Khamis, 28 Februari 2019

Tabung Haji demi membebas penindasan

SUBKY LATIF

MARI kita balik kepada mula pembentukan Tabung Haji oleh Prof Diraja Ungku Aziz sebaik saja kita merdeka dulu. Masa itu pemergian ke Mekah dikendali oleh Lembaga Urusan Haji. Orang naik haji tidak ramai, tambang kapal dan belanja di Mekah pun tidak besar. Orang boleh bawa bekal makan di Mekah dan Madinah.

Orang yang naik haji yang ada duit dan ramai yang menjual tanah. Masing-masing tidak kaya dan tidak banyak tanah. Bila tanah dijual, lepas jadi haji jadi orang tidak bertanah. Bila haji itu mati, tiada pesaka yang ditinggalkan kepada waris.

Demikianlah gara-gara penindasan yang dihadapi orang miskin Islam hendak menyempurnakan semua rukun Islam. Sekalipun wajib haji itu ada syaratnya, tetapi orang Islam tidak selesa jika meraka mati tanpa haji.

Bagi mengelakkan tidak menjual tanah ke Mekah, maka Ungku Aziz sediakan pelan Tabung Haji bagi membebaskan umat Islam dari penindasan termasuk membebaskkan mereaka dari sebarang pembabitan riba.

Ia boleh jadi institusi ekonomi yang penting yang keuntungannya boleh dipulangkan kepada jamaah haji. Keuntungannya jika ada, boleh mengurangkan tambang yang hendak ke Mekah lepas itu dan hendak ke Mekah lagi.

Semua orang bernafsu hendak kaya, tetapi Tabung Haji bukan jadi lombongan emas untuk orang jadi kaya. Sekalipun tabungan sebagai satu ciri boleh jadi institusi kewangan dan ekonomi, tetapi ia jangan jadi institusi Qarun mengumpul harta dan kekayaan.

Mekah jadi pusat dagang Arab zaman jahiliah zaman berzaman. Mereka boleh kaya kerananya tetapi mereka limpahkan kunjungan itu kepada orang haji dari semua ceruk, hingga makan, minum dan kediaman semasa haji ditampung atau dapat dorongan oleh penduduk Mekah dan saudagar yang ada di kota itu.

Konsep pahala tidak ada pada kaum jahiliah, tetapi mereka ada tanggungjawab kebajikan, meringankan beban para haji.

Sesudah jahiliah lama hapus oleh kedatangan Islam, sepatutnya keperluan haji dan kemudahan jamaah lebih baik dari zaman jahiliah. Tetapi sesudah sekalian penduduk Arab menjadi Islam, masyarakat Mekah dan Madinah kerja dua tiga bulan mengaut untung banyak untuk hidup setahun.

Zaman jahiliah saudagar Arab menggunakan kekayaan dan harta untuk kebajikan pengunjung tanah suci, umat Islam sekarang berlumpa-lumba menjadi jutawan dari orang yang berhaji ke situ. Penindasan selepas benua Arab dibebaskan oleh Islam, kini bertukar menjadi penindasan yang lebih teruk dari zaman jahiliah dulu.

Jahiliah baru sekalipun masih Islam mula berjangkit kepada urusan Tabung Haji yang tujuan asalnya membebaskan bakal haji dari sistem penindasaan, Tabung Haji menjelma menjadi lombong emas bagi semua orang hendak membuat duit dan kekayaan sehingga beban haji sekarang sudah terbuka kepada orang berduit dan kaya raya.

Dengan segala subsidi yang kerajaan bagi termasuk peruntukan yang Tabung Haji beri, belanja perorang sekitar RM10,000. Tetapi jamaah yang temannya tidak terpilih, teman dicadangkan dikenakan RM20,000. Ini satu penindasan. Orang yang hendak pergi kali kedua memang dikenakan RM20,000 bahkan yang pergi melalui saudagar luar Tabung Haji dikenakan sampai RM50,000 atau lebih.

Sistem nampaknya haji menjadi peluang orang mencari kekayaan, demikiannya juga Tabung Haji sebagai institusi Islam, bukan lagi membasmi penindasan, tetapi sistem penindasan atas nama Islam.

Ini tidak termasuk penyangak selama 60 tahun kerajaan lama dan kerajaan baru pula seolah-olah meneruskan lagi penindasan itu. Jihad semua ialah bagaimana membebaskan pentadbiran haji dari penerusan penindasan jahiliah baru? – HARAKAHDAILY

Undi Cina bakal beralih, ke mana Melayu?

SABTU ini, 2 Mac hari penentu pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) akan menentukan siapa pilihan mereka, apakah Pakatan Harapan akan kekal terajui atau BN berjaya merampas semula Dun Semenyih?
 
Tiga calon, Muhammad Aiman Zainuli (PH), Zakaria Hanafi (BN) dan Kuan Chee Heng (Uncle Kentang) setakat ini dilihat memberi impak kepada pengundi selepas kempen masuk ke fasa akhir.
 
Sementara calon PSM, Nik Aziz Afiq pula dilihat sedikit perlahan sambutan kepadanya, mungkin dilihat bukan saingan utama.
 
PRK Semenyih sebenarnya medan menguji kerjasama antara komponen PH juga medan mengukuh kerjasama Umno-PAS tatkala, di samping "test ground" kepada calon Bebas, Uncle Kentang selaku aktivis kebajikan masyarakat mendapatkan perhatian masyarakat, apatah lagi jolokan Kentang memberi kelebihan sebagai orang yang dekat dengan marhaen.
 
PRK DUN Semenyih agak berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands walaupun dua kerusi ini adalah pernah menjadi kubu kuat BN.
 
Namun di Semenyih pada PRU14, kubu BN ini berjaya ditembusi PH dengan mudah.
 
Kemenangan BN yang turut dibantu oleh PAS di Cameron Highlands tidaklah begitu mengejutkan, namun ia satu amaran lisan kepada parti pemerintah.
 
Semenyih bisa menjadi medan menguji kekuatan dan populariti sebenar, apakah PH mampu terus mempertahankan kerusi ini atau BN akan kembali menguasai semula kubu tradisi mereka ini suatu masa lalu.
 
Walaupun PRK ini menyaksikan saingan empat penjuru tetapi hakikatnya betapa saingan sebenar masih tertumpu antara BN dengan PH selain Uncle Kentang sedikit mencuri tumpuan atas imejnya.
 
Selepas Cameron, Semenyih menjadi medan tempur, malah sejak hari penamaan calon lagi gegak gempita perang dalaman PH meletus antara kem Anwar dan kem Mahathir.
 
Ia terbukti menjadi medan perang Anwar-Mahathir angkara pertemuan dengan PAS sebelum ini, dan lebih menyerlah Anwar membelasah PAS dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang mencerminkan kemelut sebenar dalam PH antara Bersatu dan Anwar-DAP.
 
Ramai dalam kalangan pengundi yang ditemui sejak seminggu lalu menyatakan rasa kesal dengan percakaran dalaman PH kerana jawatan PM.
 
Malah terdengar khabar bahawa pengundi Cina secara perlahan-lahan akan memboikot calon PH kerana marahnya mereka ke atas pertemuan Tun Mahathir dan PAS.
 
Apapun, PRK Semenyih ini tidak akan mempengaruhi kedudukan kerajaan negeri yang masih dikuasai kukuh oleh PH, namun keputusan di Semenyih dilihat cukup penting dalam mempamerkan mood sebenar pengundi khasnya kalangan dua blok besar pengundi bandar iaitu Melayu dan Cina.
 
Apakah trend Melayu kembali kepada Umno-BN yang dibantu PAS akan menjadi kenyataan mengenepikan kemenangan PH, atau undi Cina berpecah akibat pergolakan dalam PH akan mengubah lanskap politik Semenyih.
 
Kehadiran Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari selaku MB baharu, bakal menjadi signal awal kepadanya yang dilihat kurang tertonjol berbanding MB terdahulu.
 
Hal ini penting kerana kita percaya tempoh berbulan madu meraih kejayaan membentuk kerajaan pusat dan buat pertama kali setelah menumbangkan BN sudah berakhir.
 
Dalam suam-suam kuku kempen PRK Semenyih, kita pula dihidang dengan pelbagai isu kontroversi dan sensitif yang telah berlaku sehingga kelihatan menggores hati dan perasaan orang Melayu dan umat Islam.
 
Provokasi melampau seperti hina Nabi SAW yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab semakin membimbangkan, malah ia menyemarak kemarahan Melayu Islam.
 
Malah keadaan ekonomi global dan negara yang masih bergelora dilihat mengeruhkan lagi keadaan yang sedia keruh.
 
Di pihak BN, inilah masa sesuai untuk mengembalikan keyakinan rakyat agar kembali menyokong BN khasnya Umno yang kini bekerjasama dengan PAS.
 
Apa yang penting, BN jangan leka dengan kemenangan di Cameron Highlands, sebaliknya perlu terus bangun mendekati rakyat dan meyakinkan rakyat bahawa BN sudah menginsafi kekalahan pada PRU14 dan sudah bersedia untuk melakukan perubahan secara besar-besaran untuk meraih kembali kepercayaan dan sokongan yang hilang.
 
Apapun keputusan pengundi ini juga sedikit sebanyak tertakluk kepada kebijaksanaan semua calon yang bertanding dalam meyakinkan mereka.
 
Kata kunci PRK Semenyih, siapa berjaya memenangi hati golongan atas pagar dan mendapatkan undi asas masing-masing pada tahap paling maksimum maka ia akan boleh dijulang sebagai pemenang.
 
Dalam masa yang sama, calon, jentera dan pemimpin perlu betapa PRK akan banyak memberi fokus kepada isu setempat berbanding PRU yang banyak dipengaruhi isu nasional.
 
Isu yang berlegar dalam kalangan rakyat adalah isu pembangunan yang dikatakan tidak seimbang serta isu kesesakan jalan raya khasnya di pekan Semenyih dan sekitar di samping pelbagai isu tempatan yang lazim seperti isu keselamatan dan kemiskinan.
 
Apa yang penting, fasa akhir kempen ini calon dan jentera kesemua pihak bertanding wajar menggunakan tempoh kempen yang ada untuk mendekati semua pengundi dan menyatakan aspirasi mereka secara tuntas.
 
Sama ada politik stabil akan menang atau bekas parti pemerintah akan kembali menerajui bagi menyusun langkah ke PRU15, signal jelas pengudi Melayu boleh membantu BN setidak-tidaknya mengecilkan majoriti PH.

Seperkara lagi, pembangunan, rasuah undi dan propaganda tersembunyi atau terang dewasa ini sukar disembunyikan jika ia berlaku kerana pengundi kini sedar hak mereka. – HARAKAHDAILY 


Tuduh PAS, kemudian cabar saman?

USTAZ IDRIS AHMAD

TUDUH, kemudian cabar saman. Sistem perundangan mana yang dipakai. Sekular pun tidak, Islam lagilah tidak. Lingkup kalau manusia seperti ini memerintah negara.
 
Dulu menuduh PAS mendapat wang daripada 1MDB, sekarang menuduh dapat duit daripada Umno pula. Terbaru, PAS bayar RM1.4 juta kepada Sarawak Report. Daripada anak buah hingga ke atas semacam saja.
 
Bukan hendak mencari kebenaran, tetapi dendam tidak berkesudahan.
 
Tujuan untuk wujud persepsi buruk terhadap PAS sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terutama melalui media sosial supaya PAS hilang fokus.
 
Insya-Allah PAS bersedia bertempur di gerbang maya untuk menjawab tuduhan ini.
 
USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
 
HARAKAHDAILY


Kalau Aiman tak buat kerja, kita adi sama dia – Anwar

Kumara Sabapatty
xMGF27022019_Malam-Kebudayaan-Komuniti-India_11-681x454
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Malam Kebudayaan Komuniti India sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor. foto IQBAL BASRI
 

SEMENYIH – Pengundi India diminta supaya memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Muhammed Aiman Zainali dalam PRK DUN Semenyih.

Presiden PKR, Datuk seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada  Malam Kebudayaan bersama Pengundi India Semenyih PH berkata, mesej itu penting untuk PH memastikan agenda Semenyih diangkat ke peringkat negeri dan tidak diketepikan.

“Kita kadang-kadang cepat lupa..kalau Najib (Razak) turun di sini nanti Muniandy ke siapa nampak dia terus cium tangan..oh kadavule (ya Tuhan).

“Satu dunia tahu kejutan yangberlaku pada PRU-14 lalu yang mana UMNO BN dijatuhkan oleh PH.

“Tapi kawan kawan (mansyarakat India) pastikan jangan membenarkan kerosakan dahulu (BN) berulang kali ini di negeri ini yang mana kekayaan harta dan wang dicuri bukan satu sen tapi ribu-ribu,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau sedar keluhan rakyat mengenai kenaikan barang dan sebagainya.

“Dua tiga hari tak boleh selesai tapi sedikit sedikit boleh bawa kebaikan perubahan dibawah kepimpinan Tun M (Mahathir Mohamad).

“Itu sebabnya Semenyih mesti menang dan dipertahankan oleh PH. Saya mau tengok pada hari undi percaya muka muka undi masyarakat India di sini beri sokongan paling kukuh.

“Aiman mahu jadi wakil rakyat bukan curi tanah dan bukan projek masuk poket kalau dia buat itu nanti kita ‘adi’ (pukul) sama dia (berseloroh),” katanya lagi.

Menurutnya lagi di Port Dickson beliau memperoleh sokongan undi orang India yang cukup tinggi dan mahu aura sama diterjemahkan oleh pengundi India di Semenyih pada 2 Mac ini.

“Aaya salute (tabik) mereka (pengundi India) sokongan undi paling tinggi hampir 80 peratus di PRK Port Dickson lalu. Saya nak di Semenyih begitu juga,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Mohammaddin teruja sehingga lupa sedang berkempen

Muhammad Azizul Osman
SEMENYIH – Datuk Mohammaddin Ketapi terlalu teruja untuk membantu penduduk Semenyih hingga terlupa beliau sebenarnya turun berkempen untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

“Saya rasa dia tidak pasti kerana terlalu berjiwa rakyat dan terlupa bahawa dia sedang berkempen untuk PRK,” kata Ketua Wanita Pakatan Harapan, Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, katanya, Mohammaddin peka tentang kesilapan itu dan tanpa berdalih beliau meminta maaf yang merupakan budaya pemimpin baharu.

“Kita salah dan minta maaf. Tidak payah nak berdalih,” katanya kepada media selepas bersama calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang berkempen di Kampung Baru Semenyih pagi tadi.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu menarik semula peruntukan RM80,000 yang diumumkan untuk kerja menambaik dewan serbaguna Dewan Haji Md Silin di Beranang.

Penarikan itu dibuat selepas beliau menyedari tindakannya menyalahi akta ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan ketika ini merupakan tempoh berkempen bagi PRK DUN Semenyih.

Mohammaddin berkata, beliau tidak berniat mengganggu suasana kempen PRK Semenyih yang sedang berlangsung dengan melanggar akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). -MalaysiaGazette

Jemaah haji rayuan dapat subsidi

Wartawan MalaysiaGazette
Datuk Seri Mujahid Yusof
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Seri Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) kekal menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, keputusan Lembaga Pengarah TH ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk berdasarkan keupayaan dan kedudukan unjuran kewangan TH bagi tahun 2019.

“Saya telah melakukan beberapa perbincangan bersama TH ekoran pelbagai dakwaan mengelirukan yang timbul, terutamanya berhubung isu kos jemaah yang membuat rayuan haji meskipun pada masa itu isu ini masih belum dimuktamadkan.

“Satu kata putus telah dimuktamadkan oleh Lembaga Pengarah TH iaitu TH akan kekal menanggung semua subsidi bagi jemaah haji muassasah kali pertama termasuk yang membuat rayuan bagi menunaikan haji tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mujahid berkata, dengan pengumuman terbaru ini, kos tanggungan TH untuk musim haji tahun ini ialah sekitar RM400 juta.

Pada pertengahan bulan ini, TH mengumumkan bahawa jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mereka dan mana-mana mahram yang menjadi pengiring perlu membayar penuh sebanyak RM22,900, walaupun kali pertama mengerjakan haji.

Ini berbeza dengan dasar lama TH yang tetap memberikan subsidi kepada jemaah yang berjaya dalam rayuan mereka untuk mengerjakan haji kali pertama dengan hanya membayar jumlah RM9,980 seorang. – MalaysiaGazette

PRK SEMENYIH: PEMINJAM AIM DIPAKSA UNDI PH

Wartawan Watan-Online

Pakatan Harapan (PH) sekali lagi menggunakan taktik kotor dan terdesak apabila memaksa peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk mengundi calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang bakal berlangsung 2 Mac ini.

Ketua Wanita UMNO Hulu Langat, Ruhani Kasim berkata tindakan PH merupakan sesuatu yang tidak rasional dan tidak demokrasi.

“Saya hari ini menemani pengadu yang merupakan pengundi di sini. Menurut pengadu, dia telah menerima satu panggilan telefon daripada ketuanya dalam AIM untuk mencari sebuah rumah dengan tujuan mengumpulkan semua peminjam dan ahli keluarga untuk dipaksa mengundi PH.

“Setiap pengundi mempunyai hak untuk mengundi siapa sahaja yang mereka suka. Tidak perlu mereka ini dikurung dan dipaksa,” katanya kepada media sejurus membuat laporan polis mengenai kes tersebut di Balai Polis Kajang pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ruhani berkata laporan polis akan terus dibuat sekiranya mendapat maklumat mengenai individu lain yang turut dipaksa mengundi PH.

“Kita juga akan terus membuat laporan polis bila kita dapat mengumpulkan peminjam lain yang turut dipaksa.

“Ini adalah satu tindakan terdesak PH yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.


Tiada keperluan mendadak untuk semak semula belanjawan – Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 

KUALA LUMPUR: Tidak wujud sebarang keperluan mendadak untuk melakukan semakan semula Belanjawan 2019 susulan penyusutan harga minyak mentah dunia baru-baru ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika menegaskan perkara itu, Perdana Menteri berkata ini juga berikutan faktor turun naik harga minyak berkenaan.

“Ini bergantung kepada banyak mana penurunan (harga minyak) itu. Namun, kita tidak akan segera mengambil tindakan (semakan semula Belanjawan) kerana harga itu akan naik semula selepas mengalami penurunan.

“Kita hanya perlu bersedia apabila harganya naik,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan persembahan teater Ola Bola the Musical 2019 bersama isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Harga minyak mentah dunia pada masa ini mencecah US$66 setong manakala Belanjawan 2019 dibuat berdasarkan harga minyak mentah pada paras US$70 setong.

Mengulas pengumuman Kabinet menetapkan had maksimum harga runcit petrol RON95 yang dikurangkan kepada RM2.08 seliter berbanding RM2.20 seliter sebelum ini, Dr Mahathir berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan mampu menyerap lebihan kos jika berlaku kenaikan harga itu di pasaran.

“Keputusan itu ditetapkan kerana kita boleh menyerap (lebihan) kos tersebut,” kata beliau.

Keputusan mengurangkan harga maksimum petrol RON95 itu diumumkan selepas mesyuarat Kabinet pada Rabu.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng keputusan itu juga sejajar dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada Januari lepas, kerajaan melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan harga runcit petrol RON95 dihadkan pada RM2.20 manakala diesel pada RM2.18 seliter.

Harga runcit semasa petrol adalah RM2.08 seliter bagi RON95, RM2.38 seliter bagi RON97 manakala diesel RM2.18 seliter.—Bernama

Papagomo mengaku tidak bersalah tuduhan cederakan, aibkan Syed Saddiq

THE MALAYSIAN TIMES
 


KAJANG: Pengendali laman blog Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengaibkan dan mendatangkan kecederaan terhadap Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, dua minggu lepas.

Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36 yang juga Exco Pemuda UMNO membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Muhammad Azri selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengaibkan kehormatan Syed Saddiq dengan menyebut “ko bodoh” bagi maksud mengganggu kesantunannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian pada 11.05 pagi, 16 Feb lalu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, OKS didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan di leher dan bahu Syed Saddiq pada masa, tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2, 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan supaya OKS menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah kerana kes berkenaan melibatkan keselamatan Syed Saddiq.

Peguam Nik Saiful Adli Buhari yang mewakili OKS memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya berniaga kecil-kecilan serta menyara lima orang anak yang masih kecil dan isteri yang tidak bekerja.

Peguam itu turut memohon mahkamah menukar syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada melapor diri di balai polis berhampiran.

Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan menetapkan 1 April untuk sebutan kes.

Dalam kejadian 16 Feb lalu, Syed Saddiq yang juga Anggota Parlimen Muar, mendakwa diserang sekumpulan penyokong pembangkang sebaik keluar dari pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang dan Wan Muhammad Azri ditahan polis keesokan hari bagi membantu siasatan kes itu.

Sekumpulan penyokong OKS juga hadir di perkarangan mahkamah itu termasuk Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.–Bernama

Polis minta pihak yang dakwa Tommy Thomas anti Islam supaya serah diri

THE MALAYSIAN TIMES



ALOR SETAR: Polis meminta pihak yang bertanggungjawab membuat dakwaan kononnya Peguam Negara Tommy Thomas bersikap anti-Islam seperti yang tular di media sosial supaya menyerah diri bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut meminta pihak lain yang berkongsi pautan dan menularkan isu tersebut di akaun media sosial masing-masing untuk melakukan perkara yang sama.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan tengok siapa yang bertanggungjawab membuat tuduhan ini dan akan ambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Sebab itu kita galak mereka serah diri memandangkan polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (bagi kesalahan fitnah),” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes itu di sini hari ini.

Semalam, Tommy melalui dua pegawai khasnya, Amir Nasarudin dan Siti Rahayu Mumazaini dilaporkan membuat laporan polis berhubung dakwaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada kira-kira 3.15 petang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun juga dilaporkan mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan itu dan polis telah memulakan siasatan.

Terdahulu, Noor Rashid menyampaikan pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 2/2019 kepada 300 penerima di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah Datuk Abd. Rahim Jaafar. – Bernama

'Bantuan tunai PH macam umpan terdesak'





TINJAUAN | Keluhan demi keluhan kedengaran selepas kerajaan mengumumkan untuk memberi bantuan khas buat pelajar, ibu tunggal dan orang bujang baru-baru ini.

Menurut Menteri Kewangan Lim Guan Eng bantuan tersebut yang bernilai RM100 seorang akan mula disalurkan kepada pihak yang berhak pada akhir Mac ini.

Bantuan yang diumumkan itu membabitkan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) masing-masing berjumlah RM100.


Bagaimanapun reaksi yang diberikan sesetengah masyarakat tidak menggambarkan kegembiraan yang diharapkan kerajaan.

“Malaysia sekarang semua barang mahal, duit RM100 mana cukup,” demikian rintihan seorang ibu tunggal Sindamariayee Muniandy, 59.

“Sampai bila saya nak minta duit pada anak saya? Dia sendiri hidup susah nak sara keluarga dia,” katanya kepada Malaysiakini.

Penjual bunga itu berkata, proses pengambilan BSH itu juga bakal menjadi rumit kerana disertakan syarat dianggapnya menyusahkan.

Senaskhah buku pun tak cukup
Kata Sindamariayee, biasanya apabila dia pergi meminta bantuan pihak yang berkenaan akan membangkitkan isu dia masih ada kudrat untuk bekerja.

"Syarat yang ditetapkan juga mengelirukan," katanya.


Sindamariayee
Menurut kerajaan BPPT dan BSH itu melibatkan peruntukan bernilai jutaan ringgit dan bakal memanfaatkan ramai pelajar, orang bujang serta ibu tunggal.

Peniaga cendol yang hanya mahu dikenali sebagai Burhanuddin, 50-an, berkata pemberian bantuan bernilai RM100 itu dianggap tidak berbaloi.

“Setakat duit RM100 ni, kita bagi budak kecil pun boleh habis sehari, ini kan pula orang bujang.
"Keputusan memberi bantuan sebegini sangat tak relevan," katanya.


Gambar fail
 Auni Diyana, 34, yang kini menyiapkan ijazah doktor falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata jumlah RM100 memang membebankan berbanding bantuan yang diterima - sebanyak RM250 - sebelum ini.

“Dulu, duit tu saya boleh gunakan untuk beli buku saya, tapi sekarang nak beli satu buku pun tak cukup," katanya.

PH kelam-kabut
Tambah Auni Diyana, sepatutnya kerajaan PH boleh menambah baik nilai bantuan yang diberikan supaya lebih tinggi berbanding apa yang diberi BN sebelum ini.

“Saya harap kerajaan PH berfikiran lebih realistik dengan pemberian wang, bukan sekadar asal boleh saja," katanya.

Ditanya sama ada pengumuman berkenaan dibuat ada kaitan dengan PRK Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini, beberapa orang yang ditemui Malaysiakini tidak menolak kemungkinan tersebut.


Muhammad Fauzan
Penuntut Universiti Teknologi Mara, Muhammad Fauzan Mohd Din, 23, berkata sebelum ini memang jelas kerajaan memansuhkan bantuan untuk orang bujang dan pelajar.

“Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba ada semula peruntukan untuk para pelajar dan orang bujang tentu ada apa-apa maksud.

"Sepatutnya pengumuman bantuan ini boleh saja dibuat sebelum kempen PRK,” katanya.

Fadhil Abdullah, 62, pula berkata PH sekarang dilihat berada dalam keadaan kelam-kabut
Justeru katanya dia berasakan bantuan sebegitu sekadar umpan daripada kerajaan untuk memancing undi orang muda terutama menjelang PRK Semenyih.

"Perkara sebegini sudah banyak dilakukan sewaktu zaman BN dulu, dan sekarang PH buat perkara sama,” katanya yang turut akan mengundi pada PRK Semenyih Sabtu ini.


Sergah Abdul Hadi, Anwar perlu sedar diri

Ir. Khairil Nizam Khirudin
Ir. Khairil Nizam Khirudin
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mengingatkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar tidak berasa selesa dengan kedudukannya sekarang, yang konon bakal mengambilalih jawatan Perdana Menteri.

Timbalan Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin ketika menjelaskan perkara itu berkata, oleh kerana menganggap dirinya terlalu selesa, Anwar sewenang-wenangnya menyerang Pas, terutama peribadi Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keangkuhan Anwar terhadap kedudukannya telah masyhur dan diketahui ramai, bahkan kerakusan dan halobanya mengejar kuasa bukan lagi menjadi rahsia, katanya.

“Kerana merasakan diri sudah cukup kuat dan gagah, maka dipersetankan etika dan moral dengan membuat dakwaan keji terhadap Pas.

“Abdul Hadi dibelasahnya tanpa kasihan dan pertimbangan adil. Tidak cukup dengan itu,  beliau menjelikkan secara nista kononnya Presiden Pas berkawan dengan pencuri.

“Apakah pencuri yang kamu maksudkan itu telah terbukti serta didakwa tuduhan ke atasnya di mahkamah dan dijatuhi hukuman?” soal beliau dalam kenyataan kepada media.

Khairil Nizam turut menempelak Anwar yang pernah dibuktikan tuduhan meliwat di mahkamah dan dijatuhkan hukum penjara.

“Mengapa bersikap menghakimi di luar institusi sepatutnya secara dwi-standard dan pesimis
“Sedarlah, permainan licik beliau bukan sahaja memijak dan menenggelamkan lawan, malah turut menyingkir jatuhkan rakan taulan,” katanya.

Beliau berharap Anwar tidak mempunyai penyakit ‘mudah lupa’ bahawa dia pernah merasa terseksa dianiaya dan diaibkan begitu teruk sekali oleh orang yang diangkatnya sebagai perdana menteri.

“Jika tidakpun, kenangilah masa lampau. “Hei Hadi” yang kamu sergah itulah yang memahamkan umat, akhlak mendepani tuduhan fitnah dan ahli Paslah yang meramaikan himpunan membela kamu dan bekerja di pilihan raya untuk PKR.

“Bahkan, akhbar lidah rasmi Pas, Harakah melebihkan kamu berbanding para pimpinannya sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

Wanita dakwa dipaksa undi calon PH buat laporan polis

Muhammad Azizul Osman
xMGF280219_PC-POLIS-PRK04-681x454
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Balai Polis Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 
 

SEMENYIH – Seorang wanita yang juga pengundi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih membuat laporan di Balai Polis Semenyih semalam selepas mendakwa menerima ancaman daripada pihak-pihak tertentu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Sabri Abdullah.

“Pengadu merasakan diri dan ahli keluarga terancam kerana didakwa ada unsur paksaan mengundi. Kita buka kertas siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu pengaruh tidak wajar,” kata Mohd Sabri dalam sidang media harian di Balai Polis Semenyih, hari ini.

Menurut beliau, pengadu yang berusia 40 tahun itu membuat laporan itu pada jam 2.27 petang kerana dipaksa untuk mengundi Pakatan Harapan (PH).

Wanita itu didakwa dalam proses membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

“Sebenar pengadu wanita ini ingin membuat pinjaman melalui agensi kerajaan dan masih dalam proses mendapatkan pinjaman tersebut.

“Dalam laporan polis, pengadu berkata, kakitangan agensi kerajaan ini telah menetapkan syarat tertentu dan tidak boleh dinyatakan kerana masih dalam siasatan,” jelas Mohd Sabri lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga hari ini 11 kertas soalan sudah dibuka oleh polis.

Ini termasuk satu laporan polis daripada calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 35 laporan polis telah diterima pihaknya dalam pelbagai laporan.

Mohd. Sabri berkata, sejak kempen bermula 16 Februari lalu sehingga kini sebanyak 314 permit ceramah telah dikeluarkan polis untuk parti politik dan calon bertanding.

Paling banyak diterima adalah daripada PH dengan 161 permit, BN dengan 135 permit, PSM 10 dan calon Bebas 8. -MalaysiaGazette

Peguam mahu cabar prosiding hina mahkamah peguam negara

MALAYSIAKINI

   
Peguam Arun Kasi berkata beliau akan mencabar prosiding menghina mahkamah yang mahu dimulakan Peguam Negara Tommy Thomas terhadapnya.

Kenyataan itu dibuat setelah Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan permohonan Thomas untuk memulakan prosiding itu kerana mengeluarkan kenyataan berkaitan suatu penghakiman mahkamah.

Mempertahankan diri, Arun berkata kenyataannya adalah kritikan yang wajar.

“Saya sentiasa memegang prinsip kebenaran dan keadilan tanpa takut atau memihak,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) Thomas untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Arun yang didakwa mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah.

Hakim Ramly Ali, yang mempengerusikan sidang panel tiga hakim, membenarkan Thomas memulakan prosiding terhadap Arun, yang dalam dua artikel dalam portal Aliran, didakwa mengkritik afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Abdul Hamid Abu Backer mengenai dakwaan salah laku hakim.

Tulisan itu bertajuk “How a dissenting judgment sparked a major judicial crisis“ (Bagaimana satu keputusan menentang mencetuskan krisis kehakiman) bertarikh 16 Feb 2019, dan “Tommy Thomas must look into arbitration centre that sparked judicial crisis” (Tommy Thomas perlu menyiasat pusat arbirasi yang mencetuskan skandal kehakiman) bertarikh 22 Feb 2019.

Kes CBT Zahid Hamidi dibicarakan di mahkamah tinggi

MALAYSIAKINI

   

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memindahkan kes Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan nilai puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Rozina Ayob memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairi memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

“Permohonan itu didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 21 Feb lepas dan telah dibenarkan. Namun tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan,” kata beliau semasa sebutan semula kes itu hari ini.

Ahmad Sazilee turut memaklumkan lebih 300 dokumen berkaitan kes telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Hanya beberapa dokumen termasuk cek dari beberapa bank belum diserahkan dan akan diberikan secepat mungkin,” katanya.

Rozina menetapkan 26 Mac untuk sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi. Peguam Hisyam Teh Poh Teik mengetuai pasukan pembelaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid, 66, yang berkemeja batik masuk ke bilik bicara pada 9.04 pagi, kelihatan berbual dengan dua lelaki, termasuk penjaminnya sebelum prosiding bermula. Beliau yang kelihatan ceria turut menegur dan bersalaman dengan wartawan.

Semasa prosiding bermula, Rozina secara lembut menegur penjamin Ahmad Zahid supaya memakai pakaiannya dengan kemas.

“Pakai elok-elok sikit penjamin...butang baju tu...,” kata Rozina sambil tersenyum menyuruh penjamin Ahmad Zahid yang memakai kemeja putih dan tidak membutangkan kemejanya dengan penuh sehingga menampakkan dada, menyebabkan orang awam dan wartawan yang duduk di galeri awam serta pihak-pihak yang terlibat dalam kes itu ketawa.

Pada 19 Okt dan 14 Dis tahun lepas serta 20 Feb lepas, Anggota Parlimen Bagan Datuk itu mengaku tidak bersalah terhadap keseluruhan 47 pertuduhan merangkumi 12 dakwaan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid didakwa telah menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di bank sama antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama iaitu boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
- Bernama

Anwar mahu ganti Tun M selewat-lewatnya Jun ini

Wartawan MalaysiaGazette
xMGF11092018_ZAMIL-IBRAHIM-MENYERAHKAN-BORANG-KEAHLIAN-UMNO07-681x453
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bercakap ketika sesi sidang media selepas Bekas Presiden Parti KITA dan Bekas Pemimpin Parti PKR Pusat, Zamil Ibrahim selesai menyerahkan borang keahlian UMNO untuk menyertai parti tersebut di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 


KUALA LUMPUR – Baru-baru ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa PKR dan DAP tidak bersungguh-sungguh membantu kempen PRK Semenyih.

Menurutnya, atas sebab yang sama, calon Pakatan Harapan dari PPBM akan kalah.

Bagaimanapun, Abdul Hadi tidak menyebut kenapa dakwaan berlaku konspirasi itu walaupun ketika itu beliau diminta mengulas mengenai dakwaan akan berlaku undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Hari ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memperincikannya.

Beliau mendakwa boikot dalam kalangan PH itu berlaku kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu segera menjadi Perdana Menteri selewat-lewatnya bulan Jun ini.

“Difahamkan, melalui (wakil Anwar), Xavier (Jayakumar) sudah beritahu Tun M sekiranya PH kalah di DUN Semenyih mereka minta Tun kosongkan kerusi (PM) untuk Anwar bulan 5 atau selewat-lewatnya bulan 6 ini,” ujarnya dalam rakaman video di media sosialnya hari ini.

Justeru, menurut Lokman, proses Anwar menjadi PM dalam tempoh tiga bulan lagi akan ‘menyeksakan’ kerana masalah pelabur tidak akan masuk kerana tidak ada keyakinan terhadap kepimpinan Mahathir.

Dalam pada itu, beliau juga mendakwa pihak PPBM terpaksa menganjurkan karnival di Tesco Semenyih bagi menampakkan ramai orang sempena kedatangan Mahathir berkempen di PRK esok.

Malah Lokman mendakwa, sayap pemuda PPBM, ARMADA sudah memberi wang kepada sekumpulan penduduk supaya mereka berswafoto dengan Mahathir.

Ini semua gara-gara penangan fenomena bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang mendapat sambutan ramai ketika turun ke Semenyih.- MalaysiaGazette



Saya ada penyata akaun bank Pas bayar Clare – Anwar By

Kumara Sabapatty
xMGF27022019_Ceramah-Pilihan-Raya_07-681x454
Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Ceramah Pilihan Raya sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Terminal Bas Semenyih Sentral, Selangor. foto IQBAL BASRI, 
 

SEMENYIH – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai penyata akaun bank yang membuktikan Pas membayar sejumlah wang kepada Clare Rewcastle Brown.

Presiden PKR itu berkata amaun yang dibayar Pas bukannya RM1 juta yang disangka sebelum ini tetapi RM 1.4 juta telah dibayar Pas kepada Editor Sarawak Report itu.

“Sebelum ini Pas beria-ria melaung ‘kita tidak akan benarkan wang orang Pas dibayar kepada Clare..tapi dia bayar juga.

“Saya nak beritahu kalau boleh bermula malam ini lebih baik Pas diam sahaja. Sudahlah kata tak ambil duit UMNO tak bayar kepada Clare.tak betul semua itu.

“Kalau tak percaya, saya ada penyata bank yang membuktikan dia (Pas) bayar RM1.4 juta kepada Clare, bank mana itu nanti dulu…kalau tak percaya Pas boleh cabar saya di mahkamah, saya ada bukti,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Anwar juga menyatakan kesediaannya berdepan apa jua tindakan Pas jika mana-mana pemimpin parti Islam itu merasakan dakwaannya berunsur fitnah atau tidak benar.

“Kalau Pas tak puas hati boleh saman saya di mahkamah sebab saya ada bukti,” ujarnya di hadapan kira kira lebih 1,000 pengundi Smenyih di Terminal Bas Semenyih Sentral malam tadi.


Beliau mendakwa wang itu dibayar sebagai penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di London tahun lepas.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan isu penyelesaian luar mahkamah kes saman Pas terhadap Clare tidak melibatkan sebarang perintah bayaran kos kerugian atau kerosakan kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, berdasarkan perintah persetujuan yang direkodkan sebenarnya menyatakan pihak yang menuntut tidak meneruskan tuntutannya, pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya dan tiada perintah mengenai kos-kos.

Takiyuddin Yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu mengeluarkan kenyataan itu selepas Anwar Ibrahim mendesak Pas menjelaskan sama ada penyelesaian kes mahkamah itu melibatkan sebarang bayaran wang lebih RM1 juta atau pun tidak.- MalaysiaGazette



Guan Eng nafi SST punca kos perniagaan naik

Norlaile Abd Rahman
xMGF28022019_GUAN-ENG-RASMI-RAZER-MALAYSIA05-681x454
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Razer, Min Liang Tan (kiri) melakukan gimik Pelancaran Ibu Pejabat Razer Malaysia di Menara UOA, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menafikan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah menyebabkan peningkatan kepada kos menjalankan perniagaan.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, beliau mahu melihat sendiri dapatan yang diperolehi daripada kaji selidik yang dijalankan oleh Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu benar-benar mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan SST atau dipengaruhi faktor lain.

“Saya tidak bersetuju (dengan dapatan tersebut) tetapi tidak menafikan memang ada masalah kerana kita telah memperkenalkan satu sistem percukaian yang baharu secara keseluruhannya.

“Saya tidak mengatakan tiada langsung peningkatan dalam kos menjalankan perniagaan tetapi ia sepatutnya lebih rendah berbanding (ketika) Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan.

“Lihat sahaja kepada kadar inflasi. Pada keseluruhan tahun 2018, inflasi hanya satu peratus sahaja berbanding ketika GST dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Razer Malaysia di sini hari ini.

Dengan itu, Guan Eng berjanji untuk bertemu dengan FMM bagi mendapatkan gambaran sebenar dan menyelesaikan isu tersebut.

“Saya ingin berjumpa FMM untuk melihat sendiri dari sumber rungutan tersebut kerana ianya tidak dijelaskan dalam bentuk angka.

“Apakah ini angka yang sama digunakan oleh kerajaan terdahulu?” katanya lagi.

Kaji selidik terbaharu yang dijalankan oleh FMM dan MIER mendapati kos menjalankan perniagaan di Malaysia meningkat sehingga 10 peratus selepas SST diperkenalkan pada September tahun lalu.

Menurut Presiden FMM, Datuk Soh Thian Lai, kira-kira 85 peratus pengilang Malaysia terpaksa menghadapi peningkatan kos pengeluaran disebabkan oleh SST pada separuh kedua 2018.-MalaysiaGazette

‘Pemimpin Umno guris hati keluarga empat bekas Adun Selangor’

MALAYSIAKINI

   
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah kesal dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Puchong Mohamed Satim Diman yang mengaitkan kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor sebagai amaran daripada Allah supaya rakyat Malaysia memilih parti yang tepat.

Sambil menggesa pemimpin Umno itu menarik balik kenyataannya, katanya, kenyataan yang sangat tidak wajar itu telah disampaikan oleh bekas ketua pembangkang Selangor tersebut ketika memberi ceramah umum BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih, malam tadi.

“Saya percaya kenyataan yang dangkal itu telah mengguris hati keluarga empat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang telah kehilangan insan yang mereka cintai.

“Justeru, saya menggesa Datuk Mohamed Satim Diman untuk menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada anggota keluarga empat wakil rakyat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Borhan, sebagai seorang ahli politik beragama Islam, Mohamed Satim seharusnya memahami konsep qada’ dan qadar yang terkandung di dalam Rukun Iman dan tidak menggunakannya sebagai modal politik sempit ketika kempen pilihan raya.

Malaysiakini, awal pagi tadi melaporkan Mohamed Satim sebagai berkata, semua PRK di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan kini di Semenyih melibatkan kematian wakil rakyat daripada PH dan bukan daripada BN.

Beliau berkata Allah telah memberi amaran sejak (PRK) Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

“[...] Yang hairannya, yang meninggal tu siapa? Wakil rakyat mana? Wakil rakyat PH. Bukan wakil rakyat BN.

“Jadi di situ sebenarnya Dia (Allah) memberikan amaran yang pertama, BN kalah di Sungai Kandis. Tak apalah, pasal belum nampak. Lepas tu ke Seri Setia pun kalah juga, tak apa.

“Allah kata agak-agaknya orang Islam di Malaysia ni tak faham lagi ke? Dia meninggalkan (mematikan) dekat Balakong. Pun tak faham lagi.

“Kau tak faham tak apa, aku bagi dekat Semenyih. [...] Kalau itu tak faham (lagi), tak tahulah apa nak kata. Agaknya dunia dah nak kiamat kot,” kata Mohamed Satim.

PRK DUN Semenyih pula bakal diadakan pada Sabtu ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.



Mat Hasan: Dr M beritahu saya dia sayang Umno


   

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendakwa Dr Mahathir Mohamad mengakui masih sayangkan Umno dan tidak akan sesekali membubarkan parti itu.

Mohamad yang kini menjalankan tugas presiden Umno berkata, perkara itu diakui perdana menteri dalam satu pertemuan yang mencetuskan kontroversi, pada Oktober tahun lalu.

Beliau bagaimanapun berkata Mahathir cuba “memesongkan fakta” dengan mendakwa Mohamad mahu menyertai Bersatu.

"Saya cakap Tun jangan bubarkan (haram) Umno, ini parti orang Melayu, tak baik untuk dia juga (jika haramkan Umno).

"Dia (Mahathir) kata 'siapa nak haramkan Umno, Mat Hasan, saya lagi sayangkan Umno, saya lebih 22 tahun jadi presiden Umno'.

"Cuma dia kata Umno sekarang sudah tidak elok dirosakkan Najib (Razak) dan pemimpin Umno lain," kata Mohamad ketika berucap di kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Semenyih malam tadi.
Mahathir dan Hasan ketika pelancaran Pelan Antirasuah Nasional di Putrajaya sebelum ini. Turut berada dalam gambar Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Ismail.

Sebelum ini tular foto membabitkan Mohamad dan beberapa pemimpin Umno termasuk Noh Omar, Tengku Adnan Tengku Mansor, Shahidan Kassim mengadakan pertemuan dengan Mahathir.

Ia mengundang kontroversi apabila pertemuan itu dikaitkan dengan khabar angin kononnya bekas menteri besar Negeri Sembilan itu mahu meninggalkan Umno.

Mohamad pada 13 Disember lalu menafikan pertemuan beliau ada kaitan dengan tindakan mereka untuk keluar parti atau memohon ‘talian hayat’ seperti yang tular di laman sosial

Sebaliknya, kata Mohamad, ia adalah pertemuan bagi membincangkan saranan Mahathir yang sebelum itu mahukan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membubarkan parti berkenaan.

“Memang betul saya dan beberapa pemimpin Umno ada bertemu dengan Tun selepas beliau pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York," kata Mohamad.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu di hadapan penyokong BN malam tadi, Mohamad berkata Mahathir cuba memutarbelitkan cerita apabila mendakwa beliau mahu menyertai Bersatu.

Begitu juga dengan kenyataan terbaru pengerusi Bersatu itu yang mendakwa PAS tidak akan menyokong Umno pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

"Saya tanya Takiyuddin (Hassan) dia kata tak ada tok (Datuk) kami pergi, kami bincang pasal royalti, kami bincang pasal di Kelantan kerajaan melantik Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan.


Rabu, 27 Februari 2019

Kaki bohong tak suka orang berbohong, pelik tapi itu realiti bagi PH


SUNGGUH geli hati pula melihat gelagat Anwar yang bagaikan cacing kepanasan pada musim cuaca panas terik ini.

Bersungguh dia menyerang PAS khususnya Tuan Guru Presiden.

Siap mengaitkan pula dengan jubah dan serban yang dipakai oleh Tuan Guru.

Dia menggambarkan seolah-olah Tuan Guru Presiden PAS hanya berperwatakan sahaja seperti orang alim tetapi berbohong, berpolitik matlamat menghalalkan cara, berkawan dengan pencuri duit rakyat.

Oleh kerana Anwar insan soleh yang tidak pernah berbohong, kita tanyakan soalan berikut kepadanya:

1) Mengapa Anwar begitu melenting sedangkan Tuan Guru Presiden PAS tidak ada sebut pun nama siapa yang terbabit dalam komplot "undi tidak percaya" terhadap PM Tun Mahathir?
Cepat betul terasa kepedasan cili ya.

2) Benarkah Anwar tidak pernah berbohong?
Rakyat tidak lupa dengan pidato berapi Anwar suatu ketika dahulu yang masih boleh ditonton di Youtube.

"Saudara, saya ulang.
Hari ini kalau pilihan raya kita menang, bagi saya 24 jam.
Bukan 20 hari, bukan 2 minggu.
24 jam, saya umum harga minyak turun serta-merta."

Kerajaan PH sudah berkuasa, di mana janji manismu ini?

3) Adakah Anwar tidak pernah mengamalkan politik matlamat menghalalkan cara?

Sudah lupa ke alkisah Langkah Kajang yang kejang tu?

Bukankah pada awalnya Anwar bersungguh menafikan sebarang usaha untuk menurunkan Tan Sri Khalid daripada jawatan MB Selangor.

Tiba-tiba, Adun Kajang letak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

Namun, hajatnya itu tidak kesampaian dek kerana disabitkan kesalahan oleh Mahkamah atas tuduhan Liwat 2.0.

Bukan ke dalam Alkisah Langkah Kajang itu, anak didik kesayangan Anwar iaitu Rafizi dan Saifuddin Nasution siap buat roadshow bersama Dokumen 91 mukasurat memfitnah Tan Sri Khalid.

Pada akhirnya, PKR sendiri yang memohon maaf atas kesilapan itu kepada Tan Sri Khalid di mahkamah yang turut dihadiri Anwar.

Kiranya Anwar pun terlibatlah dengan komplot memfitnah Tan Sri Khalid.

4) Hina sangatkah apabila Tuan Guru Presiden PAS berkawan dengan Najib?

Adakah ikatan Muslim seakidah, sebangsa Melayu perlu diputuskan sedangkan kes Najib belum pun diputuskan oleh mahkamah?

5) Wahai Anwar, di manakah bukti tuduhan fitnah RM90 juta yang diterima oleh PAS?

Oleh kerana Anwar tidak habis-habis lagi menjaja modal fitnah ini di dalam ceramahnya maka amatlah wajar SPRM memanggil Anwar kerana pastinya dia mempunyai berkotak-kotak bukti atas dakwaannya itu.

Seandainya Anwar tidak dapat jadi PM nanti, bolehlah dia dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM kerana Anwar lebih hebat dalam hal ehwal penyiasatan, kan?

6) Adakah Anwar tidak pernah menyelesaikan saman di luar mahkamah?

Anwar berlagak baik kononnya dia tidak mahu saman Presiden PAS kerana pernah bersahabat baik dahulu.

Katanya lagi prinsipnya "membujur lalu, melintang patah".

Dia kata tidak mahu jadi seperti PAS yang menarik balik saman terhadap Sarawak Report.

Fakta menunjukkan hakikatnya Anwar sendiri sudah banyak kali menyelesaikan kes di luar mahkamah.

a) 24 Mei 2012: Kes saman Anwar terhadap Dr Wee Ka Siong diselesaikan di luar mahkamah apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan terma penyelesaian adalah rahsia

b) 16 Januari 2013: Kes saman fitnah Anwar terhadap Khairy Jamaluddin diselesaikan selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi penyelesaian di luar mahkamah.

c) 14 Ogos 2015: Anwar menjadi orang tengah bagi penyelesaian luar mahkamah dalam kes Tan Sri Khalid saman Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution berkenaan dokumen fitnah Langkah Kajang

Jadi, mengapa pula Anwar sibuk mahu mempertikaikan tindakan Tuan Guru Presiden PAS mengambil penyelesaian luar mahkamah dengan terma rahsia dalam kes saman Sarawak Report?

7) Soalan cepumas terakhir kepada Anwar ialah rakyat ingin tahu adakah dalam kes Liwat 1.0 dahulu, adakah ianya benar-benar fitnah atau Tun Dr Mahathir yang berbohong?

Oh, boleh pula ya Anwar berkawan dengan pembohong sekarang.

*SYED AHMAD FADHLI
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Parlimen PAS


Anwar bodoh untuk memahami "There be no order as to costs"



SAYA terpanggil untuk menjelaskan kenyataan yang mengelirukan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, tentang penyelesaian luar mahkamah kes melibatkan saman Presiden PAS terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, di Mahkamah Tinggi London pada 1 Februari 2019.

Dengan merujuk kepada Perintah Persetujuan (Consent Order) yang direkodkan di hadapan Master Brown, Perintah tersebut menyatakan seperti berikut:

(1) Pihak Yang Menuntut tidak meneruskan tuntutannya (The Claimant discontinues his claim);

(2) Pihak defendan tidak meneruskan tuntutan balasnya (The Defendant discontinues her counterclaim);

(3) Tiada perintah mengenai kos-kos (There be no order as to costs).

Berdasarkan kepada Perintah Persetujuan di atas, maka selain daripada kedua-dua pihak bersetuju tidak meneruskan tuntutan dan tuntutan balas masing-masing, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kepada mana-mana pihak.

Dengan kata lain Pihak Yang Menuntut, YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, (dalam pliding mahkamah disebut sebagai ‘Mr. Awang’) tidak membayar apa-apa bayaran ataupun kos kepada pihak defendan untuk penyelesaian kes ini di luar mahkamah.

Perlu dijelaskan juga bahawa PAS lagilah tidak membayar apa-apa bayaran di mana-mana peringkat kes ini kerana PAS bukanlah satu pihak dalam tindakan ini (PAS is not even a party to the suit).

PAS menganggap kenyataan Presiden PKR tersebut adalah langkah terdesak beliau bagi mengalihkan pandangan rakyat dari isu ‘krisis keyakinan’ parti-parti dalam Pakatan Harapan terhadap Pengerusi mereka, Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang juga Perdana Menteri Malaysia.

*Dato’ Takiyuddin Hassan ,Setiausaha Agung PAS

Menteri umum RM80,000 baik pulih dewan di Semenyih



   
PRK SEMENYIH | Di tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), penduduk di Beranang, Semenyih menerima peruntukan mengejut sebanyak RM80,000 untuk kerja baik pulih sebuah dewan.

Peruntukan itu diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammaddin Ketapi dalam ucapan perasmian Program Semarak Seni Kraf di Beranang hari ini.

“Saya luluskan peruntukan RM80,000 untuk dewan ini,” katanya di akhir ucapan perasmiannya.

Menurut penduduk sekitar, Dewan Haji Md Silin merupakan dewan serba guna yang selalu digunakan untuk aktiviti sukan, majlis perkahwinan dan acara-acara rasmi di Beranang.

Program di Beranang itu merupakan aktiviti jerayawara (roadshow) bagi Hari Kraf Kebangsaan yang dijadual berlansung esok hingga 11 Mac di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Ketika memberi penjelasan kepada pemberita, Mohammadin berkata peruntukan itu merupakan peruntukan khas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
“Bantuan tersebut diberi kepada dewan (ini) untuk memudahkan dan memberi keselesaan kepada komuniti kraf untuk melakukan aktiviti merekan di Semenyih melalui peruntukan khas menteri,” katanya.

Hadiah basikal untuk cabutan bertuah

Dalam program yang berlangsung tiga hari sebelum hari pengundian PRK Semenyih itu, satu cabutan bertuah turut diadakan bagi hadirin yang terdiri daripada penduduk di situ.

Sebanyak 33 hadiah diberikan kepada hadirin bertuah dalam program tersebut, dengan hadiah utama berupa sebuah basikal.

Beranang merupakan salah satu pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Semenyih dengan 972 orang pengundi.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan program anjuran kerajaan yang berlangsung di Semenyih secara amnya tidak dianggap melanggar undang-undang pilihan raya selagi aktiviti itu tidak digunakan untuk mengumpan undi.

Bagaimanapun SPR menegaskan pemberian hadiah seperti hamper adalah satu kesalahan dan bercanggah dengan akta pilihan raya.


Kain rentang provokasi: Tak mungkin BN yang pasang

Mohd Zaini Samsu Hadi
Barisan Nasional
Asyraf Wajdi bersama penduduk Kampung Sesapan Batu Minangkabau mengoca di dalam kolam pada Program Mengoca di sini, hari ini.


SEMENYIH – Pergerakan Pemuda UMNO menempelak pihak-pihak tertentu yang cuba menuding jari menuduh Barisan Nasional (BN) berhubung pemasangan kain rentang berunsur provokasi pada PRK DUN Semenyih.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak mungkin kain rentang yang ditemui oleh calon BN, Zakaria Hanafi pagi tadi dipasang oleh jentera partinya atau pihak-pihak dalam BN sendiri.

Ini kerana katanya, laporan polis berhubung perkara itu ada dibuat oleh Zakaria dan perkara itu bukanlah satu cerita yang direka atau dibuat main-main.

“Tidak mungkin BN yang buat dan cara olahan ayat, bilangan yang banyak saya rasa ini hanya boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai kemampuan tinggi.

“Sebab itu kita buat laporan polis jadi polis tentu mempunyai cara dan pendekatan untuk menyiasat.

“Kalau ia dilakukan oleh BN, sudah tentu kita berdepan dengan kesalahan jenayah iaitu laporan palsu, kita membuat laporan sedemikian rupa menunjukkan bukan daripada kita tetapi mainan jahat PH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mengoca, di Kampung Sesapan Batu, Minangkabau dekat Beranang hari ini.

Asyraf diminta mengulas mengenai tuduhan sesetengah pihak apabila mengaitkan laporan polis yang dibuat oleh Zakaria berhubung kain rentang yang dipasang di beberapa lokasi di Semenyih didakwa sebagai provokasi dilakukan oleh BN sendiri.

Laporan tersebut dibuat oleh Zakaria di Balai Polis Semenyih hari ini sejurus mengetahuinya pada pukul 8.15 pagi.

Mengulas lanjut Asyraf berkata, dalam tempoh yang singkat ini parti lawan sudah semakin terdesak hingga sanggup melakukan apa sahaja perkara untuk meraih simpati dan memainkan emosi demi menagih undi.

“Jadi saya hanya boleh menyarankan agar mereka berhati-hati, Pemuda UMNO dah lalui semua ini seperti di Cameron Highlands.

“Kita dalam keadaan sentiasa peka terutama dalam tempoh 48 jam akan datang kerana ini akan menjadi penentu dan mereka tentu akan melakukan apa sahaja untuk meraih simpati, memainkan emosi demi menagih undi,” ujarnya.

Tambah beliau, parti lawan sudah merasa semakin bimbang terhadap gelombang sokongan rakyat terhadap calon BN dan kesilapan demi kesilapan telah ditunjukkan oleh mereka ketika ini.

“Jadi, saya mahu memberikan peringatan kepada semua pihak, kita harus mengamalkan politik secara sihat dan setakat ini kita BN tidak ada isu dalam konteks menggunakan wang ataupun melakukan fitnah,” tegasnya. – MalaysiaGazette

TERKINI : BODOH dan JAHAT! Menghina Akidah dan Rasul – Anwar Ibrahim


Hasil carian imej untuk FOTO ANWAR IBRAHIM

Adib Ramli



KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan segelintir individu yang menghina Nabi Muhammad SAW merupakan satu kerja bodoh dan jahat.

Ahli Parlimen Port Dickson yang turut meluahkan rasa marah jelas berkata, senario yang berlaku sejak kebelakangan ini jelas tidak menguntungkan keharmonian negara.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu tegas menangani gejala negatif itu agar tidak menjadi lebih buruk pada masa akan datang.

“Kalau kita boleh liberal, habis perang rakyat. Kita bezakan hak dan kebebasan untuk suara pandangan, beri teguran dan mengkritik.

“Itu masih boleh tapi kalau menghina akidah dan keyakinan umat Islam serta Rasul adalah kerja bodoh dan jahat yang tidak untung negara,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Ada bukti Pas bayar Clare, kata Anwar

Mohammad Arif Nizam
MGF27022019_MAJLIS-PENYAMPAIAN-HADIAH-SASTERA-HSKU22-681x455
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) ke-33 di Dewan Besar Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI


KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai bukti yang Pas membayar RM1 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan mendedahkan maklumat lengkap yang dimilikinya itu.

“Saya akan dedahkan secara terperinci pada malam ini di Semenyih. Saya rasa mereka tidak boleh menafikannya,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan di sini hari ini.

Semalam di Pulau Pinang, Anwar meminta Pas mengesahkan sama ada benar atau tidak parti itu membuat bayaran lebih RM1 juta kepada Clare.

Namun Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan kemudian tampil menafikan dakwaan tersebut.

Anwar menambah, beliau telah membaca keseluruhan prosiding dan keputusan dibuat mahkamah di London berhubung saman fitnah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Katanya, isu yang dibangkitkan Clare ialah dana daripada UMNO yang dimasukkan ke akaun tertentu dan ia mempunyai kaitan dengan Pas.

Selepas itu, Anwar berkata, tuduhan yang disiarkan oleh Sarawak Report itu dinafikan malah Abdul Hadi menyaman pengarang portal pembocor maklumat tersebut.

“Kemudian mereka mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah tapi Clare kekal dengan dakwaannya dan artikel tersebut tidak ditarik balik. Jadi ia nampak aneh,” katanya.

Menurut Anwar, beliau memiliki banyak pengalaman berhubung kes-kes saman sivil sebelum ini.

Ini kerana kebiasaannya jelas Anwar, kalau ada penyelesaian sesuatu tulisan itu akan ditarik balik atau pihak yang terbabit meminta maaf. -MalaysiaGazette