahawa Pak Lah terpaksa akur kepada Mahathir untuk membuat sesuatu yang tidak diingininya. Misalnya ketika Pak Lah menyandang jawatan Menteri Dalam Negeri semasa pemerintahan Mahathir, beliau meluluskan penangkapan menggunakan ISA terhadap reformis. Namun apabila beliau menjadi orang paling berkuasa, masih diberikan pelbagai dalih apabila usaha penambahbaikan dalam sistem tidak kesampaian.

Semestinya saya sedar akan keterbatasan yang dihadapi, dan saya tidak naif untuk mengharapkan perubahan dalam sekelip mata. Maksud saya, Pak Lah sanggup melakukan segala yang mampu untuk menentang suara rakyatnya, termasuk menyuraikan demonstrasi dengan kekerasan; tetapi apabila berdepan dengan penentangan dalam sistem, beliau dengan mudah mengalah dan menambat langkah reformasi.

Maka saya tidak sedikitpun hairan atau simpati apabila Pak Lah digulingkan. Bukan sahaja kelemahan dari segi kepimpinan, tetapi juga keterbatasan dalam dirinya untuk melihat sesuatu yang lebih jauh. Barangkali untuk perhitungan Pak Lah, beliau hanya mementingkan bagaimana dirinya boleh mengekalkan kuasa, dan memastikan sistem yang bobrok ini terus berjalan - atau lebih tepat, tidak mati di tangannya. Pak Lah tidak berani untuk mengambil risiko bersama rakyat, meskipun mandatnya datang daripada rakyat untuk melawan kebobrokan sistem.

Saya menganggap ini yang membezakan Pak Lah dengan Anwar Ibrahim. Pak Lah boleh memahat namanya dalam sejarah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, tetapi tidak meninggalkan legasi yang penting.

Barangkali era Pak Lah membuka ruang kebebasan untuk "tsunami politik" pada 8 Mac 2008, tetapi beliau sebenarnya boleh melakukan lebih daripada itu. Anwar Ibrahim, mungkin terlepas sebagai PM terbaik yang dimiliki rakyat Malaysia, tetapi pengaruh dan sumbangan beliau, jauh lebih penting berbanding Pak Lah dalam sejarah.

Berbalik kepada Najib, beliau akan mengulangi nasib Pak Lah seandainya terus mengulangi kenyataan perubahan mengambil masa yang panjang. Jikalau Najib sekadar mahu memastikan Umno tidak tumbang dalam tangannya, maka saya memberi jaminan di sini bahawa Najib tidak akan meninggalkan legasi yang memahat hati rakyatnya. Dengan senario pada hari ini, ditambah pula sistem pilihan raya yang direka sebegini, sekali Umno tumbang, ia berkemungkinan besar terus hancur berkecai dan tidak bangkit lagi.

Jikalau Najib hanya nampak "kekangan" dalam rejim lama, maka jasanya tidak akan berkembang ke mana-mana. Langkah menyelamatkan Umno bukan dengan memastikan ia berkuasa selama-lamanya, tetapi membiarkannya kalah dan bangkit semula pada masa depan. Jadi, seandainya Najib berpandangan jauh, beliau seharusnya berani untuk mengiktiraf bahawa Pakatan Rakyat memiliki sokongan majoriti 51%, dan bersedia untuk bekerjasama dengan Pakatan untuk pembinaan sistem pilihan raya yang adil. Hanya dengan sistem pilihan raya yang adil, parti yang tumpas akan sentiasa memiliki peluang untuk bangkit semula.

Mustahil Umno berkuasa selama-lamanya, tetapi boleh jadi tak akan Umno hilang di dunia ini.

Pendek kata, Najib perlu menumbangkan Umno sekarang supaya Umno bangkit semula pada masa depan setelah insaf dan bertaubat. Jikalau Najib tidak berani untuk berbuat demikian, beliau sekadar penyambung talian hayat sementara Umno, tetapi bukan penyelamat Umno.

Calon PMR dirogol kenalan Facebook



Harun Idris Harun Idris

LEDANG – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dirogol teman lelaki yang baru dikenalinya sejak sebulan lalu di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Gambir, dekat sini, 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pada siang hari kejadian, mangsa bersama lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu dikatakan keluar bersiar-siar.

“Ketika dalam perjalanan pulang untuk menghantar mangsa yang berusia 15 tahun ke rumahnya di sebuah kampung di Bukit Gambir, suspek mengajaknya singgah di kebun itu sebelum bertindak merogolnya.

“Atas desakan keluarga, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir jam 10 pagi pada 27 Ogos lalu iaitu 16 hari selepas kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Harun berkata, susulan daripada laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di rumah keluarganya di Kampung Parit Jarum Laut, dekat sini, sekitar jam 6 petang, 29 Ogos lalu.

“Turut dirampas motosikal dipercayai digunakan suspek ketika ke kebun sawit itu untuk merogol mangsa,” katanya.

Beliau berkata, mangsa masih bersekolah, manakala suspek bekerja di sebuah bengkel basikal di pekan berkenaan.

“Sebaik saja berkenalan dalam Facebook, mereka menjadi pasangan kekasih dan sering bertemu sebelum dirogol.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau serta bebas dadah,” katanya.

Katanya, suspek masih ditahan reman sehingga 5 September ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol gadis bawah umur.

“Remaja perempuan dinasihati jangan mudah mempercayai kenalan lelaki yang baru dikenali melalui laman sosial bagi mengelakkan diri diperdaya seterusnya menjadi mangsa rogol.

“Seeloknya keluar secara beramai-ramai dan berada di tempat awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Bocor: 'Saya akan saman berjuta ringgit!'


Bocor: 'Saya akan saman berjuta ringgit!' Datuk Yusof Haslam

“SAYA akan saman berjuta ringgit!”. Demikian reaksi pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam behubung kontroversi terbaru melibatkan filem arahan terbaru anak lelakinya, Syamsul Yusof, KL Gangster 2.

Filem sekuel yang menelan kos RM 4.5 juta itu dikhabarkan bocor di Internet sedangkan masih belum ditayangkan di pawagam.

Ekoran insiden tersebut, beliau mengadakan sidang media khas tergempar, semalam.

Dalam sidang media itu, jelas kekecewaan daripada pihaknya meskipun yang tersebar hanyalah 'raw material' yang belum diberi sentuhan akhir.

“Dari awal lagi saya dah rasa. Syamsul di Bangkok lagi sudah beritahu saya, ‘pastikan ya Papa, sekarang ini zaman digital, jangan sampai kita bocor di mana-mana. Habis kita nanti.’

“Sebab dah terlalu lewat, saya bagi Syamsul 'dateline' dan dia menghantar 'raw material' untuk filem itu, yang hanya 50 peratus kualitinya daripada segi kandungan, kesan dan CGI serta belum dibuat 'final mix' dan sebagainya,” katanya pada sidang media.

Filem yang tersebar luas itu dikatakan bukan dalam format berdefinisi tinggi.

“Dia kata hantar saja ke Lembaga Penapisan Filem (LPF)' dan Finas untuk penilaian wajib tayang memandangkan berpuluh filem menanti. Kalau tak, tayang 2014. Selama ini, kita hantar filem yang 100 peratus dari segi kualitinya.

“Tapi entah kenapa. Ada hikmah juga. Bayangkan kalau kita hantar 'Full HD' kepada syarat wajib tayang...LPF. Bayangkan apa yang terjadi. Sedangkan yang kualiti 50 peratus ini saja, besar kesannya terhadap kami,” katanya.

Akui tidak akan berkompromi dengan pelaku yang menyebarkan karya anaknya itu,  Yusof Haslam memberi amaran bakal mengambil tindakan tegas.

“Pejuangan kami tidak berhenti di sini. kepada mereka-mereka yang nak sabotaj kami, kami tak akan berdiam diri. Kalau kamu menggunakan Internet untuk mencetak rompak, pihak polis juga ada cara untuk mengesan.

“Kami akan bawa orang ini (pelaku) ke muka pengadilan. Bukan dengan denda setakat RM 1,000 tapi saya akan saman jutaan ringgit. Ini yang saya akan buat. Ini bukan perkara main-main.

“Filem ini melibatkan kos yang cukup besar. Walaupun kami buat filem dengan RM 100,000 modal sekalipun, itu adalah titik peluh kami, karya kami. Apabila karya kami dicuri, tidak ada kompromi,” katanya.

Tidak berhasrat untuk mempercepatkan tayangan KL Gangster 2, Yusof tidak mahu bersikap mementingkan diri.

“Tayangan filem ini tetap 3 Oktober. Saya disarankan untuk mempercepatkan tayangannya tapi saya tak nak.

“Saya boleh buat kalau fikir kepentingan diri sendiri tapi sebagai pembikin filem, saya menghormati rakan-rakan produser lain. Saya tak tergamaknya nak pijak kepala produser lain,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyerahkan soal sambutan dan kutipan kepada rezeki Allah.

“Insya-ALLAH ada rezeki, filem ini akan tetap dapat sambutan. Berapa nak kutip itu soal rezeki dari ALLAH,” katanya.

Sidang Dun pertama Mukhriz ‘pecah rekod’


Sidang Dun pertama Mukhriz ‘pecah rekod’ Mukhriz (kanan) bersama Adun BN sejurus selesai Sidang Dun.

ALOR SETAR - Persidangan Dun Kedah bagi mesyuarat kedua penggal pertama yang ke-13, baru sahaja melabuhkan tirai, Selasa lalu.

Pelbagai aspek diperkatakan ramai berikutan kesungguhan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir memanfaatkan persidangan itu untuk kerajaan mahupun pembangkang mengusulkan pandangan berhubung isu-isu dibangkitkan.

Ia melakar sejarah tersendiri apabila berlaku perubahan dalam kerajaan negeri, yang kini ditadbir semula BN setelah menang dalam PRU13 lalu.

Pertama kali juga menyaksikan kepetahan Mukhriz selaku ketua kerajaan dalam Dun termasuk Ketua Pembangkang baharu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang dipilih ekoran bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak masih dalam rawatan.

Jika sebelum ini, Azizan yang ‘mesra pembangkang’ bertikam lidah dengan diselitkan perumpamaan mencuit hati dengan Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Mahdzir Khalid, di mana kedua-duanya ‘orang lama’ di negeri ini, kali ini diterajui ‘orang muda’ yang cukup berkaliber, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Mukhriz-Amiruddin dilihat komited memainkan peranan masing-masing hinggakan terasa bahang keseriusan mereka dalam Dewan, mujur Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang juga ‘orang lama’ menyelamatkan keadaan dengan hujah bersahaja menghangatkan dewan dengan gelak ketawa.

Selain menyaksikan pertukaran tempat duduk antara Adun kerajaan dan pembangkang, termasuk ketiadaan beberapa Adun sebelum ini, sama ada kalah atau dinaikkan pangkat ke peringkat parlimen.

Speaker Dun tidak terkecuali, pemilihan Datuk Md Rozai Shafian amat tepat. Pujian wajar diberikan kepada beliau yang bijak mengawal situasi, malah profesional apabila berlaku adil terhadap Adun BN mahupun PR yang ingin kemukakan hujah.

Paling ketara, pastinya tempoh bersidang! Jika sebelum ini, kedengaran kata-kata nakal, “La, dah habis ka?”, kali ini, “Bila nak habis ni?”

Persidangan kali pertama itu memecah tradisi apabila tamat sekitar jam 10.45 malam (Selasa) di mana sidang media sejurus itu pula berakhir jam 11 malam. Mengagumkan!

Sepanjang lima tahun PR bersidang, pernah sekali berlanjutan hingga malam sekitar jam 8 malam.
Kebiasaan, tempoh bersidang sekitar dua hingga empat jam, paling singkat satu setengah jam, iaitu persidangan bagi mesyuarat pertama penggal keempat ke-12, bermula jam 9 pagi hingga 10.30 pagi, pada Julai 2011.

Kelewatan itu disebabkan membahaskan lima usul Enakmen Jenayah Syariah dan pindaan itu turut melakar sejarah apabila keputusan meluluskan enakmen dibuat secara undian. Adun pembangkang secara prinsipnya tidak bersetuju dengan pindaan enakmen itu bagi membanteras penyebaran fahaman Syiah, namun akhirnya diluluskan untuk dikuatkuasakan.

Jumlah soalan yang sempat dijawab turut menjadi perhatian. Persidangan kali ini berjaya menjawab lapan daripada 114 soalan pertanyaan mulut, berbanding sebelum ini, sekitar empat atau lima soalan.

Manakala isu yang dibangkitkan lebih dominan dan sealiran dengan isu semasa, antaranya, Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) diletakkan sebagai soalan satu, diikuti isu Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang menjadi tajuk hangat dibahaskan pada hari terakhir persidangan.

Isu lain termasuk penyelenggaraan jalan (soalan 3), penanaman padi di kawasan luar Mada (soalan 4), jalur lebar (soalan 7) dan lesen hiburan (soalan 8).

Berbanding sebelum ini (Julai 2012), kebanyakan isu kurang dominan, seperti Bazar Sinar Sejahtera (soalan 1), prestasi E-idaman (soalan 2) skim kafalah (soalan 4).

Manakala isu penting diletakkan di belakang, seperti Sulihh (soalan 25), pusat hiburan (soalan 32), pembangunan Gunung Inas (soalan 58).

Ternyata isu yang disusun menunjukkan kematangan pentadbiran di mana isu semasa yang berkepentingan didahulukan untuk memberi peluang kedua-dua pihak berbalas hujah.

Apa pun, kedua-dua pihak sudah memainkan peranan, diharap Kedah terus maju dan mengamalkan politik matang dan bersih.

Umno perlu aura muka baru


Prof Dr Jayum Jawan Prof Dr Jayum Jawan
SHAH ALAM – [Dikemaskini] Penganalisis politik menasihati pimpinan tertinggi Umno Selangor supaya menampilkan calon muka baru menerajui kepimpinan peringkat bahagian dan cawangan.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan berkata, Umno Selangor perlu mengetengahkan muka baru kerana pemimpin muka lama terbukti gagal selepas melalui penolakan dua kali berturut-turut oleh rakyat.

“Muka sedia ada mahupun kitar semula bukanlah taktik yang boleh diguna pakai untuk menawan hati rakyat Selangor yang disifatkan sofistikated.

“Sewajarnya semua jawatan dalam Umno di peringat cawangan dan bahagian patut dipertandingkan. Bagaimanapun, jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dipilih oleh Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam perkembangan sama, Jayum menegaskan untuk menghidupkan semula Umno di Selangor, pemilihan pimpinan baru harus berpotensi dan mempunyai rekod baik agar berupaya menakluki semula hati rakyat.

“Pilih muka baru, muka lama tak jalan dah. Ini terbukti melalui mesej daripada akar umbi Umno jelas tak suka dengan kepimpinan sedia ada. Oleh itu, suatu pembaharuan perlu dibawa oleh parti,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kewibawaan calon yang dipilih akan memacu kejayaan Umno dan BN pada PRU14 akan datang.

“Calon pemimpin yang dipilih di peringkat bahagian dan cawangan bakal membawa nama parti dalam PRU14. Kalau tidak bersih, cekap dan amanah akan membawa masalah kepada parti, mereka inilah tonggak penting pilihan raya akan datang.

“Oleh itu slogan bersih, cekap, amanah yang pernah diguna pakai sebelum ini perlu dipraktikkan semula untuk melihat masa depan BN pada PRU14. Selain kewibawaan calon pengalaman politik dan ke depan pastinya akan dipilih,” katanya.

Nik Ahmad Kamal berkata, dalam pada itu, pencapaian calon dalam PRU13 terutamanya yang mendapat kerusi selayaknya dipilih pada pemilihan ini dan mereka yang kalah tidak semestinya ditolak.

“Sesetengah calon itu berwibawa namun tidak dipilih oleh pengundi boleh juga ditempatkan sebagai calon. Bagaimanapun mereka yang bermasalah, prestasi tidak baik, amalkan kronisme perlu ditolak dalam pemilihan Umno kali ini.

“Umno Selangor dah dua kali ditolak pada PRU, oleh itu, untuk pemilihan kali ini calon-calon yang dipertandingkan diharap berupaya membawa kembali Selangor kepada BN,” katanya.

Beliau turut menjelaskan sekiranya akar umbi longgar susah untuk mendapatkan kemenangan.

SYABAS gerak semua sumber bantu pengguna

MALAYSIA KINI


 
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menggerakkan semua sumber yang ada bagi membantu pengguna menangani gangguan bekalan air setelah empat loji rawatan air ditutup selepas Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel.
  
Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas Priscilla Alfred berkata pihaknya telah menghantar kesemua sumber di tujuh daerah yang terjejas iaitu Petaling, Kuala Lumpur, Klang dan Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
  
"Pihak kami masih memantau bagi menentukan bila keadaan akan pulih sepenuhnya...oleh kerana gangguan ini melibatkan kawasan besar, SYABAS mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Merah untuk kesemua kawasan ini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mengulas perkembangan terbaharu gangguan tersebut, hari ini.
  
Beliau menambah, dengan rizab kapasiti yang kecil dan kadar permintaan tinggi, pihak SYABAS ingin memaklumkan bahawa hentitugas kali ini akan mengambil masa pemulihan yang lebih panjang walaupun kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan.
  
SYABAS menyarankan pengguna mendapatkan maklumat terkini berhubung gangguan bekalan air menerusi laman sesawang http://www.syabas.com.my.
  
"Pengguna juga boleh membuat aduan atau pertanyaan di laman Facebook atau Twitter SYABAS dengan menaip 'puspel' atau 'puspel syabas'," katanya.- Bernama

Jumaat, 30 Ogos 2013

Siapa naib presiden baru Umno?

Subky Latif,

Sekali pun Najib pernah menyatakan dia bersikap terbuka jika dia cabar dalam pemiliihan Presiden Umno hujung tahun ini, tetapi ruang yang dibuka itu seperti menutup jalan kemungkinan adanya cabaran itu. Secara spontan timbul sangkaan banyak pihak bahawa tidak terbuka hati melihatnya dicabar sekalipun prestasi PRU13 adalah lebih buruk daripada pencapaian Tun Abdullah Badawi sebelumnya.

Jika pencapaian buruk Pak Lah membuka medan dia dicabar. Jika tiada siapa mahu mencabar Pak Lah, Tengku Razaleigh sedia. Jika sekarang tiada yang hendak mencabar Najib, Ku Li juga bersedia. Tetapi dengan apa yang dikatakan Najib tentang keterbukaannya dicabar, menjadikan peluang Ku Li dapat mencabar Najib lebih payah dari mencabar Pak Lah.

Yang menyulitkan Ku Li dulu disebabkan adanya cabaran dalam selimut oleh Najib. Tetapi dengan kosong kemungkin Najib dicabar oleh Muhyidin Yasin, pun peluang itu tertutup bagi Ku Li.

Suasana selesa Najib itu ditumpang selesa sama oleh Muhyidin.

Cuma belum tentera selesa ialah kerusi Naib Presiden. Tidak semua pemegang jawatan sekarang selesa. Tidaklah ketiga-tiganya gugur, tetapi antaranya mungkin gugur.

Siapa antara Zahid Hamidi, Hishamuddin Husein dan Shafie Afdal akan gugur tidak dipastikan. Tetapi dengan tawaran yang dibuat oleh Ali Rustam, Isa Samad dan Musa Aman boleh menyebabkan ada yang menunggu itu gugur. Terutama apa yang mencabar itu Ketua Menteri Sabah sendiri.

Mungkin penyertaan Musa Aman itu tidak dirasakan mengancam penyandang dari Semenanjung. Ia lebih dillihat satu masalah bagi Shafie Afdal jika perwakilan Umno belum bersedia ada dua Naib Presiden dari Sabah.

Adakah Umno sudah bersih dari semangat kedaerahan? Jika semuanya sudah terbuka maka tiada sebarang keraguan buat Shafie Afdal. Shafie beroleh kedudukan itu dulu bukanlah disebabkan oleh ketokohannya yang menonjol, tetapi peluang itu dirasakan Umno memerlukan perhatian orang dari Sabah.

Kuasa Umno/BN terselamat dalam PRU 2008 adalah kerana sumbangan solid dari Sabah dan Sarawak. Dan kuasa itu sendiri goyang ketika itu adalah keinginan antara orang di Sabah mahukan perubahan dan  siapa yang menilai sumbangan Sabah itu penting.

Sedar akan ancaman Sabah itu, BN berupaya menyelamatkan ancaman 16 September, 2008, tetapi bagi menjamin sokongan Sabah itu kekal, bukan sekadar memberi banyak tempat dalam kerajaan kepada orang Sabah, maka perlu diberi kedudukan penting dalam Umno kepada orang Sabah. Maka nasib memihak kepada Shafie.

Tetapi adakah Umno mahu dua orang Sabah jadi Naib Presiden? Jika Umno sudah terbuka, tiada apa yang membimbangkan Shafie, tetapi ia mengancam kedudukan dua Naib dari Semenanjung, Zahid dan Hishamuddin. Hanya seorang saja dari semenanjung boleh jadi Naib.

Itupun kalau Ali Rustam dan Isa Samad tidak menjadi cabaran yang berpotensi. Kalau keduanya atau salah seorang daripada mereka ada nasib, kedua-dua Naib dari Semenanjung yang ada itu mungkin terlepas peluang.

Kedua-dua Ali Rustam dan Isa Samad adalah orang yang pernah menjadi Naib Presiden bersama Mahyuddin dulu. Masa itu kedua-duanya lebih kanan dari Muhyiddin. Apakah kedua-duanya masih ramai orang yang seangkatan dalam perwakilan. Jika penyokong lama masih ramai, jika sentimen mahu wakil orang lama terus ada dalam Umno, ia mengurangkan peluang Zahid dan Hishamuddin untuk kekal.

Apakah pemimpin kali ini mengulang perlumbang yang sengit lagi? Memandang ramai orang-orang terkenal tidak sedia bertanding Majlis Tertinggi, mungkin di bawah Najib orang lebih sayangkan  Umno dari mencari  kedudukan ssendiri. Adakah ini kehebatan Nailb?

Merdeka: Bebaskan diri daripada penjajahan minda

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
 
Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, umat Islam berhadapan dengan cabaran baru yang amat hebat. Umat Islam diserang dan dikepung dari kiri dan kanan, utara dan selatan. Sempadan geografi negara umat Islam dipecah-pecahkan, negara dibahagi-bahagikan, khazanah negara pula dijadikan hasil mahsul para penjajah, manakala rakyat pula berdepan dengan masalah baru yang mengepung mereka di setiap masa.

Di saat inilah pihak yang bermusuh dengan Islam merencana pendekatan baru bagi mengawal pemikiran umat Islam supaya selari dengan perencanaan mereka walaupun secara fizikalnya para penjajah ini telah meninggalkan bumi mereka berpijak. Senjata ini dikenali sebagai senjata pemikiran yang lebih halus dan memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

Ketika inilah diwujudkan barangan dengan jenama baru - Islam suku agama suku, politik adalah berpisah dari agama, Islam tanpa negara, negara tanpa politik, negara tanpa syariat, dan sebagainya. Ditanam proksi-proksi mereka di serata negara umat Islam dan diberi mandat memerintah dengan mudah. Kemudian diberikan kemerdekaan bersyarat, wajib mengikut dan melaksanakan segala yang ditetapkan oleh mereka.

Setelah penjajahan pemikiran berlangsung beberapa dekat, manusia mula terasa bahang seksa dan mula mencari solusi. Ramai yang membicarakan topik keadilan dan kesejahteraan tetapi masih teraba-raba faktor utama bencana tersebut. Sedangkan dalam satu hadith riwayat Tabarani, Nabi SAW telah mengingatkan tentang bahana sekularisasi: “Sesungguhnya (di zaman pemisahan Islam dan pemerintahan) pemimpin-pemimpin kamu hanya bekerja untuk diri mereka bukan untuk diri kamu. Jika lawan kamu akan dibunuh. Jika taat kamu akan sesat”.

Inilah realiti yang berlaku serata dunia umat Islam. Penindasan dan penafian hak berpunca dari ideologi yang berperanan sebagai berhala moden. Kegagalan manusia untuk berlaku adil adalah kerana mereka tidak hidup beracuan wahyu.

Sedarlah kita, misi yang amat berat masih terpundak di bahu-bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Konflik yang berlaku di rantau Asia Barat adalah antara siri-siri perjalanan umat membebaskan diri mereka dari ajaran pemisahan antara manusia dan Tuhan. Malangnya kini, umat Islam yang dibunuh tetapi umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Mereka dikhianati oleh demokrasi sendiri, kemudian dituduh sebagai pengkhianat. Darah mereka sebagai modal kemenangan Islam kelak.
 Sempena Sambutan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Jalur Gemilang kurang kerana merdeka ‘diUmnokan’

Khairil Abdul Rahim,
 
TEMERLOH: Menjelang beberapa jam sahaja lagi negara akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-56, rata-rata dilihat rakyat bagaikan tidak cakna dan tidak mempedulikan 31 Ogos tarikh yang dianggap 'keramat' oleh kerajaan itu.

Ini dapat diukur dengan kurangnya pengibaran bendera Jalur Gemilang pada kenderaan, premis-premis perniagaan dan di rumah kediaman sehingga sambutan merdeka tahun ini dilihat suram dan hambar jika dilihat daripada sambutan rakyat.

Dalam tinjauan sepanjang perjalanan dari plaza tol Bentong ke Kuantan, jumlah kenderaan yang lalu-lalang, didapati yang melekatkan atau mengibarkan Jalur Gemilang hanya boleh dibilang dengan jari.

Begitu juga dengan kebanyakan premis perniagaan seperti restoran, pusat membeli-belah dan stesen minyak, bangunan swasta, pejabat dan bangunan di kawasan komersial di beberapa jalan utama di Kuantan dan Temerloh juga dilihat tidak berbuat demikian.

Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun jelas sekali gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil melahirkan rasa kecewa kerana kurangnya sambutan masyarakat terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 negara.

Lebih memalukan, pihak kerajaan atau penaja ada mengedarkan bendera percuma tetapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya.

Namun tindakan tidak mengibarkan Jalur Gemilang ini tidak boleh dirumuskan bahawa rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotiknya.

Bagi ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 74, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘bosan’ terutama golongan muda yang disumbatkan dengan maklumat seolah-olah hanya diperjuangkan oleh Umno bersama gabungannya MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.

Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan hak milik Umno semata-mata.

Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan mulai sekarang supaya rasa bersemangat mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.

“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.

Alang berkata, memang tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaan secara bertulis di London tetapi tidak harus juga dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya.

“Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang menyabung nyawa dan bermandi darah demi kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara,” jelasnya.

Tambahnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan  iaitu pada April 1945 di tengah-tengah bandar Temerloh.

Bagi peguam Ahmad Nizam pula, roh merdeka sudah hilang di hati rakyat kerana biasanya kalendar bulan merdeka setiap tahun hanya menjurus kepada persembahan hiburan melulu tanpa memberikan manfaat dalam membina kesedaran merdeka.

Katanya, sepatutnya dikenang juga tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Asiah Ghani dan lain-lain yang lebih terkehadapan memperjuangkan kemerdekaan.

“Jauh sebelum Perikatan ditubuhkan, telah wujud persepakatan dan kerjasama di antara parti politik kiri Melayu melalui PUTERA dengan parti dan pertubuhan Bukan Melayu yang bergabung di bawah AMCJA yang kemudiannya melahirkan Perlembagaan Rakyat 10 Perkara yang dianggap sebagai asas Perlembagaan Malaya Merdeka.

“Tanpa menafikan peranan dan jasa besar Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan namun yang dikesalkan adalah penafian peranan serta pengorbanan tokoh-tokoh progresif, parti-parti politik yang tidak senada dengan kepentingan kolonial di samping peranan golongan cerdik pandai agama serta para pengarang yang jasa dan peranan mereka tidak dimartabatkan di tempat sepatutnya di persada sejarah kemerdekaan tanahair,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini berlaku kerana Umno mahu menunjukkan bahawa merekalah kononnya yang paling ulung memperjuangkan kemerdekaan dan sekaligus telah membohongi sejarah.

Petugas JKM maut dirempuh kereta

SINAR HARIAN


 
Seorang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Batu 8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani di Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Zaidi Mokhtar Affandi, 33, dari Kampung Imam, Jitra dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Alor Setar bagi menjemput isterinya.

Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah motosikal lain sebelum dirempuh sebuah kereta Viva yang dipandu seorang doktor wanita yang dipercayai cuba memotong sebuah lori di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di atas kereta tersebut dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
- Bernama

SPR warta daftar pemilih tambahan

SINAR HARIAN

SPR KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memperakui Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku tahun kedua tahun ini.
  
Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said berkata pemerakuan itu dibuat sebagaimana dikehendaki oleh Peraturan 21A Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menetapkan supaya DPT diperaku sebelum ia dapat digunakan untuk sesuatu urusan pilihan raya.
  
"DPT Suku Tahun Kedua 2013 bagi tempoh 1 April hingga 30 Jun mengandungi 58,984 permohonan pendaftaran yang terdiri daripada 49,789 pendaftaran baharu dan 9,195 pendaftaran tukar alamat pusat mengundi.
  
"DPT Suku Tahun Kedua 2013 diwartakan pada hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
  
Beliau berkata sehingga pemerakuan DPT itu, jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara selepas dicampurkan dengan DPT Suku Tahun Pertama dan Daftar Pemilih Induk Tahun 2012 ialah 13,411,513 orang.
 
Sabri berkata orang ramai yang berminat mendapatkan DPT tersebut boleh berbuat demikian dengan membuat tempahan di Ibu pejabat SPR di Putrajaya.
  
Katanya SPR turut menyeru kepada pemilih berdaftar supaya membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih mereka sama ada menghubungi 03-8885 6565, layari laman web SPR, www.spr.gov.my atau melalui Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.
  
Katanya sebarang pertanyaan berkaitan perkara itu boleh dibuat dengan menghubungi Ibu pejabat SPR di talian 03-8885 6565 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. - Bernama

Jakim bantah konsert kumpulan "Lamb of God'

MALAYSIA KINI


 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantah kehadiran kumpulan heavy metal 'Lamb Of God' yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur, pada 28 September depan.
  
Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, bantahan berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
  
"Kumpulan itu juga pernah mengundang kontroversi sebagai sebuah kumpulan yang memuatkan unsur spiritual jahat dan anti ketuhanan oleh masyarakat Kristian sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata bantahan itu juga, selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam.
  
Justeru, Jakim bimbang dengan kemasukan artis heavy metal seumpama itu dikhuatiri akan menyuburkan semula aliran black metal di negara ini.

"Diharapkan pihak berkaitan tidak meluluskan kemasukan kumpulan tersebut dengan mengambil kira sensitiviti umat Islam di samping tidak membuka ruang kepada berlakunya krisis akidah, permasalahan moral dan keruntuhan akhlak," menurut Jakim.
  
Kumpulan yang berasal dari Amerika Syarikat itu sebelum ini dikenali dengan nama 'Burn The Priest'.
- Bernama

MCA 'kecewa' tiada tindakan terhadap HM Pristana

MALAYSIA KINI


Ketua Pemuda MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong "teramat kecewa" terhadap kurangnya tindakan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran atau Jabatan Pendidikan Selangor terhadap guru besar SK Seri Pristana di tengah-tengah dakwaan pelajar dibuli.

NONEMerujuk kepada 'penghijrahan' pelajar dari sekolah tersebut, dengan
10 ibubapa memindahkan anak-anak mereka, bekas timbalan menteri pelajaran itu berkata, kecuali tindakan diambil, ia boleh "disalahtafsir sebagai satu 'pembersihan etnik' di situ".

Dalam satu kenyataan, Wee mahu disiasat tuduhan mengenai perbuatan membuli, pemulauan dan penghinaan kaum oleh pihak guru dan rakan kelas terhadap anak pemberi maklumat, serta terhadap pelajar yang ibubapa mereka membuat laporan terhadap guru besar.

Beliau mengulas laporan The Malaysian Insider bahawa Jabatan Pelajaran Selangor telah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang tindakan terhadap guru besar, Mohd Nasir Mohd Nor.

Menurut Wee lagi, kementerian juga perlu menyiasat dakwaan bahawa pihak sekolah membenarkan "orang luar" mengambil gambar kaum tertentu, kerana kehadiran orang yang tidak dikenali di sekolah, memberi kesan keselamatan.

"Apakah jenis jaminan yang boleh diberi oleh pihak sekolah bagi memastikan gambar-gambar tersebut tidak disalahgunakan?" soalnya.

Wee juga menggesa kementerian itu supaya menyiasat dakwaan bahawa pihak sekolah membenarkan polis menyoal murid tanpa pengetahuan, persetujuan dan kehadiran ibubapa.

Beliau berkata walaupun ia bukan soal siasat rasmi, tetapi kehadiran anggota polis berpakaian seragam bertanyakan soalan "boleh menakutkan kanak-kanak" tersebut.

Tegasnya, kanak-kanak ada hak dan tidak sepatutnya disoal "seolah-olah mereka adalah penjenayah".

Polis papar logo 49 kumpulan kongsi gelap


MALAYSIA KINI


 
dikemaskini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan logo 49 kumpulan kongsi gelap yang diwarta haram.
   
NONEKetua Penolong Pengarah Kongsi Gelap/Judi/ Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata logo berkenaan dipapar dalam laman sosial Facebook PDRM agar orang ramai memahami maksud sesebuah logo itu sekali gus menghindari mereka daripada terlibat dengan sebarang kumpulan kongsi gelap.
   
"Pada peringkat awal ini, kita melalui program kepolisan dan pemeriksaan, akan menasihati orang ramai, yang memiliki atau menampal sebarang logo seperti di kereta dan rumah, supaya menanggalkannya dengan apa cara sekalipun.

"Ini juga bagi menghindarkan mereka ditahan pihak polis. Mungkin mereka tidak tahu apa maksud logo berkenaan dan tidak terlibatpun dalam mana-mana kongsi gelap. Namun jika mereka masih berdegil atau dikenal pasti memang terlibat dalam kegiatan itu, tindakan tegas akan diambil," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
   
Sidang akhbar itu turut memapar kesemua 49 logo kumpulan kongsi gelap berkenaan dan tatu logo yang dilukis pada badan melalui skrin selain penerangan berkaitan bangsa sesebuah kumpulan.

NONEAntara kumpulan kongsi gelap itu ialah Geng 04 yang aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur; Geng 08 aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.
   
Abdul Jalil berkata  polis juga akan memantau penggunaan logo terbabit pada kenderaan yang diguna ketika perarakan atau upacara pengebumian.
   
"Kita akan 'turun padang'. Kalau kita lihat ada logo itu diletak pada kenderaan yang membawa mayat, kita akan minta mereka tanggalkannya," katanya sambil meminta ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjebak atau menyertai mana-mana kumpulan kongsi gelap.
   
"Melalui risikan dan siasatan kita, setakat ini belum ada laporan pelajar sekolah di seluruh negara mengetuai mana-mana kumpulan kongsi gelap. Namun ada maklumat mengatakan kumpulan ini cuba mempengaruhi pelajar terutama di sekolah yang bermasalah.
   
"Mereka (kumpulan) akan berada di luar kawasan sekolah untuk memujuk pelajar agar menyertai mereka. Ada juga maklumat yang mengatakan kumpulan ini cuba merekrut pelajar di dalam kawasan sekolah, namun hasil tindakan pantas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta polis yang ditempatkan di dalam sekolah, perkara ini dapat dihindarkan," katanya.
   
Mengulas penglibatan golongan atasan seperti ahli politik dan selebriti dalam kegiatan itu, Abdul Jalil berkata setakat ini, polis tidak mendapat maklumat mereka terlibat, namun siasatan lanjut akan dijalankan.
   
NONEBeliau berkata mereka yang terbabit dalam kumpulan kongsi gelap boleh dihukum mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM15,000, jika sabit kesalahan.
   
Katanya, seramai 28,926 orang dari kaum India dikesan menganggotai kongsi gelap, Cina (8,214) dan Melayu (1,923) manakala tiada penglibatan warga asing dalam kumpulan itu di negara ini.
   
"Ada antara mereka pernah ditahan di bawah undang-undang Akta Darurat," katanya sambil menafikan tumpuan lebih diberikan kepada kaum India kerana mereka paling ramai dikesan terlibat dalam aktiviti itu.
   
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, yang mengumumkan nama kongsi gelap terbabit semalam, berkata kumpulan itu dikategori haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.
   
Beliau berkata kumpulan itu dikesan menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara. Bernama

Muhyiddin Bakal Senasib Ghafar Baba?

Shahbudin Husin


Walaupun belum membuat pengumuman rasmi tentang jawatan yang bakal ditandinginya, tetapi tidak ternampak pula kecenderungan untuk Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bersedia mencabar Najib bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti 19 Oktober depan.

Dengan tempoh pertandingan tidak sampai dua bulan dari sekarang, Muhyiddin nampaknya cukup selesa dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Jika sebelum pilihanraya dulu, kedengaran juga ura-ura daripada para penyokongnya bahawa keputusan PRU 13 akan menentukan gerak langkah dan percaturan Muhyiddin yang seterusnya tetapi kini semua ungkapan itu sudah tidak kedengaran lagi.

Walaupun masih ada yang mengharapkan Muhyiddin akan mencabar Najib berikutan beberapa perkembangan yang menunjukkan Najib masih tidak berubah, ditambah dengan keputusan PRU 13 yang mengesahkan beliau lebih buruk daripada Pak Lah, di sebalik Muhyiddin masih menangguhkan untuk membuat pengumuman tentang jawatan yang bakal ditandinginya, beliau sebenarnya cukup selesa dengan kedudukan dan jawatannya sekarang.

Sekarang bukan saja tidak kedengaran lagi suara-suara daripada para penyokong Muhyiddin mengenai kemungkinan beliau mencabar Najib, malah para pegawai dan jentera politik Muhyiddin juga tidak berbuat apa-apa gerak kerja yang menunjukkan keinginan meningkatkan karier politik boss mereka itu.

Selain Munyiddin tidak mempunyai cukup kekuatan dan rangkaian dalam UMNO untuk menandingi Najib, sebab lain yang menyebabkan terencatnya hasrat Muhyiddin itu ialah kerana sikap dan pendirian bekas Perdana Menteri, Mahathir yang tidak betul-betul jelas memihak kepadanya.

Jika sebelum pilihanraya lalu, Mahathir ada mengeluarkan kenyataan bahawa kedudukan Najib akan tergugat jika gagal memperolehi majoriti dua pertiga, sebaliknya selepas pilihanraya yang menyaksikan bukan saja Najib gagal memperolehi dua pertiga, bahkan lebih teruk daripada keputusan 2008 tetapi pendirisn Mahathir nyata mengejutkan.

Beliau bukan saja menyokong kepimpinan Najib diteruskan, malah menyifatkan tiada pengganti yang sesuai untuk mencabarnya. Ini bukan saja mengecewakan Muhyiiddin dan para penyokongnya tetapi seolah-olah meletakkan Muhyiddin tidaklah lebih baik daripada Najib di mata Mahathir.

Berbanding layanan buruk yang diterima oleh Mahathir di zaman Pak Lah, Najib nyata mengambil pendekatan yang berbeza. Beliau kekal memuja dan menjadikan Mahathir sebagai orang yang paling dihormatinya. Selain menjadikan anak Mahathir iaitu Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah, Najib juga tidak begitu memberi respon terhadap pandangan Mahathir yang berbeza dengan dasar-dasar yang diperkenalkannya.

Najib cuba menjaga hati Mahathir dengan sebaik mungkin dan mengelakkan daripada dilihat bergeser atau berbeza pendapat yang boleh dijadikan modal memperbesarkan itu perbezaan antara kedua mereka.

Sehingga ini ternampak bahawa Najib berjaya menjinakkan Mahathir daripada bermusuh atau dilihat bermusuh dengannya. Dalam masa yang sama, harapan Muhyiddin untuk menjadikan Mahathir sebagai rangsangan untuk beliau mencabar Najib seakan-akan sudah berakhir.

Tanpa sokongan, bantuan dan tolakan daripada Mahathir, Muhyiddin memang diketahui tidak mempunyai keupayaan untuk melonjakkan dirinya lebih tinggi daripada kedudukannya sekarang. Bahkan kejayaannya memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009 lalu pun lebih kepada "nasib" semata-mata berikutan pesaing terdekatnya ketika itu, Ali Rustam dibatalkan daripada menyertai pertandingan atas dakwaan salah laku ketika berkempen.

Kini dengan semakin banyak desakan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, walaupun Muhyiddin belum membuat pengumuman secara rasmi, adalah dijangkakan beliau akan kekal mempertahankan jawatannya saja sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Untuk itu, Muhyiddin akan terus kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menjadi pembantu kepada beberapa lagi pendekatan transformasi yang yang bakal diperkenalkan oleh Najib.

Soalnya, apakah masa depan Muhyiddin seterusnya?

Selepas pemilihan UMNO 2013 ini, pemilihan yang seterusnya ialah pada 2016. Tetapi memandangkan pilihanraya umum ke 14 bakal diadakan pada 2017 atau 2018, mengikut amalan biasa pemilihan UMNO akan ditangguhkan bagi memberi laluan pilihanraya umum diadakan dahulu. Ini bermakna pemilihan UMNO hanya akan diadakan selepss pilihanraya umum berakhir.

Berbagai kemungkinan mengenai kedudukan UMNO dan BN dalam pilihanraya ke 14 nanti. Mungkin menang dan mungkin juga kalah. Namun, apa pun keputusan pilihanraya itu nanti, nasib dan perjalanan politik politik Muhyiddin sudah boleh dikira berakhir ketika itu.

Jika BN kalah, sudah tentulah persaraannya hanya setakat Timbalan Perdana Menteri sahaja dan beliau harus berpuas hati dengan pencapaiannya itu.

Tetapi jika UMNO dan BN menang serta terus berkuasa lagi, Muhyiddin ketika itu sudah terlalu tua dan tidak sesuai lagi untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Dengan usia Muhyiddin lebih tua 4 tahun daripada Najib, lima tahun akan datang usianya sudah mencecah 70 tahun. Kemungkinan untuk menonjolkannya melawan Najib juga tidak sesuai lagi.

Jika pun dalam pilihanraya umum ke 14 nanti, BN menerima keputusan yang lebih buruk daripada 133 kerusi yang dimenanginya pada PRU 13 dan wujud desakan agar kepimpinan baru mengambil alih UMNO, Muhyiddin bukan lagi calon yang sesuai. Eranya ketika itu telah berlalu.

Pemimpin yang mungkin ditonjolkan dan sesuai menerajui UMNO ketika itu ialah Hishammuddin Hussein, Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan mereka yang seangkatan dengannya. Najib dan Muhyiddin lebih mungkin diminta berundur secara serentak bagi memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda mengambil alih pula.

Namun andainya UMNO dan BN menang dengan lebih baik pada PRU 14 nanti, Najib pastinya akan terus kekal dan tidak ada sesiapa yang berani menggugat kedudukannya. Tetapi dengan kedudukan usia Muhyiddin ketika itu menghampiri 70 tahun manakala Najib baru 65 tahun, pasti akan wujud desakan agar pemimpin yang lebih muda daripada Najib pula menjadi Timbalan Presiden UMNO sebagai persediaan menyediakan pemimpin pelapis untuk UMNO dan negara.

Ketika itu, kedudukan Muhyiddin secara automatik tidak lagi relevan. Sekali lagi nama Hishammuddin, Mukhriz atau KJ mungkin ditonjolkan sebagai gandingan dan bakal pengganti kepada Najib. Muhyiddin ketika itu sama ada harus berundur atau merelakan dirinya dicabar. Jika dicabar, nasib beliau mungkin seperti Ghafar Baba yang kehilangan upaya akibat kemahuan kepada pelapis muda dan akhirnya disingkirkan oleh Anwar Ibrahim pada pemilihan 1993 dulu.

Hakikatnya, sama ada UMNO masih berkuasa atau tidak selepas PRU 14 nanti, era Muhyiddin tetap dianggap sudah berakhir.

Dengan kemungkinan terpaksa berundur atau mengulangi sejarah Ghafar Baba, Muhyiddin juga bakal mengikuti jejak langkah Musa Hitam sebagai seorang lagi pemimpin UMNO dari Johor yang kandas di tengah jalan dalam mengejar pendakian ke Seri Perdana.