Khamis, 30 September 2010

BN Jangka Isu Royalti Minyak Dibangkitkan Di Galas - Mukhriz

BERNAMA

NILAI: Umno dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha untuk menjelaskan sebaik mungkin isu royalti minyak yang mungkin ditimbulkan oleh Pas dalam kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas nanti, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

"Kita yakin pada pilihan raya kecil Galas ini kita akan dapat terus menjelaskan sebaik mungkin apa keadaan sebenarnya kerana yang kita lihatkerajaan negeri Pas di Kelantan khususnya kerap kali memutarbelitkan fakta dan mengelirukan rakyat yang akhirnya ianya sebenarnya menjadi isu politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang Astra Manufacturing Sdn Bhd di Mantin dekat sini Khamis.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, daripada Pas kerana barah usus pada Ahad lepas.

Mengenai pelantikan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya BN bagi pilihan raya kecil itu, Mukhriz berkata pelantikan itu sangat tepat memandangkan kerusi Galas terletak di kawasan Parlimen yang diwakili Tengku Razaleigh.

"Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang besar di kawasan tersebut dan saya kira dengan pengaruh itu ianya akan dapat memberi kelebihan kepada kita," katanya.

Umno Tolak Saranan PAS Agar Tidak Sertai Pilihan Raya Kecil DUN Galas

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Umno tidak akan termakan umpan PAS supaya parti itu tidak menyertai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kawasan Galas yang bakal diadakan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Walaupun Pas cadang Umno jangan sertai, tapi kita tidak makan kail yang dihulurkan, kita akan sertai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan baru-baru ini supaya Umno tidak menyertai pilihan raya kecil DUN Galas.

Ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Industri Pertahanan, Penguatkuasaan dan Keselamatan Negara di sini hari ini, Zahid berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) yakin dengan pengundi baru untuk memenangi semula kerusi terbabit yang sebelum ini dipegang PAS.

Takiyuddin dilaporkan berkata cadangan itu atas nama perpaduan Melayu dan Umno seharusnya membuktikan keikhlasannya menyatukan orang Melayu dengan tidak bertanding di DUN itu nanti.

Pilihan raya kecil itu bakal diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus, tiga hari lalu di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham memperoleh 4,399 undi menewaskan Mohamad Saufi Deraman dari BN dengan majoriti 646 undi.

Hata Wahari tertanya-tanya: Siapa Ibrahim Ali dalam Utusan?

Chen Shaua Fui

Mungkin sesuatu yang sukar dibayangkan, apabila UMNO ditikam lidah sendiri setelah Setiausaha Agungnya menyatakan pendirian untuk menjauhi PERKASA. Malah, Presiden PERKASA Ibrahim Ali dijulang lebih tinggi, seolah-olah lebih berpengaruh ke atas Utusan Malaysia, jika dibandingkan dengan sesetengah pemimpin UMNO.

Keadaan ini mencungkil kesangsian ramai, yang mungkin tertanya-tanya apakah yang membuatkan Ibrahim Ali begitu popular, sehingga dilihat terserlah dalam ruang dada Utusan Malaysia? Bahkan kadang-kala Ibrahim Ali, pemimpin politik veteran yang pernah ditendang keluar UMNO, diberi liputan yang lebih besar dalam Utusan Malaysia, berbanding dengan pemimpin UMNO sendiri.

"Itu you kena tanya Editor, apa tujuannya, saya sendiri pun tengah mencari-cari. Kenapa Utusan utamakan PERKASA, kenapa tak utamakan UMNO, sedangkan pemilik akhbar UMNO? Kita pun pelik tentang ni, Ibrahim Ali ada saham banyak kat Utusan, banyak sangat ke?"

Keraguan ini dikongsi bersama Hata Wahari, Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia baru, yang telah 15 tahun berkhidmat di Utusan Malaysia sebagai wartawan. Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview kelmarin (28 September), Presiden NUJ yang mencungkil kontroversi sejak terpilih pada 17 September 2010 ini mendedahkan bagaimana dirinya menerima layanan dingin, selepas kenyataan untuk mengkritik majikannya dikeluarkan.

Isu yang dibawa Ibrahim Ali remeh temeh

Biarpun terkenal dengan lonjakan dari parti ke parti, Ibrahim Ali akhirnya diberi nafas baru untuk melanjutkan hayat politiknya apabila menubuhkan PERKASA, badan bukan kerajaan (NGO) yang lantang mempertahankan kepentingan Melayu. Namun demikian, perjuangannya dipertikaikan oleh seorang wartawan Utusan Malaysia bernama Hata Wahari.

Hata Wahari yang mendakwa dirinya "pakar dalam parlimen" seketika dahulu, kerana ditugas khas untuk membuat liputan parlimen dan politik, kini dilarang untuk berbuat demikian. Beliau yang pernah menolak untuk menulis berita Ibrahim Ali (gambar kiri) tidak pasti sama ada peristiwa ini menjadi punca larangan tersebut.

"...saya pernah menolak menulis berita Ibrahim Ali, dia berucap di Parlimen dan saya tak tulis, editor suruh tulis tapi saya tak tulis. (Mengapa?)... sebab benda dan isu tu remeh temeh, tidak penting, tak membina dan membangunkan minda, news (berita) lain lagi bagus."

Mengapa Ibrahim Ali mempunyai pengaruh yang begitu besar terhadap Utusan Malaysia, tanya wartawan MerdekaReview.

"You tanya saya, saya pun hairan juga, siapa Ibrahim Ali dalam Utusan? Ibrahim Ali punya pencapaian, saya tak nampak pun, apa yang dia bantu orang Melayu, perjuangannya ada menyebabkan orang Melayu kaya ke? Tak nampak lagi. Ada menyebabkan lebih orang Melayu dapat biasiswa ke? Tak nampak lagi, itu masalahnya. Tak ada dia punya sumbangan sangat terhadap orang Melayu, kenapa kita nak utamakan dia, apa masalah?"

"Kalau you tanya, kenapa Utusan utamakan Ibrahim Ali, soalan ini saya tertanya-tanya sejak dua tiga tahun ni!" tambah beliau.

Malah, Hata Wahari tidak faham mengapa dibangkitkan isu artikel 153, "Kalau dia (Ibrahim Ali) nak perjuangkan artikel 153, benda itu ada dalam Perlembagaan. Siapa nak pertikaikan? Saya tak berani pertikaikan Perlembagaan. Mungkin you akan tanya, tapi siapa pertikaikan Perlembagaan? Benda tu memang dalam perlembagaan!"

"Presiden sepenuh masa"

Hata Wahari membeliakkan khalayak ramai apabila mengeluarkan tiga kenyataan yang sudah semestinya tidak menyenangkan pihak majikannya (pengarang kanan) dan bosnya, UMNO.

Bermula dengan kritikan terhadap Ketua dan pengarang kanan kerana "berkhidmat untuk memenuhi keperluan tuan politik", disusuli pula dengan kritikan terhadap kedua-dua Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat dalam isu larangan media, Hata Wahari (gambar kiri) baru-baru ini menyangkal pula tulisan Awang Selamat. Hata Wahari memberi tamparan sengit apabila berterus-terang bahawa "laporan berat sebelah" merupakan punca sebenar penurunan edaran Utusan Malaysia.

Keberanian dan kelantangan Hata Wahari disambut dengan pujian dan tepukan. Namun, di sebalik "semangat berkobar-kobar" yang diperlihatkan dari Hata Wahari, ramai mungkin tidak mengetahui bahawa beliau telah "dibekukan" oleh pihak atasannya setelah kenyataan tersebut dikeluarkan.

"Saya memang tidak diberi apa-apa tugasan, saya sekarang ni seperti Presiden (NUJ) sepenuh masa, " Hata Wahari sempat menyindir dirinya. "Sudah masuk hari kelima saya tidak diberi apa-apa tugasan atau susulan, selepas kenyataan...(dikeluarkan). Sebelum kenyataan (dikeluarkan) memang tiap-tiap hari saya ada buat berita. Sebenarnya, pada hari saya buat kenyataan, saya ada dapat berita eksklusif..."

Namun, tiada lagi berita untuk Hata Wahari pada keesokannya. "Saya tidak diberi apa-apa berita, saya duduk senyap dalam office (pejabat), masuk pukul 10 pagi dan balik pukul 6 petang. Saya tak kisah, hak dia orang nak bagi tugasan, pada masa sama saya cari berita, sama ada mereka nak pakai atau tidak, terpulang kepada editor."

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Wawancara ini dijalan oleh Chen Shaua Fui di sebuah kafe, Kuala Lumpur pada 28 September 2010. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Mimpi Umno-BN Hilang Kuasa Pada PRU-13 Bertambah Ngeri


Oleh Amir Hamzah

Melihat kepada suhu ketegangan kaum yang semakin dahsyat kini dan Umno pula kelihatan semakin fobia dan ekstrim dengan agenda Perkasa dan ultra-Melayunya, akhirnya Barisan Nasional akan dipulaukan secara total oleh yang bukan Melayu dan menyebabkan kejatuhan kerajaan BN yang terbina atas sifat kow-tow kepada orang Inggeris dahulukala.

Sekaligus membenarkan teori RAHMAN daripada kumpulan mistik penyokong Umno. Teori yang mereka gunakan untuk menafikan Anwar kini menjadi senjata terhadap mereka sendiri, kerana N untuk Najib adalah huruf terakhir; maka dacing itupun tumbang.

Kembalinya Umno kepada perjuangan ultra-Melayu adalah kesan langsung daripada kekalahan teruknya dalam pilihan raya umum 2008. Keadaan yang sama memperlihatkan PAS kembali kepada perjuangan negara Islam pada 2004 apabila Barisan Alternatif mengalami kekalahan teruk ketika itu.

Namun sentralisasi ini ada kelemahannya. Di dalam usaha memperkuatkan kembali parti maka segala persefahaman diantara sahabat politik akhirnya terbantut. Dan sokongan hasil daripada penggabungan dalam BA terhakis.

Situasi sama kini berlaku kepada Umno. Di dalam mencari penyelasaian kekalahan BN pada 2008, mereka kembali kepada perjuangan Melayu mereka tanpa mempedulikan persefahaman MCA dan MIC.

Maka timbullah isu 'Hak Melayu' dan 'Kedaulatan Islam Melayu' yang menghancurkan setiakawan antara tiga sekawan yang dahulunya dilihat sebagai 'Sekukuh Gunung Tahan'.

Kini MCA dan MIC hanya berpura-pura sesama-sendiri bersahabat dengan Umno dan Umno pula dilihat terus menerus menyerang kaum-kaum selain Melayu didalam usahanya menawan kembali 'base-support' mereka iaitu orang Melayu.

Kini MCA dan MIC hampir lumpuh diserang ahli mereka sendiri. Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menyatakan bahawa BN sendiri yang akan menghancurkan BN, dan hakikat ini dilihat dalam percaturan terakhir BN dalam menghadapi PEMILU yang akan datang.

PR atau Pakatan Rakyat tidak lagi dilihat sebagai 'gabungan lemah' malah persepsi rakyat kini melihat mereka sebagai 'Government-in-Waiting'.

Pelbagai taktik digunakan Umno seperti rasuah sehingga tumbangnya kerajaan Perak, membuka semula kes Anwar dan menahan pimpinan mereka.

Namun ini adalah gerak longlai terakhir rejim zalim yang tersalah arah, dan PR akan mengorak langkah ke Putrajaya dengan penuh bergaya.

Umno mengatakan bahawa tujuan Anwar adalah untuk menjadi Perdana Menteri. Saya dan jutaan rakyat yang akan mengundi Pakatan Rakyat turut bersetuju dan berikrar akan melakukan apa jua untuk memastikan beliau ke sana.

Kenapa pula Umno tidak tertanya-tanya mengapa boleh pula Rosmah 'tergila-gila'kan gelaran First Lady? sehinggakan membuat 'First Ladies Summit' di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh mereka yang turut 'tergila-gila'kan gelaran yang sama? Perlu kita ingat beratus negara menolak pelawaan Rosmah itu kerana mereka tahu penyertaan mereka memberikan legitimasi kepada Rosmah dan mereka tidak mahu dipergunakan untuk tujuan politik.

Ayuh kita berlaku adil dan letakkan sesuatu pada tempatnya yang sesuai.

Apa nak jadi dengan Bernama, tak habis-habis masalah.

Oleh Syed Imran

Sesuatu yang kurang menyenangkan petugas senior/veteran Bernama sedang melanda agensi berita nasional itu ekoran daripada penstrukturan semula yang sudah lama dinanti-nantikan.

Dalam struktur Bernama terdapat sebilangan petugas yang bukan kakitangan kerajaan yang diambil bekerja melalui satu skim komersil. Ianya dilakukan ekoran daripada pengembangan khidmat dan liputan Bernama yang tidak mendapat persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA. Oleh itu, pengurusan Bernama mewujudkan satu perkhidmatan komersil yang tidak terletak di bawah bidang kuasa JPA ataupun kerajaan.

Atas usaha berterusan pihak berkenaan termasuk Lembaga Pengelola, maka akhirnya JPA bersetuju untuk menyerap kakitangan komersil yang berkhidmat dengan Bernama, dalam perkhidmatan kerajaan atau SSM. Ia adalah sesuatu yang tidak diduga boleh berlaku kerana jumlah yang terlibat agak besar.

Di bawah SSM, kakitangan komersil akan diletakkan dalam satu skim yang setara dengan yang sedia ada dalam Bernama termasuk mendapat faedah persaraan. Kakitangan Bernama yang setia berkhidmat di bawah SSM pun bersetuju dengan tawaran JPA tetapi nampaknya ada pihak yang enggan menerima tawaran JPA atas beberapa alasan termasuk 'kehilangan' pendapatan yang diterima walaupun ia adalah sementara sehingga diselaraskan menurut SSM.

Tidak pula diketahui apa kesudahannya jika petugas skim komersil menolak pilihan atau opsyen yang ditetapkan setelah dilanjutkan kepada 30 September ini. Apa pula tindakan JPA dan Bernama selepas tarikh itu juga menjadi tanda soal.

Pengerusi Bernama yang juga mantan Ketua Pengarang, Datuk Abdul Rahman Sulaiman satau ARES sendiri nampaknya masih buntu untuk mencapai keputusan yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua pihak tetapi yang tidak akan menafikan kekananan petugas setia Bernama. Persoalannya mampukan ARES berbuat demikian walaupun dia dibekalkan pengalaman bekerja dengan Bernama....

Dalam pada itu, pihak Kementerian Penerangan, Komunikasidan Kebudayaan seharusnya memberi perhatian serius atas apa yang sedang berlaku dan memastikan tiada pihak yang rugi dari segi kenaikan pangkat dan tiada pihak yang dijadikan mangsa keadaan ekoran daripada penstrukturan semula itu

Saja nak tanya Reezal Merican - ke mana hasil cukai arak, judi dan babi...

http://kudaranggi.blogspot.com/

AJK Pemuda Umno yang juga ahli Umno dalam bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang , Reezal Merican Naina Merican, nampaknya bersungguh-sungguh 'memperjuangkan' untung nasib Melayu Pulau Pinang. Keghairahannya semakin menjadi-jadi setelah BN/Umno tewas dalam pilihan raya lepas di Pulau Pinang.

Ada saja yang tak kena dengan pentadbiran negeri pimpinan Lim Guan Eng.

Reezal Merican, elok juga kita rujuk kepadanya sebagai 'cek', iaitu rujukan mesra orang Tanjong kepada orang yang lebih muda sama seperti mereka merujuk kepada orang yang lebih tua sebagai mamak, mamu, mami, atta ataupun nana dan aci.

Reezal, cek tentu tau dan pandai cari modai nak tegork dan nana, saya bahasakan diri saya sebagai abang walaupun boleh jadi bapa kepadanya, suka tengok cara cek keluark 'press statement'. Cek memang tera.

Cuma satu yang nana nak tanya kat cek bab duit judi yang cek kata kerajaan negeri Pulau Pinang guna dok bantu orang miskin. Nana nak tau kalu-kalu benda yang sama dibuat oleh kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan kerajaan persekutuan. Mana la tau kot-kot cek boleh jawab.

Nana nak tanya pasai duit atau cukai yang dikutip hasil daripada pengimportan arak, pengeluaran lesen judi, cukai yang dikutip atas keuntungan kasino di Genting Highlands, cukai-cukai yang dikutip hasil keuntungan loteri, Sports Toto dan Magnum.

Duit tu semua pi mana kalau tak masuk dalam hasil kerajaan persekutuan dan ada yang masuk dalam kutipan hasil kerajaan negeri.

Dengan itu, segala cukai dan kutipan hasil penjualan arak, hasil judi dan hasil keuntungan ladang-ladang ternakan babi dan hasil eksport babi ke Singapura disatukan dalam hasil atau perolehan negara. Duit tu juga diguna atau dibelanja untuk pembangunan negara termasuk membina rumah-rumah ibadat, sekolah, hospital dan kemudahan awam lain.

Hasil itu juga diguna untuk membantu orang miskin di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk mereka yang beragama Islam.

Tak kan kerajaan asingkan hasil daripada sumber haram itu daripada jumlah hasil keseluruhan yang dikutip sama ada melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Pejabat-pejabat Tanah, Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan sebagainya, daripada hasil atau cukai yang bukan haram. Tentu tidak.

Oleh itu, pasai apa cek Reezal Merican bangkitkan sumbangan yang dikatakan dibuat oleh Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang kepada kerajaan negeri untuk bantu orang miskin di negeri cek sendiri.

Dah tentu tak dak beza dengan apa yang dibuat oleh kerajaan-kerjaan Negeri dan kerajaan Persekutuan. Jadi pasai apa nak jadikan satu isu ..... jangan lah jadi macam si periuk yang dok kata si belanga hitam sedangkan diapun hitam macam tu juga.

Cek Reezal kena pi belajar main politik lagi dengan tok guru Abdullah, la ni Tun Abdullah, cucu Pak Hassan Kontong atau Kwantung, pasai mungkin ada benda yang dia tak peturunkan kat cek.

Muhyiddin Bagi Bola Tanggung Kepada Saifuddin?

Oleh Mohd Sayuti Omar

MUNGKIN Muhyiddin Yassin tidak menyedari bahawa cabaran beliau kepada Saifuddin Nasution Ismail supaya mendedahkan petulang luar yang cuba mengkucar kacirkan mesyuarat peringkat cabang parti itu merupakan hantaran bola tanggung kepada Saifuddin. Sudah pasti bola itu akan dismash melenting oleh Setiausaha Agung PKR itu.

Barang kali juga Muhyiddin lupa mengenali kebolehan dan kehebatan Saifuddin dalam silat sulit politiknya. Kalau umpamakan pemain bulu tangkis, Saifuddin boleh bermain di semua keadaan, di net, base line ataupun rally.

Saifuddin dikenal sebagai seorang ahli politik yang bercakap bersandarkan fakta dan hujjah. Beliau tidak beretorik. Cakap-cakapnya tidak kosong dan ada nilai. Sebab itu Saifuddin tidak suka bercakap dan 'berlebel' atau berkokok berdaung seperti orang lain. Apa yang dicakapkan adalah fakta.

Atas kelebihan yang ada kepadanya itulah beliau diberi kepercayaan oleh Anwar Ibrahim untuk memikul tanggungjawab yang ditinggalkan oleh Sallahuddin Hashim, bekas Setiausaha Agung PKR yang meletak jawatan kemudian menjadi promoter menghancurkan PKR. Sebenarnya track record Saifuddin juga sudah lama menyerlah sebelum ini. Beliau pernah menjadi orang penting dalam Pergerakan Pemuda Umno sewaktu Zahid Hamidi (bukan Zaid *** ****) menjadi ketuanya. Kalau tidak silap Saifuddin adalah setiausahanya kalaupun tidak ketua penerangan.

Apabila Muhyiddin mencabar agar Saifuddin mendedahkan siapa petulang yang dimaksudkan oleh Saifuddin itu ia menggembirakan Saifuddin sendiri. Saya percaya berdasrakan pengalaman mulai malam ini Saifuddin sudah menyusun bahan buktinya di samping memperkemaskan segala maklumat yang ada.

Barang kali Saifuddin akan menanti masa sesuai saja untuk menjawabnya. Beliau akan membiarkan Muhyuddin dan mana-mana pemimpin Umno memberi bola tanggung. Sudah pasti apabila Saifuddin mendedahkan bukti baik berbentuk audio video serta cetakan itu menyebabkan semua akan menganga nanti. Apakah kalau Saifuddin berjaya menyahut cabaran itu Muhyiddin akan sedia memohon maaf atau meralatkan cabarannya?

Dengan kedudukkan sebagai timbalan presiden Umno dan TPM, Muhyiddin tidak sepatutnya mencabar Saifuddin. Kerja mengkritik dan membedal PKR tidak payah dilakukannya. Serah sajalah kepada beberapa bekas ahli PKR yang kini mencari makan dalam Umno yang kerjanya memang sesuai untuk memburukkan Umno walaupun mereka tidak ada locas standi untuk bercakap mengenainya.

Berikan tugas itu kepada mereka, dan tambahkan elaun mereka bekerja mengkritik PKR. Muhyiddin tidak patut ikut sama mencampur kerja-kerja huduh begitu.

Tugas sebagai TPM masih banyak. Muhyiddin perlu bercakap macam mana hendak menyakinkan pelbor asing ke negara ini. Beliau perlu membantu Najib bukannya membiarkan Najib terkotang kanting sendirian. Jadilah seorang TPM yang membantu bukannya yang menyusahkan Najib. Muhyiddin sepatutnya bersama Najib sebab Najib ketuanya dan bukan beriringan dengan Mahathir Mohamad.

Begitu juga dakwaan bekas timbalan Setiausaha agung PKR, bernama Janapala Prumal itu juga saya yakin Saifuddin ada jawabanya. Cabaran Janapala itu juga akan mengena kepalanya sendiri. Masakan sebagai ahli sebuah parti politik beliau tidak mengetahui mengenai status dirinya. Sepatutnya sebagai timbalan setiausaha agung beliau tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Mustahil kalau Janapala tidak mengetahui pemecatannya sebagai ahli PKR pada Feb 2009. Beliau juga mungkin tahu kenapa pemecatan itu dilakukan. Surat pemecatan tidak diterima itu cuma alasan saja untuk dijadikan bahan berita kepada media. Sebagai orang yang berada di bawah dagu bekas setiausaha agung lama Janapala tentu menghidunya kalaupun tidak melihat tindakan dikenakan kepadanya.

Bukankah ada surat pemecatan yang ditulis oleh Sallahuddin Hashim yang tersimpan dalam fail setiausaha agung? Kalau orang luar seperti saya atau orang lain tahu mengenai kedudukan sebenarnya Janapala, kenapa beliau sendiri tidak tahu mengenai dirinya.

Kerana itu pada saya aksi dan ulah Janapala itu tidak lain sebagai sukarelawan untuk menimbulkan kelama kabut dalam PKR saja. Peranananya samalah dengan beberapa orang bekas anggota PKR yang telah meninggalkan parti berkenaan tetapi masih tergilak talak untuk memperkatakan PKR. Mereka itu sepatutnya bercakap bagaimana hendak menyalamatkan Umno bukannya bercakap bagi mempbertulkan PKR. Apakah mereka tidak diberi peranan selayaknya dalam Umno menjadikan mereka merepek meraban menghentam PKR?

Berbalik kepada cabaran Muhyiddin tadi, saya ingin sebut satu saja sebagai menjawab cabarannya. Satu maklumat yang masuk kepada saya, di sebuah cabang PKR di Kelantan ada orang Umno yang cuba merosakkan sebuah cabang PKR berkenaan dengan menyamar sebagai ahli PKR bertanding merebut jawatan ketua.

Nasib baik kejahatan orang berkenaan disedari. Menjelang pertandingan disebarkan maklumat mengenai status orang berkenaan menunjukkan dia seorang ahli Umno. Katanya orang ini diupah oleh Umno untuk membuat kacau dalam PKR. Mungkin Muhyiddin boleh merujuk kepada partinya dan melihat senarai ahli-ahli Umno yang diutuskan khas mengkhianati mesyuarat cabang PKR. Atau mungkin juga kejadian ini sebahagian bukti yang ada dalam simpanan Saifuddin

Kebebasan Wartawan Dan Corridor Kuasa

Oleh Abd Shukur Harun

Pada suatu pagi di tahun 60-an Presiden Sukarno berkunjung ke White House, Washington D.C. untuk bertemu dengan Presiden J.F. Kennedy. Kedua-dua presiden itu sedang berusaha untuk membaiki hubungan dua negara yang selama ini begitu tegang.

Presiden Sukarno mengadu kepada Kennedy perihal akhbar Amerika yang sentiasa mengkritiknya. Dengan tenang Kennedy menjawab: “Kami sendiripun menghadapi masalah dengan media, malah saya sendiri sebagai presiden tidak terlepas daripada kritikan mereka.”

“Bagaimanapun,” kata Kennedy, “itulah sebahagian dari demokrasi dan kebebasan media yang kami warisi di negara kami.”

Sementara itu, kira-kira 500 tahun lalu, Sultan Melaka menitahkan pegawai istananya supaya memanggil pengarang Sejarah Melayu, Tun Sri Lanang mengadapnya. Ketika pengarang itu mengadap, Sultan dengan tegas memberitahu: “Tun Sri Lanang, tulislah hal-hal yang baik-baik saja mengenai Melaka ini supaya dapat dibaca oleh anak cucu kita dikemudian hari.”

Ini bermakna, 500 tahun lalu sudah ada arahan dari pihak berkuasa mengenai apa yang boleh ditulis dan yang tidak boleh ditulis, yang boleh didedahkan dan yang tidak boleh didedahkan. Di Eropah., bekas Maharaja Perancis, Napoleon Bonarparte, pernah berkata, “I fear the newspapers more then a hundred thousand byonet.”

Di tahun 60-an, ketika negara komunis China pimpinan Pengerusi Mao Tzi Tung berada di tengah Revolusi Kebudayaan, para editor kanan akhbar Harian Rakyat dipanggil setiap petang ‘mengadap’ Perdana Menteri Chou En-Lai untuk menerima arahan darinya – berita yang mana boleh disiarkan atau berita yang mana perlu dibuang, gambar yang mana boleh disiar, begitu sebaliknya.

Pada tahun 1961, editor Utusan Melayu, Said Zahari dan teman-temannya memimpin mogok pekerja Utusan kerana memprotes langkah Umno mengokong akhbar itu, sedangkan Said mahukan akhbar dan wartawan Utusan diberikan kebebasan.

Demikian juga apa yang berlaku kepada wartawan kawakan, Mochtar Lubis, pengarang ‘Indonesia Raya’ yang ditahan di zaman Sukarno kerana mengkritik pemerintah Sukarno. Beliau dibebaskan sebentar di zaman Suharto, namun dipenjarakan lagi di zaman pemerintahan Order Baru Suharto itu kerana mengkritik berleluasanya korupsi di Indonesia. Demikian mahalnya harga perjuangan tersebut yang terpaksa dibayar oleh para tokoh ini.

Inilah di antara peristiwa mengenai kebebasan akhbar dipelbagai negara. Banyak lagi peristiwa seumpama itu berlaku di seluruh dunia – suatu manifestasi bagaimana sikap sesuatu pemerintah mengenai kebebasan akhbar – sejak zaman berzaman. Mereka sentiasa dihantui rasa takut dan curgia akan apa yang disiarkan oleh media. Hal ini berlaku hingga kini, walaupun negara itu mendakwa mengamalkan demokrasi.

Saya memetik sedikit tulisan dalam sebuah laporan (sengaja tidak diterjemahkan untuk benar-benar menepati kehendak rencana itu), yang ber bunyi:

“According to Reporters Without Borders, more than a third of the world's people live in countries where there is no press freedom. Overwhelmingly, these people live in countries where there is no system of democracy or where there are serious deficiencies in the democratic process. Freedom of the press is an extremely problematic problem/concept for most non-democratic systems of government since, in the modern age, strict control of access to information is critical to the existence of most non-democratic governments and their associated control systems and security apparatus.”

Saya memikirkan semuanya ini ketika tercetus isu kebebasan wartawan berhubung dengan kenyataan berani Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari yang menarik perhatian. Hata Wahari baru saja dipilih menggantikan Norila Daud, 17 September lalu. Seperti kata Ketua Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman sendiri dalam reaksinya di Harakahdaily, “Hata telah memulakan langkah awal dengan baik walaupun mungkin bakal menempuh kontroversi berlanjutan.”

Lutfi pernah mwakili Kumpulan Aktivis Media Independen dan bertemu dengan bekas Naib Pengerusi Suhakam, Allahyarham Tan Sri Harun Hashim hampir sepuluh tahun dahulu, bagi membincangkan isu pengharaman majalah Detik dan Wasilah.

Almarhum bertanyakannya, berapa ramai wartawan yang mendokong perjuangan membebaskan media. Soalan ini sukar dijawab oleh Lutfi bagi pihak wartawan lain kecuali sejumlah kecil warga media yang dikenal pasti olehnya, yang bertugas dengan akhbar alternatif.

Lutfi tetap yakin bahawa masih ada sebahagian teman-teman yang bertugas dengan syarikat media yang dikaitkan dengan Umno/BN pun menanggung derita yang sama.

Sangat menarik pula kenyataan pertama Hata itu apabila beliau berkata: "Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat dan para pemimpin politik lain. Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961." Kepada saya kenyataan Hata ini juga wajar menjadi ingatan bukan saja kepada Umno/BN bahkan kepada Pakatan Rakyat sama ada belum berkuasa atau ditakdirkan berkuasa nanti. Hata benar-benar mahukan suatu suasana di mana wartawan benar-benar dapat menjalankan tugasnya secara professional dalam ertikata yang sebenar.

Oleh itu jika Pakatan Rakyat berusaha untuk berkuasa melalui pilihan raya umum nanti, dia mestilah menyediakan suasana yang demikian. Kemampuan sesebuah kerajaan untuk menyediakan suasana ideal sedemikian rupaya bergantung kepada kemampuan kepimpinan sesebuah kerajaan itu, lebih-lebih lagi menurut sebuah analisis yang pernah saya terbaca dulu bahawa Dunia Ketiga memang sangat sukar melaksanakan demokrasi dan kebebasan akhbar justru kebanyakan pemimpinnya sentiasa ‘dihantui’ rasa bimbang dan tidak selamat mengenai kekuasaan mereka.

Adalah wajar pemimpin Pakatan Rakyat – yang bercita-cita untuk berkuasa menerusi demokrasi – menyediakan diri dengan sikap terbuka dan menerima hakikat demokrasi dan kebebasan media. Janganlah sementara belum berkuasa, Pakatan Rakyat dengan mudah menyuarakan sikap keterbukaan, demokrasi, kebebasan media, ketelusan dan sebagainya, tetapi bagaimana jika ditakdirkan mendapat kuasa nanti.

Justru Kumpulan Aktivis Media Independen pimpinan Lutfi itu sangat wajar meneruskan perjuangannya kerana perjuangan ini berterusan, disebabkan ia sentiasa berdepan dengan corridor kuasa dengan segala karenahnya.

Akhirnya kepada Presiden baru NUJ, Hata Wahari, saya mengucapkan selamat berjuang.

40 Atau 60 Atau Berapa Pun, Adakah Terlarang?

Oleh Zolkharnain Abidin

Tahniah kepada blogger yang menjawab tulisan ketua ulamak muda Umno secara ilmiah mengenai 40 tok guru pondok bakal berdoa di Mekah selama 40 hari dan 40 waktu. Isunya, royalti minyak Kelantan. Baca blog al-Bakistani.

Tulisan ulamak muda Umno itu dikira bagus. Penuh dengan maksud hadis dan pandangan para ulamak. Kalau ketua ulamak muda itu berhasrat untuk menujukan tulisannya kepada 40 tok guru pondok itu, rasanya mereka pun sudah tahu.

Bahkan rasanya mereka lebih dahulu tahu daripada ketua ulamak muda itu. Namun itu tidak bermakna tulisan ketua ulamak muda tidak berharga, ia tetap berharga dan bernilai. Memberitahu perkara yang orang telah tahu dipanggil ‘tazkirah’.

Angka 40 ada signifikannya. Dalam al-Quran ada disebut angka itu. Signifikan Mekah dengan doa usah dipersoalkan lagi. 40 tok guru itu pula mewakili rakyat Kelantan yang pada pandangan mereka di zalimi. Pendek kata, jika ulama muda itu ingin mempersoalkan signifikan doa dengan isu royalti minyak Kelantan, rasanya tersasar.

Selama mana sesuatu itu tidak terlarang, maka melakukannya tidak perlu dipersoalkan. Tiada larangan berdoa oleh 40 orang, 40 waktu dan 40 hari. Bahkan tiada larangan juga untuk 60 orang, 60 waktu atau 60 hari. Atau, berapa sahaja.

Justeru, mengapa bilangan orang, waktu dan hari yang dipersoalkan oleh ketua ulama muda Umno ini?

40 tok guru adalah rakyat Kelantan. Mereka berasa diri mereka dizalimi. Bagi mereka, orang yang menzalimi mereka ialah pemimpin Umno. Kalau mereka berdoa supaya ditentukan keputusan yang wajar ke atas pihak yang menzalimi mereka, itu hak mereka.

Menjadi kelaziman, orang yang menzalimi jarang merasai dia menzalimi orang lain. Firaun berasa tindakannya memotong secara bersilang kaki dan tangan ahli sihirnya yang beriman dengan Musa adalah betul. Dia berasa dirinya Tuhan. Mana mungkin Tuhan bersalah.

Apabila rakyat Kelantan berasa mereka dizalimi, mereka berhak berdoa supaya orang yang menzalimi mereka dihukum.

Kalau Umno berasa mereka tidak menzalimi rakyat Kelantan, mengapa mereka perlu takut dengan doa 40 tok guru itu? Mengapa pula ketua ulama muda Umno ini perlu mempersoalkan tindakan 40 tok guru itu?

Mereka tidak perlu mempersolkan tindakan 40 tok guru itu. Mereka perlu tampil menasihati pemimpin Umno untuk memulangkan hak kepada yang berhak.

Benar, kefahaman terhadap tafsiran undang-undang adalah berbeza. Tetapi apalah salahnya jika rakyat Kelantan diberikan apa yang mereka yakini sebagai hak mereka. Bukankah rakyat Kelantan juga adalah warga negara?

Kalau rakyat negeri lain juga berpendapat mereka juga berhak ke atas emas hitam itu, tunaikan juga. Itu adalah lebih baik daripada berkeras lengan untuk menunjukkan kuasa. Akibatnya, rakyat yang menanggung bahana.

Persoalannya ialah, berdasarkan pengalaman Kelantan semenjak 1990, bukan sekadar royalti minyak itu sahaja yang dinafikan, bahkan geran tahunan berdasarkan perlembagaan pun tidak dilunaskan secara sepatutnya.

Sudahkah ketua ulama muda Umno menasihati ketua mereka mengenai perkara ini? Atau, mungkin mereka menasihatinya secara senyap takut diketahui orang. Nanti riya’ pula. Mudah-mudahan…

Kata ketua ulamak muda Umno lagi, RM400 ribu sepatutnya dihabiskan untuk program ilmu dan bukan program sebegitu.

Cuba ketua ulamak muda Umno ini kira, berapa banyak wang dihabiskan untuk sambutan pelbagai hari, acara dan pesta di negara ini?

Dan, tentu ketua ulamak muda Umno ini tahu bahawa kita dibenarkan bersusah-payah untuk bermusafir untuk menuju ke tiga buah masjid agung kita di Mekah, Madinah dan Palestin.

Bagi saya, ketua ulamak muda ini sepatutnya menumpukan perhatian untuk terus menasihati pemimpin Umno secara senyap-senyap seperti yang disarankannya. Tak perlu heboh-heboh.

Tetapi ketua ulama muda Umno ini perlu sedar bahawa bangkitnya kesedaran rakyat juga kesedaran pemimpin Umno sendiri dalam beberapa hal adalah kerana teguran secara terang dan keras yang dibuat oleh rakyat. Hasilnya telah kelihatan dan turut dirasai ketua ulamak muda Umno sendiri.

Kami sedang menunggu hasil nasihat senyap-senyap ketua ulamak muda Umno ini.

Tropi Sandiwara Lucu: "Pulangkan" Bersaing Hebat Dengan "I'da World"

KELAB GREENBOC

40 pulangkan wang didakwa hasil judi

Akibat marah, kecewa dan rasa tertipu, seramai 40 warga emas dan golongan miskin tegar di negeri ini, mengembalikan wang RM100 yang mereka terima daripada kerajaan negeri baru-baru ini, yang dikatakan diperoleh daripada sumber judi.

Penduduk dari Parlimen Kepala Batas itu memulangkan wang berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Datuk Azhar Ibrahim, dalam satu majlis khas di Pusat Khidmat ADUN berkenaan di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Pulau Pinang, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Mereka kesal terhadap tindakan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, yang menggunakan sebahagian daripada dana diterima daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan lumba kuda untuk diagihkan kepada rakyat.

Seorang penduduk dari Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Rosnani Rashid, terkilan kerana suaminya, Osman Mahmud, 62, yang meninggal dunia pada 6 April lalu, iaitu seminggu selepas menerima RM100 menerusi program penghargaan warga emas sudah menggunakan wang itu.

Kalau kami tahu duit itu daripada sumber tidak elok seperti perjudian, sudah tentu duit itu tidak akan digunakan, katanya yang menangis teresak-esak ketika ditemui pemberita selepas majlis itu.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, mendedahkan kerajaan Pulau Pinang menerima sumbangan RM500,000 daripada Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang yang mengendalikan pertaruhan perlumbaan kuda di negeri ini.

Perkara itu diperkuatkan lagi dengan bukti melalui surat rasmi Pejabat Ketua Menteri mengenai penerimaan sumbangan itu yang ditandatangani Setiausaha Sulit Guan Eng, Farida Hani M Yaacob bertarikh 9 Julai 2010.

Kerajaan negeri sebelum ini pernah menafikan pihaknya menggunakan wang daripada sumber judi untuk melaksanakan programnya, tetapi selepas pendedahan oleh Reezal Merican, Guan Eng mengakui bahawa kerajaan negeri ada menggunakan sumbangan daripada Kelab Lumba Kuda untuk menjalankan program membas-mi miskin tegar.

Seorang lagi penduduk, Harun Ali, 63, berkata dia memulangkan semula wang RM100 yang diterima daripada kerajaan negeri kerana tidak sanggup menggunakan wang itu selepas timbul isu bahawa wang berkenaan adalah daripada sumber meragukan.

"Kalau makan duit ini, ia akan menjadi darah daging saya. Saya tidak mahu menjadi seperti itu dan kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang seolah-olah tidak memahami sensitiviti serta hukum orang Islam," katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengumpulkan wang berkenaan bagi diserahkan kepada kerajaan negeri selepas menerima banyak maklum balas daripada orang ramai yang menyatakan hasrat untuk berbuat demikian kerana tidak mahu menggunakan wang daripada hasil judi.

Selepas ini program mengumpul duit sumbangan kerajaan negeri akan diadakan di seluruh negeri sebelum diserahkan kepada Pemuda UMNO untuk dikembalikan kepada kerajaan negeri, katanya yang juga Setiausaha UMNO Pulau Pinang. -BH

Ulasan GB

Sandiwara terhebat oleh UMNO dengan bantuan pemberita /wartawan Berita Harian di Pulau Mutiara.

Sama hebatnya sandiwara pemberian replika cek RM4b oleh I'da World bersama wartawan akhbar yang sama di Kelantan minggu lalu.

Pertama, laporan polis perlu dibuat supaya wang-wang yang dipulangkan itu benar-benar dikembalikan kepada kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM4,000.

Kedua, kalau saya jadi YAB Lim Guan Eng saya umumkan Kerajaan Pulau Pinang telah dan akan mengagihkan RM5 juta kepada warga emas. Dan YB Penaga boleh kutip semula dan serahkannya kepada kerajaan negeri. Biar dia terberak mensandiwarakan pungutan RM5 juta dan serahkan jumlah itu kepada kerajaan negeri.

Ketiga, tak orang yang berakal waras mahu kembalikan semula wang yang diterima, apatah lagi telah diberitahu oleh bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri bahawa wang itu tidak haram. Hanya YB Penaga yang buat susah kepala dan susah poket mencari idea dan membuat majlis untuk menyertai sandiwara tahunan bersaing dengan I'da World.

Felda Bakal Disaman Lagi

KELAB GREENBOC

Seramai 1,000 peneroka Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh daerah Jengka, Pahang dijangka akan memfailkan saman berhubung harga Kadar Perahan Gred (KPG) yang didakwa rendah daripada harga pasaran sebenar.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Felda dan Orang Asal KEADILAN Suhaimi Said ketika dihubungi Suara Keadilan berkata satu perjumpaan akan diadakan pada 3 Oktober depan bagi memberikan penerangan kepada peneroka seterusnya memfailkan saman terhadap agensi tersebut.

"Kita akan memfailkan saman bagi pihak peneroka, kerana mereka ini telah dianiaya dan ditipu apabila hanya diberikan antara 18 hingga 20 peratus KPG sedangkan ikut pasaran adalah 26 peratus.

"Memandangkan di kawasan Jengka ini mempunyai banyak kilang dan kadar perahannya pula berbeza antara satu sama yang lain, jadi kita akan kumpulkan peneroka mengikut kilang yang ada di sini," kata beliau.

Menurut Suhaimi lagi, kadar 1 peratus KPG dianggarkan sekitar RM40 yang bermakna setiap kali hasil sawit peneroka dipetik, mereka kerugian antara RM200 hingga RM300.

Tambah beliau, tindakan itu bukannya dilakukan sekadar suka-suka tetapi bagi menuntut hak peneroka yang saban tahun telah ditipu oleh Felda berhubung harga sebenar kadar perahan buah kelapa sawit.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan keputusan supaya Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Kemahang 3, Kelantan.

Ini memberikan tamparan hebat kepada agensi itu dan kemenangan moral yang besar kepada peneroka Felda di seluruh negara.

Tindakan agensi itu dilihat tidak menghormati hak peneroka berhubung harga KPG sudah lama berlaku di kebanyakan rancangan Felda di seluruh negara.

Berhubung dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan kononnya Pakatan Rakyat menghasut peneroka menyaman Felda, Suhaimi berkata tindakan saman itu bukan hanya menuntut hak peneroka yang menganggotai KEADILAN dan PAS sahaja bahkan untuk semua peneroka tanpa mengira fahaman politik masing-masing. -SK

Ulasan GB

Tak mahu mengaku bagkrap, lepas ini betul-betul akan jadi bankrap.
FELDA bukan lagi "fixed deposit" UMNO untuk pilihanraya.

Dan jangan silap, bukan kita doakan Felda bankrap. Tetapi lebih baik wang yang disapu UMNO dan pemimpinnya berbillion ititu diberikan kepada para peneroka.

Barang Saiful Kena Kebas Di Medan Tunku

KELAB GREENBOC

Kereta Saiful Bukhari Dicuri

KUALA LUMPUR : Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes konspirasi kedua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kereta Proton Waja miliknya dicuri malam semalam.

Menurut Saiful Bukhari, kereta Waja berwarna perak itu disedarinya hilang ketika meletakkannya di Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur malam tadi.

"Saya sudah membuat laporan di balai polis Dang Wangi dan menyerahkan polis untuk menyiasat perkara itu.

"Saya sedang makan dan apabila kembali, saya sedari kereta saya hilang,” katanya kepada Malaysiakini yang mendakwa kenderaan itu pemberian ibunya.

Saiful Bukhari berkata dalam mesej twitternya semalam, beliau memohon sesiapa yang menjumpai keretanya dengan nombor pendaftaran WLG9170 untuk menghubunginya atau pihak polis.

Beliau menjadi tumpuan sejak 2008 apabila membuat dakwaan beliau diliwat ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh.


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera,

Semalam, pada jam 8.35pm, selepas makan malam bersama bapa di restoran berdekatan, saya dapati bahawa kereta saya telah dicuri. Kejadian berlaku di bahu jalan Lorong Medan Tuanku 2, Kuala Lumpur.

Laporan Polis telah dibuat di IPD Dang Wangi. Saya difahamkan siasatan dan gerakan mengesan semula kereta saya sedang dijalankan.

Jika ada sebarangan maklumat, mohon jasa baik rakan-rakan dan pengunjung blog saya menghubungi Pegawai Penyiasat IPD Dang Wangi Sarjan Mejar Shukor di talian 019-3245442.

Buat masa ini, saya tidak mahu mengesyaki atau mengaitkan kehilangan kenderaan saya ini dengan perbicaraan yang sedang berlangsung. Saya serahkan kepada pihak Polis untuk menyiasat.

Di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan serta orang ramai diatas keperihatinan, bantuan dan doa sejurus saya mengumumkan berita kehilangan tersebut di Facebook dan Twitter malam tadi.

Kereta tersebut banyak kenangan dan jasanya. Ia juga merupakan hadiah dari Arwah Ibu sebelum beliau kembali ke Rahmatullah pada tahun 2004.

Apapun, sebagai hamba Allah, saya akan terus berdoa, tenang dan sabar. Insyaallah, jika ada rezeki, pulanglah ia, jika tiada, maka saya Redha.

Diharap rakan-rakan diluar sana terutama pemilik kenderaan mengambil iktibar dan berhati-hati. Kes kecurian kenderaan sudah menjadi perkara normal semenjak akhir-akhir ini. Ia boleh berlaku pada sesiapa sahaja.

SAIFUL BUKHARI AZLAN


Ulasan GB

Kena tow kot sebab tak bayar saman.

Penduduk Sungai Labu Sekinchan Terima Borang 5A


SELANGOR KINI

SEKINCHAN – Seramai 26 orang penduduk Sungai Labu,Sekinchan menarik lafas lega apabila menerima borang 5A selepas sekian lama menunggu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Sue Lim menyampaikan borang 5A berkenaan sempena Majlis Jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di sini, semalam. Hadir sama, Pegawai Daerah, Marzuki Hussin.

Ng Sue Lim dalam ucapannya berkata, “ kelulusan 26 peserta itu menyambung kesinambungan kelulusan hak milik yang telah dilakukan Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu terhadap permohonan tanah di seluruh daerah”.

Menurutnya lagi , “Di Sekinchan, Kerajaan Negeri melalui pengurusan pejabat tanah dan daerah telah berjaya menyelesaikan 183 pemilikan tanah di Kampung Baru Nelayan Bagan Sekinchan,”

“ Di Kampung Penerangan seramai 60 penduduk yang semuanya kaum Melayu telah memperoleh kelulusan pemilikan begitu juga dengan isu lanjutan pajakan hak milik tanah tiga kampung baru di Sekinchan iaitu di Site A, B dan C”.

Tanah di Sungai Labu Sekinchan berstatuskan tanah pertanian yang setiap daripada mereka perlu membayar premium tanah yang didiami dalam tempoh tiga bulan dengan kadar bayaran tertinggi yang dicatatkan sebanyak RM1,100 mengikut keluasan tanah masing-masing.

“Keadaan ini menunjukkan pimpinan Kerajaan Negeri sekarang komited menyelesaikan kes tanah yang tertangguh begitu lama dan ini juga membuktikan Pakatan Rakyat (PR) sama sekali tidak pernah menjadikan isu ini sebagai mainan politik apabila hak pemilikan sama diberikan kepada semua individu yang layak tanpa membabitkan pengaruh politik dan sebagainya,” Ujar Ng Sue Lim lagi.

RM6 Juta Untuk Perkasakan Sekolah Agama Rakyat


SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama di Selangor,Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada sekolah agama rakyat seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, peruntukkan tersebut sebagai galakkan selain membantu memperkasakan institusi berkenaan.

Sebelum itu, Dr Halimah menyerahkan peruntukan berjumlah RM50,000 kepada pengurusan Maahad Tahzibwa Al-Taalim yang diwakili Mohd Nazmi Abd Karim.

Katanya lagi, untuk fasa pertama sebanyak 100 sekolah telah menerima sumbangan berjumlah RM2.7 juta manakala fasa kedua akan disalurkan November ini.

“Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan sekolah agama rakyat malah institusi ini sentiasa mendapat keutamaan dan diberikan perhatian sepenuhnya.

“Ini kerana kita menyedari sekolah agama rakyat mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab serta berguna kepada agama dan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah berkata, Kerajaan Negeri mahu menjadikan negeri ini sebagai hab ilmu dan pendidikan.

“Kerajaan Negeri mahu jadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama kerana kita mahu melihat rakyat negeri ini berilmu pengetahuan dan mampu bersaing di peringkat global.

“Kita juga berharap peruntukan pendidikan daripada Kerajaan Negeri mampu menyuntik semangat sekolah agama rakyat seterusnya melahirkan ilmuwan Islam tersohor,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap dengan pengagihan peruntukan itu, ia akan memberi perangsang kepada semua pelajar dan guru yang terlibat untuk berusaha dengan lebih gigih bagi mencapai kejayaan.

Kajian media: Tekad Umno kekalkan kuasa mengancam kestabilan negara

- Komplot dalaman dan tindakan Umno cuba kekal berkuasa merupakan ancaman besar kestabilan negara

BULETIN ONLINE

Di sebalik pelbagai spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-13, laporan terbaru The Economist Intelligence Unit mendakwa komplot dalaman Umno dan tekad parti pemerintah untuk kekal berkuasa dengan menggunakan apa jua cara merupakan ancaman besar kepada kestabilan politik di Malaysia.

Laporan itu mengenai Malaysia juga mengesyorkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) akan memperlihatkan peningkatan kerusi dalam pilihan raya umum ke-13, tetapi tidak mungkin akan memperolehi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.

Kestabilan Malaysia sepanjang lima dekad lalu bergantung pada tiga faktor utama iaitu penguasaan mantap Barisan Nasional (BN), kawalan ketat Umno ke atas perikatan ini dan sokongan majoriti Melayu terhadap parti dominasi BN itu, kata laporan edisi keluaran Oktober itu.

Bagaimanapun menurut laporan itu, faktor-faktor itu bukan sesuatu yang kekal berterusan, lebih-lebih lagi selepas prestasi buruk BN pada pilihan raya umum 2008 dan kejayaan bersejarah PR dalam menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen.

“Pilihan raya umum 2008 menunjukkan ketiga-tiga faktor itu menjadi lemah.

“Ekorannya, kuasa-kuasa ini kemungkinan tidak membolehkan rangka kerja politik negara kekal seperti biasa sepanjang 2010-2-14,” kata laporan itu yang di petik Bernama.

Mandat semasa kerajaan hanya akan berakhir Mei 2013, tetapi ramai menyebut pilihan raya umum kemungkinan diadakan awal tahun depan.

Oleh itu jelas laporan itu, komplot politik dalam Umno sendiri dan ditambah dengan kesungguhan untuk kekal dalam kuasa menerusi apa jua cara akan menjadi ancaman kepada kestabilan politik negara ini.

BN mahu memperoleh kembali kerusi majoriti di Parlimen dan menawan negeri-negeri yang jatuh khususnya Selangor.

Puak-puak dalam Umno mula kelihatan muncul dalam usaha menentukan hala tuju parti itu sejak kebelakangan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno melahirkan tekad untuk memperkenalkan pembaharuan-pembaharuan mesra pasaran.

Bagaimanapun Najib berhadapan dengan tekanan dan bantahan daripada elemen-elemen konservatif dari dalam Umno dan juga pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Malah Najib yang juga Pengerusi BN berhadapan dengan bantahan dalam usahanya memperkenalkan Model Baru Ekonomi, khususnya daripada Perkasa yang diketuai oleh Ahli Parlimen Bebas Datuk Ibrahim Ali.

Najib dijadual memperkenalkan laporan kedua model itu bulan depan bersama Bajet 2011.

Selain itu, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan pendirian-pendirian yang dilihat boleh menjejaskan usaha Najib memperkenalkan pembaharuan dasar.

The Economist Intelligent Unit juga menekankan bahawa BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang memandangkan Umno tidak boleh lagi mengharapkan sokongan orang Melayu daripada golongan “berpendidikan tinggi, liberal dan kelas pertengahan” yang memihak sokongan kepada pembangkang.

Malah menurut laporan itu, kemungkinan keputusan pilihan raya akan memperlihatkan lebih banyak kehilangan kerusi di pihak BN, memandangkan pengundi Melayu berpendirian sederhana yang kecewa dengan siri skandal politik selain tindakan Umno begitu agresif memperkenalkan nilai-nilai Islam, tidak akan memberikan sokongan mereka.

Katanya, pengundi-pengundi Cina dan India kekal enggan kembali ke pangkuan BN

PRK DUN Galas: Perlantikan Razaleigh umpama kata dua

http://buletinonline.net/images/stories/berita34/dungalasbyelection1.gifBULETIN ONLINE

Parti Islam Se-Malaysia menyifatkan perlantikan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil DUN Galas sebagai kata dua kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti Kerajaan PAS Kelantan. Jelas ianya tindakan terdesak Umno. Ternyata Umno begitu bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu, Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan perlantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen.

Sebelum ini di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dilantik sebagai Pengarah namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal ditangan PAS. Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi Pengarah Pilihanraya DUN Galas walaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Negeri dan Menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan..

DUN Galas dikawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh dimana Umno menumpang pengaruh beliau untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam Pilihanraya yang lepas Allahyarham Che Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN.

Bagi PAS perlantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihanraya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas Pilihanraya 2008, beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan Kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti dari Kerajaan Persekutuan dibawah BN.

Malah beliau yang juga mantan Pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan kelantan kepada Petronas. Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat.

PAS yakin, perlantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno. Ianya umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno.

PAS yakin, Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan dia tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan. PAS tiada masalah jika beliau menerima perlantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

Jika dalam PRK nanti isu Royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan? Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti.

PAS menyeru agar Tengku Razaleigh istihar keluar Umno dan menyertai PAS jika benar beliau berjuangan untuk rakyat Kelantan.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS

Skandal kerugian RM8 bilion MAS: Tubuh Suruhanjaya Diraja jika berani - PAS

WARKAH DAILY

Bekas pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli sepatutnya menuntut penubuhan Suruhanjaya Diraja berhubung kerugian RM8 bilion yang ditanggung oleh sayrikat pesawat negara itu, jika beliau tiada apa untuk disembunyikan, kata naib presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Jika beliau berpendapat bahawa dakwaan ke atasnya berhubung kerugian itu yang dipersalahkan ke atas adalah tidak benar dan beliau tidak terlibat, saya cabarnya membuat kenyataan rasmi menuntut Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi membersihkan namanya.”

Salahuddin sehubungan itu, menggesa pengerusi Jawatankuasa Khas SPRM, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad membuka kertas siasatan berhubung kes itu.

Salahuddin yang juga mengganggotai jawatankuasa khas SPRM itu berikutan tindakan SPRM merujuk aduan eksklusif MAS kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK), Bukit Aman.

Beliua juga mahu pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid supaya membuka kertas siasatan di bawah kuasa parlimen berhubung skandal MAS itu.

Salahuddin berkata Suruhanjaya Diraja diperlukan dalam kes ini kerana ia membabitkan tiga organisasi berprofail tinggi - Jabatan Penyiasatan Jenayah Perdagangan polis (CCID), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan MAS. -Malaysiakini

PRK Dun Galas: PAS Terengganu bersedia turunkan jentera

Pas Terengganu bersedia bila-bila masa sahaja untuk menurunkan jentera parti bagi membantu Pas Kelantan menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman (Gambar) berkata, pihaknya akan bermesyuarat 2 Oktober ini bagi membincangkan perkara yang perlu diberi perhatian dalam pilihan raya berkenaan.

“Terengganu bersedia hantar jentera parti tetapi jumlah kekuatan bergantung kepada Kelantan, selain perkara berhubung pilihan raya kecil itu akan dibincangkan dalam mesyuarat pada Sabtu ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Ariffin yakin, Pas Kelantan telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di DUN dalam Parlimen Gua Musang itu.

Beliau berkata, Pas Kelantan berkemungkinan besar telah mempunyai calon cadangan ketika ini memandangkan penyandangnya, Allahyarham Che Hashim Sulaima, 48, sudah lama menderita penyakit kanser usus sebelum meninggal dunia.

Ditanya berkemungkinan calon parti Pakatan Rakyat (PR) lain akan ditempatkan dalam pilihan raya kecil itu kelak, beliau yakin calon Pas akan terus dikekalkan.

“Dari segi status quo, kalau di situ kawasan Pas, parti lain tidak akan ganggu dan kita yakin calon Pas akan bertanding. PR tidak akan berebut kerusi,” katanya.

Mengulas mengenai kemenangan Pas dengan majoriti kecil pada pilihan raya umum lalu, beliau bagaimanapun menaruh harapan Pas akan menang di kawasan itu nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang disahkan menghidap kanser usus sejak Mei tahun lalu meninggal dunia, 27 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi dengan memperoleh 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN, Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi. -SH

Rampas Parlimen KT: Penilaian bodoh Ketua Umno Bahagian

WarkahDaily

Tak tahulah cerdik ke bodoh, tapi penilaian yang dibuat adalah tersangat lucu dan kelakar untuk diambil kira.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Gambar) mendakwa BN mempunyai peluang untuk merampas kembali kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada PAS yang dimenangi pada pilihanraya kecil lepas.

Beliau kononnya membuat ‘analisa’, BN akan diterima rakyat KT dalam pilihanraya akan datang dengan beralasan jumlah pengundi BN semakin bertambah walaupun pada pilihan raya kecil, BN kalah kepada calon PAS.

Dalam laporan Sinar Harian, Wan Farid mendakwa berdasar ‘analisa’ beliau, BN telah diterima rakyat KT dalam pilihanraya akan datang dengan beralasan jumlah pengundi BN semakin bertambah walaupun pada pilihan raya kecil, BN kalah kepada calon PAS.

Padahal dalam pilihanraya umum ke 12, BN menguasai parlimen KT dan kemudian dirampas kembali oleh PAS dalam pilihanraya kecil.

“Saya bercakap berdasarkan fakta sejarah yang mana jika dilihat pada PRU 1999, BN kalah di tangan Pas dengan majoriti undi 14,448, tetapi pada pilihan raya kecil 2009, kita hanya kalah dengan majoriti 2,631 undi.

“Ini membuktikan pengundi di Parlimen Kuala Terengganu sudah mula menerima BN dan memberi peluang kepada barisan kepimpinan politik untuk berkhidmat di sini pada masa akan datang,” kata dakwa Wan Farid.

Tanya budak sekolah pun tahu fakta sebenar suasana politik KT bagaimana PAS kembali merampas parlimen KT daripada BN dalam pilihanraya kecil baru-baru ini. Dalam keadaan BN yang mempergunakan segala bentuk jentera kerajaan yang disalahgunakan, segala bentuk suapan wang dan peruntukan yang ntah ada atau tidak seperti contoh pembinaan pangsapuri di Jalan Hiliran yang sekarang ini ntah apakah nasib projek politik berkenaan.

Namun BN tetap tidak mampu mempertahankan kemenangannya di parlimen KT. Meningkat ke tu? Kalau ya pun pengundi BN meningkat, bermakna pengundi PAS lagi banyak meningkat berbanding BN kerana dapat mengatasi pengundi BN dalam pilihanraya kecil tahun lepas?

Alangkah malahnya Umno KT mempunyai ketua sedemikian rupa yang tak reti membuat analisa berkaitan pengundi di kawasannya.

Logik ke membuat perbandingan keputusan pilihanraya yang lama padahal keputusan yang baru tidak diambil kira. Kalau nak buat perbandingan tiga kali pilihanraya pun, boleh diterima lagi.

Tapi beliau hanya mengambil kira keputusan PRU 1999 di mana ketika itu PAS menang. Dalam PRU 2008 dengan majoriti besar dan BN dapat mengecilkan majoriti dalam pilihanraya kecil.

Tapi tidak pula beliau ambil kira di mana BN menang dengan 32,562 undi tetapi tewas dalam PRK selepas itu kepada PAS dengan BN menghadapi kemerosotan undi sebanyak 2,310 undi. Bukannya sedikit tu.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, PAS memperoleh 32,883 undi. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 949 undi berbanding Mac 2008 lalu, PAS mendapat 31,934 undi. Manakala BN pula mendapat 30,252 undi berbanding 32,562 undi dalam PRU 2008. Jelas ia menunjukkan BN kehilangan 2,310 undi.

Meningkat ke tu wahai Wan Farid?

Apa yang jelas, keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan pengundi yang majoriti Melayu di KT telah melakukan penolakan terhadap BN. Keputusan itu juga menyaksikan kemerosotan sokongan kepada BN. Apakah maknanya itu wahai Wan Farid?

Padahal majoriti yang dimenangi PAS dalam pilihanraya kecil itu lebih besar berbanding kemenangan BN dalam pilihanraya umum pada Mac lalu walaupun calon BN mendapat simpati pelbagai jentera kerajaan ketika pilihanraya.

Sepatutnya Wan Farid kena sedar diri yang beliau bukan sahaja tidak disukai oleh pengundi KT bahkan dari kalangan Umno-BN sendiri pun tidak suka kepadanya. Jelas analisa yang dibuat berdasarkan perhatian dari tingkap rumah beliau. Maklumlah, beliau merupakan golongan elit yang susah nak bermesra dengan orang bawahan.

Pelajar IPTA antara yang ditahan curi motosikal

SINAR HARIAN ONLINE

KANGAR - Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah antara lima remaja yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi motosikal di sini minggu lalu.

Ketua Polis Perlis Datuk Ghazali Mohd Amin berkata, kesemua remaja itu yang berusia antara 18 hingga 21 tahun, merupakan salah satu dari tujuh kumpulan curi motosikal yang dilaporkan di Perlis.

Beliau berkata, mereka ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan pada 24 September lalu dan dua daripada suspek menghadapi perbicaraan kes rogol di mahkamah.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini mahir dalam meleraikan komponen motosikal yang dicuri dan mereka akan membuang rangka motosikal yang dicuri ke dalam sungai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ghazali berkata, kesemua rangka motosikal yang dicuri telah dijumpai semula di Sungai Tambun Tulang dan Sungai Kangar dengan bantuan unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, 299 kes curi motosikal dilaporkan di Perlis sehingga kini dan angka itu meningkat berbanding 287 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

SPR mesyuarat 6 Oktober tentukan tarikh Pilihan Raya Galas

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 6 Okt di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPR hari ini, satu sidang media akan diadakan oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar selepas mesyuarat itu yang dijangka membincangkan tarikh penamaan dan pengundian untuk pilihan raya kecil itu.

SPR berkata ia telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan berhubung kekosongan kerusi di kawasan DUN Galas pada Selasa lepas.

Kerusi DUN Galas itu menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, Ahad lepas ekoran barah usus dan beliau meninggal dunia di Hospital Al-Islam Kampung Baru di sini.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim (PAS) berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi.

Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi.

Galas merupakan DUN yang terletak dalam kawasan Parlimen Gua Musang selain DUN Nenggiri dan DUN Paloh.

Peperiksaan SPM 2010 akan bermula 23 November

SINAR HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini akan diadakan mulai 23 November ini dan bukannya pada 22 November sebagaimana yang diumum sebelum ini, berikutan cuti umum di Johor.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah memaklumkan mengenai tarikh baru peperiksaan SPM itu kepada semua Jabatan Pelajaran Negeri melalui surat siaran bertarikh 7 Mei lepas.

Pindaan tarikh itu juga dimuat turun di laman sesawang LPM pada minggu pertama bulan Jun lepas, sementara jadual waktu peperiksaan SPM yang baru sudahpun dicetak dan dihantar ke semua Jabatan Pelajaran negeri untuk diedarkan ke semua sekolah menengah pada 23 Julai lepas, katanya.

Kementerian itu berkata, pemindaan tarikh peperiksaan itu dibuat berikutan langkah kerajaan Johor mewartakan 22 November sebagai cuti umum negeri itu sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim.

Dengan itu peperiksaan SPM tahun ini akan bermula dari 23 November dan berakhir pada 20 Disember 2010, katanya.

TPM Lari Dari Tanggungjawab Pengarah PRK... Lantik Ku Li Sebagai Pengarah PRK Galas, Sangat Luar Biasa...

SEDAKA SEJAHTERA


Jawatan pengarah pilihan raya Umno biasanya dipegang oleh Muhyiddin, kata Salahuddin. — Gambar fail

KUALA LUMPUR — Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan Umno keluar daripada norma biasa apabila melantik Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Galas. Katanya, sebelum ini jawatan itu dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN.

Salahuddin berkata persoalan sekarang mengapa Muhyiddin lari daripada tanggungjawab tersebut.

“Kenapa Umno lari daripada norma biasa di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin yang setiap kali berlaku pilihan raya kecil mesti timbalan perdana menteri yang jadi pengarah pilihan raya.

“Kenapa kali ini beliau lari?” kata beliau di sini hari ini.

Beliau turut menimbulkan persoalan mengenai janji-janji pilihan raya kecil kerusi Manek Urai Julai 2009.

“Mana janji beliau satu jambatan di Manek Urai, mana janji untuk memberi sumbangan RM1,000 sebulan kepada warga tua, mana janji beliau di Manek Urai,” katanya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun enggan menyentuh tentang pelantikan Tengku Razaleigh.

“Saya tidak mahu sentuh pasal Tengku Razaleigh tapi kenapa kali ini Timbalan Perdana Menteri lari daripada tangunggjawab.

“Itu persoalannya, lagi pun PAS tiada masalah dengan Ku Li, malah kita bersama dalam beberapa itu sebelum ini termasuk royalti minyak,” katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN di Galas.

Ia salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen yang diterajui Tengku Razaleigh.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata, beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Kerusi Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Che Hashim Sulaima dari PAS akibat barah usus, Isnin lalu. Kekosongan kerusi itu membuka laluan kepada pilihan raya kecil ke-12 sejak Mac 2008.

DUN Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Che Hashim berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

Menurut Salahuddin, PAS memandang serius pilihan raya kecil DUN Galas dan menyifatkan cabaran yang bakal dihadapi nanti perlu ditangani dengan bijak.

“PAS anggap ini satu cabaran besar, jentera PAS perlu bersiap sedia jangan ‘terlalu over confident’, jangan rasa selesa yang penting PAS akan meningkatkan keupayaan dan komitmen.

“Cabaran PAS untuk menghadapi rintangan ini dengan bijak,” katanya.
Tambahnya satu mesyuarat khas pemimpin PAS akan diadakan pada 3 Oktober ini dan isu DUN Galas akan menjadi agenda utama.

“Mungkin pada hari itu Presiden PAS akan mengumumkan siapa yang akan menjadi pengarah pilihan raya bagi PAS,” katanya.

PROJEK INTEGRITI, BAHANA KORUPSI?


PATI....Selamat datang ke Bandar PATI!

Oleh: MUTALIB M.D

KETIKA mengikuti Seminar Serantau Ke 10, ‘Menjenayahkan Rasuah’ di Sri Kembangan, Selangor baru-baru ini, saya bagaikan terpukau oleh usaha murni Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah bersetuju secara total untuk menjadikan Lahad Datu sebagai perintis ke arah jaminan ketelusan projek kerajaan.

Lebih menceriakan lagi, Kabinet Malaysia telah mempersetujui perlaksanaan inisiatif tersebut pada 24 Ogos 2010 dengan menjadikan ‘projek mimpi di siang hari selama 47 tahun menjadi realiti‘ iaitu Projek Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu sebagai katalis untuk meningkatkan tahap Integriti dan ketelusan projek kerajaan yang selama ini menjadi senda gurau pembangkang dengan istilah ‘Top-Up’.

Menurut taklimat di Seminar Mega tersebut, Projek Lapangan Terbang Lahad Datu adalah yang pertama dalam sejarah pembangunan negara yang mempunyai Perjanjian Integriti.

Melalui perjanjian itu, pihak terbabit dalam projek itu akan bersetuju menjaga nilai integriti, ketelusan dan bertanggung jawab kerana mereka akan dipantau pihak berwajib supaya patuh kepada perjanjian itu.

Perlaksanaan Perjanjian Integriti boleh memulihkan persepsi rakyat dan pelabur terhadap komitmen kerajaan memerangi rasuah dan penyelewengan sebagi musuh nombor satu Negara.

Sekalipun ‘Projek Sulung’ Perdana Menteri, Loji Janakuasa Arang Batu di Sinakut ditolak majoriti rakyat Sabah, apatah lagi Jabatan Alam Sekitar menolak EIA yang disediakan oleh juruperunding yang dilantik, namun Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu ini mampu menyeka air mata penduduk yang gembira dengan pembatalan pembinaan loji ‘Sakaratul Maut’ berkenaan di Sinakut.

Dengan keupayaaan lebih tujuh kilang FELDA mengeluarkan tenaga hijau ‘Biomass’ dan pembinaan Loji Nuklear bagi menggantikan beberapa projek Loji Arang Batu; sudah semestinya ‘Fixed Deposit’ akan semakin bertambah di pantai Timur Sabah yang selama ini menjadi Kubu Kuat UMNO.

Sekalipun tapak bagi Pembinaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu belum disahkan secara muktamad, namun kesepakatan semua pihak yang terlibat untuk memilih Tungku sebagai destinasi lokasi lapangan terbang berkenaan memberikan nafas lega kepada ‘Warga Kelapasawit’ yang selama ini terpaksa menggunakan Lapangan Terbang di zaman Jepun yang agak mundur, 47 tahun ke belakang kerana tercicir daripada arus perdana pembangunan negara.

Lapangan Terbang Lahad Datu yang diberi jolokan ‘Zaman Kuda Makan Tembaga’ kerana tidak mempunyai kemudahan asas penerbangan seperti lampu landasan, perkhidmatan kargo, kapasiti terhad dan pelbagai kemudahan lain; menyebabkan punca kelembapan pembangunan Lahad Datu kerana terpaksa bergantung penuh kepada Lapangan Terbang Tawau yang letaknya lebih 160 kilometer daripada ‘Pekan Koboi’ yang dipenuhi sampah sarap.

Sebagai warga Lahad Datu, saya turut berbangga dengan keprihatinan Perdana Menteri sekalipun tapak Lapangan Terbang tersebut diterbangkan ke Tungku yang pernah dan masih lagi menjadi ‘Daerah Pelanunan’; sedangkan ketika Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman menjadi Ahli Parlimen Silam, beliau mempunyai visi untuk memajukan Pulau Sakar sebagai Bandar Nukleus yang mempunyai Lapangan Terbang Antarabangsa seperti Bayan Lepas, di Pulau Pinang.

Visi yang tidak tercapai ini gagal diterjemahkan oleh Haji Salleh Kalbi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Ustaz Suhaili Mohd Said yang bersepakat menerbangkan Lapangan Terbang ‘Pipit’ yang terletak di tebing Sungai Pancuran ke Ladang Seberang milik SLDB.

Dengan pemilihan Ladang Seberang sebagai tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu, maka Ustaz Suhaili akan disumpah laknat kaum Idahan tulen kerana Ladang Seberang adalah Merendung iaitu Tapak Warisan Idahan Tua yang tidak diketahui generasi muda Idahan yang masih leka bergaduh merebut hak memungut sarang burung di Gua Madai.

Kesan-kesan sejarah masih terdapat di keseluruhan Ladang Seberang sehingga ke Kilang Kelapa Sawit yang pernah menjadi pekan kecil lebih 700 tahun lalu yang dikenali sebagai Tag Bangi, Temunung Gagil, Lung Maniud, Litok Gimbang, Busug Niug dan Sengayun.

Penemuan peralatan alat pemotong tercanggih zaman batu berusia lebih 30,000 tahun di Merendung menunjukkan bahawa Tapak Tamaddun Awal Manusia yang pernah dipohon oleh Pewaris Madai sudah mula dilupakan Suhaili yang satu masa lalu turut bersama para pewaris; yang kini kelihatan salih tidak tumpah seperti Persatuan Pengguna Sabah (CASH) yang telah diharamkan kerana gagal mengemukakan penyata.

Dalam keadaan hidup segan tetapi mati tidak mahu, Pewaris yang diterajui oleh ‘Itik Tempang’ gagal menyelesaikan masalah Gua Madai dan Salsilah Pewaris sebenar yang hanya bergantung kepada nama ‘Nenek Moyang’ untuk merompak hak saudara mara yang berpaksikan kepada Salsilah Songsang yang disimpan di Arkib Negeri Sabah.

Mungkinkah Maharaja Gabag yang tidak diterima bumi dan kini bertapa di Sungai Tabin akan kembali ‘mengamuk’ selaras dengan Legenda yang mengamalkan Budaya ‘Pantang Marau’?

Suhaili harus mengkaji semula kesesuaian tapak berkenaan setelah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia Airport Berhad kini menghadapi SLDB seperti ‘Kisah Belanda Minta Tanah’ seluas ‘Belulang Kerbau’.

Namun setelah Lapangan Terbang Baru Tawau di Balung siap, pelbagai levi dan bayaran yang harus dijelaskan sedangkan DCA tidak mempunyai peruntukan yang besar; seluas lubang hidung Suhaili yang kembang kempis setiap kali masuk kampung kerana obesiti.

SESUAI....POIC Fasa 3A adalah tapak paling sesuai untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu.

Satu-satunya tapak paling sesuai ialah POIC Fasa 3A yang sebelum ini hutan bakau, kini menjadi Padang Jarak Padang Terkukur; namun lebih kelihatan seperti ‘Projek Gajah Putih’ yang tidak memberikan sebarang manfaat langsung kepada warga Lahad Datu; apatah lagi projek tersebut dilaksanakan oleh ‘Penjenayah Alam Sekitar’ daripada Keningau, Sri Jutaya Sdn Bhd dengan kos RM442 juta.

Entah darimana Kerajaan Negeri Sabah yang sudah muflis secara total mencari wang kerana sebelum ini mereka terpaksa memfaraidkan Sabah Medical Centre untuk menyelesaikan hutang menebusguna tapak KKIP kerana Kerajaan tidak mempunyai wang untuk menyelesaikan hutang kepada kontraktor.

Kos menimbus tapak POIC Fasa 3A mungkin boleh membina sebuah lapangan terbang yang lengkap dengan peralatan canggih dan menjadi ‘Pintu Gerbang BIMP-EAGA’ yang sebelum ini diwar-warkan, bagaikan Lagenda ‘Puteri Gunung Ledang’ namun tenggelam selepas kemunculan POIC dan Koridor Sabah yang sirna bersama Pak Lah!

Jika Pulau Pinang dan Hong Kong boleh membina sebuah lapangan terbang di sebuah pulau, mustahil Kerajaan Negeri Sabah tidak dapat membina lapangan terbang di Pulau Sakar; sedangkan ada pihak yang mahu menjadikan Pulau Gaya sebagai Kasino terbesar di Asia.

Walau di manapun Lapangan Terbang Antarabangsa Lahad Datu akan dibina, namun hakikatnya di Parlimen Silam yang tidak mempunyai Bandar Pusat seperti Tawau; melainkan Gunung Silam yang pada bila-bila masa akan runtuh diletupkan oleh satu lagi Penjenayah Alam Sekitar, Fordeco Contruction Sdn.Bhd yang menjalankan operasi Kuari Haram sejak 20 tahun lalu.

Sewajarnya, jika Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan di Sabah tidak mampu untuk membangunkan Bandar Silam, seharusnya nama Parlimen Silam ditukarkan kepada nama Parlimen Lahad Datu kerana hanya Lahad Datu sahaja yang mempunyai bandar setaraf dengan ‘High Chaparral’ dalam cerita Koboi.

Walaupun Lahad Datu mempunyai Pelabuhan dan Dermaga yang serba canggih di POIC yang dibina dengan kos RM94 juta sehingga mendapat jolokan ‘Rotterdam of The East’; namun belum ada kapal dagang yang berlabuh untuk memakmurkan pelabuhan tersebut yang kelihatan seperti Pelabuhan Tag Bangi di Abad ke 13!

Samy Vellu umum lepas jawatan Presiden MIC Januari depan

BERITA HARIAN ONLINE

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengumumkan beliau akan melepaskan jawatannya itu pada awal Januari tahun depan.

"Saya pasti akan melepaskan jawatan Presiden MIC selepas pulang daripada menghadiri Privasi Barathiya Divas di India Januari tahun depan.

"Mungkin sebelum 15 Januari saya akan lepaskan jawatan presiden. Jawatan itu akan diserah kepada Timbalan Presiden, Datuk G Palanivel," katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC di sini, sebentar tadi.

Polis: Tiada tindakan kerana PERKASA beri kerjasama

MALAYSIA KINI


Polis tidak bertindak terhadap PERKASA semalam kerana mereka memberi kerjasama kepada pihak polis, kata ketua polis Dang Wangi, ACP Mohd Zulkifli Abdul Rahman.

Kira-kira 50 anggota PERKASA berhimpun di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH) di ibunegara semalam, kerana membantah kehadiran rapper kontroversi Namewee sebagai penceramah di forum anjuran dewan tersebut di situ.

Zulkifli Mohd memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa polis terpaksa campurtangan dan meminta pihak penganjur memendekkan forum tersebut kerana ia mungkin mengganggu ketenteraman awam.

Namewee menjadi panel di forum tersebut bersama dengan ketua pegawai eksekutif KLSCAH Tan Ah Chai.

"Untuk bersikap adil terhadap kedua-dua pihak penganjur dan mereka yang menyertai bantahan tersebut, kami memberi mereka masa untuk bersurai," tambah Mohd Zulkarnain.

Sementara itu, Pemuda KLSCAH kesal dengan tindakan PERKASA mengadakan protes di depan bangunannya di Kuala Luampur semalam.

Permit penerbitan: Malaysiakini saman kerajaan

MALAYSIA KINI


Tindakan kerajaan menolak permohonan permit bagi menerbitkan akhbar oleh Malaysiakini akan dicabar di mahkamah.

Malaysiakini - yang memfokus isu politik, rasuah dan isu sosial - memfaikan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mencabar tindakan Kementerian dalam Negeri yang menolak permohonannya.
Laman sesawang berita perintis itu adalah saluran utama bagi rakyat mendapatkan maklumat utama sejak sedekad yang lalu berikutan sebahagian besar akhbar utama dan stesen penyiaran dikuasai oleh kerajaan.

“Saya tidak lihat mengapa kami tidak dibenarkan menerbitkan sebuah akhbar,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Premesh Chandran (kanan) kepada AFP.

"Ia adalah hak perlembagaan dan Malaysiakini telah berada sejak sepuluh tahun lalu dan kami telah membuktikan bahawa kami mempunyai rekod sebagai laman berita yang bebas, seimbang dan kredible.”

Semua akhbar di Malaysia memerlukan permit yang perlu diperbaharui setiap tahun.

Sistem perlesenan memperuntukkan kerajaan menutup syarikat media di negara ini mengikut budi bicaranya dan meletakkan tekanan ke atas penerbit supaya mematuhi arahannya.

Bagiamanapun, Malaysiakini dan beberapa media online berjaya kekal bebas - di sebalik serbuan dari semasa ke semasa, larangan dan bidasan kerajaan - kerana pada pertengahan 90an kerajaan berikrar tidak akan membuat penapisan atau sekatan di internet untuk menarik pelabur asing.

Chandran berkata Malaysiakini, yang mempunyai 1.8 juta pembaca setiap bulan ingin melancarkan akhbar sendiri bagi mencapai lebih ramai pembaca. Operasi di laman sesawang portal berita itu tidak terjejas dengan keputusan kementerian berkenaan.

"Ini adalah petanda bahawa tiada perubahaan (oleh kerajaan). Ini adalah polisi yang berterusan bagi mengenakan kawalan ketat ke atas media cetak dan penyiaran,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengambil-alih tampuk pemerintahan negara tahun lalu telah memberi jaminan untuk mengamalkan dasar yang lebih terbuka dan telus tetapi sehingga hari ini, ia dilihat lebih berusaha melenyapkan pengkritiknya.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri gagal dihubungi untuk ulasan tetapi dalam sepucuk suratnya bertarikh 19 Ogos lalu kepada Malaysiakini berkata “kementerian telah mengambil keputusan untuk tidak mempertimbangkan permohonan permit penerbitan”. Tiada alasan yang diberikan.

PERKASA 'isytihar' perang terhadap Namewee

Jimadie Shah Othman

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) hari ini 'mengisytiharkan' perang terhadap penyanyi rap dan pengarah filem kontroversi Namewee selepas album sulungnya dilancarkan semalam.

Ketua Wira NGO itu Arman Azha Abu Hanifah berkata, sebagai "panglima perang dan hulubalang Melayu" mereka akan sedia mengekori ke mana saja Namewee mengadakan siri jelajah dan persembahannya selepas ini.

"Kami sambut (siri jelajahnya) dengan tangan terbuka. Kalau dia buat konsert di dalam (dewan), kita akan 'berkonsert' di luar," katanya ketika diminta mengulas rancangan terbaru artis muda itu.

Sempena kelahiran album itu, Namewee selepas ini menjelajah seluruh negara sebagai rangka promosinya.

Terbaru esok di Kolej New Era, di Kajang yang dimiliki NGO pendidikan Cina yang berpengaruh Dong Zong.

Malam semalam, perkarangan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Kuala Lumpur, kecoh dengan kehadiran kira-kira 50 orang anggota PERKASA bagi membantah tindakan Namawee yang melancarkan albumnya.

Beberapa orang daripada mereka membawa sepanduk PERKASA, bendera Malaysia dan membakar gambar Namewee.

Kumpulan itu juga mendesak Namewee meminta maaf secara terbuka kepada keseluruhan rakyat Malaysia kerana "merosakkan muhibah kaum".

Berlindung belakang polis

Manakala Namewee pula berkata isu permohonan maaf bukan isu sebenar kerana beliau datang ke program itu "bagi membantu menyelesaikan isu perkauman".

Menjawab soalan, beliau juga berkata tidak takut pada PERKASA kerana percaya polis akan melindunginya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Arman Azha menyifatkan Namewee sebagai "pengecut" dan tidak berani bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya.

"Kalau berani kenapa dia tidak keluar semalam. Berani kerana benar, takut kerana salah," katanya.

"Kalau dia (Namewee) cuba berlagak hendak menjadi wira Tionghoa, kenapa dia tidak berani berdepan dengan panglima perang Melayu semalam. Bukan kita hendak buat apa. Kita hendak berdiskusi saja."

Mendakwa pemuda Cina daripada Johor itu hanya berani bersembunyi di balik laman Youtube, Arman Azha berharap Namewee tidak terus berselindung di belakang polis dan media elektronik.

Ditanya tentang kenyataan Namewee yang enggan memohon maaf, Arman Azha menjawab pihaknya bukan meminta Namewee berbuat demikian kepada NGO Melayu terbesar itu, tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Ia mengganggu keharmonian dan muhibah (antara) kaum. Siapa yang buat video itu? Dia buat salah, kenapa hendak berlindung di balik polis?" soal Arman Azha.