Jumaat, 30 November 2018

ADUN BN BOIKOT SPEAKER DUN PERAK




Semua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bertindak keluar dari sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini ( 28 Nov ) kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker, Datuk Ngeh Koo Ham yang didakwa bersikap berat sebelah.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad, berkata tindakan itu dilakukan kerana Koo Ham bertindak secara tidak matang dan tidak menunjukkan sikap adil iaitu tidak cenderung kepada mana-mana pihak dalam mengendalikan sidang berkenaan.

Katanya, tindakan Koo Ham yang menjawab bagi pihak kerajaan sepatutnya tidak boleh dilakukan kerana ia tidak menunjukkan sikap berkecuali selain membantah tindakan berat sebelahnya apabila mengungkit peristiwa kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada 2009 ketika mengendalikan persidangan.

“Jadi kita (BN) protes, semua ADUN (dari BN) keluar… kecuali ADUN PAS kerana Pesuruhjaya PAS, Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) akan berbahas.

“Saya cuma mengucapkan tahniah kepada beliau (Koo Ham) kerana beliau adalah Ahli Parlimen terkaya namun beliau respon dengan mengaitkan kononnya BN merampas kuasa pada 2009, kalau tidak mungkin beliau lebih kaya lagi.

“Beliau mungkin tidak tahan sebab saya pulangkan ‘paku buah keras’ kepadanya.

“Ini kerana sewaktu mereka jadi pembangkang, setiap kali Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir membentangkan belanjawan negeri, beliau akan balun tapi sekarang mereka sudah jadi kerajaan namun tiada yang istimewanya Belanjawan 2019 berbanding yang BN bentangkan dalam Belanjawan 2018,” katanya.

Saarani berkata, sebagai Speaker, Koo Ham tidak boleh menunjukkan sikap berat sebelah dengan jelas, menjawab bagi pihak kerajaan atau turut sama berbahas.

Katanya, malah sudah menjadi amalan di peringkat Persekutuan di mana Speaker Dewan Rakyat hendaklah melepaskan semua jawatan politik untuk memperlihatkan beliau bukan saja adil tetapi dilihat adil malah tidak boleh menunjukkan sikap memihak kepada mana-mana parti politik.

“Speaker tak boleh menyampuk, menjawab bagi mana-mana pihak tapi Koo Ham semakin menjadi-jadi, dia nak menjawab, bila kita berbahas dia pun nak jawab, malah dia nak turut sama membahaskan.

“Jadi kita nak tegur, Speaker kena bersikap berkecuali dan jangan menunjukkan belang, kalau tunjuk belang dia tidak boleh mengendalikan persidangan dengan baik, dia mesti adil,” katanya.

Bagaimanapun, Saarani menjelaskan, protes berkenaan hanya sementara dan mereka menyambung persidangan pada sebelah petang.


DAP SAH WUJUD USAHA GULINGKAN FAIZAL AZUMU




DAP Perak mendakwa wujud usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berdasarkan kepada dua kenyataan yang pemimpin politik negeri itu.

Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Nga Kor Ming merujuk kepada pengakuan dibuat oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi, dalam kenyataan mereka.

“Zambry dalam sidang medianya semalam berkata ‘it’s real’ (ini benar).

“Berdasarkan kedua-dua fakta secara terbuka oleh Zambry dan Asmuni, maka saya sahkan ada usaha untuk cuba menjatuhkan kerajaan negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, pada Selasa.

Semalam, Asmuni yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) di laman media sosialnya, mendedahkan dirinya pernah ditawar jawatan Menteri Besar oleh UMNO jika keluar PH dan mendakwa ia berlaku pada 1 November lalu.

Beliau mendakwa UMNO menghantar wakil mengajaknya untuk keluar dari PH seterusnya ditawarkan jawatan Menteri Besar bagi membentuk kerajaan bersama parti itu serta wakil rakyat PAS dan PPBM.

Sabtu lalu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad mendakwa beberapa EXCO mahu menjatuhkan Menteri Besar dan mereka sudah menghubungi sekurang-kurangnya lima ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan ditawarkan dengan pelbagai tawaran supaya membantu usaha mereka dalam menyokong usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal di DUN.

Saarani dipetik berkata, semua ADUN UMNO itu bagaimanapun sudah berikrar tidak akan berkomplot dengan mereka kerana parti itu mempunyai jalan tersendiri untuk menjadi kerajaan termasuk menerusi pilihan raya, bukan dengan cara mengkhianati mana-mana pihak.

Kor Ming berkata, menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan kerana menghasut selain cuba menggulingkan kerajaan tanpa mengikut sistem demokrasi dan Seksyen 124C kanun sama atas dakwaan cuba melakukan kegiatan yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.

“Kita tidak akan melepaskan anasir yang cuba porak perandakan negeri kerana kita mahu tumpu kepada kebajikan rakyat serta kesejahteraan rakyat. Ini adalah tumpuan kita.

“Saya seru Barisan Nasional (BN) jadilah pembangkang yang konstruktif dan bukan cuba jatuhkan kerajaan,” katanya.


SPR tumpu keluarkan nama pengundi hantu, meninggal dunia

MALAYSIAKINI

   
Keutamaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika ini adalah membersihkan senarai daftar undi dari pengundi hantu dan yang sudah meninggal dunia, kata pengerusinya Azhar Azizan Harun hari ini.

"Ada 73,000 pengundi berumur lebih 90 tahun dengan yang paling tua berumur 150 tahun.

"Daripada jumlah ini, kita dapati bahawa hanya 11,000 yang mengundi, yang bererti mereka masih hidup," katanya kepada media ketika ditemui di forum pembaharuan pilihan raya yang diadakan di kompleks parlimen.

Proses pembersihan itu, katanya akan mengambil masa sebulan.
SPR juga sedang meneliti untuk memadam baki 62,000 pengundi berumur 90 tahun ke atas yang sudah meninggal dunia.

Bagi mengelakkan nama individu yang sudah meninggal dunia tersenarai dalam daftar undi, katanya, SPR sedang membangunkan sistem yang membolehkan mereka mengenal pasti pengundi yang sudah meninggal dunia.

"Kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan dan kita akan tahu apabila pengundi meninggal dunia sebaik balai polis memaklumkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila ketika menerima sijil kematian," katanya.

ADUN PH Perak dinasihati tidak pedulikan Saarani

MALAYSIAKINI

   
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Perak digesa agar tidak mengambil endah kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad berhubung usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketika membuat gesaan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari turut meminta Saarani yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kiranya benar dakwaan yang dibuat.

"Saya yakin dan tidak ragu untuk menyebut bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan elemen jenayah, jadi saya minta Datuk Saarani hentikan segala saspens ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-9, di Ipoh hari ini.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan sebelum ini mendakwa ada pihak menawarkan pelbagai habuan kepada ADUN Barisan Nasional agar menyokong usaha menjatuhkan Ahmad Faizal.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata dakwaan Saarani itu adalah mengarut kerana bukan mudah untuk menjatuhkan menteri besar dengan undi tidak percaya.

"Undi tidak percaya bukan suatu perkara mudah, kita perlu ke sana ke sini untuk berkempen untuk menjatuhkan seseorang ini. Saya harap kawan-kawan dalam PH tidak termakan dengan gimik beliau ini,” katanya.

PULARA 2018 bertemakan ‘PULARA Mendunia’ itu berlangsung di Pusat Konvensyen Amanjaya, Hotel Casuarina@Meru di sini sejak Rabu lepas hingga 2 Dis.-- BERNAMA


RAKYAT BERHAK BERSUARA, TAPI KAMI BERKUASA – TUN M

Wartawan Watan-Online

 

Sebelum mendapat kuasa pada PRU14, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan rakyat sebagai kuasa penentu kepada sesebuah kerajaan.

Namun, selepas menang PRU14 Perdana Menteri itu berkata, rakyat berhak bersuara, namun kuasa penentu ada pada mereka.

Kenyatan Mahathir itu merujuk kepada petisyen bagi mendesakkan kerajaan menggugurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Wathya Moorthy.

Katanya, mana-mana pihak boleh menuntut untuk melucutkan jawatan sebarang menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH), tetapi hanya beliau selaku perdana menteri yang berhak untuk menentukannya.

“Itu hak mereka, hak kita (pula) menentukan,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan demi desakan pelbagai pihak yang menuntut supaya Waytha Moorthy dipecat.

Gerakan Pengundi Sedar (GPS) baru-baru ini melancarkan petisyen tandatangan di atas talian Change.org yang mahu Waytha Moorthy dipecat atas beberapa faktor, antaranya kerana didakwa memburukkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Ini berdasarkan susulan rakaman video dan kenyataannya sebagai pengerusi Hindraf lebih sedekad lalu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap etnik minoriti, terutamanya kaum India.


KADIR INGATKAN MOORTHY TIDAK DIPILIH RAKYAT


Wartawan Watan-Online



Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Datuk A Kadir Jasin hari ini membidas dua menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menasihatkan mereka supaya mendengar nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menulis di blog, atas kapasiti peribadi, penasihat media dan komunikasi pejabat perdana menteri itu menyebut secara langsung nama dua menteri.

Pertama, beliau merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara dan integrasi nasional tetapi katanya, tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

“Perdana menteri sudah menasihati beliau. Tapi perdana menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.

“Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah gung-ho dan selesa sangat dengan kedudukannya.

“Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Mahathir. Tolonglah jangan malukan Raja kita dan perdana menteri kita,” katanya.

Kadir merujuk kepada peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin dan berlarutan selama tiga malam.

Selain tindakan perusuh yang membakar 23 kenderaan dan merosakkan cermin bangunan kompleks One City, kejadian itu turut menyaksikan seorang anggota bomba cedera parah.

Sehingga hari ini polis menahan 30 individu bagi membantu siasatan manakala beberapa trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dengan kekuatan puluhan anggota serta pegawai masih berkawal untuk tempoh 24 jam.

Selain Waythamoorty, Kadir juga menyelar Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang katanya baru sahaja “dikuliahkan” oleh perdana menteri.

“Saya setujulah dengan perdana menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan.

“Kembalikanlah sekolah kebangsaan rendah dan menengah kepada tujuan asalnya iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

“Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama,” katanya.

Polis tahan Papa Gomo kerana keluar kenyataan berbaur hasutan - IGP

MALAYSIAKINI

   
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini mengesahkan polis telah menahan pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris semalam selepas blogger itu memuat naik video berbaur hasutan dalam laman sosial.

Katanya tindakan serupa juga akan diambil pada mana-mana pihak yang didapati cuba menimbulkan keresahan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

"Semua kena sedia maklum, (penahanan) ini ekoran kenyataan beliau yang berbaur hasutan menerusi video yang cuba menaikkan sentimen orang ramai... kita tidak mahu perkara-perkara berkaitan isu perkauman ini dibangkitkan dalam keadaan luar biasa.

"Jika kita biarkan perkara-perkara begini, ia akan menyebabkan masalah lain pula berkaitan isu keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di Ipoh, hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan yang bersara wajib menyerahkan tugasnya kepada timbalan beliau, Datuk Razarudin Husain@Abd Rasid yang akan memangku jawatan itu berkuat kuasa hari ini.

Sebelum ini dilaporkan akaun Facebook yang menggunakan nama Sir Azri dipercayai milik Wan Muhammad Azri, menyiarkan video langsung bertajuk ‘Ini Tanah Melayu' pada Rabu.

Mengulas perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata polis akan membuka kertas siasatan inkuiri berhubung laporan polis yang dibuat Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Perak V Sivakumar mengenai dakwaan ada usaha menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Kita sedar mengenai perkara ini dan akan ambil langkah perlu untuk memastikan keadaan ini tidak menjejaskan keadaan keselamatan khususnya di Perak," katanya.

Sivakumar membuat laporan polis itu di Balai Polis Dang Wangi pada Rabu bagi meminta siasatan menyeluruh berhubung isu berkenaan, sekali gus memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming pada Selasa lalu mengesahkan wujud konspirasi untuk menjatuhkan kepimpinan Ahmad Faizal, berdasarkan pendedahan Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Asmuni Awi yang mendakwa terdapat pemimpin UMNO Perak menawarkan beliau jawatan menteri besar selain dipelawa meninggalkan PH bagi membentuk kerajaan baharu.- Bernama


Himpunan 8 Dis untuk 'ajar' menteri, kata Hadi

MALAYSIAKINI

   
PAS akan tetap mengadakan himpunan di Kuala Lumpur pada 8 Dis ini sebagai langkah untuk "mengajar" sesetengah menteri, kata Abdul Hadi Awang.

Menurut presiden PAS itu sebelum ini perdana menteri sudah menegaskan pendirian kerajaan bahawa Putrajaya tidak akan menerima Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Namun kata Abdul Hadi masih ada menteri yang membuat kenyataan yang menunjukkan seolah-olah Icerd itu akan diterima juga suatu hari nanti.

"Mengapa diteruskan (himpunan itu), kerana kita ada pandangan politik.

"Pandangan politik kita ialah apabila ada menteri-menteri buat kenyataan nak tangguh lagi, tunggu-tunggu," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang.
Katanya keadaan itu menunjukkan kerajaan pusat kini dalam keadaan bercelaru, justeru perlu ada penegasan dibuat.

Mustahil itu benda tak ada
 
Menurut anggota parlimen Marang itu lagi menteri kabinet perlu menghormati perdana menteri.

"Jadi kalau menteri tak hormati perdana menteri, kita kena tunjuklah," katanya lagi.

Sebelum ini ada PAS bersama Umno dan pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan himpunan menolak Icerd di Kuala Lumpur sebelum Putrajaya menegaskan untuk tidak menerima konvensyen berkenaan.

Ekoran pengumuman itu penganjur menegaskan himpunan tersebut akan tetap dijalankan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.
Pada masa sama beberapa pemimpin pembangkang meragui komitmen diberi perdana menteri dan menjangkakan pendirian itu akan berubah.

Abdul Hadi berkata memang sebelum ini Dr Mahathir Mohamad menyatakan mustahil untuk negara ini menerima Icerd.

"Apabila (perdana menteri kata) mustahil itu, tidaklah. Mustahil (ini) benda yang tak mungkin ada.



"Kalau menteri buat kenyataan kemudian pula, itu hendak mengatasi perdana menterilah. Perdana menteri telah buat kenyataan, apa lagi menteri lain buat?

“Semua menteri pakat buat kenyataan belaka, jadi celarulah. Sebab itu ada orang kata, kena ‘mengaji’ menteri ini, kena belajar.

"Perlu diajar menteri-menteri ini supaya faham,” katanya.

Abdul Hadi juga memberi jaminan himpunan tersebut akan berlangsung secara terkawal dan mereka memberi kerjasama kepada polis.

“Kami akan keluar seramai-ramai dan dijangka ramai yang hadir. Dan kita kawal supaya tak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, tak berlaku provokasi, kita akan kawal.

“Saya beri jaminan dan kita bekerjasama dengan polis. Kita pergi berunding dengan polis, bincang dengannya untuk jaga, kawal, insya-Allah,” katanya

Kepala zakar anak terpotong ketika berkhatan, ibu fail saman

 
Seorang ibu memfailkan saman terhadap dresser (penolong pegawai perubatan), empat doktor termasuk dua pengarah hospital, serta dua hospital atas kecuaian tersalah potong kepala zakar anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, lapan tahun lepas.

Ibu tersebut, 57 tahun, menamakan dresser berumur 42 tahun, Hospital Kuala Lipis, Hospital Selayang dan kerajaan atas kecuaian berkenaan.

Saman itu didaftarkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan difailkan pada 19 Julai tahun ini oleh firma Mohamad Zainuddin & Co (gambar).

Ketika kejadian pada 13 Disember 2010, di Penjom, Kuala Lipis, Pahang, pembantu perubatan itu yang juga berkerja di Hospital Kuala Lips mengkhatankan kanak-kanak itu dengan seorang pembantu.

Akibat tersalah prosedur, kepala zakar kanak-kanak itu terputus dan menyebabkan banyak darah keluar.

Pembantu perubatan itu kemudian membawa kanak-kanak tersebut ke Hospital Kuala Lipis.

Ibu kanak-kanak itu dalam penyata tuntutannya turut mendakwa pihak defendan cuai kerana tidak menjalankan prosedur penyambungan semula. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Selayang.
Di Selayang seperti didakwa dalam penyata tuntutan, pembedahan penyambungan semula dilakukan pada 8.15 malam hari yang sama.

Selepas 35 hari pembedahan, ibu mangsa melihat penutup getah yang menutup zakar anaknya dan terkejut melihat kepala zakar anaknya sudah terpotong.

Ibu kanak-kanak itu mendakwa kecuaian dresser dan Hospital Kuala Lipis dalam membenarkan dresser itu mengkhatankan anaknya di luar premis hospital menyebabkan kecacatan kekal pada anaknya.

Ibu kanak-kanak itu juga mendakwa defendan gagal menyediakan laporan perubatan sebenar selain menyalahkan Hospital Selayang yang menurutnya hanya melakukan prosedur penyambungan semula zakar anaknya lima jam kemudian.

Beliau menuntut ganti rugi khas sebanyak RM108,356 bagi kos perubatan, ganti rugi am, faedah dan kos kehakiman.

Dresser yang merupakan defendan pertama dalam pembelaannya mengaku menjalankan khatan tersebut tetapi tidak mengaku melakukan cuai dan berkata mangsa tahu risikonya.

Dresser itu juga mendakwa bahawa ketika kejadian kanak-kanak itu tidak duduk diam.

Sementara itu, pihak Hospital Kuala Lipis dalam pembelaannya menyatakan ketika kanak-kanak itu tiba di hospital, mereka melihat kepala zakar mangsa telah dijahit dan menafikan bahawa mereka gagal beri rawatan.
 
Pihak Hospital Kuala Lipis juga menyatakan bahawa hospital tersebut tiada kepakaran dalam rawatan tersebut.

Hospital Selayang pula dalam pembelaannya menyatakan ketika mangsa tiba, kepala zakar kanak-kanak itu kelihatan pucat dan pembedahan microsurgery dijalankan. 

Jelas Hospital Selayang, lima hari selepas pembedahan, pakar di hospital tersebut mendapati hujung zakar berkudis. 

Bagaimanapun, kata pembelaan Hospital Selayang, pihak mereka tidak pernah memberi jaminan kepala zakar kanak-kanak itu akan pulih seperti biasa.

Hari ini peguam kepada ibu tersebut, Mohamad Zainuddin Abu Bakar memaklumkan bahawa peguam kanan persekutuan telah memohon untuk membatalkan saman pada 16 Nov lalu bagi defendan lain.

Dresser tersebut bagaimanapun tidak diwakili oleh peguam kanan persekutuan.

Mahkamah menetapkan 7 Dis untuk mendengar permohonan penolong pegawai perubatan itu untuk memfailkan afidavit sokongan bagi membatalkan saman terhadapnya.


Badan pensijilan sawit dakwa FGV amal buruh paksa

MALAYSIAKINI



   

Badan pensijilan bagi industri minyak sawit mendakwa FGV Holdings Bhd  menjalankan buruh paksa dan amalan tidak beretika lain yang disifatkannya sebagai bercanggah dengan undang-undang buruh Malaysia dan antarabangsa.

Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dalam surat terbarunya kepada FGV menyatakan bahawa, siasatan mereka yang melibatkan pengesahan melalui lawatan pada 26 hingga 28 April lalu ke beberapa ladang dan kilang FGV mendapati syarikat itu mengamalkan buruh paksa, selain tindakan "pemerdagangan orang".

Siasatan RSPO berpunca dari aduan yang difailkan oleh Wall Street Journal (WSJ) pada 2015 yang menerbitkan laporan pada tahun sama berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang di ladang-ladang sawit di Malaysia.

RSPO turut menyatakan bahawa dari laporan pengesahan bebas dan ulasan yang didapati daripada FGV, syarikat sawit Malaysia itu perlu segera melakukan semakan audit perundangan dan operasi berhubung amalan pengambilan pekerja bagi menyingkirkan unsur buruh paksa yang bercanggah dengan undang-undang tempatan dan antarabangsa.

"Penemuan Panel Aduan RSPO seperti berikut [....] FGV melalui perjanjian bertulis membekalkan pekerja asing kepada kontraktor FGV yang melanggar undang-undang Malaysia dan ini boleh dianggap sebagai tindakan pemerdagangan orang.

"Proses pengambilan pekerja FGV perlu ditambah baik kerana ada unsur buruh paksa yang melanggar prinsip dan kriteria RSPO 6.12 termasuk isu berhubung penggantian kontrak, kebebasan kontrak dan berhenti kerja, pasport, tempoh pengekalan bekerja dan kebebasan bergerak, serta keadaan bekerja dan tempat tinggal pekerja.

"Kegagalan FGV mengawal dan menyelia kontraktor FGV, termasuk pekerja kontraknya, memburukkan lagi pelanggaran undang-undang di atas, serta menggalakkan amalan pengambilan pekerja yang tidak beretika [...]," kata RSPO dalam surat bertarikh 28 Nov.

Antara pelanggaran undang-undang yang disenaraikan RSPO termasuk dakwaan FGV gagal memperincikan dalam kontrak pengambilan pekerja berhubung bayaran dan persekitaran kerja yang perlu dibincangkan dengan pekerja, termasuk yang diambil bekerja oleh kontraktor FGV.

Pekerja juga didakwa tidak diberi hak untuk menamatkan kontrak bekerja mereka, selain "amalan berunsur diskriminasi" antara pekerja tempatan dan pekerja asing yang menurut RSPO dinafikan oleh FGV.

Selain itu, RSPO menyatakan bahawa dari penemuan mereka menunjukkan meskipun FGV
menyediakan bekalan air dan elektrik serta membuat pemeriksaan kesihatan bagi pembaharuan kontrak pekerja, FGV tidak mematuhi kriteria peruntukan air dan elektrik serta pemeriksaan kesihatan.

FGV juga didakwa gagal menunjukkan bahawa dakwaan pengambilan pekerja haram atau tanpa dokumentasi sah yang dilaporkan WSJ pada 2015 - yang telah diakui sendiri oleh kontraktor FGV ketika diwawancara RSPO - sudah ditangani dan diperbaiki di semua ladang,

Susulan itu, surat itu menyatakan bahawa sekretariat RSPO mengarahkan sijil salah satu kilang FGV di Negeri Sembilan digantung.

Penggantungan itu akan dimansuhkan sekiranya FGV mematuhi kriteria RSPO termasuklah semakan audit dan perundangan, selain mengemukakan rancangan bagi menangani isu yang disebutkan.

Sekiranya gagal, RSPO akan mengenakan sekatan, meskipun badan pensijilan itu tidak menyebutkan secara spesifik sekatan berkenaan.

Malaysiakini sudah menghubungi FGV dan dimaklumkan bahawa pihak FGV akan mengeluarkan kenyataan balas hari ini.

Wanita UMNO anjur program perincikan ICERD

Shawaliah Hadir

xMGF02062017_BuburLambukMATRADE008-681x454
Datuk Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Wanita UMNO akan memberi penerangan secara terperinci tentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dalam sebuah program yang akan diadakan 1 Disember.

Menurut Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad, Program Wanita dan Isu Semasa (WISE) tidak bersifat politik sebaliknya ia strategi untuk membantu rakyat memahami lebih jelas tentang ICERD, isu yang baru-baru ini mendapat perhatian umum.

“Wanita UMNO melihat bahawa masyarakat pelbagai peringkat harus peka dan memahami perkembangan isu ICERD.

“Apatah lagi isu ini melibatkan usaha kerajaan Malaysia untuk menandatangani dan membuat ratifikasi ICERD dan telah membangkitkan kemarahan orang Melayu kerana pelbagai peruntukan di bawahnya jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi kenyataan media.

Ujarnya, ICERD perlu ditentang secara konsisten kerana usaha untuk memastikan Malaysia menandatangani telah berjalan sejak  Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Pelobi ICERD sudah lama melobi agar Malaysia meratifikasikan konvensyen antarabangsa ini sejak ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN). Namun ketika itu, BN bersikap tidak melayan desakan untuk menandatangani ICERD, yang dilihat akan mengganggu gugat asas pembinaan dan perlembagaan negara,” tambah beliau.

WISE yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 10 pagi itu kata Noraini lagi, terbuka untuk semua ahli Wanita UMNO, Muslimat Pas, badan-badan bukan kerajaan (NGOs), profesional, pemimpin serta pelajar universiti wanita.

Pakatan Harapan baru-baru ini mengumumkan untuk tidak menandatangani ICERD.

Walaubagaimanapun pengumuman menerusi Pejabat Perdana Menteri itu dianggap tidak cukup dan UMNO berpendirian ianya perlu dibuat dalam Dewan Rakyat agar dapat direkodkan secara rasmi. – MalaysiaGazette


ADUN minta Speaker pertimbangkan semula etika pakaian

Manzaidi Mohd Amin

Mohd Imran Tamrin
Mohd Imran Tamrin

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) Selangor meminta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Ng Suee Lim mempertimbangkan semula etika pakaian wakil rakyat.

ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, ini kerana wakil rakyat yang memakai baju Melayu lengkap dengan songkok dan sampin adalah formal.

Katanya, tidak patut Speaker mengenakan larangan itu kerana baju Melayu itu merupakan pakaian kebangsaan yang formal dalam apa sahaja majlis adat istiadat.

“Pakai baju Melayu ketika DUN bersidang tidak patut dilarang sebab ia adalah pakaian formal. Kalau pakai baju Melayu, (tapi) tidak pakai songkok dan sampin, itu memang tidak dibenarkan.

“Ini pakaian formal dan saya harap Speaker beri kebenaran kepada ADUN pakai baju Melayu selain hanya dibenarkan pada hari Jumaat sahaja,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas teguran Suee Lim kepada ADUN Taman Templer dari Parti Amanah Nasional (PAN), Sany Hamzan Rabu lalu kerana memakai baju kebangsaan ketika sesi sidang.

Tegur Suee Lim, pakaian itu mencemarkan kemuliaan dewan dan semua wakil rakyat perlu mematut etika berpakaian ketika menghadiri persidangan DUN. – MalaysiaGazette


Apa lagi aset negara akan dijual – Najib

Wartawan MalaysiaGazette

IHH
IHH Healthcare

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sedih apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melupuskan pegangannya dalam IHH Berhad (IHH) kepada Mitsui.

Bekas Perdana Menteri itu juga kecewa apabila penguasaan 16 peeratus kepentingan Khazanah dalam IHH djual pada harga lebih rendah iaitu RM6 sesaham berbanding RM6.42 harga pada awal tahun ini.

“Ini bermakna Khazanah jual ketika harga saham rendah,” katanya Najib dalam kenyataannya.
Menurutnya, ramai tidak tahu Malaysia semasa di bawah kerajaan BN dahulu memiliki kumpulan hospital kedua terbesar di dunia.

“Ketika saya dilantik Perdana Menteri pada tahun 2009, Khazanah memiliki kumpulan hospital Pantai. Pada masa itu, kumpulan ini hanya bernilai RM5.2 bilion.

“Seterusnya, kumpulan ini terus berkembang termasuk pembelian kumpulan hospital Singapura bernama Parkway, di mana Khazanah menstruktur semula pegangan aset hospital mereka menjadi IHH Berhad pada tahun 2010,” katanya.

Selepas kumpulan ini disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, nilai IHH Berhad meningkat menjadi RM25.6 bilion dan IPO IHH merupakan ketiga terbesar di dunia untuk tahun itu.

IHH terus berkembang selepas disenaraikan dengan pembelian kumpulan hospital di negara asing.

Tetapi, katanya, hari ini Khazanah di bawah kerajaan Pakatan Harapan telah menjual kepentingan 16 peratus di dalam IHH kepada kumpulan Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion bermaksud Mitsui menjadi pemegang saham terbesar.

Nilai IHH pada hari ini dianggarkan bernilai RM50 bilion dan memiliki kumpulan hospital terbesar di Malaysia dengan 14 buah hospital, empat hospital di Singapura, 21 hospital di Turki dan sembilan hospital di India.

Ini antara faktor, aset Khazanah telah naik dari RM33.7 bilion pada akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017.

Malah, kata Najib selama ini, IHH dikenali sebagai kumpulan hospital Malaysia kerana Khazanah merupakan pemegang saham terbesar dan mengawal hala tuju IHH

Kini, kumpulan hospital kedua terbesar di dunia ini tidak lagi milik Malaysia atau menjadi kebanggaan negara kerana telah menjadi kumpulan milik negara Jepun.

Tidak mustahil Pengerusi IHH yang sebelum ini diterajui orang Malaysia akan digantikan dengan orang Jepun tidak lama lagi.

“Negara kehilangan peluang untuk membina dan memiliki sebuah syarikat MNC bertaraf global,” ujarnya.

Najib tidak menolak penjualan aset negara itu antara langkah untuk Khazanah menaikkan dividen kepada kerajaan.

“Sebelum ini, Menteri Kewangan Guan Eng pernah mengumumkan bahawa antara langkah untuk menggantikan kehilangan hasil dari pemansuhan GST, dividen dari Petronas, Khazanah Nasional dan BNM akan dinaikkan.

“Apa lagi aset negara akan dijual?” soal Najib lagi. – MalaysiaGazette

Khazanah lupus 16% kepentingan dalam IHH


Polis temui senjata api tiruan di Jalan Klang Lama

Kumara Sabapatty

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata hasil pemeriksaan, pemandu berkenaan didapati positif dadah jenis metamfetamin.
Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis menemui senjata api tiruan di sebuah premis di Jalan Klang Lama semalam.

Dalam kejadian itu, pihak polis telah menerima panggilan dari seorang lelaki Melayu memaklumkan telah berjumpa dengan beberapa objek yang dipercayai senjata api di sebuah premis di Jalan Klang Lama.

“Sepasukan Polis dari Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah ke lokasi kejadian,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil siasatan kata beliau, pihak Mahkamah Kuala Lumpur telah mengeluarkan arahan untuk penyitaan harta di premis tersebut pada 30 November lalu.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan polis telah menjumpai sepucuk pistol tiruan, laras senjata HK MP5 tiruan dan satu topi dengan logo polis dalam premis tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960,” ujarnya lagi.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini untuk menyalurkannya kepada Inspektor Mohd Razif Karim selaku pegawai penyiasat di talian 0139961566 atau Asisten Komisioner Mohd Hafizi Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan IPD Brickfields) di talian 0172336343.- MalaysiaGazette


Khamis, 29 November 2018

Himpunan ICERD diteruskan kerana Pas ragu kenyataan pemimpin PH

Manzaidi Mohd Amin

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas masih meragui sikap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang berbeza pendapat mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan mustahil ICERD hendak diratifikasikan kerana melibatkan penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Sedangkan, katanya, Presiden PKR yang merupakan bakal Perdana Menteri kelapan mahu konvensyen itu ditangguhkan, manakala beberapa menteri PH pula kata rakyat tidak faham dengan ratifikasi itu.

“Oleh sebab perbezaan pendapat ini maka kita merasakan himpunan perdana ICERD pada 8 Disember ini akan diteruskan dan ia tidak lebih sebagai mendukung pandangan Tun Dr Mahathir yang menyatakan mustahil ICERD dilaksanakan.

“Saya hendak mengajak masyarakat Islam dan Melayu termasuk bukan Melayu dan bukan beragama Islam sama-sama turun menyatakan sokongan secara damai supaya mereka sedar ICERD ini akan menentang agama mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau mengajak semua kaum menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu lebih menjurus kepada kepada menyatakan sokongan secara damai.

Sebab itu, ujar beliau, tidak timbul masalah perkauman antara agama kerana sepatutnya semua penganut agama dan kaum sepakat menentang ratifikasi ICERD kerana bercanggah dengan konsep perkauman.

“Sepatutnya pemimpin PH hormati gagasan mereka. Tun Dr Mahatahir buat kenyataan “mustahil”, yang lain perlu mengikut pendapat itu, bukan berbeza pendapat,” katanya. – MalaysiaGazette


224 dokumen kes Najib dan Mohd Irwan Serigar diserah pada pembelaan

MALAYSIA GAZETTE

Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berhadapan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan wang kerajaan lebih RM6.6 bilion. Kedua-dua nya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.
Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berhadapan enam pertuduhan pecah amanah membabitkan wang kerajaan lebih RM6.6 bilion. Kedua-dua nya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu hampir 80 peratus iaitu sebanyak 224 dokumen berkaitan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang didakwa atas enam tuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM6,636,065,000 telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Perkara itu dimaklumkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada prosiding sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Sri Ram berkata pihak pendakwaan akan menyerahkan baki dokumen berkaitan kes itu yang akan digunakan untuk perbicaraan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan pengurusan kes tersebut telah ditetapkan pada 30 Nov, pukul 9 pagi di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail.

Hakim Azman menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib dan Datuk K. Kumaraendran serta Datuk Geethan Ram Vincent bertindak bagi pihak Mohd Irwan Serigar.

Pada 25 Okt lepas, Najib, 65, dan Mohd Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia masing-masing dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta iaitu sejumlah RM1.2 bilion milik kerajaan Malaysia telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan.

Mengikut pertuduhan kedua, Najib dan Mohd Irwan Serigar didakwa bersama-sama atas jawatan sama yang telah diamanahkan dengan harta sejumlah RM655 juta milik Kerajaan Malaysia, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa telah melakukan pecah amanah iaitu sejumlah RM220 juta, peruntukan di bawah “Belanja Mengurus di bawah Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 021700 KL International Airport Berhad (KLIAB)” milik Kerajaan Malaysia.

Kedua-dua tertuduh juga didakwa bersama-sama atas jawatan sama telah melakukan pecah amanah sejumlah RM1.3 bilion, peruntukan di bawah “Maksud B11 Perkhidmatan Am Perbendaharaan, Aktiviti 020500 Subsidi Dan Bantuan Tunai”, milik Kerajaan Malaysia.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, mereka didakwa bersama-sama atas jawatan serupa melakukan pecah amanah sejumlah CNY1,950,000,000 (bernilai RM1,261,065,000) dan RM2 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia,Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 21 Dis 2016 bagi pertuduhan pertama dan kedua, pada 3 Ogos 2017 pertuduhan ketiga manakala pertuduhan keempat hingga keenam pada 10 Ogos 2017, 23 Ogos 2017 dan 18 Dis 2017.

Mereka didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.— BERNAMA


Pemaju janji tak kacau kuil dalam tempoh injuksi – MIC

Shawaliah Hadir

Sivarraajh
Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh (tengah) bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL,
 

KUALA LUMPUR – Perintah injuksi sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah hari ini sedikit sebanyak akan membantu meredakan keadaan selepas rusuhan berlaku beberapa hari lalu di kuil Sri Maha Mariamma, kata Ketua Pemuda MIC kini ialah Datuk Sivarraajh Chandran.

Kata beliau, kejayaan peguam MIC ini juga akan memberikan hasil positif apabila pihak pemaju telah memberi berjanji untuk tidak menganggu kuil itu sehingga 11 Januari akan datang.

“Sekarang benda ni makin panas. Hari-hari ada orang datang, ada pihak penguasa yang mengganggu kuil, ada penganut tak selesa, mereka rasa terganggu, hari-hari polis terpaksa basah kuyup dalam hujan tunggu sana memastikan ketenteraman awam di sana.

“Saya percaya melalui injuksi ni, masalah-masalah ini boleh dikurangkan atau kita hentikan buat masa sekarang dan pemaju dah janji untuk tak akan kacau kuil itu buat sementara ini sehingga kita tahu keputusan kes tersebut,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Cameron Highlands itu berkata, kerajaan negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan turut mendapat kelebihan daripada perintah mahkamah ini kerana tidak perlu mengambil alih semula tanah kuil itu seperti mana laporan yang tersebar baru-baru ini.

“Saya ada terbaca, Menteri Besar berkata beliau mungkin akan keluarkan duit kerajaan negeri untuk beli tanah tersebut. Memandangkan kita sudah mndapat injunksi sementara beliau (Amirudin Shari) tak payah keluar duit sekarang, tunggu keputusan akhir, barulah kita akan bincang dengan beliau tentang masa depan tokong tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan bahawa barisan peguam MIC telah berjaya mendapatkan perintah injuksi sehingga 11 Januari tahun hadapan bagi penangguhkan sebarang keputusan mahkamah bagi One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden MIC merangkap Ahli Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran.

Untuk rekod, mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak dengan kos permohonan tiga penganut Hindu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya untuk menangguhkan pelaksanaan interim penghakiman persetujuan dan writ milikan oleh One City Development Sdn Bhd (One City), bagi mendapatkan semula tapak kuil itu.

Hakim M Gunalan membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas mendengar permohonan plaintif, S Thangaraju, 37; M Mohanakrishnan, 59; dan S Nagarajah, 52.

Selain One City, ketiga-tiga mereka turut menamakan K Chellappa, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Selangor, kerajaan Selangor dan M Nagaraju sebagai defendan.

Peguam Claudia Cheah yang mewakili One City ketika ditemui pemberita selepas prosiding berakhir berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan, antaranya, permohonan plaintif tiada locus standi dan One City adalah pemilik sah tapak kuil berkenaan.-MalaysiaGazette


Tiada pengesahan Agong telah berkahwin - Mahathir

MALAYSIAKINI

   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi berhubung dakwaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah berkahwin.

"Saya tidak tahu, saya tidak mempunyai pengesahan rasmi jadi saya tidak boleh berkata apa-apa," jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu.

Beliau ditemui pemberita di lobi Parlimen selepas membuat kenyataan mengenai insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights, di Dewan Rakyat hari ini.

Desas-desus mengenai perkahwinan itu tular di media sosial.- Bernama


Lesen 'istimewa' pusat hiburan di KL dikaji semula

 
   

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji semula lesen ‘istimewa’ kepada sebahagian kecil pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi sehingga pukul 5 pagi.

Menterinya, Khalid Samad berkata, biarpun kebanyakan lesen pusat hiburan membenarkan operasi sehingga pukul 1 pagi, sebahagian daripadanya diberikan kebenaran istimewa kerana dianggap sebagai tumpuan pelancong.

Beliau berkata demikian ketika mengulas syor Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mencadangkan semua operasi pusat hiburan dipendekkan ke pukul 1 pagi sahaja.

“Banyak pusat hiburan di Kuala Lumpur ini sepatutnya tutup pukul 1 pagi, tetapi mereka tidak mengendahkannya, mereka teruskan operasi sehingga pukul 5 pagi.

“Ada sedikit yang diberikan kebenaran istimewa (untuk beroperasi hingga 5 pagi) kerana dianggap pusat hiburan khusus untuk golongan pelancong, tetapi pengunjung yang datang didapati kebanyakannya adalah orang tempatan.

"[...] Kita akan kaji semula kebenaran istimewa itu dan lihat adakah kebenaran seumpama itu masih perlu diteruskan atau tidak. [...] Lagipun saya tak fikir pelancong datang untuk hiburan malam, hiburan malam di negara mereka barangkali lebih meriah lagi,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Tambah anggota parlimen Shah Alam itu lagi, penguatkuasaan lebih tegas akan dilakukan bermula awal tahun depan bagi memastikan pusat hiburan dengan lesen biasa akur pada peraturan beroperasi sehingga pukul 1 pagi.

Selain itu, beliau turut berpendapat warga kota perlulah mempunyai kesedaran agar tidak membazirkan masa dan wang di pusat hiburan sehingga lewat malam, sebaliknya meluangkan lebih masa bersama keluarga di rumah.

“Ini satu petanda buat warga Kuala Lumpur. Jika kita tak pergi ke tempat-tempat itu, maka dia (pusat hiburan) akan tutup.

“Warga Kuala Lumpur kena ada kesedaran, jangan habiskan duit dan masa di tempat-tempat seperti itu, duduk di rumah bersama keluarga lebih baik,” katanya.


Hukuman mati pengikut 'Tuhan Harun' kekal

SINAR HARIAN

Mahkamah
 
 
PUTRAJAYA - Dua pengikut 'Tuhan Harun' akan dihukum gantung sampai mati kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pada 2013.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak rayuan akhir Sumustapha Suradi dan Shamsinar Abdul Halim dan mengekalkan sabitan dan hukuman mati.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang mengetuai barisan lima hakim memutuskan bahawa rayuan kedua-dua mereka tidak mempunyai merit.

Mahkamah juga disidangi oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Azahar Mohamed, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Sumustapha, 43 dan Shamsinar, 41, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 2016 selepas mereka didapati bersdalah pada 2016 membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.

Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 Nov, 2013.

Kedua-dua mereka gagal dalam rayuan selepas Mahkamah Rayuan menolaknya pada 8 Feb tahun ini.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai “Tuhan Harun', juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut. Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos, 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos, 2016 akibat masalah pernafasan.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim mewakili kedua-dua mereka sementara timbalan pendakwa raya Ku Hayati Ku Haron menjalankan pendakwaan.

Pilihan terakhir yang ada untuk kedua-dua mereka ialah memfailkan petisyen bagi pengampunan kepada Lembaga Pengampunan. - Bernama

Tok Mat kemuka Notis Rayuan


Tok Mat kemuka Notis Rayuan
Mohamad ketika sidang media di Bangunan Umno negeri, hari ini.
 
 
SEREMBAN - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan memfailkan Notis Rayuan ke Mahkamah Persekutuan, Putrajaya terhadap keputusan Hakim Pilihan Raya, Datuk Azimah Omar berhubung petisyen pilihan raya Dun Rantau, pagi tadi.

Notis tersebut dikemukakan melalui Tetuan Hafarizam Wan    & Aisha Mubarak.

Katanya, setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan, beliau telah membuat keputusan untuk merayu terhadap keputusan yang dibuat oleh hakim yang mengisytiharkan keputusan PRU14 bagi kerusi N27 Rantau terbatal.

"Keputusan untuk merayu dibuat setelah meneliti alasan penghakiman yang diberikan secara lisan dan juga selepas nasihat yang diterima daripada peguam demi mempertahankan kerusi Dun Rantau.

[ARTIKEL BERKAITAN: Petisyen Dun Rantau: Tok Mat masih bincang]

"Rayuan ini juga adalah kesinambungan daripada rayuan yang dibuat oleh SPR  dan Pegawai Pengurus bagi Rantau, Amino Agos yang telah memfailkan Notis Rayuan pada 28 November lalu.

"Notis Rayuan ke Mahkamah Persekutuan ini telah difailkan pagi tadi sebelum tempoh 14 hari untuk memfailkan notis akhir yang mana akan berakhir hari esok," katanya pada Sidang Media di Bangunan Umno di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Adun Rantau berkata, rayuan ini juga untuk membebaskannya daripada sebarang dakwaan salah laku terhadapnya semasa hari penanaman calon pada PRU14 lepas.

"Keputusan ini adalah demi kepentingan terbaik pengundi-pengundi di Dun Rantau dan juga sebagai benteng untuk mempertahankan posisi saya selaku Adun Rantau," katanya.

Terdahulu, pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dun Rantau pada PRU 14 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Azimah Omar yang mengarahkan satu PRK diadakan serta merta di kerusi itu yang sebelum ini dimenangi oleh Mohamad tanpa bertanding.

Petisyen ke atas kerusi Dun Rantau difailkan oleh ahli PKR Dr. S. Streram yang juga calon PKR bagi kerusi itu pada 23 Mei lalu.


 

Tak takut, Adun BN sedia dipanggil polis


Tak takut, Adun BN sedia dipanggil polis
Saarani (duduk, tengah) pada sidang media, hari ini.
 
 
IPOH - Semua 25 Adun BN Perak tidak takut malah bersedia memberi kerjasama sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berkata, kesediaan itu berlandaskan fakta dan bukti kukuh yang dipunyai mereka berdasarkan peristiwa yang berlaku.

Menurutnya, meskipun isu telah dibangkitkan, sehingga kini individu iaitu exco yang dikatakan itu masih berusaha memujuk Adun BN meneruskan usaha menjatuhkan menteri besar.

“Ini bukan isu main-main, kalau buat laporan polis, janganlah pula terkejut apabila laporan polis itu nanti terkena kepada seorang daripada orang mereka (PH).

[ARTIKEL BERKAITAN: 25 Adun BN keluar dewan]

“Sudah tentu polis akan ambil tindakan terhadap orang yang berkenaan dan akan dipanggil polis dan kena mengaku apa yang dibuat, jadi jangalah beranggapan dengan laporan polis itu kami akan berhenti bercakap.

“Kami bersedia untuk bercakap, kami sekarang pembangkang, apa yang perlu ditakutkan,” katanya kepada pemberita pada Sidang Dewan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan polis dibuat Ahli Parlimen Batu Gajah  yang juga Ketua Sekretariat PH Perak, V Sivakumar, semalam.

Sivakumar membuat laporan itu di Balai Polis Dang Wangi agar satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan usaha menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat tidak berulang sekali lagi di Perak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pimpinan PH tidak sewajarnya memutarbelitkan isu itu dengan menampakkan ia sengaja dimainkan pembangkang untuk kucar-kacirkan pentadbiran kerajaan sedangkan yang berantakan adalah kalangan pimpinan PH sendiri.

Katanya, tiada sebab pembangkang berbuat demikian, mereka hanya bersikap gentlemen untuk memastikan pembangkang menang pada PRU15 nanti.

"Jangan pula kerana mereka yang buat hal (cuba menjatuhkan MB), kami pula yang diburukkan, itu tak betul.

"Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sudah pun membuat laporan polis... cuma menariknya laporan polis (dibuat) di KL (Kuala Lumpur), jadi kita bersedia menunggu bila polis akan jemput untuk hadir beri keterangan.

"Cuma saya kena ingatkan Sivakumar, bila buat laporan polis dia kena sedia tanggung risiko atas perbuatannya," katanya.

Rusuhan kuil: Kerajaan, pembangkang sokong kenyataan Tun M


tun dr mahathir mohamad
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Pemimpin kerajaan dan pembangkang menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, semua rakyat perlu mengambil perhatian terhadap saranan Perdana Menteri agar berhati-hati sebelum berkongsi sebarang maklumat.

"Terutamanya apa yang kita kongsi di media sosial. Sebagai rakyat kita kena main peranan agar tidak menggugat perpaduan.

"Saya juga setuju dengan Perdana Menteri bahawa kebebasan bersuara ada batasnya. Dalam negara yang pelbagai kaum ini, kita kena pastikan tiada kenyataan yang dikeluarkan boleh menimbulkan kebencian," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Hati-hati keluar kenyataan' ]

Sementara itu, Presiden MCA yang juga Ahli Parlimen Ayer Itam, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, semua pemimpin perlu berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan agar tiada unsur provokasi.

"Ini Malaysia yang kita cintai dan kita mahukan keamanan. Sebagai pemimpin tak kira pembangkang atau kerajaan

kena waspada dengan apa juga kenyataan, jangan buat provokasi.

"Sebab sekarang ini ada banyak provokasi sehingga membawa mesej tidak tepat. Oleh itu, saya sokong kenyataan Perdana Menteri untuk selesaikan ketegangan yang berlaku," katanya.

Anwar tak tergesa-gesa lantik setiausaha agung, naib presiden PKR

 
   
Anwar Ibrahim berkata beliau tidak tergesa-gesa dalam memilih pemimpin untuk mengisi jawatan lantikan dalam parti itu, seperti setiausaha agung dan naib presiden.

Presiden PKR itu berkata, ia akan melalui proses rundingan dan perbincangan yang mengambil kira pandangan semua pihak.

"Dalam proses rundingan tidak perlu terburu-buru, (perlu) dengar semua pandangan," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Namun, beliau berkata keputusan akan dibuat sebelum tahun depan.

Menurut perlembagaan parti itu, presiden mempunyai hak untuk melantik dua naib presiden, lima anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), setiausaha agung, bendahari, ketua penerangan dan 14 pengerusi negeri.

Sebelum ini, Rafizi Ramli yang tewas di tangan Mohamed Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden dua minggu lalu diperkatakan akan dilantik sebagai setiausaha agung atau naib presiden.

"Mengapa Rafizi? Ada ramai pemimpin lain," kata Anwar ketika ditanya tentang perkara itu.

Polis sahkan Adib cedera kerana dipukul

   
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan dakwaan bahawa anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dilanggar jentera bomba dan bukannya dipukul dalam insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman di Putra Heights, Subang Jaya, adalah tidak benar.

Beliau berkata maklumat yang diperoleh tidak mendapati Muhammad Adib, 25, dilanggar seperti yang tular di media sosial.

“Kalau tak dipukul macam mana dia boleh cedera kritikal ketika ini? Kita sekarang sedang kenal pasti siapa yang viralkan video berkenaan (yang kononnya menujukkan Muhammad Adib dilanggar).

“Kita juga masih sedang buru individu terlibat memukul Muhammad Adib. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bantu siasatan polis untuk kenal pasti mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Mohamad Fuzi bercakap pada sidang media selepas merasmikan Forum Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC): Ke Arah Perkhidmatan Kepolisan Yang Cemerlang hari ini.

Semalam, Badan Bertindak Selamatkan Kuil Sri Maha Mariaman mendakwa Muhammad Adib tidak dipukul sekumpulan perusuh sebaliknya beliau dihimpit jentera bomba, bagaimanapun dakwaan itu disangkal Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata beliau perkata polis masih belum meluluskan penganjuran perhimpunan mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual berlangsung di ibu negara.

“Mereka (penganjur) telah membuat pemohonan...kita sudah panggil penganjur. Setakat ini kita masih belum bagi permit kerana kena buat penilaian berkaitan keselamatan dahulu di samping mereka juga perlu mendapatkan kebenaran DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur),” katanya.

Pada 23 Nov lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD. Susulan itu kerajaan berpendapat tiada keperluan menganjurkan perhimpunan berkenaan.- Bernama


LIHAT VIDEO DI SINI



Najib: Saya lebih percaya Putera Arab Saudi berbanding Justo

MALAYSIAKINI

   

Selepas hampir seminggu membisu, bekas perdana menteri Najib Razak akhirnya membalas dakwaan Pengerusi Edge Media Group Tong Koi Ong bahawa beliau sudah lama tahu tentang salah laku melibatkan 1MDB.

Najib tidak menafikan dakwaan Tong pada 2015 menunjukkan maklumat yang didakwa sebagai bukti Jho Low telah melakukan penipuan terhadap 1MDB, namun berkata beliau meragui "bukti" itu.

"Semua dokumen yang ditunjukkan Tong sebagai ‘bukti’ pada masa itu berdasarkan kepada emel-emel daripada PetroSaudi yang dicuri seorang kakitangan yang tidak berpuas hati dan kemudiannya melakukan peras ugut terhadap rakan dan majikannya selama beberapa tahun.

"Terdapat juga dakwaan dokumen tersebut telah dipinda. Kakitangan itu kemudian disabitkan kesalahan di mahkamah Thailand atas tuduhan peras ugut," katanya di Facebook hari ini.

Najib merujuk dokumen yang dibocorkan bekas eksekutif Petrosaudi International Xavier Justo berkaitan usaha sama syarikat itu dengan 1MDB yang disiarkan media tempatan dan antarabangsa.

Xavier Justo
Antara media itu adalah The Edge, yang membentuk asas siasatan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Pada 2015, Justo dihukum penjara tiga tahun atas kesalahan cuba mengugut dan memeras Petrosaudi tetapi dibebaskan 18 bulan kemudian, selepas diberi pengampunan diraja oleh Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.

Dalam ruangan editorial The Edge pada 24 November lalu, Tong mendakwa beliau berjumpa Najib di kediaman bekas presiden Umno itu pada 2 Mac 2015, dan menunjukkan "bukti" bahawa 1MDB adalah satu penipuan.



Tong mendakwa Najib kemudian memintanya beredar dari rumahnya.

"Selepas kira-kira setengah jam, dia kesal dan beritahu saya dia akan menutup 1MDB. Dia tidak mengatakan apa yang akan dilakukannya mengenai hutang itu.

"Saya kemudian beritahu Najib bahawa Jho Low mesti dipertanggungjawabkan dan didakwa. Ini mengecewakannya. Dia segera bangun, berjalan ke pintu dan meminta saya pergi.

"Saya terkejut kerana dia sangat sensitif terhadap Jho Low," kata Tong.

Dakwaan itu selepas Najib sekali lagi menegaskan beliau tidak tahu-menahu tentang penyelewengan dana melibatkan 1MDB dan penglibatan Jho Low pada masa itu.

Dalam hantaran Facebook itu lagi, Najib menjelaskan pada masa itu kerajaan turut bertanya kepada Petrosaudi untuk memastikan kebenaran dakwaan syarikat itu turut terlibat dalam penyelewengan tersebut.

Najib berkata Petrosaudi menafikannya.

Katanya lagi, juru audit dan syarikat guaman 1MDB juga tidak membangkitkan kerisauan berhubung sebarang keraguan berkaitan transaksi dana dan urus niaga syarikat yang terlibat.

Antaranya pembayaran oleh Petrosaudi dan keuntungan dalam bentuk unit dana, yang dikatakan dijamin Aabar Corporation milik syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (Ipic).

Selepas pertemuan dengan Tong, kata Najib lagi, unit dana itu ditukar kepada bon AS$3.5 bilion yang dijamin Ipic.

"Ketika itu, tiada petunjuk bahawa jaminan unit atau jumlah yang dibayar 1MDB kepada Aabar BVI adalah satu penipuan.

"Ya, hari ini Tong mungkin betul tetapi pada Mac 2015, ia adalah perkataannya dan bersandarkan kepada dakwaan seorang kakitangan yang tidak berpuas hati berbanding dengan apa dijelaskan oleh gabenor Riyadh dan putera raja Arab Saudi yang bertakhta (Putera Turki Abdullah), juru audit antarabangsa dan pengurusan tertinggi Aabar," katanya lagi.


LIHAT FB DI SINI


Rabu, 28 November 2018

Enggan bersurai, 9 individu ditangkap berhampiran kuil Seafield

 
    Polis menahan sekurang-kurangnya sembilan individu berhampiran kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya hari ini selepas enggan mendengar arahan polis untuk bersurai.

Polis mengerahkan dua unit Pasukan Tempur Ringan (LSF) antirusuhan sekitar 12.50 pagi ini.

Separuh daripada 80 individu dalam yang berkumpul di sekitar kuil bersurai, namun selebihnya berdegil.

Polis kemudian memberi amaran terakhir dan memaklumkan akan membuat tangkapan sekiranya mereka terus enggan bersurai.

Akhirnya polis bergerak untuk membuat tangkapan dengan pasukan LSF mengambil kedudukan bersiap sedia.

Beberapa individu yang berjaya melarikan diri berundur ke stesen minyak berhampiran dan mula menjerit ke arah polis.

"Orang Melayu nak tangkap!" jerit salah seorang dari kumpulan yang berada di stesen minyak berkenaan.
Polis kemudian bergerak ke stesen minyak itu dan mengepung sebuah kenderaan Myvi putih yang dilihat dinaiki beberapa individu daripada kumpulan itu. Polis bagaimanapun gagal menahan kereta itu.

Operasi tangkapan berlangsung kira-kira 20 minit.

Salah seorang yang ditahan mendakwa merupakan calon SPM yang akan menduduki kertas pendidikan agama Islam hari ini.

Terdahulu, menjelang tengah malam, polis cuba menyuraikan sekumpulan kecil kira-kira 80 individu yang berkumpul berhampiran kuil Seafield Sr Maha Mariamman di Subang Jaya yang menjadi lokasi rusuhan dua hari berturut-turut.

Kumpulan berbaju hitam itu berkumpul di jalan berhampiran kira-kira 50 meter dari kuil yang dipisahkan Lebuhraya LDP.

Mereka menjelaskan bahawa kehadiran mereka bukan untuk mencetuskan kekacauan.

"Kita datang sini bukan nak serang kuil, tempat orang sembahyang. Tidak. Kita datang sini nak tunjuk betapa kita orang Melayu semua, jangan pijak orang Melayu. Jangan pijak kita, jangan paksa kita. Itu saja.

"Kita nak tunjuk pada mereka. Mereka pukul orang awam, kita tidak akan pukul orang awam, kita tak akan serang. Kita ada akal.

"Kita datang sini nak buat apa? Kita nak berhimpun secara aman, itu saja yang kami nak," kata salah seorang dari kumpulan itu.

*Laporan ini disediakan oleh Prasadh Michael, Zikri Kamarulzaman dan B Nantha Kumar.


Idris, Ahmad Said disebut bakal kembali terajui Umno T'ganu

 
   

Sebaik saja Mahdzir Khalid menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Umno Terengganu, dua pemimpin negeri itu terus disebut-sebut bakal mengambil alih jawatan itu.

Menurut sumber dalaman Umno, dua pemimpin itu ialah Ahmad Said dan Idris Jusoh - dua nama yang masing-masing pernah memimpin Umno negeri dan menjadi menteri besar.

Namun sumber itu berkata Ahmad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Said kemungkinan besar sekali lagi mengetuai Umno negeri berbanding Idris.

"Idris dan Ahmad ada kelayakan untuk mengemudi Umno Terengganu dan disebut-sebut untuk menggantikan Mahdzir.

"Tetapi hampir pasti Ahmad yang akan dipilih untuk kembali menerajui Umno Terengganu tahun depan," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau tidak menafikan kemampuan Idris untuk merampas kembali Terengganu daripada PAS seperti yang dilakukannya pada 2004, tetapi berkata Ahmad lebih diperlukan jika mengambil kira keadaan politik semasa.

Ahmad sebelum ini pernah menyatakan kesediaannya untuk sekali lagi memikul tugas itu jika dipilih pucuk pimpinan parti.

Nama pengganti Mahdzir akan diumumkan dalam masa terdekat selepas surat pelantikan ditandatangani presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Untuk rekod, Umno Terengganu sebelum ini pernah mengalami pergolakan dalaman yang membabitkan beberapa tokoh utama parti di negeri itu.

Pada 24 November lalu, Mahdzir yang juga naib presiden umno berkata mahu melepaskan jawatan itu dan berharap ia akan diserahkan kepada pemimpin tempatan.

Beliau dilantik ke jawatan itu untuk menggantikan bekas menteri besar Ahmad Razif Abd Rahman yang tewas dalam pemilihan parti peringkat bahagian tahun ini.

Lantikan Mahdzir adalah sebahagian daripada penyusunan semula Umno ketika Ahmad Zahid Hamidi mula menjadi presiden.

Selain beliau, dua lagi naib presiden Umno, Mohd Khaled Nordin dan Ismail Sabri Yaakob masing-masing dilantik mempengerusikan Umno Perlis dan Selangor.


Hadi tegur Syed Saddiq...


Hadi tegur Syed Saddiq...
 
 
GOMBAK - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melihat tiada masalah untuk konsep pemakaian patuh syariah bagi atlet dilaksanakan.

Malah, katanya, kelab bola sepak luar negara seperti England dan Perancis tidak mengenakan halangan untuk pemain beragama Islam mengamalkan ajarannya.

Susulan itu, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersikap 'lebih' daripada dua pasukan itu apabila mengkritik keputusan Kerajaan Terengganu.

"Setahu saya kelab bola sepak England dan Perancis membenarkan pemain Islam mengamalkan ajaran agama. Jangan dia (Syed Saddiq) lebih daripada England dan Perancis sudahlah," katanya kepada media selepas menyampaikan syarahan perdana berjudul Geopolitik Antarabangsa dan Masa Depan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di sini, malam tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terengganu laksana pemakaian patuh syariah atlet sukan]

Semalam, Syed Saddiq mempertahankan atlet dan mengatakan pakaian sukan pilihan mereka perlu dihormati.

Syed Saddiq turut melahirkan kebimbangannya terhadap masa depan beberapa sukan seperti renang, gimrama dan bina badan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Syed Saddiq sepatutnya memberi galakan kepada atlet menutup aurat.

"Umat Islam kalau beri pandangan kena dalam kerangka sebagai seorang Muslim. Kalau benda itu selama ini tidak betul, kita kena perbetulkan.

"Apa masalahnya kalau mereka tutup aurat, kita mampu buat bukan tak mampu. Sebagai menteri beragama Islam beliau sepatutnya beri galakan. Dia tak boleh terikat dengan budaya yang bertentangan pandangan Islam," katanya.

Aduhai, remehnya alasan naib canselor UKM

 
   
ULASAN | Naib Canselor Universiti Kebangsaan malaysia (UKM) Dr Noor Azlan Ghazali pantas menjawab ulasan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik perihal pembatalan secara paksa program Sekolah Malam anjuran Kawah Buku dan Diskopi bertajuk Reformasi Struktural: Mahathir vs. Anwar lagi? yang dijadual disampaikan Hishamuddin Rais semalam.

Jawapannya - penganjur perlu mendapatkan surat kebenaran untuk menggunakan pentas Sudut Pidato!

Aduh, UKM. Sampai bila mahu terperap dengan dongen siswa wajib meminta kebenaran untuk setiap cubit hal yang mereka mahu lakukan, atas alasan mentah simple governance?

Mengapa tidak gazetkan juga peruntukan tatacara agar setiap perkumpulan siswa yang bermain PUBG dan Mobile Legend di kafeteria - mencecah berbelas orang pada satu-satu masa - atau mereka yang berkumpul beramai-ramai menonton bola, menulis surat meminta kebenaran untuk aktiviti sedemikian?

Peruntukan ‘harus meminta kebenaran’ itu sudah kelakar bunyinya, untuk hal yang tetek-bengek sebegitu. Ada satu persoalan yang terlontar dalam benak kami: sampai bila ranah varsiti ini harus menadah hancing kepentingan tangan yang terselindung?

Penganjuran program Sekolah Malam di pentas Sudut Pidato, Tingkat 5, Pusanika UKM bukan bermula semalam. Ia sudah berlangsung beberapa siri tanpa sebarang masalah dan gangguan daripada mana-mana pihak. Bahkan, program tersebut berjalan dengan baik sebelah-menyebelah dengan latihan tarian kumpulan siswa.

Sumpah! tiada langsung kelibat pegawai keselamatan, atau algojo Special Branch (SB) mengambil gambar kegiatan kami sepanjang siri sebelum ini.

Jika Azlan memberi alasan ada program lain yang sudah membuat tempahan di situ, sebutkan pada hari apa Pusanika UKM sepi dari jerit-pekik siswa-siswi UKM. Semua maklum akan hal tersebut. Warga UKM tahu Pusanika adalah lokasi aktiviti berpersatuan.

Menggunakan alasan tempat itu sudah ditempah sebagai justifikasi pembatalan Sekolah Malam - alangkah kecilnya jiwa naib canselor UKM dalam cubaannya meloloskan diri daripada
dipertanggungjawabkan atas wayang boneka ini.

Begitu cerlang usaha Azlan untuk meraih simpati khalayak dengan secara terburu-buru melabel penganjur tidak mengikut prosedur. Mungkin selepas ini Sudut Pidato boleh ditukar namanya menjadi Sudut Pitempah, kerana untuk berpartisipasi di sana memerlukan sekeping surat bertulis.

Kami bersangka baik - mungkin inilah model kebebasan partisipasi dalam kalangan siswa yang Azlan cedok dari Universiti Harvard.

Sebagai penganjur kami faham benar permainan politik di sebalik kekecohan ini. Siri Sekolah Malam yang sepatutnya berlangsung semalam mengaitkan tiga nama - Mahathir, Anwar dan Hishamuddin Rais. Apabila kami menulis perihal menjaga kepentingan tangan yang tersembunyi, apa yang kami maksudkan ialah pergelutan di balik tabir. Sudah-sudahlah menganggap warga UKM begitu naif dalam memahami politik dan sangkut-pautnya dengan UKM.

Kami tidak menolak sangkaan bahawa tekanan agar program dibatalkan adalah bertitik-tolak daripada kehendak ‘seseorang’ yang mahu mengekalkan jawatan dan kedudukannya dalam hierarki pentadbiran UKM untuk tempoh mendatang.

Tidak mengapa, kami faham. Meminjam kata-kata Azmin Ali sewaktu perebutan kerusi menteri besar Selangor sekitar 2014, “tiada kesalahan untuk mempunyai cita-cita dalam politik,” kami fikir mereka dalam hierarki pentadbiran tinggi UKM yang kini berjuang untuk melanjutkan jawatan masing-masing pun tidak salah untuk bercita-cita sedemikian.

Tetapi, apakah perlu sehingga ke Padang, Indonesia pun mahu membawa canda yang sama?

Sudah-sudahlah memberi malu kepada roh universiti ini dengan gaya politik kampungan. Siswa yang mahu berpartisipasi, biarkanlah mereka. Remuk dan redam, hancur dan lebam mereka berhentak sesama sendiri, tidak perlu menjadi gundah gulana kepada kalangan mereka yang sedang menghuni bangunan Canselori UKM.

Semestinya kami tidak akan berhenti setakat semalam. Sekolah Malam akan terus memanaskan pentas Sudut Pidato UKM. Apakah selepas ini varsiti kebangsaan itu masih mahu terus menggunakan alasan kampungan begitu untuk menghalang siswa dan pensyarahnya berpartisipasi?


* AHMAD TAJUDDIN ialah jurucakap Kawah Buku dan Diskopi.