KAJANG: Seorang anggota polis cedera akibat dipukul sekumpulan lelaki
di simpang tiga lampu isyarat Sri Taming menghala ke Taman Desa Baiduri,
Kajang pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa bersama seorang rakannya
yang membuat rondaan bermotosikal di sekitar kawasan berkenaan, melihat
dua kenderaan dinaiki 10 lelaki diletakkan di tengah jalan sehingga
menghalang lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Willey Richard berkata anggota polis
berkenaan dipercayai meminta mereka mengalihkan kenderaan kerana ia
menyebabkan kesesakan teruk di kawasan tersebut.
"Akibat rasa tidak puas hati kerana diminta mengalihkan kenderaan,
suspek bertindak memukul mangsa. Beg milik mangsa yang mengandungi
dompet dan telefon bimbit turut dilarikan," katanya ketika dihubungi
semalam.
Willey berkata mangsa dan rakannya kemudian melarikan diri untuk meminta bantuan.
Katanya polis sedang mengesan kesemua suspek terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan