Jumaat, 26 Februari 2016

Baitul Fiqh lancar Rumah Ngaji

Baitul Fiqh lancar Rumah Ngaji
Abdul Jalil (kanan) menyampaikan sumbangan wakaf al-Quran kepada Haliza.
 


SUBANG JAYA - Bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat mendekati dan mengaji al-Quran, Program Rumah Ngaji dilancar di pertubuhan kebajikan Baitul Fiqh di SS14.

Inisiatif mewujudkan Rumah Ngaji tersebut bagi memenuhi keperluan rohani penghuni pertubuhan yang datang dari pelbagai latar belakang termasuk anak yatim, ibu tunggal, remaja bermasalah, bekas pekerja seks dan penagih dadah.

Pengerusinya, Haliza Halim berkata, beliau berminat mewujudkan Rumah Ngaji dianjur Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang bernaung di bawah Kumpulan Media Karangkraf selepas beberapa kali menyertai program tersebut sebelum ini.

“Saya terus nyatakan hasrat kepada sekretariat yayasan...Alhamdulillah syukur mendapat galakan daripada mereka hingga tertubuhnya Rumah Ngaji di Baitul Fiqh," katanya.

Beliau berharap, kewujudannya dapat melahirkan lebih ramai masyarakat mencintai al-Quran dan memahami maksudnya.

“Program ini juga terbuka kepada komuniti sekitar dan Baitul Fiqh sudah merancang jadual pengisian program hingga April ini,” katanya.

Bagi orang ramai yang berminat menyertai Program Rumah Ngaji Baitul Fiqh boleh berhubung dengan sukarelawan 012-6547706 (Harlina Ghaifullah) atau 013-2286992 (Siti Norina Abdul Aziz).

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Warisah Ummah Ikhlas, Datuk Abdul Jalil Ali yang melancarkan Rumah Ngaji semalam berharap masyarakat bukan sahaja mengenali al-Quran, tetapi suka membaca, fahami maksud, menghayati seterusnya mengamalkan apa yang dibaca dalam kitab tersebut.

“Bagi yang ada peluang ikutlah ilmu agama, jika amalkan insyaALLAH tiada masalah dalam hidup,” katanya melalui kaedah digunakan ada individu tidak tahu mengaji boleh mengenali huruf dan mula baca al-Quran dalam tempoh tiga hari.

Peserta, Ramlah Ahmed Koya, 67, berkata, dia mengetahui program itu daripada rakan dan tertarik mengikutinya selepas dilancar semalam.

Katanya, banyak kelas-kelas agama diikutinya sebelum ini, namun dia tetap berminat menyertai Program Rumah Ngaji kerana ada kelainan.

“Peluang ini saya anggap sebagai tambahan mempelajari ilmu agama dan akan digunakan sebaiknya.

“Kalau ada masa lapang, saya cuba hadir majlis ilmu di bawah program Rumah Ngaji di Baitul Fiqh kemudian sampaikan pula apa yang diperoleh kepada kawan,” katanya.

Noriah Idris, 69, berkata, dia seronok menyertai program Rumah Ngaji walaupun baru pertama kali menyertainya.

“Rasa seronok dapat datang dengan kawan-kawan untuk lebih menghayati al-Quran,” katanya.

Peserta, Jamilah Puteh, 75, berkata, melalui program itu dia berharap dapat memantapkan lagi bacaan al-Quran selain menambah kenalan yang bersama-sama menyertainya.

Bagi bekas penghuni Baitul Fiqh yang hanya mahu dikenali sebagai Jaja, peluang mengikuti Rumah Ngaji dianggap rahmat besar dalam hidupnya.

Lebih 20 tahun berkecimpung dalam dunia pelacuran selain terlibat dadah, Jaja bersyukur masih sempat ‘tersedar’ di hujung jalan kehidupan.


Tiada ulasan: